Hati seorang isteri


Hanan tahu, perempuan dicipta untuk lelaki dan begitulah sebaliknya. Hawa dijadikan Allah sebagai pengisi kekosongan Adam. Allah tahu, Adam tidak betah keseorangan lalu terciptalah Hawa. Hawalah penyeri, Hawalah penghibur, Hawa jua racun berbisa. Pujuk rayu Hawa akhirnya menundukkan ketaatan Adam terhadap Yang Esa lantas dicampakkan ke dunia.
Dunia yang penuh kekejaman, penuh noda. Kuasa wanita bukan terletak kepada kekuatannya. Habil dan Qabil berbunuhan kerana hawa. Bill Clinton menggemparkan dunia ekoran dakwaan si hawa. Pemimpin agung negara juga pernah tersungkur dek seorang wanita.
Hanan mengenali Muhammad sejak berada di kampus. Siapa tidak kenal lelaki itu? Muhammad memiliki peribadi yang boleh dibanggakan. Matanya yang tajam bisa menggegarkan jantung si gadis.
Rambutnya lurus, kopiah di kepala. Mukanya bersih disinari cahaya. Bibirnya merah, sebagai tanda tidak merokok.
Muhammad pastinya belum pernah menyentuh Dunhill, Marlboro tetapi bukan itu alasannya. Bukan itu puncanya. Ilmu! Ilmunya penuh di dada, ilmu itu di hujung jarinya.
Hanan ingin benar memiliki sebuah keluarga Muslim yang berpegang teguh dengan syariat. Kini, setelah hampir sepuluh tahun melayari bahtera rumahtangga, pasangan itu telah dikurniakan dua cahaya mata. Putera sulung diberi nama Abu Bakar manakala si puteri dipanggil Fatimah Az-Zahrah.
Sewaktu Fatimah dilahirkan, Muhammad tiada di sisi. Si suami begitu sibuk dengan kerjayanya. Paginya menjadi penganalisis komputer. Malamnya menggegarkan pentas ceramah. Hanan bangga memiliki suami yang giat berjuang di jalan-Nya. Hanan terharu.
“Ayang nak letak nama apa?”
“Suka hati abang la. Asal abang suka, ayang tak bantah.”
“Sumayyah?Abang suka?”
“Entahlah. Apa kata Fatimah Az-Zahrah.”
Muhammad mengucup dahi isteri tercinta. Muhammad bahagia bersama Hanan. Muhammad bersyukur kerana Hanan kini menjadi miliknya. Dia tidak salah pilih.
Hanan begitu memahami. Hanan tidak pernah merungut dengan segala kekurangan. Hanan sentiasa patuh dan redha. Hanan mahu menjadi setaat Siti Muthiah. Itu Muhammad tahu.
Saidatina Fatimah agak kecewa apabila mengetahui bahawa ada wanita lain yang memasuki syurga mendahuluinya. Apakah keistimewaannya sehingga disebut namanya oleh Rasulullah?
Dialah Siti Muthiah. Wanita agung mentaati suami. Dirinya untuk suami. Kebahagiaan, dan kegembiraan dicurahkan buat suami.
“Wahai Muthiah, apakah perlunya peralatan itu?” Tanya Fatimah tatkala melihat Siti Muthiah memegang segelas air, sehelai kain dan sebatang rotan di sampingnya.
“Wahai puteri Rasulullah, kain ini kugunakan untuk mengelap peluh suamiku yang penat bekerja. Air ini kuhidangkan buatnya. Kutahu, dia tentu kehausan setelah lelah membanting tulang mencari rezeki buatku dan anak-anak.”
“Bagaimana pula dengan rotan?”
“Jika layananku tidak memuaskan hatinya, aku rela dipukulnya…”
Hanan ingin menjadi sehebat Siti Muthiah. Taat dan patuh kepada suami. Menjadi penawar buat suami. Melahirkan permata hati untuk suami. Paling penting, melahirkan pejuang Islam masa depan.
“Ayang, minggu depan abang kena bagi ceramah kat Kedah. Mungkin dalam dua hari.”
“Pergilah bang. Orang dah jemput.”
Macam mana anak-anak?”
“Abu, macam biasalah. Sikit-sikit, abinya. Fatimah pula, tiada masalah”
“Ayang, penganjur tidak dapat sponsor ceramah abang. Minggu ni, kita jimat sikit ye. Duit ibu dah hantar?” Emmm…
Abang, bukan harta yang kupinta. Bukan emas yang kurayu. Hanan ingin selalu di sampingmu. Hanan serba salah. Bukan dia tidak tahu dengan kerja suaminya. Kereta Wira itu sahajalah yang membawanya ke mana-mana.
Kadang-kadang, Muhammad tidur beralaskan kusyen. Kadang-kadang Muhammad tidak tidur langsung. Hanan kasihan melihat suaminya. Meskipun Muhammad tidak pernah meluahkannya, Hanan tetap mahu melihat keselesaan suaminya.
Ah!! Iblis begitu kuat menghasut. Sedangkan Nabi junjungan hidup sederhana. Sedangkan sahabat terdahulu lebih hebat dugaannya. Persetankan segala hasutan syaitan laknatullah.
Dia perlu sentiasa redha dan bersyukur dengan segala kurniaan Tuhan. Allah pernah berfirman, “Ketika Tuhan memberitahu : Dan jika kamu berterima kasih, nescaya Kutambah nikmat yang ada padamu. Tetapi, jika kamu kafir, sesungguhnya seksaanKu amat keras.” Ibrahim : 7.
Ya! Hanan perlu sentiasa bersyukur dengan apa yang ada. Seperti biasa, Hanan menjalankan kewajiban seorang ibu dan isteri sebaiknya.
Mengasuh mengikut pesan suami. Tidak dimanjakan dan tidak pula terlalu keras. Hanan begitu bahagia.
Alangkah indahnya, jika kelak dia dijemput Tuhan tika perit melahirkan zuriat. Bukan sengaja mahu meninggalkan anak-anak tanpa ibu, suami tanpa isteri. Tetapi, Hanan mahu mati sebagai syuhadah.
Bak kata seorang teman, “Hiduplah sebagai ulama, matilah sebagai syuhadah.” Hanan mahu mati dengan redha suami. Bukan tangisan yang mengiringi pemergiannya.
Kadang-kadang Hanan cemburu. Cemburu memikirkan. Pastinya Muhammad akan menikah lagi. Anak-anaknya bakal punya umi baru. Akan ada orang lain di hati Muhammad. Memikirkan Ainur Mardhiah pun menggelisahkannya apatah lagi wanita di dunia.
*****
“Kak Hanan…”
“Ya saya. Siapa di sana?”
“Saya Nona, anak didik ustaz Muhammad.”
“Ooo, ustaz tiada. Dia belum pulang. Nona nak pesan apa-apa?”
“Em, akak... Saya harap akak tidak marah tapi saya dah tak mampu…” talian sunyi sebentar.
“Akak, saya mencintai ustaz Muhammad. Saya tidak mampu menipu diri saya sendiri. Saya begitu sayang kepadanya dan saya sanggup menjadi yang kedua.”
Hampir terjatuh gelas putih itu. Hanan tidak sanggup! Dia tidak sanggup bermadu, tidak rela dimadu apatah lagi berkongsi suami.
Hanan tidak sekuat Saidatina Aisyah. Aisyah juga cemburukan isteri-isteri Rasulullah. Bermadu tak semanis yang disangka. Mungkin lebih pahit daripada hempadu. Hanan tahu, lelaki yang mampu layak bernikah lebih daripada satu malahan dua, tiga, empat..
Hanan yakin Muhammad mampu mengemudi dua buah bahtera tapi Hanan tidak cukup kuat untuk itu. Sudah banyak dia berkorban. Perlukah dia berkorban lagi?
Namun, bagaimana pula dengan Nona? Nona mencintai suaminya. Mengapakah Muhammad yang dipilih? Bukan teruna lain di muka bumi Allah ini?
Adakah Muhammad turut mempunyai perasaan yang sama? Atau, adakah mereka sebenarnya saling mencintai? Oleh sebab tidak sanggup berterus-terang, Muhammad menyuruh Nona meminta kebenaran.
Nanti Abu dan Fatimah akan punya dua umi. Tidak sanggup Hanan memikirkannya. Tidak sanggup dia melihat kemesraan Nona dan Muhammad.
Berkahwinlah tapi jangan berdampingan di hadapannya. Bermesralah tapi usah mempamerkan kemesraan itu.
Hanan yakin! Kala itu, dia pasti akan menangis. Kalau dulu, Hanan menangis dalam senyuman tetapi kini tangisannya berbunyi. Tangisannya menggugurkan air mata jatuh ke bumi.
“Kenapa lain macam je ayang sekarang? Ada masalah ke?” Muhammad mula bersuara bilamana dia menyedari perubahan yang berlaku kepada isterinya. Senyum Hanan lain dari biasa.
“Tak adalah bang. Ayang letih je,” kata Hanan menahan sebak di dada.
“Bukan sehari abang kenal ayang. Dah bertahun kita bersama. Kenapa ni? Ayang ada masalah? Atau baby ni merungsingkan ayang?” Sangkal Muhammad lantas mengusap perut isterinya yang mengandung tujuh bulan itu. Hanan, abang mencintaimu. Muhammad memeluk Hanan dan mendudukkan dia di sisinya.
“Ceritakanlah, ayang bukan sahaja isteri abang tapi sahabat dan teman bagi abang. Tiada rahsia antara kita…”
“Abang…” Hanan makin sebak.
Tiba-tiba! “Umiii, tengok abang ni. Dia kacau Imah.”
“Alaa. Bukan Abu nak kacau. Abu nak main je.”
“Abu main kasar, bukan nak main elok-elok. Cakap kat abi.”
Tak sanggup Hanan membuka suara. Mujur putera-puterinya buat hal. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan berlaku. Pasti dia akan teresak-esak di pangkuan Muhammad.
Nona! Mengapakah kamu hadir dalam hidupku? Kenapa Muhammad yang kau pilih? Kenapa dia yang kau cinta? Bagaimana jika Muhammad bersetuju? Tak sanggup Hanan menerima realiti itu. Satu mimpi ngeri buatnya.
Jika Muhammad menolak, Hanan pasti menangis suka. Namun, jika Muhammad menerima? Hanan menangis juga. Dia menangis kedukaan. Muhammad pasti memujuk tapi hatinya telah mati.
Cerai? Ya, perkara halal yang dibenci Allah. Hanan tidak pernah terfikir untuk minta cerai. Hanya Muhammad yang diharapkannya.
*****
Sudah sebulan peristiwa itu berlaku. Hanan melaksanakan tanggungjawab seorang isteri seperti lazimnya. Diasuh anak-anak sebaiknya, dilayan suami seikhlasnya. Tidak pernah Hanan bermasam muka apatah lagi berwajah sugul.
Hanan lupa. Dia tidak boleh menipu Muhammad. Suami itu menyedari perubahan Hanan. Ada benda yang cuba disembunyikannya. Senyum Hanan manis tapi tidak semanis dahulu. Segalanya berubah.
Muhammad amat mencintai Hanan dan dia tidak mahu perubahan ini. Apa dah jadi? Muhammad gelisah tak menentu. Kerjanya tanpa kosentrasi. Senyuman Hanan yang lain itu sudah cukup meresahkan Muhammad. Sedarkah Hanan?
Lebih parah lagi pabila Muhammad tidak dapat melakukan kerja dakwah seeloknya. Itulah kuasa wanita. Yang akhirnya menyungkurkan seorang lelaki. Bangkitlah Muhammad.
“Abang,” Hanan bersuara satu malam.
“Yang...”
“Baru-baru ni, pelajar abang telefon. Nona namanya,” Hanan cuba melihat reaksi Muhammad tapi tiada perubahan pada wajah itu.
“Ya,” katanya. Diam seketika…
“Katanya dia mencintai abang. Dia mahu mengahwini abang.”
“Jadi?” Begitu tenang lelaki ini.
“Kahwinilah dia,” lantas Hanan menangis teresak-esak. Dia tidak mahu menangis tapi ia tidak mampu menahan sebak di dada.
Disembamkan mukanya di riba suami. Habis basah pelikat itu. Hanan menangis dan terus menangis. Tidak sanggup untuk menatap wajah suaminya.
Sebab inikah kamu berubah isteriku? Bisik hati Muhammad. Diangkat muka Hanan. Ditenung mata yang berair itu.
Hanan menundukkan muka lantas menyembamkan wajahnya di ribaan suami. Muhammad mengangkat kembali wajah itu. Ditenung lagi mata itu. Tenungan yang sememangnya tajam semakin tajam jadinya.
“Kalau ayang suruh abang kahwin, kenapa menangis?” Diam…
“Ayang tak sanggup?” Diam lagi..
“Kalau tak sanggup, kenapa suruh abang kahwin?” Lidah Hanan kelu.
“Tiada orang lain di hati abang. Ayang tiada celanya. Buat apa abang nak cari lain? Isteri abang hanya seorang. Nazihatul Hanan namanya. Terima kasih kerana bersama abang selama ini. Melahirkan keturunan abang.”
Hanan terlalu banyak berkorban. Begitu teguh di belakangnya tika dia turun berjuang.
*****
Kasihan Muhammad melihat Hanan. Lain pula dia kali ini. Benar-benar tidak bermaya. Mukanya pucat. Langkahnya longlai. Mujur senyuman itu menghilangkan kecacatan yang ada.
“Abang, takut rasanya kali ini.”
“Kenapa? Kan abang ada.”
“Entah bang. Melahirkan ni umpama nyawa di hujung tanduk.”
“Insya-Allah, segalanya akan selamat.”
“Abang...”
“Ya sayang.”
“Kalau ada apa-apa yang berlaku pada ayang…”
“Tak akan ada apa-apa yang berlaku.”
“Kalau-kalau..”
“Semua akan selamat,” pintas Muhammad.
“Kalau-kalaulah… Abang nikahilah Nona sebagai pengganti ayang.” Inilah wanita. Sekali tergores, sekali terusik, payah nak sembuh. Prasangka tidak pernah luput. Muhammad mengerti. Prasangka itu tandanya sayang tapi usahlah begitu.
“Encik Muhammad, nampaknya pihak kami hanya punya satu jalan. Sama ada ingin menyelamatkan si bayi atau si ibu.”
”Selamatkan keduanya,” Muhammad seolah-olah memberi arahan. Muhammad memegang erat isterinya. Muka Hanan pucat lesi. Diusapnya rambut hitam Hanan. Diciumnya pipi itu.
Muhammad ingin menangis tetapi tidak sanggup membiarkan air matanya gugur ke bumi. Bukan kerana ego. Hanan sendiri tidak menangis. Masakan dia boleh menangis?
Hanan sedaya upaya melawan sakitnya. Yang penting, anak Muhammad itu lahir ke dunia. Nyawanya nombor dua. Nafasnya kian sesak. Tiba-tiba, kedengaran bayi mendendangkan lagunya. Makin lama, makin rancak bunyinya. Serentak dengan itu, Hanan menghembuskan nafasnya yang terakhir.
0 Responses