Jom jadi baik...

Assalammualaikum. Fuh... naik sawang blog ni. Nawaitu nak update blog secara konsisten tetapi apakan daya... masa agak mencemburui. Macam sibuk bebenar. Oh ya. Hujung tahun hari tu, parents Muthiah datang dari Terengganu. Plan asal, datang lebih kurang seminggu sahaja tetapi dek kerana banjir di Pantai Timur, terpaksalah tangguh. Mak tak senang duduk dah. Kita ajalah senyum simpul dan suka hati. 

Macam mana hari-hari dalam tempoh PKP? Muthiah... tak ada apa yang unik. Aktiviti harian berlangsung seperti biasa. Off cycling agak lama. Workout dan briskwalk pun tak buat dah. Akibatnya, berat naik 1kg. Huhaha. Hari ni, nekad untuk jaga pemakanan dan aktiviti fizikal balik.

Okey. Last but not least... jom semat dalam hati. Berusaha jadi insan yang paling baik di sisi Allah. Bercakap yang baik. Bertindak yang baik. Melihat yang baik. Sebelum nak buat apa-apa tu, fikir dulu... Allah suka dak. Peringatan untuk diri Muthiah sebenarnya.

Wassalam.

Jatuh Bangun Seorang Aku (I)

Percaya itu aku… 

Suamiku sering ungkapkan, “Awak ni kena tohok ke laut.” 

Aku membalas, “Kenapa sampai nak kena buang ke laut?” 

“Sebab bila awak dicampak ke laut, awak akan buat apa saja untuk hidup!” 

Ya. Kata-kata suamiku memang ada benarnya. “I am a work hard person”. Bukan setakat seorang yang bekerja keras tetapi juga seorang yang gigih berusaha untuk mencapai impian. Aku nak. Aku rancang. Aku buat. Aku serah segalanya kepada Pencipta. On your mark. Get set. Go!

Panaskan badan (warming up). Tarik nafas. Hembus. Berjalan beberapa langkah. Cari rentak. Okey. Jumpa. Percepatkan gerak kaki. Makin lammakin laju. Perlu lari, aku berlari.Perlu pecut, aku memecut. Sedang aku bersemangat mengejar impian, langkah kakiku tidak semena-mena terhenti. 

Apakah? Oh. Ada sesuatu di hadapan. Ada lubang. Aku hampir tersadung. Ada api. Aku hampir terbakar. Ada air dalam. Aku hampir lemas. Ada duri. Aku kesakitan. Aku berdiri tegak. Melihat jauh ke hadapan. Impianku masih jauh. Terlalu jauh untuk dikecapi. Aku tarik nafas. Hembus perlahan. Tarik nafas sekali lagi. Kali ini, hembusan nafasku lebih kuat. 

Aku tepuk dada sendiri lantas menjerit sekuat hati, “Aku tak takut dengan halangan!” Kata yang tidak seiring dengan hati. Aku gusar tetapi aku perlu nyahkan rasa hati itu. Aku ragu-ragu tetapi aku perlu yakinkan diri aku sendiri. Jika bukan aku yang memilih untuk terus melangkah menuju destinasi, siapa lagi? Jika bukan aku yang kuat, siapa lagi? Jika bukan aku yang bangkit, siapa lagi? 

Jawapannya. Aku. Akulah yang membuat pilihan! Jatuh… bisa bangkit. Cedera... bisa diubati. Mati… kepada Allah kita kembali. Asal mana aku tidak memilih untuk berputus asa. Aku pasti berjaya. Berjaya dalam berusaha. Berjaya dalam mengejar impian. Berjaya dalam berperang dengan diri sendiri. Berjaya apabila tidak berhenti terus di pertengahan menuju destinasi. Bagaimana hendak berjaya? Yakinlah, sesungguhnya Allah ada. Yakinlah, sesungguhnya janji Allah itu benar. Yakinlah, bahawasanya kesungguhan dan kegigihan pasti akan membuahkan hasil. 

Firman Allah yang bermaksud, ‘Sesungguhnya Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri,’ (al-Ra’d, 13:11). Bagaimana pula dengan hasil yang diperoleh? Boleh jadi sepertimana hasil yang aku impikan. Boleh jadi sepertimana hasil yang orang lain impikan. Apa yang pasti. Hasilan yang diperolehi adalah yang terbaik daripada Allah untuk diri aku. 

“Itulah aku,” bisik hati kecilku. Masih lagi berusaha untuk meyakinkan diri yang hatinya sentiasa berbolak-balik. Mampu atau tidak? Boleh atau tidak? Sebagai hamba Allah yang lemah, keraguan dalam jiwa itu tetap ada tetapi mindaku memaksa untuk aku terus yakin yang aku boleh… Dengan izin Tuhan.