Showing posts with label Diari hatiku. Show all posts
Showing posts with label Diari hatiku. Show all posts

Kembali...

Assalammualaikum.

Setelah sekian lama, akhirnya kembali mengemaskini blog. Bukan setakat blog yang bersawang, manuskrip pun tidak dipandang langsung. 'Hutang' dengan editor masih belum dibayar. Janji tinggal janji. Seribu alasan diberi padahal, bukan empunya diri tidak mengetahui, "Hendak seribu daya, tidak mahu seribu dalih." Namun sungguh! Masa betul-betul mencemburui. Bukan tidak merindui tetapi itulah... kita hanya mampu merancang, ALLAH jua sebaik-baik Perencana.

Menyingkap kenangan...

20 April 2013

Sumber foto : Puan Rojanah Kahar

Menghadiri Mesyuarat Permulaan penubuhan Koperasi Kolej Islam yang berlangsung di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang. Disusuli dengan mesyuarat lanjutan penubuhan.

21 April - 2 Mei 2013


Mengutip pengalaman berharga; melihat sendiri perjalanan PRU di Malaysia, di Putrajaya khususnya. 

2 - 5 Mei 2013


Lagi pengalaman berharga PRU, bersama calon Dun Langkap, Setiu.

Selesai satu urusan. Sambung menulis! Yeah...


Sumber foto : Google Image

Berusaha keras memperbaik manuskrip yang diminta editor. Ah, tertekan! Hati kosong tatkala membaca manuskrip sendiri. Jiwa tidak dapat hadir di dalam cerita yang dihasilkan. Perjalanan kerja terasa lambat. Ikut hati, mahu berundur di sini. Apa kata buat perkara lain dahulu? Namun memikirkan masa dan tenaga yang telah dicurahkan sebelum ini, terus kuatkan semangat untuk berjalan ke hadapan. Cepat lambat nombor dua. Janji siap dan puas hati, insya-ALLAH.

12 Mei 2013

Menghadiri majlis perkahwinan rakan penulis, Iffa Zalia. Moga berbahagia sampai syurga, insya-ALLAH.

14 - 21 Mei 2013


Setelah sekian lama, menengok semula buku sewaktu belajar di kampus dahulu. Untuk apa? Mengutip pengalaman berharga. Terima kasih buat seseorang yang telah 'membuang' Muthiah ke dalam lombong bijih timah yang terdapat kapal karam di dasarnya. 

23 Mei 2013

Sumber foto : Siew Siew Chin

Menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya. Mewakil adik yang tidak dapat hadir. Tahniah daripada kakak!

24 - 25 Mei 2013


Menghadiri Hari Keluarga ALKIS '13 di Hotel Primula, Kuala Terengganu. Seronok walau memenatkan. Antara aktiviti yang dijalankan ialah Majlis Makan Malam ALKIS, sukaneka serta menyelam di Pulau Kapas. Oh, tidak! Muthiah 'gayat' laut.

26 Mei 2013


Tahniah! Perjalanan baru sahaja bermula. Masih banyak yang perlu ditempuhi. Ingat ALLAH sentiasa dan teruskan berusaha sampai berjaya. Semoga sukses di dunia dan akhirat!

28 Mei 2013


Ehem-ehem...

Selesai babak pertama. Bila hendak fokus menulis ni? Insya-ALLAH... akan cuba bersungguh-sungguh!

Reminder...

29 Mei 2013 - Meraikan ehem-ehem lagi.
30 Mei 2013 - Ke Pusat Dokumentasi Dewan Bahasa dan Pustaka (hantar buku, beb!)
1 Jun 2013 - Hari Keluarga Jalan Arked 5/3.
6 Jun 2013 - Mesyuarat Agung Tahunan LEPAS di Perak.
14 Jun 2013 - Majlis pertunangan anak sahabat.


Okey. Tiba waktunya Muthiah perlu cari masa mengemaskini blog dan menyudahkan manuskrip dengan bersungguh-sungguh. Mulakan pada hari ini! Sekian, terima kasih.

Muthiah : Impian dan cita-cita satu perkara. Hubungan sesama manusia usah dilupa! (Peringatan buat diri sendiri).

Andai tak mahu disakiti

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. 


Foto : Sekadar gambar hiasan.

PRU, oh PRU...

Bahang PRU sudah pun terasa. Banyak orang bercakap tentangnya. Ada yang berhalus bahasanya (ini yang kita mahu) namun ada juga yang menyakitkan hati dan mata (ini kita tak nak). Fitnah pun bermaharajalela. Ingat, sahabat-sahabat yang Muthiah sayang. Jangan sampai kita menjadi salah seorang agen penyebar cerita aib (ini kita tak nak) tersebut. Mungkin dengan tindakan kita itu membuatkan orang percaya namun usah dilupa, ALLAH MAHA TELITI PENGHITUNGAN-NYA. 1000 orang yang view fitnah yang kita sebarkan. Hmm...

Apapun, Muthiah berharap PRU kali ini tidak sampai menjejaskan hubungan kekeluargaan dan persahabatan. 

Okey. Hari ini,  Muthiah tidak berhajat untuk berbicara tentang PRU. Masa suntuk untuk menulis panjang lebar.

Jadi, hendak tulis apa, ya? 

Muthiah pernah terbaca, "Lidah ini, lebih tajam dari mata pedang." Kalau dalam konteks sekarang, Muthiah kira boleh dimasukkan sekali, "Mata pena ini, lebih tajam dari mata pedang." Kita kan banyak berkomunikasi di Facebook, Tweeter, blog, WhatsApp, WeChat, Tango, Skype dll?

Maka...

Berbicaralah dengan baik dan elok-elok. Jangan sampai mengguris hati orang lain. Semak balik. Ingat semula. Apa yang kita cakap atau coretkan. Letakkan diri kita di tempat orang yang kita sedang berlawan bicara. Terasakah mereka apabila kita berkata sedemikian? Serius! Tengok semula. Muthiah pun sama. Kalau dah terbuat, istighfar. Tidak ada manusia yang sempurna namun janganlah kita ulangi.

Peringatan buat diri sendiri...

  • Kalau tidak mahu terguris (hati), hindari mengguris hati orang lain.
  • Kalau tidak mahu orang mengata dan mencela, hindari mengumpat dan mencela orang lain.
  • Kalau tidak mahu diserang (mulut, fizikal, mata pena), hindari menyerang orang lain dengan kata-kata kita yang menyakitkan jiwa.
  • Kalau kita tidak mahu orang bersangka-sangka, hindari syak wasangka.
  • ______________________________ (banyak lagi)
Sekadar cerita...

A berkata, "Hisy, pendeknya B."
Tersentap dengan kata-kata A, B pun membalas, "A pun pendek, tak sedar diri."
Kawan B, C menokok, "A dahlah pendek, hitam pula."
D datang lalu berkata, "Bukan setakat pendek dan hitam tetapi hodoh pula."
A pun walang hatinya....

Siapa yang harus dipersalahkan?
  • A? @ B? @ C? @ D?
  • Semua salah 
  • A memulakan.
  • B membalas. Sewajarnya B lebih sabar. Bercakap yang baik-baik. Jangan jadikan diri sama dengan A yang tidak berhalus dalam berkata-kata. ALLAH kan ada. Lagipun, tak baik menghina.
  • C dan D tumpang sekaki. Sewajarnya C dan D menjadi orang tengah yang menjernihkan keadaan.
Nota : Kisah adalah rekaan semata-mata.Jika baik, jadikan panduan. Jika sebaliknya, anggap sahaja cerita santai pada waktu pagi. 

Fikir dan renung...

Tidak ada manusia yang sempurna

Assalammualaikum. Apa khabar? Moga hidup kita semua dirahmati ALLAH selalu. 

Foto : Sekadar gambar hiasan.

Sesungguhnya, tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini yang sempurna. Kita tidak terkecuali. Jadi, belajarlah...

  • Menerima kelemahan orang lain sebagaimana kita mahu orang lain menerima kelemahan kita.
  • Dalam masa yang sama, rendahkan keegoan diri, belajar daripada orang lain yang lebih tahu daripada kita. Teringat kata ayah Muthiah satu ketika dahulu. "Kalau kita tidak tahu, kita berusaha untuk mencari jawapan kepada segala sesuatu yang kita tidak tahu itu, kita akan BODOH sekejap sahaja. Namun sekiranya kita tidak tahu, tidak mahu ambil tahu (dek rasa ego dalam diri; orang menerangkan, kita katup telinga rapat-rapat), kita akan BODOH selamanya." 
  • Jangan dilupa. Dalam pada kita tahu manusia itu tidak sempurna, tidak bermakna kita boleh berterusan melakukan kesalahan yang sama. Jadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pegangan, insya-ALLAH kita akan selamat walau dicampak ke corok mana sekalipun.
  • Apabila sedar kita telah berbuat salah, cepatlah kembali kepada-NYA. Mohon ampun, sesungguhnya ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.
  • Jadikan doa sebagai teman karib. Doa agar ALLAH tunjuki kita jalan yang benar... jalan yang dipilih oleh orang-orang benar... jalan yang tidak menyebabkan kita menjauh daripada ALLAH. 
Okey. Perkongsian ringkas hari ini. Moga dapat direnungkan bersama dengan HATI TERBUKA.

Coret petang...

Assalammualaikum...

Akhirnya, selesai kerja untuk hari ini. Alhamdulillah...

Coretan petang ini...



Lama tidak mempromosi buku sendiri. Bukan apa. Agak sibuk mengejar cita-cita sendiri. Doakan sukses tanpa mengabaikan hak ALLAH, suami, diri sendiri, keluarga dan orang di sekeliling ya.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan buku-buku Muthiah, boleh e-mel xpdcsolehah99@gmail.com. 

Promosi : Harga buku termasuk termasuk kos penghantaran.

Mencari Naurah RM17.00
Ayah, Amir nak masuk U! RM12.90
Ayah, Amir nak jadi doktor! RM12.90
Air Mata Siti Hajar RM22.00
Antologi Orang Berdosa RM14.00
Kawan Baru FB RM22.00
Powerpuff Girls Mama RM22.00


Pesta Buku Antarabangsa bakal berlangsung. Jangan lepaskan peluang untuk hadir ke sana. Yeah!


Sudah semak daftar mengundi? Moga kita memilih parti yang mendatangkan kebaikan kepada semua orang. 
  • TOLAK KEZALIMAN.
  • TOLAK FITNAH.
  • TOLAK LUCAH.
  • TOLAK RASUAH.
  • TOLAK BUNUH.
  • TOLAK SALAHGUNA KUASA.
  • TOLAK KRONI.
  • TOLAK YANG TIDAK MEMARTABKAN AGAMA ISLAM.
Sekiranya Barisan Nasional dilihat mempunyai ciri-ciri di atas, jom pangkah BN. Namun sekiranya Pakatan Rakyat mempunyai ciri-ciri yang disebut, ayuh sokong PR.

Khusyuklah dalam solat. Mohon ALLAH tunjuk jalan yang diredhai-NYA.

Okey. Masa untuk masak. Moga akhlak kita menjadi lebih baik daripada sebelumnya.

Muhasabah AKU...

Assalammualaikum. Akhirnya... dapat juga Muthiah mencuri masa mengemaskini blog hari ini. Hendak tulis apa ya? Lama tidak mencoret, terasa kaku pula. Apa kata Muthiah mulai dengan muhasabah diri...

Foto : Sekadar gambar hiasan

  1. Solat fardu kita - adakah pada awal waktu?
  2. Tadarus/ tadabur al-Quran - sejauh mana kita mencuri masa untuk itu?
  3. Al-Mathurat - ada baca?
  4. Solat sunat Dhuha - buat atau tidak atau masa tidak mengizinkan?
  5. Sunat sunat Witir - yuk. Dua rakaan sahaja. Jom mula.
  6. Sunat sunat Tahajud - kalau tak mampu buat hari-hari, kita buat sedaya yang mungkin.
  7. Mulut kita - sejauh mana kita menghidari diri daripada mengata, mengumpat atau memfitnah? Tidak kurang juga menyebar fitnah, nauzubillah.
  8. Peranan seorang isteri - adakah kita menunaikan hak suami kita? Sejauh mana kita berusaha keras untuk menjaga hatinya?
  9. Peranan seorang anak - sejauh mana kita menunaikan hak ibu ayah kita? Jangan lupa doakan mereka.
  10. Peranan seorang hamba ALLAH @khalifah - yuk. Sampaikan walau satu ayat. Hindari berkata sesuatu yang bisa mengguris hati insan lain. 
  11. Masak - aik. Ada juga? Para isteri yang berkesempatan... jom kita masak sendiri untuk suami kita.
  12. Menghafal al-Quran - apa kata kita melazimi diri menghafal ayat-ayat ALLAH. Jom kita cari masa nak?
  13. Amal surat Yasin dan Al-Mulk - macam waktu sekolah dahulu.
  14. Komited dengan kerja - Ya! Kerja sungguh-sungguh. Beribadah pun sungguh-sungguh. ALLAH tidak akan ubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri berusaha mengubahnya.
  15. Sabar @bertenang menghadapi kerenah manusia - Tidak ada seorang insan pun di atas muka bumi ini yang sempurna. Kita pun sama. Jom kita latih diri. Banyakkan bersabar. Namun jangan sampai kena pijak. Sabar di sini luas. Apabila diuji dengan sikap manusia, kita dekatkan diri dengan ALLAH. Kita mengadu dengan ALLAH. Kita mengharap pada ALLAH. 
  16. Berbicara hanya perkara yang baik @bermanfaat - Payah kan? Lebih-lebih lagi kita tergolong dalam golongan yang suka bergosip. Ops. Jom cuba.
  17. Berhati-hati dalam berbicara @menulis kata - Elak daripada berkata-kata @menulis sesuatu yang tidak elok. Apabila hati kuat hendak menyebut/ menulis juga, istighfar banyak-banyak. Lagipun, takut bicara itu bisa mengguris hati orang lain. Kita tidak mahu disakiti, maka terlebih dahulu kita perlu berusaha agar tidak menyakiti. Kalau tidak... Sesungguhnya ALLAH Maha Teliti.
  18. Bersangka baik - cuba tanam dalam hati. Kalau ada rasa something wrong somewhere, cari jawapan daripada membiarkan persangkaan buruk itu meraja di dalam jiwa.
Okey. Cukup untuk hari ini. Boleh jadi sebagai mukadimah peringatan @muhasabah  untuk diri Muthiah sendiri.

Jom kita berusaha menjadi lebih baik, insya-ALLAH. 

Jom jadi yang terbaik di sisi ALLAH...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Sihat. Hmm... hendak tulis apa, ya? Rasa tidak ada mood pula. Eh, silap. Bukan tidak ada mood tetapi ketandusan idea. Hendak buat blog pun blank... menulis sesuatu yang berat apatalah lagi. Moga ALLAH beri ilham untuk menulis. Namun dalam masa yang sama, kenalah usaha dan tidak berputus asa,bukan?

Sudah lama Muthiah terfikir tentang senarai pengislahan diri ini. Hendak tulis dalam diari, tidak tulis-tulis. Apa kata kita senaraikan perkara yang boleh...

  • mendekatkan kita dengan ALLAH.
  • menghindarkan diri kita daripada murka ALLAH.
  • menjadikan kita insan yang bahagia di dunia dan akhirat.
Aku ingin jadi hamba terbaik di sisi ALLAH, insya-ALLAH... Amiin.


Foto : Sekadar gambar hiasan.
  • Solat pada awal waktu.
  • Membaca al-Quran - minimum 1 muka surat sesudah solat waktu.
  • Solat sunat Dhuha.
  • Solat sunat Witir.
  • Solat sunat Tahajud.
  • Tidak mengumpat/ mengata/ memfitnah.
  • Tidak cemburu/ bersangka-sangka.
  • Berusaha untuk tidak menyakiti hati sesiapa (suami dan ibu bapa khususnya).
  • Tidak berputus asa dalam berusaha dan berdoa.
  • Mulai setiap aktiviti dengan doa.
  • Memelihara aurat.
  • Banyakkan bersedekah/ berinfak. 
Okey. Cukup setakat ini. Nanti sambung lagi, insya-ALLAH.

Catatan perjalanan

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Muthiah... senyum sokmo. Tanam diri dengan semangat waja. Meskipun ada perencanaan yang tidak berlangsung seperti yang dirancang... usaha lagi! Usah sekali-kali berputus asa. Buatlah yang terbaik selagi daya. ALLAH kan ada :)

Tiga hari tidak mengemaskini blog. Ehe...

Jumaat lepas, Muthiah ke Kuala Lumpur. Bertolak dari Stesen KTM Ipoh naik ETS jam 7.05 pagi. Tambang ETS pula ialah RM35.00. Balik pula, Muthiah menumpang kereta seorang teman yang pernah belajar bersama di Universiti Malaya. Muthiah sampai rumah dalam jam 10.00 malam. Terima kasih, Ustaz dan isteri.

Sabtunya pula... hajat di hati, hendak masuk pejabat. Mengganti masa kerja yang diambil pada Jumaatnya. Alih-alih, buat operasi rumah fasa satu. Kemudian, ke Pasar Besar Ipoh dan Mydin. Petangnya, buat kek coklat kukus pula. 



Alhamdulillah. Kek ini menjadi. Tidak melekat pada bekas. Rasa pun lembut. Cuma rasa coklatnya tidak menepati selera Muthiah (tetapi makan juga). Insya-ALLAH, nanti mahu cari serbuk koko yang lain, yeah!

Ahad... Perancangan hari ini berlangsung seperti yang direncana. Mahu hantar bekas (pinggan) jiran -> BERJAYA. Balas dengan mi goreng, keropok dan kek kukus. Sampai Mak Lela cakap, "Lain kali, Mak Lela bagi lima bekaslah. Boleh dapat banyak lagi." Hahaha....

Apa yang Muthiah merapu ni? Maaflah jika tidak ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan dari blog Muthiah hari ini. Namun! Sekiranya dilihat dari sisi positif, insya-ALLAH ada manfaatnya. Antaranya...

Bertukar-tukar makanan dengan tetangga sedikit sebanyak dapat merapatkan ukhwah walau kita dan jiran tersebut tidaklah akrab pun.

Okey. Muthiah hendak masuk pejabat dulu. Caiyok!

Kisah di Mahkamah Syariah

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Moga hidup kita dirahmati ALLAH selalu. Yuk... kita mungkin tidak mampu untuk menjadi yang terbaik, tetapi kita tetap paling baik dalam usaha menjadi yang baik-baik. Apa punya ayat daaa...


Selasa lepas, Muthiah ke Mahkamah Syariah atas urusan tertentu. Alhamdulillah, selesai urusan seperti yang direncana. Insya-ALLAH, Isnin ini mula bicara kes. Satu peristiwa yang menyebabkan Muthiah dan suami tersenyum sendiri...

Muthiah : Jadi Isnin ini, saya perlu datang dengan siapa?
Petugas : Boleh datang dengan ibu.

Dahi Muthiah berkerut. Ibu?

Muthiah : Ibu saya sudah meninggal dunia.
Petugas : Jadi, datang seoranglah.

Kenapa Muthiah dan suami tersenyum penuh makna?

Sebab... bukankah urusan ini ada kaitan dengan arwah ibu Muthiah?

Moral daripada kisah di Mahkamah Syariah :

  • Tidak ada seorang manusia pun yang sempurna di atas muka bumi ini. Kadang-kadang bahkan acap kali kita terlepas pandang.
  • Senyum itu sedekah.
  • Kita mahu orang lain memahami kita namun sejauh mana kita cuba memahami orang lain?
  • Sabar itu mendekatkan seorang hamba dengan PENCIPTA.
Muthiah : Moga roh mama dicucuri rahmat.

Pasar Ramadhan

Assalammualaikum. Apa khabar? Bagaimana dengan ibadah puasa? 



  • Solat tarawih... buat?
  • Membaca al-Quran... buat?
  • Bangun sahur... walau hanya dengan segelas air dan sebiji kurma? 
  • Bersedekah... walau sepuluh sen?
  • Yang baik... benda baik... perkara baik... buat?



Moga-moga... daripada 100 hamba ALLAH yang berusaha menggandakan amalan pada bulan Ramadhan, kita merupakan salah seorang daripada mereka... insya-ALLAH, amin ^____^


Siapa pergi Pasar Ramadhan, ucap Alhamdulillah.



  • Berapa RM berhabis?
  • Ada lebihan makanan?
  • Over dose sampai tidak larat untuk ke surau, menunaikan solat tarawih berjemaah?



Ehe...


Seperti kebanyakan orang, Muthiah pun berkunjung ke Pasar Ramadhan.
Gambar daripada Pak Cik Google :)
Pada hari pertama, Muthiah, suami serta dua adik lelaki Muthiah berkunjung ke Pasar Ramadhan dekat Manjoi. Belilah apa yang ingin dimakan, bak kata suami. Dan... Muthiah beli sambal belacan RM1. Bagus tak? Suami hanya mampu menggeleng kepala. 


Pada hari kedua, Muthiah dan suami ke Pasar Ramadhan dekat hadapan stadium. Kali ini, ada peningkatan daripada makanan yang dibeli. Sekiranya pada hari pertama Muthiah habiskan sebanyak RM1, pada hari kedua pula Muthiah berbelanja sebanyak RM4. Namun, suami tetap mahu menggeleng. Kata suami, "Ini ke kuih untuk berbuka puasa?" Matanya tidak berkedip memandang ikan pekasam yang berada di dalam plastik. Muthiah hanya tersenyum seraya menjawab, "Banyak juga orang beli tetapi dia orang beli yang sudah siap dimasak. Muthiah tak beli yang tu sebab tengok minyak yang digunakan hitam legam. Mesti dah guna banyak kali."


Moral daripada kisah ini :



  • Lain orang, lain corak pemikirannya. Maka, selagimana tidak melanggar syarak, raikan dan hormatilah.
  • Elakkan pembaziran dalam bulan Ramadhan (bulan-bulan lain pun sama juga).
  • Yuk kita perbanyakkan amal... moga dapat mendekat kepada ALLAH. 

Okey. Ada dua amanah utama yang harus dilunasi hari ini; artikel paksi.net dan draf novel remaja. Doakan Muthiah dapat buat sebaiknya ya.


Salam Ramadhan buat semua :)

Salam Ramadhan

Assalammualaikum. Pejam celik, pejam celik... hari yang dinanti dan ditunggu kunjung tiba. Alhamdulillah... ALLAH memberi peluang untuk kita terus berada di sini, pada hari yang penuh barakah ini, insya-ALLAH.


Pada kesempatan ini, Muthiah ingin mengucapkan Salam Ramadhan buat sahabat-sahabat yang Muthiah kasihi fillah. Terima kasih kerana sudi menjengah teratak Muthiah ini... 
Terima kasih juga sebab sudi mendapatkan novel-novel Muthiah di pasaran. Walau sudah melepasi angka dua (tahun) berada dalam lapangan penulisan ini, tidak keterlaluan sekiranya Muthiah katakan yang "Saya budak baru belajar." Doakan Muthiah sukses ya :)


Bercakap pasal puasa... jom imbas semula...
1) Puasa (i)
2) Puasa (ii)

Yuk!
  • Niat puasa pada bulan Ramadhan usah dilupa. 
  • Solat tarawih.
  • Kita sama-sama menghidupkan malam Ramadhan dengan beribadah kepada-NYA.
  • Bangun sahur deh. Bak kata orang Ganu, "Kunci jam siap-siap."
  • Kurma pun jangan dilupa.
  • Hindari pembaziran. Ingatlah mereka yang serba kekurangan.
  • Ayuh kita banyakkan bersedekah.
  • Jom sama-sama kita perbanyakkan membaca al-Quran.
  • Yang baik... benda baik... perkara baik.
Moga-moga....
  • Moga-moga, bulan Ramadhan ini menjadi perintis buat kita untuk terus beramal (dengan amal soleh) kepada ALLAH pada bulan-bulan lain seterusnya. Pada bulan Ramadhan kita bersungguh-sungguh... selepas Ramadhan pun sama. Yeah!
  • Moga-moga, ALLAH pilih kita menjadi hamba-NYA yang sentiasa takut dengan dosa... segera bertaubat tatkala berbuat silap.
  • Moga-moga, penghujung hidup kita nanti adalah penghujung yang baik. 
Titipan Muthiah...

Maaf salah dan silap buat semua...

Salah dalam keterlanjuran bicara dan perilaku.
Silap dalam mencoret kata.
Salah dalam renungan dan pandangan mata.
Insya-ALLAH, mengumpat dan mengata tiada. Moga-moga...
(Sewajarnya pada bulan lain pun kita minta maaf juga kan apabila berbuat salah?)

Bagi teman-teman yang khuatir ada berbuat salah dengan Muthiah.

Ehe...
No worry.
Tidak mengata.
Tidak mengumpat.
Tidak sengaja menyakiti.
Tidak dan tidak.
Anda tidak ada 'hutang' dengan Muthiah.
Hahaha.... 

Okey. Jom kita manfaatkan ruang dan peluang yang ada untuk mendekatkan diri dengan DIA.

Berbuat baiklah

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah, baik-baik sahaja. Bengkel di Grup Buku Karangkraf bersama Buku Prima berlangsung sudah. Sekarang, masih bercuti. Lalalala...


Hmm... hendak coret apa, ya?
Sabtu lepas, Muthiah dan suami ke rumah pak cik Muthiah yang terletak di Presint 5, Putrajaya. Kami sampai di rumahnya dalam lingkungan jam 10.00 malam. 


Huh! Barang yang dibawa... penuh. Beg baju satu. Beg itu dua. Beg ini tiga. Bantal pun ada. Suami cakap, "Ni nak pergi KL ke, pergi umrah?" Amin... amin. Moga satu hari nanti dapatlah Muthiah menjejakkan kaki ke Mekah. Berhajat sangat.


Okey. Berbalik kepada cerita yang ingin Muthiah kongsikan...


Barang kami (sebenarnya, barang Muthiah) memang banyak. Sebaik sahaja hendak sampai ke lif, Muthiah nampak seorang lelaki berseluar pendek masuk ke dalam lif. Muthiah terus berjalan laju ke arah lif berkenaan. Lenguh hendak menunggu lif yang keseterusnya. Alhamdulillah, lelaki tersebut menunggu kami suami isteri. 


Sebaik sahaja Muthiah dan suami masuk ke dalam lif, lelaki tersebut bertanya, "Tingkat berapa?" 


Suami pun menjawab, "Empat." Beliau pun menekan butang tingkat empat buat kami. 


Sungguh... sekiranya hanya kami berdua, payah juga hendak menekan butang dengan barang yang banyak bangat.


Muthiah doakan agar lelaki tersebut dirahmati ALLAH selalu... berbahagia di dunia dan akhirat.
....
Pengajaran yang boleh diambil:
  • Apabila ALLAH hendak mempermudah urusan, DIA akan kirimkan sesiapa sahaja yang DIA kehendaki untuk membantu kita.
  • Buat baiklah sentiasa. Sekiranya tidak ada orang yang hendak melakukan kebaikan pada kita, yakinlah ALLAH ada memberi kebaikan.
Okey. Cukup setakat ini. Moga hidup kita semua ALLAH redha :)

Aduh tak suka!

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah, sihat dan berkondisi baik juga hari ini. Ada sesuatu bermain-main di fikiran tetapi biarkanlah. Serah sahaja pada ALLAH yang Maha Teliti, tidakkah itu yang terbaik?


Hmm... hari ini, Muthiah kena siapkan sinopsis untuk bengkel di Grup Buku esok. Setakat ini, idea belum datang lagi. Moga-moga ALLAH memberi ilham, insya-ALLAH, amin.


Okey. Jom baca Muthiah berceloteh, mana tahu ada manfaat yang boleh difikirkan bersama...



Hidup ini
bukan hanya untuk gembira
kadang-kadang diulit duka
adakala bibir tertawa
acap kali mengalir air mata
apapun fikir kita
inilah lumrah 
makhluk TUHAN 
yang bergelar manusia
............................................
Rabu lepas, Muthiah ke bank atas urusan tertentu. Suami balik sekejap pada waktu rehat tengah hari untuk menghantar Muthiah ke sana. Iyalah. Susah parkir kalau pergi sendiri. Sementera menunggu suami di tepi jalan hadapan rumah, Muthiah membaca mesej-mesej lama di telefon bimbit. Sedang asyik Muthiah membaca kiriman mesej tersebut, kedengaran satu suara menegur Muthiah.


"Assalammualaikum, mak cik," ucap dua orang budak sekolah rendah sambil tersenyum manis.


Setelah suami sampai, Muthiah pun menceritakan peristiwa dipanggi mak cik oleh budak sekolah tadi. Nampak tua sangat ke aku ni?


Di bank...


Sementara menanti pegawai di kaunter menyemak perkara yang berkaitan, Muthiah duduk di tempat menunggu. Seorang lelaki yang Muthiah kira merupakan pengawal keselamatan di situ menyapa Muthiah perlahan, "Banyak orang complaint pasal mesin ATM yang tak ada. Blablabla..." Muthiah mendengar sahaja. Kemudian, pengawal keselamatan tersebut bercerita pasal anak-anaknya pula. Berbangga benar dia kerana sudah memiliki empat orang cucu. Muthiah tetap menjadi pendengar setia.


Sebelum pekerja di kaunter memanggil Muthiah, pengawal keselamatan itu bertanya, "Belajar dekat mana?"


Selesai urusan di bank, Muthiah menceritakan kepada suami peristiwa dipanggil pelajar oleh pengawal keselamatan tadi. Nampak muda sangat ke aku ni?


Apabila kita yang berusia muda dipanggil mak cik/ pak cik, apa yang kita rasa?

  • Tidak rasa apa-apa. 
  • Biasa sahaja.
  • Terkejut. 
  • Sedih.
  • Tidak suka.
  • Marah.
  • Redha.
  • Pasrah.
  • ______________



Apabila kita yang tidak terlalu muda ini dipanggil adik @ pelajar, apa yang kita rasa?

  • Bangga.
  • Riak.
  • Biasa-biasa.
  • Entah.
  • Gembira. Rasa diri awet muda.
  • Marah.
  • Tidak merasa apa-apa.
  • __________________

Sebenarnya hidup ini, kita bukan setakat berhadapan dengan apa yang kita suka semata-mata. Ada kalanya, kita terpaksa menempuh sesuatu yang kita benci... marah... sakit hati dan pasti! Kita tidak akan dapat lari daripadanya. 

Tidak semua yang kita mahu kita dapat.
Tidak semua yang kita suka kita peroleh.

Kadang-kadang kita ketawa... acap kali juga kita mengalirkan air mata.

Ada yang tidak pernah berasa rawan? Pasti tiada, bukan?

Bezanya, adakah kita hanyut dalam rasa itu ataupun kita tidak mahu membiarkannya menyinggahi jiwa terlalu lama. Pi main jauh-jauh deh. Tepuk dada, tanya hati. Kitalah yang membuat pilihan. 

Jadi, bagaimana?

Hendak tidak hendak, kita perlu hadapinya..

Ingatlah, wahai hati...
Tidak salah untuk berasa gembira.
Tidak salah pun untuk berasa rawan.
Tidak salah juga untuk mengalirkan air mata.
Manalah tahu... rembesan tangis itu bisa mengendur resah di jiwa.

Ingatlah, wahai hati...
Ayuh kita tempuh hidup dengan kecekalan dan ketabahan. 
Kita sama sekali tidak sendiri.
ALLAH ada melihat, mendengar dan mengetahui.
Yuk dekatkan diri pada DIA yang Maha Teliti.

Oh, panjang pula rapunya. Apapun, jom fikir dan renung bersama...

Panggil aku 'Mek'

Assalammualaikum. Moga kita semua diredhai ALLAH sentiasa, insya-ALLAH... amin. 


Tanpa redha-NYA... nauzubillah, entah macam mana langkah hidup kita. Pasti serba-serbi tidak kena. Malang sekali sekiranya kita pun tidak menyedari kejauhan yang menerpa. Kita bahagia dengan kemaksiatan. Kita senang dengan kemungkaran tanpa berasa apa-apa. Ah! Kita sebenarnya telah tersilap memilih kebahagiaan. 


Moga ALLAH pelihara dan melindungi, insya-ALLAH... amin.


Hari ini sebelum masuk pejabat, Muthiah ingin berkongsi satu cerita. Jeng jeng jeng...


Baru-baru ini, Muthiah ke Kuala Lumpur (bersendirian) atas satu urusan penting. Jam 8.30 pagi, Muthiah menaiki ETS dari Ipoh sampai ke KL Sentral. Muthiah bertanya En. Suami, "Boleh tak nak pergi sana? Boleh tak nak pergi sini?" Iyalah. Bukan selalu boleh jalan-jalan macam ini. Zaman muda-muda dahulu, hampir seluruh pelusuk KL Muthiah jelajahi sampai diri terasa mahir dengan laluan bas RapidKL@Metro. Hahaha. 


Jawab suami, "Tak payah. Naik LRT sahaja. Sampai tempat dituju, jangan singgah mana-mana. Naik teksi. Kalau nak jalan-jalan, dalam KL Sentral sahaja." Dalam hati... 


Alhamdulillah, akhirnya kerja Muthiah pun beres. ALLAH permudah segala urusan. Mungkin kerana mendengar cakap tok laki. Kemudian, terlintas pula di benak Muthiah untuk ke Dewan Bahasa dan Pustaka. Maka dalam ragu-ragu, Muthiah bertanya kepada En. Suami, "Boleh tak nak ke DBP. Blablabla..." 


Suami balas, "Boleh tetapi..." 


Oh, tetapinya tetapi ada ^__^


Kelazimannya setiap kali menjengah ke DBP, Muthiah pasti akan mencari ruang menziarahi kawan-kawan arwah mama. Dari satu tingkat, ke satu tingkat Muthiah jelajahi. Iyalah. Bukannya selalu turun KL :)


Hendak dijadikan cerita...


Sewaktu menziarah salah seorang teman mama, ada seorang staf DBP berkata, "Bila cakap anak Mek, baru nampak macam muka Mek."


Dahi Muthiah berkerut lagi. Mek? Siapakah Mek? 


"Aunty, siapa Mek?" soal Muthiah pendek.


Teman arwah mama pun menjawab, "Mek adalah panggilan bagi arwah mama Liza."


Muthiah mengangguk-angguk. Oh, baru kutahu...


Selesai urusan di Kuala Lumpur, Muthiah terus balik ke Ipoh. Naik EST jam 5.35 petang. Alhamdulillah, sampai Ipoh pada pukul 8.00 malam. 


Dalam perjalanan balik ke rumah, Muthiah memberitahu suami, "Kawan-kawan mama panggil mama Mek..." Kata-kata Muthiah terhenti di situ. "Apa kata kalau Abe panggil Muthiah Mek untuk meneruskan legasi mama," tambah Muthiah lagi bersahaja.


Suami tercengang. Mujur tidak pitam. Tetiba????


Al-Fatihah untuk arwah mama, Zaharah Ibrahim <3




Ada pengajaran atau tidak daripada penceritaan ini? Jom kita cari.

  • Bagi yang telah kematian ibu atau ayah, teruslah bersilaturahmi dengan sahabat-sahabat mereka.
  • Doakan ibu ayah kita senantiasa.
  • Bersantunlah dengan kawan-kawan ibu ayah kita. 
  • Hargai ibu ayah kita selagi mereka masih ada.
  • Seorang isteri wajib taati suami selagimana arahannya tidak melanggar syarak.
Okey. Lewat sudah memulakan kerja. Moga mendapat manfaat daripadanya.

ALLAH lebih tahu

Assalammualaikum. Apa khabar? :) Agak terlewat mengemaskini blog. Ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan. Manuskrip pun tidak bersentuh lagi. Insya-ALLAH, selepas Zohor, masuk pejabat. Doakan Muthiah, ya. Selepas kemaskini blog, mahu berehat sekejap.


...




Diari hatiku 19 Jun 2012...


Hari ini, terdapat urusan di pejabat pos. Ada beberapa buah buku yang hendak kukirim kepada pembeli (Terima kasih daun keladi). Seperti biasa... setiap kali selepas menghidupkan enjin kereta, aku akan membaca ayat Qursi di samping beristighfar kepada ALLAH. Dalam masa yang sama, aku berdoa agar dipermudahkan perjalananku hari ini. Moga-moga, aku tidak dihon. Maklumlah, aku belum mahir memandu.


Alhamdulillah... doaku dimakbul ALLAH. Namun aduh... aku menerima surat saman memarkir tanpa menunjukkan kupon. Hatiku terdetik. Mungkin dek kerana aku tidak berdoa pada ALLAH tentang itu.


~ Memberi pengajaran kepadaku agar tidak memandang enteng pada peraturan~


Diari hatiku 25 Jun 2012...


Suami memintaku membuat sesuatu. Okey! Lagipun, aku sudah mendapat lesen penuh. Mahu juga meringankan kerja suamiku. Seperti biasa, setiap kali selepas enjin kereta dihidupkan... aku akan membaca ayat Qursi dan beristighfar. Doaku kepada-NYA agar hari ini aku tidak disaman polis atau majlis perbandaran. Aku juga tidak mahu dihon oleh kenderaan lain. Pasti! Aku mengharapkan ada tempat untuk memarkir kereta apabila aku sampai ke destinasi.


Alhamdulillah... aku tidak disaman. Tempat parkir pun ada. Namun, keretaku hampir dilanggar HILUX di hadapan simpang Ipoh Parade. Ketar kepala lututku. Pucat lesi wajahku. Mujur (dengan izin ALLAH), HILUX tersebut tidaklah laju dan tidak ada apa-apa yang berlaku.


~ Memberi pengajaran kepadaku agar tidak cuai dan lebih berhati-hati. Hukhukhuk...~


Diari hatiku 26 Jun 2012


Aku ke Klinik Kesihatan Greentown untuk rawatan (cuci) gigi. Maklumlah, sudah dua tahun aku tidak merawatnya. Seperti biasa... doa kubaca, istighfar kuucapkan. Moga ada tempat parkir buatku. Moga ALLAH pelihara aku daripada sebarang kemalangan dan kecelakaan (sementelah suamiku ada urusan di Taiping). Aku tidak mahu dihon! Walaupun nampak remeh (mungkin ya dan mungkin tidak), aku tetap percaya... dalam apa jua kondisi, aku memerlukan-NYA. Maka, aku berdoa kepada DIA.


Alhamdulillah... perjalanan hari ini dipermudahkan ALLAH. Aku selamat sampai ke rumah tanpa dihon atau terlibat dengan sebarang musibah. Cuma di klinik tadi, tempat parkirnya penuh! Akhirnya, aku memarkir keretaku di hospital yang letaknya tidak jauh dari klinik kesihatan.


Akan tetapi ALLAH izin... 


Aku yang pertama kali datang untuk membuat temujanji pemeriksaan gigi, dapat merawat (cuci) gigiku terus. Kata sang misi yang cantik manis, "Sepatutnya, hari ini temujanji sahaja." Entah kenapa doktor yang aku kira sebaya mamaku mahu melakukannya hari ini. Jawapannya mudah. Semuanya berlaku dengan izin ALLAH.


~Menjadikan aku berfikir bahawasanya ALLAH lebih tahu!~
....
  • Yuk... dekatkan diri dengan ALLAH. Banyakkan berdoa, merintih dan merayu kepadanya pada kala senang dan susah.
  • ALLAH beri yang kita perlu, bukan yang kita mahu.
  • Bersangka baik dengan ALLAH... setiap apa yang berlaku, pasti ada hikmahnya (Diri! Pegang ayat ini erat-erat).
  • Berhati-hati di jalan raya.
Ayuh bermuhasabah dalam menelusuri kehidupan..

Okey. Selamat bekerja buat semua <3