Alhamdulillah. Sehingga 2017,
aku berjaya menghasilkan dua belas buah buku. Buku-buku tersebut terdiri
daripada pelbagai genre atau kategori yang meliputi novel popular, novel
Islamik, buku kanak-kanak, buku remaja, novelet serta kompilasi cerpen. Nampak
mudah namun hakikatnya tidaklah sesenang yang dilihat. Banyak cabaran yang
perlu aku tempuhi. Drama air mata sendiri usah cakaplah. Jatuh tersungkur entah
berapa kali. Aku sendiri yang perlu membuat pilihan. Sama ada aku ingin
mengorak langkah sampai berjaya atau aku hendak berhenti di pertengahan jalan.
Aku melangkah. Aku juga berhenti. Pun begitu, apabila hilang lenguh kakiku, aku
melangkah semula.
Cabaran paling besar untuk
bergelar penulis ialah cabaran dalam diri sendiri. Ya. Semuanya bergantung
kepada diri sendiri. Aku rajin, aku dapat. Aku malas, aku terlepas. Bagiku,
disiplin adalah kunci utama kejayaan. Orang lain boleh menitip pesan agar
engkau buat itu dan ini tetapi hakikatnya engkau sendiri yang perlu lakukannya.
Aku…
Meskipun bekerja sendiri di
rumah, aku ada pejabat sendiri…
Daripada mula menulis di atas
lantai, kemudiannya ada meja dan kerusi sendiri.
Daripada meja kecil dan kerusi
plastik, kemudiannya ada meja yang lebih besar dan kerusi yang lebih selesa.
Daripada komputer riba, aku akhirnya
memiliki komputer dan pencetak sendiri.
Secara peribadi aku
berpendapat bahawa tempat bekerja yang kondusif turut memainkan peranan penting
untuk membantu membentuk disiplin dalam diri. Auranya lain macam. Semangat pun
berbeza. Aku memang meletakkan target aku sendiri dalam hal ruang bekerja ini.
Jika pada awal penglibatan dalam dunia penulisan aku hanya menulis di atas
lantai dengan meja kecil di ruang tamu, aku kena pastikan bahawa satu hari
nanti aku punya pejabat sendiri atau ruang yang memperlihatkan suasana dalam
pejabat. Oh, ya... Jangan tak percaya. Awal penglibatan aku dalam dunia ini,aku pernah dituduh sebagai seorang isteri yang tidak bertimbangrasa oleh seseorang yang tidak tinggal serumah dengan aku...jauh di mata... sentiasa jauh dalam jiwa. Sebabnya... suamiku ingin masukkan internet di rumah. Aku? Awalnya, memang berkecil hati tetapi aku serah segalanya pada Allah Yang Maha Teliti. Orang yang tidak duduk serumah... tidak tahu perjalanan hidup aku... boleh berkata yang bukan-bukan. Mungkin dek hati yang kotor dan suka berburuk sangka. Alhamdulillah. Walaupun dicela, aku tetap berjaya mengecap impian... bergelar penulis.FULL STOP!
Di samping itu, aku juga
masuk kerja macam orang makan gaji masuk kerja.
Lebihnya aku… aku boleh
menyusun dan menetapkan waktu kerja dan waktu rehat sendiri. Jika aku masuk
kerja pukul 9.00 pagi, aku perlu keluar seawalnya pada jam 6.00 petang. Cuma,
waktu rehat aku tetapkan dua jam. Nampak santai, bukan? Ya dan tidak. Ada kala,
aku bekerja dengan penuh relaks. Ada ketika, aku pulun sehabis mungkin. Ada
kala, aku rehat sampai dua tiga jam. Ada ketika, aku stay up sampai dua tiga pagi.
Sebagai manusia yang punya
hati dan rasa… kadang-kadang emosiku terganggu. Rasa rendah diri. Rasa
‘nobody’. Rasa ‘lonely’. Paling parah, rasa hodoh. Semua rasa hadir. Mungkin
sebab sudah terbiasa bekerja dan punya pendapatan bulanan sendiri. Mungkin juga
sebab asyik terperuk di rumah. Rakan akrab hanyalah suami. Apabila rasa ini
datang menjengah, lazimnya fokus menulis akan turut terganggu. Apabila fokus
menulis jadi kacau bilau, penghasilan karya tidaklah seperti yang diharapkan.
Solusi? Aku jarang mengambil masa yang lama untuk mengubati ‘sakit’ rasa
sendiri. Tarik nafas. Ingat Tuhan ada. Bersangka baik pada Yang Esa. Terus
jalan. Lama kelamaan, aku sudah sebati dengan rasa yang sebegini. Maka apabila
rasa ini hadir, lazimnya aku berupaya untuk depaninya sendiri.
Selain daripada cabaran dalam
diri sendiri, aku juga berhadapan dengan ‘writer’s block’. ‘Writer’s block’
adalah keadaan di mana aku tidak punya idea untuk menulis. Idea ada tetapi
tidak boleh diluahkan menerusi mata pena. Aku tengok monitor komputer, monitor
komputer tidak tengok aku… hanya membatu di situ. ‘Writer’s block’ sedikit
sebanyak memberi tekanan kepada aku. Kenapa? Aku hendak menulis tetapi aku
tidak tahu hendak tulis apa. Hendak kejar deadline.
Ada sasaran sendiri tetapi KOSONG. Jadi, bagaimana?
Aku berhenti menulis sekejap…
mencari ruang pada diri untuk kembali menulis. Lazimnya, apabila mendepani
situasi ‘writer’s block’ ini aku akan membuat perkara lain selain daripada
menulis. Antaranya ialah dengan membaca, keluar jalan-jalan, ‘window shopping’,
tonton TV, menulis blog dan banyak lagi. Bagi aku, ‘writer’s block’ muncul
apabila aku menulis tanpa henti. Minda tepu. Idea hilang.
Cabaran lain ketika bergelar
penulis ialah mendepani orang yang tidak menyukai. Ketika awal aku
berjinak-jinak dalam dunia penulisan, aku pernah di‘serang’ melalui chatbox blog. Serangan pula lebih kepada
serangan peribadi oleh orang yang tidak aku kenali. Pada peringkat awal
‘serangan’ tersebut, aku stres. Aku terduduk. Aku menangis. Tidak dapat
mengawal rasa hati sehinggalah suamiku memberi kata putus. Suamiku meminta aku
membuat pilihan sama ada ingin memulakan kerjaya sebagai penulis atau menjadi
suri rumah sepenuh masa? Jika aku tidak boleh menghadapi tekanan yang datang…
atau melayan perkara yang tidak sepatutnya aku layan, lebih baik aku berhenti
menulis. Akhirnya, aku memilih untuk terus berkarya. Nah! Dua belas buah buku
juga terbit di pasaran, Alhamdulillah.
Apa lagi ya? Cabaran yang aku
kira besar adalah cabaran untuk memastikan bukuku berterusan diterbitkan.
Paling tidak sebuah buku setahun. Kenapa? Agar namaku akan terus diingati di
kalangan pembaca ataupun penggiat buku. Maka, hendak tidak hendak, aku kena
pastikan bahawa bukuku siap untuk tempoh yang tertentu. Aku juga perlu pastikan
yang buku yang siap itu diterima terbit oleh syarikat penerbitan. Selepas buku
terbit, perlu fikirkan cara membantu syarikat penerbitan untuk membuat
pemasaran buku sendiri pula.
Akhir sekali… boleh kuanggap
sebagai cabaran hendak bergelar penulis. Aku pernah dilabel sebagai seorang
penulis picisan. Sampai kini kuingat kata-kata itu. Oleh seorang penulis. Entah
ada nama. Entah tidak kerana aku tidak mengenalinya sebelum ini. Ketika itu,
novel pertamaku terbit di pasaran. Novel genre popular. Apabila terlibat dengan
program bersama penulis… biasalah, kita akan saling berkenalan. Apabila ditanya tentang
buku yang aku hasilkan, dengan berbesar hati aku menyebut tentang novelku yang
telah berada di pasaran. Maklum balas yang diterima?
“Oh, penulis picisian..”
Aku? Sentap itu pasti tetapi
sejauh mana aku hendak melayan kata-kata yang menyakitkan hati ini. Mungkin ada
benarnya. Mungkin juga salah. Setiap orang ada pandangan yang tersendiri. Aku
terduduk sekejap tetapi kemudian bangkit semula. Aku cuba hasilkan buku dengan
pelbagai genre dan…
Aku berjaya…