Apabila hati tidak tenteram

Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Ehe. Masih bercuti. Insya-ALLAH, 7 Mei nanti Muthiah akan kembali menulis manuskrip. Doakan ya. 






Hendak coret apa hari ini?






Semalam, Muthiah rasa something wrong somewhere...


Cepat sedih...
Cepat terasa...
Cepat fikir yang bukan-bukan...
Terkenangkan sesuatu yang telah menghiris, mengguris...


Dengan kata lain, hati tidak cukup tenang berbanding sebelumnya. Entah. Muthiah bersoal jawab sendiri, "Sebab kurang membaca al-Quran ke?" 


Muthiah terfikir akan seorang perokok tegar. Semakin banyak dia menghisap rokok, semakin keras, hitamlah paru-parunya. Astaghfirullah... Muthiah membayangkan pula hati Muthiah yang kotor dan keras sampai sebegitu. Jika tidak, masakan Muthiah tidak berasa apa-apa tatkala membaca al-Quran. Rasa kosong. Rasa jauh daripada ALLAH. 





Moga ALLAH ampun dosa.
Moga ALLAH tidak menjauh (padahal, diri sendiri yang jauh daripada-NYA).
Moga ALLAH lembutkan hati (caiyok, wahai diri!).


....


Kemudian, sewaktu berborak-borak dengan suami, ada sesuatu yang terpacul dari bibirnya, membuatkan Muthiah terfikir-fikir sendiri...


Mungkin dek kerana payah hendak berlapang dada atau memaafi, membuatkan Muthiah begini.


Bukan tidak mengingatkan diri...
Bukan juga tidak tahu... para Nabi dan orang beriman diuji lebih hebat lagi...
Bukan tidak maklum akan kesannya kepada jiwa sendiri...


tetapi....


Setakat orang mengguris hati... bersangka-sangka... mengata... apalah sangat. Kita pun, pasti ada tersalah langkah... tersilap cakap... melukai hati seseorang atau boleh jadi juga pernah berburuk sangka..


Justeru, wahai hati...


Kembalilah kepada TUHAN-mu yang Maha Pengasih lagi Maha Menyayangi.


Untuk apa kita hidup di atas muka bumi? ~ Kerana ALLAH.
Untuk apa kita berbuat baik kepada makhluk-NYA? ~ Kerana ALLAH.
Untuk apa kita bersabar dan berlapang dada? ~ Kerana ALLAH.






Ya... segalanya adalah kerana ALLAH.


Serah semuanya kepada ALLAH.
Mengadu kepada ALLAH.
Merintih kepada ALLAH. 


Persoalan; Sejauh manakah segala sesuatu itu kita lakukan kerana-NYA.


Menangis lagi T___T


Sesungguhnya ALLAH adalah sebaik-baik Penilai dan Penghitung.


Moga kita dipilih ALLAH sebagai salah seorang hamba-NYA yang soleh/ solehah. 


Jika ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba ENGKAU, dan jika ENGKAU mengampuni mereka, maka sesungguhnya ENGKAU-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Maidah, 5:118)



Maafkanlah

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Lama sudah Muthiah tidak berceloteh di sini. Agak sibuk mengejar deadline peribadi. Meskipun hanya fasa kerja sendiri, kena bersungguh-sungguh, bukan? ^___^


Hmm... tidak ada idea. Muthiah petik dari wall Dr. Zubaidi Haji Ahmad. Yuk... kita sama-sama fikir.. renung... selami dan hayati.


.....




Ramai di antara kita yang banyak menyimpan dendam. Dendam pada kawan, adik beradik, pasangan kita suami/isteri malah pada musuh kita. Dendam ibarat penjara dalam hati yang akan menyeksa emosi kita. Orang yang tidak memaafkan lalu berdendam ibarat orang yang memasukkan dirinya ke dalam penjara dengan sukarela. Cara untuk kita keluar dari penjara itu adalah dengan segera memaafkan dan melupakan kesalahan mereka.

Anggaplah mereka masih tidak tahu apa yang mereka lakukan dan memerlukan kemaafan daripada kita.

Kalau suami/isteri melakukan kesalahan atau sebab tidak sengaja, atau alasan yang tidak dapat dielakkan, atau sebab tidak tahu, segera maafkan mereka.

Kerana kebahagian berumah tangga bermula daripada saling memaafkan. Bagaimana kita mahu bahagia jika kita meletakkan diri kita di dalam penjara hati akibat tidak memaafkan dan melupakan?

Mulai hari ini, maafkanlah isteri jika lauk semalam terlebih garam, dan maafkanlah suami jika semalam bahasanya menyinggung kita.

Kunci kebahagian ialah mudah memaafkan walaupun sukar untuk melupakan ~Dr. Zubaidi Haji Ahmad.

Muthiah :
Percaya! ALLAH Maha Teliti Penghitungan-NYA. Apabila diri disakiti, bersabarlah... bertabahlah. ALLAH dekat mendengar, melihat dan mengetahui. ALLAH ada mengadili dan DIA-lah Hakim yang paling saksama. Dekatkan jasad dan jiwa kepada-NYA, insya-ALLAH hati akan menjadi tenang.  ♥

Labels: 0 comments | | edit post

Akhirnya Cinta


Alhamdulillah... Karya pertama Muthiah untuk tahun 2012.

Majalah : Remaja
Bil : 616
Tarikh : 15 April 2012
Judul cerpen : Akhirnya cinta
Nama pena : Nurliza Mohd Nasir

...

“Dah setahun Tuan mencuba. Kalau benar-benar suka, hantar sahaja rombongan meminang. Kalau kena tolak, ambil borang minta bertukar negeri lain. Kalau Tuan asyik menyakat macam ni, sampai bila-bila pun tak selesai. Saya yang menengok pun semput. Lagipun, Tuan bukannya muda lagi nak mengayat macam budak umur 25 tahun,” Aireena menyatakan pandangannya panjang lebar.

Norman mengagguk perlahan. “Cadangan yang bernas tetapi saya tidak akan masukkan dalam pengiraan penilaian prestasi kerja kamu,” katanya perlahan lalu beredar masuk ke dalam biliknya.
...

Selamat membaca ^^

Aduhai, hati yang sedang rawan


Duhai kasih,

Usah biarkan hatimu walang dek impian yang tak terlaksana...
Sesungguhnya DIA lebih arif, Maha Tahu segala sesuatu yang terbaik buatmu...

Dekatlah, dekatkanlah, dekat...
Hampirkan dirimu pada-NYA, pasti kau tak kan kecewa...

Yakinlah, yakin...
ILAH mendengar dan mengetahui segala isi hati..
ILAH melihat, tahu yang terpendam di dalam sanubari...

Menangislah namun awas! Jangan sampai memudaratkan...
Kecewalah namun ingat! Jangan sampai keterlaluan...

Kita insan hamba yang lemah...
Kepada DIA kita mengabdikan diri dan kepada DIA juga kita membutuh pertolongan.

....

Dan (ingatlah), tatkala TUHAN-mu menyatakan, "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti KAMI akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU), maka sesungguhnya azab-KU sangat pedih,". (Ibrahim, 14:7)

Moga kita semua tergolong dalam lingkungan hamba-NYA yang sentiasa bersyukur dengan ketetapan-NYA. Andai belum peroleh apa-apa yang diingini, usaha lagi tanpa rasa jemu.

ALLAH ada... ALLAH ada... ALLAH ada... Yaeh!

♥ ♥ ♥

Doa Dhuha


Ya, ALLAH.

Moga aku tergolong dalam lingkungan hamba-MU yang sentiasa berusaha untuk mendekat dengan-MU. Hanya ENGKAU, segalanya ENGKAU.

Ya, ALLAH.

Moga aku tergolong dalam lingkungan hamba-MU yang mentaati segala perintah-MU dan menjauh larangan-MU. Sesungguhnya hidup dan mati ini hanya untuk-MU.

Ya, ALLAH.

Peliharalah daku... lindungi daku...

Moga aku tergolong dalam lingkungan hamba-MU yang meletakkan ENGKAU di tempat yang teratas, menyintai-MU seluruh jiwa ragaku.

'Tidak ada apa yang lebih manis dalam kehidupan ini melainkan apabila dapat memperoleh kemanisan iman dan mengecap cinta ILAHI.' MH

Takwa


ALLAH tidak melihat kita berada dalam larangan-NYA dan tidak pula kehilangan kita dalam perintah-NYA.

.....

Umar al-Khattab telah bertanya kepada Ubai bin Ka'ab tentang takwa...

"Tidakkah kamu pernah melalui jalan yang penuh dengan diri?" ujar Ubai tanpa menjawab pertanyaan Umar.

"Benar," balas Umar pendek.

"Apakah yang kamu lakukan ketika itu?" Ubai pula menyoal Umar.

"Saya akan bersedia dan berjalan dengan penuh hati-hati," kata Umar pula.

~ITULAH TAKWA~

....

Daripada bicara Umar dan Ubai di atas, Sayid Quthb telah menafsirkan, "Takwa adalah KEPEKAAN BATIN, KELEMBUTAN PERASAAN, rasa TAKUT yang BERTERUSAN, sentiasa BERWASPADA jangan sampai terkena duri jalanan; lorong kehidupan yang sentiasa ditaburi duri GODAAN dan SYAHWAT, KERAKUSAN dan ANGAN-ANGAN, KEKHUATIRAN dan KERAGUAN..." (Tafsir Fi Zhilalil Quran)

Yuk! Tanamkan tekad di dalam hati... berusahalah bersungguh-sungguh... berdoa tanpa jemu kepada ILAHI...

Moga-moga kita terlingkung dalam golongan manusia yang mentaati perintah dan menjauhi larangan-NYA ♥
Labels: 0 comments | | edit post

Kisah penciptaan Nabi Adam A.S.


Ingatlah ketika TUHAN-mu berfirman kepada para Malaikat, "Sesungguhnya AKU hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi." Mereka berkata, "Mengapa ENGKAU hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu orang yang akan membuat kerosakan padanya dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji ENGKAU dan mensucikan ENGKAU?" Tuhan berfirman, "Sesungguhnya AKU mengetahui apa yang tidak kamu ketahui."

Dan DIA mengajarkan Adam nama-nama (benda) seluruhnya, kemudian mengemukakannya kepada para Malaikat lalu berfirman, "Sebutkanlah kepada-KU nama benda-benda itu jika kamu memang benar orang-orang yang benar!"

Mereka menjawab, "Maha Suci ENGKAU, tidak ada yang kami ketahui selain daripada apa yang telah ENGKAU ajarkan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU-lah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana."

ALLAH berfirman, "Hai Adam, beritahukanlah kepada mereka nama-nama benda ini." Maka setelah diberitahukannya kepada mereka nama-nama benda itu, ALLAH berfirman, "Bukankah sudah KU-katakan kepadamu, bahawa sesungguhnya AKU mengetahui rahsia langit dan bumi, serta mengetahui apa yang kamu lahirkan dan apa yang kamu sembunyikan?" (Al-Baqarah, 2:30-33)

...

Nota :

Peranan khalifah :

1- Mengabdikan diri kepada ALLAH. (Al-An'aam, 6:162)
2- Mengajak manusia kepada ALLAH. (Ali-Imran, 3:104)
3- Memakmurkan alam.

Yuk! Jom kita tanamkan di dalam hati kuat-kuat... ketat-ketat... ALLAH mengetahui apa yang tidak kita ketahui. Justeru...

1- Taatlah kepada segala perintah-NYA kerana DIA tahu...
2- Jauhi larangan-NYA kerana DIA tahu...
3- Usahlah terlampau bersedih andai kita tidak mendapat (lagi) sesuatu yang diimpi idamkan kerana DIA tahu...

ALLAH dekat, lebih hampir daripada urat merih kita. Ayuh kita akrabkan diri dengan-NYA... dan lagi... dan lagi ♥
Labels: 0 comments | | edit post

Cemburu

CEMBURU

Tidak senang melihat kelebihan orang lain.

Sungguh!

Cemburu yang MEMUDARATKAN itu hakikatnya merugikan diri. Hati tidak akan tenang. Jiwa akan kegelisahan. Lebih parah, memberi impak negatif, bukan sahaja kepada orang yang dicemburui tetapi empunya badan sendiri.

Cara atasi :

1- Banyakkan istighfar ~ Moga ALLAH menyucikan hati. Jiwa yang kotor, mudah dihinggapi penyakit. Mudah tidak keruan.

2- Banyakkan membaca al-Quran ~ Dengan ingat DIA hati kan tenang. (Ar-Ra'ad, 13:28)

3- Positif ~ Setiap makhluk ALLAH telah ditetapkan rezekinya. Terima ketetapan ALLAH dengan reda. Dalam masa yang sama, tingkatkan usaha untuk berjaya. Insya-ALLAH, boleh! (Ar-Ra'ad, 13:11)

4- Menangis ~ Menangislah dalam penyesalan... jika cemburu itu hadir dari hati yang sakit, moga ALLAH ampun dosa.

Namun sekiranya cemburu itu disebabkan oleh lumrah insan (Contoh: Sang isteri cemburu melihat kemesraan suaminya dengan wanita lain), menangislah untuk meluahkan rasa hati. Awas! Usah biar rasa cemburu itu menguasai diri.

5- Bermuhasabah ~ Tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini yang sempurna. Moga-moga dengan koreksi diri ini dapat membawa kita kembali, mendekat kepada PENCIPTA.

....
....
....

Ya ALLAH, lindungi hati, perasaan dan jiwa kami daripada sikap cemburu yang memudaratkan.

Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang AKU, maka (jawablah), bahawasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia memohon kepada-KU, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-KU) dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Al-Baqarah, 2:186)
Labels: 0 comments | | edit post

Mencari Naurah (Bab 35)


'PAGI hujung minggu yang membosankan!' omelku sendiri. Aku melihat Azmar, teman sebilikku masih lena dibuai mimpi. Sekejap-sekejap dia tersenyum, sekejap-sekejap dahinya berkerut. Mimpi apa agaknya dia pagi-pagi begini?

'Hmmm…' keluhku perlahan. Aku memandang jam loceng yang terletak di pinggir katil. Baru pukul 7.00 pagi. Sememangnya aku sudah dididik untuk tidak tidur selepas subuh. Kalau hari bekerja, aku aku bergegas mempersiapkan diri ke tempat kerja. Kalau hari cuti… 'Nak buat apa, ya?' mataku berkelip-kelip entah berapa kali.

Haaaa!!! Sudah lama aku tidak menyemak e-mel peribadiku. Sejak bekerja di PWC, hanya e-mel syarikat yang aku gunakan untuk berhubung dengan rakan-rakanku. Aku kemudiannya berjalan ke arah komputer riba yang terletak di atas meja studi. Semak dengan barang-barang kepunyaan Azmar, aku menggeleng sendiri.

'Mak ai… banyaknya e-mel yang tidak disemak?' Senarai pengirim emel aku teliti satu per satu. Tiba-tiba, mataku tertumpu kepada satu nama milik seseorang…


To : natasha_kudo@yahoo.com

Subject : Apa perkembangan terkini?

Salam.

Maaf mengganggu. Baru-baru ini saya berjumpa dengan Anuar di PWC. Satu pejabat dengannya rupanya. Apa perkembangan terkini? Masih berhubung dengan adik-adik muslimah? Apa perkembangan mereka?

Asyraf Daniel.

Mata yang sedia sepet kubulatkan. Benarkah apa yang ak

u baca dan lihat? Pengirimnya bernama Asyraf Daniel. Asyraf mana? Atau Asyraf Daniel bin Razali yang baru menjadi ahli keluarga tempat aku bekerja. Namun, e-melnya seperti yang aku kenal, shinichi2905@yahoo.com.

Reply to : ‘Asyraf Daniel’< shinichi2905@yahoo.com >

Subject : Re : Apa perkembangan terkini?

Salam.

Anuar ada sampaikan salam Saudara. Alhamdulillah, adik-adik tidak punya masalah. Kalau ada sebarang permasalahan sekalipun, tidak kritikal. Biasalah, muslimah yang meningkat dewasa. Insya-ALLAH, masih berjumpa dengan mereka setiap hujung minggu untuk menyampaikan majlis ilmu.

Sekian, terima kasih.

Natasha

*****

SEMINGGU berlalu dan tidak ada balasan e-mel yang aku terima daripada Asyraf. Kalau dahulu, aku begitu malas untuk menyemak e-mel peribadiku tetapi tidak sekarang. Setiap hari, pasti aku akan menjenguk e-mel serta Yahoo Messengerku yang sudah lama terkubur namun kini dihidupkan kembali. Sedang ralit meneliti senarai pengirim e-mel, aku ditegur seseorang melalui lama chat Yahoo Messenger.

Buzz...

Shinichi : Salam.

Natasha : Salam.

Shinichi : Sibuk?

Natasha : Tidak sangat. Hari Jumaatlah katakan.

Shinichi : Anuar ada?

Natasha : Dia perlu temuduga calon baru. Belum selesai lagi agaknya. Saudara belum bekerja lagi?

Shinichi : Insya-ALLAH, minggu hadapan lapor diri di Hospital Kuala Lumpur.

Natasha : Alhamdulillah. Dekat sangat dengan PWC.

Shinichi : Ya, bolehlah makan sama-sama.

Shinichi : Eh, salah. Silap hari bulan, ada yang mengamuk pula.

Natasha : (jelir) Baiklah, beransur dahulu. Jumpa lagi.

Shinichi : Baik.

*****

"AWALNYA buka komputer," tegur Azmar.

"Awalnya bangun. Hmmm… biasanya, hujung-hujung minggu begini, kalau tak pukul 10.00, jangan harap nak buka mata," balasku sambil tersenyum.

"Ada dating kat KLCC," Azmar berterus-terang.

"Dating dengan perempuan ke lelaki?" aku membulatkan mata.

"Nama lagi dating, mestilah dengan sang teruna," Azmar diam sejenak.

"Baiklah, Sha. Janji sebelum pintu KLCC buka kena sampai dah," sambungnya lagi lalu berjalan meninggalkanku terkebil-kebil di hadapan komputer ribaku. Aku menggeleng perlahan.

"Jaga diri hiasi peribadi," jeritku.

SETELAH Azmar beredar, aku segera log in Yahoo Messengerku. Manalah tahu…

Shinichi : Salam.

Natasha : Salam.

Shinichi : Berada di talian juga hujung minggu ini?

Natasha : Hendak mencari bahan. Sekarang menulis.

Shinichi : Tulis apa?

Natasha : Cerpen tentang Palestin. Cuba hantar pada majalah...

Shinichi : Melampau betul Yahudi (Israel).

Natasha : Dari dahulu lagi sudah melampau. Cuba rujuk surah kedua ayat 120 yang bermaksud, ‘Tidak akan redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikuti agama mereka...’.

Shinichi : Surah Al-Baqarah, bukan? Jadi, apa yang boleh kita buat?

Natasha : Boikot barang-barang mereka.

Shinichi : Contoh produk keluaran mereka?

Natasha : Banyak tetapi kalau hendak tahu lebih lanjut, boleh tengok dalam web PPIM.

Shinichi : Orang Yahudi kecil tetapi mereka bersatu.

Natasha : Betul, dunia Arab asyik bergaduh dan bergaduh, tidak ada tanda mahu surut...

Natasha : Macam adik-beradik berkelahi... sebenarnya tidak ke mana.

Shinichi : Sejak zaman Nabi SAW lagi orang Arab suka bertelagah. Islam datang mengharmonikan mereka tetapi tidak semua yang mengikut jalan Islam.

Natasha : Benar...

Shinichi : Tetapi, janji Allah itu benar. Islam PASTI menang cuma kita tidak tahu bilakah waktunya.

Natasha : Benar.

Shinichi : Bezanya, adakah kita sama-sama terpilih untuk membawa Islam kepada kemenangan. Islam PASTI menang. Kita fikir balik, Islam perlukan kita atau kita sebenarnya yang memerlukan Islam?

Natasha : Ya…

Shinichi : Eh, saya kena keluar sekejap. Insya-ALLAH ada jodoh kita borak lagi.

Natasha : Ada jodoh?

Shinichi : Eh, ada masa kita berbual lagi. Assalammualaikum.

'Waalaikumussalam,' aku menjawab salamnya di dalam hati. Ah! Buat malu sahaja. 'Ingat jodoh ni berkait dengan kahwin sahaja??? Natasha!!!' Aku memarahi diriku sendiri. Benar-benar di luar kawalan dan jangkaan. Namun, alangkah baik andai kami benar-benar berjodoh. Aku tersenyum nakal.

~bersambung~

Moga ALLAH ampun dosa (al-Maidah, 5:118)


Beruntunglah mereka yang selalu menghisab diri, mengenang dosa yang telah lalu... berhati-hati dalam melakukan sesuatu agar tidak menjerumus diri ke lembah kemurkaan-NYA.

Moga ALLAH ampun dosa...
Moga ALLAH memberi kekuatan jiwa...
Moga ALLAH pilih menjadi hamba-NYA yang istiqamah dan taat kepada-NYA...
Moga ALLAH lindung daripada terjebak kepada kemaksiatan...
... juga kemurkaan-NYA.

Jika ENGKAU menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba ENGKAU, dan jika ENGKAU mengampuni mereka, maka sesungguhnya ENGKAU-lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Maidah, 5:118)

Siapa Yahudi? (2)

Menorah
~ Simbol agama Yahudi
~ Simbol kebangsaan negara Israel

1- Terdiri daripada Menorah Temple (Menorah Kuil) dan Menorah Haukkah.

http://en.wikipedia.org/wiki/Menorah

2- Menorah Kuil - digunakan untuk upacara keagamaan Yahudi di kuil.

http://en.wikipedia.org/wiki/Menorah_(Temple)

3- Menorah Hanukkah - digunakan sempena sambutan Hari Hanukkah oleh masyarakat Yahudi.

http://en.wikipedia.org/wiki/Menorah_(Hanukkah)

4- Pesta Hanukkah - bersempena kejayaan umat Yahudi melawan Raja Antiochus IV pada tahun 167 SM.

Nota : Juga disebut sebagai PESTA CAHAYA.

http://en.wikipedia.org/wiki/Hanukkah

George W. Bush menyalakan lilin pada Menorah.

Siapa Bush? Apa yang beliau telah lakukan terhadap ISLAM?!

Maxim dan Gabriel ~ pengasas simbol kebangsaan negara Israel.


Mencari Naurah (Bab 34)

Novel | Mencari Naurah

“APA yang telah Asyraf lakukan?” Datin Khatty mencekak pinggangnya. Mukanya masam mencuka. Sakit hatinya dengan tindakan Asyraf sebentar tadi.

“Kenapa, ma?” Asyraf bertanya kembali. Rasanya dia sudah tahu apa yang dimaksudkan mamanya.

“Amalin sudah ceritakan segalanya. Nasib baik Alin dan Datin Azira tidak marah,” jelas Datin Khatty. “Sebenarnya, mama hendak jodoh kan Asyraf dengan Tengku Amalin. Mama tidak mahu dengar apa-apa bantahan. Minggu hadapan, kita masuk meminang.” Dia menambah.


“Apa? Tidak, tidak, tidak!!! Asyraf tidak mahu berkahwin dengannya!” Asyraf membantah.

“Bukan Asyraf yang boleh buat keputusan. Keluarga Tengku Amalin jauh lebih kaya daripada papa Asyraf. Mama yakin, Asyraf akan hidup senang kalau menjadi suaminya,” Datin Khatty bercerita dengan penuh semangat.

“Senang? Derita adalah,” kali ini, Asyraf bet

ul-betul melawan kata mamanya.

“Apa maksud, Asyraf? Derita beristerikan anak orang kaya?” Datin Khatty mencebik.

“Mama tengok sendiri macam mana gadis moden itu berpakaian. Apa yang Asyraf hendak jawab pada TUHAN tatkala ditanya tentang peranan Asyraf sebagai suami?”

“Asyraf sindir mama ke?” suara Datin Khatty sedikit meninggi.

“Tidak...” Asyraf menjawab pendek. Tidak tergamak untuk memberitahu mamanya bahawa Tengku Amalin yang ingin dijadikan menantu itu merupakan seorang peminum arak dan pergaulannya juga agak bebas.

“Apapun kata Asyraf, mama tetap dengan keputusan mama. Mama akan minta Uncle Rusdi dan Fendy masuk meminang.” Datin Khatty memberi kata putus.

“Asyraf tak mahu!” Bentak Asyraf. Suaranya perlahan tetapi lebih tegas berbanding tadi.

“Asyraf tidak ada pilihan...” sanggah Datin Khatty.

“Apa bising-bising ni?” Tiba-tiba, Dato’ Ghazali muncul.

“Awak jangan masuk campur. Bukan urusan awak,” Datin Khatty memuncungkan mulutnya.

“Asyraf adalah anak teruna saya!” balas Dato’ Ghazali. Dia terdengar perbua

lan Asyraf dan isterinya tadi.

“Siapa ambil peduli?” Datin Khatty masih mahu melawan.

“Saya!” Tegas Dato’ Ghazali.

Diam sejenak.

“Asyraf, bersiap cepat. Ikut papa ke rumah Mama Lisa. Kita bincang di sana. Susah nak berbincang di dalam rumah yang macam neraka dunia ini,” arah Dato’ Ghazali.

Asyraf segera meninggalkan papa dan mamanya. Walau apapun yang terjadi, Asyraf tidak akan bersetuju untuk menikahi Amalin melainkan sudah ditakdirkan buatnya. Ya, melainkan sudah jodohnya...

DI RUMAH mama tirinya, Asyraf duduk termenung di dalam bilik tetamu. Jam sudah menunjukkan pukul 3.00 pagi tetapi matanya masih belum dapat dilelapkan.

Tengku Amalin? Tidak! Sama sekali dia akan menghindarkan diri daripada gadis yang nampak licik itu. ‘Gadis?’ Dia tertanya-tanya sendiri. Mujur papanya memahami. Jika papa turut sama berpendirian seperti mama, dia pasti buntu.

Petang tadi, pertama kali dia bertemu dengan mama barunya. Cantik dan penuh dengan kesopanan. Dia tahu kenapa papa bahagia di sini meskipun rumah yang papa duduki ini tidak sebesar dan semewah rumah bersama mama. Segalanya terjawab bila mana pertama kali dia menjejakkan kakinya ke sini.

Ya, Mama Lisa yang menyediakan sendiri minuman buat papa. Selain itu, dia juga melihat mama barunya bersiap sedia menanak nasi untuk makan malam. Cakapnya berlapik dan penuh kesantunan. Mungkin dia tidak semoden mama tetapi perilakunya menggambarkan keperibadiannya yang terpuji.

‘Papa... papa sudah membuat keputusan yang tepat!’

Amalin, Amalin... sayang seribu kali sayang. Memiliki rupa paras yang menawan, mempunyai harta yang melimpah ruah, berasal daripada keturunan bangsawan, namun dia tetap tidak memenuhi ciri-ciri wanita idaman. Tengku Amalin begitu memandang rendah perihal agamanya. Bukan itu sahaja, bahkan berani memperlekehkannya. Mana mungkin dia memperisterikan wanita sebegini.

Matanya terkebil-kebil, ‘Kalau bukan aku, siapa lagi?’ Detik hatinya. Sering kali dia bersoal jawab sendiri untuk mencari jawapan yang pasti. Bukankah dia boleh berdakwah kepada Amalin setelah mereka berdua sah bergelar suami isteri? Sepertimana Ummu Sulaim ibunda Anas bin Malik yang membawa Abu Thalhah kepada Islam berkata: “Demi ALLAH, orang sepertimu tidak layak untuk ditolak. Kau seorang kafir sedangkan aku seorang muslimah, membuatkan tidak halal bagiku untuk menikahimu. Sekiranya kau mahu masuk Islam, maka sesungguhnya itulah maharku dan aku tidak minta selain daripada itu.”

Tidakkah dia yang bergelar lelaki sepatutnya memiliki kegagahan melebihi seorang muslimah lebih kuat untuk berbuat demikian? Tidak! Ada sesuatu yang menghalang Asyraf meskipun dia tahu bahawa halangan itu boleh dijadikan sebagai satu peluang. Peluang untuk mengajak manusia kepada ALLAH. Bagaimana pula dengan dara? Argh... biarpun dianggap kolot, biarpun sudah melepasi era milenium, Asyraf tetap dengan pendiriannya. Dia mahu seorang isteri dan ibu yang paling baik untuk melahirkan zuriatnya.

“Astaghfirullah...” ucap Asyraf berkali-kali. Terlalu banyak persoalan yang bermain di mindanya. Setiap manusia, punya sejarah hidup tersendiri. Tidak adil bagi Asyraf untuk menghukum Amalin begitu. Sedangkan keampunan ALLAH begitu luas buat hamba-hamba-NYA. Salahkah Amalin memiliki sejarah hitam atas kejahilan sendiri?

Tidak! Sedangkan Sayidina Umar Al-Khattab menjadi salah seorang sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga. Siapa tidak kenal dengan abang ipar Saad bin Zaid ini? Kebencian dan permusuhannya terhadap Islam tidak berbelah bahagi. Bahkan dia pernah bertekad untuk membunuh pesuruh ALLAH itu dengan tangannya sendiri. Namun, kekuasaan ALLAH mengatasi segalanya. Dia akhirnya tunduk kepada ALLAH yang satu. Itulah hidayah namanya.

Kisah ini menunjukkan bahawasanya sesiapa sahaja yang pernah tersungkur atau terpesong jauh daripada sesuatu yang telah ditetapkan ALLAH tetap mempunyai peluang untuk mendekatkan diri kepada-NYA sekali gus menjadi kekasih-NYA. Bukankah seseorang yang sentiasa bertaubat itu diangkat darjatnya sebagai kekasih ALLAH?

Asyraf masih berkira-kira. Dia tidak mahu meletakkan rasa jelik kepada seseorang sedangkan keampunan dan kasih sayang ALLAH yang lebih berhak untuk merasa jelik itu begitu luas. Sejahat mana pun seseorang, ALLAH masih bermurah hati untuk mengurniakannya rezeki, udara untuk dia bernafas. Kenapa?

Natasha! Tiba-tiba nama ini muncul dalam kotak mindanya. Mengapa wajah Natasha hadir sedangkan selama ini dia tidak pernah punya perasaan terhadap gadis manis itu. Tidak ada sebab bagi Asyraf untuk jatuh cinta kepada Natasha walhal dia tahu sahabat akrabnya begitu tergila-gilakannya.

Teringat saat Natasha mula menjejakkan kaki ke universiti. Dia nampak begitu naif terhadap kehidupan di kota. Mukanya yang cepat merah itu semakin manis jika dipandang lama-lama.

“Kenapa lambat?” Asyraf bertanya. Wajah Natasha sudah berubah. Mungkin takut kepada senior yang kelihatan tegas dan bengis. Natasha diam...

“Saya tanya, kenapa lambat?” Asyraf bertanya lagi. Tidak menjawab.

“Awak pekak? Rose, catat nama budak baru ini. Kita letak dalam senarai pelajar baru yang keras kepala. Senior tanya, diam. Ada berapa banyak tongkol emas dalam mulut awak?” marah benar Asyraf. Mata Natasha sudah terkelip-kelip, mahu menangis gamaknya.

“Sudahlah, Asyraf. Lagipun, dia lewat tiga minit sahaja,” kasihan benar Rose melihat Natasha yang semakin pucat.

“Kalau awak tak mahu jawab, awak berdiri atas pentas sepanjang program,” Asyraf memberi amaran.

“Tiga minit pun, masa. Awak buat apa? Tidak cukup setengah jam kami bagi rehat?” Katanya lagi, tidak memberi peluang Natasha untuk bersuara.

“Tengok jam yang awak pakai! Buka sekarang. Biar saya simpan!!!” Sergah Asyraf sambil matanya memandang jam tangan berjenama Casio yang disarung Natasha.

Cepat-cepat Rose memegang tangan Natasha dan membukakan jam tangan yang dipakainya. Dia tidak mahu Asyraf naik angin. Tidak pernah Asyraf marah begini. ‘Betul-betul marahkah atau sekadar berlakon?’ bisik hati Rose. Segera dia memberikan jam tangan tersebut kepada Asyraf.

Asyraf melihat jarum pada jam tersebut.

Berkata Natasha perlahan, “Saya tidak perasan jam sudah mati. Petang tadi elok lagi. Rupanya lewat 15 minit.” Mukanya merah menahan malu.

Asyraf yang tadinya umpama singa kelaparan mula tersenyum. Kedengaran suara orang ketawa. Seorang, dua orang, tiga orang dan seterusnya semua senior yang mengelilingi Natasha ketawa terbahak-bahak. Lawakkah? Asyraf yang tadinya berusaha keras untuk tidak ketawa turut ketawa terbahak-bahak. Buat malu sahaja marah-marah.

Natasha, Natasha... semakin ayu dia kini. Asyraf pun tidak pasti kenapa Natasha yang diingatinya.

Tiba-tiba alarm telefon bimbitnya berbunyi, menandakan sudah pukul 4.00 pagi.

Segera Asyraf bangun dan menuju ke bilik air. Dia membasuh muka dan memberus gigi yang sedia putih. Kemudian, Asyraf mengambil wuduk perlahan-lahan. Persoalan yang tergantung pasti akan temui jawapan bila mana bertanyakan PENCIPTA soalan itu. Ya, Asyraf seakan-akan lupa bahawa ALLAH itu sentiasa dekat untuk menjawab segala persoalan yang bermain di mindanya.

‘Kepada ENGKAU kami mengabdikan diri dan kepada ENGKAU kami memohon pertolongan...’

Air mata seorang lelaki gugur ke bumi. Sesetengah orang berasa malu untuk menangis. Tidak macho katanya, tidak maskulin apabila lelaki menangis. Itu kata mereka... mereka yang keras hati serta tinggi egonya.

Sayidina Abu Bakar As-Siddiq menangis... Sayidina Umar Al-Khattab, singa Allah juga menangis... Sayidina Uthman Al-Affan turut mengalirkan air matanya kerana takutkan Allah... Sayidina Ali Karamalluwajhah pun teresak-esak tatkala dirasakan tidak diuji Allah, khuatir Dia melupakannya. Bukankah mereka semua merupakan Khulafa’ Ar-Rasyidin yang tidak dapat dinafikan kegagahan dan keperkasaannya?

~bersambung~

Siapa Yahudi? (1)



Judais = agama bagi bangsa Yahudi.

Kepercayaan = Agama ini dibawa oleh Abraham yakni Nabi Ibrahim A.S. Abraham juga dianggap sebagai bapa kepada seluruh keturunan Yahudi.

Kitab rasmi = Kitab Taurat yang dibawa oleh Moses (Nabi Musa A.S.). Namun, penggunaan Kitab Talmud (dihasilkan oleh rabbi mereka) adalah lebih meluas. Kitab ini tersasar jauh daripada ajaran sebenar Nabi Musa A.S.