“ASSALAMMUALAIKUM,” Anuar memberi salam sebaik sahaja ternampak kelibat Asyraf di sudut kafeteria di bawah bangunan pejabatnya. |
“Waalaikumussalam. Apa khabar?” Asyraf menjawab sambil menghulurkan tangannya untuk berjabat.
“Alhamdulillah, sihat. Sedang berusaha mencapai misi dan visi. Ingat persatuan sahaja ada?” Anuar ketawa kecil. “Lama kita tak jumpa,” sambungnya lagi.
“Ya, betul. Aku tunggu keputusan penempatan keluar. Kemudian, masuk hospital.”
Tidak berkelip mata Asyraf memandang Anuar yang kelihatan semakin segak. Sedang bahagia, mungkin.“Engkau sakit?” Dahi Anuar berkerut.
“Hmm... takkan kau tak tahu. Sesungguhnya...” Asyraf seakan-akan mahu memulakan sesi tazkirah paginya. “Rukun persaudaraan Islam itu merangkumi kenal, faham dan tolong...” sambungnya sambil berpura-pura ketawa. “Hmm... apa misi kau, War. Hendak jadi ketua pengarah?” Dia mula bersoal siasat.
“Lagi hebat daripada itu,” Anuar hanya tersenyum penuh makna.
“Alhamdulillah. Apa, ya? Alahai, War. Dengan teman akrab sendiri pun mahu berahsia.” Asyraf mengerutkan dahinya. Tidak berpuas hati kononnya.
“Kalau beritahu, kejutan yang bakal mengejutkan satu dunia tidak akan menjadi. Lagipun, belum dapat lagi,” Anuar mula berbasa-basi. Dia tersenyum lagi.
Asyraf ketawa. “Rasanya aku sudah dapat agak.” Dia membulatkan matanya. “Kau dah jumpa buah hati yang berkenan di hati? Orang mana?” Cepat-cepat dia bertanya.
“Bijak, bijak. Boleh jadi Detektif Conan betul. Eh, silap. Jadi Shinichi Kudo. Sudah jumpa Ran? Atau sudah jatuh cinta dengan wanita berbaju hitam, Haibara?” Anuar masih berdalih-dalih. Dia begitu teruja untuk bercerita tetapi jiwanya tetap mahu berteka-teki. Sudah lama dia tidak menyakat anak emas Dato’ Ghazali ini.
“Apapun, selamat maju jaya.” Akhirnya Asyraf mengalah. Tidak kuasa untuk mengorek rahsia lagi.
“Asha, marilah bersarapan sama-sama,” jerit Anuar tiba-tiba.
‘Hah! Asha bekerja di sini? Bersama-sama Anuar atau...’ Kata Asyraf di dalam hatinya.
“Susah betul hendak petik bunga yang sekuntum ini. Nampaknya engkau pun tidak bernasib baik untuk makan bersamanya. Aku pun tidak pernah ada peluang. Eh, ada sekali. Itu pun kerana terpaksa meraikan aku,” Anuar bercerita panjang lebar.
“Jadi, misi dan visi penting kau adalah untuk memikat gadis sunti ini? Bijak, bijak. Selangkah menuju wawasan 2020.” Asyraf segera memalingkan kepalanya ke belakang. Lama benar tidak bertemu dengan Natasha. Terpaku! Terpaku dia melihat Natasha yang begitu ayu dengan baju kurung hijau yang dipakainya. Dia semakin manis dan menawan. ‘Astaghfirullah...’ bisik Asyraf di dalam hatinya.
“Insya-ALLAH, tetapi agak sukar nak memikat dia. Tidak pernah jalan. Aku pun buntu jadinya,” Anuar berkata sejujurnya.
“Macam mana engkau boleh bekerja satu pejabat dengan dia?” Asyraf menyoal lagi.
“Dah jodoh,” jawab Anuar sambil ketawa, menampaknya giginya yang tersusun rapi. “Gurau sahaja. Aku desak Rose... aku kata kat dia yang aku sekadar nak tahu tempat kerja Natasha. Mula-mula, Rose buat tidak endah tetapi apabila aku sudah terpacak di hadapan sekolah tempat dia mengajar, terus dia bongkarkan rahsia. Malu agaknya dengan tindakan aku yang di luar jangkaan. Hendak tidak hendak, terpaksalah dia buka mulut,” ceritanya.
“Hmm... engkau main kotor nampaknya,” kata Asyraf.
“Aku tak ada pilihan...” ujar Anuar. “Makanku tidak lalu, tidurku tidak lena, mandiku jua tidak basah.” Dia sempat bermadah.
“Banyaklah kau punya songeh, War.”
“Dengarlah dahulu. Dia eksekutif di jabatan sumber manusia. Apa lagi, aku pun cubalah hantar permohonan. Mungkin dia tidak perasan sampai aku boleh terlepas sehingga ke tahap ini...” Anuar tersenyum. “Sudah tentu! Dengan sokongan Tan Sri Muhammad, memudahkan aku untuk masuk ke sini. Lagipun, tidak ada siapa tahu yang Tan Sri adalah pak cik kesayangan aku...”
Asyraf tersenyum.
“Aku dapat PNGK 3.57 dengan MUET band 5. Jadi, apa yang kau fikir? Sepatutnya tidak akan ada masalah jika dilihat dari sudut kelayakan dan orang dalam,” tambah Anuar lagi. “Sewaktu pertama kali bersua muka, Natasha kelihatan terkejut. Walaupun demikian, aku tetap berpuas hati kerana dapat bekerja sebumbung dengannya... Satu hari nanti, tinggal sebumbung pula. Insya-ALLAH,” ujarnya nakal.
“Moga kau dapat yang paling baik dan paling sesuai pada pandangan ALLAH, War,” balas Asyraf.
“Kita ada masa 20 minit lagi. Ada apa-apa yang kau hendak kongsi dengan aku? Tentu banyak cerita, bukan?” Anuar bertanya pula.
“Tidak ada cerita yang menarik. Tunggu untuk praktikkan sahaja segala apa yang telah aku pelajari di kampus,” jawab Asyraf pendek.
“Kau minta hospital mana?” soal Anuar.
“Aku minta sekitar Kuala Lumpur dan Seremban.” Asyraf cuba berpaling ke belakang, namun kelibat Natasha sudah tidak kelihatan.
“Bila hendak kahwin? Sudah ada calon?”
“Aku serahkan pada jodoh.” Entah kenapa Asyraf hilang minat untuk berbicara soal itu.
“Selamat maju jaya untuk kau juga, Asyraf.”
“Insya-ALLAH,” kata Asyraf.
“Baiklah. Dah hampir pukul 9.00. Engkau pun kenal aku, bukan???”
“I’m Mr. Punctual. Ever and ever,” Anuar membulatkan matanya sambil tersenyum lebar.
“Okey.. Sampaikan salam aku pada Natasha. Assalammualaikum,” Asyraf menghulurkan tangan kepada Anuar.
“Waalaikumussalam.”
Mereka kemudiannya sama-sama menuju ke lif dan beredar dari kafeteria berkenaan.
~bersambung~