Showing posts with label Bicara hati. Show all posts
Showing posts with label Bicara hati. Show all posts

Sakit

Assalammualaikum. Apa khabar? Lewat mengemaskini blog hari ini. Ada beberapa perkara yang perlu Muthiah bereskan. Dahulukan yang penting... disusuli dengan yang kurang penting berbanding yang lebih penting tadi. Ini bermakna, semuanya masih penting. Apakah perkara yang paling penting dalam hidup kita?

  • Bahagia bersama keluarga tercinta?
  • Banyak duit, mewah harta?
  • Mempunyai pekerjaan yang stabil?
  • Dikelilingi oleh kawan-kawan yang baik belaka?
  • Berjaya mencapai cita-cita dan impian?
  • Dapat close sale?
  • Buku kita jadi best seller? Alhamdulillah.
  • Karya tersiar di media cetak?
  • Menjadi hamba ALLAH yang terbaik?
Hmm...

Semenjak berpindah tempat tinggal (dari Ipoh ke Dengkil), kondisi kesihatan Muthiah tidak cukup baik. Kata diri sendiri, culture shock di tempat baharu agaknya. Kata hati, mesti memuhasabah diri sendiri. Jauh daripada ALLAH mungkin. DIA mahu kita kembali mengharapkan DIA.

Sungguh...

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Apabila sakit, segala yang berada di hadapan mata tidak terasa kenikmatannya. 
  • Nasi ayam penyet yang sedap terasa payau. 
  • Air jus oren yang manis terasa tawar. 
  • Bau yang wangi tidak terasa apa-apa. 
  • Blablabla...
Dengan kata lain... hatta kita punya duit yang banyak... harta berganda... kawan yang ramai... meski sedikit sebanyak bisa mengubat bebanan di dalam diri (ketika sakit), tetap tidak sama seperti mana ketika kita tengah sihat. 

Orang sakit...
  • Bermaknakah duit berjuta? - bermakna juga. Boleh cari rawatan yang terbaik. Sekurang-kurangnya mati nanti, adalah harta yang bakal ditinggalkan buat keluarga. 
  • Pengikut setia? - Boleh mendoakan yang baik-baik untuk kita.
  • Keluarga bahagia? - Setidak-tidaknya, kita tahu ada yang menyayangi kita.
Jadi, bagaimana?
  • Hargailah nikmat kesihatan yang ALLAH berikan kepada kita. 
  • Taati perintah ALLAH. Hindari larangan-NYA. ALLAH hendak bagi, sekelip mata kita dapat. ALLAH hendak tarik balik, pun sekejap sahaja. Jadi, jangan rasa kita memiliki semua kerana segalanya milik DIA.
Okey. Cukup untuk hari ini. Moga kita tergolong dalam lingkungan hamba ALLAH yang sentiasa bersyukur dan berusaha untuk mengislah diri... mendekat kepada-NYA. Maaf sekiranya terdapat unsur-unsur merapu di sini. Rasa lain macam pula catatan Muthiah hari ini :)

Muthiah : Sakit itu penghapus dosa. Kurangkan mengeluh, banyakkan beristighfar kepada-NYA.

Pandai atau rajin?

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Sedang berusaha untuk istiqamah dalam apa sahaja yang dilakukan. Sungguh! Hendak memulakan sesuatu memang mudah. Hmmm... tidak juga. Kadang-kadang, kena paksa diri untuk memulakannya. Pada peringkat awal setelah melepasi titik payahnya bermula, mungkin laju kerja kita. Namun sayang sekiranya tidak konsisten, lama-kelamaan jadi perlahan pula. Tidak mustahil akan berkubur tanpa pusara.

Facebook, oh Facebook.

Ada baik. Ada buruknya. 

  • Ada yang jatuh cinta di FB. 
  • Ada juga yang main kayu tiga di FB. 
  • Ada yang berkongsi ilmu, nasihat, motivasi dan pengalaman di FB. 
  • Ada yang menyindir, memfitnah, menyakitkan hati di FB. 
  • Ada yang cuba mengaibkan orang lain di FB. 
  • Ada yang hendak promote diri, barang dan syarikat di FB. 
  • Ada yang mencari kawan lama yang terpisah di FB. 
  • Ada yang menyebarkan ideologi sendiri atau yang disokong di FB.

Pendek kata, banyak benda boleh dijumpai di Facebook.

Muthiah pula, suka benar membaca post yang dikongsi. Ada yang positif. Ada juga yang negatif. Perkara yang menyakitkan hati (macam fitnah dan kata-mengata), Muthiah hide dari pandangan. Tidak suka tengok... cukup sekali TER tahu.

Satu pos yang pernah Muthiah baca di Facebook.

Manakah calon isteri pilihan :
Pandai masak @
Rajin masak?


Foto : Sekadar gambar hiasan.
Jawapan.

  • Nak yang rajin masak sebab kalau dia rajin, berasaplah dapur. Kalau pandai tetapi pemalas, kena makan di kedai, buat apa? - Betul juga. Apa guna banyak skill memasak tetapi masuk dapur pun jarang sekali. Eh, masuk tetapi ke dapur untuk menjamu selera sahaja setelah makanan tersedia. Cuba tanya pada diri sendiri. Berapa kali kita masak di rumah?
  • Nak dua-dua. Pandai dan rajin masak. - Satu bonuslah kalau dapat isteri yang sebegini.
  • Nak bini yang pandai dan rajin masak tetapi diri sendiri tu boleh ke jadi imam dalam solat? - Oh... ini adalah respons daripada kaum wanita.
  • Tak pandai dan tak rajin pun apa. Dah sayang. Boleh makan di kedai. Bantu mak cik restoran. - Tabik spring Muthiah pada mereka yang menjawab sebegini (walau hanya dalam hati). 
  • Cantik itu lebih utama. Tengok muka bini yang cantik, terus kenyang. - Ehe... apabila usia sudah lanjut, wajah pun berkedut... macam mana?
Okey. Cukup jawapan yang diberi. Anda pula bagaimana? Teringat pula perbualan Muthiah dengan seorang teman... 

Beliau tidak bersetuju dengan cara sang ibu yang mendidik anak perempuan dan lelaki sama rata. Kalau perempuan kena basuh pinggan, lelaki pun sama. Kalau perempuan kena tanak nasi, lelaki pun sama. Beliau gusar, hal ini kelak menjadi kebiasaan bagi anak gadis. Dengan kata lain apabila dewasa, sang gadis jadi pemalas, dan perkara begitu berlaku di hadapan matanya. Hmm... sekiranya dapat suami yang memahami, baguslah. Namun jika tidak?

Dari sisi Muthiah... No comment. Setiap pandangan, tidak ada yang salah. Tidak ada yang betul seratus peratus. Mungkin ada salahnya pada sisi orang lain. Setiap orang, ada alasan yang tersendiri. 

Baiklah. Cukup setakat ini. Lain-lain, renungkan sendiri ya. Yang baik, boleh amalkan yang tidak baik, jauh-jauhkan. 

Muthiah : Jom pupuk sikap rajin dalam diri. Jangan jadi rajin bermusim atau hanya mengikut masa dan tempat.

Kita kawan kan?

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. 


"Muthiah banyak post tentang politik. Muthiah ni sokong pembangkang ke? Dekat News Feed pun penuh like Muthiah tentang ideologi pembangkang. Kuat benar politiknya."

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Aduh... Muthiah post pasal apa ya? Rasanya... yang mungkin ada keberkaitan tentang politik tidak banyak. Hanya beberapa. Itu pun, Muthiah tidak gemar berkongsi sesuatu yang menuding terus kepada seseorang individu. Urusan dia, biarlah dia dengan ALLAH. Mungkin Muthiah tergolong dalam lingkungan manusia yang hanya mampu membenci di dalam hati (bukan yang menggunakan tangan atau lisan), dan itu adalah selemah-lemah iman **.

Pasal KL112?
atau pasal isu kalimah ALLAH?
atau pasal 2+2=5?

Hmm... entah. Muthiah pun tidak tahu hendak terangkan apa. Muthiah yakin, sahabat-sahabat dapat menilainya sendiri. Sekiranya apa yang Muthiah kongsikan sebelum ini menyinggung hati, perasaan, jiwa dan raga sahabat-sahabat, Muthiah minta maaf. Insya-ALLAH, tidak ada niat hendak menghukum sesiapa. Sekadar mahu membuka minda sendiri... juga memperingat diri sendiri agar tidak lupa. 

Muthiah ni pembangkang ke?

Ehe... Undi adalah rahsia. Namun apa yang pasti!
  • Muthiah menolak kezaliman.
  • Muthiah menolak fitnah.
  • Muthiah menolak rasuah.
  • Muthiah menolak pembaziran.
  • Muthiah menolak sesuatu yang mendorong kepada murka ALLAH. 
  • Muthiah menolak sesuatu yang jelas haram.
  • Muthiah menolak penipuan.
  • Muthiah menolak ketidakadilan.
  • Muthiah menolak pembunuhan mereka yang tidak berdosa.
  • Muthiah menolak penghinaan ke atas Nabi SAW.
Maka, sekiranya Barisan Nasional turut menolak kesemua perkara yang Muthiah nyatakan di atas, sokongan Muthiah akan bersamanya. Begitu juga halnya kepada Pakatan Rakyat

Mana-mana yang berjuang untuk kebaikan semua pihak (tambahan : berjuang untuk agama ALLAH), Muthiah akan menyokong mereka walau tidak menjadi pendukung utama. 

Tidak ada manusia yang sempurna. Parti pula didukung oleh manusia-manusia yang tidak sempurna itu. Maka, Muthiah memilih yang kurang memberi kemudaratan kepada semua orang dan agama, insya-ALLAH.

Muthiah : Moga perbezaan ideologi ini tidak membuatkan perhubungan kita semua renggang. Sayang semua kerana ALLAH, insya-ALLAH.

Dengan RM50.00

Assalammualaikum. Yeah! Tanamkan semangat dan tekad dalam diri sendiri. Sekiranya kita memilih untuk berputus asa, kelak kita yang akan gagal. Kita gagal sebelum berjuang. Namun sekiranya kita memilih untuk terus berusaha sampai capai cita-cita, insya-ALLAH... apabila sampai masa, kita akan tetap memperolehinya. Cepat lambat sahaja. 



Foto : Sekadar gambar hiasan.


"Gaji aku besar. Belum kahwin tetapi kenapa tak cukup saja. Kena juga minta duit dengan mak aku."

"Haaaa... check balik sumber rezeki tu."

"Hisy, kau ni. Macamlah kau tak kenal aku."

"Kau buat bayar apa?"

"Sewa rumah, duit kereta, duit minyak, hutang blablabla... Benda yang tak boleh elak."

"Kau masak ke, kau makan kat luar?"

"Aku makan kat luar. Kau tahu-tahulah tempat aku kerja tu..."

"Hmm... kalau hari ni kau makan KFC, esok kau makan McD, lusa kat makan nasi AP blablabla... memanglah. Cuba kau masak. Masak ni menjimatkan belanja. Kalau kau mampu, lain kira. Ni tahap sampai kau kena minta duit dengan orang lain. Dari bujang ni lah kau kena belajar urus duit."

"Itulah pasal. Penyakit M ni kuat sangat..."

Nota : Lain orang, lain masalahnya ya. Maka, kalau tidak tahu apa-apa, tolong psttt dan jangan kata apa-apa. Apapun, pilihan di tangan sendiri.

------------------------------------------

Okey. Muthiah bukan hendak mengulas atau memberi respons apa-apa daripada perbualan di atas. Akan tetapi, Muthiah ingin kongsikan sesuatu... 

Apa yang kita boleh makan dengan RM50.00 selama seminggu.

Hari pertama

Bayam air + Ikan bakar masak kicap + ulam + budu

Hari kedua

Bayam masak lemak + ikan bakar masak merah + ulam + budu


Hari ketiga

Nasi goreng ikan rebus + telur mata kerbau
Hari keempat



Tom yam + kangkung goreng + ulam + budu

Hari kelima


 Ayam masak kuzi + bayam masak air + ulam + budu

Hari keenam


 Nasi goreng kampung + telur mata kerbau
Hari ketujuh

Ayam percik bakar + kubis goreng (ayam) + telur mata kerbau + ulam + budu

Di atas... adalah perkongsian pengalaman Muthiah. PJJ sekejap dengan suami. Duduk berseorangan di rumah (waktu itu). Hendak masak beria, kurang rajin. Maka, masak ala kadar. Pagi makan Corn Flake... boleh juga makan roti, nestum (ringan-ringan). Tengah hari dan malam, resipi seperti di atas. Muthiah masak sekali harung atas alasan, kurang rajin. Kos membeli barang-barang dapur ini dalam RM44.00 (Muthiah beli di Mydin). Jadi...

Nota :

Entri ini ...
  • mungkin sesuai untuk sahabat-sahabat yang selalu tidak cukup duit dan setelah mengenalpasti punca, didapati disebabkan oleh kekerapan makan di luar.
  • boleh jadi tidak sesuai untuk sahabat-sahabat yang duit lebihannya banyak bangat.
  • agak tidak sesuai bagi sahabat-sahabat yang kurang (kuasa sepuluh) rajin.
  • bagi yang memang tidak punya masa untuk itu (masak)... tidak dapat pula untuk mencari masa itu (masak)... tidak dapatlah Muthiah hendak menolongnya.
Apapun, pilihan di tangan sendiri. Berbelanja mengikut kemampuan sendiri.

Muthiah : Waktu bujang dahulu, suka bawa bekal nasi goreng kampung pedas ke pejabat. Hampir setiap hari. 

Larangan mengungkit-ungkit (2)

Assalammualaikum. Jumpa lagi kita di sini. Moga ALLAH merahmati. Kita mungkin bukanlah manusia yang terbaik di atas muka bumi ini...
  • banyak salahnya.
  • banyak lompangnya.
  • banyak kelemahannya.
Namun!

Tidak salah untuk sentiasa mengislah diri, berusaha menjadi yang paling baik di sisi ALLAH. Jom kita sama-sama tanam azam...
  • nak jadi hamba ALLAH terbaik.
  • nak jadi isteri terbaik.
  • nak jadi penulis terbaik.
  • mahu menggembirakan hati suami sentiasa.
  • blablabla.... insya-ALLAH.
Kemudian...



Foto : Sekadar gambar hiasan

buat salah lagi. Nama lagi manusia yang acap kali lupa. Cuma kenalah ingatkan diri selalu. Banyakkan istighfar, Astaghfirullah. Lupa istighfar... apabila ingat, istighfar balik, Astaghfirullah.

Okey. Hari ini, Muthiah sambung entri tentang ungkit-mengungkit. Jom kita senaraikan contoh mengungkit yang mungkin berlaku di sekitar kita...




  • Kita tolong kawan tandatangan senarai kehadiran di dewan kuliah. Kemudian, apabila kita minta tolong dia, dia tidak mahu pula. Apa lagi, perang besarlah. Bukan setakat hal tandakan kehadiran kita ungkit, pasal dia makan Maggi kita pun kita bising - Apa kata selepas ini jangan tandatangan lagi? Jadi, tidak ada isu ungkit-mengungkit.
  • Kita bagi kawan kita pinjam duit untuk buka bisnes. Apabila dia telah berjaya, kita minta dia bagi kita pinjam duit pula. Dia tidak mahu. Huh! Memang kacang lupakan kulit - Apa kata berhati-hati selepas ini? Atau bagi yang mahu pinjamkan duit... Pertama : Apabila dia ada duit, minta dia bayar balik (sebab duit yang dipinjam memang wajib dibayar). Kedua : Niatkan sedekah (lebih-lebih lagi kalau kita yakin dia bukan jenis yang berduit atau memang liat bayar hutang). Aduh, payahnya... Ketiga : Jangan bagi pinjam langsung. Keempat : Tekad dalam hati, bagi pinjam tanpa mengharapkan balasan.
  • Kita bergaji RM4,000. Kita bujang. Kakak kita bergaji RM3,000. Dia ada anak dua orang. Abang kita bergaji RM3,500. Dia ada anak lima orang. Kita bagi mak RM500 sebulan. Kakak bagi RM100. Abang bagi RM50. Kita selalu sebut pasal kitalah yang bagi mak duit. Kitalah yang beli semua keperluan rumah. Kitalah yang beli itu dan ini untuk mak dan ayah. Tanpa tahu masalah orang lain, kita cakap sesuatu yang mengguris hati kakak dan abang kita - Jadi, macam mana? Kita menggembirakan hati mak ayah dengan duit yang diberi, insya-ALLAH dapat pahala. Kemudian, kita mengungkit dan menyakiti  hati orang lain pula. Apa yang kita dapat?
  • Kita mengambil keputusan untuk berhenti kerja sebab mengikut suami yang bertugas di luar daerah. Orang lain beli tudung RM200. Suami bagi duit beli tudung yang berharga RM50. Kita ungkit, kita berhenti kerja blablabla... - Sekiranya suami izinkan bekerja, apa kata anda bekerja dan belilah tudung berharga RM200 itu. Agak-agak, puas hati?
  • Kita jaga anak saudara kita yang kematian ibu; atau kita jaga mak ayah kita di kampung (sementelah, kita duduk paling dekat mereka. Rumah sebelah menyebelah pun); kita jaga adik-adik kita (setelah emak ayah meninggal dunia atau kita diamanahkan untuk menjaga mereka sepanjang ketiadaan mereka). Ditakdirkan ALLAH, berlaku sesuatu. Apa lagi, semua benda kita cakap. "Masa kamu kecik, mak ciklah yang jaga kamu."; "Aku juga yang kena jaga mak dan ayah. Aku juga yang kena bawa pergi hospital..."; "Mak tak ada. Mak suruh aku yang jaga adik-adik. Nak harapkan kamu..." Hmm... - Sayang, bukan? Setiap apa yang kita lakukan... apabila kita lakukan sungguh-sungguh kerana-NYA, insya-ALLAH ada ganjaran buat diri kita. Namun tup-tup, kita mengungkit pula. Bukan itu sahaja, bahkan kita mengguris hati pula dengan kata-kata. Mungkin disebabkan oleh rasa letih kita... letih jaga anak orang... penat jaga mak ayah... capek ambil tahu pasal adik-adik kita.
  • Kita like page dia (di facebook); follow blog dia; beli barang dia dan blablabla tetapi... dia tidak mahu like page kita; tidak sudi follow blog kita... Muthiah kira, balas membalas like, follow ni perkara biasa. Muthiah selalu dapat mesej, "Saya dah like page saudari. Jemput like page saya." Maka, tidaklah menjadi satu masalah. Yang menjadi parah ialah apabila kita mengungkit, "Aku like page kamu, kamu tak like page aku. Blablabla(panjang lebar dan sakitkan hati)..."
  • Sewaktu majlis dia, kita tolong. Sewaktu majlis kita, dia tidak membantu sebagaimana kita menolongnya. 
Banyak lagi sebenarnya. Muthiah sekadar berkongsi apa yang terlintas di fikiran. Moga-moga, Muthiah SENDIRI tidak terlepas pandang. Sekiranya TER-BUAT, harap-harap Muthiah insaf dan sedar. Khuatir amalan menjadi sia-sia, nauzubillah.

Hmmm...
Hmmm...

Sekiranya berdepan dengan orang yang suka mengungkit?
  • Sabar.
  • Ingat ALLAH.
  • Istighfar.
  • Muhasabah balik. Mana tahu... kita sendiri sebenarnya kuat mengungkit. Kemudian, ALLAH hadirkan seseorang untuk mengungkit pada kita. Bukankah ALLAH Maha Adil, Maha Teliti Penghitungan-NYA?
  • Tidak! Saya tidak pernah mengungkit.... Anggaplah ia sebagai ujian daripada ALLAH untuk mendekatkan diri kita kepada-NYA.
Salah ke orang yang suka mengungkit kebaikan ni?

Tepuk dada, tanya iman. Tidak dinafikan, perasaan kecewa mungkin akan timbul. Bayangkan. Kita menatangnya bagai minyak yang penuh. Tup-tup kemudian, dia ketepikan kita. Sebagai manusia yang LEMAH, tidak mustahil akan terungkit juga tetapi macam itu. Jom kita tanam tekad dalam diri. AKU LAKUKAN SEMUA INI KERANA ALLAH

Okey. Sebelum Muthiah mengakhiri entri hari ini, Muthiah ingin ringkaskan kata-kata kunci agar boleh direnung bersama.
  • Sentiasa berbuat kebaikan.
  • Hindari mengungkit.
  • Jangan sampai mengguris hati.
Muthiah : Peringatan utama untuk diri. ALLAH hendak uji, bila-bila kena batang hidung kita. Moga ALLAH pelihara.

Larangan mengungkit-ungkit (1)

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan mengingati ALLAH. Apa khabar? Moga baik-baik hendaknya. Jaga diri, hiasi peribadi. 

  • Jaga lidah... 
  • jaga jemari... 
  • jaga mata... 
  • jaga aurat... 
  • jaga hubungan dengan ALLAH...
  • jaga hubungan sesama manusia...
  • jaga hubungan dengan alam.

Moga kita semua dirahmati ALLAH selalu, insya-ALLAH.

Okey. Perkongsian hari ini Muthiah tujukan kepada diri Muthiah sendiri. Takut tanpa sedar, terungkit akan sesuatu. Sudahlah mengungkit-ungkit, mengguris hati pula. 

Muthiah mulakan dengan...




"Orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah, kemudian mereka tidak mengiringi apa yang dinafkahkannya itu dengan menyebut-nyebut pemberiannya dan dengan tidak menyakiti (perasaan si penerima), mereka memperoleh pahala di sisi RAB mereka. Tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). ALLAH Maha Kaya lagi Maha Penyantun. Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima)." al-Baqarah, 2:262-264.


Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Ada tiga golongan yang nanti pada hari kiamat tidak akan diajak bicara oleh ALLAH; orang yang suka mengungkit-ungkit pemberiannya; orang yang membuat laku dagangannya dengan sumpah palsu; dan orang yang menjuraikan pakaiannya (melewati mata kaki)." HR Abu Dzar R.A.

Cukup untuk hari ini. Insya-ALLAH nanti Muthiah sambung perkara yang sering berlaku (ungkit-mengungkit ini) dalam kehidupan kita. Moga kita lebih berjaga-jaga. 

Muthiah : Sungguh! Mengungkit-ungkit ini bisa mengguris hati.

Masalah duduk menyewa (bujang)

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga sihat dan bahagia hendaknya. Yuk, biasakan diri mengukir senyuman. Moga dapat memberi kegembiraan kepada mata-mata yang memandang. Hati pun senang, bukan? Kalau senyum paksa yang penuh dengan kepura-puraan?  Tepuk dada, tanya isi hati.


Foto : Sekadar gambar hiasan.
Baru-baru ini, Muthiah berbual dengan seorang teman. Perihal rumah sewa yang merangkumi permasalahan di rumah sewa (bagi mereka yang masih bujang).  

Jom duduk sekejap... kita ingat-ingat semula. Masalah apa yang biasa berlaku ketika duduk di rumah sewa?

  • Teman serumah tidak membayar sewa rumah tepat pada masanya. 

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Yang pening kepala, orang yang bertanggungjawab untuk meminta duit sewa rumah dan menyerahkan kepada tuan rumah. Dia yang kena tadah telinga. Dia juga yang perlu menjelaskan sebab dan alasan.

Hmm... 

Bagi yang punya masalah kewangan (gaji masuk lewat contohnya), bolehlah dimaafkan. Namun bagi yang sengaja sambalewa, amatlah menyedihkan. Bagi  yang ada duit tetapi menggunakannya untuk berfoya-foya, lagi parah.

Ingatlah... tidak rugi mempermudah urusan orang lain. Insya-ALLAH, ALLAH akan mempermudah urusan kita.

  • Orang guna barang kita tanpa kebenaran (makanan, alatan mandi, alatan membasuh dll).
Foto : Sekadar gambar hiasan.


Contoh makanan yang selalu kena pau sewaktu berada di rumah sewa ialah maggi dan telur. Kalau alatan mandi pula, Muthiah kira tuan punya barang tidaklah kisah sangat kalau kita hendak guna sabun mandi dia. Akan tetapi, kalau guna pencuci muka yang harganya RM30.00 (sekadar contoh), syampu yang berharga RM20.00... guna pula macam barang kepunyaan sendiri... tidak sampai satu bulan. Habis. Bulan pertama, tuan punya barang mungkin boleh buat-buat tidak nampak (sedekah sahaja). Namun sekiranya berbulan-bulan begitu, tidak ramai yang boleh bersabar. Tambahan pula, tuan punya barang pun tidaklah berduit mana. Dia sendiri pun membuat penjimatan terhebat.

  • Susah hendak bayar segala jenis bil di rumah.
Foto : Sekadar gambar hiasan.


Elektrik... api... semua mahu pakai tetapi apabila sampai bil, liat hendak bayar sama rata. Macam-macam alasan diberikan. 

Sekadar perkongsian pengalaman...

Dahulu, rumah sewa Muthiah ada telefon (fix line). Masalah timbul apabila bil sampai, ada yang tidak mahu mengaku. Guna pandai, bayar tidak reti (mak oi, kasarnya). Bukannya sedikit. Akhirnya, semua kena bayar. Perasaan waktu itu? Marah... sakit hati... kecewa. Kita pun, bukannya punya banyak wang. Sama-sama belajar. Sama-sama dapat biasiswa/ pinjaman. Apabila ada yang tidak bertanggungjawab begini, semua akan menanggung akibatnya. Moga-moga, kita tidak tergolong dalam lingkungan manusia yang sebegitu, insya-ALLAH.


  • Pinjam barang kita, tidak gunakan dengan baik sampai rosak. Paling parah, ada yang buat harta sendiri terus. Pun parah... sudahlah pinjam, tidak beritahu pula.
Foto : Sekadar gambar hiasan.


Oleh sebab masing-masing tidak mahu berpakat beli barang asas rumah, kita pun dengan sukarela (bukan sukahati) membelinya. Pindah nanti, boleh angkat sekali. Namun sayang, beli iron tidak sampai sebulan... rosak. Sebabnya, orang terakhir guna letak atas plastik. Jadi, macam mana? Hendak beli... pakai seorang diri... simpan dalam almari, macam melampau sangat. Akan tetapi apabila tidak berkira, orang lain tidak peka. Tidak banyak orang yang menjaga barang orang lain macam barang dia sendiri.


  • Tidak mahu jaga kebersihan.


Satu bilik, kongsi dua orang. Apa perasaan kita kalau rakan sebilik kita itu tidak suka mengemas tempat tidur? Bajunya pula berlonggok di tepi katil. Di dapur... masing-masing mahu guna pinggan, gelas dan cawan. Masak maggi. Makan nasi. Buat air tetapi pinggan dan gelas tidak mahu basuh. Sampah di dalam tong? Hmm... selagi tidak berbau atau berulat, tidak ada siapa yang mahu membuangnya. Sakit jiwa raga juga dibuatnya.  Jadi, jalan yang paling baik ialah dengan membuat jadual. 

  • Jadual sapu sampah.
  • Jadual buang sampah.
  • Kalau ada jadual memasak lagi bagus.
  • Jadual blablabla...

Namun!

Masalah lain timbul pula. Jadual tidak diikuti. Jadi? Ah! Stres tahap lima.


  • Bawa lelaki (bukan muhrim ke dalam rumah).

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Satu barah juga. Semuanya bergantung pada iman dalam diri. Ada iman, terhindarlah maksiat. Iman melayang, maruah pun tergadai, Nauzubillah.

Teringat pula Muthiah akan satu kisah sewaktu Muthiah bekerja sambilan sebaik sahaja selesai menduduki peperiksaan SPM. Muthiah bekerja pun saja-saja, di samping untuk belanja yuran kelas komputer. Hendak dijadikan cerita, Abang D (seorang pemain bola sepak) telah ditangkap khalwat. Riuh juga satu Malaysia ketika itu. 

Abang D yang Muthiah kenal, sangat baik. Semacam tidak percaya. Muthiah yakin Abang D tidak bersalah!

Sewaktu Abang D datang membeli barang di kedai (tempat Muthiah bekerja), sahabat Muthiah, Kak N bertanya kepadanya tentang apa yang berlaku.

"Bukan Abang D. Polan tu yang buat balik betina di rumah. Betina tu bawa kawan dia pula. Abang D tengah tidur dalam bilik. Tak sedar pun bila dia bawa masuk mereka. Polan tu, dengan awek dia duduk dalam bilik lain. Kawan awek dia, tidur dekat ruang tamu..." beritahu Abang D panjang lebar.

Muthiah dan Kak N mengangguk-angguk.

"Dah tu, tak akan Abang D biarkan saja?" soal Kak N sungguh-sungguh.

Abang D menghembus nafas perlahan.

"Itulah. Mujur tunang Abang D percayakan Abang D. Abang D cakap dekat pegawai pejabat agama tu. Abang D tak bersalah. Dia cakap, sebab duduk sebumbung, Abang D kira bersubahat. Abang D pun balas, kalau macam tu, tangkap semua oranglah dalam flat ni. Kita semua kan duduk sebumbung."

Muthiah dan Kak N terkesima. Namun kemudian, kami semua sama-sama tertawa. 

Apa lagi ya? 

  • ______________
  • ______________
  • ______________

Muthiah... tidaklah sampai mengalami pengalaman 'terlampau parah' ketika duduk di rumah sewa.

  • Paling teruk, rakan sebilik merokok. Aduh.
  • Parah juga, duit selalu hilang.
  • Yang tidak menyenangkan hati, kena marah dan tengking. 

Namun apabila difikir balik...

Inilah kehidupan. Cabaran dalam hidup menjadikan kita lebih kental. Hendak tidak hendak, kita terpaksa berusaha keras mendepaninya. Tanpa sedar, menjadikan kita lebih akrab dengan TUHAN. 

Okey. Moga dapat mengambil manfaat daripadanya.

Sukarnya memberi maaf

Assalammualaikum, semua. Mulakan harimu dengan zikrullah dan istighfar. Moga-moga ALLAH ampun segala dosa. Moga-moga diri terpelihara daripada kemurkaan-NYA, insya-ALLAH. Amiin.



Foto : Sekadar gambar hiasan

Satu malam, Muthiah berborak-borak dengan suami (Muthiah ubah sedikit perbualan sebenar dengan yang dikongsi di sini)...

....
....

"Banyak yang berkecil hati dengan dia," suami memberitahu. Dia di sini merujuk kepada kenalan dekat kami.

Muthiah mengangguk-angguk. 

"Habis tu, dia mengata apa pada Polan binti Polan?" soal Muthiah ingin tahu.

Suami menjungkit bahu.

"Entah."

Muthiah pun menyambung, "Kalau ada orang mengata Muthiah, Muthiah tak nak tahu siapa yang mengata... apa yang dikata. Kalau ada yang hendak minta maaf dengan Muthiah sebab itu, Muthiah hendak tahu dulu, kenapa dia nak minta maaf."

...
...

Pstt... adakah perbualan di atas dikategorikan sebagai mengata atau mengumpat?

Apa yang Muthiah faham. Mengumpat ni, apabila kita berkata sesuatu tentang seseorang, sekiranya dia mendengar apa yang kita cakap, dia tidak suka dan tidak redha.

FULL STOP!

Bukan Muthiah tidak tahu...
  • Tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini yang sempurna. Muthiah juga tidak terkecuali.
  • Kita keras hati untuk memberi maaf tetapi mahukah kita... andai kaki kita yang berada di dalam kasut si pembuat salah itu? Kita mengata... orang yang kita kata tidak mahu memaafkan kita. Pasti hidup tidak aman dan tenteram, bukan? Katanya pula, "See you at Padang Mahsyar!" Oh, tidak... Jadi, apa yang mampu dikata?
  • Pernah dengar kata-kata ini ~ "Sedang Nabi ampunkan umat..."? Ya. Setelah futuh Mekah, Nabi SAW memaafkan mereka yang berbuat salah kepadanya. Ah! Kita bukan Nabi yang hebat. Namun, tidak mahukah kita mencontohi Nabi?
  • Orang yang memaafkan... mudah berlapang dada, hatinya lebih tenang dan gembira, insya-ALLAH. Kita boleh melupuskan kata-kata nista orang terhadap kita. Tidak payah menyerabutkan kotak minda. Biar otak penuh dengan sesuatu yang positif serta baik-baik belaka. Boleh ke? Payah, bukan? Apapun, kembali kepada ALLAH. 
  • Orang yang mencari kekuatan memberi maaf dan berlapang dada, lebih hampir dengan TUHAN-nya. Macam mana? Dia sedih. Dia kecewa. Dia berasa rawan dengan tuduhan... fitnah... umpatan... syak wasangka tetapi dia lebih mahukan keredhaan TUHAN. Dia tahu, ALLAH bersama orang yang sabar. Dia tahu, ALLAH lebih arif akan segala sesuatu. Maka, dia merintih dan merayu kepada-NYA, memohon kekuatan.
  • Sekiranya ajal kita tiba... mahukah kita bawa sekali dendam kesumat itu bersama?
Banyak lagi sebenarnya namun dalam hal ini... membuatkan Muthiah sentiasa mengingatkan diri Muthiah sendiri.
  • Hindari daripada melakukan perkara yang boleh mengguris hati orang lain. Kalau sudah terbuat, hendak buat macam mana? Ingatkan diri sendiri lagi... dan lagi... dan lagi agar lebih berhati-hati.
  • Jangan mengata. Jangan mengumpat. Jangan mengeji. Jangan melampias kemarahan dengan mencari kelemahan orang lain. Huh! Banyak jangannya. Jangan ini adalah peringatan buat diri Muthiah sendiri.
  • Yuk, rendahkan hati dan jiwa. 
Persoalan :
  • Macam mana pula kesnya dengan orang yang dizalimi? Hendak biarkan sahaja si penzalim bebas sebebas-bebasnya? 
  • Orang mengata... memfitnah... mengaibkan kita. Berterusan pula melakukan perkara tersebut. Acap kali mengguris dan menyakitkan hati kita. Banyak yang memandang serong pada kita. Jadi, bagaimana?
  • Bagaimana dengan istilah 'Maaf bersyarat.' Boleh maafkan dengan syarat jangan buat lagi. Boleh maafkan dengan syarat bersihkan nama kita kembali?
Okey. Cukup setakat ini. Kita mungkin tidak mampu untuk menjadi yang terbaik tetapi tidak salah untuk mencuba jadi yang paling baik di sisi ALLAH. Setiap segala sesuatu...
  • Letakkan ALLAH dihadapan.
  • Demi menggapai redha dan keampunan-NYA.
Nota : Entri untuk direnung bersama. 

Syukur

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan perkara positif. Biasakan beristighfar dan berzikir dalam hati. Banyakkan menguntum senyum. Namun awas! Jangan salah senyum. Dikhuatiri mengundang fitnah dalam diri. 
Foto : Sekadar gambar hiasan

Okey. Sebelum Muthiah berceloteh panjang, Muthiah ingin mengucapkan SELAMAT TAHUN BAHARU buat sahabat-sahabat yang sudi bertandang ke teratak Muthiah yang tidak seberapa ini. Moga ada input positif yang diperolehi. Untuk pengetahuan, blog ini adalah tempat Muthiah menulis segala apa yang Muthiah suka. Paling penting... perihal perjalanan karier Muthiah selaku seorang penulis baharu yang masih belajar untuk menjadi seorang pengkarya berkualiti. Doakan ya. Insya-ALLAH, doa yang baik-baik itu akan kembali kepada kalian semula :)


Syukur...

Menurut pengertian dalam Kamus Dewan di talian, syukur membawa maksud terima kasih (kepada TUHAN); beruntung dll.

Persoalan buat diri kita sendiri;

  • Sejauh mana kita bersyukur dengan apa yang kita miliki?
  • Pernahkah kita mengeluh kerana tidak mendapat apa yang diingini?
  • Sejauh mana kita bermuhasabah setelah merungut itu dan ini?

Muthiah selalu ungkapkan pada suami, "Abe, ALLAH akan bagi apa yang kita perlu, kan? Bukan apa yang kita mahu?"

Pertama... 

Muthiah hendak sedapkan hati sendiri tatkala doa dan impian belum menjadi nyata. Walaupun hanya seungkap kata, ia mampu memberi ketenangan pada hati yang sedang rawan. 

  • ALLAH ada. 
  • ALLAH mendengar.
  •  ALLAH melihat. 
  • ALLAH-lah segalanya.

Kedua... 

Muthiah mahu menanam keyakinan dalam diri bahawa ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk kita. Iyalah. Kita selalu berkata, kita yakin pada ketentuan ALLAH. Kita cakap, kita bertawakal kepada-NYA. Namun dalam masa yang sama, acap kali juga kita berputus asa tatkala diuji TUHAN. Tidak salah untuk berasa sedih. Tidak salah juga untuk menangis ketika diduga tetapi usah sampai memudaratkan diri. 

Gusar.. khuatir benar Muthiah takut-takut tergelincir sendiri, tidak berada di atas landasan yang betul tatkala diuji. Tidak berdaya pula untuk bangkit kembali. Menanti menunggu huluran tangan yang bisa menarik Muthiah ke atas semula tetapi tangan itu tidak kunjung tiba. Buntu. Panik. Lost! 

Foto : Sekadar gambar hiasan
Sesungguhnya...

"Tidak AKU ujian seseorang sesuai dengan kesanggupannya..."

"Jangan kamu kata kamu beriman selagimana kamu belum diuji..."

Okey. Masa untuk ke dapur. Moga kan mendapat manfaat daripada perkongsian hari ini.

Doa

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? 

Muthiah... Alhamdulillah, selsema sudah baik. Batuk pula datang bertandang. Hajat di hati, hendak kembali menulis cerpen. Manuskrip? Insya-ALLAH, selesai urusan penempatan, barulah Muthiah kembali bekerja. Doakan ya.

Doa...



Al-Baqarah, 2:186

Menurut Kamus Dewan di talian, doa membawa maksud permintaan atau permohonan kepada TUHAN.

Setiap daripada kita pasti pernah memanjatkan berdoa. Paling tidak, sesudah solat. Tidak kiralah sama ada doa tersebut merupakan doa yang panjang... berdoa sedang jiwa melayang... doa yang pendek serta banyak lagi. 


** Pendek, panjang... ALLAH sahaja yang menilai **


Bolehkah dikatakan, orang yang tidak mahu berdoa adalah orang yang sombong dan angkuh terhadap TUHAN? ... sedang dia bukanlah siapa-siapa di atas muka bumi ini. Hendak mengangkat jari kelingking sendiri pun dia tidak akan mampu melainkan dengan izin ALLAH. Namun, tidak pula dia menyedarinya. Sungguh, manusia itu acap kali lupa, lalai dan alpa.

Persoalan untuk diri sendiri...


Foto : Sekadar gambar hiasan

Bilakah aku berdoa?
  1. Setiap masa.
  2. Selesai solat.
  3. Sebelum memulakan sesuatu perkara (makan, tidur, naik kereta, menulis).
  4. Ketika ditimpa musibah. 
  5. Ketika gembira.
  6. Sewaktu sedang berhati walang.
  7. Pada waktu buntu.
  8. ____________
Muthiah terfikir sendiri...

"Banyaknya yang aku minta tetapi ....
  • solatku tidak khusyuk... 
  • amalku entah... 
  • hatiku tidak cukup bersih... 
  • sukar memberi maaf pada mereka yang mengguris... 
  • kebaikan yang aku lakukan untuk orang lain sedikit, 
(serta banyak lagi kelemahan diri)..."

Namun!

Selaku hamba ALLAH yang lemah, hendak tidak hendak... mahu tidak mahu, kita perlu kembali kepada DIA. Siapa lagi yang memakbulkan doa kecuali ALLAH? Apabila DIA katakan jadi, maka terjadilah segala sesuatu perkara. Yakin.. 

Foto : Sekadar gambar hiasan

** ALLAH bagi apa yang kita perlu... **

Malu...

Rasa malu kadang-kadang hadir dalam diri (padahal kena selalu rasa malu).
  • Malu berbuat dosa... 
  • Malu mengingkari suruhan-NYA..
Bukan tidak tahu bahkan arif benar...
  • Solatlah pada awal waktu. 
  • Hindari mengumpat, mengata dan memfitnah.
  • Pelihara aurat dan maruah diri.
  • Berkelahi, jangan sampai melampaui batas.
  • Membenci, biarlah kena pada tempatnya dan berpada-pada.
Akan tetapi, begitulah...

Kita acap kali lupa. Sering juga teralpa dengan nikmat-NYA. 

Al-Maidah, 5:118
  • Moga-moga, sentiasa hadir keinginan untuk bertaubat dalam diri... tidak tunggu sampai ajal menanti. 
  • Moga-moga, ALLAH ampun dosa dan diri tidak dihambat dengan kermurkaan-NYA.
  • Moga-moga, ALLAH memilih kita menjadi salah seorang hamba-NYA yang soleh solehah.
Huh! Panjanglah pula. Yang baik, contohi. Yang salah, hindari.

Salam sayang dan kemaafan daripada Muthiah buat semua.