Selamat mengundi



Assalammualaikum.

Apa khabar, semua? Pejam celik, pejam celik, tulat sudah pilihanraya.
  • How’s your feeling?
  • Yakin boleh menang bergaya?
  • Pasti dapat menang bermaruah?
  • Atau menang dengan segala tipu daya? 


Manusia punya tipu daya namun sekal-kali tidak dapat melangkaui kuasa ALLAH. Berjaya di dunia, belum tentu sukses di akhirat juga.


Percayalah... 

Sekiranya terdapat unsur-unsur penipuan (tidak kiralah sama ada dari 

pihak BN, mahupun PR), yang dipilih pula jelas tahu tentangnya; yang 

memilih pun maklum mengenai kezaliman dan kemungkaran di hadapan mata... namun tetap berada di situ… nantikanlah penelitian ALLAH kelak kerana sesungguhnya hidup di dunia tidaklah lama. 

Kepada yang menang dengan cara begini...

Tahniah Muthiah ucapkan. Salam takziah andai kalian tidak sempat kembali (bertaubat kepada-NYA).

Muthiah terjumpa gambar ini di Facebook dan entah kenapa, Muthiah tertarik dengannya...


Muthiah mencari-cari juga gambar yang tertulis... 

'Mak, ayah... Maafkan kami sebab sokong BN. Semoga nanti mak ayah sertai kami juga. Kami doakan mak ayah senantiasa,' 

... tetapi tidak jumpa. Kalau ada sahabat-sahabat yang ketemu dengannya, mohon e-mel ya. Boleh Muthiah berkongsi sekali di sini.

Noktah.

Hari ini, Muthiah bukanlah hendak menekankan perihal anak-beranak yang berlaian ideologi...
  • Emak ayah BN, anak-anak PR.
  • Anak-anak BN, emak ayah PR.
  • Emak ayah BN/ PR, anak-anak ada yang BN ada yang PR.
  • Emak ayah anak-anak BN/ PR.
Pilihan di tangan sendiri namun pilihlah dengan mata hati. Lihatlah... bacalah... dengarlah... nilailah atas dasar keimanan. Mohon dan bermunajat kepada ALLAH agar kita tidak terlingkung dalam golongan yang dimurkai TUHAN. Meyakini dengan pilihan kita, pangkahlah apa yang kita suka namun sebelum memangkah... tanyakan pada diri :
  • Dari apa yang berlaku di hadapan mata, adakah aku berada di jalan yang benar?
  • Tertegakkah Islam dengan pilihan ini? 
Hmm... 

PAS ada DAP. 
Dalam UMNO ada MCA dan MIC.  
PAS 'bersekongkol' dengan DAP. 
UMNO 'hanya bekerjasama' dengan MCA dan MIC (seperti yang Muthiah baca di komen-komen Facebook). 

Pening kepala. Mana hendak pilih ni?!


  • Cari fakta melalui pelbagai sumber. Anda cari sumber mana? - TV1, TV2, TV3, Harakahdaily, Utusan Melayu, Berita Harian, Malaysiakini, Malaysian Insider,  dll.
  • Tanya mereka yang lebih arif ilmu agama. Anda rujuk siapa? - Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Haji Abdullah Haji Samaah, Dr. MAZA, UZAR, UFB, Dr. Mashitah Ibrahim dll. 
Tanyakan lagi...
  • Mana yang lebih/ kurang mudarat? - PR @ BN?
  • Mana yang menolak hukum ALLAH? - PR @ BN?
  • Mana yang jelas mempermainkan syariat ALLAH? - PR @ BN?
Setelah berusaha mencari jawapan yang pasti..berdoa dan bermunajat pada ALLAH. Hayati terjemahan surah al-Fatihah... sudah yakin dengan segala apa yang ditemui... pilihan kalian untuk memilih...

Sila pangkah...



ATAU




Berhati-hati, khuatir merosak undi. Satu undi kalian amatlah berharga.

Aik. Lain yang hendak ditulis, lain pula yang dicoretkan. Cukup setakat ini. Selamat menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Andai tak mahu disakiti

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. 


Foto : Sekadar gambar hiasan.

PRU, oh PRU...

Bahang PRU sudah pun terasa. Banyak orang bercakap tentangnya. Ada yang berhalus bahasanya (ini yang kita mahu) namun ada juga yang menyakitkan hati dan mata (ini kita tak nak). Fitnah pun bermaharajalela. Ingat, sahabat-sahabat yang Muthiah sayang. Jangan sampai kita menjadi salah seorang agen penyebar cerita aib (ini kita tak nak) tersebut. Mungkin dengan tindakan kita itu membuatkan orang percaya namun usah dilupa, ALLAH MAHA TELITI PENGHITUNGAN-NYA. 1000 orang yang view fitnah yang kita sebarkan. Hmm...

Apapun, Muthiah berharap PRU kali ini tidak sampai menjejaskan hubungan kekeluargaan dan persahabatan. 

Okey. Hari ini,  Muthiah tidak berhajat untuk berbicara tentang PRU. Masa suntuk untuk menulis panjang lebar.

Jadi, hendak tulis apa, ya? 

Muthiah pernah terbaca, "Lidah ini, lebih tajam dari mata pedang." Kalau dalam konteks sekarang, Muthiah kira boleh dimasukkan sekali, "Mata pena ini, lebih tajam dari mata pedang." Kita kan banyak berkomunikasi di Facebook, Tweeter, blog, WhatsApp, WeChat, Tango, Skype dll?

Maka...

Berbicaralah dengan baik dan elok-elok. Jangan sampai mengguris hati orang lain. Semak balik. Ingat semula. Apa yang kita cakap atau coretkan. Letakkan diri kita di tempat orang yang kita sedang berlawan bicara. Terasakah mereka apabila kita berkata sedemikian? Serius! Tengok semula. Muthiah pun sama. Kalau dah terbuat, istighfar. Tidak ada manusia yang sempurna namun janganlah kita ulangi.

Peringatan buat diri sendiri...

  • Kalau tidak mahu terguris (hati), hindari mengguris hati orang lain.
  • Kalau tidak mahu orang mengata dan mencela, hindari mengumpat dan mencela orang lain.
  • Kalau tidak mahu diserang (mulut, fizikal, mata pena), hindari menyerang orang lain dengan kata-kata kita yang menyakitkan jiwa.
  • Kalau kita tidak mahu orang bersangka-sangka, hindari syak wasangka.
  • ______________________________ (banyak lagi)
Sekadar cerita...

A berkata, "Hisy, pendeknya B."
Tersentap dengan kata-kata A, B pun membalas, "A pun pendek, tak sedar diri."
Kawan B, C menokok, "A dahlah pendek, hitam pula."
D datang lalu berkata, "Bukan setakat pendek dan hitam tetapi hodoh pula."
A pun walang hatinya....

Siapa yang harus dipersalahkan?
  • A? @ B? @ C? @ D?
  • Semua salah 
  • A memulakan.
  • B membalas. Sewajarnya B lebih sabar. Bercakap yang baik-baik. Jangan jadikan diri sama dengan A yang tidak berhalus dalam berkata-kata. ALLAH kan ada. Lagipun, tak baik menghina.
  • C dan D tumpang sekaki. Sewajarnya C dan D menjadi orang tengah yang menjernihkan keadaan.
Nota : Kisah adalah rekaan semata-mata.Jika baik, jadikan panduan. Jika sebaliknya, anggap sahaja cerita santai pada waktu pagi. 

Fikir dan renung...

Tidak ada manusia yang sempurna

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga hidup kita semua dirahmati ALLAH selalu. 

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Sesungguhnya, tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini yang sempurna. Kita tidak terkecuali. Jadi, belajarlah...

  • Menerima kelemahan orang lain sebagaimana kita mahu orang lain menerima kelemahan kita.
  • Dalam masa yang sama, rendahkan keegoan diri, belajar daripada orang lain yang lebih tahu daripada kita. Teringat kata ayah Muthiah satu ketika dahulu. "Kalau kita tidak tahu, kita berusaha untuk mencari jawapan kepada segala sesuatu yang kita tidak tahu itu, kita akan BODOH sekejap sahaja. Namun sekiranya kita tidak tahu, tidak mahu ambil tahu (dek rasa ego dalam diri; orang menerangkan, kita katup telinga rapat-rapat), kita akan BODOH selamanya." 
  • Jangan dilupa. Dalam pada kita tahu manusia itu tidak sempurna, tidak bermakna kita boleh berterusan melakukan kesalahan yang sama. Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan, insya-ALLAH kita akan selamat walau dicampak ke corok mana sekalipun.
  • Apabila sedar kita telah berbuat salah, cepatlah kembali kepada-NYA. Mohon ampun, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
  • Jadikan doa sebagai teman karib. Doa agar ALLAH tunjuki kita jalan yang benar... jalan yang dipilih oleh orang-orang benar... jalan yang tidak menyebabkan kita menjauh daripada ALLAH. 
Okey. Perkongsian ringkas hari ini. Moga dapat direnungkan bersama dengan HATI TERBUKA.

Coret petang...

Assalammualaikum...

Akhirnya, selesai kerja untuk hari ini. Alhamdulillah...

Coretan petang ini...



Lama tidak mempromosi buku sendiri. Bukan apa. Agak sibuk mengejar cita-cita sendiri. Doakan sukses tanpa mengabaikan hak ALLAH, suami, diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling ya.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan buku-buku Muthiah, boleh e-mel xpdcsolehah99@gmail.com. 

Promosi : Harga buku termasuk termasuk kos penghantaran.

Mencari Naurah RM17.00
Ayah, Amir nak masuk U! RM12.90
Ayah, Amir nak jadi doktor! RM12.90
Air Mata Siti Hajar RM22.00
Antologi Orang Berdosa RM14.00
Kawan Baru FB RM22.00
Powerpuff Girls Mama RM22.00


Pesta Buku Antarabangsa bakal berlangsung. Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke sana. Yeah!


Sudah semak daftar mengundi? Moga kita memilih parti yang mendatangkan kebaikan kepada semua orang. 
  • TOLAK KEZALIMAN.
  • TOLAK FITNAH.
  • TOLAK LUCAH.
  • TOLAK RASUAH.
  • TOLAK BUNUH.
  • TOLAK SALAHGUNA KUASA.
  • TOLAK KRONI.
  • TOLAK YANG TIDAK MEMARTABKAN AGAMA ISLAM.
Sekiranya Barisan Nasional dilihat mempunyai ciri-ciri di atas, jom pangkah BN. Namun sekiranya Pakatan Rakyat mempunyai ciri-ciri yang disebut, ayuh sokong PR.

Khusyuklah dalam solat. Mohon ALLAH tunjuk jalan yang diredhai-NYA.

Okey. Masa untuk masak. Moga akhlak kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Al-Fatihah

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Moga diri kita bertambah baik dari sehari ke sehari...
  • Jaga aurat - Semak balik. Adakah kita memelihara aurat kita? Muthiah... yuk!
  • Jaga lidah - Ada berkata sesuatu yang menyinggung hati sesiapa? Muthiah... hindarilah.
  • Jaga hati - Hindari syak wasangka, cemburu. Muthiah... yakin dengan apa yang ALLAH berikan, itulah yang terbaik untukmu.
  • Jaga pena - Ingatlah. Setiap kita akan dipertanggungjawab atas apa yang kita tulis. Muthiah... jadilah penulis yang mengajak orang lain kepada ALLAH. 
Insya-ALLAH, hidup ini demi menggapai redha ILAHI.

Okey. 

Surah al-Fatihah


Bilakah kita lazim membaca surah al-Fatihah?

  1. Sebelum memulakan majlis.
  2. Sebelum membaca doa.
  3. Dalam solat.
  4. ______________________
Tahukah kita terjemahan surah al-Fatihah?
  1. Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  2. Segala puji bagi ALLAH, TUHAN semesta alam.
  3. Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.
  4. Yang menguasai di Hari Pembalasan.
  5. Hanya ENGKAU-lah yang kami mengabdikan diri, dan hanya kepada ENGKAU-lah kami meminta pertolongan.
  6. Tunjukilah kami jalan yang lurus,
  7. (Iaitu) Jalan orang-orang yang telah ENGKAU beri nikmat kepada mereka; bukan (jalan) mereka yang dimurkai dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.
---
Muthiah teringat... waktu muda belia dahulu, seorang teman ada bertanya, "Apa yang anda lakukan apabila imam membaca Al-Fatihah dan surah (sewaktu solat berjemaah)?"

Ada yang jawab...
  • Ikut imam baca.
  • Tertidur.
  • Muthiah pula jawab, berdoa.
Macam mana tu? Sekadar perkongsian...

Sewaktu imam membaca surah al-Fatihah, kita terjemahkan ayat-ayat dari surah tersebut di dalam minda (automatik). Dalam pada itu, kita berbicaralah dengan ALLAH. Hmm... macam mana Muthiah hendak terangkan ya? Perkara ini abstrak. 

Jadi, apa yang boleh Muthiah sarankan. Jom. Paling kurang, kita tahu makna dari surah al-Fatihah.
---
Baru-baru ini, apabila Muthiah membaca terjemahan surah al-Fatihah... ketika sampai ayat yang ke 6 dan 7, terdetik di dalam hati...

Dalam solat... 

Kita berkali-kali mengungkapkan agar ALLAH tunjuki kita jalan yang lurus (6)... kita minta agar ALLAH tunjuki jalan orang yang telah ALLAH beri nikmat kepada mereka; bukan jalan orang yang sesat (7).

Renung kembali...

Kita solat 5 kali sehari (tidak termasuk solat sunat).
Dalam solat, kita menyebut perkara yang sama.

Entah. Terdetik. Apabila ALLAH makbul doa... kita pasti akan dilorong ke jalan yang ALLAH redhai. Jalan yang DIA tidak murkai. 

Terdetik lagi. 

Dahulu... Muthiah pernah terbaca/ terdengar kata-kata, "Solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkin." Maka, apabila solat tidak mampu memeliharanya daripada perbuatan berkenaan, maka semak balik solatnya.

Justeru...
  • Jom kita perbaiki solat.
  • Jom kita fahami maksud surah/ ayat dalam solat.
  • Jom kita perbanyakkan istighfar.
  • Jom jadi lebih baik.
Peringatan buat diri Muthiah khususnya.

Nota : Yang baik, jadikan panduan. Moga kita menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Mencari Naurah (Bab 87)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Sampai bila War hendak membujang?” Datin Kamariah bertanya suatu hari. Anuar hanya diam seribu bahasa. Fikirannya melayang jauh. Wajah Natasha tiba-tiba bermain di fikirannya. Semakin lama, wajah itu semakin hampir dan terus mendekat.

“Natasha...” ia menyebut nama gadis idamannya itu perlahan.

“Khairul Anuar!!! War sedar atau tidak bahawa Natasha sudah bersuami???”

“Anuar jangan main-main...” Datin Kamariah nampaknya betul-betul bengang.

“Anuar lebih tahu daripada Mama,” Datin Kamariah membulatkan matanya. Mana mungkin anak terunanya ini masih lagi tergila-gilakan Natasha. Bukankah ia sudah memiliki suami? Jadi, Anuar tidak boleh dibiarkan memasang angan-angan yang pasti akan mengecewakannya. Satu impian kosong yang bisa mungkin menjadi kenyataan.

Anuar tersenyum sendiri. Seolah-olah ibunya tidak berada di sisi. Ia memandang pasu bunga yang terletak di tepi akuarium. Kali ini, wajah putera puteri Natasha hadir bermain-main di fikirannya. ‘Hahaha... alangkah bagus bilamana bernikah dengan si janda beranak dua. Baru sahaja melafazkan akad, sudah ada penyeri hidup,’ Anuar berbisik sendiri.

“Anuar sayang,” Datin Kamariah memanggil nama Anuar lembut.

“Mama sayang, War. Mama sedih War jadi begini. Warlah satu-satunya anak teruna kesayangan Mama,” sebak Datin Kamariah mengucapkan ungkapan itu.

Ya, sejak Natasha bernikah dengan lelaki pilihan hatinya enam tahun sudah, Anuar terlalu banyak berubah. Ia tidak lagi ceria seperti dahulu. Perubahan ketara Anuar menyebabkan hati kecil Datin Kamariah terusik. Si mulut murai kini sudah tidak punya idea untuk berkata-kata. Ditanya sepatah, dijawab sepatah. Kadang-kadang, tidak menjawab langsung.

Salah siapa? Adakah mahu menuding jari kepada Natasha yang menolak cinta anak lelaki kesayangannya? Tidak! Natasha tidak bersalah. Cinta sama sekali tidak boleh dipaksa. Bibir mampu berdusta namun tidak hati. Siapakah yang mampu membeli hati seorang manusia?

Andaikata hati itu mampu dibeli dengan wang berjuta-juta, Datin Kamariah sanggup membeli hati milik Natasha. Kemudian, ia pasti akan mengarahkan hati tersebut untuk menyintai Anuar. Ia mahu hati itu bersatu dengan hati anak teruna yang dikasihinya. Datin Kamariah mahu kembalikan senyuman puteranya yang sudah begitu lama menghilangkan diri. Seolah-olah sudah merajuk untuk kembali.

Namun, tiada jual beli hati di dalam dunia... melainkan hati ayam, lembu. Bukan hati itu yang diingininya. Begitu unik hati ini. Kalau tidak, masakan disebut berulang-ulang di dalam Al-Quran.

“War masih cintakan Natasha, Mama,” perlahan-lahan Anuar bersuara. Anuar memandang Datin Kamariah meraih simpati. Ibu merupakan manusia yang paling dekat dengannya sementelah Dato’ Baharin begitu sibuk dengan urusan perniagaan. Hanya ibu yang menemaninya tatkala ia berduka. Ibu jua yang dapat menyelami hati lelakinya.

‘War cinta Asha,’ bisik hatinya. Air matanya menitik ke pipi. Sudah lama ia tidak mengalirkan air mata. Cinta ini sukar untuk diterjemah dengan kata-kata. Yang pasti, Anuar terlalu menyintai Natasha. Sejak dahulu hinggalah ke saat ini, ia masih sayang dan kasihkan gadis comel itu. Hatinya tidak pernah berubah. Cintanya buat Natasha tetap utuh. Dahulu, kini dan selamanya...

“Sayang, Natasha sekarang isteri orang,” tersekat-sekat Datin Kamariah bersuara. Matanya mula berkaca. Ia mahu anaknya kembali. Ia mahu Anuar menjadi seperti Anuar yang ia kenal dahulu. Anuar yang ceria, Anuar yang bersemangat waja. Bukan Anuar yang lemah hatinya. Lemah semangatnya.

Sudah berpuluh anak gadis diperkenalkan namun Anuar tetap membisu. Pelbagai alasan diberikan. Hendak kumpul hartalah, belum bersedialah, tidak berkenanlah. Ada sahaja yang tidak kena pada mata Anuar. Pening kepala Datin Kamariah dibuatnya. Apa lagi yang puteranya ini inginkan?

Itu, enam tahun lalu. Bukan sekadar enam tetapi lima, empat, tiga, dua dan satu tahun sudah. Anuar sering mengemukakan helah yang tidak masuk akal. Ikutkan kata hati, mahu sahaja ia memaksa Anuar memilih calon pilihannya tetapi naluri seorang ibu tidak sanggup berbuat demikian. Tidak sampai hati untuk mendera perasaan anaknya.

Hari ini, Anuar akhirnya berterus-terang. Datin Kamariah pasti! Anuar masih mahu membujang kerana hatinya telah mati dek cinta yang tidak kesampaian. Ia sendiri tidak dapat menyelami hati kecil Anuar meski sudah mengandungkannya selama sembilan bulan. Benar, hanya Allah SWT yang dapat menyelami hati-hati manusia...

‘Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat. Maka, ke manapun kamu menghadap, di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha Mengetahui...’

“Jangan macam ini, Sayang,” diam sejenak. Datin Kamariah mahu menyusun kata-kata yang paling halus buat anaknya. Ia tidak mahu Anuar semakin tertekan. Cukuplah penderitaan perasaan yang dialaminya. Anuar yang ia kenal seolah-olah telah bertukar jasad dengan orang lain. Si pengecut yang takut menghadapi kenyataan.

“Natasha memang gadis yang baik untuk dijadikan isteri, ibu kepada anak-anak. Namun, ketentuan Tuhan telah menetapkan bahawa jodohnya bukan dengan War. Mama pun suka Natasha. Mama pun berkenan jika Natasha dijadikan menantu rumah ini. Tetapi...” Datin Kamariah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Ia begitu pilu mengenangkan Anuar. Suaminya pula tidak pernah ambil peduli. ‘Inilah lelaki. Sering kali memandang enteng sesuatu perkara,’ bisik Datin Kamariah sendiri.

“Tetapi apa, Ma?” Anuar merenung tajam mamanya.

“Natasha sudah punya suami. Cuba War letakkan diri War di tempat suami Natasha. Sudah tentu War akan kecewa...”

“War jangan jadi macam Mama,” ujar Datin Kamariah perlahan.

Anuar yang tadinya berbaring segera duduk, “Jangan jadi macam Mama?”

“Jom teman Mama jogging. Sudah lama tidak mengeluarkan peluh,” Datin Kamariah cepat-cepat berdalih. Ia mahu melupakan kisah itu. Biarlah kenangan pahit tersebut berlalu pergi. Nyahlah dalam kehidupan ini. Meskipun ia menangis air mata darah sekalipun, tetap tidak dapat menebus dosa yang pernah dilakukannya. Nasi sudah menjadi bubur. Ya! Kesilapan lalu yang banyak menyedarkannya.

‘Hidup ini bukanlah untuk kepentingan sendiri,’ Datin Kamariah merenung jauh.

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Berminat? Boleh e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com. RM17 termasuk kos pos.

Mencari Naurah (Bab 86)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Asha kerja mana sekarang?” soal Anuar sungguh-sungguh.

“Buat akaun di syarikat Dato’ Ghazali,” aku menjawab bersahaja.

“Ooo... syarikat ayah arwah, bukan?” dahinya berkerut.

“Ya...” balasku ringkas.

“Saya pun tidak tahu perihal musibah yang menimpa arwah,” berhati-hati Anuar mengeluarkan butir katanya. Aku hanya diam.

“Maknanya, Asyraf meninggal dunia sebelum Maria dan Iskandar dilahirkan?” Ia masih mahu bertanya. ‘Anuar tetap Anuar,’ desis hatiku.

“Ya,” jawabku pendek. Aku terus menggaul nasi buat Iskandar dengan ikan yang telah kuhancurkan.

“Kasihan anak-anak. Tidak sempat mengenali...” kata-kata Anuar terhenti di situ.

“Maafkan, saya,” wajahnya berubah. Berasa serba salah agaknya.

“Sampai bila hendak menjanda?” Anuar sememangnya Anuar. Dari alam kampus sehinggalah aku sudah bergelar isteri dan sekarang menjadi janda, lelaki ini acap kali menyoalku dengan soalan cepuk emas yang bisa membikin jiwa meronta-ronta.

“Tidak fikir langsung tentang kahwin,” aku berterus-terang. Tidak mahu berselindung dengannya. 

“Lagipun, siapalah yang hendak kahwin dengan janda beranak dua ini?” Ya, lelaki  teruna mana yang mahukan isteri yang pernah bernikah sebelumnya?

“Saya mahu,” suara Anuar dengar tidak dengar. Cukup perlahan.

“Apa?” Mataku yang sedia sepet membulat. Tidak cukup jelas butir bicaranya.

“Tidak ada apa-apa,” balas Anuar sambil tersenyum nakal.

“Insya-Allah. Ada jodoh adalah,” tambahnya lagi.

“Insya-Allah,” ujarku pendek. Aku sudah letih sebenarnya...

“Kasihan anak-anak. Tidak dapat merasai belaian kasih seorang bapa,” Anuar berbasa-basi. Masih tidak habis-habis lagi lelaki ini...

“Lama-kelamaan, mereka akan dapat biasakan diri,” sanggahku menyedapkan hati sendiri. Aku sebenarnya mengakui kebenaran kata-kata lelaki ini.

“Umi!!!” jerit Maria.

“Maria lupa baca doa makan,” anak gadisku nampak pucat. Matanya semakin mengecil seperti hendak menangis.

‘Lor, makanan sudah hendak habis baru teringatkan doa yang belum dibaca,’ aku merungut sendiri. Salahku juga. Tidak prihatin terhadap tindakan mereka. Bukan mudah menjadi ibu sebenarnya.

“Bismillahi awalu waakhiru,” Anuar berkata perlahan.

“Betul, betul, betul...” sampuk Iskandar.

“Umi sudah ajar,” tambahnya lagi sambil tersenyum menampakkan giginya yang rongak.

“Awak pula macam mana? Sudah lanjut usia, Pak,” aku bertanya sambil tersenyum penuh makna. Anuar hanya membatu. Ia nampaknya begitu ralit memerhatikan gelagat anak-anakku yang sedang bertungkus-lumus mengasingkan nasi yang sudah digaul dengan sayur. Bertuah punya anak.

“Tengok. Sudah boleh bawa anak buah jalan-jalan lagi,” aku memandang tepat anak matanya.

“Tidak lama lagi, jadi suami serta punya anak sendiri pula. Insya-Allah,” sambungku lagi.

“Umur seorang lelaki bermula pada usia empat puluh tahun,” Anuar tiba-tiba bersuara.  

Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Ia masih tampan seperti dahulu dan perangai kebudak-budakannya masih lagi tidak berubah.

“Awak, baik cari pengganti cepat. Anak-anak perlukan belaian kasih seorang bapa,” lelaki ini begitu bijak mengubah topik perbualan. Argh... dahulu, kini dan selamanya. Selalu sahaja aku kalah kepadanya.

“Lebih baik sebelum mereka memasuki alam sekolah,” Anuar kemudiannya menyambung dalam nada yang lebih serius.

“Zaman sekarang, tidak macam dahulu,” ujarku perlahan.

“Janda ini terlalu jahat. Janda itu terlalu hina pada kaca mata orang sekeliling...”

“Para isteri pula menganggap mereka sebagai perampas ...”

“Takut suami mereka dirampas oleh golongan janda...”

“Dengan kata lain, semua orang takutkan si janda. Bahkan, ketakutan mereka melebihi rasa takut kepada Tuhan,” aku menambah.

“Tidak macam zaman dahulu. Sayidatina Khadijah adalah seorang janda yang berhati mulia, telah dijanjikan syurga oleh Allah. Berkahwin pula dengan Nabi SAW, penghulu segala Nabi di atas muka bumi. Hafsah pun seorang janda sebelum menjadi isteri Nabi. Siapa lagi?” soalku.

Tanpa menunggu jawapan daripada Anuar, aku menyambung, “Tengok sahaja Ummu Sulaim yang maharnya begitu mahal di sisi Tuhan. Ia juga merupakan seorang janda sebelum bernikah dengan Abu Thalhah.”

“Bijak ustazah berbicara,” sampuknya sambil ketawa perlahan.

“Umi...” rengek Maria. Aku melihat jam di lengan. Oh, ya. Sudah hampir sampai waktu tidurnya.

“Anuar, maafkan saya. Saya kira perlu beransur dahulu. Insya-Allah, ada rezeki kita jumpa lagi,” kataku sambil mendukung Maria.

“Saya faham. Insya-Allah, ada jodoh kita jumpa lagi,” balas Anuar sambil tersenyum.
“Arisya. Jom balik,” ia memimpin tangan anak buahnya erat.

Aku pun membawa Iskandar dan Maria menuju ke tempat memarkir kereta.

‘Abang, Asha rindukan Abang,’ aku berkata sendiri. Ya, tiba-tiba rasa rinduku terhadap arwah suami menyelubungi hatiku. Ia pergi meninggalkanku dan pasti tidak akan kembali...

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Berminat? Boleh e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com. RM17 termasuk kos pos.