Mencari Naurah (Bab 57)

Novel | Mencari Naurah


AKU terkebil-kebil sendiri di dalam kamar. Benarkah peristiwa hari ini merupakan satu realiti ataupun sekadar fantasi? Mimpi indah yang lazimnya sukar menjadi kenyataan. Adakah aku berasa gembira? Ya! Aku cukup gembira kerana menerima lamaran daripada seorang jejaka yang aku idam-idamkan selama ini. Bohonglah jika aku katakan aku tidak teruja dan sukacita. Aku sudah hampir menggapai pelangi. Pelangi?

Aku tersenyum sendiri. Tidak lama. Bibirku muncung kembali. ‘Adakah aku benar-benar gembira???’

Wajah Anuar tiba-tiba muncul. Senyumannya tidak lekang dari bibir. Renungannya yang tajam menggambarkan pengharapan dari dalam hatinya yang begitu tinggi. Anuar seolah-olah yakin yang dia sudah hampir sampai ke puncak kejayaan. Penat lelah serta usahanya selama ini nampaknya semakin membuahkan hasil. Pengorbanan dan kesabarannya tidak sia-sia. Mungkin...

Ya! Aku sebenarnya sudah punya jawapan buat lelaki itu. Jawapan yang bisa membuatkan dia tidak tidur malam. Boleh jadi membikin hatinya riang... teramat-amat suka. Namun, kehadiran Asyraf membuatkan hatiku kembali goyah. Aku menjadi ragu-ragu dengan keputusan yang telah kuambil.

‘Ah! kejam sungguh manusia yang bernama Natasha ini...’

PERISTIWA tempoh hari tiba-tiba kembali menerjah pemikiranku. Ya! Saat tika aku hampir melafazkan kata suka kepada Anuar. Saat tika aku hampir menerimanya menjadi teman hidupku…

“Beri saya tempoh sebulan untuk jawapan  yang awak nantikan,” ujarku suatu hari.

“Saya harap jawapan itu tidak menghampakan,” kedengaran suara Anuar begitu sayu.

“Lagipun, ibu dan ayah saya amat menyukai Asha. Mak Asha juga ramah. Terpancar kejernihan pada wajahnya yang tua.” Anuar berterus-terang.

Aku hanya tersenyum-senyum mendengar butir bicaranya. “Akan tetapi...” kata-kataku mati di situ.

“Saya dan awak jauh berbeza. Ayah awak seorang yang dikenali. Begitu juga dengan ibu awak. Realitinya, cara hidup kita tidak sama. Awak dengan dunia korporat awak dan saya dengan hidup saya yang serba kekurangan,” aku berterus-terang.

“Asha, ibu dan ayah saya sama seperti ibu dan arwah ayah awak. Mereka juga hamba ALLAH. Satu hari nanti, mereka pasti akan dihisab TUHAN atas apa yang mereka lakukan di atas muka bumi ini. Harta yang mereka miliki sama sekali tidak dapat menghalang mereka daripada ditimbang di atas neraca pengadilan TUHAN...” 

Diam seketika.

“Ibu saya selalu berpesan. Walau setinggi manapun kedudukan kita, kita sebenarnya masih lagi rendah dan kerdil di hadapan TUHAN. Kadang-kadang, saya malu terhadap diri sendiri. Mereka mungkin tidak mengikuti halakah ilmu secara konsisten dan teratur, namun mereka punya pegangan agama yang kuat...” Anuar terbatuk kecil.

“Awak okey?” aku kerisauan.

Anuar memandang tepat mataku lantas berkata, “Sayang juga awak pada saya?”

Aku hanya tersenyum sipu. Malu-malu kucing...

“Mereka punya kemahuan untuk belajar dan terus belajar. Saya nampak kesungguhan hati-hati mereka untuk mendekatkan diri kepada ALLAH dan saya bersyukur kerana telah dipilih-NYA untuk berada dalam keluarga yang begitu memahami. Ibu faham saya mahu menerapkan unsur-unsur Islam dalam rumah. Ayah pun sama. Kalau awak hendak tahu, ayahlah yang mengajak kami anak-beranak solat berjemaah bersama-sama. Saya? Saya ada keinginan tetapi masih belum punya kekuatan untuk memulakannya,” cerita Anuar panjang lebar.
“Saya suka keluarga awak,” celahku.

“Insya-ALLAH. Sebulan sudah cukup bagi saya membuat keputusan. Kalau ada jodoh, pasti tidak akan ke mana-mana.” Kulihat wajahnya bercahaya. Aku juga tumpang gembira.

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 56)

Novel | Mencari Naurah


TELEFON bimbit Natasha berdering-dering minta diangkat. Dia yang ketika itu berada di dalam bilik air di rumahnya hanya membiarkan sahaja telefon itu berbunyi. Deringan itu mati begitu sahaja tanpa sesiapa mengangkatnya. Beberapa minit kemudian, telefonnya berbunyi lagi. 

“Azmar, tolong Asha angkatkan telefon. Sakit perut daaa...”

“Baik, puan,” balas Azmar lantas mencapai telefon bimbit Nokia milik Natasha yang terletak di atas meja makan. 

“Helooo...” panjang sungguh salam yang diberi.

“Assalammualaikum. Boleh saya bercakap dengan Natasha?” kata si pemanggil.

“Siapa yang bercakap ini? Asha tengah ‘sibuk’. Sedang menguruskan sesuatu yang sangat penting dan tidak boleh ditangguhkan. Boleh telefon dalam lima minit lagi?” Azmar berbasa-basi.

“Saya, Asyraf. Maklumkan kepada Asha saya akan hubungi dia dalam sepuluh minit, insya-ALLAH,” jawab Asyraf lalu meletakkan telefon.

“Ashaaa... teman lelaki terbaru telefon. Dia hendak berkenalan.” Azmar menjerit dari luar tandas.

Aku hanya diam.

“Mar nak keluar sekejap. Dia cakap akan hubungi Asha dalam sepuluh minit lagi. Cepat-cepatlah selesaikan ‘urusan’ itu.” Azmar segera mencapai beg tangannya lalu berjalan keluar rumah.

Setelah siap urusanku, aku segera mencapai telefon bimbit yang telah ditinggalkan Azmar. Sejak akhir-akhir ini, dia memang kerap keluar. Entah dengan siapa dia berpacaran, aku pun tidak tahu. Namun pasti! Terpancar kegembiraan pada wajahnya. Mungkin dia sudah bertemu dengan Mr. Right yang dicarinya. Siapa tahu?

Telefon bimbitku berdering lagi. Aku segera mengangkatnya. 

“Assalammualaikum...” aku memberi salam. Lupa untuk bertanya dengan Azmar, siapakah gerangan yang menghubungiku. Maklumlah, lokasi aku sedang berurusan tidak mengizinkan aku berbuat demikian.

“Waalaikumussalam.”

Aku kenal suara ini. Diam...

“Asha, balik kampung minggu ini?” Tanpa sebarang pembuka bicara, dia cepat-cepat bertanya.

‘Minggu ini minggu ketiga, bukan? Okey... Balik,’ aku berkira-kira sendiri.

“Asha?” suara itu menyebut namaku.

“Insya-ALLAH, balik. Kenapa?” soalku kembali. Adakah mamanya mahu berjumpa denganku lagi buat kesekian kalinya? Tidak! Mamanya mahu bertemu pula dengan makku? Mungkin tidak. Aku tidak akan membenarkannya sama sekali. Biarlah aku seorang yang dihina dan dikeji. Asal bukan mak yang aku kasih dan cintai.

“Papa saya akan datang merisik.”

Diam. Lidahku kelu. Antara percaya dengan tidak. Adakah aku bermimpi?

“Asyraf, ya?” aku mahu mengesahkan meskipun sudah kukenal suara itu.

“Ya, saya,” jawab Asyraf. Diam lagi... Dia juga kelu bicaranya.

“Datin Khatty dan Tengku Amalin macam mana?” Entah mengapa aku berasa gusar.

“Mama saya tidak akan hadir. Tengku Amalin pula tidak ada kena mengena dengan hidup saya. Bukan adik beradik. Bukan juga saudara terdekat. Hanya saudara sesama Islam,” ungkap Asyraf bersahaja. Tenang...

“Maksud Asha...” Tidak tahu bagaimana untuk memulakan. Setelah berdiam diri sekian lama, Asyraf tiba-tiba muncul. Aku juga sebenarnya sudah hampir melupakan dirinya dan...


“Asha...”  Panggil Asyraf dengan lembut.

“Asha...”

Ah, aku mengelamun rupanya. Entah berapa kali Asyraf memanggil namaku dari corong telefon. “Saya tidak pasti...” balasku perlahan. Cukup perlahan tetapi aku yakin masih dapat didengari olehnya.

“Apa yang Asha tidak pasti?” Suara Asyraf sedikit meninggi. Aku benar-benar terkejut dengan perilakunya. Macam bukan Asyraf. Adakah dia sedang berada dalam keadaan yang amat terdesak? Apa yang sudah berlaku, sebenarnya?

“Asha...” Asyraf menyebut namaku lagi. Diam...

“Beri saya tempoh dalam seminggu,” ujarku perlahan tetapi sedikit tegas.

“Seminggu?”

Lelaki itu seolah-olah terkejut dengan tempoh yang kuberikan. Sama sepertiku, aku juga terperanjat dengan perilakunya. Asyraf yang aku kagumi adalah seorang pemuda yang begitu tenang dan tidak tergesa-gesa. Asyrafkah ini???

‘Ah, dia juga manusia biasa. Bukannya Nabi yang maksum,’ desis hatiku.

“Astaghfirullah,”

Kedengaran Asyraf beristighfar perlahan.

“Ya?”

“Tidak... baiklah. Asha ambil masa seminggu untuk berikan jawapan,” suara Asyraf mendatar. 

“Assalammualaikum,” Dia memberi salam sebelum sempat aku membalas apa-apa. Gagang telefon diletaknya perlahan.

Aku memandang telefon bimbitku tanpa berkelip. Adakah aku benar-benar tidak bermimpi???

~bersambung~

Hobi, oh hobi

Assalammualaikum. Moga sihat dan sejahtera fizikal dan mental kita semua, insya-Allah, Amiin. Alhamdulillah, target kerja Muthiah minggu ini berjalan seperti yang dirancang. Off melihat manuskrip. Ada kerja part time yang hendak dibuat hari ini. Moga setel, insya-ALLAH. Amiin. 

Oh ya. Teringat satu pos dari salah satu Grup Penulis yang Muthiah sertai di FB. Tentang hobi... Apakah hobi anda selain membaca dan menulis?

  • Ada yang komen - masak... mencuba resipi baharu.
  • Ada yang gemar melancong.

Muthiah pula...


Beg sandang dan alat make up sangat penting untuk dibawa bersama setiap kali berperjalanan.

Hobi Muthiah ialah ikut suami outstation. Hahaha... 

Apa sahaja hobi kita, moga-moga dapat memberi faedah kepada diri kita dan orang di sekeliling kita. Bukan setakat memanfaatkan bahkan bisa menggembirakan. 

Cakap pasal hobi... hobi tu apa ek? 

Mengikut Kamus Dewan Online, hobi membawa maksud kegemaran yang dilakukan pada waktu lapang. 

Contoh hobi?

  • Memancing/ menjala.
  • Menjahit/ menyulam/ mengait.
  • Memasak.
  • Membaca buku/ majalah/ komik.
  • Melancong di dalam/ luar negara.
  • Memandu kereta mewah. Hahaha... 
  • Membeli-belah.
  • Window shopping. 
  • Chatting/ blogging/ ber-FB/ berforum.
  • ___________________
  • ___________________
Ada tak sesiapa yang hobinya ialah mengumpat atau mengata atau yang seangkatan dengannya? Nauzubillah. Semoga ALLAH pelihara kita semua. TERBUAT... yuk istighfar. 

Banyak lagilah hobi yang boleh dikongsikan di sini. Ehe. Apapun hobi kita, moga tidak sampai mengabaikan perkara yang lebih utama dan! Moga-moga hobi itu bukanlah hobi yang dapat mengundang murka ALLAH. 

Kita suka memancing. Hari-hari kita keluar memancing dengan kawan. Hmm... Anak dan bini macam mana? Kerja di pejabat terganggu atau tidak?  ~ Rentetan daripada luahan seorang teman yang kecewa dengan suaminya yang obses pada hobi sampai mengabaikan rumah tangga. Kata beliau, "Dia ingat, akak ni mesin dan orang gaji?" Maka... 

Kita suka chatting. Hari-hari mesti mahu berborak dengan rakan maya, tidak kiralah sama ada kita kenal atau tidak dengan teman tersebut. Namun sayang, kita chatting pada waktu bekerja. Kerja tengah berlambak pula. Bos lalu, kita stop sekejap. Bos hilang dari pandangan, kita asyik berborak. Tengok-tengok, jam sudah menunjukkan pukul 5.00 petang. Malangnya, kerja yang diamanahkan belum siap lagi. Mungkin bos tidak nampak tetapi percayalah... ALLAH Maha Melihat, Menghitung dan Meneliti. ~ Bagaimana pula halnya dengan chatting/ FB dll yang mengganggu-gugat keharmonian rumah tangga? 

Sekadar peringatan buat diri Muthiah agar tidak alpa dengan hobi sendiri. Banyak sebenarnya yang kita kena belajar. Banyak juga perkara yang perlu kita perhalusi. Silap hari bulan, mengundang retak dalam perhubungan (rumah tangga/ persahabatan), nauzubillah. Paling ditakuti... apabila hobi kita itu kelak mengundang murka ALLAH. Jom kita muhasabah bersama. 

Muthiah : Semakin direnung diri, semakin nampak silap dan salahnya. 

Kerana apa? Silap aku...

Assalammualaikum. Moga hati kita tenang-tenang hendaknya. Dan pasti! Ketenangan itu datangnya daripada ALLAH. Sekiranya jiwa resah, jom kita muhasabah balik. Manalah tahu ada yang belum setel dan tidak clear.
  • Hubungan dengan ALLAH macam mana? Perintah dan larangan-NYA?
  • Hubungan dengan suami macam mana? Sudah terlaksana hak suami kita?
  • Amanah yang terpikul macam mana? 
  • Hubungan dengan sesama manusia? Ada yang terguris dengan kata-kata sinis kita?
Yuk kita bangun andai rebah. Percayalah. ALLAH ada. ILAH dekat, lebih hampir dari urat merih kita sendiri. 

Minggu ini, Muthiah tidak menulis (manuskrip baharu). Hanya fokus kepada manuskrip yang bakal dirombak dan diperbaik. Doakan dipermudahkan ALLAH ya.Insya-ALLAH,  Amiin...

Semenjak dua menjak ini... entah kenapa Muthiah asyik terfikir akan perkara ini. Perkara apa?

MEMANDU...

Alhamdulillah. Setelah sekian lama suami mengharap, akhirnya Muthiah berani untuk memandu kereta sendiri. Bolehlah... 
  • Di kawasan berdekatan...
  • Berperjalanan ke KL melalui Tanjung Malam.
  • Balik kampung ikut Gerik atau Cameron Highland.
Walaupun demikian, sekiranya direnung... difikir dan ditengok kembali dari sudut hati... membuatkan Muthiah tertanya-tanya sendiri. 

Kerana apa aku jadi begini (berani memandu)? 

Ahaks. Benda remeh. Setakat berani memandu saja. Orang perempuan lain sudah mahir memandu di kota metropolitan Kuala Lumpur. Orang perempuan lain pergi balik kerja memandu sendiri. Muthiah... setakat memandu ke Mydin... setelkan urusan sekitar Ipoh dan memandu jauh apabila suami keletihan. Itu pun mahu kepoh? Hahaha... I'm talking about me, myself at my house. Not others, maaaa... 

Jawaban kepada persoalan di atas, "Kerana apa aku jadi begini (berani memandu)?" 

Ya. Muthiah mahu belajar dan beranikan diri memandu adalah untuk En. Suami. 

  • Muthiah sakit, suami yang hantar ke hospital. Apabila suami tidak sihat, macam mana?
  • Suami banyak kerja di pejabat. Mesti letih. Maka, Muthiah kena dan mesti beranikan diri setelkan beberapa urusan tanpa bantuan suami. Membeli keperluan rumah di Mydin contohnya.
  • Memandu untuk jarak jauh pasti memenatkan. Jadi, Muthiah hendak kurangkan kepenatan suami. Muthiah pandu separuh... suami pandu separuh. Okey?
Hmm...

Bukan kisah ini yang Muthiah hendak higlight. Persoalannya...

Kenapa tidak lakukan ini kerana ALLAH???
Siapa kata?

Muthiah boleh kata/ tulis, "Muthiah lakukannya kerana ALLAH,"... "Hundred percent, confirm!" namun jauh di dalam sanubari, Muthiah akui semuanya Muthiah lakukan untuk sang suami. Untuk memudahkan suami. Untuk meringankan kerja suami. Selainnya (termasuk diri sendiri) jatuh nombor dua.

Jadi, di manakah silapnya?

Hukhuk... Bukankah setiap amal itu bermula dengan niat? Apabila kita melakukannya kerana ALLAH dan Rasul, maka perkara itu ada tertulis dilakukan kerana ALLAH dan Rasul. Namun sekiranya kita melakukan sesuatu perkara itu kerana orang lain, maka itu jua yang akan kita perolehi.

Moga selepas ini, Muthiah lebih berwaspada. Letakkan ALLAH dan Rasul di tempat yang utama. Sayang suami... sayang keluarga namun cinta tersebut tidak boleh melebihi cinta kepada ALLAH dan Rasul? Persoalan lagi...

Apa bukti cintakan ALLAH dan Rasul-NYA? 

Layakkah berkata aku cinta ALLAH dan Rasul sedang diri sangat payah untuk taat pada perintah dan suruhan-NYA. Tidak juga mengikut jalan Nabi dalam mengharungi kehidupan. 

Apa yang penting, kita sudah melakukan yang terbaik dalam membuktikan cinta kita pada ALLAH dan Rasul. Dalam hal ini, biar ALLAH yang menentukan. Kita usaha sahaja. Kita cuba sedaya upaya tanpa kenal erti putus asa. Apabila teralpa, kita mengingatkan diri semula. Setelah dekat dengan DIA, kita cuba untuk istiqamah. Moga ALLAH memilih diri kita semua. 

Yuk... jom...
Kita senantiasa memperbaharui niat kita. Lakukan segala sesuatu hanya kerana ALLAH. Jadi ibadah tu ....

Panjang sudah. Coretan untuk mengingatkan diri Muthiah sendiri, takut terlupa dan menjauh daripada ILAHI. 

Muthiah : Beranikan memandu untuk suami kerana ALLAH ...

Amanah di sekeliling kita

Assalammualaikum. Moga hidup kita sentiasa ceria, bahagia dan pasti... dirahmati ALLAH hendaknya. Katakan tidak pada sifat mazmumah. Selaku insan kerdil, kita tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan. Dalam sedar, mahupun tidak namun percayalah... keampunan ALLAH Maha Luas buat hamba-hamba-NYA yang bertaubat dengan sungguh-sungguh. Yuk...



Satu hari...

"Comel anak angkat Polan bin Polan..." beritahu Muthiah kepada suami.

Suami mengangguk-angguk.

"Anak itu adalah satu amanah oleh ALLAH kepada ibu ayahnya meski si anak itu hanyalah anak angkat kan, Abe?" tambah Muthiah lagi.

Suami mengangguk buat kesekian kali. "Ya. Anak itu adalah satu amanah. Seorang isteri, punya amanah buat suaminya. Begitu juga bagi seorang suami."

Kali ini, Muthiah pula yang mengangguk.


Gambar hiasan
Benar...

Kita hidup dilingkari dengan amanah yang perlu kita pikul. Pasti! Setiap kita akan dipertanggungjawabkan atas amanah tersebut.

Isteri ~ ada amanah buat kita dalam menjaga hak sang suami. Jom kita muhasabah balik. 
  • Sejauh mana kita telah menunaikan hak suami kita? 
  • Sejauh mana kita amanah dalam menjaga harta suami kita? 
  • Sejauh mana kita menjaga maruah diri dan suami kita? 
  • Sejauh mana kita hormat kepada suami kita?
  • Sejauh mana kita taat pada suami kita (selagi mana perkara itu tidak bertentangan dengan syariat ALLAH)?
Peringatan buat diri Muthiah khususnya.

Amanah, oh amanah...
  • Suami ~ isteri.
  • Ibu ayah ~ anak-anak.
  • Anak-anak ~ ibu ayah.
  • Sesama adik beradik.
  • Sesama saudara mara.
  • Sesama jiran tetangga.
  • Bos ~ pekerja.
  • Pekerja ~ majikan.
  • Penjual ~ pembeli.
  • Pembeli ~ peniaga.
  • Guru ~ anak murid.
  • Pelajar ~ pensyarah.
  • Pemimpin ~ rakyat.
  • Orang awam ~ pemerintah.
  • Dengan apa yang ditulis.
  • Dengan ilmu yang dimiliki.
  • ....
  • ....
Banyak lagilah. Apapun, moga kita tergolong dalam lingkungan manusia yang peka terhadap tanggungjawab dan amanah ini. Dikhuatiri kelak... disebabkan oleh kealpaan kita terhadap amanah yang dipikul, kita terheret ke lembah api neraka, nauzubillah.

Muthiah pernah berbual dengan seorang teman. Katanya...

"Seorang ibu yang baik tidak semestinya juga seorang isteri yang baik buat suaminya. Pekerja yang baik di pejabat tidak semestinya seorang suami yang baik di rumah."

Semoga kita terus berusaha menjadi yang terbaik walau kita sedar bahawa kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua orang. Buat sedaya yang mungkin, insya-ALLAH.


Muthiah : Senaraikan tanggungjawab seorang isteri pada suaminya.

Kulat sisir goreng

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Agak sibuk menyusun jadual kerja (berapa kali mahu susun jadual daaa). Ehe. Bukan apa... sepanjang minggu sejak dari Hari Raya Aidilfitri lalu, Muthiah dan suami banyak travel (berperjalanan). Sekejap ke Bidor... kemudian ke Lumut. Acap kali juga turun KL. Doakan segalanya dipermudahkan ALLAH ya. 

Lama tidak berkongsi resipi. 

Jom... macam biasa. Resipi yang Muthiah kongsikan mudah-mudah sahaja. Maklumlah. Hendak sediakan bekal suami ke tempat kerja. Masak yang leceh-leceh, ambil masa pula. Biasanya, Muthiah ambil masa 30 minit untuk sediakan makanan buat suami. Jadi bagi para isteri di luar sana, apa kata kita sama-sama masak dan sediakan bekal buat suami ke tempat kerja. Kelebihannya..

1- Jimat kos.
2- Insya-ALLAH, kebersihan terjaga.
3- Kita boleh memilih untuk tidak menggunakan serbuk perasa.

Panjang pula bebelannya.


Bahan-bahan

1 tin kulat sisir
1 ulas bawang kuning - dimayang
2 ulas bawang putih - dihiris
2 ulas bawang merah - dihiris
1 biji cili merah/ hijau - dihiris menyerong
1 biji telur (bagi yang mahu letak telur)
Kunyit debu
Garam secukup rasa

Cara membuatnya

1. Basuh kulat sisir dan letak ke tepi (untuk bagi turun air).

2. Gaul kulat sisir dengan kunyit debu.

3. Tumis bawang kuning, bawang putih dan bawang merah sampai naik bau.

4. Masukkan kulat sisir tadi, bersama dengan cili merah/ hijau.

5. Letakkan garam secukup rasa.

.... Siap!

6. Atau boleh tambah telur - pecahkan telur dan masukkan ke dalam kuali dan gaul.

Pilihan... di tangan sendiri. Selamat mencuba. Bagi Muthiah pula -> I LIKE IT.
Labels: 0 comments | | edit post

Mencari Naurah (Bab 55)

Novel | Mencari Naurah


“APA yang Asyraf telah lakukan?” Air mata Datin Khatty yang hakikatnya begitu mahal luruh jua ke bumi. Dia menangis teresak-esak. Kesedihan dan rasa malu yang dialami sudah tidak tertahan.  

“Disebabkan budak kampung itu, Asyraf sanggup memalukan mama.” 

Dia merenung tajam ke arah anak terunanya yang tetap membatu.

“Tidak tahu di mana lagi mama hendak letak muka. Bukan sahaja mama bahkan papa, Datin Azira dan keluarganya. Sanggup Asyraf buat kami begini,” isteri Dato’ Ghazali ini masih tidak puas meluahkan rasa hatinya.

“Maafkan Asyraf, ma. Asyraf betul-betul tidak...” Asyraf terdiam sebentar. 

“Natasha bukanlah penyebabnya. Asyraf sendiri tidak dapat menerima gadis semoden Amalin sebagai teman hidup,” ungkapnya perlahan.

Dato’ Ghazali pula hanya menjadi pemerhati setia. Dia sendiri tidak menduga. Sama sekali tidak menyangka bahawa Datin Azira akan mengadakan majlis besar-besaran bagi mengumumkan pertunangan Amalin dan Asyraf. Ada Dato’ Khalid, Dato’ Samad bahkah Dato’ Sanusi pun turut hadir dalam majls tersebut.

Terimbau kembali di ingatannya peristiwa di rumah Datin Azira sebentar tadi.

“HARI ini, saya akan membuat satu pengumuman tergempar,” Datin Azira tersenyum manis. Baju kebaya yang dipakainya betul-betul menampakkan susuk tubuhnya yang semakin berisi.

“Amalin, Asyraf... ke sini sebentar.” Dia memandang kedua teruna dara itu dengan senyuman yang semakin dilebarkan.

Asyraf yang sedang asyik menikmati puding terpaku seketika tatkala namanya disebut. ‘Apa kaitannya aku dengan majlis ini?’ bisik hati kecilnya. ‘Argh... mama bohong!’ bentaknya lagi. Menurut Datin Khatty, dia hanya perlu menghadiri majlis hari jadi Tengku Amalin. Namun, kalau sekadar majlis hari jadi, mustahil namanya dipanggil.

“Sebenarnya, saya dan Datin Khatty telah bersetuju untuk menyatukan puteri kesayangan saya, Tengku Amalin dengan putera tunggal Dato’ Ghazali, Asyraf Daniel,” umum Datin Azira dengan penuh bersemangat.

Semua yang hadir bertepuk tangan sebagai tanda meraikan bakal pengantin.

“Macam mana dengan anak mama? Setuju tak?” Datin Azira memandang Amalin yang tersenyum gembira.

“Saya setuju, ma” jawab Tengku Amalin lantas mencium pipi Asyraf yang berdiri tidak jauh daripadanya.

Tidak sempat Asyraf mengelak dari dicium Tengku Amalin. Kedengaran tepukan yang kian gemuruh. ‘Ingat agama Kristiankah?’ marahnya. Wajahnya sudah bertukar warna. Dia begitu marah dan malu dengan apa yang berlaku. Dia memandang mamanya yang dari tadi tersenyum panjang.

‘Mana mungkin Asyraf sanggup memalukan dirinya sendiri. Cadangan Amalin diterimanya bulat-bulat. Sudah tentu Asyraf tidak mampu berbuat apa-apa setelah pengumuman dibuat,’ bisik hati Datin Khatty.

Asyraf mencari-cari kelibat papanya. Nah, itu dia. ‘Apa yang patut Asyraf lakukan, pa?’ Dia bertanya dari kejauhan. Papanya hanya  menganggukkan kepala sambil menggenggam jari.

‘Asyraf tahu apa yang patut Asyraf lakukan!’  Desis Dato’ Ghazali penuh yakin.

“Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh,” Asyraf menundukkan kepalanya ke lantai pentas.
Gambar oleh : En. Azim

Datin Khatty yang sedari tadi tersenyum panjang tiba-tiba bangun dari tempat duduknya. ‘Apa yang Asyraf mahu lakukan?’ hatinya berdebar-debar. Khuatir...

“Datin Azira, Tengku Amalin, Datin Khadijah binti Khalid yang saya hormati,” sambung Asyraf lagi. Suaranya perlahan tetapi bibit katanya jelas kedengaran. Dia tidak mahu dianggap biadap jika bertindak melulu tetapi dia tidak punya pilihan. Dia perlu menyatakan haknya.“Dengan rendah diri, saya ingin berbicara...” diam seketika.

“Saya kira, saya bukanlah insan yang selayaknya untuk berkongsi hidup dengan Tengku Amalin...” Dia memandang tepat wajah papanya yang sedang tersenyum bangga. “Amalin memiliki segalanya. Dia cantik dan mampu memikat setiap mata yang memandang...” Kali ini, matanya beralih kepada mamanya yang sudah tidak senang duduk.

“Apa yang Asyraf cuba katakan?” jerit Datin Khatty dari kejauhan. Semua mata tertumpu kepadanya. Teman baik Datin Azira ini sudah berubah rupa seperti singa betina kelaparan.

“Sekarang bukanlah masanya untuk Asyraf berpuisi atau bermadah,” tambah Datin Khatty lagi.

“Ini bukan drama swasta. Diam dan duduk!” arah isteri Dato' Ghazali ini kepada anak terunanya.

Asyraf berjalan perlahan ke arah Dato’ Ghazali. Dia kira, semua orang sudah mengerti apa yang ingin disampaikannya.

“Tunggu, Asyraf. Apa yang ingin awak sampaikan?” Tengku Amalin segera menarik lengan Asyraf.
Terkesima dengan tindakan luar kawal Tengku Amalin, Asyraf menepisnya kuat. Dia kemudiannya merenung Amalin sekilas. Diam...

“Awak tidak sudi berkahwin dengan saya?” 

Kelopak mata Tengku Amalin mula berair. Sepanjang hidupnya, tidak pernah dia diperlakukan begitu. Mana pernah seorang lelaki menolak ajakannya. Dia berasa begitu terhina. Hina kerana kalah kepada seorang gadis kampung yang lebih layak dijadikan bibiknya.

Asyraf tidak membalas kata-kata Tengku Amalin. Biarlah dia dengan jawapan yang sedia ada...

“AWAK pun satu!” jerit Datin Khatty.

Dato’ Ghazali yang tadinya begitu ralit mengimbas kejadian malam tadi tersedar daripada lamunan. Dia diam. Tidak mahu berlawan kata dengan isterinya yang sedia cengil itu.

“Disebabkan anak teruna awak, peluang saya untuk memajukan diri terbantut!” Datin Khatty meluahkan rasa hati. Marah!!!

“Awak sudah cukup berpengaruh,” balas Dato’ Ghazali pendek.

“Berani awak sindir saya begitu!” Datin Khatty semakin menyinga.

“Macam mana awak boleh berkelakuan sebegini terhadap suami awak sendiri? Sudah terlalu banyak amalkah sehingga awak tidak takut kepada TUHAN?” Tiba-tiba, hati Dato’ Ghazali menggelegak. Isterinya yang seorang ini memang sukar diajar.

“Hmm... kita tunggu dan lihat sahaja. Asyraf pasti menyesal dengan apa yang telah Asyraf lakukan. Begitu juga dengan awak, Dato’ Ghazali... Pergilah masuk meminang gadis kampung itu.” Datin Khatty menjeling tajam mata suaminya.

“Okey... Asyraf, esok petang kita pergi rumah Natasha,” cadang Dato’ Ghazali. Tercabar benar dia dengan ungkapan dan perlakuan isterinya itu. 

Asyraf hanya diam. Dia tidak mahu lagi mengeruhkan keadaan yang sedia keruh sejak semalam. Wajah Natasha tiba-tiba muncul dalam kotak pemikirannya.

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 54)

Novel | Mencari Naurah 


‘ASYRAF... Anuar... Asyraf... Anuar? Bagaimana dengan Afzan Helmy?’ aku tersenyum sendiri. Ketiga-tiga calon suamiku mempunyai nama yang bermula dengan pangkal ‘A’. Nama panggilanku juga bermula dengan abjad ini. 

‘Berkebetulan sungguh...’

Aku menyukai Asyraf tetapi ibunya tidak mengiktiraf diriku sebagai calon menantunya. Aku siapa? Orang kampung yang rumahnya  tidak mempunyai penghawa dingin. Anuar pula begitu serius untuk menjalinkan hubungan denganku. Ditambah dengan restu ibu bapanya. Perhubungan yang bakal tercipta itu nampak tidak ada cacat-celanya. Sayangnya, aku pula tidak punya rasa hati terhadap lelaki ini. Bukankah cinta itu sama sekali tidak boleh dipaksa?

“Kalau orang itu sayang kita, dia akan buat apa sahaja untuk kita. Berbanding kalau kita yang tergila-gilakan dia. Sesudah berumah tangga, kita sahaja yang akan berhabis-habisan untuk dia...” kata-kata Azmar satu ketika dahulu terngiang-ngiang di gegendang telingaku.

“Kalau kita sahaja yang berhabis-habisan, dia pula tidak ada apa-apa... lama-lama makan hati juga. Setahun dua, mungkin kita mengalah sebab sudah sayang. Lebih-lebih lagi perempuan, cepat sangat cair dengan lelaki. Kalau sudah lima enam tahun kahwin dan kita sahaja yang beria, pasti akan rasa kecewa juga...” tambah pensyarah dari Universiti Industri Selangor ini lagi.

Benar, kahwinilah orang yang benar-benar kasihkan kita tetapi siapa? Helmy? Mungkin sehingga ke saat ini dia belum bertemu dengan calon yang paling sesuai dengannya. Mungkin disebabkan umur yang semakin meningkat, dia terus menerima sesiapa sahaja di hadapannya.

Atau mungkin dia sekadar mahu merapatkan hubungan kekeluargaan dengan adik angkatnya sendiri. Perhubungan yang sedia akrab didekatkan lagi. Nanti, Efendy bukan sahaja menjadi anak buah dalam halakah ilmu yang dibawanya, bahkan bakal mendapat gelaran adik ipar. Segalanya mungkin.

Bagaimana pula dengan Asyraf Daniel bin Dato’ Ghazali? Datin Khatty secara nyata menunjukkan kebenciannya terhadap diriku. Aku mengerti...

MALAM itu, sedang aku leka melayari internet, Asyraf menyapaku melalui alam maya.

Shinichi : Salam. Asha, ibu saya ingin menemui Asha. Boleh?
Natasha : Salam. Untuk apa?
Shinichi : Untuk mengenali Asha dengan lebih dekat.

Aku hanya diam…

Tidak sampai 10 saat, telefon bimbitku tiba-tiba berdering…

"Assalammualaikum," ucapku tidak bermaya.

"Waalaikumussalam," dia menjawab. Asyraf diam sejenak.

"Boleh?" sambungnya pendek.

"Boleh apa?" aku menyoalnya kembali.

"Jumpa dengan mama saya," suara Asyraf sedikit bergetar.

"Buat apa? Bukankah sudah jumpa, dahulu???" Kisah duka lama tiba-tiba menerjah.

"Maafkan mama saya waktu itu. Kali ini, insya-ALLAH mama sudah berubah," Asyraf cuba membujukku.

"Boleh?" Ia bertanya lagi.

"Hmmm…" balasku. Aku terdiam seketika.

"Bila? Di mana?" soalku pendek.

"Hujung minggu ni, jam 10.00 pagi. Di rumah saya. Saya akan minta Pak Alias, pemandu peribadi keluarga saya mengambil Asha di rumah," ucap Asyraf panjang.

'Hmmm…' aku hanya mampu mengeluh di dalam hati.

Aku sendiri ragu-ragu dengan pertemuan kilat itu. Namun, kegusaran hatiku terjawab bila bertemu empat mata dengan mama Asyraf. Ada sesuatu yang tersembunyi di sebaliknya. Datin Khatty sebenarnya mahu meluahkan rasa hati yang mungkin terpendam sekian lama. Mahu menasihati si anak, khuatir anak itu akan merajuk lalu aku telah dijadikan mangsa. Kisah duka itu berulang lagi…

Kehadiranku di rumah mewah Datin Khatty sebenarnya sama sekali tidak dialu-alukan. Aku kira, Datin Khatty menjemputku datang ke rumahnya sekadar mahu mengambil hati anak teruna kesayangannya sedang hakikatnya, dia tidak sudi langsung melihat wajahku.

"Awak tidak faham apa yang saya katakan tempoh hari?" ujar Datin Khatty apabila Asyraf hilang dari pandangan. Aku hanya diam.

"Lupakan anak saya. Awak dan dia tidak sepadan langsung dan saya tidak bersetuju untuk menjadikan awak sebagai menantu saya," tambahnya lagi. Aku tetap diam. 'Lamanya Asyraf mengambil air suam buat mamanya,' aku berbisik di dalam hati.

"Simpanlah angan-angan awak tu. Jangan sekali-kali menggangu anak saya lagi. Dan… jangan sekali-kali awak mengadu dengan anak saya. Awak pergi bukan disebabkan saya tetapi awak sendiri yang tidak mahu menjalin hubungan dengannya. Awak kena sedar diri. Jangan jatuhkan maruah awak selaku seorang wanita. Tidak perlu hendak terhegeh-hegeh …" Datin Khatty merenungku tajam. Cukup tajam membuatkan jantungku berdegup kencang. Aku hanya tunduk memandang lantai.

"Saya tidak halalkan awak menjejakkan kaki ke sini lagi. Berambus dari sini!!!" Kali ini, aku tidak dapat menahan sebak. Meskipun datangku ke sini dengan jemputan, aku seolah-olah menjadi tetamu asing yang tidak dikehendaki kehadirannya. Tanpa lengah, aku segera bangun dan berlalu pergi.

"Asha…" kedengaran suara Asyraf memanggilku.

"Cepat mahu beransur?" dia bertanya lagi. Aku memandang Datin Khatty yang sedang tersenyum. Aku tahu, senyumnya penuh dengan kepura-puraan.

"Maaf, Asyraf. Saya terlupa… ada urusan penting yang perlu saya bereskan," aku berdalih.

"Lor… mama baru hendak berkenalan dengan Asha," Asyraf menghampiri mamanya. Aku memandang mereka sekilas. Datin Khatty tetap tersenyum tanpa bicara.

"Tidak apa… saya perlu pergi sekarang. Assalammualaikum," ujarku lantas meninggalkan Asyraf dan mamanya terkebil-kebil sendiri.

"Kenapa tu, ma?" soal Asyraf.

"Entahlah…" jawab Datin Khatty pendek. Aku meninggalkan rumah besar itu dengan linangan air mata. Hina sangatkan diriku???

‘Natasha, simpanlah angan-angan itu!’ aku berkata sendiri. 

Gambar oleh : En. Azim

Asyraf dan aku umpama langit dengan bumi. Era milenium sudah mengubah persepsi masyarakat. Agama bukanlah kriteria utama. Yang penting... wang ringgit,  kuasa dan pangkat menjadi sandaran. Tanpanya, boleh jadi gila. Benarkah boleh jadi gila? Tidak mustahil kerana orang sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkannya. Bukankah gila dinamakannya itu?

Mungkin manusia ini telah lupa kepada Qarun yang ditelan bumi bersama harta-hartanya. Satu ketika dahulu, dia (Qarun) begitu patuh dan taat kepada PENCIPTA tetapi kesudahannya, dia tetap tersungkur di dalam emas yang berkilauan indah. Dia lupa kepada TUAN PUNYA yang telah menganugerahinya harta yang tidak terkira.
Namun, kuasa TUHAN tiada siapa yang mampu menghalangnya. Qarun akhirnya pergi dan tidak kembali. Tunggulah sehingga tiba waktu dia dibangkitkan. Sudah tentu berasa gusar untuk menerima kitab amalan daripada TUHAN-nya. Entah berjalan, entah berlari dan mungkin juga merangkak-rangkak.

Neraca timbangan ALLAH pasti tidak akan silap. Yang taat dengan riang menuju ke syurga dan nantikanlah azab yang dijanjikan ALLAH buat mereka yang ingkar lagi derhaka. Saat itu, barulah dia menyedari kesilapannya. Segala apa yang dimiliki bukanlah miliknya yang hakiki dan bukan juga segalanya.

Hari ini, terdapat banyak Qarun yang semakin lupa diri. Dia berkejar-kejar ke sana ke mari dan tiada tanda mahu berhenti. ‘BERHENTI! Ada batu di hadapan!’ Biarkan... biarkan. Lalu dia jatuh terduduk dek batu yang menghalang. ‘Mesti kuat! Ayuh, bangkit kembali.’ Batu yang menjadi wasilah peringatan ALLAH itu dibiarkan ke tepi. Dia terus berlari bahkan semakin laju untuk sampai ke destinasi. Sekejap dia memecut dan sekejap dia berlari anak.

Nah, akhirnya yang dicita-citakan sudah berada di dalam tangan. Bukankah usaha itu tangga kejayaan dan tidak akan cemerlang orang yang tidak pernah menempuhi kegagalan. Segalanya kini mampu dimiliki.

Kalau dahulu dia bukanlah siapa-siapa tetapi tidak kini. Siapa tidak kenal Polan bin Polan? Harta yang melimpah menyebabkan kekuasaan berada pada telapak tangannya. Dia semakin hanyut dan terus menjauh. Tidak tahu ke mana mahu pergi...

Tiba-tiba, jantungnya berhenti berdenyut. Badannya menggeletar kesejukan. Selimut yang baru dibeli di kota metropolitan, New York tidak dapat mengurangkan rasa sejuk tubuhnya. Ah... dia mungkin terlupa mencari alat yang boleh memanjangkan umur manusia. Dia mahu hidup seribu tahun lagi tetapi alat yang paling asas itu tidak ditemuinya.

‘Aku mahu hidup lagi! Masih ada yang belum selesai!!’

Dia mahu membina sebuah mahligai indah. Manusia ini mahu hidup di dalamnya bersama insan-insan yang dikasihi. Segala penat lelah selama ini akhirnya membuahkan hasil dan dia mahu mengecapinya. 

Aku tersedar dari lamunanku apabila terdengar bunyi SMS masuk dari telefon bimbitku.

Kak Sha, doakan Dilla. Peperiksaan akhir.

Aku segera  membalas SMS dari Adilla.

Insya-ALLAH, adik akak mampu buat. Akak yakin. Doa akak dan mak sentiasa dekat buat Dilla tersayang.

Mak... wajah mak dan Datin Khatty muncul bersilih-ganti. Mereka sama-sama bergelar ibu. Ibu yang dikurniakan rasa kasih di dalam hatinya oleh ALLAH SWT. Akan tetapi, rasa kasih itu tidak hadir di dalam hati Datin Khatty. Memanglah, aku bukan anak yang dikandungnya. Begitu ketara dia menunjukkan kebenciannya terhadapku. Dia mengusirku dalam diam. Dia mahu aku pergi jauh dan tidak kembali...

Air mataku menitis sayu. Siapalah aku jika mahu dibandingkan dengan Tengku Amalin, calon menantu kesayangan Datin Khatty. Aku mula berasa rendah diri.

‘Salahkah aku kerana dilahirkan tanpa binti seorang dato’?’ aku menyoal diriku sendiri.

Benar, makku bukanlah seorang yang berpangkat bahkan bukan siapa-siapa. Orang kampung hanya mengenalinya dengan nama Mek Jarah. Arwah ayahku pula belum sempat mendapat gelaran datuk sebelum ajal menjemputnya. Aku redha dengan ketetapan ILAHI, namun hati kecilku tetap berasa sayu apabila terkenangkan penghinaan yang dilemparkan terhadap insan mulia yang telah membesarkanku.

“Jauh termenung. Ingatkan siapa?” Azmar menyapaku lembut.

“Tak ada ingat sesiapa pun,” jawabku pendek.

“Aik! Asha menangis?” Dahi Azmir dikerutkan.

“Tak adalah. Mata masuk habuk tadi,” kataku sambil tersenyum. Bukan! Aku yang memaksa diriku mengukir senyum. Senyuman paling manis buatnya.

“Betul sangatlah. Mar hendak keluar sekejap. Apa-apa hal, Asha mesej.” Azmar segera berjalan ke arah pintu yang terkatup rapat.

“Jaga diri,” jeritku perlahan.

“Asha pun sama. Jadi diri baik-baik,” Azmir diam sejenak.

“Jangan banyak berangan. Nanti cepat berkedut,” Azmir mengenyitkan matanya lalu meninggalkanku. Mujur Azmar tidak banyak bertanya. Penting agaknya sampaikan tidak punya masa untuk bersoal-siasat denganku seperti biasa.

“Kalau staf baru di pejabat Asha hantar SMS, sampaikan salam padanya,” Azmar yang tadinya sudah tidak kelihatan tiba-tiba muncul dari celah jendela yang terbuka separuh.

“Aik, tak pergi lagi ke?” Aku berjalan perlahan ke muka pintu. Pintu yang telah ditutup Azmar kubuka perlahan.

“Tidak. Ingatkan dia dah sampai,” suaranya sedikit kendur. Kecewa agaknya. Insan yang ditunggu-tunggu belum kunjung tiba. Bukankah penantian itu adalah satu penyeksaan? Matanya tidak berkelip memandang jalan raya yang baru ditar di hadapan rumah kami.

“Ada temu janji dengan seseorang, ya?” aku  cuba sserkap jarang.

Azmir ketawa. “Biarlah rahsia,” Dia hanya mengenyitkan matanya sambil mengalunkan lagu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

“Eh, itu pun dia. Jangan lupa kirim salam pada Anuar.”

Mimpi apa pula sahabatku yang seorang ini? Tiba-tiba menyebut nama Anuar. Ah, biarkanlah. Biarkan?

Bayangan Anuar pula menjelma. Azmar telah menyebabkan aku kembali teringatkan Anuar. Gayanya, lagaknya, percakapannya tidak ubah macam Yang Berhormat. Senyumannya terus menghantui diriku.

Dia semakin dekat dan mendekat. ‘Astaghfirullah... adakah Khairul Anuar bin Dato’ Baharin ini telah dicipta TUHAN untukku?’

Ah, aku buntu. Aku bukanlah gadis sempurna yang menjadi dambaan setiap lelaki. Aku tidak seperti Fahri yang digilai Aisya, Maria, Nurul dan Nourell.  Sama sekali aku tidak layak!

‘Macamlah aku ini baik sangat,’ ungkapku sendiri. Entah berapa kali aku berkata-kata sendiri. Jangan jadi gila, sudah! Aku merenung kembali. ALLAH telah mengujiku dengan kehadiran tiga teruna yang mengharapkan secebis kasihku. Bukan kerana aku comel, bukan juga kerana aku berilmu tetapi mungkin kerana mahu menilai tahap keimananku. Mampukah aku melepasinya?

Entahlah... aku tidak sekuat Kak Rose yang begitu positif dalam perihal cinta dan perkahwinan. Dia tidak pernah berasa gusar tatkala mendepani persoalan hati dan perasaan. Kak Rose tidak pernah meletakkan syarat yang ketat buat bakal suaminya. Asal lelaki itu seorang teruna yang beriman kepada ALLAH, sudah mampu membuka pintu hati Kak Rose kepadanya.

Bakal pensyarah ini juga berpendapat, perihal hati, perasaan dan cinta adalah persoalan nombor dua. Walaupun tidak menafikan kepentingan aspek penerimaan dalam sesebuah hubungan, Kak Rose tidak mahu menjadikannya sebagai batu penghalang dalam mengejar cinta yang hakiki. Dia pernah dan masih mencintai Asyraf. Namun, Kak Rose tidak mahu rasa cinta itu membuatkan dia jatuh tersungkur daripada mencapai matlamat yang sebenarnya. Bukankah hanya kehidupan akhirat yang kekal abadi? Sesungguhnya, mengasingkan diri dalam tangisan kekecewaan sama sekali tidak dapat membantu!

Bilal sendiri sudah kedengaran sepatunya di dalam syurga ALLAH. Jadi, adakah menjadi satu keutamaan untuk meletakkan persoalan hati di tempat yang paling atas dalam mencari cinta? Sedangkan cinta yang sejati dan hakiki itu hanyalah daripada ALLAH yang satu. Bila ALLAH telah dicintai sepenuh hati, yakinlah bahawa ada makhluk lain yang akan mencintai diri kita seluruh jiwa dan raganya. Menurut Kak Rose lagi, apa-apa yang nampak cantik pada matanya boleh jadi tidak elok pada pandangan TUHAN. Maka, dia pasrah menanti segala ketetapan-NYA.

Argh!!! Aku malu sendiri. Kak Rose telah lulus dalam tarbiah yang diterimanya. Dia sentiasa tenang dan tidak terburu-buru. Aku pun hairan. Macam mana Asyraf dan Anuar tidak nampak permata yang sudah berada di hadapan mata? Mungkin ALLAH mahu memelihara Kak Rose dan mungkin juga ujian yang diterimanya bukan dari sisi hatinya yang murni.  Bukankah ALLAH itu lebih tahu akan makhluk ciptaan-NYA? Semuanya sudah berada dalam genggaman.

~bersambung~