Showing posts with label Mencari Naurah. Show all posts
Showing posts with label Mencari Naurah. Show all posts

Jom beli buku :)

Alhamdulillah...


Dapat memegang sendiri buku baharu Muthiah yang sudah pun berada di pasaran. Sahabat-sahabat hendak membuat pembelian terus dengan Muthiah pun... boleh. Usah segan silu e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com.


Dia Diktator Hatiku...

Siapa sangka, benci boleh bertukar menjadi cinta. Celupar dan mulut puaka bukan bererti tidak mengambil berat. Kalau sudah ditetapkan oleh-NYA, ikan di laut, asam di darat. Dalam periuk, bertemu juga.

ZAHIN - "Bahan dah cukup? Editing dah siap? Awak pun tahu kita semua sedang mengejar deadline. Tak boleh sambil lewa. Tak boleh main-main. Tak boleh mengelamun teringatkan pakwe!

Sumayyah membenci Zahin sepenuh hati. Lelaki itu suka benar mencari salahnya. Dia ingat, dia seorang saja yang stres mengejar deadline? Semua editor dan pereka grafik pun tertekan jugak!

Dalam diam, hati Zahin sebenarnya menyimpan rasa. Gelodak cinta yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Mampukah Sumayyah membalas perasaan itu sedangkan dia begitu benci dengan Zahin yang sentiasa serius setiap jam, minit, saat dan hidup matinya hanya memikirkan kerja? Memang dasar DIKTATOR! Hanya deadline, deadline, deadline!



Eh, buku lama pun ada. Yuk dapatkan di toko buku berhampiran atau beli terus dengan Muthiah. 

Terima kasih daun keladi...

Mencari Naurah (Bab 87)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Sampai bila War hendak membujang?” Datin Kamariah bertanya suatu hari. Anuar hanya diam seribu bahasa. Fikirannya melayang jauh. Wajah Natasha tiba-tiba bermain di fikirannya. Semakin lama, wajah itu semakin hampir dan terus mendekat.

“Natasha...” ia menyebut nama gadis idamannya itu perlahan.

“Khairul Anuar!!! War sedar atau tidak bahawa Natasha sudah bersuami???”

“Anuar jangan main-main...” Datin Kamariah nampaknya betul-betul bengang.

“Anuar lebih tahu daripada Mama,” Datin Kamariah membulatkan matanya. Mana mungkin anak terunanya ini masih lagi tergila-gilakan Natasha. Bukankah ia sudah memiliki suami? Jadi, Anuar tidak boleh dibiarkan memasang angan-angan yang pasti akan mengecewakannya. Satu impian kosong yang bisa mungkin menjadi kenyataan.

Anuar tersenyum sendiri. Seolah-olah ibunya tidak berada di sisi. Ia memandang pasu bunga yang terletak di tepi akuarium. Kali ini, wajah putera puteri Natasha hadir bermain-main di fikirannya. ‘Hahaha... alangkah bagus bilamana bernikah dengan si janda beranak dua. Baru sahaja melafazkan akad, sudah ada penyeri hidup,’ Anuar berbisik sendiri.

“Anuar sayang,” Datin Kamariah memanggil nama Anuar lembut.

“Mama sayang, War. Mama sedih War jadi begini. Warlah satu-satunya anak teruna kesayangan Mama,” sebak Datin Kamariah mengucapkan ungkapan itu.

Ya, sejak Natasha bernikah dengan lelaki pilihan hatinya enam tahun sudah, Anuar terlalu banyak berubah. Ia tidak lagi ceria seperti dahulu. Perubahan ketara Anuar menyebabkan hati kecil Datin Kamariah terusik. Si mulut murai kini sudah tidak punya idea untuk berkata-kata. Ditanya sepatah, dijawab sepatah. Kadang-kadang, tidak menjawab langsung.

Salah siapa? Adakah mahu menuding jari kepada Natasha yang menolak cinta anak lelaki kesayangannya? Tidak! Natasha tidak bersalah. Cinta sama sekali tidak boleh dipaksa. Bibir mampu berdusta namun tidak hati. Siapakah yang mampu membeli hati seorang manusia?

Andaikata hati itu mampu dibeli dengan wang berjuta-juta, Datin Kamariah sanggup membeli hati milik Natasha. Kemudian, ia pasti akan mengarahkan hati tersebut untuk menyintai Anuar. Ia mahu hati itu bersatu dengan hati anak teruna yang dikasihinya. Datin Kamariah mahu kembalikan senyuman puteranya yang sudah begitu lama menghilangkan diri. Seolah-olah sudah merajuk untuk kembali.

Namun, tiada jual beli hati di dalam dunia... melainkan hati ayam, lembu. Bukan hati itu yang diingininya. Begitu unik hati ini. Kalau tidak, masakan disebut berulang-ulang di dalam Al-Quran.

“War masih cintakan Natasha, Mama,” perlahan-lahan Anuar bersuara. Anuar memandang Datin Kamariah meraih simpati. Ibu merupakan manusia yang paling dekat dengannya sementelah Dato’ Baharin begitu sibuk dengan urusan perniagaan. Hanya ibu yang menemaninya tatkala ia berduka. Ibu jua yang dapat menyelami hati lelakinya.

‘War cinta Asha,’ bisik hatinya. Air matanya menitik ke pipi. Sudah lama ia tidak mengalirkan air mata. Cinta ini sukar untuk diterjemah dengan kata-kata. Yang pasti, Anuar terlalu menyintai Natasha. Sejak dahulu hinggalah ke saat ini, ia masih sayang dan kasihkan gadis comel itu. Hatinya tidak pernah berubah. Cintanya buat Natasha tetap utuh. Dahulu, kini dan selamanya...

“Sayang, Natasha sekarang isteri orang,” tersekat-sekat Datin Kamariah bersuara. Matanya mula berkaca. Ia mahu anaknya kembali. Ia mahu Anuar menjadi seperti Anuar yang ia kenal dahulu. Anuar yang ceria, Anuar yang bersemangat waja. Bukan Anuar yang lemah hatinya. Lemah semangatnya.

Sudah berpuluh anak gadis diperkenalkan namun Anuar tetap membisu. Pelbagai alasan diberikan. Hendak kumpul hartalah, belum bersedialah, tidak berkenanlah. Ada sahaja yang tidak kena pada mata Anuar. Pening kepala Datin Kamariah dibuatnya. Apa lagi yang puteranya ini inginkan?

Itu, enam tahun lalu. Bukan sekadar enam tetapi lima, empat, tiga, dua dan satu tahun sudah. Anuar sering mengemukakan helah yang tidak masuk akal. Ikutkan kata hati, mahu sahaja ia memaksa Anuar memilih calon pilihannya tetapi naluri seorang ibu tidak sanggup berbuat demikian. Tidak sampai hati untuk mendera perasaan anaknya.

Hari ini, Anuar akhirnya berterus-terang. Datin Kamariah pasti! Anuar masih mahu membujang kerana hatinya telah mati dek cinta yang tidak kesampaian. Ia sendiri tidak dapat menyelami hati kecil Anuar meski sudah mengandungkannya selama sembilan bulan. Benar, hanya Allah SWT yang dapat menyelami hati-hati manusia...

‘Dan kepunyaan Allah-lah timur dan barat. Maka, ke manapun kamu menghadap, di situlah wajah Allah. Sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmatnya) lagi Maha Mengetahui...’

“Jangan macam ini, Sayang,” diam sejenak. Datin Kamariah mahu menyusun kata-kata yang paling halus buat anaknya. Ia tidak mahu Anuar semakin tertekan. Cukuplah penderitaan perasaan yang dialaminya. Anuar yang ia kenal seolah-olah telah bertukar jasad dengan orang lain. Si pengecut yang takut menghadapi kenyataan.

“Natasha memang gadis yang baik untuk dijadikan isteri, ibu kepada anak-anak. Namun, ketentuan Tuhan telah menetapkan bahawa jodohnya bukan dengan War. Mama pun suka Natasha. Mama pun berkenan jika Natasha dijadikan menantu rumah ini. Tetapi...” Datin Kamariah tidak dapat meneruskan kata-katanya. Ia begitu pilu mengenangkan Anuar. Suaminya pula tidak pernah ambil peduli. ‘Inilah lelaki. Sering kali memandang enteng sesuatu perkara,’ bisik Datin Kamariah sendiri.

“Tetapi apa, Ma?” Anuar merenung tajam mamanya.

“Natasha sudah punya suami. Cuba War letakkan diri War di tempat suami Natasha. Sudah tentu War akan kecewa...”

“War jangan jadi macam Mama,” ujar Datin Kamariah perlahan.

Anuar yang tadinya berbaring segera duduk, “Jangan jadi macam Mama?”

“Jom teman Mama jogging. Sudah lama tidak mengeluarkan peluh,” Datin Kamariah cepat-cepat berdalih. Ia mahu melupakan kisah itu. Biarlah kenangan pahit tersebut berlalu pergi. Nyahlah dalam kehidupan ini. Meskipun ia menangis air mata darah sekalipun, tetap tidak dapat menebus dosa yang pernah dilakukannya. Nasi sudah menjadi bubur. Ya! Kesilapan lalu yang banyak menyedarkannya.

‘Hidup ini bukanlah untuk kepentingan sendiri,’ Datin Kamariah merenung jauh.

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Berminat? Boleh e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com. RM17 termasuk kos pos.

Mencari Naurah (Bab 86)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Asha kerja mana sekarang?” soal Anuar sungguh-sungguh.

“Buat akaun di syarikat Dato’ Ghazali,” aku menjawab bersahaja.

“Ooo... syarikat ayah arwah, bukan?” dahinya berkerut.

“Ya...” balasku ringkas.

“Saya pun tidak tahu perihal musibah yang menimpa arwah,” berhati-hati Anuar mengeluarkan butir katanya. Aku hanya diam.

“Maknanya, Asyraf meninggal dunia sebelum Maria dan Iskandar dilahirkan?” Ia masih mahu bertanya. ‘Anuar tetap Anuar,’ desis hatiku.

“Ya,” jawabku pendek. Aku terus menggaul nasi buat Iskandar dengan ikan yang telah kuhancurkan.

“Kasihan anak-anak. Tidak sempat mengenali...” kata-kata Anuar terhenti di situ.

“Maafkan, saya,” wajahnya berubah. Berasa serba salah agaknya.

“Sampai bila hendak menjanda?” Anuar sememangnya Anuar. Dari alam kampus sehinggalah aku sudah bergelar isteri dan sekarang menjadi janda, lelaki ini acap kali menyoalku dengan soalan cepuk emas yang bisa membikin jiwa meronta-ronta.

“Tidak fikir langsung tentang kahwin,” aku berterus-terang. Tidak mahu berselindung dengannya. 

“Lagipun, siapalah yang hendak kahwin dengan janda beranak dua ini?” Ya, lelaki  teruna mana yang mahukan isteri yang pernah bernikah sebelumnya?

“Saya mahu,” suara Anuar dengar tidak dengar. Cukup perlahan.

“Apa?” Mataku yang sedia sepet membulat. Tidak cukup jelas butir bicaranya.

“Tidak ada apa-apa,” balas Anuar sambil tersenyum nakal.

“Insya-Allah. Ada jodoh adalah,” tambahnya lagi.

“Insya-Allah,” ujarku pendek. Aku sudah letih sebenarnya...

“Kasihan anak-anak. Tidak dapat merasai belaian kasih seorang bapa,” Anuar berbasa-basi. Masih tidak habis-habis lagi lelaki ini...

“Lama-kelamaan, mereka akan dapat biasakan diri,” sanggahku menyedapkan hati sendiri. Aku sebenarnya mengakui kebenaran kata-kata lelaki ini.

“Umi!!!” jerit Maria.

“Maria lupa baca doa makan,” anak gadisku nampak pucat. Matanya semakin mengecil seperti hendak menangis.

‘Lor, makanan sudah hendak habis baru teringatkan doa yang belum dibaca,’ aku merungut sendiri. Salahku juga. Tidak prihatin terhadap tindakan mereka. Bukan mudah menjadi ibu sebenarnya.

“Bismillahi awalu waakhiru,” Anuar berkata perlahan.

“Betul, betul, betul...” sampuk Iskandar.

“Umi sudah ajar,” tambahnya lagi sambil tersenyum menampakkan giginya yang rongak.

“Awak pula macam mana? Sudah lanjut usia, Pak,” aku bertanya sambil tersenyum penuh makna. Anuar hanya membatu. Ia nampaknya begitu ralit memerhatikan gelagat anak-anakku yang sedang bertungkus-lumus mengasingkan nasi yang sudah digaul dengan sayur. Bertuah punya anak.

“Tengok. Sudah boleh bawa anak buah jalan-jalan lagi,” aku memandang tepat anak matanya.

“Tidak lama lagi, jadi suami serta punya anak sendiri pula. Insya-Allah,” sambungku lagi.

“Umur seorang lelaki bermula pada usia empat puluh tahun,” Anuar tiba-tiba bersuara.  

Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Ia masih tampan seperti dahulu dan perangai kebudak-budakannya masih lagi tidak berubah.

“Awak, baik cari pengganti cepat. Anak-anak perlukan belaian kasih seorang bapa,” lelaki ini begitu bijak mengubah topik perbualan. Argh... dahulu, kini dan selamanya. Selalu sahaja aku kalah kepadanya.

“Lebih baik sebelum mereka memasuki alam sekolah,” Anuar kemudiannya menyambung dalam nada yang lebih serius.

“Zaman sekarang, tidak macam dahulu,” ujarku perlahan.

“Janda ini terlalu jahat. Janda itu terlalu hina pada kaca mata orang sekeliling...”

“Para isteri pula menganggap mereka sebagai perampas ...”

“Takut suami mereka dirampas oleh golongan janda...”

“Dengan kata lain, semua orang takutkan si janda. Bahkan, ketakutan mereka melebihi rasa takut kepada Tuhan,” aku menambah.

“Tidak macam zaman dahulu. Sayidatina Khadijah adalah seorang janda yang berhati mulia, telah dijanjikan syurga oleh Allah. Berkahwin pula dengan Nabi SAW, penghulu segala Nabi di atas muka bumi. Hafsah pun seorang janda sebelum menjadi isteri Nabi. Siapa lagi?” soalku.

Tanpa menunggu jawapan daripada Anuar, aku menyambung, “Tengok sahaja Ummu Sulaim yang maharnya begitu mahal di sisi Tuhan. Ia juga merupakan seorang janda sebelum bernikah dengan Abu Thalhah.”

“Bijak ustazah berbicara,” sampuknya sambil ketawa perlahan.

“Umi...” rengek Maria. Aku melihat jam di lengan. Oh, ya. Sudah hampir sampai waktu tidurnya.

“Anuar, maafkan saya. Saya kira perlu beransur dahulu. Insya-Allah, ada rezeki kita jumpa lagi,” kataku sambil mendukung Maria.

“Saya faham. Insya-Allah, ada jodoh kita jumpa lagi,” balas Anuar sambil tersenyum.
“Arisya. Jom balik,” ia memimpin tangan anak buahnya erat.

Aku pun membawa Iskandar dan Maria menuju ke tempat memarkir kereta.

‘Abang, Asha rindukan Abang,’ aku berkata sendiri. Ya, tiba-tiba rasa rinduku terhadap arwah suami menyelubungi hatiku. Ia pergi meninggalkanku dan pasti tidak akan kembali...

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Berminat? Boleh e-mel Muthiah di xpdcsolehah99@gmail.com. RM17 termasuk kos pos.

Mencari Naurah (Bab 85)

Novel | Mencari Naurah


Foto : Sekadar gambar hiasan. Kredit http://depositphotos.com.

Di Alamanda...

“Umi, Is hendak kereta ini,” matanya tidak berkelip memandang kereta mainan yang tersusun elok di atas rak pameran.

“Kita jalan-jalan dahulu,” aku membujuknya lembut. Mak ai, RM200. Boleh gugur rambutku...

“Umi, hendak beli teddy bear ini,” Maria pula menarik lenganku.

“Itu Barbie Doll, Sayang.” Entah betul, entahkan salah. Yang pasti, ia bukanlah seekor beruang tetapi tergolong dalam kategori anak patung!

“Hendak juga, hendak juga, hendak juga ...” Maria menghentak-hentakkan kaki.

“Sabar, Sayang. Kita jalan-jalan dahulu,” aku mengusap rambutnya perlahan.

“Alaaaa...”

Sedang asyik melayan karenah mereka, mataku tiba-tiba tertumpu kepada satu sosok tubuh. ‘Macam kenal,’ bisik hatiku. Ya, aku mengenalinya. Di sampingnya, ada seorang kanak-kanak yang aku kira sama usia dengan anak-anakku. Semakin lama, ia semakin hampir denganku. Akhirnya...

“Assalammualaikum,” ucapnya perlahan.

“Waalaikumussalam,” aku memandangnya antara percaya dengan tidak.

“Asha kenal saya lagi?” lelaki itu tersenyum manis. Tampan...

“Anuar bukan?” aku mengingat-ingat. Mataku masih lagi memerhatikan Iskandar dan Maria yang agak aktif. Bukan sekadar aktif tetapi hiperaktif.

“Kenal pun...” ia membalas. Masih lagi tersenyum.

“Comel anak,” ujarku sambil membalas senyumannya. Ah, putera puteriku sudah punya teman baru. Sesuai... sama-sama hiperaktif.

“Jangan main kejar-kejar, Sayang,” aku segera memaut lengan Iskandar.

“Nanti jatuh,” sambungku lagi.

“Betul, betul, betul...” ia mengiyakan tetapi berlari-lari semula.

“Anak buah daaa. Saya belum nikah lagi,” Anuar berterus-terang. Terkedu namun aku cuba berlagak biasa. Mataku lebih tertumpu kepada pergerakan putera puteriku. Khuatir kalau-kalau mereka terlanggar pelanggan lain tatkala sedang asyik berkejaran. Tidak pun, jatuh tersungkur di dalam kedai yang padat dengan barang mainan ini.

“Mana Asyraf?” kepala Anuar berpusing-pusing memerhati sekeliling. Sekejap-sekejap, ia menjenguk ke luar kedai. Hmmm... pasti tidak akan ketemu. Aku hanya diam. Pura-pura tidak mendengar butir bicaranya.

“Manakah perginya suami tercinta?” Senyum Anuar nampak tidak asli.

Hendak tidak hendak, terpaksalah aku menjawab, “Asyraf sudah meninggal dunia lima tahun lalu.”

“Iskandar, Maria... mari sini,” aku memanggil anak-anakku. Sudah tiba masanya aku beredar dari tempat ini.

“Apa???” Seperti yang kuduga, Anuar pasti terperanjat.

“Arwah terlibat dalam kemalangan jalan raya,” kataku dengar tidak dengar. Cukup perlahan. Agak-agak hanya didengari oleh aku dan Anuar. Air mukaku berubah. Sudah begitu lama aku tidak berbicara tentang dia.

“Inalillahiwainnailahirajiun,” Anuar tertunduk. Lidahnya kelu. Aku turut bisu tidak mampu mengungkap sepatah kata. Wajah Asyraf tiba-tiba hadir dalam hatiku.

“Umi, hendak teddy bear itu,” pujuk Maria sambil menarik-narik bajuku. Masih dengan ‘beruangnya’ meskipun sudah kukatakan bahawa mainan itu merupakan anak patung.

“Umi, hendak kereta ini,” Iskandar merengek-rengek pula. Ia sudah memeluk erat kereta idamannya.

“Mahal, Sayang,” aku berterus-terang. Aku menyayangi anak-anakku. Justeru, aku tidak mahu melalaikan mereka dengan kemewahan meskipun Dato’ Ghazali telah memperuntukkan sejumlah wang yang mencukupi untuk aku berbelanja buat mereka. Sayang anak, biarlah berpada-pada. Kalau tidak, bisa menghancurkan masa depan mereka.

“Alaaaa...” mereka mengeluh serentak. Kemudian, berlari-lari kembali.

“Iskandar anak sulung?” tanya Anuar.

“Mereka saudara kembar,” jawabku pendek. Mataku tidak lekang memandang Iskandar dan Maria yang semakin galak bermain-main.

“Berapa tahun?” soal Anuar lagi.

“Insya-Allah, bulan depan lima tahun.” Mataku membulat. Anak-anakku ini...

“Iskandar, Maria, Arisya...” Anuar memanggil mereka perlahan tetapi agak tegas. Maria yang sedang mengejar teman barunya berhenti mengejut.

“Pin, pin...” jerit Iskandar.

“Hendak berhenti, berilah isyarat. Macam dalam televisyen. Nasib baik tidak kemalangan. 
Kalau tidak, siapa susah? Umi juga yang susah,” sambungnya lagi. Ia memandangku sekilas kemudian berkalih kepada Maria yang sedang mencebikkan bibirnya. Anak gadisku itu kemudiannya memuncungkan mulutnya ke arah Anuar.

“Maria... tidak baik buat macam itu,” aku meninggikan suaraku sedikit.

“Betul, betul, betul...” Iskandar menganggukkan kepalanya tanda menyetujui kata-kataku. Hmmm... tidak pula kedengaran Maria menyambung kata-kata kembarnya sepertimana biasa.

“Abi panggil,” ujar Maria tanpa berfikir panjang. Aku dan Anuar sama-sama terkesima. Kami saling berpandangan. Ah, si anak kecil memang tidak tahu apa-apa.

“Pakcik...” aku berbisik perlahan.

“Ini Maria punya. Yang ini Iskandar punya,” Anuar segera menghulurkan anak patung serta kereta yang menjadi idaman putera puteriku.

“Anuar...” aku menggeleng tanda tidak setuju.

“Tidak perlu,” tambahku lagi.

“Tidak apa. Anggap sebagai cenderahati daripada saya setelah sekian lama tidak berjumpa,” balasnya lalu membuat pembayaran di kaunter.

“Terima kasih, Abi,” ucap Maria.

“Tidak betullah...” sampuk Iskandar.

“Terima kasih, Pakcik. Abi sudah meninggal dunia. Allah sayang abi. Sebab itu Allah ambil abi,” bersungguh-sungguh anak sulungku itu memberi penerangan. Aku hanya diam. Sebak... sudah sekian lama perihal Asyraf tidak diperkata sesiapa.

“Jom kita pergi medan selera. Asha belanja,” aku mempelawa Anuar lembut.

“Boleh sahaja. Rezeki jangan ditolak,” Anuar cepat-cepat memimpin Maria dengan erat manakala aku pula memegang tangan Arisya dan Iskandar.

‘Alangkan bahagianya kalau Asyraf masih ada.’ Tiba-tiba, air mataku jatuh ke pipi. Segera aku mengesatnya.  ‘Asha merindui Abang,’ bisik hati kecilku.

“Guna sapu tangan ini. Saya masih belum guna,” Anuar menghulurkan sapu tangannya kepadaku.

“Maafkan saya kerana membuatkan Asha terkenang kembali arwah,” sambungnya lagi. Aku semakin pilu...


Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Mencari Naurah (Bab 84)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


“Opah!!! Is hendak pergi jalan-jalan,” jerit Iskandar, anak sulungku kepada neneknya. 

“Ya, umi hendak beli mainan banyak-banyak,” sampuk kembarnya, Maria. Tidak padan dengan perempuan. Ia cuba memanjat kerusi yang diduduki neneknya dengan sepenuh hati. Iyyah, iyyah.....

“Opah mahu ikut?” mereka bertanya serentak.

Datin Khatty hanya tersenyum lalu berkata, “Hendak beli hadiah banyak-banyak?”

“Betul, betul, betul...” jawab Iskandar sambil menganggukkan kepalanya yang sedia botak. Macam Ipin dalam siri animasi kanak-kanak Upin dan Ipin pula.

“Hmmm...” sambung Maria. Sah, anak-anak kecil ini sudah terpengaruh dengan watak Upin dan Ipin. Baru-baru ini, aku membawa mereka menonton filem Geng : Pengembaraan Bermula di pawagam dan mereka amat teruja menyaksikan gelagat adik-beradik kembar itu bersama rakan mereka, Rajoo.

“Opah penat. Nanti, Is belikan Opah mainan, boleh?” ujar Datin Khatty lembut. Ia menghirup air suam yang disediakan Dewi perlahan.

“Mana boleh!!!” Maria memuncungkan mulutnya.

“Kenapa tidak boleh?” Datin Khatty mengangkat Maria yang terjatuh dari atas kerusi.

“Mainan untuk budak kecil. Opah budak besar. Mana boleh main mainan,” ia menjawab dengan penuh yakin.

“Betul, betul, betul...” sampuk Iskandar.

“Hmmm...” secara spontan Maria menyambung ‘hmmm’nya.

“Iskandar, Maria hendak ikut umi atau tidak?” aku bertanya dari muka pintu.

“Hendak, hendak, hendak...” mereka menjawab serentak.

“Kalau hendak ikut, cepatlah,” aku menggesa mereka. Sepantas kilat mereka berlari mendapatkanku.

“Ha, lupa salam opah?” aku membulatkan mataku yang sedia sepet.
“Betul, betul, betul...” kata Iskandar.

“Hmmm...” balas Maria. Mereka segera berlari mendapatkan opahnya yang masih setia memerhatikan gelagat mereka.

“Apa yang betul, Is?” tanya Datin Khatty. Rambut Iskandar diusapnya perlahan.
“Tidak tahu,” jawabnya spontan.

“Ish, ish, ish. Maria tidak pakai tudung?” Datin Khatty memandang cucu perempuannya sambil tersenyum.

“Dengan umi. Pakai dalam kereta.”

“Asha pandu kereta baik-baik,” pesan Datin Khatty.

“Insya-Allah, Mama,” ujarku pendek.

“Umi tidak salam opah!” jerit Maria.

“Betul, betul, betul...” Iskandar mengiyakan.

“Hmmm...” Maria menyambung. Oh, aku terlupa untuk bersalam dengan Datin Khatty. Aku memandang putera puteriku sambil tersenyum. Bersyukur kerana dianugerahi Allah sepasang kembar yang sentiasa mengingatkanku tatkala aku lupa.

“Ya, Sayang. Mama salam opah dahulu,” cepat-cepat aku berjalan ke arah ibu mertuaku.
“Jaga diri baik-baik,” pesannya separuh berbisik lalu mencium dahiku.

“Insya-Allah,” balasku.

Aku pun membawa Iskandar dan Maria menaiki kereta Waja yang telah dihadiahi Dato’ Ghazali. Katanya, untuk memudahkanku berulang-alik ke tempat kerja. Aku menerima pemberiannya dengan senang hati.

Sekurang-kurangnya, Pak Alias dapat memberi tumpuan untuk menghantar ibu mertuaku ke sana ke mari. Kalau dahulu, ia gemar ke salun mahupun spa tetapi tidak kini. Surau dan masjid merupakan rumah keduanya. Kalau tidak solat berjemaah di sana, ia pasti mendalami ilmu agama. Secara tidak langsung, Pak Alias pun akan turut serta.

“Bye bye, Opah,” ucap Iskandar.

“Hi hi bye bye, Opah,” jerit Maria pula. Ish, dari mana dia belajar istilah ini? Ikut penyanyi Ezlyn? Lagu ciptaan KRU itu sememangnya mendapat tempat di hati para pendengar. 
Kalau tidak, masakan dapat memenangi hadiah utama kategori pop rock Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun sudah.

“Duduk elok-elok. Pakai tali pinggang. Baca doa naik kereta,” aku berpesan kepada Iskandar dan Maria.

“Allahumma barik lana fima razaktana waqina azabannar,” Iskandar memulakan bacaannya.

“Itu doa makanlah,” sampuk Maria.

“Samalah. Doa juga,” balas Iskandar.

“Mana ada nasi hendak makan?” Maria masih belum berpuas hati.

“Sudah, sudah... umi tinggal tepi jalan. Mahu kena tinggal?” aku berpura-pura marah.

“Abang baca doa salah,” kata Maria.

“O.K., Maria bacakan,” aku berkata kepada Maria.

“Bismikallahuma ahya wa amut,” ia terus membaca doa tersebut.

“Itu doa tidur daaa,” kataku sambil ketawa perlahan lalu membacakan doa menaiki kenderaan. Mereka adik-beradik turut sama ketawa.



Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Mencari Naurah (Bab 83)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan.

“Aku ceraikan kau...” kedengaran suara bapa mertuaku.

“Aku lepaskan kau dengan talak satu,” sambungnya.

“Hatimu sangat busuk. Kau terlalu bermegah dengan darjat milikmu. Engkau lupa bahawa engkau sebenarnya bukan siapa-siapa di sisi Tuhan,” ia berkata lagi. Aku mencelikkan mataku perlahan. Datin Khatty masih lagi tunduk.

“Papa,” aku memandangnya sambil tersenyum.

“Ya, Sayang,” Dato’ Ghazali segera berjalan ke arahku. Mama Melissa juga ada di sampingnya.

“Sabar, Sayang. Papa dan Mama Melissa akan sentiasa bersama Asha.” Dato’ Ghazali terdiam. Ia memandang Dewi yang tetap setia menemaniku.

“Sampai bila-bila pun Asha adalah anak Papa dan Mama,” ujarnya lagi. Mama Melissa segera merangkulku dengan erat. Kemudian, ia menghulurkan sekeping kertas yang berwarna merah jambu.

“Papa jumpa dalam kereta arwah,” suara Dato’ Ghazali kedengaran sayu. Cukup sayu...

‘Maafkan Abang, Sayang. Ketahuilah, Abang menyayangimu seluruh jiwa dan raga Abang...'

Sebak membaca tulisan tangan Asyraf, aku menyimpan nota tersebut di dalam laci meja yang terletak di sebelah katilku.

“Asyraf terlalu sayangkan Asha,” Mama Melissa tiba-tiba menangis teresak-esak.

“Sabar, Sayang. Asyraf pun mesti tidak mahu tengok kita meratapi pemergiannya. Yang penting, anak-anaknya tidak kita abaikan,” pujuk Dato’ Ghazali.

“Kakak!!!!” Kedengaran satu suara yang cukup aku kenal. Adilla hadir bersama ibu, Nasrul dan Farrah. Sudah begitu lama aku merindui wajah-wajah itu. ‘Mak...’ aku memandang ibu yang tidak berkelip memandangku. Kemudian, ia datang menghampiriku.

“Sabar, Sayang,” ibu memeluk erat tubuhku. Air mataku mengalir deras. Aku kehilangan seseorang yang amat aku cintai tetapi Allah menggantikannya dengan beberapa orang yang aku kasihi.

“Tinggal dengan Mak, Sayang,” ibu mempelawa lembut. Aku menganggukkan kepala.

Ibu yang tidak tahu apa-apa berjalan menghampiri Datin Khatty, “Terima kasih kerana menjaga Asha selama ini. Maaf segala salah silap yang dilakukannya. Halalkan makan minumnya.” Datin Khatty yang tadinya sudah berhenti menangis kembali mengalirkan air mata. Semakin lama, esakannya semakin kuat. Aku memandangnya simpati tetapi hatiku sudah mati. Aku tidak berdaya untuk menenangkannya walau dengan sepatah kata.

“Kak, Abang Arul sekarang tinggal di Kota Bharu. Uruskan syarikat Dato’ Azmi. Insya-Allah, bulan hadapan merpati sejoli ini akan bernikah,” Adilla mengenyitkan matanya kepadaku.

“Maafkan Arul, Kak. Arul terlalu banyak menyusahkan Kakak. Arul ....” aku segera menutup bibirnya dengan jari telunjukku.

“Sudah lama Akak maafkan Arul. Bukankah Arul adik kesayangan Akak?” aku merenung dalam matanya.

“Mana aci sayang Abang Arul seorang. Adilla pun adik Akak juga,” Adilla mencebikkan mukanya yang sudah naik beberapa biji jerawat di pipi.

“Aci aci buka pintulah...” Nasrul mengejek.

“Abang!!!” Dengan tangkas, Adilla menepuk belakang abangnya. Pang...

“Ish, kita berada di hospital, Sayang,” ibu berpura-pura marah. Senyumannya terus terukir di bibir. ‘Syukur Asha selamat,’ bisik hatinya.

“Kami beransur dahululah, Mek Jarah,” kata Dato’ Ghazali.

“Papa tidak kisah Asha hendak duduk dengan siapa. Dengan Mek Jarah pun tidak apa. Dengan Papa pun O.K.,” ia menambah.

“Insya-Allah, Asha akan cari kerja.” Aku sudah tidak punya apa-apa. Kalau dahulu, aku bergantung hidup sepenuhnya kepada Asyraf. Tetapi kini, aku sudah tidak punya siapa-siapa. Betullah mutiara kata ada menyebut, ‘Cintakan bunga, bunga akan layu. Cintakan manusia, manusia akan mati. Cintakan Allah, itulah cinta yang hakiki. Cinta yang kekal abadi...’ Ya, pergantungan harus sepenuhnya kepada Allah yang Esa.

“Asha rehat dahulu. Sesudah melahirkan, baru fikir pasal kerja,” Dato’ Ghazali memberi cadangan.

“Kerja dengan Arul pun O.K., Kak. Jadi tukang bancuh kopi. Arul beri gaji RM2,000.00, cukup?” Nasrul bersuara, bergurau agaknya.

“Betul sangatlah begitu. Ini kira kroni,” sampuk Adilla.

“Cemburulah adik Abang yang seorang ini,” Nasrul mengejek adik bongsunya yang masih masam mencuka.

“Tidak ada maknanya hendak cemburu,” Adilla memuncungkan mulutnya.

“Sudah, sudah... bukankah Emak sudah pesan jangan gaduh. Hendak gaduh, balik rumah!” Ibu mencubit pinggang mereka perlahan. Adoi...

“Padan muka,” kataku riang. Hilang rasa duka di hati. Aku memandang ke arah Datin  Khatty. Ia masih lagi menangis.

“Siapa hendak jaga kakak malam ini?” soal Adilla sungguh-sungguh.

“Biar Mak jaga,” cepat-cepat ibu menjawab.

“Abang, bawa Dilla ke Sogo... MidValley...” Adilla sedikit merengek.

“Budak-budak ini, kakak awak sedang sakit. Ada hati hendak berjalan-jalan lagi,” ibu membebel perlahan.

“Tidak apa, Mak. Lagipun, Asha sudah sihat...”

“ Tidur mana malam ini?” aku memandang Nasrul yang sedang menjeling ke arah Farrah yang sedari tadi diam membisu.

“Abang Arul sponsor hotel lima bintang,” jawab Adilla.

“Suka hati dia sahaja,” Nasrul berpura-pura marah.

“Lepas ini, hendak tempah hotel. Kawasan sini juga rasanya,” sambungnya.

“Mak rehatlah di hotel. Asha tidak ada apa-apa,” aku berkata kepada ibu. Ibu hanya tersenyum...

“ASHA...” satu suara memanggilku lembut.

“Asha...” namaku disebut perlahan. Aku sedar tetapi berpura-pura masih lena.

“Maafkan Mama, Sha,” katanya.

“Maafkan Mama, Sha,” ia mengulanginya lagi.

“Asha...” diam.

“Tinggallah dengan Mama...”

“Mama berjanji akan berubah. Izinkan Mama menebus salah Mama pada Asha dan Asyraf,” kedengaran suaranya tersekat-sekat.

“Mama akan menjadi wanita yang paling baik di sisi Tuhan, insya-Allah...”

Tanpa sedar, air mataku mengalir. Doa Asyraf telah dimakbulkan Tuhan. Aku masih lagi berpura-pura tidur. Mama mengambil Al-Quran tafsir yang terletak di atas meja sebelah katilku.

Yaasin...

Entah bila aku benar-benar terlena. 

~bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.

Mencari Naurah (Bab 82)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan.


Di hospital...

Natasha belum lagi dimaklumi tentang kejadiaan yang menimpa suaminya. Sekejap-sekejap, ia memandang jam tangan pemberian Asyraf yang disarungnya. Sekejap-sekejap ia memandang Dewi yang begitu setia menolak kerusi roda yang dinaikinya. Mujur disediakan kerusi roda di hospital ini....

‘Abang mana?’ bisik hatiku.

“Puan Khadijah Khalid stabil. Puan tidak perlu risau,” kata seorang doktor yang baru sahaja keluar dari bilik unit rawatan rapi (ICU), tempat Datin Khatty ditempatkan.

“Boleh saya bertanya sesuatu?” dahi doktor itu kelihatan berkerut.

“Ya, Tuan Doktor,”  aku menjawab perlahan.

“Adakah ibu Puan mengalami kemurungan ataupun tekanan perasaan?” Diam...

“Beliau mungkin telah terminum racun. Pihak kami menemui racun aconite dan racun jenis APTX4869 dalam darahnya,” berhati-hati doktor tersebut berbicara.

‘Racun???’ aku bertanya sendiri.

“Adakah Tuan Doktor dapat mengenalpasti dari manakah datangnya racun tersebut?” aku cuba mendapatkan kepastian.

“Kami tidak menolak kemungkinan racun tersebut ada bersama-sama minuman yang diminumnya...”  Nah, racun dalam minuman? Adakah ibu mertuaku ini mahu membunuh diri? Atau...

“Puan!!!” Pak Alias berlari mendapatkanku. Mukanya pucat seolah-olah sedang dikejar sesuatu.

“Ya, Pak Alias?” cepat-cepat aku bertanya.

“Tuan Asyraf... Tuan Asyraf...” suaranya bergetar.

“Kenapa dengan Asyraf?” hatiku mula tidak menentu. Pak Alias masih lagi diam.

“Asyraf terlibat dalam kemalangan,” Dato’ Ghazali yang tiba-tiba muncul di hadapanku bersuara.

“Astaghfirullah,” kepalaku pusing. Tubuhku semakin lemah lalu aku terjatuh dari atas kerusi.

Selepas itu, aku sudah tidak ingat apa-apa. Bagaimanakah keadaan suamiku?

‘Ya, Allah. Selamatkanlah suami dan ibu mertuaku,’ aku berdoa sendiri.

“Abang, Abang... Asha di mana?” aku memanggil-manggil suamiku.

“Dewi, mana Asyraf?” aku bertanya kepada Dewi yang sedang duduk di sampingku. Diam...
Aku di atas katil hospital rupanya. Aku memandang sekeliling. Tidak ada sesiapa. Hanya aku, Dewi dan seorang lagi wanita yang sedang menundukkan mukanya. Sekejap-sekejap aku mendengar bunyi esakan. Adakah ia menangis?

“Siapa itu, Dewi?” aku bersuara perlahan.

“Asyraf O.K.?” aku masih lagi mencari-cari kelibat suamiku.

“Tidak!!!!!!” 

Tiba-tiba, wanita yang sedang menangis di sebelah katilku itu menjerit. Mama? Aku terkejut melihat keadaan Datin Khatty. Seolah-olah telah hilang kewarasannya.

“Tidak!!!!” ia menjerit lagi.

“Maafkan Mama, Asyraf...” tangisannya semakin kuat.

Nama Asyraf disebut! Apa yang telah berlaku? Di manakah suamiku? Aku cuba bangkit dari katil tetapi tidak berdaya.

“Mama...” panggilku. Diam.

“Mama...” aku memanggilnya lagi. Esakan Datin Khatty terhenti. Ia memandangku sekilas. Kemudian, ia cepat-cepat menghampiriku.

“Maafkan Mama, Sha. Mama akui Mama kejam. Mama akui Mama jahat...” ia menangis kembali. Aku sekadar diam memerhatikan gelagatnya.

“Mama yang letakkan racun itu. Mama benci Asha. Asha telah merampas segalanya milik Mama...” diam sejenak.

“Asyraf sangka, Asha yang keracunan. Jadi...” ia tidak dapat meneruskan kata-katanya. Esakannya semakin kuat. Air matanya mengalir laju.

“Anak kesayangan Mama itu sudah pergi meninggalkan Mama. Asyraf pergi meninggalkan kita, Sha,” Datin Khatty memelukku erat.

‘Abang...’ air mataku jatuh ke bumi. Ujian datang mencurah-curah dan kini, aku diuji dengan kehilangan insan yang paling kucintai. ‘Abang...’

“Asha,” Datin Khatty menyebut namaku. Diam.

“Maafkan Mama, Sayang,” ia merayu lagi.

“Mama menyesal. Mama tahu Mama salah. Hukumlah Mama,” ia merayu lagi. Aku hanya diam. Tidak mampu untuk berkata apa-apa. Air mataku menitis perlahan. Sudah puas aku menangis dan tidak berdaya untuk menangis lagi. Tubuhku kaku. Aku hanya memandang kosong wajah ibu mertuaku.

Hatiku telah mati. Ya, Asyraf turut sama membawa hatiku bersama-sama jasadnya. ‘Abang, Asha masih tidak bersedia untuk hidup tanpa Abang,’  aku menutup mataku perlahan. Air mataku sudah tidak mahu mengalir.

“Asha!!!” ibu mertuaku menjerit memanggil namaku.

“Asha!!!”

“Maafkan Mama, Sha. Ampunkan Mama, Sha...” ia memegang kakiku. Aku masih lagi kaku. Terkejut dengan berita yang baru kuterima...

Pertama, ibu mertuaku mahu meracuniku.

Kedua, Asyraf telah pergi meninggalkanku.

“Sofea, berikan Puan Khadijah suntikan,” kedengaran suara doktor memberi arahan kepada seorang jururawat.

“Asha, maafkan Mama...” Datin Khatty masih lagi mengharapkan kemaafan daripadaku.
Aku kembali berbaring. Kupejamkan mata dan cuba menenangkan fikiran yang bercelaru. 

‘Ya, Allah. Tempatkanlah roh suamiku bersama-sama golongan yang Engkau pilih untuk mendapat rahmat daripada-Mu,’ aku berdoa di dalam hati. Moga aku kan redha dengan pemergiannya...

~ bersambung

Nota : Di atas adalah karya asal sebelum disunting untuk penambahbaikan.