Mencari Naurah (Bab 42)
Sunday, June 10, 2012
Novel | Mencari Naurah
“NAMPAK sahaja suci...” diam sejenak. “Hakikatnya berkarat!” kata Sherry
sambil tersenyum sinis.
|
Aku
hanya diam, tidak mahu membalas apa-apa. Aku pun keliru. Apakah salahku
sehingga gadis ini begitu membenciku? Ada sahaja yang tidak kena pada matanya.
Ada sahaja yang cacat pada pandangannya. Entahlah...
“Hmm...
sama sahaja bertudung atau tidak,” tambah Sherry lagi. “Sekurang-kurangnya, aku
yang tidak bertudung ini tidak ada skandal dengan teman sepejabat.” Dia
benar-benar meluahkan segala apa yang terpendam dalam hatinya.
‘Salahkah
jika aku benar-benar punya hubungan istimewa dengan rakan sepejabat?’ aku
membentak di dalam hati. Namun realitinya, tidak ada!!!
“Majikan
bayar gaji, suruh kerja... memikul amanah sebagai pekerja tetapi si Muslimah
bertudung ini...”
“Sudahlah,
Sherry!” Sook Kuan yang sedari tadi membisu tiba-tiba bersuara.
Aku?
Aku hanya diam seribu bahasa.
“Mari
kita pergi, Sha. Abaikan dia,” tanpa dipinta, Sook Kuan menarik lenganku kuat.
Marah agaknya. Naik angin dengan tingkah Sherry yang tidak pernah berasa puas
menyakiti hatiku.
Ya!
Aku pun tidak tahu di manakah silapnya tetapi sehari-hari, kejelikan gadis
seksi itu semakin menjadi-jadi. Sherry bukan sahaja menempelak dan menyindirku
bahkan sudah berani membawa berita yang tidak baik tentang diriku.
“Lupakan sahaja dia, sayang,” pujuk Sook Kuan. “Saya
kenal Sha dan kami semua mengenali Sha...” tambahnya lagi.
Aku
cuba mengukir senyuman yang paling manis buat teman yang begitu prihatin ini.
Ya, senyuman manis yang dibuat-dibuat. Entah ikhlas, entahkan tidak.
‘Astaghfirullah.
Ya, ALLAH,’ aku beristighfar sendiri. Mahu mengawal amarahku yang semakin
membara. ‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH. Ya, ALLAH.’ rintih hatiku sayu.
Aku
difitnah lagi!!! Membuatkan aku berasa malu untuk berhadapan dengan semua orang.
Aku malu... malu dan sangat malu. Seolah-olah setiap mata yang memandang
melihat aku dengan pandangan yang menjelikkan dan meloyakan.
“Hmm...
sama sahaja bertudung atau tidak,” terngiang-ngiang sindiran Sherry.
Ikutkan
hati, mahu sahaja aku berdebat dengannya. Bukankah menutup kepala itu merupakan
satu tuntutan yang telah disyariatkan oleh ALLAH SWT sebagaimana firman-NYA
dalam surah an-Nur ayat
31 yang bermaksud, ‘Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka
menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan
perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka
menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya...’
Nah!
Aku kini berhadapan dengan fitnah yang sedikit sebanyak mencalarkan imejku
selaku seorang Muslimah. Skandal? Dengan siapa? Anuar??? Ah, lelaki ini tidak
habis-habis menyusahkan hidupku, membuatkan aku marah dan kecewa.
Masakan
aku tidak marah? Anuar bukanlah seorang yang tidak faham... tidak tahu dan tidak mengerti bahkan dia
sudah jelas tentang fitnah yang bisa membinasakan. Dia tahu semua itu tetapi
selalu sahaja buat endah tidak endah. ‘Anuar, Anuar...’
“Asha
ada dot dot dot dengan Anuar, betul?” tegur Hilda satu hari.
“Hisy...
Mana ada,” jawabku sambil tersenyum.
“Hmm...
heboh satu jabatan...” Hilda diam sejenak. “Bukan sahaja jabatan kita tetapi
jabatan lainnya... Mereka kata Asha ada hubungan istimewa dengan Anuar. Sebab
itu Asha dan Anuar selalu bekerja lebih masa. Bukan sahaja untuk siapkan kerja
bahkan mahu duduk berdua-duaan,” Dia bercerita sejujurnya. “Semua orang
berbicara tentang Asha,” tambahnya lagi.
“Apa??
Astaghfirullah. Asha dan Anuar tidak ada apa-apa hubungan istimewa pun! Kami
tidak pernah sama sekali duduk berdua-duaan!” ujarku sedikit keras. Berita ini
bukanlah berita baik yang menyenangkan tetapi khabar yang sangat tidak
dialu-alukan. Mana pernah aku berkhalwat dengan Anuar!!!
‘Astaghfirullah.
Ya, ALLAH.’ Hanya itu yang mampu kuungkapkan. Tidak aku duga sama sekali
kehadiran ujian yang datang bertimpa-timpa ini. Sudahlah sedang bersedih hati
mengenangkan Datin Khatty yang membenciku, tidak dapat menerima kehadiranku.
Ditambah dengan berita yang telah mencemarkan maruahku.
Ya!
maruahku selaku seorang Muslimah. Muslimah yang telah berjanji, bersumpah dan
berikrar bahawasanya tidak ada TUHAN yang disembah melainkan ALLAH. Nabi
Muhammad itu pesuruh ALLAH. ‘Ya, ALLAH. Adakah aku sebenarnya tidak layak untuk
menjadi yang terbaik di sisi-MU?’
Ada dengar cakap-cakap orang
tentang kita?
Aku
memberanikan diri menghantar sistem pesanan ringkas kepada Anuar. Bukan tidak
boleh bercakap terus tetapi aku fobia untuk berbicara empat mata dengannya.
Khuatir fitnah yang bertandang menjadi semakin buruk.
“Ada.
Kenapa?” tanya Anuar serius.
Aduh!
Buat apa dia datang ke mejaku? Diam... tidak berani memandang wajahnya yang aku
kira lebih serius daripada wajah sang hakim yang hendak menjatuhkan hukuman
kepada si pesalah.
“Jangan
bimbang. Kita bukan berdua-duaan di sini. Hilda ada di belakang awak. Sook Kuan
dan Ying Pei sedang berdiri di hadapan awak dan...”
“Taraaa...
saya di sini,” sergah Preshnan dari belakang Anuar.
Anuar
dan Preshnan kemudiannya sama-sama ketawa.
‘Kurang
garam punya budak. Budak dua orang ini pasti ada komplot,’ desis hatiku.
“Jangan
risau, Asha. Kita tidak pernah buat apa-apa dan kita tidak pernah berbicara hal
lain selain daripada urusan kerja. Betul... saya acap kali memancing awak
tetapi awak sendiri sedia maklum sejauh mana layanan awak terhadap saya...”
Anuar memandang Preshnan yang sepertinya seorang pengawal peribadi tidak
bergaji buat Anuar.
“Betul.”
Sah! Preshnan bukan sahaja menjadi pengawal peribadi Anuar bahkan pembantu
peribadinya.
“Bila
kita tidak buat salah, persetankan kata-kata orang. Anggaplah mereka tidak
tahu, tidak faham dan maafkanlah kesalahan mereka...”
“Tetapi...”
sampukku.
“Saya
belum habis berkhutbah,” pintas Anuar sambil tersenyum sumbing.
“Saya
tahu, saya salah kerana menyukai awak...” Anuar menyambung.
“Saya
tahu, saya banyak melakukan kesalahan dan kesilapan...” dia menundukkan kepalanya ke lantai. Kemudian, mendongak
kembali lalu memandang Preshnan yang tidak berkelip memerhatikannya.
“Dalam
menjaga hati dan perasaan saya tetapi percayalah...” Anuar terdiam.
“Insya-ALLAH...
saya akan sentiasa memperbaiki diri dari semasa ke semasa. Saya cuba untuk
tidak membelakangkan TUHAN dalam setiap tindakan saya. Sama sekali saya tidak
akan membiarkan diri saya berkhalwat dengan awak dan kita sendiri tahu bahawa
kita tidak pernah duduk berdua-duaan. Jadi, apa lagi yang awak takutkan?”
panjang lebar Anuar menyampaikan ceramah petangnya.
“Jadi
profesional, Natasha,” celah Preshnan.
“Insya-ALLAH,”
balasku pendek. Tidak mampu untuk berkata-kata. Benar kata Anuar, tidak ada apa
yang harus ditakuti sekiranya tidak membuat apa-apa kesalahan.
‘Benarkah engkau tidak melakukan apa-apa
kesalahan?’
Ah!!!
Hatiku hadir untuk menempelak diriku. Bukan itu sahaja, acap kali dia muncul
untuk meletakkan kesalahan di atas bahuku.
Insya-ALLAH,
kali ini aku yakin... aku memelihara diriku daripada sesuatu yang dilarang
ALLAH.
‘Engkau
berbohong wahai jasad. Engkau telah berzina!’
Fitnah!!!
Sama sahaja engkau dengan mereka. Mana mungkin aku yang punya didikan agama ini
berzina sedangkan sudah kumaklumi bahawa si penzina itu begitu jelik di sisi
ALLAH.
‘Engkau
melakukan zina hati, zina perasaan...’ Nah! Aku terdiam lagi.
“Asha,
awak tidak apa-apa?” panggil Preshnan mengejutkan aku dari lamunan.
“Ah!”
Aku sedikit tersentak. “Apa?” soalku perlahan.
“Hmm...
Asha tidak apa-apa?” Anuar bertanya mewakili Preshnan, mungkin.
“Alhamdulillah,”
jawabku pendek.
“Kalau
macam itu, selepas ini kita bekerja seperti dahulu. Abaikan cakap-cakap orang.
Jangan layan karenah si budak Sherry. Bak kata Presh tadi, kita perlu
P.R.O.F.E.S.I.O.N.A.L dalam bekerja,” nasihat Anuar. “Apa yang penting...”
tambahnya lagi.
“Kerjasama...”
sampuk Hilda lalu menyanyikan lagu dari siri kartun kanak-kanak popular,
Wonderpet. “Wonderpet, wonderpet. Kami datang... Apa yang penting, kerjasama.”
“Insya-ALLAH.”
Aku menundukkan kepala ke lantai. “Anuar...” Kemudian, aku memanggilnya
perlahan. “Anuar...” Ulangku.
“Ya,
saya,” jawab Anuar serius. Betul-betul seriuskah atau main-main?
“Kalau
boleh, janganlah usik saya lagi. Khuatir mengundang kepada fitnah walaupun kita
tidak berniat apa-apa. Kadang-kadang, kita tidak boleh menyalahkan mata yang
memandang kerana tafsirannya datang daripada penglihatan yang tidak bisa
tembus. Dia tidak tahu apa-apa yang tersurat dan tersirat...
Dan
banyak sekali manusia yang meletakkan sesuatu yang negatif di hadapannya
mendahului perkara yang baik-baik serta positif. Dengan kata lain, penerimaan
awal mindanya negatif, namun setelah diperjelas, barulah dia memahami. Kita
tidak mahu menyumbang kepada prasangka-prasangka buruk itu kerana kitalah yang
memulakannya. Kitalah yang mencetuskannya,” aku memandang wajahnya sekilas
kemudian tunduk ke lantai kembali.
“Adoi...
sasteranya bahasa. Insya-ALLAH, kita sama-sama berusaha menjadi lebih baik.
Anggaplah apa-apa yang terjadi ini adalah teguran dan peringatan daripada ALLAH
yang mahu kita kembali kepada-NYA dan tidak melalaikan DIA yang sentiasa dekat
dengan kita,” Anuar membulatkan matanya.
“Insya-ALLAH...”
balasku.
“Terima
kasih, Anuar,” ucapku sambil tersenyum.
“Sama-sama,”
Anuar pun berlalu meninggalkan aku sendiri.
~bersambung~