Mencari Naurah (Bab 41)

Novel | Mencari Naurah




‘BUAT apa budak ini ikut sekali?’ bisik hati Asyraf bila ternampak Amalin turut serta dalam pertemuan pertama antara mamanya dengan Natasha.

“Mama sengaja bawa Amalin. Hendak berkenalan dengan budak kampung yang berjaya mencuri hati anak mama ni,” kata Datin Khatty seolah-olah tahu apa yang tersirat di dalam hati Asyraf.

“Mama, kita tidak jadi pergi pejabat Natasha. Minggu lepas, dia buat kerja luar... ada projek besar katanya. Jadi, dia ambil cuti hari ini. Kita pergi ke rumahnya teruslah,” ujar Asyraf. 
Matanya tercari-cari rumah Natasha. Oh, ya. Lebih baik hantar SMS dahulu.

Assalammualaikum. Asha, dalam sepuluh minit saya dan ibu sampai...

Mengikut alamat yang diberi, rumahnya terletak berhampiran dengan Lembaga Tabung Haji, Kelana Jaya.

“Awak tidak bekerja hari ini?” serius Asyraf bertanya.

“Awak soal sayakah?” Tengku Amalin segera mencabut earphone yang dipakainya.
“Siapa lagi di sini yang bekerja selain daripada awak dan saya?” Asyraf meninggikan intonasinya.

“Ya, ya. Saya ambil cuti hari ini. Mahu temankan Aunty Khatty,” sengaja Amalin menghaluskan suaranya.

“Hmm... tidak jadi masalahkah selalu cuti? Bukankah minggu lepas pun awak bercuti sakan?” Asyraf menyoal lagi. Tidak selesa sebenarnya dengan kehadiran Tengku Amalin dalam pertemuan pertama ini.

“Tidak perlu bimbang...” Tengku Amalin diam sejenak. “Papa ada,” jawabnya ringkas tetapi penuh makna.

Asyraf hanya menggeleng. Entahlah...

ALAMAK! Asyraf dan ibunya sudah hampir sampai. Aku semakin gelabah. Apa yang harus aku lakukan? Apapun, bersiap-siap dahulu. Mesti mukaku nampak comot dan berbau bawang. ‘Sediakan makanan ringan buat bakal mertua,’ desisku nakal.

Selesai sahaja aku bersiap, kedengaran suara salam dari muka pintu.

“Assalammualaikum,” ucap Asyraf dari muka pintu.



Seorang wanita dengan baju kuning berkilauan pula begitu asyik memerhatikan persekitaran rumah. Mama Asyraf agaknya. Siapa pula gadis seksi yang sedang berjalan di sampingnya? Hmm... setahu aku, Asyraf anak tunggal. ‘Mungkin kaum kerabat Asyraf,’ aku berkira-kira sendiri.

“Waalaikumussalam. Masuklah,” pelawaku sambil tersenyum. Aku hanya memandang wanita yang aku kira ibunda kepada Asyraf. Tidak berani bertembung mata dengan lelaki yang kelihatannya semakin kacak itu.

“Datin Khatty! Kenalkan, Tengku Amalin binti Dato’ Hassan,” kata Datin Khatty tegas.
“Ya, datin. Masuklah dahulu. Panas di luar. Tengku Amalin, silakan. Jom kita minum air sejuk dahulu,” aku menjemput dengan mesra.

“Rumah awak tidak ada penghawa dingin ke?” tanya Tengku Amalin tiba-tiba. Tidak tahu adab bertamu mungkin.

“Biasalah rumah bujang. Guna kipas sahaja. Nanti saya kuatkan kipas. Nombor empat, boleh?” ujarku lembut. ‘Petanda negatif,’ aku berbisik sendiri.

“Asyraf, minum air dahulu. Makanan atas meja ini untuk kami ke?” Datin Khatty memandang anak terunanya yang diam seribu bahasa.

“Insya-ALLAH. Tidak tahulah sedap atau tidak,” aku merendah diri. Jantungku berdegup kencang.

“Di rumah saya, bibik yang buat semua kerja,” Tengku Amalin menyampuk sambil ketawa kecil.

Mukaku berubah kemerahan. Bibik???

“Asyraf, makan dahulu. Kemudian, tinggalkan kami bertiga... Kami hendak berbincang perihal orang perempuan,” pinta Datin Khatty lembut.

“Tetapi...” wajah Asyraf menggambarkan kerisauannya meninggalkan mamanya di sini.

“Jangan risau. Mama tidak akan makan dia. Bukankah mee goreng sudah ada?” Datin Khatty meyakinkan.

“Okey,” Asyraf segera menceduk mee goreng yang disediakan. Dia tidak berselera tetapi tetap mahu merasa air tangan bakal isterinya, mungkin. Dan... saringan lulus!

“TENGKU Amalin dahulunya belajar di luar negara. Sekarang, bekerja di PWC. Jawatan apa, Lin?” Datin Khatty memulakan bicara setelah Asyraf hilang dari pandangan.

“Juruaudit...” jawab Amalin acuh tidak acuh. Dia lebih memberi tumpuan terhadap mee goreng yang disediakan. “Baru sangat,” tambahnya lagi. Berselera betul dia makan.
Aku hanya mendiamkan diri.

“Awak tahu kenapa saya datang?” Datin Khatty merenung tajam anak mataku. “Awak dapat agak kenapa saya sanggup menjejakkan kaki ke teratak buruk awak ini?” Kali ini, suaranya dikeraskan.

“Tidak tahu, datin,” jawabku perlahan sambil menundukkan kepala. Takut memandang mata Datin Khatty yang membulat, seolah-olah mahu menerkamku.

“Baiklah, Natasha.  Saya tidak mahu bercakap panjang. Sebenarnya, Asyraf hendak berkahwin dengan awak. Walaupun demikian, saya tidak bersetuju dan akan tetap tidak bersetuju! Awak tengok sendiri, saya sudah punya calon yang paling sesuai untuk Asyraf dan cocok dengan kedudukan keluarga kami. Inilah dia... calon pilihan saya, Tengku Amalin...” Datin Khatty diam sejenak. “Tetapi, saya pun tidak tahu kenapa Asyraf boleh menolak. Dia berkeras tidak mahu menikahi Alin. Entahlah,” sambung Datin Khatty.

“Natasha, ada mee lagi?” Amalin bertanya.

“Maaf, datin. Saya nak ambilkan mee untuk Tengku Amalin sebentar,” pintaku. Segera aku ke dapur. Masih ada sedikit mee goreng yang aku simpan untuk Azmar. ‘Tidak apalah. Nanti masak lain,’ kata hatiku.

“Natasha, awak masak sedap. Apa kata awak berhenti kerja dan bekerja sebagai orang gaji di rumah saya. Tentang upah, awak jangan risau... saya boleh bayar lebih tinggi daripada gaji awak sekarang.” Tengku Amalin memandangku sekilas. Kemudian, meneruskan suapannya. Agak gelojoh dia makan. Hmm... entah dia bergurau atau mempunyai niat lain. Kata-katanya tidak berlapik, menggambarkan dia tidak matang dalam berbicara.

“Awak kerja apa? Di mana?” Amalin bertanya tanpa memandang wajahku.

“Sama tempat dengan Tengku Amalin tetapi bukan pegawai audit. Saya buat kerja sumber manusia,” ujarku perlahan. Perasaan rendah diri menjalar ke seluruh urat sarafku. Tidak tahu kenapa aku berasa begitu kerdil di hadapannya walhal ia bukanlah siapa-siapa. Tengku Amalin hanyalah anak kepada seorang dato’... ‘Sekadar anak dato’!’ aku membujuk hati.

Amalin kuperhati atas bawah. Cantik dan gebu. Juga seksi! Bisa menitik air liur sang jejaka yang memandang. Boleh sahaja menggugat iman mereka yang kurang amalannya. Alis matanya lentik dan cara dia berpakaian juga menggambarkan cita rasanya yang begitu tinggi. Cita rasa golongan elit yang dibesarkan dalam suasana yang elit. Akan tetapi, di sebalik kemodenan itu aku dapat mengagak sebab Asyraf menolaknya.

“Saya tidak mahu ugut awak tetapi saya tidak pernah tidak dapat apa yang saya mahukan. Saya mahu awak jauhkan diri daripada Asyraf. Saya yakin, jika awak menolaknya... dia pasti tidak dapat berbuat apa-apa dan akhirnya akan berputus asa. Yang penting, awak tidak boleh langsung berhubung dengannya. Tidak boleh sama sekali!” Amaran keras Datin Khatty ini betul-betul mengejutkanku. Dia diam sebentar. “Kalau awak mahu duit, saya boleh beri. Cuba awak cermin diri awak, Natasha. Saya tidak sanggup dan tidak bersedia untuk mendengar cakap-cakap orang...

Mereka akan kata, menantu Datin Khatty orang kampung, kolot dan ketinggalan zaman. Saya pasti rasa terhina dan puncanya adalah disebabkan oleh keegoan dan keangkuhan awak... Awak tahu awak tidak layak. Umpama langit dengan bumi tetapi awak tetap mahu mencuba nasib. Tidak sama, Natasha. Kehidupan orang kaya dengan orang miskin ada jurang pemisahnya.” Dia menambah.

“Cuba awak bandingkan diri awak dengan Tengku Amalin. Ayahnya dato’ tetapi ayah awak... maksud saya ibu awak sekadar bekerja kampung. Cuba awak fikir secara waras, wajarkah saya, seorang datin mempunyai besan yang kerjanya menjual nasi dan kuih-muih?” Tidak henti-henti dia berbicara.

Aku hanya diam. Tidak tahu apa yang harus aku katakan. Pilu mendengar luahan hatinya. Aku tidak kisah andai dia menghinaku tetapi bila dia mengaitkan ayahku yang sudah meninggal dunia serta makku yang membanting tulang untuk membesarkan kami sekeluarga, hatiku menjadi begitu tersentuh. Terasa air mataku mahu gugur ke bumi tetapi tetap kutahan.
“Assalammualaikum,” kedengaran satu suara dari muka pintu.

“Waalaikumussalam,” jawabku perlahan. Mujur Asyraf datang. Tidak sanggup mendengar ucapan pedas Datin Khatty lagi. ‘Terima kasih, TUHAN,” bisik hati kecilku. Dia tahu aku tidak mampu menghadapinya.

“Boleh saya masuk?”

“Masuklah. Mama dan bakal isteri Asyraf sudah menanti,” kata Datin Khatty sambil menepuk-nepuk belakang Tengku Amalin.

Gadis itu tersenyum dan segera mendapatkan Asyraf di muka pintu.
‘Apa hal?’ bentak hati Asyraf.

“Baiklah, Natasha. Awak fikirkanlah apa yang kita bincangkan tadi. Fikir dan cuba sedar diri!” Datin Khatty berbisik pada telingaku. Sengaja ditekan perkataan sedar diri itu. Ya! Datin Khatty mahu aku sedar bahawa diriku sama sekali tidak layak untuk digandingkan dengan anak terunanya, Asyraf.

“Natasha, terima kasih atas layanan baik awak. Mee goreng yang awak masak  betul-betul menyelerakan. Erk...” Tampak hodoh Tengku Amalin bersendawa kuat begitu. “Lain kali, bolehlah awak masakkan untuk saya. Mana tahu, tawaran saya itu awak terima,” ujarnya sambil tersenyum sinis.

Aku hanya diam.

“Jadi bibik Amalin dengan Asyraf,” sambung Datin Khatty. Walaupun nadanya seakan-akan berseloroh, ada makna yang mendalam di sebalik bicaranya.

Asyraf yang baru memasuki rumah Natasha tercengang. ‘Apa yang telah mereka bualkan?’ Dia tertanya-tanya sendiri.

“Insya-ALLAH, lain kali saya bungkuskan untuk Tengku Amalin,” balasku lembut. Bukankah akhlak yang buruk itu perlu dineutralkan dengan tingkahlaku terpuji? Aku tersenyum memandang Datin Khatty.

“Selamat tinggal, Natasha,” lambai Tengku Amalin persis seorang anak kecil melambai tangan buat ibunya.

“Assalammualaikum.” Aku cuba memaniskan wajah dengan senyum mesra.
“Waalaikumussalam.” Hanya Asyraf yang menjawab.

Mereka pun sama-sama berjalan ke tempat Asyraf memarkir keretanya.

Setelah kereta Honda City Asyraf hilang dari pandangan, aku segera masuk ke dalam rumah dan menguncikan diriku di dalam kamar. Aku memandang siling tanpa berkelip. Wajah Datin Khatty serta calon menantu pilihan mama Asyraf itu hadir bersilih ganti. Entah bila aku terlelap, aku sendiri tidak pasti. Air mataku mengalir tanpa henti. Entah apa yang mendukacitakan, aku sendiri tidak tahu jawabnya.

~bersambung~

0 Responses