Showing posts with label Travelog. Show all posts
Showing posts with label Travelog. Show all posts

Chow Kit - Bukit Nanas - Dang Wangi - KLCC

Assalammualaikum. Akhirnya...

Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Selamat sampai di Ipoh sekitar jam 1.25 pagi semalam. Dari hari Isnin sampai Khamis, Muthiah menemani suami (padahal tidak mahu duduk sendirian di rumah) yang perlu menghadiri mesyuarat/ kursus/ majlis anugerah di Putrajaya. 

17/12/2012

Kami bertolak dari Ipoh sesudah menunaikan solat Maghrib. Namun sebelum itu, kami makan malam di Restoran Maxwell (dekat dengan pejabat Kastam Diraja Malaysia, Ipoh). Cakap pasal Restoran Maxwell... tempat makan ini merupakan salah satu lokasi menjamu selera kegemaran kami kerana :

1- Harganya berpatutan.
2- Nasinya banyak (terutama makanan bergoreng).
3- Rasa pula - bolehlah.

Kami sampai Putrajaya sekitar jam 12.30 pagi. 

18/12/2012


Tidak ada aktiviti menarik (untuk Muthiah) hari ini memandangkan suami terlibat dengan kursus/ taklimat/ mesyuarat AKRAB. Pada malamnya pula, suami perlu menghadiri Majlis Makan Malam dan Anugerah (tidak pasti nama khusus untuk anugerah berkenaan), Muthiah ke Kuala Lumpur International Hotel dahulu dengan teman sekerja suami.

Tahniah kepada suami serta warga kerja JKDM Perak. Untuk Anugerah Stor, Stor Ipoh telah mendapat tempat kedua (ada lagi anugerah lain tetapi Muthiah hanya tahu anugerah yang suami dapat). I'm happy for you, Abe.

Hmm...

Oleh sebab suami tidak ada,  Muthiah pun makan sorang-sorang; nasi lemak dibeli dari kedai berhampiran (Harga termasuk air teh o ais sebanyak RM4.50). Rezeki Muthiah, nasi lemak yang dimakan hampir basi. Terdapat pula unsur-unsur malas dalam diri, Muthiah tekad untuk berlapar sahaja (tidak mahu cari nasi lain). Hahaha... Alhamdulillah, suami balik bukan dengan tangan kosong. Ada KFC. Yeah!

19/12/2012

Hari yang dinanti dan ditunggu pun tiba. Suami balik awal. Ikut hati, Muthiah tidak mahu ke mana-mana pada malamnya. Iyalah. Muthiah sekarang tengah layan cerita di TV9 jam 8.30 malam. Akan tetapi suami ajak keluar juga. Oleh sebab yang mengajak itu adalah En. Suami, Muthiah pun menurut sahaja.

Perjalanan pun bermula...

Kami keluar dari hotel dalam jam 8.00 malam. Oleh sebab perut sudah berkeroncong minta diisi, kami memutuskan untuk makan di restoran di belakang KL International Hotel. Agak lama menunggu... 

AKAN TETAPI!

Sate yang dijual dekat kedai makan ini sangat sedap... amat sedap... oh, sedap. Harga sate ayam dan daging, masing-masing ialah RM0.80 dan RM1.00 sebatang. Cubalah, insya-ALLAH puas hati.

Selesai sudah...

Perjalanan yang lebih mencabar pun bermula...

Suami ajak pergi jalan-jalan dekat KLCC. Jadi, kami pun berjalan kaki dari hotel ke Stesen Monorel Chow Kit. Oh, ya. Kami memilih untuk menaiki pengangkutan awam kerana khuatir tidak ada tempat parkir kereta apabila balik nanti.

Jalan... jalan... jalan...

Akhirnya sampai ke Stesen Monorel Chow Kit, Alhamdulillah.


Untuk ke KLCC, kami perlu bertukar tren. Mula-mula, naik monorel. Kemudian, naik LRT Putra pula. Maka, kami pun membeli tiket monorel ke Stesen Bukit Nanas (sebab ada pertukaran tren LRT Putra dekat sana). Harga token ialah RM1.20 setiap seorang. Awalnya, suami minta kami beli terus token balik dari Bukit Nanas ke Chow Kit. Dalam hati, Muthiah tidak bersetuju. Manalah tahu, tidak sempat namun Muthiah tidak pula Muthiah bertegas dengan pendapat Muthiah.

Chow Kit --> Medan Tunku --> Bukit Nanas

Alhamdulillah, sampai. Kami kemudiannya berjalan kaki ke LRT Putra Dang Wangi. Dalam 5 minit kot. Suasana di sini agak sepi dan sunyi. Tidak banyak orang dan jarang nampak kereta lalu lalang. Maka, suami pun berkata, "Balik nanti, kita ke KL Sentral. Ambil monorel dari sana."

Muthiah hanya mengangguk seraya membalas, "Itulah. Kan dah cakap. Tak payah beli token lagi." 

Sampai di Stesen LRT Dang Wangi, kami dilayan mesra oleh petugas di kaunter. Terasa diri bagai pelancong dari luar Malaysia pula...

"Kami dah tersalah beli token. Boleh guna tak ke KLCC?" soal Muthiah.

Dalam senyum manis, petugas di kaunter berkenaan menjawab, "Kami tak beri refund tetapi nanti saya cuba tolong."

Agak lama kami di sana. Dipendekkan cerita, petugas di kaunter berkenaan membantu kami dengan menghubungi rakannya di kaunter Stesen LRT Putra KLCC. Jadi, apabila sampai di sana, Muthiah hanya perlu menambah sebanyak RM0.20 sahaja. Untuk pengetahuan semua, tambang token dari Dang Wangi ke KLCC ialah sebanyak RM1.30 untuk satu token.

Dang Wangi --> Kampung Baru --> KLCC

Sebaik sahaja sampai KLCC, jam sudah menghampiri pukul 11.00 malam. Muthiah bertanya kepada petugas di sana, "Kalau kami nak balik Chow Kit naik monorel dari KL Sentral, pukul berapa kami kena naik tren di sini?"

Petugas tersebut menjawab, "Lagi dekat turun dekat Bukit Nanas..." 

"Rasanya, baik naik jam 11.00. Tren terakhir pukul 11.45 tetapi kalau dari sini, dalam jam 11.30," beliau menambah lagi.

Muthiah terkedu. Cepat-cepat mendapatkan suami lalu berkata, "Be, jom balik. Dah pukul 11.00."

Suami hanya tersenyum. Ehe... inilah catatan perjalanan hebat kami pada hari ini. Juga... dating paling bermakna buat kami. Sangat mencabar.

Oh, ya. Sebelum terlupa. Suami sempat berkata, "Kan Abe kata beli token terus ke Chow Kit."

20/12/2012

Kami bertolak ke Ipoh setelah selesai makan malam di Restoran D'Dusun, Pinggiran Putra. Restoran ini juga merupakan salah satu tempat makan kegemaran kami kerana :

1- Harganya boleh tahu.
2- Rasanya okeylah.

Moga dapatlah serba sedikit maklumat daripada perkongsian Muthiah petang ini.

Muthiah : Terima kasih kepada petugas di kaunter Monorel Bukit Nanas dan LRT Putra KLCC. Moga ALLAH memurahkan rezeki dan mengurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Ipoh - Putrajaya - Terengganu - Ipoh


Assalammualaikum. Akhirnya... setelah dekat seminggu bercuti di kampung, Muthiah akhirnya kembali ke rumah. Penat berperjalanan tetapi seronok. Dalam masa yang sama, banyak kerja (penulisan) yang ketinggalan. Inilah pilihan Muthiah **... maka, Muthiah perlu berusaha lebih gigih selepas ini. Caiyok!

** Apabila memilih untuk balik kampung, usahlah mengeluh atau merungut apabila kerja tidak siap. Begitu juga hendaknya apabila memilih untuk tidak bekerja, blablabla.. Kesimpulannya, redha dengan ketentuan ALLAH untuk diri kita.Okey, diri! Ingat tu :)

Hmm...

Hajat di hati, hendak sambung kerja mengedit MJB tetapi banyak perkara yang perlu disetelkan. Iyalah. Agak lama meninggalkan rumah. Bak kata suami, "Kalau dahulu, jika dapur tak berasap maknanya tak ada pitih. Sekarang, dapur tak berasap bererti tidak ada bini." Hahaha...

Okey. Hari ini, Muthiah ingin berkongsi pengalaman perjalanan Muthiah dari Ipoh... sampailah ke kampung, Sungai Tong kemudian sampai ke Ipoh semula. Manalah tahu. Boleh dibuat rujukan jika ada yang mahu berperjalanan.

5 Disember 2012



Suami ada miting di Putrajaya. Mengikut perancangan asal, suami ingin balik bersama-sama. Namun tup-tup, ada miting lagi pada 6 dan 7 Disember. Oleh sebab sudah lama Muthiah tidak pulang ke kampung, suami pun izinkan. Yahu!

"Terima kasih, Abe." 

Muthiah memang rindukan papa, mama, juga adik-adik Muthiah. 

Perjalanan pun bermula... 

Muthiah mengikut suami ke Putrajaya. Seawal jam 5.30 pagi, kami sudah bersiap sedia untuk bertolak dengan kenderaan jabatan. Sebaik sahaja sampai di Putrajaya, suami menghantar Muthiah ke rumah pak cik Muthiah. 

9.00 malam... Muthiah naik bas Konsortium E-Mutiara. Tambang bas pula sebanyak RM49.50. Destinasi terakhir bas ini ialah Bandar Permaisuri. Muthiah turun di Kampung Sungai Tong. Ada peristiwa menarik di sini...

Dalam jam 5.30 pagi, 6 Disember 2012... mama Muthiah menghantar sistem kiriman ringkas...

Kakak ada di mana?

Muthiah kemudiannya menjawab penuh yakin...

Dah lepas Batu 6.

Maknanya, jauh lagi. Muthiah kemudiannya mengintai ke luar jendela bas. Huh! Banyak sungguh bendera satu parti politik dikibarkan. Muthiah mencebik. Entah. Tidak suka tengok. 

Kata Muthiah dalam hati, "Hisy, kampung siapalah yang semangat benar ni..."

Namun!

Dengan tidak semena-mena, Muthiah terperasan akan sesuatu. Muthiah kenal dengan rumah itu, dekat dengan kubur arwah mama. Muthiah segera berdiri...

"Alamak! Kampung aku..."

Pengajaran yang boleh diambil :    __________________________ (Fikirlah sendiri).

Sebelum Muthiah terlupa, di Putrajaya Sentral, Muthiah dipesan beberapa kali oleh pak cik Muthiah dan pak cik teksi.. 

"Pastikan cari bas sebab tak ada pengumuman.".... 
"Banyak dah orang yang kena tinggal bas." 

Jadi, sesiapa yang naik bas ekspres di Putrajaya Sentral, kena peka dengan kehadiran bas. Ingat! 

Anda mencari bas, bukan bas yang mencari anda.

Mungkin pihak Putrajaya Sentral boleh lakukan sesuatu untuk menyenangkan para penumpang yang hendak naik bas ekspres.

Satu lagi info tambahan, tambang teksi dari Presint 5 (dekat PICC) ke Putrajaya Sentral ialah RM14.00. Pak cik Muthiah cakap RM13.00 sahaja. Tidak apalah. Rezeki pak cik tersebut. 

6 Disember 2012



Alhamdulillah. Hari ini, sepupu Muthiah, Ala telah sah menjadi isteri buat Azwan. Muthiah tidak dapat hadiri majlis sebab perlu menjaga adik-adik di rumah. Tidak apa....

7 Disember 2012

Muthiah dan keluarga ke Jertih sesudah solat Zohor. Kami bermalam di Hotel Impian, letaknya tidak jauh dari Stesen Petronas Jertih. Maaf. Muthiah lupa untuk mencatat kadar bayaran bilik untuk semalaman. Biliknya tidak besar mana... tidak ada Astro juga tetapi okeylah. 

8 Disember 2012

Jeng jeng jeng...



Majlis yang dinanti dan ditunggu akhirnya tiba. Tahniah kepada pasangan pengantin. Semoga berbahagia sampai ke syurga, Ala dan Azwan.

9 Disember 2012

Muthiah balik Ipoh naik Bas Ekspres Kesatuan dari MBKT. Sebenarnya, ada bas (katanya, bas SP Bumi) ke Ipoh dari Bandar Permaisuri (lokasinya lebih dekat dengan rumah Muthiah) tetapi tiket habis terjual. Jadi, hendak tidak hendak, terpaksa naik di Bandar Kuala Terengganu. Tempoh perjalanan dari rumah Muthiah ke Kuala Terengganu lebih kurang 45 minit. 

Info Bas Ekspres Kesatuan

Pejabat KL : No. 58 Jalan Pudu, 55100 Kuala Lumpur
Kaunter : 29; Tel : 03-20786642/ 016-5217774
Ipoh (Tel) : 05-3188750, 016-5217773

Peringatan : Pendingin hawa bas ini sangatlah sejuk. Pastikan bawa baju sejuk. Tidak cukup! Kena bawa toto. Bas ini berhenti selama setengah jam di D'Cherating.

Oleh sebab bas ke Ipoh ikut Gerik sudah penuh, Muthiah pun naik bas ke Ipoh melalui Kuantan. Tambang bas Kesatuan ini ialah RM57.20. Destinasi yang bas ini pergi ialah Kuantan, Tanjung Malim, Bidor, Tapah, Kampar, Gopeng, Ipoh dan Sri Iskandar.

Muthiah sampai rumah pada jam 6.30 pagi di Medan Gopeng. Alhamdulillah. Hore....

Muthiah : Sayang pada mereka yang menyayangi. 

Ipoh - KL - Kelantan - Gerik - Ipoh

Assalammualaikum. Akhirnya....

Akhirnya, Muthiah masuk pejabat semula. Perancangan awal, bulan ini mahu all out bekerja. Mengedit manuskrip tanpa henti sebab target hendak menyudahkannya pada penghujung bulan ini. Paling lewat, mahu diberesi pada pertengahan bulan Disember. Namun...

ALLAH adalah sebaik-baik Perancang.

Muthiah bercuti dari hari Jumaat sampai Ahad. Seronok, bukan?

Ipoh - Dengkil

16 November 2012

Muthiah mengikut suami ke Dengkil (atas urusan kerja suami). Kami bertolak dari Ipoh sebelum pukul 1.00 petang. Apabila masuk waktu Zohor, kami berehat di Tapah. Muthiah kelaparan. Maka, makan tengah hari dahulu.

Doa selepas dan sebelum makan. 

Hukhuk...

Telah berlaku sesuatu di Tapah! Semasa Muthiah bergegas balik ke van (setelah selesai makan tengah hari), Muthiah terjatuh di atas jalan menyebabkan lutut berdarah dan membengkak. Sakit. Hendak menangis tetapi cuba bertahan. Maklumlah. Suami sedang bekerja. Tidak mahu beliau pening dan risau pula. Apapun, moga kesakitan itu menjadi penghapus dosa-dosa Muthiah, insya-ALLAH.

4.05 petang : Alhamdulillah. Kami selamat sampai Dengkil.

Kuala Lumpur - Pasir Mas

Pada sebelah malam, Muthiah, suami dan adik ipar pun bergegas ke Perhentian Bas Putra yang terletak di persimpangan Jalan Putra dan Jalan Tun Ismail. Oh ya. Kami sebenarnya dalam perjalanan balik ke Pasir Mas (rumah mertua). Ada majlis kesyukuran sempena perkahwinan sepupu suami pada Sabtunya.

Lokasi Stesen Bas Putra.

9.30 malam : Alhamdulillah. Kami sampai di Perhentian Bas Putra sebelum masanya. Cuak juga sebab bas akan bertolak pada jam 10.00 malam. Takut kena tinggal.

Bas inilah yang Muthiah naik.

10.00 malam : Bas bertolak agak lewat. Dalam 10.15 agaknya. Komen tentang bas Express Sani; bas ini agak selesa. Tidak terlalu sejuk atau panas. Muthiah dan suami duduk sebelah menyebelah di tingkat atas bas, manakala adik ipar pula duduk di kerusi sendirian (single) di belakang. Maka, bagi sesiapa yang mahu menaiki bas... khuatir terpaksa duduk dengan ajnabi, boleh pilih bas yang menyediakan kerusi yang sebegini. Ehe... Express Sani merupakan salah satu daripadanya. Oh ya. Muthiah juga dapati, ada seorang wanita membuat pemeriksaan sama ada penumpang sudah cukup atau ada yang tertinggal. Bagus!

Eh, satu lagi. Tambang bas untuk dewasa dari Kuala Lumpur ke Pasir Mas ialah RM43.00.

17 November 2012

6.30 pagi : Alhamdulillah. Kami selamat sampai di Pasir Mas, Kelantan. Pengalaman sepanjang perjalanan - TIDAK ADA. Muthiah tidur mati dek keletihan.

Bersiap sedia untuk ke majlis kesyukuran.

10.00 pagi : Muthiah, suami dan ibu bapa mertua sudah bersiap-siap untuk ke Kota Bharu bagi menghadiri majlis kesyukuran sempena perkahwinan sepupu suami yang bakal berlangsung. Kami turun awal sebab hendak ke klinik dahulu. Kan Muthiah sakit kaki ^_^ Akan tetapi, oleh sebab tiada doktor perempuan di klinik yang disarankan bapa mertua, Muthiah tidak jadi untuk membuat pemeriksaan lutut yang membengkak (tidak banyak pun).

Pengantin yang kacak dan anggun.

1.30 petang : Pengantin sampai dengan wajah berseri. Selamat pengantin baharu, Zamri dan Amirah. Moga perkahwinan dan rumah tangga diberkati ALLAH, serta kalian berbahagia sampai syurga, insya-ALLAH.

Perancangan awal, kami hendak balik Ipoh pada malamnya. Namun, tiket habis! Maka, terpaksa pulang ke Ipoh, 'Rumahku Aku Bahagia' pada keesokan hari. Tidak apa... bukan perlu menyewa hotel pun. Ehe.

Tanah Merah - Gerik

18 November 2012

9.30 pagi : Kami ke Tanah Merah untuk mendapatkan kereta sewa di sana. Hendak buat macam mana... tiket bas ke Ipoh sudah habis. Begitu juga tiket bas ke Kuala Lumpur. Oleh sebab banyak kerja yang perlu diberesi suami, mahu tidak mahu... kami kena segera sampai ke Ipoh.

Tambang kereta sewa dari Tanah Merah ke Gerik ialah RM170.00. Manakala untuk ke Ipoh, bayaran yang dikenakan ialah sebanyak RM300.00. Kereta yang kami naiki, tidak dipasang pendingin hawa. Menurut pak cik kereta sewa berkenaan, jika hendak pasang pendingin hawa, perlu tambah 10% dari bayaran tambang. Fuh... __________ (sila isi tempat kosong ini).

Gerik - Ipoh


Peta Pekan Gerik. 

Cuba cari stesen bas. Jumpa tak?


Muthiah di kaunter tiket Perak Roadways.

12.00 tengah hari : Sebaik sahaja sampai di Stesen Bas Gerik, Muthiah cepat-cepat mencari tiket bas ke Ipoh. Ada! Jam 2.00 petang. Lambatnya...

Stesen kereta sewa/ teksi berlesen Gerik.
Mahu naik kereta sewa?

Mungkin tidak. Kos kereta sewa dari Gerik ke Ipoh adalah RM140.00. Sekiranya tidak ada perkara mendesak untuk sampai awal ke Ipoh, baik tunggu bas sahaja. Bukankah ALLAH sentiasa bersama hamba-hamba-NYA yang sabar?

Pilihan dibuat. Kami balik Ipoh naik bas. Yeay!

1.45 petang : Muthiah sudah beratur ... berebut naik bas. Oh ya. Konsep naik bas di sini adalah siapa cepat, dia dapat duduk. Walaupun demikian, jangan pula potong barisan ya. Oh ya. Tambang bas Perak Roadways dari Gerik ke Ipoh pula ialah sebanyak RM13.10. Keadaan bas. Hmm... biasa-biasa sahaja. Bas agak buruk tetapi masih selesa.

Kaunter tiket Perak Roadways.

Sebelum Muthiah terlupa, ada dua buah bas menyediakan perkhidmatan ke Ipoh iaitu Perak Roadways (ada banyak trip) dan Shamisha Holiday (hanya ada pada jam 2.00 petang - seperti yang dinyatakan kepada Muthiah oleh petugas di kaunter penjualan tiket).

4.00 petang : Kami selamat sampai ke Ipoh.

Yahu... Seronok tidak terkata.

Nota :

Info di atas adalah sepertimana pengalaman Muthiah sendiri. Mungkin ada yang Muthiah tidak tahu. Maka, bolehlah rujuk sesiapa yang lebih arif.

Selamat berperjalanan.