ALLAH lebih tahu

Assalammualaikum. Apa khabar? :) Agak terlewat mengemaskini blog. Ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Manuskrip pun tidak bersentuh lagi. Insya-ALLAH, selepas Zohor, masuk pejabat. Doakan Muthiah, ya. Selepas kemaskini blog, mahu berehat sekejap.


...




Diari hatiku 19 Jun 2012...


Hari ini, terdapat urusan di pejabat pos. Ada beberapa buah buku yang hendak kukirim kepada pembeli (Terima kasih daun keladi). Seperti biasa... setiap kali selepas menghidupkan enjin kereta, aku akan membaca ayat Qursi di samping beristighfar kepada ALLAH. Dalam masa yang sama, aku berdoa agar dipermudahkan perjalananku hari ini. Moga-moga, aku tidak dihon. Maklumlah, aku belum mahir memandu.


Alhamdulillah... doaku dimakbul ALLAH. Namun aduh... aku menerima surat saman memarkir tanpa menunjukkan kupon. Hatiku terdetik. Mungkin dek kerana aku tidak berdoa pada ALLAH tentang itu.


~ Memberi pengajaran kepadaku agar tidak memandang enteng pada peraturan~


Diari hatiku 25 Jun 2012...


Suami memintaku membuat sesuatu. Okey! Lagipun, aku sudah mendapat lesen penuh. Mahu juga meringankan kerja suamiku. Seperti biasa, setiap kali selepas enjin kereta dihidupkan... aku akan membaca ayat Qursi dan beristighfar. Doaku kepada-NYA agar hari ini aku tidak disaman polis atau majlis perbandaran. Aku juga tidak mahu dihon oleh kenderaan lain. Pasti! Aku mengharapkan ada tempat untuk memarkir kereta apabila aku sampai ke destinasi.


Alhamdulillah... aku tidak disaman. Tempat parkir pun ada. Namun, keretaku hampir dilanggar HILUX di hadapan simpang Ipoh Parade. Ketar kepala lututku. Pucat lesi wajahku. Mujur (dengan izin ALLAH), HILUX tersebut tidaklah laju dan tidak ada apa-apa yang berlaku.


~ Memberi pengajaran kepadaku agar tidak cuai dan lebih berhati-hati. Hukhukhuk...~


Diari hatiku 26 Jun 2012


Aku ke Klinik Kesihatan Greentown untuk rawatan (cuci) gigi. Maklumlah, sudah dua tahun aku tidak merawatnya. Seperti biasa... doa kubaca, istighfar kuucapkan. Moga ada tempat parkir buatku. Moga ALLAH pelihara aku daripada sebarang kemalangan dan kecelakaan (sementelah suamiku ada urusan di Taiping). Aku tidak mahu dihon! Walaupun nampak remeh (mungkin ya dan mungkin tidak), aku tetap percaya... dalam apa jua kondisi, aku memerlukan-NYA. Maka, aku berdoa kepada DIA.


Alhamdulillah... perjalanan hari ini dipermudahkan ALLAH. Aku selamat sampai ke rumah tanpa dihon atau terlibat dengan sebarang musibah. Cuma di klinik tadi, tempat parkirnya penuh! Akhirnya, aku memarkir keretaku di hospital yang letaknya tidak jauh dari klinik kesihatan.


Akan tetapi ALLAH izin... 


Aku yang pertama kali datang untuk membuat temujanji pemeriksaan gigi, dapat merawat (cuci) gigiku terus. Kata sang misi yang cantik manis, "Sepatutnya, hari ini temujanji sahaja." Entah kenapa doktor yang aku kira sebaya mamaku mahu melakukannya hari ini. Jawapannya mudah. Semuanya berlaku dengan izin ALLAH.


~Menjadikan aku berfikir bahawasanya ALLAH lebih tahu!~
....
  • Yuk... dekatkan diri dengan ALLAH. Banyakkan berdoa, merintih dan merayu kepadanya pada kala senang dan susah.
  • ALLAH beri yang kita perlu, bukan yang kita mahu.
  • Bersangka baik dengan ALLAH... setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya (Diri! Pegang ayat ini erat-erat).
  • Berhati-hati di jalan raya.
Ayuh bermuhasabah dalam menelusuri kehidupan..

Okey. Selamat bekerja buat semua <3
Labels: | edit post
0 Responses