Mencari Naurah (Bab 47)
Saturday, June 30, 2012
Novel | Mencari Naurah
“BERUBAH benar Arul sekarang,” kataku ketika aku dan Adilla
bersantai-santai di rumah. Petang-petang begini, mak selalu berkunjung ke rumah
Mok Teh. Kasihan benar aku melihat diri Mok Teh yang semakin uzur.
|
Penyakit
tekanan darah rendah yang dihidapinya menyebabkan dia tidak dapat membuat
sebarang kerja berat. Mudah letih. Silap haribulan, boleh jatuh pengsan. Namun,
Mok Teh tetap berusaha keras melakukan apa jua jenis pekerjaan. Katanya, untuk
anak-anak.
Inilah
pergorbanan seorang ibu. Sanggup membakar diri untuk orang lain. Lebih-lebih
lagi kepada anak yang dikandung sendiri. Kalau tidak, masakan wujud kisah si
ibu yang sama sekali tidak mengizinkan seekor nyamuk menggigit anak kesayangan.
Cuma
sang anak sahaja sering kali melupakan jasa ibu bapa. Begitu sukar untuk
mengorbankan diri buat orang yang telah membesarkan dan mendidiknya selama
bertahun-tahun. Bila ia senang, si tua itu dilupakan dan bilamana ia susah,
tidak pula ia berasa malu untuk meminta bantuan kepada si tua yang pernah ditinggalkan.
“Sejak
kawan yang sama-sama merempit dengan Abang Arul meninggal dunia, Dilla tengok
dia banyak berubah,” ujar Adilla perlahan. “Baru-baru ini, Abang Arul
kemalangan teruk tetapi entah macam mana dia tidak cedera. Dia berlanggar
dengan kawannya yang sama-sama sedang buat aksi Superman. Kawan dia koma
seminggu. Kemudian, meninggal...” sambungnya lagi sungguh-sungguh.
“Alah,
yang selalu ajak Abang Arul keluar malam-malam. Cagan namanya. Nama betul,
Dilla tidak pasti.” Dia terdiam seketika. Mak Cagan menangis teresak-esak
menyalahkan Abang Arul. Manakan tidak! Anak sulung harapan. Dengar kata, ayah
Cagan pun dah meninggal. Mungkin sebab itulah dia stres sangat,” dia menambah.
Aku
mendengar dengan penuh khusyuk.
“Kebetulan,
Dilla balik kampung. Dilla tengok drama swasta tersebut. Yang Dilla ingat, mak
Cagan ada cakap, Kalau tidak sayang diri sendiri pun, sayanglah orang yang
sayang kita. Mak pun ada masa itu...”
“Macam
mana reaksi mak?” aku bertanya ingin tahu.
Gambar dari blog : http://munirahsalleh.blogspot.com/
“Mak
tak kata apa-apa. Mak peluk Abang Arul dan menangis. Mak cium Abang Arul. Tak
pernah Dilla tengok muka Abang Arul macam itu.” Adilla terdiam lagi.
“Muka
Abang Arul macam mana?”
“Muka
macam hendak menangis. Akak ingat muka Abang Arul masa arwah ayah meninggal?
Macam itulah tetapi dia tidak pula menangis. Biasalah, bukankah Abang Arul
macho? Mana boleh menangis. Jatuhlah maruah dia...”
Aku
tersenyum mendengar kata-kata Adilla. Maruah?
“Yang
buat Abang Arul kecewa, tidak ada seorang pun kawan Abang Arul yang datang
melawat Cagan di hospital. Tanya khabar Abang Arul pun tidak. Seminggu juga
Abang Arul tidak keluar rumah,” tambah Adilla.
‘Biasalah
Dilla kalau berkawan dengan orang yang tidak menghayati agama,’ bisik hatiku.
Bukankah
sahabat yang beriman itu pastinya mencintai saudaranya sebagaimana dia
mencintai dirinya sendiri? Sekiranya teman yang ada di hadapan mata itu hanya
hadir waktu senang dan gembira... bolehlah semak semula. Benarkah teman yang
dirasakan kawan itu benar-benar sahabat sejati???
“Kak...”
Adilla memanggil namaku. Eh, aku mengelamun rupanya. “Mak tidak cakap apa-apa
ke lepas peristiwa tu?” aku terus bertanya dan masih mahu bertanya.
“Mak
layan Abang Arul macam anak raja. Cemburu juga Dilla,” akui Adilla.
“Baguslah
kalau Arul betul-betul sudah berubah,” aku menarik nafas lega. Mungkin berkat
doa mak yang tidak putus buat Nasrul. “Jam berapa Ady sampai?” tanyaku kepada
Adilla.
“Pok
Piji cakap nak ambil Abang Ady pukul 9.00 pagi esok.” Jawab Adilla.
Adik
arwah ayahku yang bongsu ini memang banyak membantu kami sekeluarga sejak ayah
meninggal dunia.
Pok
Piji kini sedang giat mengusahakan tanaman serai di kampung. Dua tahun lepas,
dia meminta kebenaran mak untuk bercucuk tanam di atas tanah terbiar di
belakang rumah kami. Tahun ini, genap umurnya 32 tahun. Walaupun usianya
semakin bertambah, dia masih belum menamatkan zaman bujangnya. Katanya, belum
berjumpa dengan si idaman hati...
~bersambung~