Peraturan Jalan Raya & Peraturan Allah (i)


Assalammualaikum.

Huh... Sibuk bangat Muthiah hari ini. Banyak pula kerja yang tertangguh.

1- 4 kes (hehe). Macam kaunselor lak.
2- P-SI
3- C-bulanan

Moga-moga kan dipermudahkan urusan dan perancangan.

Hmmmm...

Balik Raya Cina baru-baru ini, Muthiah dan suami bertolak dari Taiping ke Pasir Mas seawal jam 5.00 pagi. Yang seronoknya, hehe... Muthiahlah yang menjadi 'pemandu'. Yang lagi menyeronokkan, kebiasaan perjalanan dari Taiping ke Kelantan lazimnya mengambil masa selama 5 jam tetapi apabila Muthiah drive, jadi 8 jam. Salah siapa? Hmmm...tidak ada salah siapa-siapa. Berhenti makan di Tasik Banding 1 jam, berhenti jalan-jalan di Bukit Bunga 1 jam dan berhenti jenguk Masjid Beijing 1 jam. Cukuplah 3 jam...

Coretan kali ini...

Apabila memandu di jalan Gerik (pada awal pagi pula)...jalannya :

1- Naik turun bukit.
2- Banyak sangat selekoh.
3- Gelap.

Menggerunkan... lebih-lebih lagi, Muthiah masih baru dan tidak mahir memandu. Rasa takut... risau... maklumlah, Muthiah ada 'bawa' 1 nyawa bersama Muthiah.

Jadi, selain membaca doa menaiki kereta di samping bacaan-bacaan lain... satu lagi perkara yang membantu ialah papan tanda yang tersedia serta garisan putih pada jalan. Boleh gambarkan apa yang Muthiah sampaikan?

Hmmm... Tatkala berada dalam situasi begini, apakah yang perlu kita lakukan?

1- Fokus pada pemanduan.
2- Beri perhatian pada papan tanda. Contohnya, kalau ada papan yang menunjukkan selekoh tajam, kurangkanlah kelajuan. Begitu juga pada garisan dua (double line), mana boleh memotong di sini!
3- Tenang dan tidak gelabah. Terutama apabila bertembung dengan lori/ bas besar.

Dalam pada ini, Muthiah terfikir... antara peraturan jalan raya yang perlu Muthiah ikuti serta peraturan Allah yang telah ditetapkan kepada Muthiah dan seluruh umat manusia lainnya.

Hmmm... setiap apa yang telah Allah tetapkan untuk kita, sebenarnya adalah yang paling baik untuk diri kita....

Bersambung ....

Muthiah : Balik kampung oo balik kampung..

Di sebalik tarikh


Assalammualaikum. Pagi tadi, Muthiah menerima sistem pesanan ringkas daripada Mama. Tazkirah ringkas yang boleh difikirkan. Hmmm… sesuatu yang boleh direnung-renungkan…

27/11/2009 ; JUMAAT – Hari Raya Aidil Adha

18/12/2009; JUMAAT – Tahun Baru Hijrah

25/12/2009; JUMAAT – Hari Natal (Krismas)

01/01/2010; JUMAAT – Tahun Baru Masihi (2010)

26/02/2010; JUMAAT – Hari Keputeraan Nabi SAW

02/04/2010; JUMAAT – Matinya Yesus Kristus

28/06/2010; JUMAAT – Hari Wesak

27/08/2010; JUMAAT – Nuzul Al-Quran

10/09/2010; JUMAAT – Hari Raya Aidil Fitri

05/11/2010; JUMAAT – Deepavali

Dan…

Muthiah : Takut mengenangkan hari pembalasan. Bersediakah aku? Hanya mengharapkan rahmat daripada Allah SWT.
Labels: 0 comments | | edit post

Bezday Card (26/02)



Kad ini dedikasi daripada adik Muthiah di Kolej Kediaman Pertama. Cantik dan kreatif, bukan?



Yang ini, kad pemberian teman-teman serumah di Vista. Muthiah dapat cawan. Terima kasih Che Su, Kak Nik, Kak Ila dan Kak Ina…



Pemberian Shida (PCM). Terima kasih, adikku ;)


Muthiah : Pernah punya pengalaman… memberi hadiah kepada seseorang (hadiah tersebut Muthiah buat sendiri) tetapi hadiah itu disimpan merata-rata. Mula-mula, kecil hati juga tetapi lama-lama, sudah OK.
Labels: 2 comments | | edit post

Wasilah

Kringgggggg…
Aduh, 5.30 pagi!!! Beratnya kepala… beratnya kaki… beratnya tangan. Asal jangan tambah berat badan, sudah. Baru-baru ini, BMIku berada pada kedudukan yang selamat. Alhamdulillah, maintain slim gitu.

Dalam kemalasan, aku gagahkan diri untuk bangun. Aik, tidak gerak-gerak. ‘Bangunlah… bangunlah…’ Aku memujuk diri. Banyak perkara yang perlu aku bereskan. Report ‘A’ belum siap lagi. Report ‘B’ pula menanti. Pada peringkat awal, aku sering membawa pulang kerjaku ke rumah. Namun, setelah di ‘basuh’ oleh bapaku, aku sekadar membuat kerja sebagaimana yang telah diamanahkan ke atasku. “Kakak hanya dibayar gaji untuk bekerja dari 8.30 pagi sehingga 5.30 petang,” begitulah leteran ayahku setiap kali aku merungut dengan kerja yang tiada tanda mahu surut. Bertambah sehari-hari. Pening aku dibuatnya.

Bebanan kerja bertambah… masa kerja meningkat… hanya gaji yang tidak mahu naik. Sudah tahu kerja banyak, tambahlah pekerja. ‘Tak luak pun duit company menggaji budak SPM,’ marahku. Setakat marah dalam hati. Maklumlah, aku sekadar kuli yang dibayar gaji oleh majikan. So, please shut up! Aku tidak punya hak untuk bersuara…

Benar, kadang-kadang aku membebel sendiri. Akulah buat kerja admin… aku juga yang menjadi orang HR… kerja marketing pun aku sapu. Kalau diikutkan, memang multi-tasking. Semua aku boleh buat. Eh, ada satu perkara yang aku tidak mampu buat. Aku tidak pandai membodek bos. Mungkin sebab itulah gajiku tidak naik-naik sampai sekarang. Nasib badan… Beruntunglah mereka yang pandai mengipas. Moga-moga, suatu hari aku dapat belajar cara mengipas yang paling baik dan berkesan. ‘Dengan siapa agaknya?’ Aku mula berfikir sendiri.

“Nurul, jangan lupa bayar bil telefon. Nanti, dipotong pula talian telefon kita. Susah nak deal dengan customer,” pesan bosku suatu hari. Aku sekadar memandang tanpa reaksi. ‘Aku kuli,’ bisikku dalam hati.

“Nurul, pastikan invois kepada syarikat di pantai timur diletakkan di atas meja saya sebelum lunch,” pesannya lagi. Mataku berkelip-kelip. ‘Aku kuli,’ aku berbisik sekali lagi.

“Nurul, air Tongkap Ali sudah habis…”
“Nurul, duit claim bila boleh dapat?”
“Nurul, kenapa bilik saya berhabuk?”

Begitulah sehari-hari. Aku memohon kerja di syarikat ini untuk jawatan Eksekutif Pentadbiran. Namun, setelah sebulan berada di sini, barulah kutahu bahawa skop kerjaku bukanlah selaku seorang eksekutif pentadbiran semata-mata tetapi merangkumi semua perkara yang melibatkan urusan syarikat. Mula-mula, aku berasa seronok. Al-maklumlah, sudah tentu banyak pengalaman yang dapat aku timba. Bukan mudah untuk menjadi pekerja yang serba boleh. Versatile gitu. Hanya insan-insan terpilih sahaja berpeluang menjadi sepertiku. Siapa mahu cuba? Angkat tangan!

Ada yang sekadar boleh mengarah dan mengemukakan idea. Macam… Ops. Tidak boleh cakap. Tidak pasal-pasal, gajiku dipotong nanti. Ada yang hanya boleh bercakap, berkata-kata, talking… samalah semuanya tu.

Akan tetapi, setelah aku merasai sesak nafas dalam meneruskan kehidupan di kota metropolitan ini, aku mula berkira-kira. Barang naik, cukai pintu naik, minyak naik (turun balik tetapi tidak banyak), bil air naik… beruntunglah mereka yang tinggal di negeri Selangor. Kenapa ya? Tanyalah penduduk setempat. Hidup YB! Sayangnya, gaji tidak naik-naik meskipun aku telah mendambakan diriku di sini setelah sekian lama. Mahu menjadi loyal staff tetapi keadaan tidak mengizinkan. Tekananku bertambah sehari-hari.

Entahlah. Mungkin majikanku tidak sedar. Atau mungkin, bebanan yang ditanggung syarikat besar. Maklumlah, syarikat kami masih baru dan persaingannya pula hebat. Untuk memberi kenaikan hatta sebanyak RM50 seumpama memberi sedekah sebanyak RM500. Banyak tu…

Tetapi, aku bukan meminta sedekah. Aku bekerja untuk syarikat dan aku telah mendambakan diriku buat syarikat tercinta. ‘Tercinta? Nurul, biar betul!’ Aku berkata sendiri. Kalaupun aku menjadi pengemis, tidak salah untuk menderma. Bukankah tangan yang memberi itu dipandang tinggi oleh Allah SWT? Aku mula mencari-cari dalil yang sesuai untuk menyokong hujahku.

“Nurul, tolong saya hubungi En. Hashim. Setkan appointment untuk saya dengannya dalam minggu ni,” kata En. Sakari, penolong bosku. Alahai, telefonlah sendiri. Aku perlu keluar segera. Tadi, pihak TNB telefon. Kami diberi tempoh sehingga petang ini. Jika masih tidak menjelaskan bil api tertunggak, elektrik akan dipotong serta-merta. Nanti, aku juga yang dipersalahkan. Telefon bimbitku juga yang akan berdering-dering. Semua salah aku. Tension!

Entahlah. Sukar untuk menghadirkan rasa ikhlas dalam diri. Kubelek majalah Mingguan Wanita yang baru kubeli dari kedai Pak Abu. Terdapat satu ruangan tazkirah yang menerangkan tentang ikhlas. Bilamana kita melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah semata-mata, pasti ada ganjaran yang besar buat kita. Sekiranya kita tidak mendapatnya di dunia, yakinlah bahawa kita pasti memperolehinya pada hari akhirat kelak.

Namun, masih sukar untuk mengikhlaskan diri. Himpitan hidup menjadikan aku begitu berkira dengan syarikat. Meskipun bosku tidak strict seperti Ravi Gopal (majikanku terdahulu), aku masih tidak mampu untuk menghadirkan diri dalam kerjaku. Kalau dahulu, kerja yang aku lakukan adalah untuk kemajuan syarikat tetapi tidak kini. Aku kini bekerja untuk mendapatkan wang.

Ada perut yang perlu diisi. Bukan perutku sahaja bahkan perut Kancilku. Aku sekadar makan nasi tetapi Kancilku… ‘makan’ minyak, ansuran bank, road tax, maintenance dan banyak lagi. Boleh botak kepalaku. Mujur aku bertudung. ‘Nurul, Sesungguhnya amal seseorang bermula dengan niat (Hadis Arbain : 1)!’ Satu bisikan muncul. Astaghfirullah. Aku bertudung kerana Allah, bukan untuk menutupi kekurangan diriku.

Aku berfikir sendiri. Kenapakah aku bekerja di sini? Kenapa aku masih bertahan? Ya, pekerjaan ini menjadi wasilah buatku untuk memperoleh fulus. Daripada gaji yang kuterima, membolehkan aku meneruskan kehidupan sehari-hari. Membolehkan aku membayar pinjaman PTPTN… memberi sedikit wang kepada keluarga di kampung.

Sedih apabila dikenangkan. Usai kecil ibu bapa banyak berkorban untukku. Namun, setelah berjaya di menara gading, aku masih tidak mampu untuk membantu mereka. Sikit-sikit bolehlah. Untuk memberi lebih, sukar. Aku tidak boleh berbangga dengan Ijazah Sarjana Muda yang aku peroleh. Meskipun budak ‘U’, aku diberi gaji setaraf gaji diploma. Argh… ‘Dan tatkala Tuhanmu memaklumkan : Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih (Ibrahim :7),’ bisikan hadir lagi. Astaghfirullah. Aku terlupa buat kesekian kalinya. Syukur kerana diingatkan Allah melalui tarbiyah-Nya.

Minggu depan, aku akan menghadiri KMK atau nama panjangnya, ‘Kursus Mutu Kerja’. Bagiku, tiada gunanya kursus ini dianjurkan. Mutu kerja bukannya meningkat. Daripada menganjurkan kursus sebegini, lebih baik digunakan duit tersebut untuk memberi bonus kepadaku serta pekerja-pekerja lain yang masih setia di sini. Bukan mudah untuk setia. Jika pasangan tidak concern pun boleh berpaling arah. Inikan pula kerja. Yang kaya, hanya bos dan mungkin kroni-kroninya. Aku? Beginilah jua. Mujur peluang kerja tidak banyak menyebabkan aku masih di sini.

“Mengapakah kamu semua dihantar ke sini?” Tanya fasilitator kepada para peserta.
“Untuk meningkatkan mutu kerja,” jawab Olan bersungguh-sungguh. Mamat Kelantan yang seorang ni memang sentiasa bersemangat waja dengan tindakannya.
“Untuk apa kamu bekerja di sini?” Tanyanya lagi. Handsome jugak pakcik fasi ni. Sudah berpunya ke belum? Aku single but not available namun masih boleh dirunding. Ketampanannya menjadikan aku bersemangat untuk mengikuti kursus kali ini.
“Nurul?” Alamak, aku berkhayal tadi. Kacau daun betul.
“Ya saya, En. Ajib.”
“Boleh berikan pendapat kamu tentang soalan saya tadi,” ia berkata dengan senyuman di bibirnya yang merah. Sebagai tanda ia tidak merokok. Memang memenuhi ciri-ciri jejaka idamanku.
“Maaf, saya tidak faham soalan tadi,” aku cuba cover line. Kulihat teman-temanku tersenyum sumbing. Kurang asam punya kawan.
Dengan senyuman yang tidak lekang ia berkata, “Mengapakah kamu memilih untuk bekerja di sini?” Aduh, malunya aku. Susahnya soalan (dalam bracket).
Dengan yakin aku menjawab, “Sebagai wasilah untuk mendapatkan duit.” Eh, betul atau tidak jawapanku ini?
“Iya, bagus Nurul. Pekerjaan merupakan wasilah bagi kita untuk mendapatkan rezeki. Ia juga menjadi wasilah kepada kita untuk menimba sebanyak mana pengalaman. Memang, kadang-kadang kita down. Mungkin kerana workload, gaji yang tidak setimpal, rakan sekerja yang tidak sekepala tetapi percayalah bahawa melalui pengalaman yang kita perolehi, menjadikan kita manusia yang lebih kuat untuk mengharungi kehidupan,” terangnya panjang lebar.

Benar katanya. Kerja ini sebagai wasilah untuk menggapai sesuatu. Ia sebagai wasilah daripada Allah untuk memberi rezeki kepadaku. Ia juga menjadi wasilah bagiku untuk menimba 1001 pengalaman manis dan pahit dalam kehidupan. Aku harus lebih bersemangat. Cayok… cayok… gambatte…Tidak sabar untuk hadir ke pejabat dengan semangat baru.

Di pejabat, tiga hari selepas KMK…

“Nurul, air kopi sudah habis!”

Semangatku luntur kembali… ‘Jawapannya di sini… semangat kita yang hilang…’ Aku menyanyi sendiri.
Labels: 0 comments | | edit post

Di sebalik kisah Sayidatina Aisyah RA


Peristiwa Aisyah difitnah Abdullah bin Ubay.

“Sesungguhnya, orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakan. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu, baginya azab yang besar,” An-Nur ayat 11.

Kisah Aisyah dan Hafsah yang menyebabkan Nabi SAW murka.

“Dan ingatlah ketika Nabi membicarakan secara rahsia kepada salah seorang isterinya (Hafsah) suatu peristiwa. Maka, tatkala (Hafsah) menceritakan peristiwa itu (kepada Aisyah) dan Allah memberitahu hal itu (pembicaraan Hafsah dan Aisyah) kepada Muhammad lalu Muhammad memberitahu sebahagian (yang diberitakan Allah kepadanya) dan menyembunyikan sebahagian yang lain (kepada Hafsah). Maka, tatkala (Muhammad) memberitahu pembicaraan (antara Hafsah dan Aisyah) lalu (Hafsah) bertanya, ‘Siapakah yang telah memberitahu hal ini kepadamu?’ Nabi menjawab, ‘Telah diberitahu kepadaku oleh Allah yang Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal,’,” At-Tahrim ayat 3.

Teguran Allah kepada Sayidina Abu Bakar yang mahu menghentikan bantuan kepada Mustah (orang yang menyebarkan berita bohong tentang Aisyah dan Safwan).

“Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang,” An-Nur ayat 22.

Bukti Aisyah dan Safwan yang bebas daripada tuduhan zina.

“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula); dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik, dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih daripada apa yang dituduh oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezeki yang mulia (syurga),” An-Nur ayat 26.

Allah tidak akan mensia-siakan (Bedah buku)

Assalammualaikum...

Sudah lama sebenarnya Muthiah ingin bedah buku. Alhamdulillah, hari ini tercapai sudah impian itu.

Kisah Siti Hajar dan Ibrahim A.S.

Ringkasan cerita

Allah SWT telah memerintahkan Nabi Ibrahim A.S meninggalkan isterinya, Siti Hajar serta Ismail di satu lembah gunung-ganang berbatu. Bukan itu sahaja, anak beranak itu dibiarkan sendirian di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang.

Bilamana Ibrahim meninggalkan anak dan isterinya itu, Hajar mengekori Ibrahim dari belakang dan bertanya asbab mereka ditinggalkan namun Ibrahim hanya membisu.

Kemudian, bertanya Siti Hajar, "Adakah ini adalah perintah Allah?"

Nabi Ibrahim A.S pun membenarkan.

Setelah itu, Siti Hajar mengungkap penuh yakin, "Kita pasti tidak akan dipersiakan...."

Pengajaran

1- Allah yang Maha Tahu lebih tahu mana-mana yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Sesungguhnya, setiap ketetapan Allah buat diri kita adalah demi kepentingan kita sendiri/ untuk kebaikan kita. Hanya akal kita yang terbatas untuk memikirkannya.
~Taati perintah Allah; Jauhi larangan-Nya~

2- Yakinlah dengan Allah. Bilamana Allah memerintahkan (sesuatu perkara) kepada kita, pasti ada hikmah di sebaliknya. Sebagai Tuan Punya yang mencipta alam ini, Allah lebih arif dengan segala sesuatu yang berlangsung di atas muka bumi milik-Nya.
~Yakinlah dengan sepenuh-penuh yakin kepada Allah~

3- Hanya kepada Allah kita berharap dan memohon pertolongan. Tatkala berada dalam kebuntuan, carilah Allah. Dia pasti ada untuk menunjuk jalan.
~ Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan ~

Muthiah : Huhu... mengantuk sih...
Labels: 0 comments | | edit post

Takut!!!!!!!!!!!!!!!!!!!


Assalammualaikum.

Huh...sebenarnya, sudah lama ingin Muthiah coretkan tulisan ini tetapi entahlah...idea tidak ada... buntu...tidak tahu di mana hendak mulakan. Tidak tahu bagaimana...

Persoalan TAKUT!!!

Takut untuk bermula...
Takut untuk menyampaikan...
Takut untuk gagal...


Tanyakan pada diri;

Apakah yang menyebabkan kita berasa takut??? Takut gagal????

Percayalah...selaku manusia yang lemah...kita tidak akan mampu mengubah apa-apa. Kita boleh berusaha... Kita boleh melakukan tetapi hasilnya adalah daripada Tuhan. Semuanya dengan izin Allah.

Kita boleh menyeru orang lain kepada Allah tetapi Dialah yang menetapkan sama ada manusia itu mengikut jalan yang telah ditetapkan atau sebaliknya...

Jadi... kembalilah kepada peranan kita sebagai khalifatullah yang bertanggungjawab untuk :

1) Mengabdikan diri kepada Allah.
2) Mengajak manusia kepada Allah.
3) Memakmurkan bumi Allah.

Kalau tidak mampu buat semua... usah tinggalkan segalanya...

Dengan kata lain... sekiranya kita tidak mampu untuk 'pantas' seperti dahulu (dalam menyampaikan dakwah contohnya), buatlah apa yang kita mampu. Usaha jangan sampai meninggalkan terus. Tidak termotivasi? Mintalah dengan Allah agar diberi kekuatan dan jalan. Kita sememangnya tidak kuat. Hanya Dia yang boleh membantu kita.

Masih tidak yakin/ percaya diri? Jom kita selusuri ...

Satu ketika dahulu, Allah telah memerintahkan Ibrahim untuk membina kembali Kaabah di tapak asalnya (Kaabah telah dibina sejak zaman Nabi Adam A.S.). Kemudian, Allah memerintahkan Ibrahim untuk menyeru manusia kepadanya (ziarahi Kaabah). Berkata Ibrahim, " Ya, Allah. Bagaimana suaraku dapat sampai kepada pendengaran semua manusia?" Allah SWT menegaskan, "Tugas kamu hanyalah membuat seruan tetapi Akulah yang menyampaikan ke dalam hati manusia."

Pengajarannya?

Ya! Kita sebenarnya tidak perlu takut untuk berhadapan dengan kegagalan/ situasi tidak mencapai jaya kerana hakikatnya, segalanya adalah datang daripada Allah. Apa yang penting, kita berusaha keras dahulu. Kita mahu berjaya namun sekiranya ditakdirkan kejayaan itu belum menjadi milik kita, usahlah sekali-kali kita berputus asa. Allah ada mendengar setiap rintihan dan rayuan kita.

Masih lagi lemah?

Hmmm.... pilihlah untuk menjadi KUAT. Katakan pada diri, "AKU KUAT! AKU BOLEH BUAT!"Yakinlah Allah ada dan DIA maha dekat dengan diri kita. Gunakan kelebihan yang ada dalam diri kita untuk membawa manusia lainnya kepada Allah. Boleh jadi kita tidak pandai menyampaikan kuliah dan ceramah tetapi kita bisa menulis... Jadi, MENULISLAH... Boleh jadi kita tidak pandai menulis tetapi kita punya kelebihan dalam menarik orang lain untuk mendekati diri kita... Jadi, jadilah MURABBI yang mengasihi mutarabbinya :)

Justeru, kuatkan semangat. Bilamana terjatuh...cubalah bangkit. Kalau tidak mampu bangun...panggillah seseorang yang dekat untuk mengangkat kita. Kalau masih tidak boleh!!! Kembalilah kepada Dia yang tidak ada siapa yang mampu menandingi-Nya.

Caiyok... caiyok...

Muthiah : Dedikasi buat teman yang Muthiah kasihi fillah..

Malas...


Dua tiga hari ini, Muthiah dikuasai oleh perasaan malas. Malas bangat sih! Paling mendukacitakan, Muthiah berasa malas untuk mengaji. Ada sahaja alasan untuk ‘cet lat’ tetapi cuba paksa diri juga. Khuatir jika ditinggalkan, akan menjadi kebiasaan pula. Namun, Alhamdulillah. Ada juga yang mampu dibuat walaupun dalam keadaan yang tidak seperti biasa. Huhuhu…

Bagaimana dengan aktiviti lainnya? Membasuh, memasak, menulis… Malas tetapi Muthiah cuba buat sedikit demi sedikit (kecuali bahagian memasak ~ mesti buat). Yang penting, dilakukan secara berterusan. Itulah yang Muthiah pegang. Hmmm…

MALAS… Apakah ubat kepada penyakit malas?

1- Tekad yang kuat tetapi sejauh mana? Hmmm…
~ Bersemangatlah dalam melakukan sesuatu perkara. Fikirkan! Ada sesuatu yang perlu dicapai.

2- Sabar dan terus bangkit daripada perasaan malas.
~ Dengan kata lain, kita tidak boleh biarkan perasaan malas ini terus menguasai diri. Bangkit dan usah mencari seribu satu alasan untuk mengelak. Carilah sesuatu yang boleh membangunkan diri. Motivasi diri contohnya.

3- Kadang-kadang, perlu memaksa diri supaya menjadi seorang yang tidak malas.
~ Kita malas mengaji tetapi kita memaksa diri membaca ayat-ayat Allah itu. Mula-mula, mungkin kita melakukannya dalam keterpaksaan. Namun, apabila kita sudah dapat merasai ‘sinarnya’, kita akan berasa selesa dan senang.

Muhammad bin Abdullah As-Syibli pernah menyebut, “Apabila kamu ingin merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, kamu hendaklah GARANG terhadap dirimu. Bilamana kamu telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila berpisah dengan Dia.”

4- Usah biasakan diri dengan hidup senang
~ Baju kita sudah biasa dibasuh… Makanan kita sudah biasa disediakan… Selagi makanan tidak berhidang di atas meja, kita sama sekali tidak mahu bangkit daripada pembaringan. Maklumlah, semuanya dibuat oleh orang lain yang sayangkan kita. Ibu contohnya.

Selaku anak, usahlah menjadikan hal ini sebagai suatu kebiasaan. Waktu kecil… ibu sudah menyediakan segalanya buat diri kita.Sudah besar panjang pun begitu juga? Secara tidak langsung, bisa memupuk sifat malas dalam diri kita. Impaknya… bukan sekarang tetapi pada masa akan datang. Setelah kita berumah tangga mungkin. Nanti, adakah kita jangkakan semua ini akan disediakan oleh bakal teman hidup kita?

5- Banyakkan berdoa kepada Allah
~ Doa itu senjata orang Mukmin. Ada juga yang tidak mahu memiliki sifat malas/ sambil lewa namun… kebiasaannya sudah begitu. Selama dua puluh tahun ia hidup di atas muka bumi, itulah sikapnya sehari-hari. Hendak berubah… semacam payah. Jadi…

Selain berusaha untuk berubah (ke arah yang lebih baik), kita perlu banyakkan berdoa. Mintalah kepada Allah agar ditunjukkan jalan buat kita. Mohonlah agar kita dipilih Tuhan untuk menjadi insan yang lebih baik.

6- Bergaul dengan mereka yang rajin
~ Kalau kita duduk sebilik dengan orang yang rajin, manalah tahu … sedikit sebanyak aura tersebut boleh melekat pada diri kita. Kalau tidak… entahlah. Tanyalah pada diri. Contohnya, rakan sebilik kita seorang yang rajin mengulangkaji. Tidakkah kita berkeinginan untuk menjadi sepertinya?

Baiklah, nanti Muthiah sambung lagi, ya…

Dan…percayalah… SEORANG YANG TIDAK MALAS, insya-Allah akan disenangi oleh mereka yang berada di sekelilingnya.

Muthiah :Hehe… semangat baru sudah hadir.

Apa punya mimpi daaaa….


Assalammualaikum. Apa khabar semua? Hmmm… apa? Stres? Sabar, ya. Setiap apa yang berlaku dalam hidup dan diri kita, pasti ada hikmahnya. Allah mahu kita kembali kepada-Nya.

Hehe… perkongsian santai minggu ini…

Adoi…

Muthiah bermimpi… Muthiah dan suami tinggal di sebuah rumah kedai. Kedai ini milik seorang lelaki. Muthiah dan suami menyewa di tingkat atas. Sekali ingat, semacam rumah kedai papa Muthiah sewaktu Muthiah berada di tingkatan dua (Depan Pasar Sungai Tong).

Hendak dijadikan cerita, Muthiah dan suami pergi berjalan-jalan. Tidak dapat Muthiah pastikan ke mana. Namun, sekembalinya ke tempat penginapan, tuan punya kedai memaklumkan bahawa penggambaran filem ‘Ali Setan’ arahan Azmil Mustafar di tingkat atas kedai tersebut sedang berjalan. Dengan kata lain, ada shooting di tempat tinggal Muthiah dan suami daaa…

Muthiah nampak Azmil Mustafar tetapi tidak nampak pula artis-artis lain yang sedang berlakon. Tiba-tiba… alarm telefon berbunyi. Apa lagi, Muthiah pun membebel sendiri kerana telah mengganggu penggambaran yang sedang dibuat. Muthiah pun tercari-cari telefon bimbit Muthiah.

Huhuhu… Dalam mencari-cari, Muthiah pun jumpa. Nah! Muthiah tersedar dari tidur. Rupanya, memang benar alarm telefon bimbit Muthiah berbunyi. Mujur tidak betul-betul mengganggu penggambaran yang sedang berlangsung.

Muthiah : Suami kata, “Sabo je laaaa…”
Labels: 0 comments | | edit post

Tasik Raban (7.1.10)


Sambil minum air, sambil bergambar...


Hehe... senyum itu sedekah..


Hmmm....survey-survey..


Beli untuk tempahan dari KB. Hehe...siapa-siapa yang hendak tempah... boleh emel ya ;)

Dugaan cinta tak bermata

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Sekejap-sekejap aku memandang siling, sekejap-sekejap aku merenung ke luar jendela. Kecut juga perutku tatkala melihat kegelapan malam. Lagi kecut bilamana memikirkan hanya aku sahaja di kamar ini.
Adilla dan Sarah pulang ke kampung halaman. Ingin mendapatkan restu ibu dan bapa kata mereka. Al-maklumlah, peperiksaan akhir semester semakin hampir. Aku? Aku tidak punya siapa-siapa. Bapa dan ibuku sudah aman di alam sana. Moga-moga rohnya dicucuri rahmat.
Tiba-tiba, wajah Asrul berlegar-legar di fikiranku. Aku cuba menepis ingatan itu tetapi ia tetap mahu hadir, seakan-akan tidak mahu beredar dari sisiku. Aku keliru sebenarnya. Aku cintakan dia tetapi adakah lelaki itu benar-benar cintakanku? Kalau ia cinta, masakan ia sanggup…
“Abang sayang Fatin,” kata Asrul satu petang. Aku hanya tersenyum manja.
“Fatin sayang abang tak?” Ia bertanya kepadaku.
“Insya-Allah, sayang,” jawabku pendek.
“Sayang banyak mana?” Ia masih lagi mahu menjadi bak seorang pegawai polis yang sedang menjalankan siasatan.
“Banyak sikit daripada sayang abang pada Fatin,” kataku ikhlas. Ya, aku amat kasihkan lelaki ini. Asrul yang kukenali sejak tahun pertama pengajian di varsiti betul-betul membuatkan aku gila bayang, gila sendiri… boleh juga dikatakan sebagai angau.
“Buktikan cinta Fatin,” kali ini, Asrul berkata tegas. Wajahnya yang selama ini kelihatan tenang sudah berubah rupa. Asrul lain dari sebelumnya.
“Hmmm…” aku berdengus perlahan.
“Nak buktikan macam mana?” Tanyaku manja.
“Malam ni, bermalam dengan abang,” segera ia menarik tanganku dan menciumnya dengan rakus.
“Apa ni?” Terkejut dengan tindakan luar kawal Asrul, aku cepat-cepat menepis tangannya yang kasar. Aku berundur sedikit ke belakang. Mujur aku tidak mengikut ajakannya untuk bertemu di tepi taman. Kalau tidak!!! Alhamdulillah, Allah menggerakkan hatiku untuk bertemu dengannya di sini… tempat awam yang terbuka dan tidak mungkin dapat mendorong kami daripada melakukan sesuatu yang dilaknati Tuhan.
Kuakui, kefahaman agamaku cetek. Ilmuku tidak semacam gadis-gadis lain yang bertudung labuh dengan jubah dan baju kurung. Aku lebih selesa menyarung baju lengan panjang dengan skirt labuh di samping tudung bidang 45. Namun, jangan kerana penampilanku yang ‘kurang’ muslimah, aku boleh diperkotak-katikkan! Aku masih punya harga diri dan aku masih takutkan Tuhan.
“Fatin…” lembut Asrul kembali memujukku.
“Sabar sayang. Dunia dah berubah, jangan terlalu kolot. Zaman sekarang, ada dara bermakna kuno,” dengan selamba ia berkata-kata.
“Got to go, assalammualaikum,” segera aku berlari anak meninggalkannya terkebil-kebil sendiri. Aku marah sebenarnya. Adakah dia benar-benar cintakan aku? Kalau betul ia cinta, pasti ia akan berusaha untuk memelihara maruahku. Bukankah aku bakal isterinya? Sanggupkan ia beristerikan seorang gadis yang tidak punya dara? Tiba-tiba, air mataku mengalir. Asrul betul-betul telah menghancurkan hatiku.
“Kau akan menyesal!” Asrul menjerit dari kejauhan. Aku tidak sanggup menoleh ke belakang. Tidak percaya dengan apa yang berlaku hari ini. Asrul sepertinya bukan lelaki yang aku kenali selama ini. Dia orang asing! Dia mementingkan diri sendiri dan ia lupakan Tuhan dalam sekelip mata. Betullah kata Ustaz Khoirul Anuar Mat Zuki dalam kuliah Maghrib baru-baru ini, “Janganlah kamu mendekati zina…”
“Jangan duduk berdua-duaan dengan bukan muhrim…”
“Jangan terlalu mengagungkan cinta…”
“Kerana ada ‘orang’ ketiga di antaranya…”
*****
Sejak peristiwa tempoh hari, aku dan Asrul tidak lagi berhubungan. Aku tekad untuk memutuskan hubungan dengannya sementelah dia tidak ikhlas dalam ikatan yang terjalin di antara kami. Kalau lelaki ini tulus, masakan ia sanggup memusnahkan hidup gadis yang dikatakan ia cinta kepadanya. Tidak! Cinta tidak buta tetapi pasangan yang bercintalah yang menjadikan ia tidak bermata.
Jauh di sudut hati, aku berasa tenang sebenarnya. Kalau tidak, selalu sahaja jantungku berdegup kencang… acap kali jiwaku meronta-ronta. Aku pun tidak pasti sebabnya tetapi kini, perasaan itu tidak lagi mengganggu hidupku. Aku senang dengan study-ku. Aku gembira dengan teman-teman kuliah yang understanding dan yang paling utama, perpisahanku dengan Asrul menyedarkan aku tentang kehadiran Tuhan.
Ya! Allah sedia ada cuma aku yang tidak mengendahkan-Nya. Kerana cinta, Ilah kubuang jauh-jauh. Kerana kasih, aku lupa perananku yang sebenar… aku lupa terhadap tanggungjawabku sebagai pelajar, rakan dan masyarakat. Bukan itu sahaja bahkan aku adalah khalifah di atas muka bumi ini.
Jika aku tidak menjalankan amanah, bermakna aku khianat. Bilamana aku khianat, takut-takut aku terjerumus bersama mereka yang dijanjikan azab oleh Allah SWT. Aku tidak mahu menjadi si munafik yang tidak takutkan Tuhan. Sama sekali aku tidak mahu berteman dengan Abdullah bin Ubay di dalam neraka jahanam.
Setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya dan hikmah yang kuperoleh daripada perpisahan ini ialah cinta baru. Benar, telah kutemui cinta yang lebih hebat daripada cintanya Asrul dan aku tidak punya halangan untuk bertemu dan merintih kepada Yang Dicinta ini. Dia sentiasa dekat denganku dan tidak sepertimana Asrul, Kekasih baruku ini jauh lebih baik… lebih hebat daripada cintaku yang terdahulu.
“Fatin! Fatin!” Sarah memanggil namaku sambil termengah-mengah. Berlari agaknya. Aku hanya membulatkan mataku yang bundar.
“Heboh satu kolej Fatin dot dot dengan Asrul!” Katanya lagi.
“Asrul sendiri yang buat pengakuan…” diam seketika. Mungkin Sarah mahu menyusun kata agar aku tidak terguris.
“Hmmm…” aku berdengus perlahan. Terkejut tetapi aku cuba untuk menenangkan diri. Aku yakin, Kekasih baruku pasti akan memberi solusi kepadaku.
“Lagi?” Aku bertanya perlahan. Rasa sebak kerana difitnah begitu tetapi aku harus kuat. Sedang Saidatina Aisyah RA difitnah dihina, inikan pula aku insan biasa. Sepertimana isteri kesayangan Rasulullah yang dibersihkan namanya oleh Tuhan, aku pasti Allah tidak akan membiarkan aku seorang diri menghadapi situasi ini.
“Dia jaja kat semua siswa, Fatin ni bohsia kelas atasan…” diam lagi.
“Dia kata Fatin lagi hina daripada pelacur-pelacur kat LHT (Lorong Haji Taib) tu,” perlahan Sarah bersuara.
“Astaghfirullah…”
“Alhamdulillah…”
“Allahuakbar…” aku bersuara keras.
“Fatin???” Sarah menyebut namaku dengan keningnya yang terangkat.
“Tak apa. Sarah tak perlu komen apa-apa. Sarah tinggalkan Fatin sendiri sekejap ya,” kataku sambil tersenyum.
“Hmmm…”
“Take care,” Sarah nampak ragu-ragu meninggalkan aku sendiri tetapi ia tetap berlalu pergi. Aku segera mencapai tuala yang terletak di tepi katil. Aku hendak membersihkan diri dan bertemu dengan Kekasih hatiku. Aku tahu, Dia pasti sudah maklum dengan apa yang berlaku tetapi aku masih mahu meluahkan kepada-Nya. Aku sedih dengan fitnah yang telah memburukkan nama baikku dan hanya kepada Dia aku berharap dapat memberi ketenteraman kepadaku.
Ya Allah Ya Rabbi Ya Rabbal ‘Alamin. Sesungguhnya aku tidak cukup kuat untuk melalui saat ini dan aku tidak cukup tega dalam menghadapi ujian ini namun kuyakin, Engkau sama sekali tidak akan membiarkan aku sendiri.
Ya Allah Ya Rabbi Ya Rabbal ‘Alamin. Dengan rendah hati aku bermohon. Dengan rasa hina aku berharap. Peliharalah aku daripada sesuatu yang memudaratkan. Seandainya, Humairah yang putih kemerahan Kau bersihkan namanya dengan wahyu-Mu, sucikanlah jua namaku dengan kekuasaan-Mu dan pasti tidak ada siapa yang mampu melawan ketentuan-Mu.
Ya Allah Ya Rabbi Ya Rabbal ‘Alamin. Ampunilah segala dosaku… dulu, kini dan akan datang. Aku manusia lemah yang banyak celanya. Berilah petunjuk dan hidayah buatku agar aku tidak tergelincir daripada landasan-Mu. Jika ujian ini hadir sebagai kafarah dosaku, aku terima Ya Allah. Moga-moga dengan itu dapat mengurangkan dosaku sebelum aku menemui-Mu. Ya Allah Ya Allah Ya Allah…
Air mataku merintih sayu. Aku buntu sebenarnya. Tidak tahu apa yang harus kulakukan. Aku tidak boleh berdiam diri dengan fitnah yang bermaharajalela tetapi kudrat gadisku tidak cukup kuat untuk itu. Aku tidak sanggup bersua muka dengan manusia di sekelilingku demi menegakkan kebenaran. Aku malu walaupun aku tahu aku di pihak yang haq.
Tok tok tok… kamarku diketuk.
“Masuklah, bilik tak kunci,” segera kukesat air mata yang mengalir.
“Fatin!” Sarah lagi. Ia datang mesti dengan berita terbaru.
“Assalammualaikum,” aku memberi salam.
“Waalaikumussalam. Urgent urgent. Tak sempat nak bagi salam,” ia mengerutkan dahinya yang luas.
“Apa yang urgent tu?” Berdebar sebenarnya. Khuatir ada cerita baru yang lebih panas!
“Asrul accident dengan lori simen. Motor dia hancur, tak ada harapan untuk hidup,” Sarah membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Innalillah, kat mana dia sekarang?” Cepat-cepat aku bertanya. Walaupun dia telah memfitnahku, aku tidak sanggup ia ‘pergi’ dalam keadaan begini. Lelaki ini pernah hadir menceriakan hidupku. ‘Ya Allah, ampunilah dosanya,’ aku berdoa di dalam hati.
“Tak tahu. Motornya hancur tapi tak tahu keadaan dia,” terang Sarah.
“Jom,” aku segera menarik tangannya yang lembut.
“Nak ke mana?” Sarah pula bertanya kepadaku.
“Jomlah kita turun bawah dulu,” kataku membiarkan ia tertanya-tanya sendiri. Tiba-tiba…
“Assalammualaikum wbt,” pengumuman dibuat dari pejabat. Macam kenal suara itu tetapi bukankah ia berada di ICU sekarang? Motornya hancur…
“Di sini, saya ingin memohon sejuta kemaafan kepada Saudari Fatin Nabila binti Hafiz atas keterlanjuran saya membawa berita tentangnya. Bagi yang telah maklum tentang berita itu, ingin saya nyatakan di sini bahawa ia adalah FITNAH semata-mata dan saya harap, fitnah itu tidak disebarluas. Kalau tidak, bertambahlah dosa saya,” masih sempat Asrul berjenaka dalam keseriusannya. Cepat-cepat aku berjalan menuju ke pejabat. Aku perlu bersua muka dengannya.
“Assalammualaikum,” aku memberi salam.
“Hah!” Mungkin terkejut dengan kehadiranku, Asrul terdiam seketika.
“Jawablah salam tu dulu,” kataku lagi.
“Waalaikumussalam,” jawabnya sambil menundukkan muka ke lantai.
“Eh, kata kau accident,” Sarah tiba-tiba menyampuk.
“Hmmm…” ia mengeluh perlahan.
“Memang accident tapi mujur kaki aku je yang luka. Aku sempat lari. Lori simen tu terbabas kena motor aku. Motor baru beli pula tu,” Asrul berterus-terang. Oooo, begitu ceritanya. Ingatkan sudah jadi arwah tadi.
“Fatin, maafkan abang ya,” ia memujukku. Diam…
“Abang nak kita sambung balik hubungan kita dan abang betul-betul menyesal dengan apa yang telah berlaku,” katanya lagi.
“Mintalah ampun dengan Tuhan…” diam seketika.
“Fatin dah lama maafkan abang,” aku berkata perlahan lantas meninggalkannya sendiri. Aku berjalan dengan hati yang tenang. Yang pasti, aku tidak akan menduakan cintaku terhadap Kekasih lama yang baru sahaja kusedari kehadirannya. Pasti! Aku mahukan kekasih yang diredhai oleh Dia yang tidak pernah meninggalkan aku sendirian. Aku tersenyum penuh makna.
Labels: 0 comments | | edit post

Hadis Arbain (20)


Daripada Abu Mas'ud Uqbah bin Amr Al-Anshari Al-Badri R.A berkata; Rasulullah SAW bersabda, "Sesungguhnya, sebahagian yang masih dikenal umat manusia daripada perkataan para nabi terdahulu adalah,'Apabila kamu tidak malu, buatlah sesuka hatimu,'." (HR Bukhari).

....

1- Malu merupakan akhlak para Nabi Allah serta malaikat.

2- Malu juga adalah sebahagian daripada iman. Apabila kita berasa malu untuk melakukan sesuatu yang ditegah Allah, insya-Allah... diri kita kan bisa dipelihara dan terpelihara.

Jadi.... :)

How to start? (i)


Assalammualaikum. Apa khabar semua? Hehe… Muthiah? ‘Ala kullihal Alhamdulillah. Masih lagi dikurniakan dengan nikmat ISLAM dan IMAN. Apa lagi yang lebih didambakan oleh seorang manusia melainkan nikmat yang tidak ternilai harganya ini?

Baru-baru ini, Muthiah menerima beberapa kiriman sistem pesanan ringkas (sms) daripada seorang teman. Ia bertanya kepada Muthiah dua soalan tentang penulisan :

1- Apa yang hendak ditulis?
2- Apakah jenis tulisan yang hendak dibuat?

(Rakan Muthiah ini mahu menulis…)

Sejujurnya, Muthiah bukanlah orang yang selayaknya untuk menjawab soalan ini. Muthiah bukanlah seorang penulis yang berpengalaman dan bukan juga insan seni yang punya karya masyhur. Penulis mantap dan mapan apatah lagi. Muthiah pun masih baru dalam dunia penulisan.

(Yang pasti… Muthiah gemar menulis dan Muthiah suka berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja yang menginginkannya.)

Namun, Muthiah akan cuba berkongsi setakat mana yang Muthiah mampu. Manalah tahu. Coretan yang sedikit ini mampu memberi impak yang besar buat teman Muthiah. Lagipun, selaku manusia… kita hanya boleh menyampaikan. Ilmu itu hakikatnya daripada SWT. Kita bukanlah siapa-siapa sebenarnya.

Apa yang hendak ditulis???

Hmmm… tanyakan pada diri :

1- Untuk apa kita menulis?


a) Mahu duit? ~ Tengoklah pasaran semasa. Apakah kehendak pembaca? Tulisan berkenaan motivasi? Cerpen? Novel? Atau kita mahu membuat sesuatu yang lain daripada yang lain. Apapun, buatlah kajian dengan apa yang hendak kita lakukan. Selepas itu, carilah penerbit yang boleh dipercayai. Tanyalah mereka (soalan-soalan yang sewajarnya) kerana mereka lebih berpengalaman dalam hal-hal sebegini. Kalau mahu menerbitkan sesuatu yang baru, hantarlah proposal. Kalau ditolak, kenal pasti sebab penolakan... Apa yang boleh dibaiki agar proposal kita diterima. Rendahkan diri untuk menerima kritikan dan cadangan. Sekiranya tetap ditolak, usah sekali-kali berputus asa. Cuba lagi ;)

b) Menyampaikan dakwah? ~ Bagus. Tulislah apa sahaja yang bisa membangunkan jiwa manusia. Boleh jadi tidak ada orang yang sudi menjenguk blog kita. Kalau ada pun, mungkin seorang dua. Percayalah… seorang dua itulah yang kelak boleh membantu kita pada hari akhirat kelak. Mana tahu, hati mereka tersentak dengan tulisan kita (yang hakikatnya daripada Allah).

Bersambung…

Muthiah : Hmmm… USAHA TANGGA KEJAYAAN.

Arigatougozaimasu Aunty Ros…


“Aunty rasa, lagi elok kalau kakak panggil aunty mama,” katanya suatu hari.

“Lagipun, apa orang kata…” ia menambah. Mama? Bukahkah mama itu bererti ibu yang melahirkan, dan mama yang melahirkanku telah kembali menghadap Ilahi. Tanggal Disember 9, 1990 mama pergi tak kembali. Mana mungkin ada mama lain sebagai pengganti.

Benar, ibu yang melahirkan telah meninggalkan aku terkapai-kapai sendiri. Namun, Tuhan itu Maha Tahu segala sesuatu. Tidak ada yang boleh terlepas dari pandangan-Nya. “Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya…1” Itu janji-Nya. Rabb tahu aku mampu menerima kehadiran insan baru dalam hidupku. Manusia yang sepatutnya kupanggil ‘mama’.

Ah, aku masih muda dan terlalu mentah. ‘Semuanya ditanggung beres,’ bisik hatiku. Asal aku dapat duit untuk dibawa ke sekolah… dibelikan baju baru … mendapat duit raya daripada ibu… Eh, ibuku telah tiada…

Ya, aku sebenarnya memerlukan seorang mama. Mama yang boleh kusalami tatkala hari raya menjelma. Mama yang boleh menjahitkan pakaian yang cantik-cantik. Mama yang boleh menyediakan santapan untuk dibawa ke sekolah. Naluri seorang anak yang dahagakan kasih sayang seorang ibu dapat dibaca oleh Tuhannya. Maka, dihadirkan seorang wanita yang banyak mengubah hidupku.

“Mama…” begitu berat untuk menyebutnya. Pasti kawan-kawan mentertawakanku. Aku mengaku ia mamaku sedang ‘mama’ itu sama sekali tidak melahirkanku. Aku malu sendiri…

“Kakak, kerja elok-elok…”
“Kakak, baju pengantin sudah mama tempahkan…”
Semuanya ‘mama baru’ yang buat dan tidak pernah pula ia mengharapkan balasan daripadaku. “Bayaran memberi galakan buat kakak, RMXXX…”
“Bayaran mempersiapkan majlis kahwin kakak, RMXXX…”

Tidak! Dengan tulus ia menyayangiku sepertimana ia mengasihi adik-adikku lainnya…adik yang dilahirkan dari rahimnya sendiri. Bukan itu sahaja, ia sanggup membesarkan adikku yang telah ditinggalkan mama sewaktu ia masih merah lagi. Bukankah ia telah menjalankan tanggungjawab seorang ibu sekaligus memainkan peranannya sebagai mama.

Ketahuilah… dirimu bukan aunty… dirimu bukan juga kuanggap seperti ibu tiri tetapi engkaulah ‘MAMA’ku dunia akhirat. Moga kasih kan utuh selamanya…

4.28pm, Taman Simpang Taiping

Pabila masa berlalu tanpa...


Assalammualaikum.

Apa khabar semua? Hmmmm... idea untuk menulis tidak datang-datang.

Muthiah tengok komputer riba, komputer riba itu pun tengok Muthiah. Sama-sama tengok tetapi 'ia' diam seribu bahasa.

Muthiah muncung, 'ia' tetap diam. Ish... tidak ada tindak balas.

Muthiah sengeh sorang-sorang, ia maintain ayu (komputer riba Muthiah, namanya Tijah). Aisey.

Hmmm... jadi, apakah solusinya???

Tidur??? Hehe... tidak mengantuk lagi.

Membaca??? Huhu... malas!

Jadi.... melalutlah di sini. (Jangan marah, ya. Nanti cepat tua).

Hmmmm... persoalannya. Apakah yang akan kita lakukan tatkala kebuntuan? (Macam Muthiah sekarang? Idea tidak datang-datang). Sudah berjam masa berlalu tetapi masih KOSONG...

Sedih? Kecewa? Marah?

Tidak... Jawabnya... KEMBALILAH KEPADA DIA yang memberi dan mengambil kembali.

DIA yang memberi ketenangan. DIA juga yang memberi kesenangan serta kemewahan.

Namun, di sebalik ketenangan, kesenangan dan kemewahan itu, DIA turut menguji hamba-hamba PILIHAN-NYA... untuk mengenalpasti sejauh mana kita ikhlas terhadap-Nya. Muthiah ulang... HAMBA PILIHAN-NYA. Sesungguhnya, tidak mudah menjadi insan yang terpilih di sisi Allah. Cuma, kita sahaja yang jarang sekali mahu mensyukurinya.

Ingatlah, wahai teman. Kita tidak sendiri. Bilamana kita buntu... kita keseorangan... kita kesepian.. percayalah bahawa Allah Maha dekat dengan diri kita.

"Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dan mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya; dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya..." Qaaf : 16.

Jadi... ayuh bangkit. Usah jadikan kebuntuan diri itu sebagai satu kekangan/ kelemahan untuk kita maju ke hadapan. Apa yang penting... kita jelas dengan matlamat dan hala tuju kita. Kita tahu... Allah sentiasa ada bersama dengan kita... yang setiap saat dan ketika memberi pertolongan dan kekuatan buat diri kita.

Muthiah : Haha... Macam sudah melalut sahaja. Yang baik, jadikan panduan. Yang tidak relevan, fikir-fikirkan..

Kukatakan A... Fikirlah B @ C...


Assalammualaikum. Apa macam aktiviti hujung minggu? Hmmm... apa pun, Muthiah berharap agar teman sekalian dapat memanfaatkan waktu luang yang ada dengan melakukan aktiviti berfaedah....

1- Merapatkan ukhwah dengan insan tersayang ~ keluarga, suami/ isteri dan sahabat-handai (syaratnya, sama jantina. Hehe).

2- Bersukan, berkelah, berziarah dan apa jua aktiviti yang bisa mengeluarkan peluh/ menggembirakan/ menenangkan/ merapatkan persaudaraan. Iyalah...seminggu suntuk stres di tempat kerja. Jadi, ambil masa dan ruang ini untuk menenangkan kembali fikiran. Lupakan seketika soal kerja. Pasti!!! Kerja tidak akan habis. Waktu kerja, kerjalah dengan bersungguh-sungguh dan lakukan yang terbaik. Waktu cuti... luangkan masa sebaiknya dengan orang yang tersayang. Mungkin ada sesuatu yang ingin diluahkan kepada kita..

Hehe. Melalut pula Muthiah. Sebenarnya, Muthiah ingin berkongsi pengalaman 'drive' Muthiah buat tatapan semua.

Satu malam, Muthiah memandu dari Taiping balik ke rumah melalui AuLong. Hujan baru sahaja berhenti... Dalam lopak...banyak air sih..

Hendak dijadikan cerita... laluan dari Aulong ke Simpang agak sempit dan jalannya tidak berapa baik. Lubang dan lopak pun banyak. Sebagai pemandu lesen P, Muthiah hanya 'berani' memandu terus dan terus. Adoi... macam mana ingin Muthiah perjelaskan?

Dengan kata lain, apabila berhadapan dengan lopak... Muthiah akan melalui lopak tersebut sedang orang lain, pasti akan berusaha mengelakkan lopak/ lubang. Iyalah...

Muthiah pun memberitahu suami, "Ikutkan apa yang Muthiah belajar, elakkan diri daripada masuk ke dalam lopak/ lubang (yang ada air). Ish, memang tidak praktikkan...."

Suami menjawab, "Tidak apa. Lagipun, tidak ada orang. Belajar perlahan-lahan." Suami terdiam.

Muthiah berkata lagi, "Itulah... kita kena elak lalu lopak/ lubang. Takut terpercik pada orang di tepi..." Suami tetap diam.

Kemudian, barulah ia bersuara semula.. "Ingatkan.. hendak hindar lopak sebab takut masuk lubang dalam. Rupanya takut terpercik pada orang...Oh...."

Hehe... Dengan cool Muthiah berkata, "Hmmmm.. itulah. Biasalah... Kalau Abe fikirkan A (dalam kotak fikiran), jawapan daripada Muthiah mesti C (maksudnya, tidak terjangkau dek fikiran)."

Hahaha... bertuah punya bini...

Muthiah : Alhamdulillah. Sudah dapat markah 79 dalam pemanduan sebab:

1) Tidak panik sewaktu berlaku sesuatu yang tidak diingini.
2) Memandu dalam hujan serta pada waktu malam.
Labels: 0 comments | | edit post

Tiba-tiba

Malam itu, Mak Munah tidak dapat tidur lena. Sekejap-sekejap ia menuju ke ruang tamu, sekejap-sekejap ia berjalan ke muka pintu. Risau benar Mak Munah. Berkali-kali ia menasihati Khatijah agar tidak ke mana-mana sesudah habis kelas tetapi anak bongsu kesayangannya itu acap kali mengingkarinya. Entahlah, Mak Munah sudah buntu.

“Mak tak tidur lagi?” Tanya Fatimah, anak sulung Mak Munah bersama Pak Karim. Umurnya baru 19 tahun dan kini sedang bekerja di kilang getah Muthusamy. Sejak kematian Pak Karim akibat kemalangan jalan raya tahun sudah, Fatimah mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan pelajarannya ke peringkat lebih tinggi meskipun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Alasan yang diberi, ingin membantu Mak Munah yang menghidap penyakit asma di samping memberi peluang kepada adiknya meneruskan pengajian.

“Mak tak mengantuk lagi Timah,” kata Mak Munah perlahan. Jauh di sudut hati, Mak Munah sebenarnya runsing memikirkan keselamatan anak bongsunya. Mak Munah sudah tidak punya siapa-siapa. Hanya Fatimah dan Khatijah yang dia ada. Sebenarnya, Pak Karim adalah suami Mak Munah nombor dua. Suaminya yang pertama telah meninggal dunia seminggu selepas mereka akad nikah. Pak Leman juga terlibat dalam kemalangan jalan raya yang menyebabkan otaknya hancur berkecai. Kain batik yang ingin dihadiahkan kepada isteri tercinta hanyir dek bau darah yang memercik tetapi Mak Munah tidak peduli, kain itulah yang menjadi pengubat hatinya yang lara tatkala ditinggalkan suami terkapai-kapai sendiri sedang waktu itu, ia masih belum bersedia.

“Timah tidur dulu ya mak. Esok, Muthusamy minta Timah masuk kerja awal. Kena uruskan penghantaran getah yang sudah diproses sebelum tengah hari,” Fatimah berkata lembut.
“Baik…” pendek Mak Munah mengiyakan.
“Ada Adik cakap apa-apa?” Mak Munah bertanya.
“Tak ada pula mak. Nanti Timah hubungi dia,” segera Fatimah mengambil telefon bimbit second-hand yang ia beli daripada Sanggetha, anak Muthusamy nombor tiga.

Kring kring… kring kring…
“Assalammualaikum,” Fatimah memberi salam.
“Hello,” kata satu suara. Mata Fatimah yang sedia bulat dibulatkan. ‘Siapa lelaki ni?’ Ia bertanya sendiri.
“Maaf, salah nombor,” cepat-cepat Fatimah meletakkan telefon bimbitnya. Tidak manis bercakap dengan lelaki lewat-lewat malam. Khuatir ada ‘orang’ ketiga tapi… ia perlu mencari adiknya. Fatimah tahu ibunya kini sedang kerisauan. Kalau tidak, masakan ia tidak tidur lagi. Hari ini, seharian ibunya di rumah Mak Som menolongnya menyiang ikan. Maklumlah, esok ada kenduri kesyukuran menyambut kepulangan anak sulung Mak Som yang menuntut di luar negara. ‘Rafiq Rafiq,’ Fatimah tersenyum sendiri mengenangkan teman sepermainannya waktu kecil itu.

Kring kring… kring kring…
“Hello,” kata satu suara. ‘Lelaki ini lagi,’ Fatimah memuncungkan mulutnya.
“Nak cakap dengan siapa?” Lelaki itu bertanya.
“Hmmm…” Fatimah diam sejenak.
“Ini 013-63xxxxx?” Sambungnya.
“Ya, nak cakap dengan Khatty ke?” Diam…
“Hold on ya,” segera lelaki itu menyerahkan telefon bimbit berjenama Sony Ericson kepada empunya diri.
“Siapa?” Kedengaran suara berbisik.
“Tak tahu, tak cakap pun. Kawan you kot,” Lelaki itu menjawab perlahan.
“Hello…” Nah, ini suara Khatijah! Hati Fatimah berdegup kencang. Siapakah lelaki di sisi adiknya itu?
“Assalammualaikum dik. Mak tanya, malam ni balik jam berapa? Dah lewat malam ni,” berhati-hati Fatimah mengeluarkan kata-kata. Adik bongsunya ini bukan boleh diramal mood-nya. Khuatir jika tersalah cakap menyebabkan ia bertindak melulu.
“Alah kakak ni. Bagitau mak, Tijah tak balik malam ni. Ada discussion…” perlahan-lahan ia bersuara.
“Kak, I need to go now. Kena siapkan assignment malam ni juga. See you tomorrow,” Khatijah pun mematikan telefon bimbitnya lantas berlari ke arah teman-temannya yang sedang setia menanti.
“Let’s start,” jerit mereka sambil membuka botol minuman berjenama Bourbon.

“Adik cakap apa?” Tanya Mak Munah cepat-cepat.
“Mak tak perlu risau. Adik ada dengan kawan-kawan dia. Banyak kerja katanya. Mak tidurlah dulu ya,” pujuk Fatimah namun jauh di sudut hatinya, ia juga risaukan keadaan adik bongsunya itu.
“Timah tidurlah. Mak tak mengantuk,” Mak Munah bersuara perlahan. Mana mungkin ia boleh tidur lena bilamana jantung hatinya tidak berada di hadapan mata. Mak Munah berjalan ke arah meja yang terletak di tepi jendela. Dicapainya senaskah Al-Quran yang dihadiahi suaminya dua tahun sudah. Setiap malam, pasti Mak Munah dan Pak Karim bertadarus bersama-sama. Menurut kata Pak Karim, untuk mengikat hati-hati mereka agar terus teguh dan tega dalam menghadapi apa jua dugaan yang datang menimpa. A’uzubillahiminasyaitanirrajim…

*****
“Mana Tijah?” Tanya Mak Som.
“Adik balik lewat semalam Mak Som. Ada perbincangan tugasan dengan kawan-kawan dia,” jawab Fatimah sambil tersenyum.
“Untung Tijah dapat kakak macam kamu Timah. Sanggup berkorban…” Mak Som memuji-muji Fatimah.
“Tanggungjawab saya Mak Som,” balas Fatimah lagi.

Tiba-tiba…
“Assalammualaikum,” tegur satu suara. Kaget, Fatimah kenal suara itu.
“Waalaikumussalam Dr. Raffiq,” jawab Fatimah sambil menundukkan wajahnya ke tanah.
“Dah makan?” Tanya anak teruna Mak Som lagi.
“Alhamdulillah,” Fatimah masih malu untuk memandang lelaki yang berdiri di hadapannya.
“Abang Raffiq!!!” Kedengaran jeritan seseorang. Khatijah berlari-lari anak mendapatkan Raffiq yang terpinga-pinga. Mungkin malu tatkala namanya dijerit begitu kuat. ‘Adik Adik… tetap tak berubah,’ bisik hatinya.
“Timah beransur dulu ya,” kata Fatimah tanpa memandang wajah Raffiq yang masih lagi terpinga-pinga.
“Mana hadiah Adik?” Tanya Khatijah.
“Tak kan balik dari oversea tak bawa apa-apa untuk Adik?” Ia bertanya lagi.
Sambil tersenyum, Raffiq berkata lembut, “Ada… nanti lepas majlis abang bagi. Lepas adik basuh pinggan-mangkuk.”
“Alaaa…” Khatijah merenget manja. Erk… tiba-tiba ia sendawa. ‘Busuknya,’ Raffiq berkata di dalam hati.
“Bau apa ni Dik?” Tanya Raffiq. Ia seperti familiar dengan bau ini tetapi apa ya? Steven, rakan serumahnya sewaktu menuntut di luar negara dulu selalu sahaja mengeluarkan bauan sebegini setiap kali bersendawa.
“Tak ada apa-apa. Tak ada apa-apa. OK, Adik nak pergi makan dulu. Idios,” cepat-cepat Khatijah meninggalkan Raffiq terkebil-kebil sendiri. ‘Apa punya Listerine daaa.. tak hilang pun bau ni,’ Khatijah merungut sendiri.

Dari jauh, Raffiq memerhati Fatimah yang sedang sibuk membantu Mak Munah di ruang dapur. Bagi Raffiq, gadis ini tidak berubah dan kekal lembut sepertimana dirinya dahulu. Jauh di sudut hatinya, ia begitu mengagumi gadis ini. Sanggup mengorbankan diri untuk orang lain. Raffiq sendiri belum tentu mampu menjadi sepertinya.
“Raffiq tengok siapa tu?” Tegur Mak Som sambil tersenyum.
“Eh mak, tak ada siapa-siapa,” Raffiq menggelengkan kepalanya.
“Mak pun berkenan dengan budak tu. Walaupun tak berpelajaran tinggi, mak suka benar tengok perangainya,” luah Mak Som lagi.
“Mak tak kisah ke?” Raffiq berpura-pura bertanya.
“Mak tak ada masalah Fiq. Lagipun, bukan senang nak cari ‘perempuan’ zaman sekarang ni. Bukan tu saja, payah bebenar nak cari ‘anak dara’,” Mak Som berterus-terang.
“Kamu pun dah 27 tahun. Mak pula dah tua, teringin benar nak pegang cucu sendiri…” diam sejenak.
“Kalau kamu berkenan, bila-bila mak pergi masuk meminang,” sambung Mak Som lagi. Raffiq hanya tersenyum.
*****

“Mak, betul ke Mak Som nak datang rumah kita?” Tanya Khatijah teruja.
“Ya sayang, mak pun tak pasti sebab apa. Tergesa-gesa nampaknya Mak Som tu. Katanya, sebelum Raffiq ke Kuala Lumpur nak ‘membereskan’ semuanya,” jawab Mak Munah lembut.
“Bereskan apa mak?” Fatimah pula bertanya perlahan.
“Ala kakak ni. Mestilah nak masuk meminang untuk Abang Raffiq. Akak rasa dengan siapa ya?” Khatijah tersenyum sinis.
“Haha… mestilah dengan Khatty, eh silap Tijah. Tijah dapat masuk kolej, kakak pula kerja kilang. Mana sesuai dengan Abang Raffiq,” tambahnya lagi.

Tiba-tiba…
Uwek uwek uwek…
“Kenapa ni sayang?” Tanya Mak Munah kerisauan.
“Tak ada apa-apa mak. Letih saja banyak assignment,” jawab Khatijah acuh tak acuh. Mukanya lesu tetapi ia cuba untuk bergerak cergas.

“Assalammualaikum,” kedengaran satu suara dari muka pintu.
“Waalaikumussalam, masuklah Mak Som oi,” kata Mak Munah dari ruang tamu. Cepat-cepat Fatimah masuk ke dapur. Segan rasanya bertentang mata dengan Raffiq. ‘Betulkah Mak Som datang merisik dan meminang?’ Ia bertanya sendiri. Ah, biarkan. Yang penting, bukan dia yang dipinang tapi…

“Nampak letih saja adik abang ni. Pucat muka tu,” tegur Raffiq tatkala melihat Khatijah.
“Tak adalah bang. Tak cukup rehat, banyak sangat assignment tapi tak payah risaulah. Dr. Raffiq kan ada,” kata Khatijah sambil mengenyitkan matanya.
“Adik… masuk dalam. Ni perbincangan orang tua,” Mak Munah berkata tegas. Fatimah kemudiannya keluar sebentar ke ruang tamu dengan membawa minuman. Selepas bersalaman dengan tetamu wanita yang berkunjung ke rumah, cepat-cepat ia masuk kembali ke dapur.

“Diorang bincang apa ye kakak?” Khatijah mencebikkan bibir.
“Tak tahulah pula kakak,” jawab Fatimah sambil memandang wajah adiknya yang lain daripada biasa.
“Kenapa muka ni lain macam saja. Mari, kakak tengok,” kata Fatimah lagi lantas menjamah dahi adiknya. Panas…
“Tak ada apa la kak. Eh, diorang dah abis dah tu. Jom keluar,” ajak Khatijah sambil menarik tangan kakaknya.
“Tak boleh! Tunggu mak panggil,” Fatimah membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Tak sporting la kakak ni,” Khatijah menjelirkan lidahnya.

“Timah, Tijah… mari sekejap,” panggil Mak Munah perlahan. Cepat-cepat Khatijah berjalan ke ruang tamu mendapatkan ibunya.
“Ikutkan, mak nak bincang malam ni tapi Raffiq pula tak menyempat nak tahu keputusan…” Mak Munah diam sejenak.
“Timah…” nama Fatimah disebut.
“Raffiq nak memperisterikan Timah…” diam lagi.
“Kalau boleh, keluarga Mak Som nak Timah dan Raffiq akad nikah dulu. Lepas tu, Timah ikut Raffiq ke Kuala Lumpur,” Mak Munah berkata lembut sambil memandang wajah puteri sulungnya.
Fatimah kaget! Semua mata memerhatinya tanpa berkelip. ‘Ada ka patut tanya express macam ni?’ Fatimah merungut sendiri. Meskipun hatinya berbunga riang, Fatimah kaku untuk bersuara lebih-lebih lagi bilamana banyak mata yang memerhati.

“What!” Jerit Khatijah.
“Mana sesuai kakak yang kerja kilang dengan Abang Raffiq!” Ia meluahkan rasa tidak puas hati.
“Eiii… macam enggang dengan pipit,” tambahnya lagi.
“No way,” tanpa diduga, Khatijah menyepak cawan yang tersedia di atas tikar lalu berlari menuruni tangga rumah.

Tiba-tiba…
“Mak!!!” Jerit Khatijah lagi. Kali ini, kakinya tersadung menyebabkan ia jatuh tersungkur di atas tanah.
“Adik!!” Fatimah dan Mak Munah menjerit serentak.
“Kenapa banyak darah ni?” Cemas-cemas Fatimah bersuara. Habis seluar jeans yang dipakai Khatijah dipenuhi darah pekat lagi hanyir.

Tiba-tiba…
Uwek uwek uwek… Khatijah termuntah lagi.
“Mari, kita hantar Adik ke hospital,” kata Raffiq tegas. Rasanya, ia tahu apa yang berlaku kepada Khatijah. Mukanya pucat, badannya panas dan muntah-muntah. Jika dia tidak silap, Khatijah sebenarnya sedang mengandung tetapi anak siapa?

“Doktor, selamatkan anak saya,” rayu Mak Munah kepada pegawai perubatan yang bertugas.
“Insya-Allah,” kata doktor yang berusia suku abad itu. Mak Munah tidak senang duduk. Sekejap-sekejap ia ke hulu. Sekejap-sekejap ia berjalan ke hilir. Ia risaukan Khatijah. Fatimah pula, dari tadi menundukkan wajahnya ke lantai hospital.

“Makcik…” tidak sampai sepuluh minit, doktor tadi keluar dari wad kecemasan.
“Maafkan kami. Kami tidak berjaya menyelamatkan anak makcik dan bayi dalam kandungannya…” diam seketika.
“Anak makcik telah mengambil dadah berlebihan dan tahap alkohol dalam badannya begitu tinggi…”
Tak semena-mena, Mak Munah pun jatuh pengsan ke lantai. Entah bisa bangun entah akan terbaring di situ selamanya. Fatimah menangis sayu…
Labels: 0 comments | | edit post

Hadis Arbain (18)


Daripada Abu Dzar Jundub Ibn Junadah dan Abu Abdul Rahman Mu'az Ibn Jabal RA, daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: Bertaqwalah engkau kepada Allah walaupun di mana engkau berada; dan iringilah kejahatan dengan kebaikan. Nescaya ia akan menghapuskan kejahatan tersebut dan bergaullah sesama manusia dengan budi pekerti yang baik. (HR Tarmidzi. Ia berkata, "Hadis ini hassan. Dalam kitab lainnya dikatakan bahawa hadis ini hassan sahih,".)

...

TAQWA - takut... Dengan kata lain, takut melakukan seseuatu yang dilarang Allah. Lantas, terus menerus melakukan kebaikan/ amal. Kalau takutkan harimau, kita akan lari untuk menyelematkan diri. Namun, bilamana takutkan Allah, kita sewajarnya semakin mendekat dan terus dekat...

Misi dan Visi (i)


Assalammualaikum.

Misi dan visi...

Hahaha... kenapa pula dengan misi dan visi?

Hmmmm... ingat persatuan sahajakah yang ada misi dan visi? Kita pun boleh buat misi dan visi hidup kita sendiri.

Untuk apa? :


1- Bisa memotivasikan diri kita untuk menjadi lebih baik.

2- Agar perancangan kita menjadi lebih tersusun.

3- Memudahkan kita menyusun strategi dalam pembangunan diri.

4- Agar matlamat yang kita sasarkan menjadi lebih terarah.

Bagaimana hendak mulakan?

~ Tetapkan matlamat diri. Aku selaku...

1- Hamba yang soleh/ solehah.

2- Anak yang taat.

3- Suami/ isteri yang bertanggungjawab.

4- Abang/ kakak yang penyayang.

5- Sahabat yang prihatin.

6- Jiran yang peka.

7- Pekerja/ bos yang CEMERLANG, GEMILANG dan TERBILANG.

dan lain-lain...

Selepas itu, perkecilkan skop...

~ Bagaimana ingin menjadi hamba Allah yang soleh/ solehah?
...Suami/ isteri yang bertanggungjawab?
...Abang/ kakak yang penyayang?

Selesai sudah? Hehe...

1- Berdisiplinlah dalam mencapai matlamat yang telah disasarkan.

2- Kalau hendak lagi termotivasi... boleh taip elok-elok ~ cetak ~ dan tampal misi dan visi tersebut di mana-mana tempat (yang kita boleh selalu nampak)...

Baik... selamat maju jaya ;)

*** Bersambung ~ Bagaimana hendak menjadi hamba Allah yang soleh/ solehah?

Muthiah : Kena bayar royalti pada...
Labels: 0 comments | | edit post

L @ XL @ XXL @ XXXL (iii)


Assalammualaikum.

Hehe... kembali lagi...

Kali ini, Muthiah ingin berkongsi pengalaman berkenaan dengan corak pemakanan Muthiah satu ketika dahulu. Hmmm... Sebenarnya, Muthiah tidaklah sampai XXXL tetapi tidak juga slim river.

Waktu Muthiah belajar di sekolah menengah. Seingat Muthiah, duit yang diberi oleh Papa akan Muthiah manfaatkan sepenuhnya untuk :

1- Tambang bas balik dari sekolah.

2- Beli nasi lauk ayam masak merah. Minimun 2 pinggan sekali makan. Seingat Muthiah, harga nasi tersebut dalam RM1 sepinggan (zaman 1995-1997).

3- Beli kuih dan air manis.

4- Sementara menunggu bas balik dari sekolah, Muthiah akan beli ais-krim jeruk atau apa-apa yang ada dalam 2-3 batang. Tidak ketinggalan keropok yang dijual oleh ibu kepada Mazni (rakan sekelas Muthiah).

5- Sampai rumah, Muthiah akan makan tengah hari. Begitu juga waktu malam. Muthiah tidak akan ketinggalan makan malam dengan heavy meal.

6- Hujung minggu pula, Muthiah akan pergi makan di warung makan nenek Muthiah. Apa yang pasti, 2 bungkus nasi minyak sudah tersedia buat Muthiah. Kalau terliur, Muthiah akan makan nasi lemak dan nasi berlauk pada waktu yang sama. Sementara berbual-bual dengan pak cik dan mak cik yang biasa minum di warung tersebut, Muthiah akan makan kuih yang ada.

7- Tidak habis di situ, biasanya... Muthiah akan balik jalan kaki ke rumah (dalam 10 - 15 minit). Nenek tidak ketinggalan bekalkan makanan untuk Muthiah. Hendak tahu apa? Hehe... nasi juga. Sesampainya di rumah... hehe... makan lagi.

8- Kalau hari Selasa (ada pasar malam), pasti beli bihun goreng, nasi minyak/ kerabu, burger/ KFC dan lain-lain.

Jadi...

Tidak mustahil Muthiah memiliki sosok yang agak besar berbanding kawan-kawan yang lain. Lagipun, Muthiah sememangnya seorang yang kuat makan (sampai sekarang).

Tetapi...

Apabila melihat teman-teman yang cantik dan langsing tubuh badannya... terasa ingin seperti mereka juga tetapi bagaimana?

Huhu... Muthiah kurang mampu untuk mengawal makan. Buat tetapi tidak istiqomah. Ada satu ketika, kawan Muthiah minta Muthiah belikan ubat kurus dari klinik swasta di kampung. Mula-mula, teruja hendak cuba. Sekali cuba, tidak sedap. Terus tidak turut serta. Bagi Muthiah, lebih baik makan daripada berlapar. Hehe...

Tanyakan pada diri ...

BAGAIMANAKAH CORAK PEMAKANAN KITA????

Muthiah : Huhu... suami belikan 4 bungkus nasi lemak (dalam senyum)

Malas !!!


Assalammualaikum. Apa khabar? Ada O.K.?

Muthiah... huhu. Hari ini kena penyakit malas. Namun, gagahkan diri untuk jadi rajin. Maklumlah... penyakit malas... kita sendirilah yang boleh ubatinya.

Kalau tidak boleh ubati juga..."Wahai teman-teman, jom bantu sahabat kita yang sedang berhadapan dengan penyakit malas ini. Hik hik hik..."

Contoh :

Malas bangun pagi. Kemudian, kita biarkan diri kita berbaring di dalam selimut. Akibatnya, tidak akan mampu untuk bangkit (padahal, diri yang tidak mahu bangun). Orang gaji kan ada... mak kan ada... ayah kan ada...

Alangkah baik andai kita memilih untuk berusaha. Dengan kata lain, berusaha untuk bangun... Mula-mula, duduk atas katil dan menggeliat. Kemudian, berdiri dan menuju ke bilik air.Mandi dan bla bla. Insya-Allah, kita akan bisa bangun. Lainlah kalau letih yang melampau...

Berbalik kepada isu yang ingin Muthiah perkatakan...

MALAS...

Usah biarkan diri dibaluti dengan sikap malas. Merugikan sih...

Malas berteman...
Malas buat kerja rumah...
Malas buat assignment...
Malas bekerja...
Malas mengaji...
Malas dan malas...

Kesannya... bukan orang lain yang rugi tetapi diri kita sendiri.

Bilamana kita malas berteman ~ Kita yang suka bersendiri aku terus sendiri. Apabila kita buntu, kita akan berterusan berada dalam kebuntuan. Hendak tanya pandangan orang lain?? Hmmm... kita mana punya teman..

Bilamana kita malas buat kerja rumah ~ Aisey... sekarang, tidak akan menimbulkan apa-apa masalah. Emak ada. Kawan serumah pun ada. Mereka boleh mengemas rumah. Mereka boleh masak untuk kita. Bagaimana halnya setelah kita berumah tangga? Jadi, didiklah diri dari sekarang untuk menajadi orang yang lebih rajin daripada orang lain. Percayalah... untuk diri kita juga.

Bilamana kita malas membuat assingment/ bekerja ~ Hmmm... Nanti, KPI tidak O.K., siapa susah? Hahaha.. Betulkan niat, ikhlaskan hati dalam melakukan sebarang pekerjaan. Cubalah lakukan yang terbaik kerana sememangnya, ISLAM itu sebenarnya sudah menunjuki jalan yang paling baik.

Bilamana kita malas mengaji (atau apa-apa yang seangkatan dengannya)
~ Diri sendiri yang rugi. Bukan sekadar rugi tetapi teramat-amat rugi. Kenapa? Bilamana kita tidak berusaha mendekatkan diri kepada Allah, dikhuatiri kita akan cepat lupa dan teralpa. Lebih parah kalau bintik hitam bertambah dalam hati kita. Tatkala bintik hitam sudah bermaharajalela... jadilah kita insan yang hilang arah tuju/ tidak kerua/ serba tidak kena. Bukankah dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang?

Malas dan malas...

Hehe...

1- Katakan pada diri, "AKU TIDAK MALAS".

2- Fokus kepada matlamat dan visi kita. Jadikannya sebagai satu dorongan untuk kita bergerak pantas ke hadapan.

3- Banyakkan berdoa kepada Allah agar menjadikan kita insan yang tidak malas dan banyak memberi manfaat kepada orang lain.

4- Hiduplah dalam lingkungan mereka yang tidak malas. Kalau kita yang sedia malas berteman dengan sahabat yang malas. Berganda-gandalah jadinya KEMALASAN kita.

Ayuh...kuatkan semangat kita. AKU TIDAK MAHU JADI PEMALAS... hehehe..

Muthiah : Hmmm...ketemu juga...

Lawak pisau cukur


Assalammualaikum.

Salahkah?
Hahaha....

Muthiah menonton iklan pisau cukur dengan suami. Entah macam mana. Mungkin reaksi/ tindakan luar kawal, Muthiah pun memegang dagu (ala-ala macam baru cukur janggut). Mula-mula, Muthiah tidak faham... kenapalah suami asyik tersenyum sumbing. Kemudian, tiba-tiba tergelak sakan pula.

Katanya, "Kalau hendak kata ada janggut, tidak ada. Kalau hendak kata pernah ada janggut, pun tidak ada..."

Jadi... hehe... bak kata Nabil, "Lu pikirlah sendiri."

Muthiah : Ketawa membikin hati gembira tetapi usah terlebih ketawa. Takut jadi lupa...
Labels: 0 comments | | edit post

Mulut berbau


Assalammualaikum.

Hmmm... pernah atau tidak... kita merasakan orang tidak selesa berbual dengan kita? Ketepikan soal sikap atau cara kita berinteraksi. Boleh jadi ada sesuatu yang tidak kena pada mulut kita. Sedarkah kita?

Faktor penyebab :

1- Sisa makanan terlekat pada gigi. Kita pula tidak berapa berminat untuk membuang sisa makanan tersebut. Biarkan sahaja...

2.Gigi bermasalah (seperti berlubang contohnya) boleh menyebabkan makanan terlekat pada gigi dan gusi. Akibatnya, muncul bakteria yang menyumbang kepada bau yang tidak enak di samping menimbulkan iritasi pada gigi. Bagi yang menggunakan gigi palsu, pastikan gigi tersebut sentiasa bersih dan berada dalam keadaan baik. Dapatkanlah rawatan segera ;)

3.Mulut kering ~ Tanpa sedar, air liur sebenarnya membantu untuk membersihkan mulut kita. Mulut yang kering akan menyebabkan sel-sel mati berkumpul pada lidah dan gusi. Akhirnya, sel-sel tersebut membusuk dan menghadirkan bau yang kurang enak. Hmmm... merokok dan ubatan tertentu juga boleh menjadi penyebab mulut kering.Merokok dan ubat-ubatan tertentu juga boleh menjadi penyebab kepada mulut kering.


Cara mengatasi masalah mulut berbau

1- Biasalah... gosok gigi sesudah makan.

2- Gunakan dental floss untuk membuang sisa makanan pada celah-celah gigi. Doktor biasa pesan,bukan?

3- Buat pemeriksaan gigi. Dahulu, seorang adik dari fakulti pergigian pernah beritahu... sebaiknya setiap enam bulan sekali.

4- Banyakkan minum air kosong atau suam.

5- Ganti berus gigi setiap 2 atau 3 bulan sekali. Hehe... Muthiah ganti sebulan 2 kali...

6- Bersihkan gigi palsu. Tidak pakai sahaja sehingga kuning dan hijau jadinya...

7- Belakang lidah juga perlu diberus untuk menyingkirkan sel-sel mati, bakteria dan sisa makanan.

Khilaf


‘Buntu aku buntu!’ Khaleeda menjerit sendiri.
‘Mana satukah pilihanku???’ Nah! Gadis manis berkerudung hitam itu masih belum menemui jawapan yang pasti. Perlahan-perlahan ia membuka tudung pemberian ibu lalu meletakkannya di atas meja bersebelahan sofa.
‘Qaddafikah atau Dia?’ Penat berfikir agaknya sehingga tanpa siren amaran, Khaleeda terjelopok di atas sofa kayu yang disediakan tuan rumah. Mujur ada sofa ini, boleh juga ia duduk pada posisi yang betul. Kalau tidak, terpaksalah ia meniarap di atas lantai sehingga sesak dadanya.
“Ana berminat untuk mengenali anti dengan lebih dekat,” kata Qaddafi suatu petang. Diam…
“Ana tidak main-main dan ana serius atas perhubungan yang mungkin sahaja kita bina,” tambahnya lagi.
“Hati ana sakit! Solat ana tidak khuyuk, pelajaran ana tidak dapat fokus…” Qaddafi seolah-olah mahu meluahkan perasaan yang terbuka lama di dalam hatinya.
“Anta, ana sibuklah. Kalau tidak ada urusan penting, kita jumpa lain kali,” sampuk Khaleeda sebelum sempat Qaddafi menghabiskan bait katanya. Ah, gadis ini memang sukar didekati. Selalu sahaja dengan alasan yang kadang-kadang tidak dapat diterima akal. ‘Khaleeda Khaleeda,’ Qaddafi tersenyum sendiri.
Wajah Qaddafi tiba-tiba muncul dari kotak pemikirannya. Sekejap-sekejap, lelaki itu tersenyum manis dan sekejap-sekejap ia serius memandang dedaun nan hijau. Sukar benar mahu menyelami dan memahami hati lelaki itu. Sebentar-sebentar ia nampak teguh dengan pendiriannya dan sebentar-sebentar ia kelihatan begitu lemah. Lemah tatkala berhadapan dengan sosok jiwa yang bergelar wanita.
Satu ketika dahulu, Khaleeda pernah mengagumi jejaka yang tua dua tahun daripadanya itu. Gadis mana yang tidak tersentuh nalurinya tatkala berhadapan dengan lelaki yang selayaknya dijadikan teman hidup. Ya! Qaddafi miliki segala kesempurnaan. Ia kacak, berasal daripada keluarga bangsawan dan yang paling utama, ilmu agamanya berada di hujung jari.
Yang pasti, setiap mata yang memandang pasti terpegun dengan kehebatannya berkata-kata. Kalau tidak, masakan surau Umar Al-Khattab, Kolej Kediaman Pertama Universiti Malaya sentiasa penuh tatkala Qaddafi menyampaikan kuliah Maghrib. Bukan sahaja gadis yang bertudung labuh bahkan cik adik manis yang tidak mengenakan kain di kepala pun sanggup turun surau semata-mata mendengar sepatah dua kata jejaka idaman Malaya ini. ‘Hmmm,’ Khaleeda berdengus sendiri.
“Kenapa ni, dari tadi akak tengok Khaleeda runsing saja… ada masalah ke?” Tanya Kak Fatin tatkala melihat Khaleeda begitu jauh mengelamun.
“Eh, bila akak balik? Afwan, saya tak sedar kak. Teringat masa duduk kolej dulu, teringat surau Umar Al-Khattab, teringat semua-semualah,” Khaleeda cuba memberi alasan.
“Sesuatu yang berlaku, pasti ada hikmahnya Da. Kalau Da tak kena buang kolej, mesti kita tak duduk serumah kan…” diam seketika.
“Bukan sahaja duduk serumah tetapi satu bilik lagi tu,” tambah Kak Fatin sambil tersenyum manis.
“Akak saum hari ni?” Khaleeda bertanya dengan mesra, mahu mengubah topik perbualan sebenarnya.
“Insya-Allah, Khaleeda?” Kak Fatin menyoal kembali.
“Hmmm…” tanpa menjawab pertanyaan Kak Fatin, Khaleeda menundukkan wajahnya ke lantai.
“Khaleeda?” Tanpa disuruh, Kak Fatin segera mengurut bahu Khaleeda yang nampak begitu tidak bermaya.
“Limaza?” Ia bertanya lagi.
“Ana la’ ‘arif ya ukhti,” Khaleeda menjawab tanpa memandang wajah Kak Fatin. Ia khuatir sebenarnya. Sebagai pelajar jurusan kaunseling, Kak Fatin pasti cepat menangkap permasalahan yang dihadapi ‘klien’ di hadapannya. Lebih-lebih lagi individu yang bermasalah itu sentiasa dekat dengannya. Sebarang perubahan tingkahlaku, pasti mudah dikenalpasti.
“Sudah lebih lima hari Da tak bangun qiam. Bukan itu sahaja, solat Da tidak khusyuk… rasa malas untuk saum, tadarus dan membaca tafsir…” Khaleeda memandang tepat anak mata Kak Fatin.
“Study pun Da tak dapat fokus. Da pun tak tahu di mana silapnya dan Da rasa sangat tak tenang,” kali ini, air matanya mengalir laju dari pipinya yang gebu. Sebenarnya, sudah lagi ia pendam rasa hati. Hendak diluah, tidak tahu kepada siapa. Khaleeda benar-benar buntu mencari jawapan yang pasti, jawapan yang pastinya tidak melanggar syariat dan mendatangkan kemurkaan Tuhan.
“Khaleeda sayang…” jemari Khaleeda Kak Fatin usap dengan perlahan.
“Ingatlah, dengan mengingati Allah hati kan tenang. Cuba check surah Ar-Ra’d ayat 28. Akak pun ingat-ingat lupa ayat mana,” sambung Kak Fatin lagi.
“Pertama, kenal pasti apa yang merunsingkan jiwa Khaleeda…”
“Kedua, bilamana Khaleeda rasa tidak kuat maka carilah kekuatan…”
“Kat mana nak cari kekuatan tu?” Soal Kak Fatin.
“Kita sebenarnya tidak mampu untuk berbuat apa-apa hatta nak angkat jari kelingking ni sekalipun. Jadi, tak lain dan tak bukan kekuatan itu kita dapat daripada Allah,” sambung Kak Fatin sebelum sempat Khaleeda menjawab persoalannya. Perlahan-lahan ia menggerakkan jari kelingkingnya yang halus.
“Kesimpulannya?” Dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, Kak Fatin bertanya lembut tetapi sedikit tegas. Diam… Khaleeda tidak bersuara walau sepatah kata. ‘Sah! Adikku ini sedang kritikal dan perlu dihantar ke ICU,’ bisik Kak Fatin sendiri.
“Khaleeda perlu kembali kepada Allah. Cuba garang kepada diri dalam menjaga hubungan dengan-Nya. Ayuh! Bangkit bangkit adikku. Akak yakin Da mampu bangun. Cuma, perlu usaha lebih sedikit saja…”
“Da istiqamah qiammullai, cuba khusyuk solat, banyakkan mengaji dan berzikir. Minta dan doa kepada Tuhan dengan penuh pengharapan. Allah itu Maha Mendengar, Maha Melihat dan Maha Mengetahui sayang. Setiap sesuatu, pasti ada penyelesaiannya dan sebagai Tuan Punya yang mencipta alam ini, Dia sudah sedia maklum…”
“Bangkit ya sayang. Kalau tidak dapat jawapan lagi, minta lagi dengan Tuhan, merintih lagi, merayu lagi dan jangan sekali-kali berputus asa. Allah itu dekat sayang, lebih dekat dari urat merih kita,” Kak Fatin menyampaikan ‘ceramah’ on the spot-nya. Khaleeda masih lagi membisu…
*****
Entahlah… susah untuk diungkap dengan kata-kata, lagi payah untuk diluah dengan bicara. Meskipun bibir Khaleeda menafikannya, hatinya sama sekali tidak mampu berbohong! Ya, naluri gadisnya begitu kuat meronta-ronta… ingin menyayangi dan disayangi, mahu dibelai dan dimanja tetapi bagaimana, bila dan dengan siapa???
Qaddafi hadir tanpa dipinta. Lelaki itu selalu sahaja mengganggu-gugat keharmonian hatinya yang sedia tenang, seolah-olah dipukul ombak dan ribut taufan. Adakah dia yang bersalah atau insan yang telah berjaya mencuri hatinya itu? Hmmm… akhirnya Khaleeda mengaku sendiri. Qaddafi berjaya mengetuk dan merompak hati kecilnya. Lelaki itu membuatkan dirinya berada di dalam dilema dan ia sendiri masih belum ketemu jawapan yang sepatutnya.
Antara rasa cinta dan cita-cita, mana satukah pilihannya? Salahkah bercinta di samping mengejar cita-cita? Bukankah cinta yang berbunga itu mampu memotivasi diri menjadi lebih maju dan bergerak pantas ke hadapan? Lihat sahaja polan bin polan, anu binti anu… mereka bertemu, jatuh cinta, bercinta dan terus teguh dalam percintaan. Oh bahagianya…
Ah! Khaleeda sudah hilang pertimbangan. Ia tetap mahu merasai keseronokan bercinta dan ia mahu mengecapi kebahagiaan bersama insan yang dicinta. Kebetulan, Mr. Right itu sudah muncul di hadapan mata. Tidakkah selayaknya dikatakan tidak cerdik seandainya menolak tuah yang datang bergolek di depan mata?
Qaddafi Qaddafi... begitu kuat penangan cintamu sehingga berjaya menundukkan hati seorang gadis yang masih terlalu naïf dalam kehidupan yang penuh pancaroba ini. Akhirnya, prinsip yang dipegang sekian lama pecai terburai sepertimana pecahnya kaca di atas lantai. Habis bersepah sehingga terluka kaki. Sakit!!! Namun dek kerana cinta, kesakitan itu dibuang ke tepi. Rasa cinta mengatasi segalanya.
“Anta… ana sudah bersedia,” Khaleeda berkata suatu hari tatkala bertemu lelaki itu di hadapan tasik varsiti.
“Bersedia untuk berumahtangga?” Tanpa memandang wajah Khaleeda, Qaddafi bertanya sungguh-sungguh.
“Apa?” Terkejut dengan bait kata Qaddafi, mata Khaleeda yang sedia bulat dibulatkan.
“Maksud anta, berkahwin?” Tambahnya lagi.
“Bukankah anta mahu mengenali ana dengan lebih dekat dahulu?” Khaleeda masih tidak berpuas hati.
“Ya… tapi waktu itu ana telah melakukan khilaf…” Qaddafi bersuara perlahan. Diam sejenak.
“Benar, hati ana menyukai anti dan ana rasa antilah gadis terbaik buat ana…”
“Jadi, apakah maksud anta dengan khilaf tersebut?” Khaleeda menyampuk sebelum sempat Qaddafi menyudahkan kata-katanya. Qaddafi diam sebentar.
“Maksud ana…” ia diam lagi.
“Ana silap dalam membuat percaturan…”
“Ana dan ‘mereka’ adalah berbeza,” sambung Qaddafi.
“Siapa mereka tu?” Sampuk Khaleeda lagi.
“Mereka… mereka yang begitu asyik dengan cinta sebelum berumahtangga. Dating, sms, bergayut… sehingga telah melalaikan diri daripada mengingati Tuhan,” jawab Qaddafi tenang.
“Ana mahu menggapai redha Allah dan ana khuatir ana akan terbabas sekiranya melakukan sesuatu yang bisa sahaja mengacau ketenteraman hati ana. Maksud ana, ana takut ana sendiri yang gagal mengawal hati daripada mengingati-Nya…”
“Benar… kita boleh berkata cinta itu kerana Allah. Cinta itu berlandaskan syariat menuju kepada-Nya. Cinta itu membawa diri kepada Pencipta tetapi ana risau hati ana akan terleka dengan cinta sehingga menyebabkan ana jauh daripada Tuhan…”
“Sebelum menjalin hubungan pun hati ana sudah berdegup kencang sehingga tidak mampu khusyuk dalam pengibadatan…”
“Ana khuatir bilamana hati ana sudah terbiasa dengan cinta… yakni cinta dengan anjabi tanpa nikah, menyebabkan ana semakin lalai dan alpa. Akibatnya, menjadikan ana terus jauh daripada Tuhan dan akhirnya tersungkur daripada jalan yang sepatutnya,” terang Qaddafi panjang lebar. Khaleeda terdiam sendiri, mudah sekali lelaki ini hadir dan tidak sukar pula ia mahu berlalu pergi.
*****
Malam itu, Khaleeda menangis teresak-esak di atas tilam empuk yang dikongsi bersama Kak Fatin. Khaleeda malu pada diri sendiri… bukan bukan! Khaleeda malu kepada Qaddafi dan yang paling utama, Khaleeda malu kepada Tuhan kerana tidak mampu mengawal diri daripada terjebak dengan cinta.
Tidak salah bercinta tetapi cintalah kepada yang sepatutnya. Cinta kepada Tuhan yang mencipta rasa cinta dalam diri… cinta kepada ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan sehingga menjadi orang berguna… cintalah kepada sesama manusia kerana dengan rasa cinta itu, dunia pasti aman dan sentosa.
“Kenapa ni sayang?” Tegur Kak Fatin sekembalinya daripada kuliah. Diam…
“Da ada masalah lagi?” Bahu Khaleeda diusap perlahan dengan penuh kasih sayang. Masih lagi diam.
“Uhibbuki fillah,” akhirnya Kak Fatin mencium ubun-ubun Khaleeda.
“Kak!!!” Kali ini, Khaleeda memegang tangan Kak Fatin dengan erat.
“Da malu kak… Da malu…” diam sejenak.
“Da silap membuat penghitungan,” katanya lagi. Kak Fatin mengangkat kepala Khaleeda yang disembam ke bantal. Ia memandang wajah Khaleeda yang kemerahan sambil tersenyum. Tangan gadis itu dipegang erat, lebih erat daripada pegangan Khaleeda.
“Tidak ada siapa yang sempurna sayang…” Kak Fatin kemudiannya membangunkan Khaleeda perlahan-lahan.
“Bila kita tersilap, kita istighfar dan mohon keampunan daripada Allah…”
“Insya-Allah, Dia tidak akan terus membiarkan kita dibelenggu dosa asal kita sekali-kali jangan mengulangi dosa yang telah kita lakukan itu…”
“Bercintalah… berkasihlah dengan Allah yang Esa. Pasti kita kan sentiasa bahagia, dunia dan akhirat,” nah! Kak Fatin telah merungkai permasalahan Khaleeda sebelum sempat ia menceritakan segalanya.
‘Ya kak,’ Khaleeda berkata sendiri. Perlahan-lahan ia bangun menuju ke bilik air. Khaleeda tidak mahu menbiarkan diri terus dalam kedukaan dan kesedihan. Semuanya sudah terjadi. Maka, yang boleh dilakukan untuk menebus kesalahan itu adalah dengan kembali mengharapkan kasih sayang Tuhan, ¬Ar-Rahman Ar-Rahim.
Wajah Qaddafi tiba-tiba hadir dalam kotak pemikirannya namun kali ini, kehadirannya sedetik cuma. Lelaki itu berjalan perlahan meninggalkannya sambil tersenyum. Mungkin sahaja ia gembira kerana disedarkan Tuhan daripada terjerumus ke dalam sesuatu yang tidak punya jamin ‘keselamatan’ ke atasnya. Kemudian, Khaleeda tersenyum sendiri dan pastinya ia tersenyum kerana diberi peluang oleh Tuhan untuk membetulkan kesalahan dan kesilapan yang dilakukannya. Allah sayangkan mereka… itu pasti!!!

Glosari :
Ana – saya
Anta – awak (bagi lelaki)
Anti – awak (bagi perempuan)
Saum – puasa
Limaza – mengapa
Ana la ‘arif ya ukhti – saya tidak tahu wahai saudara perempuanku
Uhibbuki fillah – saya cintakan awak kerana Allah
Labels: 0 comments | | edit post