Showing posts with label Karya. Show all posts
Showing posts with label Karya. Show all posts

Si legam itu… menantuku


RATA-RATA jemputan yang berada di ruang solat Masjid Sungai Tong tercengang. Mata mereka membulat. Mulut pula ternganga luas hampir kesemuanya. Mujur tidak ada langau hijau, atau dalam Bahasa Inggeris dikenal juga sebagai green bottle fly berterbangan di situ.
Bukan apa. Takut ada yang tertelan nanti. Silap hari bulan, boleh masuk unit rawatan rapi. Tidak pun, dihantar ke hospital sakit jiwa yang berlokasi di Tanjung Rambutan, pekan kecil di daerah Kinta yang terletak di timur laut bandaraya Ipoh. Punca sebenar tidak pula dapat dikenalpasti. Punca yang tidak benar, mungkin disebabkan oleh keterkejutan yang maha dasyat!
“Hitamnya,” bisik satu suara.
Hafizah segera berpaling ke arah Rohani seraya mengangguk laju. “Iya. Bukan setakat hitam tetapi legam.  Aku tengok, Si Hasan yang hendakkan dia dulu pun tidak sehitam ni…” dia diam sejenak. “Macam Beauty and The Beast,”  tambah Hafizah lagi bersahaja.
Azlina yang turut mendengar perbualan dua orang rakannya itu menggeleng laju. Dia mendengus perlahan, kemudian menyampuk, “Hisy. Dalam masjid pun nak buat ketupat? Raya lambat lagi, cik kak oi…” kata-katanya terhenti di situ. Dia memandang Dalila yang sedang duduk bersimpuh, tidak jauh dari pengantin lelaki yang baru sahaja selesai melafazkan akad nikah.
“Dah jodoh mereka. Buat apa kau orang nak susah-susah? Kau orang ke yang buat keluar duit belanja kerbau hari ni,” ujar Azlina lagi. Huh! Pedas juga kata-katanya sampai terkedu Hafizah dan Rohani dibuatnya.
Rohani mencebik. Dia menjeling Azlina sekilas, kemudian berkalih ke arah Mazwan yang sudah berada di hadapan Dalila. ‘Memang hitam pun. Tak akan nak cakap putih melepak!’ omelnya sendiri tidak puas hati.
Hafizah menepuk paha Rohani perlahan. Dia tahu apa yang sedang bergelodak di dalam hati rakan karibnya itu. Muncung mulutnya telah menceritakan segalanya. “Nie, janganlah ambil hati. Bukankah si Ina tu memang begitu? Dia dengki sebab kita dah ada pakwe. Dia…” Hafizah menoleh ke tepi. Apabila dilihatnya Azlina tidak ada di sisi, dia pun menyambung lagi, “Sampai sekarang tak laku-laku lagi. Iyalah. Jerawat batu penuh satu muka. Lelaki manalah yang berani nak dekat.”
Rohani yang tadinya mencuka kembali tersenyum. Dia mencari-cari Ridhwan, si jantung hati kesayangannya. Ada! Senyum Rohani semakin melebar. Lelaki itu nampaknya turut tersenyum penuh makna memandangnya.
Pagi tadi, Rohani berkeras untuk datang menghadiri majlis akad nikah ini dengan Ridhwan. Bukan apa. Rohani mahu menayangkan buah hatinya. Nanti, biar seluruh penduduk Kampung Sungai Tong tahu. Wajah kekasihnya itu macam hero Hindustan, Datuk Shah Rukh Khan. Huh! Kembang kempis hidung Rohani jadinya.
Meskipun sudah ditegah berkali-kali oleh emaknya, Rohani langsung tidak mahu ambil peduli. Dia bukan makan rasuah pun, bom orang jauh sekali. Setakat naik motosikal dengan lelaki bukan muhrim sahaja. Bukanlah satu masalah besar yang boleh merugikan negara. Bukan satu masalah besar??? Satu petaka, adalah. Apabila pergaulan bebas antara remaja berleluasa, hancurlah pemuda. Musnahlah negara.  
“Anie!!!” Kedengaran nama Rohani dijerit orang.
Rohani tersentak. Dia berkalih ke arah Azlina yang sedang tajam merenungnya. Mulut Rohani yang tadinya terkatup rapat terbuka separuh. Alamak! Pengantin perempuan sudah berada di hadapannya untuk bersalaman.
“Terima kasih, Nie kerana sudi datang,” ucap Dalila lembut.
Rohani yang masih terpinga-pinga terpaku seketika. Dia menoleh ke arah Hafizah yang sedang duduk di tepinya. Kemudian, dia memandang semula ke arah Dalila seraya berkata, “Tahniah. Lila memang tampak cantik hari ni. Terserlah seri pengantin tu walaupun cik abang… aduh, hitam legam.” Spontan dan sungguh bersahaja. Bicaranya lembut tetapi langsung tidak kena pada tempatnya.
Wajah Dalila tidak semena-mena berubah. Lidahnya kelu. Ucapan penghargaannya terlekat di kerongkong. Dia hanya mampu tersenyum raja.
Sungguh! Dalila benar-benar terguris dengan kata-kata Rohani. Malu dia dibuatnya. Walaupun apa yang diperkatakan tidak ada salahnya, Dalila tetap berasa segan. Iyalah. Banyak mata yang sedang memandang, banyak juga telinga yang tengah mendengar kata-kata tersebut.
Hafizah yang terkejut dengan kata-kata Rohani terus mencubit pinggangnya. Rohani segera berpaling. “Sakitlah,” ujarnya kasar.
Mata Hafizah membulat. “Kalau iya pun nak berterus-terang, tunggulah masa yang sesuai. Ini, tidak! Main ikut sedap mulut saja,” balas Hafizah yang tidak kurang juga kerasnya.
Mata Rohani membulat. Tidak suka benar dia apabila dimarahi begitu, di khalayak ramai pula. “Suka hati akulah. Mulut aku, kau apa susah?” dia terdiam seketika. Anak mata Hafizah direnung tajam. Macam singa kelaparan yang hendak menerkam mangsa pun ada.
“Lagipun, aku bukannya buat fitnah. Betul, apa. Laki Lila, hitam legam macam pantat kuali. Ke… kau tengok putih melepak macam Lisa Surihani? ” Nampaknya, Rohani tetap mahu menegakkan benang yang basah.
Atifah yang sedari tadi hanya mendengar perbualan dua sekawan itu sudah tidak dapat bertahan lagi. Sakit telinganya mendengar kata-kata nista yang ditujukan kepada suami Dalila. Maklumlah. Dalila pun, bukan orang lain. Sepupunya juga. Ayah Dalila adalah abang kepada emaknya.
“Kalau iya pun kamu tak fitnah, bercakap tentang orang tu dikira sebagai mengumpat. Bukan aku yang kata tetapi ustaz di madrasah yang bilang. Sia-sia kamu solat tunggang-terbalik lima kali sehari. Tak ada manfaat kamu baca yasin setiap malam Jumaat. Semua ALLAH tak pandang,” bidas Atifah panjang lebar.
Rohani menceber. “Ada aku kisah?” Dia masih mahu mempertahankan kata-katanya.
“Dah, sudah. Pengantin dah nak bergerak dah tu,” Mak Limah yang turut berada di situ mencelah.
Rohani segera mencari-cari suara itu. Dia kemudiannya tersenyum kecil. “Betullah apa yang saya cakap, Mak Limah. Pengantin lelaki dengan perempuan, memang tak sepadan langsung. Si Lila tu, punyalah cantik. Kalah Tiz Zaqyah tetapi sayang, tak pandai pilih laki. Si  Mazwan tu, bukan setakat hitam tetapi pendek dan gedempol juga. Ka…”
Belum sempat Rohani menghabiskan kata-katanya, Azlina cepat-cepat menyampuk, “Hitam-hitam si Mazwan tu, dia dah ada kerja tetap. Ada kereta besar. Rumah sendiri pun dah ada. Kamu, Nie? Ridhwan tu kerja apa? Tanam anggur? Sudahlah asyik merempit pagi, petang, siang, malam. Lelaki macam tu yang kamu agung-anggungkan?”
Aduh! Sama celupar nampaknya Azlina dengan Rohani. Bicara keduanya, sama-sama boleh mengguris hati mereka yang mendengarnya. Namun, masing-masing mempunyai alasan sendiri atas keceluparan mulut mereka.
Rohani… mahu menyatakan yang benar. Sememangnya suami Dalila hitam legam macam pantat kuali.
Azlina pula… mahu mempertahankan Dalila, kawan baiknya sejak dari sekolah rendah lagi. Lagipun, bukannya berdosa bersuamikan seorang lelaki yang hitam legam. Kacak, hodoh persoalan kedua. Apa yang lebih penting ialah tanggungjawab dalam diri. Bagi Azlina, tidak ada gunanya bernikah dengan lelaki tampan, tinggi-lampai tetapi tidak tahu dan tidak mahu menunaikan hak seorang isteri. Itu lagi parah!
“Sudah!!!” Jerit satu suara.
Semua orang terkedu. Masing-masing menelan air liur sendiri. Perlahan-lahan, Azlina dan Rohani berpaling ke arah  suara itu. Mata mereka membulat. Bila pula Mak Timah berdiri di belakang mereka? Keduanya terus hilang kata-kata.
“Ya, Mak Timah,” ujar Azlina dengar tidak dengar lalu beredar dari situ.
Rohani yang tadinya terkesima seketika kembali mengukir senyum. “Jangan ambil hatilah, Mak Timah. Saya berseloroh saja. Lagipun, bukannya berdosa dapat menantu hitam macam Mazwan,” katanya bersahaja seraya berjalan laju meninggalkan Mak Timah yang masih lagi tidak mahu berganjak dari situ.

DI RUMAH PAK LEMAN…
MAK TIMAH tidak berkedip memandang Dalila. Jantungnya berombak kencang. Sakit hati betul dia mengenangkan perbualan orang kampung di dalam masjid tempoh hari. Terkenang-kenang sampai sekarang! Malu juga dia dibuatnya. Mak Timah pun pelik. Dalam banyak-banyak anak teruna, Mazwan yang tidak ada rupa itu jugalah yang dipilih Dalila sebagai suami. Butakah… atau bodoh?
Lagipun, bukannya tidak ada orang yang hendakkannya. Berlambak. Satu kampung bercakap pasal kecantikan anak daranya yang sudah menjadi bini orang ini. Tersenyum lebar sampai ke telinga Mak Timah dibuatnya. Bukan itu sahaja, bahkan hidungnya juga kembang kempis entah berapa ratus kali tetapi tempoh hari!!!???
Sakit hati Mak Timah mengingatkannya. Hidungnya juga tidak kembang lagi. Wajahnya pula sudah memerah menahan marah dan malu. Jemari kasarnya menggeleter mendengar cakap-cakap buruk orang tentang menantu barunya. Namun, bukan orang kampung yang dipersalahkan. Mak Timah lebih menuding jari kepada anak dan menantunya sendiri.
Mazwan … sudah tahu diri tidak kacak, ada hati juga hendak masuk meminang anak daranya yang sedang meletup mengalahkan Rozita Che Wan.
Si Dalila pula… dalam banyak-banyak lelaki, kenapalah memilih si Mazwan?
Setakat sudah ada kerja tetap, bukanlah hebat sangat. Hasan yang tergila-gilakannya, hanya dipandang sebelah mata. Itu pun setelah dipaksa. Walhal, jika Dalila memilih untuk berkahwin dengan anak ketua JKKK Kampung Sungai Tong itu, sudah senang-lenang hidupnya menjadi menantu orang kaya. Iyalah. Harta ayah si Hasan melimpah-ruah, anak tunggal pula. Tidak habis digunakan sampai tujuh keturunan.
“Mak…” ujar Dalila lembut sambil memegang bahu emaknya perlahan.
Mak Minah yang sedang mengelamun tersentak kecil. “ALLAH,” ucapnya pendek. Dia memandang Dalila atas bawah lalu bertanya, “Suami kamu pergi mana?”
Dalila tersenyum kecil. “Bandar Permaisuri, mak. Ada urusan kerja sikit,” dia menjawab.
Mak Timah mendengus perlahan. Matanya memandang terus ke dinding rumah, mungkin tembus sampai ke jalan besar.
Melihat perubahan riak wajah emaknya, Dalila pun bersuara, “Kenapa, mak?”
Mak Timah mendengkus lagi. “Mak rasa, kamu ni kena ubat guna-gunalah, Lila,” dia meluahkan rasa hatinya.
Dahi Dalila berkerut. Ubat guna-guna? “Untuk apa, mak?” soalnya pendek. Dalila langsung tidak dapat menangkap apa yang ingin disampaikan emaknya.
Mak Timah menggeleng laju. Hendak kata bodoh, lepasan universiti. Hendak kata buta, ada empat mata; sepasang mata tulen dan sepasang lagi kaca mata. Entahlah. Mak Timah pun pelik. Apalah keistimewaan Mazwan sampai Dalila sanggup menikahinya?
“Untuk apa, apa? Untuk bomohkan kamulah. Budak hodoh macam Mazwan, ada hati hendak bernikah dengan kamu. Hisy. Ka…”
Belum sempat Mak Timah menghabiskan kata-katanya, Pak Leman menyampuk. “Apa yang kurangnya menantu kita, Mah? Mata ada. Telinga ada. Mulut ada. Apa yang kamu runsingkan sangat?” Terbakar juga Pak Leman mendengar rungutan isterinya sejak Dalila bergelar isteri kepada Mazwan lagi. Bukan orang lain pun, menantu mereka juga.
“Masalahnya, Bang Leman. Sakit telinga saya mendengar cakap-cakap orang kampung tentang menantu kita. Anak kita cantik macam bidadari. Dapat laki, hitam legam macam pantat kuali. Ada anak nanti, entah macam apa pula,” balas Mak Timah yang nampaknya masih belum berpuas hati.
Pak Leman mendengus kuat. “Dari si Lila ni mula bertunang, sampai dah jadi bini orang. Benda ni juga yang kamu duk ulang. Ingat, Mak Timah oi. Doa seorang ibu tu mustajab. Jangan nak cakap lebih-lebih. Lagipun, bertuah kita dapat menantu macam si Mazwan tu. Walaupun kerja besar, solat di masjid tak pernah tinggal. Hormat pada orang tua, merendah diri sepanjang masa. Apa lagi yang kurang?”
Belum sempat Mak Timah menjawab, Pak Leman menambah lagi, “Lagipun, kamu kena ingat. Bilal bin Rabah yang hitam legam tu sudah terdengar tapak kakinya di syurga. Kamu? Ada jaminan ke nak masuk syurga? Kalau tengok dengan mulut kamu yang tak henti-henti mengata, susahlah. Baik kamu bertaubat cepat. Bolehlah jadi ketua bidadari di sana nanti.”
Lagaknya, macam berseloroh tetapi sangat mendalam kata-katanya. Sememangnya manusia yang tidak sempat bertaubat itu akan sukar baginya untuk masuk syurga. Lebih-lebih lagi, jika dia ada berbuat salah kepada sesama manusia. Perlu mendapat kemaafan daripada mereka yang pernah dianiaya.
Mata Mak Timah membulat. “Awak pun satu masalah juga. Makin tua, makin miang. Makin tua, makin menggatal. Duit tak banyak mana, ada hati nak fikir pasal perempuan lain,” tutur Mak Timah dengan suara yang meninggi. Tersinggung benar dia apabila suaminya berkata begitu. Iyalah. Belum apa-apa, sudah terbayangkan bidadari.
Pak Leman menggeleng laju. Dia memandang Dalila yang membatu di tepi emaknya sekilas, kemudian berkalih semula ke arah isterinya seraya membalas, “Ni satu lagi masalah. Dengan tok laki, tak reti nak bercakap elok-elok. Awak kena ingat, Timah. Syurga awak atas redha saya…” dia diam sejenak.
“Itulah. Saya ajak dengar ceramah di madrasah, tak mahu ikut. Bila Si Limah tu ajak buat mesyuarat tingkap, dia tak bersiap lagi awak dah tercongok depan rumahnya. Dahlah. Saya tak mahu awak cakap benda buruk pasal Mazwan. Bukan orang lain, menantu kita juga, suami si Lila. Orang lain nak mengata… mengumpat… biarkan mereka. Mereka ada mulut. Biar mereka sendiri tanggung dosa. Awak jangan terlibat sama.” Aduh, panjang lebar pula Pak Leman menambah sampai tercengang Mak Timah dibuatnya.
Dalila yang sedari tadi hanya mendengar pertelingakahan mulut di antara emak dan ayahnya sudah hilang sabar. Matanya mula memerah. Sedih apabila emak sendiri tidak menyukai suaminya. Mengata macam-macam tentangnya walhal yang buruk itu… yang hitam legam itu tetap menantunya. Bukan orang lain!
Menyedari perubahan wajah puterinya, Pak Leman pun bersuara, “Jangan kamu ambil hati, Lila. Muka cantik tak menjamin kita masuk syurga. ALLAH tak pandang semua tu. Yang mengangkat darjat manusia ialah iman dan takwa…” dia diam sejenak.
Pak Leman menarik nafasnya dalam-dalam, kemudian menyambung kembali, “Kamu jadilah isteri solehah. Dengar cakap suami. Gembirakan hati suami. Jaga maruah diri dan keluarga. Insya-ALLAH, kamu akan bahagia. Kamu tak akan mati dengan kata cerca manusia. Biarkan mereka.”
Dalila hanya mampu tersenyum paksa. Sekadar hendak menyedapkan hati ayahnya yang sangat memahami. Entahlah. Walaupun sudah lebih dua bulan bergelar isteri buat Mazwan, emaknya tetap tidak sukakan lelaki itu. Alasannya pula tidak cukup konkrit. Suaminya hodoh, hitam macam pantat kuali.
Tanpa lengah, dia segera berlalu masuk ke dalam kamar tidurnya. Air matanya tidak semena-mena mengalir. Dalila lantas mengambil telefon bimbit berjenama Nokia miliknya. Kemudian, dia pun menaip satu mesej yang berbunyi, ‘Lila sayang abang selamanya…’ Selepas itu, mesej tersebut segera dihantar kepada suaminya. Dalila kemudiannya memejamkan matanya rapat-rapat.

SEAWAL pagi, Mak Timah sudah bersiap-siap hendak ke bandaraya Kuala Terengganu dengan Mak Limah. Cantik benar nampaknya isteri Pak Leman hari ini. Siap berbaju kurung lip lap dengan tas tangan yang baru dibeli di pasaraya Sabasun. Tidak lupa juga, gelang tangan emas disarung sampai ke siku.
Katanya kepada Pak Leman, mahu mencari sayur dan ikan di Pasar Payang yang terletak berhampiran dengan jeti Shabandar. Namun sebenarnya, Mak Timah dan Mak Limah mahu menelek-nelek emas yang dijual di kedai emas di sana. Itulah. Pak Leman pun pelik. Pasar pagi Kampung Sungai Tong pun ada menjual barang-barang basah tetapi entahlah… Pak Leman tidak mahu bertanya banyak. Silap hari bulan, boleh perang dingin lagi. Sudah letih Pak Leman melayan isterinya itu. Ini baru seorang. Kalau dua… tiga dan empat??? Boleh kena strok gamaknya.
“Anak kamu tak dapat hantarkah, Limah?” soal Mak Timah dengar tidak dengar.
Mak Limah yang tidak berkedip melihat jalan raya yang kurang sesak itu segera berpaling. Dia menggeleng laju seraya menjawab pendek, “Tak.”
Mak Timah mendengus perlahan. “Kenapa pula? Penat-penat aku pakai macam ni, kena naik bas pula. Sudahlah dalam bas tu panas tak pernah nak pasang aircond. Kedekut,” dia membebel sambil menyingsing lengan baju kurung yang disarungnya.
Mak Limah hanya mampu tersenyum kecil. Itulah. Siapa suruh pakai baju macam mak datin? Mereka bukannya hendak ke majlis orang kahwin. “Huh! Sampai sakit tangan aku ketuk pintu bilik si Iden. Tak jaga-jaga juga. Tak akan aku nak pecahkan pula pintu tu. Mengamuk Pak Samad nanti,” Mak Limah memberitahu.
Dahi Mak Timah berkerut. “Anak teruna kamu tu tidak solat subuhkah, Limah? Hisy. Kalau aku, biar pecah pintu tu. Baru dia tahu langit ni tinggi atau rendah. Dengan ibu, jangan dibuat main,” balasnya keras.
Mak Limah menggeleng perlahan. “Ibu pun, ibu juga. Hak anak, kita kena jaga juga…” kata-kata Mak Limah terhenti di situ. “Anak teruna aku tu, solat cuma tidur semula. Iyalah. Kerja shif malam,” tambahnya lagi bersahaja.
Mak Timah mendengkus lagi, buat kesekian kali.
Sedang asyik dua wanita lanjut usia ini berleter sesama sendiri, sebuah kereta Proton Gen-2 diberhentikan di hadapan mereka. Mak Timah tersenyum panjang.
“Kamu nak ke mana, San?” soalnya lembut kepada menantu tidak jadinya.
Hasan membalas senyum Mak Timah dengan senyum kecil. “Saya nak ke KT. Mak Timah dan Mak Limah nak ke mana?” balasnya ramah. Matanya tidak berkelip memandang gelang emas yang tersarung pada kedua-dua belah lengan Mak Timah.
“Samalah. Aku dan Timah nak ke Pasar Payang. Tengok emas,” beritahu Mak Limah sungguh-sungguh.
Mata Mak Timah membulat. Dia menoleh ke arah Mak Limah lalu merenungnya tajam. “Aku nak cari sayur dan ikan di sana. Jangan kamu percaya cakap Mak Limah ni,” ujarnya serius.
Hasan mengangguk perlahan. “Masuklah, mak cik berdua yang cantik-cantik belaka. Saya tumpangkan sampai Batu Enam,” dia mempelawa lembut.
Senyum Mak Timah terus melebar. “Sampai Batu Enam saja, San? Alang-alang, hantarlah sampai Pasar Payang terus,” tuturnya lalu masuk ke dalam kereta Hasan.
“Iyalah, iyalah. Mak Timah punya pasal, jiwa dan raga saya korbankan,” balas Hasan lalu menekan pedal minyak keretanya. Kereta Proton Gen-2 pun dipecut laju.

MAK TIMAH yang tadinya terlelap tersentak apabila dirasakan badannya berpeluh kepanasan. Matanya membulat. Mulutnya ternganga luas. Mak Timah tercengang. Tempat ini, bukanlah Pasar Payang! Dia mencari-cari Hasan dan Mak Limah.
“San… Limah…” dia memanggil lantang.
Suasana sunyi sepi. Tidak ada sebarang jawapan yang diterima.
“San… Limah…” laung Mak Timah lagi.
Tiba-tiba, pintu kereta dibuka dari luar. “Dah. Bangun, orang tua!” Jerkah satu suara.
Mata Mak Timah yang sedia bulat membulat. Hasan???
“Mana Limah, San? Apa yang kamu dah buat pada dia?” soal Mak Timah terketar-ketar.
Hasan ketawa terbahak-bahak. Mak Timah yang celupar mulutnya ini penakut juga rupanya. “Dia selamat. Aku dah minta si Duan hantarkan dia ke pekan,” jawabnya macam samseng jalanan.
Mak Timah bernafas kencang. “Kamu nak apa, San? Apa salah Mak Timah pada kamu?” Air matanya sudah mula membasahi pipi. Takut benar Mak Timah berada di tempat yang begitu asing ini. Lagipun, bukan dia dan Hasan sahaja ada di sini. Terdapat tiga orang pemuda yang lagaknya macam along si pengutip hutang di sebelah kiri dan kanannya.
Hasan menarik nafasnya dalam-dalam. Dia menampar pipi Mak Timah kuat. “Ada banyak kesalahan yang kau buat, orang tua. Pertama, kau kahwinkan Dalila dengan budak lelaki yang hitam legam tu…”
Mak Timah menggeleng. “Bukan Mak Timah yang nak nikahkan. Lila yang nakkan budak tu,” ujarnya sungguh-sungguh.
Hasan turut sama menggeleng. “Aku tak kisah pun. Aku lagi kisah tengok gelang emas yang kau pakai ni. Kalau gadai, cukup stok untuk setahun. Bukan itu saja, aku boleh cuba barang baru…” balas Hasan bersahaja.
Ridhwan yang baru sampai terus mencelah, “Heroin…”
Hasan segera menoleh. “Syh… Yang tu tak boleh sebut kuat-kuat, nanti ayah tahu, marah. Kalau Mak Timah lapor pada Anie, jadi arwahlah kamu, Duan. Macam mana nak dapatkan duit beli barang?” ujarnya dengar tidak dengar.
Ridhwan hanya tersenyum sumbing. Dia lalu berjalan ke arah Mak Timah. Wanita tua itu dipandang atas bawah. “Itulah. Pak Leman tak bagi pakai gelang emas banyak-banyak, Mak Timah nak pakai juga. Mak Timah nak tunjuk pada siapa?” Dia terdiam sejenak.
“Tengok. Sekarang, Mak Timah juga yang dapat susah,” sambungnya lagi separuh menjerit.
Tanpa membuang masa, Hasan terus memegang lengan Mak Timah kuat. “Cepat! Ambil gelang-gelang yang orang tua ni pakai,” jeritnya lantang. “Duduk diam-diam, orang tua. Kalau kau beritahu orang, aku bunuh kau satu keluarga,” tambah Hasan lagi.
Mak Timah hilang kata-kata. Dia pasrah kerana tidak ada apa yang mampu dilakukannya lagi namun tidak semena-mena, Mak Timah ternampak satu susuk tubuh di tepi belukar sana. Mazwan???

“LEPASKAN emak aku, Hasan!” Jerit Mazwan lantang. Di sebelahnya, kelihatan Mak Limah yang tampak masih lagi ketakutan.
Dahi Hasan berkerut. Dia terus memandang Ridhwan tajam. “Di mana kau tinggalkan orang tua tu?” soalnya keras.
Ridhwan menelan air liurnya seraya menjawab, “Depan jalan besar sana,” terketar-ketar suaranya.
Mata Hasan membulat. “Bodoh!” Wajahnya berubah kemerahan.
“Baik kamu lepaskan mak aku, San. Polis pun sudah dalam perjalanan ke sini!” bentak Mazwan.
Hasan tersenyum kecil. “Ada aku kisah?” Tanpa disangka-sangka, dia pun mengeluarkan pisau dari dalam kocek seluarnya. “Kalau kau orang dekat, aku bunuh orang tua ni,” tambahnya lagi mengugut.
Air mata Mak Timah mengalir semakin deras. Esakannya kuat sampai bingit telinga Hasan dibuatnya.
“Diam, orang tua!” Tidak semena-mena, tamparan kuat singgah ke pipi Mak Timah.
Mazwan terkesima. Dia terus meluru ke arah Hasan. “Jangan kamu apa-apakan emak aku, San. Dia bukan lawan kau. Kau lepaskan dia. Kau ambil aku,” ujar Mazwan yang kini sudah berdiri tidak jauh dari Hasan dan ibu mertuanya.
Kali ini, Hasan tergelak kuat macam orang gila. “Aku ambil kau, aku dapat apa? Lainlah kalau aku ambil bini kau. Dapat juga habuannya. Lagipun…”
Belum sempat Hasan menghabiskan kata-katanya, Mazwan terus menyondol badan lelaki itu, menyebabkan Mak Timah terjelepuk di atas tanah. “Mak… lari dari sini, mak. Cepat lari…” jerit Mazwan.
Mak Timah tetap terpinga-pinga di situ. Dia benar-benar terkejut melihat pergelutan antara Hasan dan Mazwan.
“Lari, mak…” laung Mazwan lagi. Mak Timah tetap tidak berganjak dari situ.
Hasan cuba menghunus pisau ke perut Mazwan tetapi tidak pernah mengena. “Bodoh!” Amarah Hasan semakin memuncak. Mazwan pula, cuba mempertahankan dirinya tanpa membuat sebarang serangan.
“Wan… Fik… Sham… serang dia. Biar sampai tak bernyawa!” Hasan nampaknya sudah mula mengeluarkan arahan.
Ridhwan, Shafik dan Noorhisyam yang sedari tadi hanya memerhati tersentak. Mereka jadi teragak-agak. Mereka hanyalah perompak kecil dan penagih dadah, bukan pembunuh.
Hasan yang geram melihat kawan-kawannya masih tidak berganjak dari tempat mereka semakin menyinga. “Cepat!!!” jeritnya lantang.
Apa lagi… Ridhwan, Shafik dan Noorhisyam segera menyerang Mazwan. Mak Timah yang hanya mampu memerhati dari jauh menangis teresak-esak. Menantu hitam legam inikah yang sedang menggadai nyawa menyelamatkan dirinya?
Apabila empat lawan satu, bermakna tidak ada peluanglah Mazwan untuk menang. Mazwan bukanlah hero Tamil. Bukan juga macam Shah Rukh Khan. Dia semakin longlai. “Lari…” Mazwan cuba untuk bersuara. Khuatir benar dia kepada keselamatan ibu mertuanya.
Mak Limah segera menarik lengan Mak Timah. “Baik kita lari. Menantu kamu tu macam dah tak ada harapan nak menang,” katanya terketar-ketar.
MakTimah menggeleng. “Tidak! Menantu aku…” Dia terus memandang Mazwan yang sudah tidak bergerak di atas tanah.
Apabila dirasakan Mazwan sudah tidak lagi bernyawa, Hasan terus meluru ke arah Mak Timah. Namun, baru sahaja dia hendak menghunus pisaunya ke belakang wanita itu, kedengaran bunyi tembakan. Ridhwan, Shafik dan Noorhisyam terkesima. Mata mereka membulat memandang Hasan yang sudah rebah ke bumi. Cepat-cepat mereka mengangkat kedua belah tangan untuk menyerah diri.
Mak Timah segera berlari mendapatkan Mazwan. “Anak mak,” jeritnya kuat. “Maafkan mak, Wan. Maafkan mak,”ucapnya lagi sungguh-sungguh. Tubuh Mazwan masih lagi kaku di situ.
“Wan!!!!” Mak Timah meraung-raung bagai orang gila. Air matanya mengalir deras. Wajah Dalila yang sudah berbadan dua terngiang-ngiang di benaknya. Esakan Mak Timah semakin jelas kedengaran. Kuat… dan kuat… dan kuat…
Namun sayang, penyesalan Mak Timah tidak berguna lagi.



Kasihnya ibu



Cerpen : Kasihnya ibu
Nama pena : Siti Muthiah
Majalah : Harmoni
Bulan : 1 - 15 Mei 2013 (Bil:204)

Kembali


Hadiah hari jadi daripada JELITA ^_^

Cerpen : Kembali
Nama pena : Siti Muthiah
Majalah : Jelita 
Bulan : Mac 2013

Yuk dapatkan di pasaran. Ehe...

Di samping itu, setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih Hanan kalungkan buat semua yang mengucapkan selamat serta mendoakan yang baik-baik pada hari ulang tahun kelahiran Hanan semalam.

Moga kita semua dirahmati ALLAH, diberi kesihatan yang baik oleh-NYA, dipermudah segala urusan, diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian-NYA serta berbahagia di dunia dan akhirat, insya-ALLAH, Amiin.

Salam sayang...

Apabila ALLAH mengkehendaki



SALMAH menelan air liur sekali. Matanya tidak berkedip memandang Zafira yang hitam manis dengan jerawat batu di pipi kiri. Salmah menggeleng laju. Dia menghembus nafasnya perlahan. 
Wajah bakal isteri anak saudaranya itu dilihat bersilih ganti dengan Mastura yang duduk bersimpuh di tepi. Senyum Salmah melebar. Hatinya berbunga-bunga. Belum ada yang mampu menandingi anak menantunya. Serba-serbi sempurna.  Ada rupa. Cukup harta. Cucu pun dekat sedozen. Memang dasar keturunan Che Wan Ali, tiada cacat celanya.

“Nak pula si Danish menikah dengan anak Pak Selamat tu?” ujarnya separa berbisik.

Kamsiah yang begitu ralit merenung wajah pengantin perempuan tersentak kecil. Dia terus menoleh ke arah Salmah. Dahinya berkerut. “Kenapa pula?” Kamsiah bertanya pendek. Bukan dia tidak kenal dengan Salmah, bininya Che Wan Ali ini. Kritikannya mengalahkah juri Maharaja Lawak Mega peringkat akhir. Ada sahaja yang salah. Banyak benda yang tidak kena. Hanya dia dan anak-beranaknya yang sempurna.

Salmah mengangguk-angguk. “Iyalah. Si Danish tu, putih melepak… segak macam anak mat salih. Isterinya pula… “ kata-kata Salmah terhenti di situ.

Dia berpaling memandang Mastura semula. Menawan sungguh menantunya ini. Pandai Haiqal mencari isteri. Tidak payah diajar. Kempang-kempis hidung Salmah memikirkannya.

“Kenapa dengan Zafira? Sudahlah belajar tinggi, berbudi bahasa juga. Payah nak cari anak dara yang berjurus macam anak si Selamat tu,” bangkang Kamsiah bersahaja.  

Wajahnya mencuka. Gusar benar dia kalau-kalau Salmah mula membuka cerita. Kamsiah tidak rela makan daging sesama manusia. Orang sekampung pula. Lainlah kalau mengutuk makhluk yang zalim. Puas hati!

“Alah, Siah. Belajar tinggi pun kena duduk di ceruk dapur juga. Tak ke mana akhirnya. Paling tidak kalau ada rupa, suami tak cari yang lain,” Salmah tetap bertegas mempertahankan pendiriannya. Kamsiah apa tahu? Dia sendiri seorang janda yang ditinggalkan suami kerana mengikut amah warga Indonesia.

Kamsiah menghembus nafasnya perlahan. Anak mata Salmah dipandang sekilas sebelum berpaling ke arah Zafira yang sedang bersalaman dengan para tetamu dekat dan jauh. Alhamdulillah. Dengan sekali lafaz, dia sudah menjadi isteri buat Danish. Senyum Kamsiah terukir nipis. Lupa seketika dengan kata-kata Salmah seketika tadi. Biarkan… tidak untung baginya untuk ambil peduli.

“Siah, oh Siah…” Salmah menepuk belakang Kamsiah kuat menyebabkan dia tersentak kecil.
Dahi Kamsiah berkerut. Matanya mengecil, tidak berkedip memandang Salmah. “Apa lagi?” soalnya keras.

Mulut Salmah serta-merta memuncung. “Hisy, kamu ni. Janganlah terasa. Aku bukan mengata kamu. Si Riduan tu yang buta. Kalau nak banding kamu dengan bini dia orang Indonesia tu, macam langit dengan bumi…”

“Mak Long…” Zafira yang sudah berada di hadapan Salmah menegurnya lembut menyebabkan wanita itu terkesima seketika. Matanya membulat. Dia memandang sekeliling. Semua yang berada di situ tidak berkedip melihatnya. Salmah terus mencari-cari Kamsiah. Tidak ada! Merajuk agaknya dia. Tidak padan dengan orang tua.

Salmah terus mengukir senyum manis. Dia menengok kedua mempelai bersilih ganti. Tangan Zafira digenggam erat. Jerawat batu di pipinya diperhati sinis. “Lain kali, pakai gincu bagi terang. Baru nampak cantik…” Salmah terdiam sejenak. “Lagi satu, tepek bedak kasi tebal sikit. Tutup jerawat batu tu. Baru Anish tak pandang perempuan lain. Kalau kamu nak belajar, boleh tanya Kak Tuya,” tambah Salmah lagi bersahaja.

Zafira menelan air liur sekali. Terasa pipinya berubah kemerahan. Malu diperkata sebegitu di khalayak ramai. Bertambah segan tatkala mengenangkan suami yang berada di sisi. Apa kata Danish nanti? Zafira hanya mampu menunduk, tidak tahu hendak bereaksi bagaimana.
“Comel dah macam ni. Tak payah pakai apa-apa. Jadi macam opera Cina pula,” Kamsiah yang muncul dengan tiba-tiba menyampuk.

Halus nada suaranya tetapi berdesing juga telinga Salmah mendengarnya. Kamsiah memandang Salmah sekejap, kemudian terus berlalu dari situ… tidak mahu berlama-lamaan dekat wanita itu. Silap hari bulan, boleh cetus perang dingin. Salmah tidak mahu merosakkan majlis orang meski yang menjadi raja sehari itu bukanlah anak saudaranya, bau-bau bacang pun tidak ada. Namun perlu diingat, mereka adalah saudara seagama.

Bukankah Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud, ‘Tidak dikatakan beriman seorang manusia selagimana dia tidak mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri,’? (H.R. Bukhari dan Muslim)

“Terima kasih atas doa Mak Long selama ini,” Danish bersuara lembut.

Salmah mengangguk-angguk. “Ya…” kata-katanya terhenti di situ. Dia menepuk-nepuk bahu Danish perlahan, kemudian berkalih ke arah Zafira seraya berkata, “Kamu pun, beranak awal-awal. Jangan jadi macam si Fiona tu. Kahwin sepuluh tahun, habuk pun tak ada. Sia-sia bercucuk tanam di atas tanah yang tak subur. Habis duit. Habis tenaga.”

Semua yang berada di situ saling berpandangan. Che Wan Ali yang berdiri beberapa langkah dari Salmah berdehem perlahan. Dia menggeleng laju. Penat sudah Che Wan Ali mendidik dan mengasuh Salmah tetapi hasilnya tetap mengecewakan. Malu benar dia mengenangkan sikap sang isteri yang sebegini. Hendak kahwin satu lagi, Che Wan Ali tidak mampu. Dia hanya meniaga kecil-kecilan di Pasar Pasir Mas. Mahu melafaz talak, Che Wan Ali tidak sanggup. Walaupun halal, ALLAH tetap membenci. Lagipun, anak-anaknya berderet. Tambah seorang, cukup satu pasukan bola sepak. Boleh mewakili Kampung Bayu Lalang.

“Ira, salam dengan Mak Ngah pula,” tegur Zainah, ibunya Danish.

Zafira tersentak kecil. Cepat-cepat dia berjalan menghampiri Hasmah yang tengah berdiri tidak jauh dari situ. “Mak Ngah,” ucap Zafira lembut.

Hasmah mengusap kepala Zafira perlahan. Suaranya terlekat di kerongkong. Hatinya terguris mendengar kata-kata spontan Salmah. Tidakkah wanita itu sedar… yang diperkatanya sebentar tadi bukannya orang lain. Anak kandung Hasmah sendiri, merangkap anak saudara Salmah juga tetapi entahlah. Memang begitu sikap kakak sulungnya sejak dari dahulu. Setiap bait kata yang terpacul dari bibirnya, pasti menyakitkan hati. Lebih parah, apabila sesama adik-beradik bermasam muka. Anak-anak saudara pula tidak senang dengan sikap mak cik sendiri.

“Jadi isteri solehah. Kehidupan di dunia ni adalah sementera. Segala sesuatu di atas muka bumi adalah pinjaman daripada ALLAH. Usah mendabik dada atas kenikmatan yang diperoleh tetapi bersyukurlah atas kurniaan-NYA,” Hasmah akhirnya bersuara. Tersirat kata-katanya namun tidak pula Salmah terasa apa-apa.

Zafira mengangguk-angguk. Dia mula menapak untuk bersalaman dengan tetamu lain namun dengan tidak semena-mena, langkah Zafira terhenti. Matanya membulat. Baru dia menyedari, empunya diri yang diperkata ibunda saudara suaminya ada di sisi Hasmah. Kelihatan Fiona memandang tepat ke arahnya dengan mata memerah. Zafira pasti, wanita itu sedang rawan dan malu. Sekiranya dia berada di tempat Fiona, dia juga akan berasa begitu bahkan boleh jadi lebih teruk. Histeria mungkin, nauzubillah.

“Sabarlah, Kak Fie. ALLAH lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk kita,” ujar Zafira separuh berbisik sambil memegang erat lengan Fiona. Renungan wanita itu dibalas dengan senyum nipis. Timbul rasa simpati di hati Zafira. Wajah Fiona tampak pucat dan tidak bermaya.

Salmah yang sedari tadi hampir tersembul matanya melihat Zafira menggeleng laju. “Sudah. Tak payah nak berdrama di sini. Ira tu pengantin baru. Cepat. Kita ke dewan pula,” dia bersuara lantang.

Fiona terus berlalu keluar dari situ. Air matanya sudah mengalir deras. Zafira pula cuba mengukir senyum. Entah… dirasakan hari bahagianya dicacatkan dengan peristiwa sebegini. Zafira segera memandang suaminya yang tampak tenang di tepi. Danish hanya mengelip matanya sekali. Kemudian, dia pun memegang lengan Zafira lalu berjalan keluar menuju ke dewan untuk menjamu selera.

SALMAH mendengkus kuat. Dari tadi, kakinya tidak berhenti melangkah. Sekejap ke hulu. Sebentar-sebentar ke hilir pula. Salmah mendongak memandang jam pada dinding rumah. 
Sudah pukul 11.30 malam tetapi batang hidung suaminya, Che Wan Ali masih belum kelihatan.
“Kenapa, mak? Macam cacing kepanasan saja,” soal Zaihan yang sedang duduk di atas kerusi rotan di hadapan televisyen. Dia memandang emaknya sekilas, kemudian berkalih ke arah TV yang tengah bersiaran. Wanita itu memang selalu begitu. Tidak ada yang pelik dan mengejutkan. Luar biasa, jauh sekali.

Salmah mendengus lagi. Dia segera meluru ke arah anak bongsunya yang begitu ralit tengok TV. Wajahnya mencuka. Dia memandang tepat wajah Zaihan yang tetap buat tidak endah terhadapnya. Geram melihat perilaku sang anak dara yang tidak tahu menghormati orang tua, Salmah berjalan laju ke arah suiz yang terletak di belakang televisyen. Tanpa memberi sebarang amaran, Salmah terus menutup suiz yang menyambungkan kabel TV. Senyumnya terukir nipis. Inilah pengajaran buat anak-anak yang tidak reti menghormati orang tua. Lebih-lebih lagi… ibu!

“Alah, mak ni. Ayah kan pergi rumah Mak Ngah. Kak Fie tak sihat. Sejak dari hari Abang Anish akad nikah lagi. Dah mak tak nak ikut, siapa suruh? Sekarang, mulalah jadi tak tentu arah,” balas Zaihan bersahaja. Keras. Tajam. Langsung tidak ambil pusing dengan siapa dia berbicara.
Kemarahan Salmah semakin membara. Anak bongsunya ini memang payah dididik. Jika dilayan, boleh jadi tinggi tekanan darahnya. Silap hari bulan, boleh ditahan di wad lagi, buat kesekian kali. 
Aduh… Salmah menghembus nafasnya perlahan.

“Astaghfirullah…” Salmah menarik nafas dalam-dalam, kemudian menghembusnya lagi.

“Kamu ikut perangai siapa, An? Tak reti nak bercakap elok-elok dengan ibu sendiri? Kamu kena ingat, An. Syurga seorang anak tu terletak di bawah telapak kaki ibu? Mak tak redha, tak akan dapat kamu…”

Belum sempat Salmah menyudahkan kata-katanya, Che Wan Ali yang sudah berada di sisi Salmah segera menyampuk, “Apa masalah kamu berdua anak beranak? Aku keluar sekejap saja dah jadi macam ni…” kata-katanya terhenti di situ.

“Kamu pun Salmah, beringat sikit bila nak bercakap tu. Mulut ibu ni masin. Jangan sesedap rasa mendoakan yang tak baik. Zaihan tu bukan orang lain. Anak kita juga,” sambung Che Wan Ali keras.

Mulut Salmah memuncung. Zaihan pula sudah masuk ke dalam kamar tidurnya. Dia tidak mahu jadi anak derhaka. Dalam masa yang sama, Zaihan tidak suka dengan sikap emaknya. Bahkan, semua orang memperkatakan tentangnya.

“Hah, Che Wan Ali? Kamu ke mana dekat pukul 12.00 baru nak tunjuk muka? Tak ingat anak bini di rumah?” balas Salmah tidak mahu mengalah. Seperti Zaihan, Salmah langsung tidak ambil peduli dengan siapa dia sedang berbicara.

Che Wan Ali menggeleng laju. Ikutkan rasa hati, mahu sahaja dia menampar pipi wanita yang begitu lancang mulutnya ini. Namun ditahan sahaja, tidak mahu suasana bertambah tegang. Lagipun, anak-anaknya ada di rumah. Cukuplah contoh tidak elok yang ditunjuki isterinya selama ini. Tidak mahu dia menambah perisa yang akhirnya memberi kesan terhadap mereka.

“Macam manalah si An tu tak melawan, tak cakap kasar dengan kamu, Mah. Kamu sendiri tunjuk contoh yang tak baik pada anak-anak kita. Kalau syurga anak terletak di bawah telapak kaki ibu, syurga kamu atas redha siapa? Kalau saya tak redha dengan kamu, ada jaminan nak masuk syurga?” ujar Che Wan Ali bersahaja tetapi tajam bunyinya.

Salmah menceber. “Dah, dah. Tak payah membebel lagi. Buat apa awak berlama-lamaan di rumah adik saya? Ke, awak nak mengurat dengan dia. Iyalah. Hasmah kan janda?” Salmah tetap tidak mahu mengalah.

Tidak dapat menahan rasa yang tertahan lama, akhirnya satu tamparan kuat hinggap di pipi Salmah. “Bawa mengucap, Mah. Hasmah tu adik kandung kamu. Cakap tu, biar berlapik sikit…”
“Sudah tu, buat apa awak ke rumah dia? Malam-malam pula,” potong Salmah sambil mengusap-ngusap pipinya yang terasa pedih.

Che Wan Ali menunduk ke lantai. “Itulah. Tadi saya ajak kamu ikut, kamu tak mahu. Fiona sekarang mengandung tiga bulan. Kembar tiga,” dia memberitahu.

Mulut Salmah ternganga luas. “Apa? Kembar tiga?” soalnya bertubi-tubi.

Che Wan Ali mengangguk laju. “Iya. Kenapa? Kamu tak gembira? Budak yang kamu cakap tak subur hari tu dapat anak kembar tiga. Tak ada lagi keturunan kita yang dapat anak kembar…” dia terdiam sejenak. “Kamu ingat, mengandung beranak ni kuasa kita? Semua dengan izin ALLAH. ALLAH nak bagi, sekejap saja boleh dapat. ALLAH nak tarik, sekelip mata boleh hilang,” tambahnya bertubi-tubi.

Salmah terus mencebik. Sakit hatinya mendengar kata-kata Che Wan Ali yang langsung tidak mahu menyebelahinya. Dari dahulu sampai ke hari ini, tidak ada tanda mahu berubah. Ada sahaja yang tidak kena di mata lelaki yang sudah dinikahi lebih empat puluh tahun itu.

“Sudahlah. Malas saya bergaduh dengan awak. Tak pasal-pasal, saya tak dapat masuk syurga. Bukan setakat masuk syurga, bau pun tak dapat,” balas Salmah dengar tidak dengar.
Namun, baru sahaja dia hendak beredar dari situ…

“Che Wan Ali! Che Mah! Buka pintu cepat!” pintu rumah Salmah diketuk kuat.

Salmah dan Che Wan Ali saling berpandangan. “Siapa?” soal mereka serentak.

Ahmad terus mengetuk pintu rumah Salmah. “Akulah. Mamat, suaminya si Zainah. Bukalah pintu ni dulu,” jawabnya dengan suara yang menggeletar.

Che Wan Ali dan Salmah segera meluru ke pintu. “Ada apa?” mereka bertanya serentak lagi.
Ahmad yang masih tercungap-cungap memandang Che Wan Ali dan Salmah bersilih ganti. “Haiqal. Tuya. Cucu-cucu kamu…” Ahmad kelihatan terkedu.

“Kenapa dengan mereka?” Jantung Salmah berdegup kencang. Kata hatinya menyatakan sesuatu yang tidak baik telah berlaku terhadap mereka. Ya ALLAH…

Ahmad menghembus nafas kuat. “Mereka terlibat dalam kemalangan depan sekolah Banggol Chicha. Berkebetulan, aku baru siap minum kopi dekat kedai pelayan. Tengok orang ramai duk kerumun. Aku pergi dekat…”

“Bagaimana dengan anak menantu aku?” Salmah yang sudah hilang pedoman bertanya keras. Air matanya pun turut sama mengalir laju.

Ahmad terus menunduk. Tidak sampai hati hendak memberitahu. Anak, menantu dan cucu-cucunya telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“ALLAH!” Salmah menjerit lantang.

Che Wan Ali hanya terkedu di situ. Salmah pula sudah terbaring di atas lantai. Matanya terbuka luas tetapi dayanya tiada. Wajah Zafira, Fiona, Kamsiah hadir bersilih ganti. Membuatkan Salmah terfikir akan peringatan ALLAH buatnya. Bukan Salmah tidak tahu… 

Akhirnya cinta



JAUH mengelamun!” sergah Aireena yang muncul secara tiba-tiba.

Batrisya menelan air liurnya sekali. Hampir luruh jantungnya mendengar suara Aireena yang kuat, cakapnya macam duduk jauh beribu-ribu batu. Batrisya memandang Aireena atas bawah dengan kepala digeleng perlahan. “Kalau iya pun, berilah salam dulu. Dapat juga pahala percuma sebab menghidupkan sunnah,” ujar Batrisya lembut tetapi serius.

Aireena hanya mampu tersenyum sumbing. Dayanya tiada untuk membalas kata-kata Batrisya yang memang tepat. ‘Serangan’ kawan baiknya yang masih solo dan available itu betul-betul terkena pada batang hidungnya. Mujur hanya ‘tembakan’ dalam imaginasi. Jika tidak… pasti Aireena sudah menjadi arwah lalu bergelar Allahyarhamah.

Mata Aireena serta-merta membulat. ‘Tidak! Aku belum berlaki lagi,” hati kecilnya menjerit nyaring. Huh! Macamlah soal mati boleh diminta tangguh. Seperti main game. Boleh tekan butang ‘Pause’ apabila tidak bersedia menempuh saat genting.

“Hei, siapa yang berkhayal sekarang?” Batrisya menepuk belakang Aireena pula. Senyumnya terukir lebar. Aireena seakan-akan sedang hanyut di dalam dunianya sendiri.

Aireena tunduk memandang lantai dengan mulut yang mengeroncong. “Tengah ingat mati. Aireen mahu menggolongkan diri dalam golongan yang cerdik pandai. Bukankah manusia yang paling bijak itu adalah mereka yang ingat kepada kematian?” dia terdiam sejenak. Anak mata Batrisya direnung tajam.

“Risya pula. Jauh termenung. Teringatkan mesyuarat aset petang inikah, atau terkenangkan Tuan Norman yang kacak macam Shun Oguri?” tambah Aireena lagi sebelum sempat Batrisya membalas kata-katanya.

Wajah Batrisya berubah mendadak. Salah satu serkap jarang Aireena memang mengena. Macam Nujum Pak Belalang pula. Batrisya sememangnya tengah teringatkan Norman. Namun, lelaki itu tidaklah tampan macam pelakon Jepun yang diperkatakan.  Sipi-sipi Norman Hakim pun tidak ada. Iras Norman KRU jauh sekali.

“Risya! Kenapa? Aireen tengok, asyik mengelamun saja. Is there something wrong somewhere anywhere?” Aireena bertanya lagi apabila Batrisya hanya diam seribu bahasa. Sahabatnya ini macam ada masalah tetapi apa?

Batrisya mendengus kecil seraya memandang Aireena sekilas. “Risya terfikir. Adakah sikap Risya sendiri yang telah menimbulkan fitnah…”

“Maksud, Risya?” Aireena mencelah lagi. Wajahnya semakin serius.

Batrisya mengeluh kecil. Wajah Norman hadir dengan tidak semena-mena. Batrisya cepat-cepat menggeleng. Astaghfirullah. Dia tidak mahu mengingati lelaki itu! “Risya khuatir, salah itu datang daripada Risya sampai Norman…”

“Tergila-gilakan Risya?” Aireena menjampuk separuh menjerit.

Batrisya menunduk. Tidak ada patah kata yang terungkap dari bibirnya. Terasa diri bagai sedang syok sendiri pula.

Aireena tersenyum lebar. “Aireen pun tak tahu nak cakap apa, atau salah siapa tetapi…” dia terdiam sekejap. Dahinya berkerut. “Lelaki…” tambah Aireena pendek. Perbualan terhenti di situ. Noktah!

NORMAN berjalan laju masuk ke bilik dengan dahi berkerut. Fail bertimbun di atas meja. Pen dan pensel berselerak di tepi skrin monitor. Pagi esok, ada latihan kebakaran dengan pihak bomba. Hrmis pun belum siap diisi. Pening! Pening! Pening!

“Ka…” Baru sahaja Norman hendak mengomel sendiri, pintu biliknya diketuk.

Norman mendengkus kuat. “Macam mana kerja nak siap kalau dalam sehari, berpuluh-puluh kali orang ketuk pintu bilik?” Terluah juga isi hatinya yang terpendam sekian lama. Norman terus membatu tanpa suara.

Pintu bilik Norman diketuk lagi. Matanya serta-merta membulat. Keserabutan berganda. Dari tahap 3 meningkat ke tahap 6. Jika membuat pemeriksaan kadar gula dalam badan, pasti doktor akan mengesahkannya berisiko mendapat diabetes. Masakan tidak.  Peningkatan kadar gula naik mendadak sampai 6 milimol per liter (mmlo/L)!

“Masuk,” ujar Norman serius. Renungan matanya tetap tajam memandang pintu bilik yang masih terkatup rapat.

Batrisya sudah berdiri di hadapan meja. Norman yang tadinya serius hampir terloncat ke belakang. Batrisya tampak ayu dengan baju kurung longgar berwarna hijau muda. Tudungnya pula dilabuhkan melepasi paras dada. Cantik…

“Tuan Norman,” kata Batrisya. Suaranya tidak dilunakkan tetapi tetap lembut.

Jantung Norman berdegup kencang. Keserabutannya menghilang mendadak. “Ada apa, Risya?” soal Norman pendek.

Batrisya terus menghulurkan memorandum yang perlu ditandatangani Norman seraya berkata, “Ada beberapa memo yang Tuan perlu tandatangan. Nanti, Tuan tengoklah kalau-kalau ada yang terlepas pandang.”

Norman menghembus nafasnya perlahan. “Awak ni, Risya. Kalau masuk bilik saya, mesti nak minta tandatangan. Tak pun, nak bagi fail dan surat. Boleh tak kalau sekali dua kala awak masuk ke sini, awak tanya khabar saya. Tanya, saya dah makan ke belum. Sihat ke tidak? Lagi afdal kalau awak kemaskan fail dan pen yang berselerak ni. Berserabut kepala otak saya melihatnya. Sudahlah minit mesyuarat belum siap. Hrmis pun tidak setel. Bertambah celaru saya dibuatnya…”

Dahi Batrisya berkerut. Mulutnya ternganga sedikit. “Saya letak memo ni di sini. Siap tandatangan, Tuan letak atas meja, saya ambil sendiri,” sampuk Batrisya sebelum sempat Norman memanjangkan bicaranya. Kemudian, dia berundur setapak lalu keluar dari bilik itu.

Norman terkesima. Matanya membulat mengekor langkah Batrisya sehingga kelibat gadis itu hilang dari pandangan. Norman menggeleng perlahan. Payah betul hendak berbicara mesra dengan Batrisya. Mahalnya, sungguh-sungguh!

WAJAH Batrisya mencuka memandang Aireena yang sedang asyik membuat kira-kira. “Buat apa, Aireen?” soal Batrisya dengar tidak dengar.

Aireena terus mendongak. Senyumnya terukir kelat dengan dahi yang masih berkerut. “Aireen tengah buat claim untuk kursus di Sungai Petani hari tu. Sayangkan jabatan sayang juga, tetapi duit sendiri lebih disayangi,” dia berterus-terang.

Batrisya yang mencuka tadi tersenyum sedikit. Kata-kata Aireena memang ada benarnya. “Risya pula, kenapa mencuka macam orang tak dapat claim OT saja? Tidak pun…” dia terdiam sejenak. 
“Ni mesti sebab baru jumpa dengan Tuan Norman kita yang kacak tu,” ujar Aireena bersahaja.

Wajah Batrisya serta-merta berubah. Memang tepat! Batrisya mendengus perlahan. Bebelan Norman yang macam nenek kebayan tadi tidak semena-mena terngiang di benaknya. Setiap kali berurusan dengan lelaki itu, ada sahaja perkara yang mahu diperkatakan. Malangnya, ‘sesuatu’ itu tidak pula punya keberkaitan dengan kerja yang sedang dilakukan.

“Memang baru jumpa nenek kebayan tu tetapi tolong sikit. Tuan Norman kita tak kacak langsung. Perasan bagus sahaja yang lebih,” balas Batrisya sungguh-sungguh.

Mulut Aireena ternganga luas. Matanya juga membulat. “Wah, tak pernah Cik Risya marah macam ni. Memang meletup sungguhlah…”

“Hisy, Aireen. Gunung berapi pun boleh meletus, inikan pula manusia…” kata-kata Batrisya terhenti di situ. “Risya dah kerja di sini lebih setahun. Bayangkan. Dalam seminggu, lima hari kena berhadapan dengan Tuan Norman yang suka benar merapu. Orang minta tandatangan memo, dia suruh kita tanya khabar dia. Orang minta semak laporan, dia suruh buatkan air. Dia ingat, Risya ni bini dia ke?”

“Insya-ALLAH, sampai masa jadilah bini saya. Boleh?” sampuk Norman sambil tersenyum lebar.
Batrisya menelan air liurnya sekali. Matanya membulat tanpa kerdipan. Batrisya mengkaku mendadak.

“Aireena, teruk sangat ke saya ni sampai susah sangat nak berkawan dengan teman baik awak yang seorang ni? Bukan buat apa-apa pun. Berkawan saja,” tambah Norman lagi bersahaja.

Batrisya segera menoleh ke arah Norman. Anak mata lelaki itu direnung tajam. Rasa geram dan sakit hati pada pegawai atasannya itu membuak-buak. Agak lama…

“Ehem, ehem…” Aireena berdehem.

Batrisya menelan air liurnya sekali. Jantungnya tidak semena-mena berdegup kencang, dup dap… dup dap. Tubuhnya mengeras lagi. Batrisya langsung tidak berdaya untuk bergerak. Pandangan dari mata ke mata itu sudah turun sampai ke hati, Astaghfirullah.

“Ri… Risya nak ke pantri sekejap,” kata Batrisya tergagap-gagap lalu berjalan laju ke hadapan.
Norman dan Aireena saling berpandangan. Senyum mereka terukir nipis. “Pantri sebelah sana, Cik Kak oi,” laung Norman separuh menjerit.

Batrisya berhenti melangkah. Dia tunduk memandang lantai. Tangan kanannya memegang perlahan atas dadanya. Jantungnya masih lagi bergelora kencang. Tidak lama, dia pun membelok ke arah yang dimaksudkan Norman. Wajahnya sudah berubah kemerahan.

Aireena yang masih tidak berganjak dari situ memandang Norman atas bawah. “Tuan sukakan dia betul-betul ke?” soalnya separuh berbisik.

Dahi Norman berkerut. Dia memandang Aireena sekilas, kemudian melihat memo yang dipegangnya. Norman diam, tidak menjawab apa-apa.

“Dah setahun Tuan mencuba. Kalau benar-benar suka, hantar sahaja rombongan meminang. Kalau kena tolak, ambil borang minta bertukar negeri lain. Kalau Tuan asyik menyakat macam ni, sampai bila-bila pun tak selesai. Saya yang menengok pun semput. Lagipun, Tuan bukannya muda lagi nak mengayat macam budak umur 25 tahun,” Aireena menyatakan pandangannya panjang lebar.

Norman mengagguk perlahan. “Cadangan yang bernas tetapi saya tidak akan masukkan dalam pengiraan penilaian prestasi kerja kamu,” katanya perlahan lalu beredar masuk ke dalam biliknya.
Norman mengeluh lagi. Fail-fail yang bertimbun kembali menyerabutkan benaknya. Tidak lama selepas itu, dia pun mengeluarkan telefon bimbit dari celana hitamnya. Mesej ditaip laju…

Salam, Risya. Pukul 11.00 nanti, saya ada mesyuarat dengan jabatan kewangan. Jika awak nak pahala lebih, tolong kemaskan bilik saya. Terima kasih.

Mulut Batrisya ternganga luas. Kiriman mesej yang dikirim Norman dibaca berulang kali.

Hisy! Astaghfirullah… Baru sahaja Batrisya hendak menambah air sejuk ke dalam gelas, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Mulut Batrisya serta-merta memuncung.

… sebagai praktikal awal sebelum awak jadi suri di hati saya.

Batrisya mendengus kuat. Dia terus mematikan telefon bimbitnya. Degupan jantungnya tetap kencang seolah-olah tidak mahu berhenti lagi. Terasa bintik-bintik hitam menyelubungi jiwanya yang semakin berkarat.

PAGI esok, ada mesyuarat di ibu pejabat. Namun, masih banyak laporan yang belum dibereskan.  Jadi, terpaksalah Batrisya bekerja lebih masa. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 malam tetapi anak dara ini masih menghadap komputer di pejabat.

“Tak rasa nak balik lagi ke, Cik Kak oi? Awak tu anak dara. Tak elok bekerja sampai lewat malam. Berseorangan di pejabat pula tu…” terjah Norman dari arah belakang.

Mata Batrisya membulat. Mulutnya memuncung panjang macam Daisy Duck. Suara itu cukup sumbang pada pendengarannya. Batrisya segera memandang sekeliling. Jantungnya yang tenang tadi berdegup kencang dengan tidak semena-mena. Hanya dia dan Norman! Bukankah apabila lelaki dan perempuan duduk berdua-duaan di tempat sunyi, yang ketiganya adalah syaitan?

Norman mendengkus perlahan. “Baliklah. Esok, saya yang buat pembentangan. Bukannya awak. Saya yang perlu menjawab soalan. Baik awak balik sekarang. Kalau jadi apa-apa, lagi payah. Banyak sangat kes sekarang ni. Rompak, ragut, bunuh, rogol… awak tak takut?” tambah Norman serius.

Batrisya menelan air liurnya buat kesekian kali. Kata-kata Norman yang terlalu berterus-terang itu sedikit sebanyak menggerunkan hatinya. Bukan dia tidak tahu tetapi hari ini… Batrisya terpaksa. Kerjanya belum siap!

Tanpa lengah, Batrisya pun bersiap-siap untuk pulang. Sudah pukul 9.30 malam. Alahai, Batrisya sudah lewat benar.

Norman menggeleng laju. Berbuih dia bercakap, satu patah kata pun tidak terpacul dari mulut Batrisya. Norman merasakan bagai sedang berbicara dengan tunggul kayu yang telah disumpah menjadi batu konkrit.

“Terima kasih, Tuan atas keprihatinan,” ucap Batrisya tiba-tiba lalu beredar dari situ menuju ke lif.
Mata Norman membulat. ‘Boleh pula bercakap,’ dia mengomel sendiri. Norman terus tercegat di situ dengan mulut yang ternganga separuh.

JAM sudah menunjukkan pukul 10.30 malam tetapi tayar bas RapidKL pun masih belum kelihatan. Batrisya mendengus kecil. Kecut perut juga dia berdiri berseorangan di perhentian bas yang sunyi ini. Sudahlah tidak banyak orang yang lalu-lalang, bunyi nyamuk pun tidak kedengaran. Batrisya yang sudah letih berdiri duduk semula.

“Hai, Cik Adik manis. Beraninya jalan malam-malam. Tak takut orang kacau ke?” sapa seorang lelaki lembut.

Batrisya tersentak kecil. Jantungnya bergelora kencang. Dia memandang lelaki bermata kuyu yang berdiri di tepinya itu atas bawah. Kemudian, Batrisya bergerak beberapa tapak menjauhinya.

“Alahai, Cik Adik. Janganlah takut. Saya bukannya nak buat apa-apa. Mahu berteman dan bermesra saja. Nama saya Ridzuan,” tambah Ridzuan sungguh-sungguh.

Mata Batrisya serta-merta membulat. Sah! Lelaki yang bernama Ridzuan ini sedang mabuk. Batrisya menelan air liurnya sekali. ‘Ya, ALLAH…’ desis hati kecil Batrisya sendiri.

Senyum Ridzuan semakin melebar. Dia terus mendekati Batrisya. Namun, baru sahaja dia hendak menyentuh bahu gadis itu…

“Tak ada kerja lainkah yang kamu nak buat?” sergah Norman lalu menolak Ridzuan kuat.

Batrisya terkesima lagi. Begitu juga dengan Ridzuan. Masing-masing terkedu melihat Norman yang sedang menyinga. Macam Boboi Boy yang datang menyelamatkan mangsa.

“Suka hati akulah. Aku bukan kacau awek kau pun,” balas Ridzuan kasar seraya berkalih ke arah Batrisya. “Cik Adik manis, teman abang malam ni, boleh?” ujarnya sungguh-sungguh.

Norman hilang sabar. Tanpa memberi sebarang amaran, dia terus menampar muka Ridzuan. Kuat… sampai terteleng mukanya.

“Hei, kau apa pasal? Aku tak kacau kau, kau jangan sibuk hal aku. Awek ni siapa, kau gelabah sangat? Mak kau? Adik kau?” jerit Ridzuan seperti orang hilang kewarasan.

Norman menghembus nafasnya kuat. Wajah Batrisya yang masih lagi ketakutan dikerling sekilas. Tidak lama, dia pun memandang Ridzuan semula. “Memang aku kena sibuk dan jadi penyibuk. Awek ni bakal isteri aku. Kau sentuh dia, aku tibai kau sampai tak boleh kacau anak dara orang lagi!” balas Norman serius.

Ridzuan terpana. Dengan tidak semena-mena, dia berasa kecut perut pula. Ridzuan menggosok matanya berkali-kali. Baru sekarang Ridzuan tersedar, dia hanyalah bersaiz 3S. Lawannya pula bersaiz XL. Tanpa cakap banyak, Ridzuan terus angkat kaki.

Norman memandang Batrisya atas bawah. “Awak tak apa-apa?” soal Norman sungguh-sungguh.
Batrisya mengangguk lesu, masih lagi terkejut dengan peristiwa sebentar tadi.

Norman menarik nafas lega. Senyumnya terukir nipis. “Biar saya hantar awak balik. Itulah. Tak elok anak dara balik kerja malam-malam. Awak pula guna pengangkutan awam. Lagi-lagilah tak terjamin keselamatannya. Lain kali paling lewat pun, baliklah sebelum pukul 7.00. Orang banyak lagi. Kalau nak siapkan kerja, memang kerja tak akan habis,” pesan Norman panjang lebar.

Batrisya turut sama mengukir senyum. Dia terus mengekor langkah Norman dari belakang menuju ke tempat dia memarkir keretanya.

“Saya duduk di belakang, boleh? Tak biasalah duduk depan,” Batrisya bersuara tiba-tiba.

Norman segera menoleh ke belakang seraya membalas, “Awak nak duduk dalam bonet pun boleh…” kata-katanya terhenti di situ. “Awak jangan risau, saya tak akan jual awak di mana-mana,” tambah Norman lagi berseloroh.

Batrisya tergelak kecil lalu masuk ke dalam kereta. Dia duduk betul-betul di belakang kerusi pemandu, sedikit menyorok agar Norman tidak dapat melihatnya melalui cermin pandang belakang. “Terima kasih,” ucap Batrisya dengar tidak dengar.

Norman mengangguk-angguk. “Lain kali hati-hati. Ja…”

Belum sempat lelaki itu menyudahkan kata-katanya, Batrisya mencelah. “Jangan kerja sampai lewat malam. Bahaya.” Tawa kecilnya kedengaran sayup-sayup.

Suasana sepi seketika…

Norman terus fokus memandu. Batrisya pula duduk membatu tanpa suara. Batuk pun tidak. Batrisya melihat jam pada pergelangan tangan. Sudah pukul 11.15 malam? Hati Batrisya terus menjadi tidak keruan. Waktu-waktu begini, dia masih berada di luar rumah? Dengan ajnabi pula. Huh! 

“Saya serius untuk memperisterikan awak. Saya juga sungguh-sungguh nak masuk meminang awak. Awak suka saya tak? Awak sudi jadi isteri saya tak?” Norman terdiam sejenak.

Belum sempat Batrisya berkata apa-apa, Norman menambah lagi. “Saya suka awak sejak pertama kali saya kenal awak. Saya nak berbaik-baik dengan awak, awak jual mahal sangat. Tak ada diskaun langsung. Saya nak bergurau dengan awak, awak serius macam tengah bermesyuarat dengan Tuan Pengarah…” kata-kata Norman terhenti si situ. Suasana sepi lagi.

“Awak suka saya tak?” Norman mengulangi soalannya.

Batrisya tunduk memandang alas kaki kereta. Jantungnya terasa berdegup semakin kencang.
“Awak…” Norman tidak putus asa mendapatkan kepastian.

Batrisya menarik nafas, kemudian menghembusnya perlahan. “Saya suka awak tetapi…” tergagap-gagap Batrisya melontarkan bicara.

Norman tersenyum lebar. Persoalan kepada sesuatu yang tersimpan lama di dalam benaknya sudah terjawab. “Tetapi apa?” soal Norman sungguh-sungguh.

Batrisya mendengus perlahan. “Saya suka Tuan tetapi saya tetap perlu memelihara diri saya selaku seorang muslimah. Saya tidak boleh semberono berbual mesra dengan Tuan tanpa hala tujuan. Fitnah itu dekat dengan saya. Jika Tuan benar-benar serius, datanglah ke rumah. Jumpalah ibu dan ayah saya,” balas Batrisya panjang lebar. Halus dan bergetar suaranya sampai dengar tidak dengar sahaja.

Mulut Norman ternganga luas. Tidak pernah Batrisya seberani itu dalam berbicara. Tidak lama, dia terus mengukir senyum lebar. Pedal minyak pun ditekan. Hati Norman berbunga ceria.