Jualan buku | 30 Jun 2012


Alhamdulillah ^__^



Untuk rekod

Judul buku : 
1) Mencari Naurah = 1 buah
2) Antologi Orang Berdosa = 1 buah
Pembeli : Tuan KZ
Jualan pada : 30 Jun 2012
Lokasi : Tanjung Malim, Perak

Yuk. E-mel Muthiah untuk dapatkan stok ini.

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk kos penghantaran.

Jualan buku | 29 Jun 2012


Alhamdulillah ^__^


Untuk rekod

Judul buku : Antologi Orang Berdosa
Bil : 2 buah
Pembeli : CikPuan HH
Jualan pada : 29 Jun 2012 (Pos pada 30 Jun 2012)
Cara penghantaran : Pos laju, Kos : RM7.30
No. rekod : EM 26 1189 597 MY
Lokasi : Kuala Perlis, Perlis.

Yuk. E-mel Muthiah untuk dapatkan stok ini.

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk kos penghantaran.

Mencari Naurah (Bab 47)

Novel | Mencari Naurah



“BERUBAH benar Arul sekarang,” kataku ketika aku dan Adilla bersantai-santai di rumah. Petang-petang begini, mak selalu berkunjung ke rumah Mok Teh. Kasihan benar aku melihat diri Mok Teh yang semakin uzur.

Penyakit tekanan darah rendah yang dihidapinya menyebabkan dia tidak dapat membuat sebarang kerja berat. Mudah letih. Silap haribulan, boleh jatuh pengsan. Namun, Mok Teh tetap berusaha keras melakukan apa jua jenis pekerjaan. Katanya, untuk anak-anak.

Inilah pergorbanan seorang ibu. Sanggup membakar diri untuk orang lain. Lebih-lebih lagi kepada anak yang dikandung sendiri. Kalau tidak, masakan wujud kisah si ibu yang sama sekali tidak mengizinkan seekor nyamuk menggigit anak kesayangan.

Cuma sang anak sahaja sering kali melupakan jasa ibu bapa. Begitu sukar untuk mengorbankan diri buat orang yang telah membesarkan dan mendidiknya selama bertahun-tahun. Bila ia senang, si tua itu dilupakan dan bilamana ia susah, tidak pula ia berasa malu untuk meminta bantuan kepada si tua yang pernah  ditinggalkan.

“Sejak kawan yang sama-sama merempit dengan Abang Arul meninggal dunia, Dilla tengok dia banyak berubah,” ujar Adilla perlahan. “Baru-baru ini, Abang Arul kemalangan teruk tetapi entah macam mana dia tidak cedera. Dia berlanggar dengan kawannya yang sama-sama sedang buat aksi Superman. Kawan dia koma seminggu. Kemudian, meninggal...” sambungnya lagi sungguh-sungguh.

“Alah, yang selalu ajak Abang Arul keluar malam-malam. Cagan namanya. Nama betul, Dilla tidak pasti.” Dia terdiam seketika. Mak Cagan menangis teresak-esak menyalahkan Abang Arul. Manakan tidak! Anak sulung harapan. Dengar kata, ayah Cagan pun dah meninggal. Mungkin sebab itulah dia stres sangat,” dia menambah.
Aku mendengar dengan penuh khusyuk.

“Kebetulan, Dilla balik kampung. Dilla tengok drama swasta tersebut. Yang Dilla ingat, mak Cagan ada cakap, Kalau tidak sayang diri sendiri pun, sayanglah orang yang sayang kita. Mak pun ada masa itu...”

“Macam mana reaksi mak?” aku bertanya ingin tahu.

“Mak tak kata apa-apa. Mak peluk Abang Arul dan menangis. Mak cium Abang Arul. Tak pernah Dilla tengok muka Abang Arul macam itu.” Adilla terdiam lagi.

“Muka Abang Arul macam mana?”

“Muka macam hendak menangis. Akak ingat muka Abang Arul masa arwah ayah meninggal? Macam itulah tetapi dia tidak pula menangis. Biasalah, bukankah Abang Arul macho? Mana boleh menangis. Jatuhlah maruah dia...”

Aku tersenyum mendengar kata-kata Adilla. Maruah?

“Yang buat Abang Arul kecewa, tidak ada seorang pun kawan Abang Arul yang datang melawat Cagan di hospital. Tanya khabar Abang Arul pun tidak. Seminggu juga Abang Arul tidak keluar rumah,” tambah Adilla.
‘Biasalah Dilla kalau berkawan dengan orang yang tidak menghayati agama,’ bisik hatiku.

Bukankah sahabat yang beriman itu pastinya mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri? Sekiranya teman yang ada di hadapan mata itu hanya hadir waktu senang dan gembira... bolehlah semak semula. Benarkah teman yang dirasakan kawan itu benar-benar sahabat sejati???

“Kak...” Adilla memanggil namaku. Eh, aku mengelamun rupanya. “Mak tidak cakap apa-apa ke lepas peristiwa tu?” aku terus bertanya dan masih mahu bertanya.

“Mak layan Abang Arul macam anak raja. Cemburu juga Dilla,” akui Adilla.

“Baguslah kalau Arul betul-betul sudah berubah,” aku menarik nafas lega. Mungkin berkat doa mak yang tidak putus buat Nasrul. “Jam berapa Ady sampai?” tanyaku kepada Adilla.

“Pok Piji cakap nak ambil Abang Ady pukul 9.00 pagi esok.” Jawab Adilla.

Adik arwah ayahku yang bongsu ini memang banyak membantu kami sekeluarga sejak ayah meninggal dunia.
Pok Piji kini sedang giat mengusahakan tanaman serai di kampung. Dua tahun lepas, dia meminta kebenaran mak untuk bercucuk tanam di atas tanah terbiar di belakang rumah kami. Tahun ini, genap umurnya 32 tahun. Walaupun usianya semakin bertambah, dia masih belum menamatkan zaman bujangnya. Katanya, belum berjumpa dengan si idaman hati...

~bersambung~ 

Nasi goreng ikan bilis

Assalammualaikum. Hari Jumaat kunjung tiba, penghulu sekalian hari. Ada yang suka, ada yang dukacita. Hati riang sebab esok cuti. Jiwa lara sebab sang kekasih hati (suami) tidak dapat pulang ke sisi (PJJ).


Apa macam? Bangun qiam semalam? Tidak? Hukhuk... hendak buat macam mana. Kita tidak dapat mengembalikan hari semalam. Buat jahat... buat baik... semua sudah berlaku. Maka, jika kebatilan yang menguasai diri, bertaubatlah dengan taubat nasuha. Namun sekiranya keelokan pekerti yang ditunjuki, moga istiqomah. Yuk, Dhuha :)


Okey. Lama tak berkongsi resipi. Hari ini, Muthiah ingin berkongsi satu menu yang dahulunya... HARI-HARI Muthiah buat. Iyalah. Keadaan kewangan (selepas studi, sebelum mendapat pekerjaan yang stabil) tidaklah berapa memberangsangkan. Duduk di KL, taraf hidupnya... mak ai. Duit sewa rumah... duit pengangkutan awam... duit untuk emak di kampung dan banyak lagi. 


Jadi, macam mana?


Ehe... Muthiah selalu masak untuk sarapan pagi. Selalu juga bawa bekal ke pejabat. Jarang membeli makanan di luar. Maka, duit pun cukup. Tidaklah mengalami kekempisan perut. Kekempisan perut? Hahaha...


Jom masak






Bahan-bahan


Nasi putih malam tadi
Bawang merah
Bawang putih
Cili api
Ikan bilis
Cili kisar (atau orang panggil cili boh) ~ Muthiah suka yang buat sendiri.
Sayur - kangkung @ kubis @ sawi
Kicap Kipas Udang
Sos cili 
Sos tiram


Cara membuatnya


1. Tumbuk bawang merah, bawang putih dan cili api sekali.


2. Goreng ikan bilis dan letakkan di tepi.


3. Tumis bahan ditumbuk sampai naik bau.


4. Masukkan cili kisar, sos cili, sos tiram dan kicap (sos cili dan sos tiram tak perlu banyak). Kicap pula ikut citarasa sendiri.


5. Masukkan sayur.


6. Masukkan ikan bilis dan siap.


Jika hendak tambah dengan telur mata kerbau, lagi sedap :)


Nota : Kuantiti tidak ditulis sebab bergantung kepada nasi putih yang digunakan.


Selamat mencuba.
Labels: 0 comments | | edit post

Tika hati digores, izin aku undur diri...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Moga hidup kita dirahmati ALLAH selalu. Sentiasa ceria dan bermuka manis. Banyakkan zikir dan istighfar, moga kita menjadi hamba ALLAH yang selalu dekat dengan-NYA. Yuk!


Seorang teman ada berkongsi rasa. Suaminya hendak menikah satu lagi. Dia rela dalam pasrah, mengambil keputusan untuk mengundur diri.

ALLAH... ALLAH... ALLAH... 
Muthiah bukanlah insan yang selayaknya untuk berbicara tentang ini. Muthiah kurang pengalaman... kurang serba-serbi... kurang dan kurang namun Muthiah tetap mahukan sang teman sentiasa bahagia dalam kehidupannya. Moga ALLAH merahmati. Moga ALLAH memelihara diri. 


Wahai teman, si isteri solehah... Muthiah sayang kamu kerana ALLAH <3 

  • Moga sang teman, si isteri solehah sabar dan sabar... dan sabar. Sesungguhnya ALLAH bersama orang yang sabar.
  • Moga sang teman, si isteri solehah membuat keputusan yang terbaik untuk diri, juga keluarga.
  • Moga sang teman, si isteri solehah diberi kekuatan untuk menghadapi ujian ini. ALLAH dekat, lebih hampir dari urat merihmu, sayang.
  • Moga sang teman, si isteri solehah dikurnia ketabahan oleh ALLAH untuk mengharungi kehidupan yang penuh dengan liku ini.
  • Moga sang teman, si isteri solehah terus akrab dengan ALLAH... merintih, merayu mendambakan kedamaian dan ketenangan daripada-NYA.
.....

Teringat Muthiah pada kisah Hajar dalam Air Mata Siti Hajar... 

Hajar mahu jadi isteri solehah. Dia ingin jadi yang terbaik buat sang suami. Segala kekurangan si lelaki, diterima dengan redha. Hajar sanggup bersabar tatkala dihina, dipandang serong dan dikeji adik iparnya. Lebih parah, apabila suami meragui dirinya dek onar yang dibuat sang adik. Kasihnya pada suami mengatasi kesedihan yang dialami.

Namun satu hari Hajar diuji..

Kehadiran Sarah telah mengubah segalanya. Hajar tidak sanggup berpoligami. Bukan menidakkan sunnah Nabi tetapi dia tidak mampu... tidak berdaya untuk mendepaninya sendiri. Hajar tidak cukup kuat untuk itu.

Berkata Aisyah, teman baik Hajar, "Dulu, Hajar sanggup bertahan dengan Khadijah yang mencaci dan mengeji. Semuanya demi cinta kepada Ibrahim, Hajar mahu jadi isteri solehah. Namun, apabila Ibrahim mahu menikah satu lagi, Hajar tersungkur akhirnya..."

Persoalan; Kerana apa cinta Hajar? Adakah kerana kasih kepada Ibrahim yang bergelar suami semata-mata sampai Hajar sanggup bertahan atau kerana ALLAH?

Sedang hidup mati ini hanyalah untuk ALLAH...

Hajar hanyalah manusia biasa yang banyak khilaf... berguni kelemahannya.
.....
Cukup coretan untuk hari ini.

Allah tidak membebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya. Dia mendapat pahala (daripada kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (daripada  kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa), "Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU  hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU  bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana ENGKAU bebankan orang-orang sebelum kami. Ya TUHAN kami, janganlah ENGKAU pikulkan kepada kami apa yang tidak sanggup kami pikulnya. Maafkanlah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. ENGKAU-lah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir." (al-Baqarah, 2:286) 

Muthiah : ...... 

Jom makan buah naga!

Assalammualaikum. 


Yuk...


Senyumlah ~ agar senang hati mata-mata yang memandang namun ingat! Berpada-pada juga agar senyum itu tidak mengundang fitnah.


Doa ~ kita bukanlah sesiapa sebenarnya. Tiada daya bagi kita melakukan sesuatu melainkan dengan izin-NYA. Ayuh, akrabkan diri dengan zikrullah... solat... doa dll.


Maaf dan memaafkan, berlapang dada ~ serah segala sesuatu pada PENGHITUNGAN ALLAH. Yakin! Percaya! Sesungguhnya DIA Maha Teliti... tiada keraguan lagi. Namun andai dizalimi, pertahankan hak sendiri sedaya mungkin. 


Bersangka baik ~ khuatir andai sangka buruk itu lahir dari hati yang kotor dan berkarat, kita bukan setakat menjauh daripada manusia tetapi ALLAH juga. Kita sangka kita bahagia dengan persangkaan buruk itu tetapi hakikatnya, hati kita tidak tenteram. ALLAH ada menghisab dan meneliti.


Bermulut elok ~hindari mengata, mengumpat, menyakiti hati... Tidakkah kita mahu menjadi hamba yang paling baik/ taat di sisinya? Kita berusaha. Hasilnya, biar ALLAH yang menentukan. Moga ILAH memelihara diri ini.


Okey. Cukup pemanasan blog untuk pagi ini. Jom, kita terus ke entri yang sebenarnya. Keh keh keh.
...
Baru-baru ini, suami telah membeli buah naga (dragon fruit)  yang sangat banyak. Gulp. Pertama kali Muthiah memakannya. POSITIF! Maka, Muthiah pun mencari-cari di internet apakah khasiat buah tersebut. Wah! Bagus untuk badan... Jom kita ketahui lanjut tentang buah-buahan ini ^_^
  1. Tergolong dalam spesis kaktus.
  2. Kaya dengan potasium, ferum, protein (mengurangkan metabolisme badan dan menjaga kesihatan jantung), serat (mengawal kanser usus, kencing manis dan diet), sodium dan kalsium (menguatkan tulang).
  3. Mengandungi zat besi (menambah darah), vitamin B1 (mengawal kepanasan badan), karotin (kesihatan mata, menguatkan otak dan menghalang penyakit), fosferus (pertumbuhan tisu badan), vitamin B2 (menambah selera), vitamin B3 (menurunkan kadar kolesterol) dan vitamin C (menambah kelicinan dan kehalusan kulit serta mencegah jerawat).
  4. Membantu meningkatkan daya tahan.
  5. Mengurangkan kadar metabolisme dalam badan manusia.
  6. Baik untuk sistem penghadaman dan peredaran darah.
  7. Mengurangkan tekanan emosi.
  8. Meneutralkan toksid dalam darah. 
  9. Mencegah kanser usus.
  10. Mencegah kandungan kolesterol yang tinggi dalam darah.
  11. Menurunkan kadar lemak dalam badan. 
Fakta ini Muthiah sumari dari laman web rasmi Jabatan Pertanian Negeri Kedah.

Moga mendapat manfaat daripadanya. Ayuh... kita sama-sama jaga kesihatan. Badan sihat, hendak beribadah pun selesa. Moga ALLAH merahmati.

^___^

Jualan buku | 26 Jun 2012


Alhamdulillah ^___^


Untuk rekod


Judul buku : 
i) Air Mata Siti Hajar, 1 buah
ii) Mencari Naurah, 1 buah
iii) Antologi Orang Berdosa, 1 buah
Pembeli : Puan SMY
Jualan pada : 26 Jun 2012
Cara penghantaran : Pos laju, Kos : RM10.00
No. rekod : EM 261 189 610 MY
Lokasi : Shah Alam, Selangor


Terima kasih ^_^

Yuk, bagi sesiapa yang belum memiliki buku-buku ini. Boleh dapatkan dengan Muthiah segera ^_^ 

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk kos penghantaran.

ALLAH lebih tahu

Assalammualaikum. Apa khabar? :) Agak terlewat mengemaskini blog. Ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Manuskrip pun tidak bersentuh lagi. Insya-ALLAH, selepas Zohor, masuk pejabat. Doakan Muthiah, ya. Selepas kemaskini blog, mahu berehat sekejap.


...




Diari hatiku 19 Jun 2012...


Hari ini, terdapat urusan di pejabat pos. Ada beberapa buah buku yang hendak kukirim kepada pembeli (Terima kasih daun keladi). Seperti biasa... setiap kali selepas menghidupkan enjin kereta, aku akan membaca ayat Qursi di samping beristighfar kepada ALLAH. Dalam masa yang sama, aku berdoa agar dipermudahkan perjalananku hari ini. Moga-moga, aku tidak dihon. Maklumlah, aku belum mahir memandu.


Alhamdulillah... doaku dimakbul ALLAH. Namun aduh... aku menerima surat saman memarkir tanpa menunjukkan kupon. Hatiku terdetik. Mungkin dek kerana aku tidak berdoa pada ALLAH tentang itu.


~ Memberi pengajaran kepadaku agar tidak memandang enteng pada peraturan~


Diari hatiku 25 Jun 2012...


Suami memintaku membuat sesuatu. Okey! Lagipun, aku sudah mendapat lesen penuh. Mahu juga meringankan kerja suamiku. Seperti biasa, setiap kali selepas enjin kereta dihidupkan... aku akan membaca ayat Qursi dan beristighfar. Doaku kepada-NYA agar hari ini aku tidak disaman polis atau majlis perbandaran. Aku juga tidak mahu dihon oleh kenderaan lain. Pasti! Aku mengharapkan ada tempat untuk memarkir kereta apabila aku sampai ke destinasi.


Alhamdulillah... aku tidak disaman. Tempat parkir pun ada. Namun, keretaku hampir dilanggar HILUX di hadapan simpang Ipoh Parade. Ketar kepala lututku. Pucat lesi wajahku. Mujur (dengan izin ALLAH), HILUX tersebut tidaklah laju dan tidak ada apa-apa yang berlaku.


~ Memberi pengajaran kepadaku agar tidak cuai dan lebih berhati-hati. Hukhukhuk...~


Diari hatiku 26 Jun 2012


Aku ke Klinik Kesihatan Greentown untuk rawatan (cuci) gigi. Maklumlah, sudah dua tahun aku tidak merawatnya. Seperti biasa... doa kubaca, istighfar kuucapkan. Moga ada tempat parkir buatku. Moga ALLAH pelihara aku daripada sebarang kemalangan dan kecelakaan (sementelah suamiku ada urusan di Taiping). Aku tidak mahu dihon! Walaupun nampak remeh (mungkin ya dan mungkin tidak), aku tetap percaya... dalam apa jua kondisi, aku memerlukan-NYA. Maka, aku berdoa kepada DIA.


Alhamdulillah... perjalanan hari ini dipermudahkan ALLAH. Aku selamat sampai ke rumah tanpa dihon atau terlibat dengan sebarang musibah. Cuma di klinik tadi, tempat parkirnya penuh! Akhirnya, aku memarkir keretaku di hospital yang letaknya tidak jauh dari klinik kesihatan.


Akan tetapi ALLAH izin... 


Aku yang pertama kali datang untuk membuat temujanji pemeriksaan gigi, dapat merawat (cuci) gigiku terus. Kata sang misi yang cantik manis, "Sepatutnya, hari ini temujanji sahaja." Entah kenapa doktor yang aku kira sebaya mamaku mahu melakukannya hari ini. Jawapannya mudah. Semuanya berlaku dengan izin ALLAH.


~Menjadikan aku berfikir bahawasanya ALLAH lebih tahu!~
....
  • Yuk... dekatkan diri dengan ALLAH. Banyakkan berdoa, merintih dan merayu kepadanya pada kala senang dan susah.
  • ALLAH beri yang kita perlu, bukan yang kita mahu.
  • Bersangka baik dengan ALLAH... setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya (Diri! Pegang ayat ini erat-erat).
  • Berhati-hati di jalan raya.
Ayuh bermuhasabah dalam menelusuri kehidupan..

Okey. Selamat bekerja buat semua <3

Bersabar

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Bersemangat untuk bekerja? Muthiah... Alhamdulillah, bersemangat cuma sebentar lagi, ada urusan lain yang perlu dibereskan. Jadi, tangguh sekejap menulis.


Ehe... Bagi penjawat awam, gaji masuk hari ini. Alhamdulillah. Sudah buat bajet bulanan?  Jangan lupa untuk infak atau bersedekah ke jalan ALLAH ya.


Okey. Masa mencemburui Muthiah. Mohon beransur dahulu namun sebelum itu, jom hayati lagu ini. Muthiah tujukan buat teman-teman yang Muthiah kasihi. 




Bersabarlah
kerana di situ ada kekuatan


Bersabarlah
kerana di situ ada keakraban


Bersabarlah
kerana di situ ada keutuhan


Bersabarlah
kerana di situ ada ketabahan


Bersabarlah...


Sesungguhnya ALLAH dekat dengan orang yang bersabar :)


Okey. Selamat bekerja dengan penuh dedikasi. Tanamkan dalam hati... Kulakukan segalanya kerana ALLAH. Moga kita menjadi hamba-NYA yang soleh/ solehah.

Jualan buku | 23 Jun 2012


Alhamdulillah ^____^


Untuk rekod

Judul buku : 
i) Antologi Orang Berdosa, 1 buah
ii) Air Mata Siti Hajar, 1 buah
Pembeli : Puan Hanim
Jualan pada : 23 Jun 2012 
Lokasi : Kuala Kangsar, Perak.

Yuk, bagi sesiapa yang belum memiliki buku-buku ini. Boleh dapatkan dengan Muthiah. 

1) Mencari Naurah RM17
2) Air Mata Siti Hajar RM22
3) Antologi Orang Berdosa RM14

Nota : Jualan buku di atas tidak termasuk kos penghantaran.

Mencari Naurah (Bab 46)

Novel | Mencari Naurah



 SUDAH lama aku tidak balik ke kampung halaman. Maklumlah, kerjaku berlambak sampai berguni-guni. Setiap hari, banyak sungguh resume graduan baru yang sampai di atas mejaku.

Aku tersenyum melihat mak yang sedia menanti di muka pintu. Setelah membayar tambang kereta sapu, aku cepat-cepat menghampiri mak.

"Assalammualaikum, mak," aku menyapa mak lembut.

"Waalaikumussalam. Cuti berapa hari?" soal mak pula.

"Cuti sampai Selasa ni, mak. Asha ambil cuti tahunan dua hari," jawabku.

"Boleh cuti lama-lama? Kerja tak banyak ke?" Dahi mak berkerut. Maklumlah… setiap kali berbicara dengan mak di corong telefon, aku pasti akan bercerita tentang kerjaku yang tidak pernah mahu habis.

"Hmmm… Kalau hendak ikutkan kerja, tak balik kampung gamaknya, mak," ujarku lantas meletakkan beg pakaianku di belakang pintu.

“Kebetulan, Ady pun balik minggu ini,” beritahu ibu tatkala aku menyalaminya.

“Ady ada e-mel Asha, mak. Sebab itu Asha balik,” aku mencium pipi ibu yang semakin berkedut. “Arul mana? Dilla tak cuti ke?” aku bertanya pula.

“Lupa pula hendak maklumkan pada Asha. Arul sudah bekerja...”

“Kerja apa, mak? Alhamdulillah, boleh juga ringankan beban mak,” ujarku sebelum sempat mak menghabiskan bait katanya.

“Mak pun kurang pasti. Dilla cakap, kerja dengan Dato’ Azmi...”

“Hmm... ayah teman wanita dia hari itu?” aku cuba mendapatkan kepastian.

“Ayah si budak Farrah tu. Mak tak tahu apa dah jadi pada Arul. Dah lebih tiga bulan dia tidak balik kampung,” mak menjelaskan. Terpancar kesedihan pada wajahnya.

Aku tahu, meskipun Nasrul agak nakal, dia tetap anak kesayangan mak. “Arul tak hubungi mak?”soalku lagi.
“Adalah dua kali. Mula-mula, katanya dia masukkan mak duit dalam RM100. Malam tadi, dia maklumkan pula yang dia tidak dapat balik hujung minggu ini. Ada kerja luar. Harap-harap dapat juga luangkan masa dalam sebulan ini. Bukan mudah hendak berjumpa dengan Ady...”

“Berubah benar Arul, mak? Alhamdulillah,” aku tersenyum penuh makna.

“Arul tetap anak mak. Mak tahu dia baik. Mungkin nakal sedikit sahaja,” mak membalas senyumanku dengan senyum yang menampakkan gigi palsunya.

“Berkat doa dan kesabaran mak juga.” Pipi mak kucium buat kesekian kalinya. “Dilla balik bila, mak?”
“Assalammualaikum,” kedengaran satu suara.

“Waalaikumussalam. Panjang umur. Akak dengan mak baru sahaja mengumpat Dilla,” aku segera mendapatkan Adilla di muka pintu.

“Mengumpatlah. Nanti Dilla dah ada kawan, Dilla tak mahu kawan dengan akak lagi. Abang Ady mana?” Mata Adilla tercari-cari abang nombor tiganya itu. Memang mereka berdua agak akrab antara satu sama lain.
“Belum sampai lagi. Pagi esok, insya-ALLAH,” mak berkata  dengan suara yang lembut.

Tangan mak disalami Adilla. Kemudian, Adilla berjalan ke arahku. Opocot, cicak!!!

“Makkkk....” aku menjerit.

Aku lihat Adilla ketawa kesukaan. Di tangannya, ada seekor cicak mainan. Sempat lagi mengenakanku.

“Nasiblah. Bukankah akak pernah beritahu dahulu, tidak baik mengumpat. Nanti dapat saham percuma. Tengok, senang-senang mendapat balasan sekelip mata. Tidak payah tunggu hari kiamat,” kata Adilla sambil ketawa.

“Ya, betul! Bijak betul adik akak yang seorang ini,” balasku turut sama ketawa kecil.

“Eh, Abang Arul tak balik ke?” soal Adilla.

“Arul telefon malam tadi. Tak balik katanya,” aku menjawab bagi pihak mak.

“Fuiyooo, Abang Arul masuk majalah Remaja, kak. Masuk pertandingan hero Remaja. Salah seorang finalis. Makin kacak dan tampan abang sekarang,” cerita Adilla lagi.

“Arul kerja apa, sebenarnya?” Dahiku berkerut. Semacam tidak percaya bahawa adikku yang seorang ini sudah punya kerjaya.

Mak yang tadinya berjalan ke dapur terhenti langkahnya. Da memandang tajam ke arah Adilla.
“Model merangkap kerani am. Tidak tahu pula syarikat apa...” Jawab Adilla.

“Syarikat Dato’ Azmi ke?” tanyaku.

“Bukan syarikat bapa mertuanya. Abang Arul dapat kerja tersebut melalui Dato’ Azmi. Bukankah Dato’ Azmi itu banyak dot dot dot,” terang Adilla bersungguh-sungguh.

“Aik, Arul dah kahwin ke?” Terkejut dengan kata-kata Adilla, aku memandang mak yang sudah perlahan-lahan berjalan ke dapur.

“Kong, kong, kong... Tipah tertipu. Eh, silap. Cik Natasha comel tertipu. Bakal ayah mertua dia daaa...” Adilla mengenyitkan matanya.

“Kurang cili boh punya adik,” aku lantas menggeleteknya.

“Mak, dinosaur 57 kilogram ini sudah naik minyak! Tolongggg...” Adilla menjerit sambil ketawa terbahak-bahak.

“Cop, cop...” Adilla kembali serius. Dia  kemudian berjalan ke arah beg pakaiannya lalu mengeluarkan sesuatu.



“Hmmm... Selamat hari ulang tahun, Kak. Muah, muah, muah,” ucapnya sambil mencium pipiku. Sekotak hadiah  yang telah dibungkus rapi dihulurkan kepadaku.

“Terimalah seadanya. Dilla belajar lagi, tidak banyak duit.”

Hari ini berapa haribulan? Alamak! 26 Februari... usiaku dah bertambah.

“Terima kasih, sayang. Bukan tikus mainan, ya?” ujarku dalam nada gurauan.

“Bukan tikus, kak tetapi ular sawa. Betul-betul punya ular. Moga cepat-cepat bawak balik abang ipar.” Adilla tersenyum manis.

“Jom, makan. Mak dah masak siap-siap makanan kegemaran Asha. Dilla, cuba rasa kek mak buat ini. Khusus untuk anak-anak kesayangan mak,” pelawa mak yang sedia menunggu di meja makan.

Aku terdiam. Tidak sangka akan diraikan begini. Aku sendiri lupa akan tarikh lahirku. Aku bahagia berada dalam keluarga ini. Aku tidak akan ambil peduli kata-kata nista orang. Asal aku, mak, Adilla, Efendy dan Nasrul tetap bersama, sudah cukup membuatkan kepiluan hatiku terbang tinggi mengikut arah angin.
Pergi jauh dan pastinya tidak akan kembali lagi, insya-ALLAH...

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 45)

Novel | Mencari Naurah




“MACAM mana dengan budak kampung yang kita jumpa hari itu?” tanya Datin Khatty.
Asyraf diam...

“Jadi, bila kita hendak masuk meminang?” soal Datin Khatty lagi.

Asyraf masih diam...

“Betul!!! Asyraf, bila kita hendak jumpa keluarganya? Natasha, bukan?” sampuk Dato’ Ghazali.
Datin Khatty hanya tersenyum mendengar pertanyaan suaminya. Nampaknya, dia sudah tidak marah-marah lagi terhadap lelaki itu. Begitulah kehidupan suami isteri. Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.’

“Dia diam, pa,” ujar Asyraf pendek. Ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya tetapi dipendam sendiri.

“Kalau macam itu, kira selesai semuanya. Minggu hadapan, kita masuk meminang Amalin. Mama sudah bincang dengan Datin Azira untuk datang ke rumahnya Ahad hadapan,” Datin Khatty tersenyum lebar.
Sudah berbincang? Apa hak mamanya untuk membuat keputusan terlebih dahulu sebelum mendapat persetujuannya?

“Bijak betul, Datin Khatty. Tanya anak teruna hari ini, berbincang hendak pergi meminang bila lagi?” sindir Dato’ Ghazali.

“Awakkkk...” Datin Khatty ketawa. Ketawa yang dibuat-buat menyebabkan hati Asyraf menggelegak.
“Asyraf tidak mahu!” bentak Asyraf.

“Tidak! Mama mahu Asyraf ikut cakap mama. Apapun keadaannya, Asyraf mesti kahwin dengan Amalin,” Datin Khatty mendesak.

“Tidak, mama. Asyraf tidak mahu bernikah dengannya!” Asyraf tetap membantah keras.

Datin Khatty yang tadinya tenang sudah mula menyinga. ‘Entah ubat apa yang diberikan budak kampung itu!’ bebelnya di dalam hati. “Siapa Asyraf hendak lawan cakap mama?” jeritnya, mempamerkan rupanya yang sebenar.

Ketegangan yang berlaku antara Asyraf dan Datin Khatty diselamatkan dengan deringan telefon.

“Ibu, ada panggilan telefon daripada Datin Azira,” jerit Dewi. Sama sahaja dengan majikannya yang suka menjerit.

Datin Khatty lantas meninggalkan Asyraf dan Dato’ Ghazali lalu berjalan cepat ke arah pembantu rumahnya. “Buatkan aku Milo,” arahnya.

“Baik, bu,” balas Dewi. Dia pun bergegas ke dapur.

“Apa yang berlaku?” tanya Dato’ Ghazali setelah isterinya hilang dari pandangan.

“Asyraf tidak pasti, pa...” Asyraf diam sejenak. “Sejak mama jumpa Natasha, dia diam seribu bahasa. YM tidak balas, telefon tidak angkat,” ceritanya.

“Mama cakap apa dengan dia?” Dato’ Ghazali bertanya lagi.

“Tidak pasti sebab mama minta Asyraf tinggalkan mereka. Sebenarnya, Asyraf pun rasa tidak sedap hati tetapi mama paksa. Lebih-lebih lagi mama bawa Amalin ikut sama,” kata Asyraf.

“Apa? Mama bawa Amalin bersama? Untuk apa????” Dato’ Ghazali terpaku.



“Papa...” Asyraf diam sejenak. “Kalaupun Asyraf tidak kahwin dengan Natasha, Asyraf tidak akan berkahwin dengan Amalin...”

“Kenapa?” Dato’ Ghazali memandang tepat mata anak terunanya.

“Kami sembang-sembang. Asyraf kira, dia tidak sesuai dan tidak serasi dengan Asyraf...” Asyraf mengeluh perlahan. “Kehidupan serta cara hidup dia dan Asyraf amat jauh berbeza. Tidak sekufu, pa,” tambahnya berterus-terang.

“Biasalah, keluarganya terlalu disibukkan dengan urusan kerja sehingga mengabaikannya. Akhirnya, jadilah ia sepertimana yang Asyraf lihat.” Tidak ada tanda terkejut pada wajah Dato’ Ghazali.

“Papa pernah jumpa Tengku Amalin?” Asyraf membalas renungan papanya.

“Sudah. Di KLIA. Mama pelawa papa menjemputnya sewaktu dia mula-mula kembali ke Malaysia. Gadis yang sangat seksi, bukan?” Dato’ Ghazali ingat-ingat lupa.

“Betul,” Asyraf mengiakan. “Untuk jadikannya sebagai teman bersosial, mungkin paling cocok. Namun, untuk berkongsi hidup bersama...” kata-katanya mati di situ.

“Memang tidak sesuai dengan Asyraf,” sambung Dato’ Ghazali. “Jangan jadi macam papa. Papa berkahwin dengan mama kerana rupa. Mama Asyraf adalah wanita paling cantik di kampus satu ketika dahulu. Siapa yang tidak kenal Khadijah binti Khalid? Papa terpukau dengan kecantikannya. Papa sangat berbangga kerana dapat memilikinya, dahulu.” Dia menyambung.

“Papa menyesal?” Dahi Asyraf berkerut.

“Tidak. Kita semua ada buah salah. Papa juga punya zaman jahil. Pastinya, papa tidak sempurna dan terlalu banyak berbuat dosa. Papa tidak dapat membimbing isteri papa dengan baik. Tetapi, bila papa tersedar... papa cuba untuk melakukan yang terbaik serta menjadi yang paling baik,” luah Dato’ Ghazali. Dia kemudiannya duduk di atas sofa.

“Dewi, tolong buatkan saya Horlicks kurang susu,” pesan Dato’ Ghazali. Suaranya dikuatkan tetapi tidak sampai menjerit.

“Baik, pak,” jawab Dewi.

“Amalin kirim salam. Katanya, dia rindu sungguh pada Asyraf,” Datin Khatty tiba-tiba berdiri di hadapan Asyraf.

“Waalaikumussalam,” jawab Asyraf pendek.

“Selepas Amalin dan Asyraf bertunang, kami akan terus buka salun. Alangkah seronoknya memiliki salun kecantikan sendiri...” Datin Khatty tersenyum puas. “Bahagianya,” tambahnya lagi.

“Asyraf tetap tidak mahu kahwin dengan dia,” Asyraf masam mencuka. Dia yang tadinya sudah kembali tenang menggelegak dadanya.

“Kena kahwin juga! Tidak ada kompromi. Mama tidak mahu dengar apa-apa daripada Asyraf. Kalau Asyraf tidak mahu ikut mama ke rumah Datin Azira, mama pergi sendiri. Asyraf perlu ada sewaktu akad nikah sahaja,” kata Datin Khatty tegas.

Dato’ Ghazali kelihatan tidak mahu campur tangan. ‘Aku tidak akan menang jika bertikam lidah dengan perempuan ini,’ bisik hatinya.

“Mama...” kali ini suara Asyraf kedengaran begitu lemah. Air matanya mula menitik satu per satu. “Maafkan Asyraf tetapi Asyraf tidak mampu...” Dia terduduk di hadapan mamanya. Kepalanya menyentuh kaki mamanya yang masih berdiri. Air matanya semakin laju.

Dato’ Ghazali yang sedari tadi begitu asyik menikmati air Horlicks yang dibuat bibik terdiam. Tidak sangka Asyraf akan bertindak begitu. “Bangun, Asyraf. Tenangkan fikiran dahulu,” pujuknya lembut. Hati lelakinya tersentuh melihat Asyraf begitu. Tidak pernah Asyraf menangis di hadapannya. Apatah lagi menyembah kaki mamanya.

“Maafkan, Asyraf. Asyraf tidak mampu...” Asyraf tetap tidak berganjak.

Datin Khatty kaget tetapi dia harus bertegas. Dia punya matlamat yang perlu dicapai.

Dato’ Ghazali bangkit daripada sofa. Dia berjalan ke arah Asyraf dan mengangkat bahunya. Dia berbisik perlahan, “Papa tidak berapa pandai perihal agama tetapi papa rasa lebih baik Asyraf berdoa sungguh-sungguh pada TUHAN. Papa pun akan doakan Asyraf, insya-ALLAH.”

Asyraf mendongak ke arah papanya. Betul kata Dato’ Ghazali. Dia mungkin terlupa bahawa dia punya TUHAN yang sentisa mendengar rayuannya. Dia terlupa bahawasanya ALLAH itu dekat.

‘Terima kasih, TUHAN, ’ bisik hatinya. Melalui papa, ALLAH mentarbiah dirinya yang terlupa. Benarlah... 
‘Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang AKU, maka jawablah bahawasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Maka hendaklah mereka memenuhi segala perintah-KU dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran...’ 

~bersambung~