Akhirnya cinta



JAUH mengelamun!” sergah Aireena yang muncul secara tiba-tiba.

Batrisya menelan air liurnya sekali. Hampir luruh jantungnya mendengar suara Aireena yang kuat, cakapnya macam duduk jauh beribu-ribu batu. Batrisya memandang Aireena atas bawah dengan kepala digeleng perlahan. “Kalau iya pun, berilah salam dulu. Dapat juga pahala percuma sebab menghidupkan sunnah,” ujar Batrisya lembut tetapi serius.

Aireena hanya mampu tersenyum sumbing. Dayanya tiada untuk membalas kata-kata Batrisya yang memang tepat. ‘Serangan’ kawan baiknya yang masih solo dan available itu betul-betul terkena pada batang hidungnya. Mujur hanya ‘tembakan’ dalam imaginasi. Jika tidak… pasti Aireena sudah menjadi arwah lalu bergelar Allahyarhamah.

Mata Aireena serta-merta membulat. ‘Tidak! Aku belum berlaki lagi,” hati kecilnya menjerit nyaring. Huh! Macamlah soal mati boleh diminta tangguh. Seperti main game. Boleh tekan butang ‘Pause’ apabila tidak bersedia menempuh saat genting.

“Hei, siapa yang berkhayal sekarang?” Batrisya menepuk belakang Aireena pula. Senyumnya terukir lebar. Aireena seakan-akan sedang hanyut di dalam dunianya sendiri.

Aireena tunduk memandang lantai dengan mulut yang mengeroncong. “Tengah ingat mati. Aireen mahu menggolongkan diri dalam golongan yang cerdik pandai. Bukankah manusia yang paling bijak itu adalah mereka yang ingat kepada kematian?” dia terdiam sejenak. Anak mata Batrisya direnung tajam.

“Risya pula. Jauh termenung. Teringatkan mesyuarat aset petang inikah, atau terkenangkan Tuan Norman yang kacak macam Shun Oguri?” tambah Aireena lagi sebelum sempat Batrisya membalas kata-katanya.

Wajah Batrisya berubah mendadak. Salah satu serkap jarang Aireena memang mengena. Macam Nujum Pak Belalang pula. Batrisya sememangnya tengah teringatkan Norman. Namun, lelaki itu tidaklah tampan macam pelakon Jepun yang diperkatakan.  Sipi-sipi Norman Hakim pun tidak ada. Iras Norman KRU jauh sekali.

“Risya! Kenapa? Aireen tengok, asyik mengelamun saja. Is there something wrong somewhere anywhere?” Aireena bertanya lagi apabila Batrisya hanya diam seribu bahasa. Sahabatnya ini macam ada masalah tetapi apa?

Batrisya mendengus kecil seraya memandang Aireena sekilas. “Risya terfikir. Adakah sikap Risya sendiri yang telah menimbulkan fitnah…”

“Maksud, Risya?” Aireena mencelah lagi. Wajahnya semakin serius.

Batrisya mengeluh kecil. Wajah Norman hadir dengan tidak semena-mena. Batrisya cepat-cepat menggeleng. Astaghfirullah. Dia tidak mahu mengingati lelaki itu! “Risya khuatir, salah itu datang daripada Risya sampai Norman…”

“Tergila-gilakan Risya?” Aireena menjampuk separuh menjerit.

Batrisya menunduk. Tidak ada patah kata yang terungkap dari bibirnya. Terasa diri bagai sedang syok sendiri pula.

Aireena tersenyum lebar. “Aireen pun tak tahu nak cakap apa, atau salah siapa tetapi…” dia terdiam sekejap. Dahinya berkerut. “Lelaki…” tambah Aireena pendek. Perbualan terhenti di situ. Noktah!

NORMAN berjalan laju masuk ke bilik dengan dahi berkerut. Fail bertimbun di atas meja. Pen dan pensel berselerak di tepi skrin monitor. Pagi esok, ada latihan kebakaran dengan pihak bomba. Hrmis pun belum siap diisi. Pening! Pening! Pening!

“Ka…” Baru sahaja Norman hendak mengomel sendiri, pintu biliknya diketuk.

Norman mendengkus kuat. “Macam mana kerja nak siap kalau dalam sehari, berpuluh-puluh kali orang ketuk pintu bilik?” Terluah juga isi hatinya yang terpendam sekian lama. Norman terus membatu tanpa suara.

Pintu bilik Norman diketuk lagi. Matanya serta-merta membulat. Keserabutan berganda. Dari tahap 3 meningkat ke tahap 6. Jika membuat pemeriksaan kadar gula dalam badan, pasti doktor akan mengesahkannya berisiko mendapat diabetes. Masakan tidak.  Peningkatan kadar gula naik mendadak sampai 6 milimol per liter (mmlo/L)!

“Masuk,” ujar Norman serius. Renungan matanya tetap tajam memandang pintu bilik yang masih terkatup rapat.

Batrisya sudah berdiri di hadapan meja. Norman yang tadinya serius hampir terloncat ke belakang. Batrisya tampak ayu dengan baju kurung longgar berwarna hijau muda. Tudungnya pula dilabuhkan melepasi paras dada. Cantik…

“Tuan Norman,” kata Batrisya. Suaranya tidak dilunakkan tetapi tetap lembut.

Jantung Norman berdegup kencang. Keserabutannya menghilang mendadak. “Ada apa, Risya?” soal Norman pendek.

Batrisya terus menghulurkan memorandum yang perlu ditandatangani Norman seraya berkata, “Ada beberapa memo yang Tuan perlu tandatangan. Nanti, Tuan tengoklah kalau-kalau ada yang terlepas pandang.”

Norman menghembus nafasnya perlahan. “Awak ni, Risya. Kalau masuk bilik saya, mesti nak minta tandatangan. Tak pun, nak bagi fail dan surat. Boleh tak kalau sekali dua kala awak masuk ke sini, awak tanya khabar saya. Tanya, saya dah makan ke belum. Sihat ke tidak? Lagi afdal kalau awak kemaskan fail dan pen yang berselerak ni. Berserabut kepala otak saya melihatnya. Sudahlah minit mesyuarat belum siap. Hrmis pun tidak setel. Bertambah celaru saya dibuatnya…”

Dahi Batrisya berkerut. Mulutnya ternganga sedikit. “Saya letak memo ni di sini. Siap tandatangan, Tuan letak atas meja, saya ambil sendiri,” sampuk Batrisya sebelum sempat Norman memanjangkan bicaranya. Kemudian, dia berundur setapak lalu keluar dari bilik itu.

Norman terkesima. Matanya membulat mengekor langkah Batrisya sehingga kelibat gadis itu hilang dari pandangan. Norman menggeleng perlahan. Payah betul hendak berbicara mesra dengan Batrisya. Mahalnya, sungguh-sungguh!

WAJAH Batrisya mencuka memandang Aireena yang sedang asyik membuat kira-kira. “Buat apa, Aireen?” soal Batrisya dengar tidak dengar.

Aireena terus mendongak. Senyumnya terukir kelat dengan dahi yang masih berkerut. “Aireen tengah buat claim untuk kursus di Sungai Petani hari tu. Sayangkan jabatan sayang juga, tetapi duit sendiri lebih disayangi,” dia berterus-terang.

Batrisya yang mencuka tadi tersenyum sedikit. Kata-kata Aireena memang ada benarnya. “Risya pula, kenapa mencuka macam orang tak dapat claim OT saja? Tidak pun…” dia terdiam sejenak. 
“Ni mesti sebab baru jumpa dengan Tuan Norman kita yang kacak tu,” ujar Aireena bersahaja.

Wajah Batrisya serta-merta berubah. Memang tepat! Batrisya mendengus perlahan. Bebelan Norman yang macam nenek kebayan tadi tidak semena-mena terngiang di benaknya. Setiap kali berurusan dengan lelaki itu, ada sahaja perkara yang mahu diperkatakan. Malangnya, ‘sesuatu’ itu tidak pula punya keberkaitan dengan kerja yang sedang dilakukan.

“Memang baru jumpa nenek kebayan tu tetapi tolong sikit. Tuan Norman kita tak kacak langsung. Perasan bagus sahaja yang lebih,” balas Batrisya sungguh-sungguh.

Mulut Aireena ternganga luas. Matanya juga membulat. “Wah, tak pernah Cik Risya marah macam ni. Memang meletup sungguhlah…”

“Hisy, Aireen. Gunung berapi pun boleh meletus, inikan pula manusia…” kata-kata Batrisya terhenti di situ. “Risya dah kerja di sini lebih setahun. Bayangkan. Dalam seminggu, lima hari kena berhadapan dengan Tuan Norman yang suka benar merapu. Orang minta tandatangan memo, dia suruh kita tanya khabar dia. Orang minta semak laporan, dia suruh buatkan air. Dia ingat, Risya ni bini dia ke?”

“Insya-ALLAH, sampai masa jadilah bini saya. Boleh?” sampuk Norman sambil tersenyum lebar.
Batrisya menelan air liurnya sekali. Matanya membulat tanpa kerdipan. Batrisya mengkaku mendadak.

“Aireena, teruk sangat ke saya ni sampai susah sangat nak berkawan dengan teman baik awak yang seorang ni? Bukan buat apa-apa pun. Berkawan saja,” tambah Norman lagi bersahaja.

Batrisya segera menoleh ke arah Norman. Anak mata lelaki itu direnung tajam. Rasa geram dan sakit hati pada pegawai atasannya itu membuak-buak. Agak lama…

“Ehem, ehem…” Aireena berdehem.

Batrisya menelan air liurnya sekali. Jantungnya tidak semena-mena berdegup kencang, dup dap… dup dap. Tubuhnya mengeras lagi. Batrisya langsung tidak berdaya untuk bergerak. Pandangan dari mata ke mata itu sudah turun sampai ke hati, Astaghfirullah.

“Ri… Risya nak ke pantri sekejap,” kata Batrisya tergagap-gagap lalu berjalan laju ke hadapan.
Norman dan Aireena saling berpandangan. Senyum mereka terukir nipis. “Pantri sebelah sana, Cik Kak oi,” laung Norman separuh menjerit.

Batrisya berhenti melangkah. Dia tunduk memandang lantai. Tangan kanannya memegang perlahan atas dadanya. Jantungnya masih lagi bergelora kencang. Tidak lama, dia pun membelok ke arah yang dimaksudkan Norman. Wajahnya sudah berubah kemerahan.

Aireena yang masih tidak berganjak dari situ memandang Norman atas bawah. “Tuan sukakan dia betul-betul ke?” soalnya separuh berbisik.

Dahi Norman berkerut. Dia memandang Aireena sekilas, kemudian melihat memo yang dipegangnya. Norman diam, tidak menjawab apa-apa.

“Dah setahun Tuan mencuba. Kalau benar-benar suka, hantar sahaja rombongan meminang. Kalau kena tolak, ambil borang minta bertukar negeri lain. Kalau Tuan asyik menyakat macam ni, sampai bila-bila pun tak selesai. Saya yang menengok pun semput. Lagipun, Tuan bukannya muda lagi nak mengayat macam budak umur 25 tahun,” Aireena menyatakan pandangannya panjang lebar.

Norman mengagguk perlahan. “Cadangan yang bernas tetapi saya tidak akan masukkan dalam pengiraan penilaian prestasi kerja kamu,” katanya perlahan lalu beredar masuk ke dalam biliknya.
Norman mengeluh lagi. Fail-fail yang bertimbun kembali menyerabutkan benaknya. Tidak lama selepas itu, dia pun mengeluarkan telefon bimbit dari celana hitamnya. Mesej ditaip laju…

Salam, Risya. Pukul 11.00 nanti, saya ada mesyuarat dengan jabatan kewangan. Jika awak nak pahala lebih, tolong kemaskan bilik saya. Terima kasih.

Mulut Batrisya ternganga luas. Kiriman mesej yang dikirim Norman dibaca berulang kali.

Hisy! Astaghfirullah… Baru sahaja Batrisya hendak menambah air sejuk ke dalam gelas, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Mulut Batrisya serta-merta memuncung.

… sebagai praktikal awal sebelum awak jadi suri di hati saya.

Batrisya mendengus kuat. Dia terus mematikan telefon bimbitnya. Degupan jantungnya tetap kencang seolah-olah tidak mahu berhenti lagi. Terasa bintik-bintik hitam menyelubungi jiwanya yang semakin berkarat.

PAGI esok, ada mesyuarat di ibu pejabat. Namun, masih banyak laporan yang belum dibereskan.  Jadi, terpaksalah Batrisya bekerja lebih masa. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam tetapi anak dara ini masih menghadap komputer di pejabat.

“Tak rasa nak balik lagi ke, Cik Kak oi? Awak tu anak dara. Tak elok bekerja sampai lewat malam. Berseorangan di pejabat pula tu…” terjah Norman dari arah belakang.

Mata Batrisya membulat. Mulutnya memuncung panjang macam Daisy Duck. Suara itu cukup sumbang pada pendengarannya. Batrisya segera memandang sekeliling. Jantungnya yang tenang tadi berdegup kencang dengan tidak semena-mena. Hanya dia dan Norman! Bukankah apabila lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi, yang ketiganya adalah syaitan?

Norman mendengkus perlahan. “Baliklah. Esok, saya yang buat pembentangan. Bukannya awak. Saya yang perlu menjawab soalan. Baik awak balik sekarang. Kalau jadi apa-apa, lagi payah. Banyak sangat kes sekarang ni. Rompak, ragut, bunuh, rogol… awak tak takut?” tambah Norman serius.

Batrisya menelan air liurnya buat kesekian kali. Kata-kata Norman yang terlalu berterus-terang itu sedikit sebanyak menggerunkan hatinya. Bukan dia tidak tahu tetapi hari ini… Batrisya terpaksa. Kerjanya belum siap!

Tanpa lengah, Batrisya pun bersiap-siap untuk pulang. Sudah pukul 9.30 malam. Alahai, Batrisya sudah lewat benar.

Norman menggeleng laju. Berbuih dia bercakap, satu patah kata pun tidak terpacul dari mulut Batrisya. Norman merasakan bagai sedang berbicara dengan tunggul kayu yang telah disumpah menjadi batu konkrit.

“Terima kasih, Tuan atas keprihatinan,” ucap Batrisya tiba-tiba lalu beredar dari situ menuju ke lif.
Mata Norman membulat. ‘Boleh pula bercakap,’ dia mengomel sendiri. Norman terus tercegat di situ dengan mulut yang ternganga separuh.

JAM sudah menunjukkan pukul 10.30 malam tetapi tayar bas RapidKL pun masih belum kelihatan. Batrisya mendengus kecil. Kecut perut juga dia berdiri berseorangan di perhentian bas yang sunyi ini. Sudahlah tidak banyak orang yang lalu-lalang, bunyi nyamuk pun tidak kedengaran. Batrisya yang sudah letih berdiri duduk semula.

“Hai, Cik Adik manis. Beraninya jalan malam-malam. Tak takut orang kacau ke?” sapa seorang lelaki lembut.

Batrisya tersentak kecil. Jantungnya bergelora kencang. Dia memandang lelaki bermata kuyu yang berdiri di tepinya itu atas bawah. Kemudian, Batrisya bergerak beberapa tapak menjauhinya.

“Alahai, Cik Adik. Janganlah takut. Saya bukannya nak buat apa-apa. Mahu berteman dan bermesra saja. Nama saya Ridzuan,” tambah Ridzuan sungguh-sungguh.

Mata Batrisya serta-merta membulat. Sah! Lelaki yang bernama Ridzuan ini sedang mabuk. Batrisya menelan air liurnya sekali. ‘Ya, ALLAH…’ desis hati kecil Batrisya sendiri.

Senyum Ridzuan semakin melebar. Dia terus mendekati Batrisya. Namun, baru sahaja dia hendak menyentuh bahu gadis itu…

“Tak ada kerja lainkah yang kamu nak buat?” sergah Norman lalu menolak Ridzuan kuat.

Batrisya terkesima lagi. Begitu juga dengan Ridzuan. Masing-masing terkedu melihat Norman yang sedang menyinga. Macam Boboi Boy yang datang menyelamatkan mangsa.

“Suka hati akulah. Aku bukan kacau awek kau pun,” balas Ridzuan kasar seraya berkalih ke arah Batrisya. “Cik Adik manis, teman abang malam ni, boleh?” ujarnya sungguh-sungguh.

Norman hilang sabar. Tanpa memberi sebarang amaran, dia terus menampar muka Ridzuan. Kuat… sampai terteleng mukanya.

“Hei, kau apa pasal? Aku tak kacau kau, kau jangan sibuk hal aku. Awek ni siapa, kau gelabah sangat? Mak kau? Adik kau?” jerit Ridzuan seperti orang hilang kewarasan.

Norman menghembus nafasnya kuat. Wajah Batrisya yang masih lagi ketakutan dikerling sekilas. Tidak lama, dia pun memandang Ridzuan semula. “Memang aku kena sibuk dan jadi penyibuk. Awek ni bakal isteri aku. Kau sentuh dia, aku tibai kau sampai tak boleh kacau anak dara orang lagi!” balas Norman serius.

Ridzuan terpana. Dengan tidak semena-mena, dia berasa kecut perut pula. Ridzuan menggosok matanya berkali-kali. Baru sekarang Ridzuan tersedar, dia hanyalah bersaiz 3S. Lawannya pula bersaiz XL. Tanpa cakap banyak, Ridzuan terus angkat kaki.

Norman memandang Batrisya atas bawah. “Awak tak apa-apa?” soal Norman sungguh-sungguh.
Batrisya mengangguk lesu, masih lagi terkejut dengan peristiwa sebentar tadi.

Norman menarik nafas lega. Senyumnya terukir nipis. “Biar saya hantar awak balik. Itulah. Tak elok anak dara balik kerja malam-malam. Awak pula guna pengangkutan awam. Lagi-lagilah tak terjamin keselamatannya. Lain kali paling lewat pun, baliklah sebelum pukul 7.00. Orang banyak lagi. Kalau nak siapkan kerja, memang kerja tak akan habis,” pesan Norman panjang lebar.

Batrisya turut sama mengukir senyum. Dia terus mengekor langkah Norman dari belakang menuju ke tempat dia memarkir keretanya.

“Saya duduk di belakang, boleh? Tak biasalah duduk depan,” Batrisya bersuara tiba-tiba.

Norman segera menoleh ke belakang seraya membalas, “Awak nak duduk dalam bonet pun boleh…” kata-katanya terhenti di situ. “Awak jangan risau, saya tak akan jual awak di mana-mana,” tambah Norman lagi berseloroh.

Batrisya tergelak kecil lalu masuk ke dalam kereta. Dia duduk betul-betul di belakang kerusi pemandu, sedikit menyorok agar Norman tidak dapat melihatnya melalui cermin pandang belakang. “Terima kasih,” ucap Batrisya dengar tidak dengar.

Norman mengangguk-angguk. “Lain kali hati-hati. Ja…”

Belum sempat lelaki itu menyudahkan kata-katanya, Batrisya mencelah. “Jangan kerja sampai lewat malam. Bahaya.” Tawa kecilnya kedengaran sayup-sayup.

Suasana sepi seketika…

Norman terus fokus memandu. Batrisya pula duduk membatu tanpa suara. Batuk pun tidak. Batrisya melihat jam pada pergelangan tangan. Sudah pukul 11.15 malam? Hati Batrisya terus menjadi tidak keruan. Waktu-waktu begini, dia masih berada di luar rumah? Dengan ajnabi pula. Huh! 

“Saya serius untuk memperisterikan awak. Saya juga sungguh-sungguh nak masuk meminang awak. Awak suka saya tak? Awak sudi jadi isteri saya tak?” Norman terdiam sejenak.

Belum sempat Batrisya berkata apa-apa, Norman menambah lagi. “Saya suka awak sejak pertama kali saya kenal awak. Saya nak berbaik-baik dengan awak, awak jual mahal sangat. Tak ada diskaun langsung. Saya nak bergurau dengan awak, awak serius macam tengah bermesyuarat dengan Tuan Pengarah…” kata-kata Norman terhenti si situ. Suasana sepi lagi.

“Awak suka saya tak?” Norman mengulangi soalannya.

Batrisya tunduk memandang alas kaki kereta. Jantungnya terasa berdegup semakin kencang.
“Awak…” Norman tidak putus asa mendapatkan kepastian.

Batrisya menarik nafas, kemudian menghembusnya perlahan. “Saya suka awak tetapi…” tergagap-gagap Batrisya melontarkan bicara.

Norman tersenyum lebar. Persoalan kepada sesuatu yang tersimpan lama di dalam benaknya sudah terjawab. “Tetapi apa?” soal Norman sungguh-sungguh.

Batrisya mendengus perlahan. “Saya suka Tuan tetapi saya tetap perlu memelihara diri saya selaku seorang muslimah. Saya tidak boleh semberono berbual mesra dengan Tuan tanpa hala tujuan. Fitnah itu dekat dengan saya. Jika Tuan benar-benar serius, datanglah ke rumah. Jumpalah ibu dan ayah saya,” balas Batrisya panjang lebar. Halus dan bergetar suaranya sampai dengar tidak dengar sahaja.

Mulut Norman ternganga luas. Tidak pernah Batrisya seberani itu dalam berbicara. Tidak lama, dia terus mengukir senyum lebar. Pedal minyak pun ditekan. Hati Norman berbunga ceria.
0 Responses