Mencari Naurah (Bab 39)
Saturday, June 02, 2012
Novel | Mencari Naurah
DUDUK berseorangan
di hadapan komputer riba, menjadikan diriku buntu tidak tahu hendak buat apa.
Nasihat Azmar aku renungi. Mungkin ada benarnya. Tidak salah andai mahu menjadi
perigi yang mencari timba. Tidak menjadi satu dosa juga sekiranya aku mahu
meluah rasa. Aku bukannya hendak main-main atau suka-suka. Kalau boleh, aku
inginkan satu perhubungan yang pasti dengan si dia. Ya!!! Dia yang telah
mencuri hatiku.
Tanpa lengah, aku memasuki
laman borak Yahoo Messenger. ID Asyraf aku cari. Setelah mengklik dua kali pada
namanya, aku memulakan bicaraku. Kata-kata yang lahir jauh dari dalam hatiku.
Buzz...
Natasha
: Salam.
Natasha
: Maaf, kacau.
Natasha
: Saya tidak pasti sama ada saudara ada atau tidak tetapi saya perlu maklumkan
juga.
Natasha
: Saya tahu saya bukanlah sehebat Sayidatina Fatimah, Sayidatina Aisyah...
puteri bongsu serta isteri kesayangan Nabi Muhammad SAW.
Natasha
: Saya juga tidak semulia Sayidatina Khadijah, wanita yang banyak berkorban
untuk Rasulullah dan Islam.
Natasha
: Boleh jadi ini adalah Yahoo Messenger terakhir saya buat saudara.
Natasha
: Saya rasa HATI saya ‘SAKIT’ disebabkan oleh saudara.
Natasha
: Mohon pengertian...
Natasha
: Wassalam.
Shinichi
: Wassalam.
Argh,
rupanya dia ada. Aku segera keluar daripada Yahoo Messenger. Malu rasanya
membuat luahan itu tetapi aku benar-benar tekad. Aku tidak mampu mengawal hati
dan perasaanku lagi. Biarlah apa Asyraf mahu fikir. Perempuan gedik, gatal...
Tidak
mungkin darjatku jatuh di sisi ALLAH kerana meluahkan perasaan itu. Bukankah
redha ALLAH yang aku cari? Sekiranya aku terus membiarkan perasaanku bergelora,
hatiku akan berlanjutan berkecamuk.
Akibatnya,
ketenangan yang kucari tidak kunjung tiba. Bila mana hati tidak tenang, fokus
juga terganggu. Jasadku ada tetapi hatiku melayang jauh entah ke mana.
Moga-moga jalan yang kupilih ini adalah yang paling tepat aku lakukan.
‘Tidak,
Natasha!’ hatiku menjerit sendiri. Ianya bukanlah jalan yang terbaik. Lebih
elok jika menggunakan orang tengah.
Betul,
tetapi siapa? Anuar? Dia
bukanlah orang tengah yang selayaknya. Kak Rose? Kak Rose juga tidak sesuai
menjadi perantara di antara kami. Anuar menyukaiku manakala Kak Rose menyintai
Asyraf dalam diam.
‘Mahu
cari penyakit?’ kataku lagi... sendiri.
Entahlah,
kebuntuan diri menyebabkan aku membuat keputusan tanpa pertimbangan akal yang
waras. Astaghfirullah... aku tidak mampu untuk berpatah balik kerana tindakanku
lebih pantas daripada pemikiranku.
Aku
segera ke dapur. Azmar begitu asyik menikmati
Maggi yang baru dimasaknya.
“Nak
ke?” tegur Azmar.
“Tidak
apa. Tidak ada selera,” jawabku ikhlas. Mana mungkin aku punya selera sedangkan
aku telah tersilap langkah.
Azmar
ketawa. “Ajak-ajak Doraemon sahaja,” katanya sambil tersenyum.
Aku
menjelirkan lidahku. Peti sejuk kubuka perlahan. Mana ya? “Azmar, mana coklat M&M saya?” soalku
pendek.
“Tidak
ada?” Azmar bertanya kembali lantas berjalan ke arahku.
“Ya,
tidak ada.” Aku diam seketika. “Eh, lupa. Semalam Asha dah habiskan... maaf,”
aku tersenyum sumbing.
“Angau
betul. Asha lapar?” Azmar memandang tepat anak mataku.
“Laparlah
juga,” jawabku pendek.
“Makanlah
roti. Ada di bawah tudung saji tu.” Azmar menyarankan. “Saya punya. Ambillah,”
tambahnya lagi.
“Baiklah,
terima kasih,” ucapku. Roti High5 itu segera kuambil. “Masuk bilik dahulu,” aku
berkata kepadanya.
“Okey..
mesti nak tengok e-mel,” serkap Azmar.
“Hehe.
Biarlah rahsia,” kataku sambil tersenyum. Aku
meninggalkan Azmar lalu masuk ke dalam kamar.
AKU membuka laptopku dan terus membuka YM. Aku
sekadar mahu melihat balasan Asyraf, jika ada. Hampa, tiada mesej luar talian
yang diterima.
‘Ya,
ALLAH. Berilah aku kekuatan,’ bisik hatiku.
Asyraf
diam seribu bahasa. Aku malu sendiri. Aku benar-benar malu dengan kegopohanku.
‘Inilah
manusia yang sentiasa mahu cepat dan tergesa-gesa,’ aku cuba menenangkan diri.
Aku
segera menutup komputer ribaku dan berbaring perlahan-lahan di atas gebar
berjenama Narita. Mulutku tidak henti-henti memohon ampun daripada ALLAH atas
keterlanjuranku. Entahlah, aku merasakan bahawa aku telah melakukan beberapa
kesalahan. Salah kerana :
1)
Tergesa-gesa;
2)
Tidak sabar;
3)
Tidak dapat mengawal hati;
4)
Aku kira, aku melakukannya bukan atas dasar iman meskipun jiwaku berkata
sedemikian. Aku tidak ikhlas dengan tindakanku.
‘Astaghfirullah.
Ya, ALLAH...’
~bersambung~