Hati

“ Boleh tak kalau kita nak mainkan hati orang?”
“ Tak boleh!”
“ Tapi, kan Tuhan dah cakap. Kalau ada orang ambik barang kita, kita boleh ambik barang orang tu balik.”
“ Hati tak boleh disamakan dengan barang!”
“ But, it’s fair and square right?”
Gadis itu mendendaminya. Bukan dendam, tetapi sayang. Oleh sebab terlalu sayang, akhirnya bertukar menjadi dendam. Yang tak mampu dizahirkan oleh kata-kata. Tak mampu ditunjukkan melalui jelingan mata. Ada mata berwarna hitam. Ada juga berwarna biru. Hijau lebih menarik perhatian. Pink pula menyakitkan jiwa. Tidak kiralah warna apupun. Tetap tidak mampu menzahirkannya.
Ikutkan rasa, mahu saja gadis buat dia menangis. Biar hati dia turut teresak kesakitan. Mahu saja gadis melukai hati dia yang terlalu banyak mengguris perasaan. Gadis mahu dia turut merasai apa yang dirasai gadis. Biar hati sama-sama sakit. Biar jiwa sama-sama derita.
Gadis terlalu banyak makan hati. Bukan hati ayam yang dimaksudkan. Atau hati daging yang digoreng ibu. Tetapi hati milik gadis sendiri. Terlalu banyak. Tidak sampai infiniti tetapi sudah cukup meresahkan.
Tubuh gadis semakin layu. Berat benar derita yang gadis alami. Hakikatnya, hati gadis sebenarnya yang menderita. Hati tidak cukup tabah menghadapi dugaan berkasih. Hati begitu lemah.
Gadis ingin sekali menyakiti dia sebagaimana gadis telah disakiti tetapi hati tidak mampu berbuat demikian. Hati itu lembut. Tidak sekeras gadis yang telah dirasuk amarah iblis. Pastinya syaitan ketawa riang tatkala melihat kemarahan menguasai diri…
Aku telah berjaya menundukkan hamba-Mu yang Kau kata begitu taat kepada perintah-Mu. Aku tidak memerlukan bala tentera yang banyak untuk menundukkannya. Tidak seperti Bushiful. Mahu menghancurkan Islam dengan batalionnya. Berapa ratus tentera bersekutu telah mati katak akibat ketololannya?
Sedang aku, dalam senyap telah membinasakan. Kau dilihat kejam kerana kebodohanmu. Tetapi aku yang sebenarnya lebih zalim ini tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Benar… mereka yang sememangnya kejam tidak dapat diadili sesiapa.
Sebenarnya telah lama hati gadis terhiris. Begitu lama tanpa dapat dibilang waktunya. Pabila parut lama belum hilang, datang pula parut baru. Hinggakan parut-parut pada hati yang hanya sebesar syiling lima sen bertambah saiznya menjadi setebal novel Salina. Luka Siti Salina yang dikhianati Abdul Fakar lebih kurang sama besarnya dengan luka gadis.
Hati memang begitu payah mahu sembuh. Hati yang hampir sembuh pula seolah-olah telah ditakdirkan untuk terhiris kembali. Dihiris dan ditoreh sehingga berdarah. Mengalirkan darah-darah merah pekat. Lebih pekat daripada darah yang digambarkan Seno Gumira Ajidarma dalam ‘Telinga’nya.
Hati gadis pernah menutup cinta buat makhlukan. Meskipun diri meronta-ronta ingin merasainya, tetap digagahi jiwa itu. Cinta Tuhan cinta hakiki. Cinta Tuhan yang dikejar selama ini. Cinta, pergantungan yang hanya disasarkan buat Pencipta. Tangan boleh bersedekah. Kaki boleh menuju ke majlis ilmu. Dahi boleh sujud sehingga hitam jadinya. Tetapi hati… adakah hati boleh menipu? Sama sekali tidak mampu membohongi hati yang tahu nilai sebuah ketaatan dan ketaqwaan. Tidak sama sekali.
Dari jauh, hati itu kelihatan seperti simbolik sayang. Ya… hati itu sememangnya makna bagi sayang yang tidak dapat membohongi makhlukan. Darah-darah pekat melingkari hati. Darah merah pekat itu sememangnya menakutkan, menggerunkan.
Bagi Mahsuri, darahnya berwarna putih. Sebagai tanda dia tidak berdosa. Dihukum akibat fitnah yang menghancurkan. Fitnah juga hampir membinasakan Saidatina Aisyah.
Andai hati itu dilukai, bertambah banyaklah darah yang bisa melingkari. Jika kuat hati dilukai, tidak mustahil mampu menghancurkan hati yang sedia kecil itu. Darah terus mengalir tanpa henti membasahi bumi. Peliknya darah itu hanya mahu membasahi tanah ciptaan Tuhan. Tidak mahu melekati jantung di sekitar hati. Begitu aneh blood ini.
Satu masa, tika cinta Tuhan dikejar gadis, hidup gadis begitu aman dan bahagia. Hidupnya gadis, matinya gadis hanyalah untuk Dia yang menjadikan. Dia yang berkata qunfayakun, maka terciptalah.
Bangunnya menyebut nama Kekasih. Makannya mengingati Kekasih. Kerjanya merindui Kekasih. Tidurnya dengan pengharapan terhadap Kekasih. Agar diberi peluang untuk bangkit keesokannya dan menemui Kekasih untuk kesekian kalinya. Melepaskan segala resah di jiwa. Hati juga sama-sama membantu gadis mencapai matlamatnya itu.
Gadis letih. Hati turut sama letih. Lebih penat berbanding letihnya gadis. Keringat yang lebih banyak daripada yang dimiliki gadis. Gadis begitu bahagia kerana hadirnya cinta itu bukan hanya dari mulut yang sentiasa tidak benar butir bicaranya. Ya… Dari mulut yang sering berdusta.
Rutinnya gadis... Bangun tidur menghadap Tuhan, hati turut sama bangun. Nafsu mendesak hati agar terus lena dibuai mimpi tetapi kekuatan spiritual milik gadis menyebabkan hasutan nafsu itu ditempis bulat-bulat.
Gadis menuju ke kamar mandi. Hati ikut sama. Tiba-tiba, gadis tersentak. Hati tidak lepas untuk tersentak juga. Tetapi, gadis tidak tahu asbab sentakan itu. Sentakan sepantas halilitar itu tidak dapat dinilai gadis.
Gadis terus mengambil wudhuk. Hati masih diam memikirkan sentakan tadi. Ada sesuatu yang dirasai hati. Sesuatu yang abstrak, yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata. Oleh kata-kata hati...
Gadis tersentak lagi. Tidak dapat merasai manisnya iman. Tidak dapat mengecapi cinta Ilahi. Gadis mula mengerti. Hati yang telah lama mengerti tidak keruan. Dirasakan semakin jauh daripada gadis. Makin jauh daripada Ar-Rahim.
Berdikit-dikit air mata gadis turun ke bumi. Semakin lama semakin rancak tangisnya. Hati juga begitu. Cuma hati sebenarnya telah kering air mata merasai kejauhan yang baru saja disedari gadis. Hati telah lama tahu…
Konspirasi yang dilakukan gadis dan hati telah berada di puncaknya. Bukan konspirasi menjatuhkan pemimpin. Konspirasi sebegitu itu amat keji dan menjelikkan. Hati akhirnya tunduk dengan kehendak gadis. Ah! Hanya alasan hati untuk menuding kesalahan kepada gadis. Perlu diingat!!! Satu jari yang menuding, empat jari kan kembali kepada si penuding.
“ Kan perempuan yang baik diciptakan untuk lelaki yang baik?”
“ Dah tahu, kenapa masih cari nahas?” Hati membidas.
“ Tapi, Tuhan juga suruh berusaha. Tidak Aku ubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha untuk mengubahnya.”
“ Berusaha sampai meninggalkan yang wajib? Gadis hanya pandai mengeksploitasi ayat Tuhan,” hati terus menyalahkan.
“ Jangan salahkan gadis. Mana pernah gadis meninggalkan yang wajib.”
“ Kenapa? Sedangkan gadis yang buat dosa,” hati melenting.
“ Gadis tidak mengabaikan solat. Hatilah yang salah kerana gagal menghadirkan diri dalam pertemuan dengan Tuhan itu.”
“ Sebetulnya, gadis yang membuat keputusan melulu sehingga melupakan Dia,” hati masih tidak berpuas hati.
“ Tepuk sebelah tangan tak akan berbunyi. Andai hati mampu mengawal diri, pastinya gadis turut sama melepasi ujian ini,” hati akhirnya tunduk membisu. Memang hati hanya mampu membisu. Sama sekali tidak dapat berkata-kata.
Segalanya adalah untuk Tuhan sehinggalah gadis mengenali dia. Dia yang sebenarnya milik Tuhan juga. Sama seperti gadis. Yang sepatutnya hanya mengabdikan diri kepada-Nya.
Gadis masih ragu-ragu. Antara kehendak jiwa dan naluri manusia. Sedang Adam diciptakan Hawa. Hati juga masih keliru. Seperti gadis, tidak tahu mana yang hendak dipilih. Tetapi, sedikit-sebanyak hati tidak mampu berdusta bahawa naluri manusia melebihi kehendak jiwa, meski gadis menafikan naluri itu.
Iblis laknatullah pula semakin banyak mencucuk. Tidak salah melayan naluri manusia. Kan itu fitrah? Gadis hampir bersetuju dengan kata-kata sahabat baru. Sahabat baru yang bertanduk dua, panjang taringnya, merah matanya. Hati yang sememangnya telah menerima makin yakin dengan pendirian baru. Tetapi masih ada yang menghalang. Apa???
“ Katakanlah: Jika bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan dan perniagaan yang kamu takuti kerugiannya serta tempat kediaman yang kamu sukai, lebih kamu cintai daripada Allah, rasulNya dan jihad ke jalan Allah, maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya…” At-Taubah : 24. Hati terus membisu.
Gadis begitu bahagia. Bahagia yang tidak pernah dikecepi secara zahirnya sebelum ini. Bahagia dalam dunia ciptaan sendiri. Hidup gadis penuh dengan senyuman dan keceriaan. Hadirnya dia menggantikan tempat Kekasih yang semakin lama dilupakan. Alangkah malang bagi gadis andai Kekasih itu turut sama melupakannya. Melupakan walau sesaat sudah cukup untuk membinasakan gadis. Hadirnya dia menyebabkan hati kian lalai dan alpa. Kali ini gadis dan hati gagal membezakan antara Dia yang mengenali gadis, lebih daripada gadis mengenali diri gadis sendiri.
Satu hari, hati tersentak setelah kian lama tidak tersentak. Tidak seperti sebelumnya, hati gagal mentafsir erti sentakan itu. Gadis pula masih lalai dan alpa. Gadis terus hanyut dengan dunia ciptaannya. Tiba-tiba, hati menangis. Ya! Hati menangis lagi tanpa alasan yang munasabah. Menangis dan terus menangis. Tanpa diketahui puncanya.
Dia akhirnya pergi meninggalkan gadis. Dia pergi tak akan kembali. Entah ke mana perginya dia? Gadis pun tidak tahu.
Gadis menangis. Tangisan penuh penyesalan. Baru gadis sedar betapa alpanya gadis terhadap Tuhan. Ditinggalkan yang kekal, dikejar yang tiada pastinya. Gadis telah kalah dengan kehendak nafsu.
Kehendak nafsu atau fitrah insani? Nafsu atau fitrah sama sahaja. Benarkah ia sama? Sama atau berbeza... kedua-duanya telah menyungkurkan gadis sehingga gadis tidak mampu untuk bangun kembali.
Gadis terus menangis dan menangis. Lebih kuat daripada tangisan hati. Lebih kuat daripada tangisan gadis yang terdahulu. Entah bila mahu berhenti….
0 Responses