Manusia Bateri Jam


“Apa yang awak menungkan lagi, Lisa?”
“Bahan sudah cukup? Pengeditan sudah siap? Awak pun tahu kita semua mengejar deadline. Tidak boleh sambil lewa. Tidak boleh main-main,” bebel Asyraf bertalu-talu. Macam nenek kebayan bahkan lebih teruk daripada itu.
Namun, begitulah Asyraf setiap kali sampai waktu deadline. Selaku Ketua Editor di syarikat Lisza Nazim Publisher, ia bertanggungjawab memastikan semua kerja dibereskan tepat pada waktunya. Kalau tidak, berbaldi-baldilah syarahan yang bakal diterima. Siapa tidak kenal En. Nazim? Bos besar yang kurus melidi. Nampak sahaja macam cicak kubing tetapi jiwa dan hatinya kental.
“Sudah siap, Tuan,” Melisa memandang Asyraf sambil tersenyum kambing. Gemar benar menaikkan kemarahan ketuanya yang lebih terkenal dengan nama Manusia Bateri Jam. Manusia Bateri Jam? Entahlah. Hanya Melisa yang tahu. Dia yang menggelarkan lelaki itu dengan panggilan tersebut.
‘Baik, Manusia Bateri Jam,’ ia berbisik di dalam hati. Senyumannya semakin melebar.
Tanpa lengah, Asyraf segera berjalan laju ke arah Raffiq yang begitu asyik berborak melalui Yahoo Messenger. Kehadiran Asyraf yang sepantas kilat sama sekali tidak disedarinya.
“Haaa…” Sergah Asyraf dari belakang.
“Opocot mak engkau,” Amir yang cepat lemah semangat itu terlompat dari tempat duduknya. Air mukanya berubah kemerahan. Pucat dan panik. Tertangkap pada saat yang tidak dijangka. Amir tidak sempat menutup Yahoo Mesengger-nya. Kegelabahannya terserlah dan terpancar dari wajahnya.
“Kalau pun hendak berjiwang karat, bukan waktu deadline. Siap printing, mengayatlah puas-puas. Tidak mahu mandi dan makan pun dibenarkan,” Asyraf diam sejenak. Ia berkalih ke arah Melisa yang masih tidak lekang dengan senyum kucingnya.
“Sudah terima bahan daripada Lisa?” soalnya lagi serius. Asyraf memandang Yahoo Messenger Amir yang berlatar belakangkan hati berwarna merah jambu. Ia menggeleng berkali-kali. Amir pula tersengih kebuntuan.
“Belum lagi, Cap,” balas Amir pendek. Ia segera menutup Yahoo Messenger-nya lalu duduk kembali di atas kerusi. Berlagak seperti tidak ada apa-apa yang berlaku.
“Lisaaa…” Asyraf menjeling Melissa tajam. Cukup tajam. Seperti seekor singa yang mahu menerkam mangsanya. Maklumlah, manusia bateri jam mana bisa membaham sasarannya. Hanya mampu menjeling dan terus menjeling.
“Assalammualaikum, Cik Abang. Cuba semak emel hari ini. Kalau ada, belanja Sa makan nasi goreng ikan masin.” Cepat-cepat Melissa mendapatkan Amir.
‘Anak Pak Mail ini nampaknya hendak meletakkan kesalahannya di bahuku. Kurang cili kering punya budak. Ini tidak boleh jadi. Langkah selipar jepunku dahulu,’ omelnya sendiri.
“Sudah, sudah. Bukan masanya hendak bertekak,” Asyraf yang sedari tadi memerhatikan gelagat orang bawahannya itu tiba-tiba mencelah.
“Amir, pastikan layout siap sebelum lusa. Kalau beres awal, emelkan dahulu kepada saya. Jangan jadi macam bulan lepas. Banyak sangat kesalahan yang tidak sepatutnya. Cuba kamu bayangkan. Pembeli membelanjakan RM4.50 untuk membeli barang kita. Kita pula, tidak pernah serius dalam menjaga kualiti. Berbaloikah RM4.50 itu? Kalau saya yang menjadi pembeli, sudah tentu saya tidak akan sudi menghabiskan wang saya untuk mendapatkan sesuatu yang tidak memuaskan hati. Faham?” Manusia Bateri Jam ini membulatkan matanya yang sedia bulat.
“Awak pula, Melissa. Saya manusia ciptaan Allah yang cukup sifat. Tidak ada maknanya awak memberi gelaran Manusia Bateri Jam kepada saya. Awak tidak untung dan saya pun tidak rugi apa-apa,” sinis benar kata-kata lelaki ini.
Melissa hanya diam. Wajahnya ditundukkan ke lantai. ‘Angkara siapakah ini? Berani sungguh membocorkan rahsiaku kepada Manusia Bateri Jam yang sedia cengil ini. Kurang air asam jawa punya pembelot!’ ia menjerit di dalam hati. Amir hanya tersenyum sumbing.
“Hmmm…” Asyraf mengeluh kecil. Ia berlalu meninggalkan Melissa dan Amir yang masing-masing masam mencuka. Pasti Melissa tidak berpuas hati kerana rahsianya telah dibocorkan seseorang. Amir pula… Entahlah. Hanya dia yang tahu.
*****
“Bilalah agaknya Mama boleh terima menantu?” Datin Khadijah berbasa-basi. Ia memandang Asyraf yang begitu ralit dengan komputer ribanya. Esok deadline dan ia mahu melakukan semakan terakhir.
Anak Dato’ Sabri ini sebenarnya bukan sahaja sesuai diberi gelaran Manusia Bateri Jam tetapi juga… Mr. Perfect. Kenapa? Ia begitu mendambakan kesempurnaan. Walaupun baik untuk menjamin kualiti kerja, tetap ada kelemahannya.
Selaku manusia, hidup dan mati sepatutnya kerana Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-An’am ayat 162 yang bermaksud, “Katakanlah; Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.” Namun, yang terjadi ialah hidup dan mati empunya nama Asyraf ini diserahkan seratus lima puluh sembilan peratus kepada kerja yang tidak pernah putus. Tidak salah untuk melakukan yang terbaik tetapi jangan sampai mengabaikan diri sendiri.
“Umur Acap pun bukan muda lagi. Sudah dua puluh lapan tahun. Kalau kahwin lambat, lambatlah boleh anak. Kalau begitu, lambat lagilah Mama boleh menimang cucu,” suara Datin Khadijah sedikit kendur. Ia tidak berkelip memandang wajah anak bongsunya yang sedang berkerut seribu itu. Tentu ada ada sesuatu yang menyesakkan pemikirannya.
“Hmmm…” wanita berusia separuh abad ini mengeluh lagi.
“Harapan Mama, Acap pilihlah untuk menjadi manusia. Bukannya bateri jam,” kata-kata Datin Khadijah terhenti di sini. Asyraf yang tadinya begitu khusyuk dengan kerjanya tiba-tiba terpana dengan ungkapan ibunya. Bateri jam? Semacam biasa dengar sahaja istilah ini tetapi di mana?
“Ma…” Asyraf menghampiri ibunya yang sudah mula hendak melangkah pergi.
“Esok deadline. Acap mahu pastikan semuanya siap dengan sempurna. Acap mahu buat yang paling baik,” ujarnya perlahan.
“Kalau iya pun ada deadline, tidak akan sampai perlu bawa balik kerja itu ke rumah? Kerja kerja juga. Privasi diri pun perlu difikirkan. Ambil masa untuk bermesra dengan keluarga. Cari ruang untuk membina hubungan sesama jiran. Inilah yang dikatakan sebagai manusia dan insan itu hakikatnya adalah khalifah Allah di atas muka bumi ini. Banyak taklifan yang dipikul olehnya. Bukan kerja semata-mata,” Datin Khadijah meluahkan rasa hatinya. Suaranya sedikit bergetar. Mungkin sudah tidak tahan melihat karenah anak terunanya.
“Baik baik. Mulai lusa, Acap tidak akan membawa balik kerja ke rumah,” Asyraf cuba membujuk ibunya.
“Bulan lepas juga begini. Bulan lepas lepas pun sama. Setiap kali selepas deadline…” Datin Khadijah mencelah.
“Kali ini betul betul, Ma. Acap janji,” Asyraf memeluk ibunya kuat.
“Bagaimana pula dengan menantu Mama?” Anak mata Asyraf direnung tajam.
“Insya-Allah, Asyraf akan perkenalkan calon menantu Mama nanti,” beritahu Asyraf yakin tidak yakin.
“Bila?” Datin Khadijah masih tidak berpuas hati.
“Selepas deadline? Bulan hadapan? Tahun hadapan? Atau lima tahun akan datang?” Asyraf terkedu.
“Insya-Allah. Tidak lama lagi, Ma.”
“Baik. Mama pegang kata-kata Acap.” Kali ini, Datin Khadijah tersenyum puas.
*****
“Melissa, jumpa saya sekejap,” jerit Asyraf dari dalam bilik pejabatnya.
“Baik, Tuan,” balas Melissa.
‘Baik, Manusia Bateri Jam,’ hatinya berkata nakal. Ia segera melangkah menuju ke bilik Asyraf yang terletak betul-betul di hadapan tempat duduknya.
“Lapan puluh satu peratus bahan sudah siap dikumpul. Untuk cover, kita sudah buat temujanji dengan Amy Search di Restoren Cheng Ho dekat Wangsa Maju. Lain-lain, kita kena tunggu emel daripada Hajah Rohani untuk ruangan Tips Kewangan dan Dr. Ariza untuk slot kesihatan. Insya-Allah, sepuluh hari sebelum deadline, bahan akan siap dikumpul. Tujuh hari setengah sebelum itu juga, bahan siap disunting,” tanpa ditanya, Melissa segera memberi penerangan panjang lebar berkenaan perkembangan kerjanya kepada Asyraf. Mata lelaki itu membulat. Mulutnya pula ternganga luas.
“Sudah?” Soal Asyraf bersahaja. Ia bermain-main dengan pen berjenama Pilot dengan jari hantu dan telunjuknya. Melissa hanya diam. ‘Apa hal pula orang tua ini?’ ia berbisik sendiri.
“Hmmm…”
“Kenapa awak panggil saya Manusia Bateri Jam?” Asyraf mendongak ke arah Melissa yang tetap berdiri. Gadis berusia dua puluh lima tahun itu tetap membisu.
“Mama saya pun kata begitu. Saya seperti bateri jam…”
“Persoalannya…” Asyraf terdiam seketika.
“Kenapa bateri jam? Tidak ulat buku? Tidak juga Superman?” Bertubi-tubi anak Dato’ Sabri ini menyoal Melissa.
“Come on, Melissa. Kita sudah saling mengenali selama hampir tujuh tahun. Kita menjadi pasangan kekasih selama lima tahun tujuh bulan sembilan hari. Lisa yang saya kenal adalah seorang yang sangat telus dalam ungkapannya. Adakah saya seorang lelaki yang cukup membosankan?” Nah! Rahsia terbongkar. Melissa memandang ke luar bilik. Mujur tidak ada siapa-siapa yang berdiri berhampiran.
“Lisa marahkan Acap kerana mengabaikan Lisa? Atau Lisa bencikan Acap kerana sentiasa bersikap tegas sewaktu berada di pejabat?” Asyraf tunduk memandang lantai.
“Sebagai ketua, Acap perlu bersikap adil dengan semua orang. Bukan itu sahaja bahkan Acap tidak mahu menjadikan ruang yang begitu dekat ini sebagai satu platform bagi kita untuk lebih mendekat. Selaku manusia, iman kita tidaklah sekuat mana,” Asyraf kembali bermain-main dengan pen Pilot-nya.
“Bukan sebab itu…” Melissa mula bersuara.
“Acap terlalu mementingkan kerja sehingga mengabaikan orang yang berada di sekeliling Acap. Mana pernah Acap makan bersama kami. Bergurau senda apatah lagi. Terdapat jurang yang begitu luas antara Acap dan kami, staf-staf di sini. Hidup Acap adalah demi kerja semata-mata. Tidak ada seronok-seronok. Tidak ada gelak-tawa. Serius dua puluh dua jam lima belas minit. Apa yang Acap tahu dan mahu tahu adalah tentang kerja semata-mata. Acap tidak pernah ambil peduli tentang permasalahan lain anak buah Acap,” gadis sunti ini menambah.
“Acap yang berada di hadapan Lisa sekarang bukanlah sepertimana Acap yang Lisa kenal satu ketika dahulu. Acap yang dahulu adalah seorang yang peka dan prihatin. Acap tidak pernah mengabaikan orang di sekeliling Acap dan dalam masa yang sama, Acap tetap komited terhadap tugas yang diberikan,” Melissa berterus terang lagi.
“Baik. Acap akui kesalahan Acap tetapi kenapa Manusia Bateri Jam?” Asyraf menyampuk. Ia sebenarnya begitu mahu mengetahui rahsia di sebalik bateri jam itu.
“Hmmm…” Melissa mengeluh perlahan. Cukup perlahan.
“Selaku penulis dan editor, sememangnya kita mengejar masa. Kita dihambat oleh deadline. Jam adalah medium yang paling penting untuk kita mengetahui tentang masa,” ia memandang jam yang tergantung elok pada dinding.
“Kita khuatir jika bahan tidak dapat disiapkan sebelum waktunya. Jadi, semua orang memberi tumpuan kepada kerja yang dilakukan serta jam itu sendiri. Ya! Sememangnya, jam sering kali menjadi tumpuan setiap orang…”
“Namun…” suara Melissa tersekat-sekat.
“Sedarkah kita bahawasanya jarum jam itu bisa sahaja terhenti? Kapan waktu? Apabila bateri jam habis. Sedar-sedar, jam sudah mati dan kita sendiri tidak perasan tentangnya,” wajah Melissa berubah.
“Jadi, apakah kaitannya dengan Acap?” Nampaknya, lelaki ini masih belum mengerti apa-apa.
“Manusia yang terlalu mengejarkan dunia juga begitu. Kita tidak tahu bilakah kita akan dipanggil pulang. Kita terlalu disibukkan dengan kerja sehingga mengabaikan mereka yang menyayangi kita. Tahu-tahu, nyawa sudah berada di hujung kerongkong namun waktu itu, penyesalan tidak lagi berguna. Orang yang tersayang menderita. Kerja yang hendak dibereskan pun tertangguh. Macam bateri jam tadi. Tengok-tengok, jarum jam sudah tidak bergerak. Maknanya, bateri sudah habis,” panjang lebar Melissa menerangkan.
“Hmmm…” Asyraf mendengus kuat. Kata-kata Melissa ada benarnya. Ia begitu mendambakan kerja yang tidak pernah habis. ‘Benarkah aku seperti bateri jam?’ ia bertanya sendiri.
“Baik. Minggu hadapan, keluarga Acap akan masuk meminang Lisa. Tidak boleh tunggu lagi kerana tidak tahu sampai bila ‘bateri jam’ ini akan terus berfungsi…” Asyraf yang sentiasa optimis ini mengambil langkah drastik dalam melakukan perubahan terhadap hidupnya. Melissa kaget. Mulutnya terlopong. Perkara yang dibangkitkan sama sekali tidak ada kena mengena dengan perbincangan dia dan Asyraf sebentar tadi. Namun… Alhamdulillah. Melissa tersenyum gembira.
“Jom…” pelawa Asyraf.
“Hendak ke mana? Mahu cari cincinkah?” Wajah Melissa berubah kemerahan.
“Cincin apanya waktu-waktu begini? Baru pukul 9.35 pagi. Mari kita sama-sama bertungkus-lumus menyiapkan bahan untuk terbitan bulan hadapan. Kita cuba siapkan seminggu sebelum deadline,” ujar Asyraf selamba.
Mata Melissa yang sedia sepet membulat. ‘Sememangnya Manusia Bateri Jam,’ ia merungut sendiri. Asyraf hanya tersenyum…

0 Responses