Mencari Naurah (Bab 43)
Saturday, June 16, 2012
Novel | Mencari Naurah
‘SESUNGGUHNYA mereka yang mengatakan, “TUHAN kami ialah ALLAH,” kemudian
mereka meneguhkan pendirian mereka. Maka, malaikat akan turun kepada mereka
dengan mengatakan, “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah
mereka dengan jannah yang telah dijanjikan ALLAH kepadamu,”,’ al-Fussilat ayat 30.
|
Sari
pati ‘janganlah merasa sedih’ aku pegang erat-erat. Benar kata Kak Rose... bila
kita kebuntuan, carilah ALLAH. Jadikan tafsir al-Quran sebagai teman yang paling
akrab. Tatkala kelapangan, beleklah ia. Mungkin ada tarbiah daripada ALLAH buat kita di dalamnya.
Surah
al-Fussilat aku baca dengan penuh perasaan. Air mataku jatuh satu per satu.
Meskipun tidak memahami maksudnya, hatiku tersentuh tatkala mengalunkan kalimah
suci ini.
Dari
satu sisi, aku melihat bahawasanya bangsa Arab merupakan bangsa yang paling
beruntung. Muhammad bin Abdullah bin Abdul Mutalib telah dilahirkan di Kota
Mekah. Dibesarkan di Kota Mekah bahkan junjungan mulia itu juga telah menyebarluas
dakwah di Kota Mekah. Paling utama, ketundukan Mekah kepada Islam menandakan
suku Arab yang menentang agama ALLAH ini jatuh ke tangan Islam. 13 Ramadhan
tahun kelapan Hijrah melakar sejarahnya sendiri apabila Mekah berjaya dibuka
oleh umat Islam (futuh Makkah). Takbir!!
Bukankah
menjadi satu kebanggaan bagi seseorang apabila bahasa kitab yang paling suci
itu diturunkan dalam bahasa yang dituturkan sehari-hari (yakni Bahasa Arab)?
Bukan Bahasa Melayu, Inggeris mahupun Perancis. Aku sendiri perlu membaca
terjemahan untuk memahami apa yang terkandung di dalamnya. Mereka? Sekali
pandang sudah memahami pengertiannya.
Argh...
aku juga beruntung kerana dilahirkan sebagai seorang Muslim dan iman masih lagi
bertapak di dalam dada. Berapa banyak bangsa Arab yang sudah lupa terhadap
tanggungjawab mereka selaku Muslim?
Mereka
membaca al-Quran, mengerti maksudnya tetapi mungkin sama sepertiku yang tidak
menghayati dan memahami segala sesuatu yang telah ditetapkan oleh-NYA. Kalau
tidak, masakan mereka sanggup bertelagah sesama sendiri berbanding membantu
saudara seagama mereka. Lihat sahaja apa yang berlaku di Palestin.
Orang
tua, kaum wanita, anak-anak dizalimi tanpa perikemanusiaan. Memang, mereka
berjasadkan seorang insan tetapi memiliki hati yang lebih ganas daripada
binatang. Sang ular tidak akan mematuk manusia melainkan merasa diri terancam
tetapi Israel yang dilaknat ALLAH memerangi nyawa tanpa sebab yang munasabah.
Alasan yang diberi, mahu menghapuskan pengganas. Mahu menangkap Hamas namun
hakikatnya mereka sebenarnya mahu melenyapkan Muslim di Palestin dari atas muka
bumi ini.
Air
mataku mengalir semakin deras. Pilu mengenangkan saudaraku yang hidup dalam
ketakutan. Bila-bila masa sahaja nyawa boleh melayang dek tindakan manusia yang
merasakan diri mereka besar.
Mereka
mungkin lupa bahawa mereka mungkin besar di kalangan manusia tetapi begitu
kerdil di hadapan TUHAN. Tunggu sahaja ALLAH SWT mengatakan kunfayakun, maka jadilah.
Kemenangan Islam itu pasti tiba. Aku tersenyum dalam tangisan.
“Apabila
datang pertolongan ALLAH dan kemenangan; dan kamu lihat manusia masuk ke dalam
agama ALLAH dengan berbondong-bondong; maka bertasbihlah dengan memuji TUHAN-mu
dan mohonlah ampun kepadanya. Sesungguhnya DIA adalah Maha Penerima Taubat...”
kata-kata Anuar berlegar-legar dalam kotak pemikiranku. Hmm.. lelaki ini
kadang-kadang bisa sahaja menghiburkan aku yang sedang gundah. Aku tersenyum
sendiri.
Muhasabah
tanpa sedar itu membuatkan aku semakin tenang. Sebagai seorang manusia yang
berada di bawah naungan TUHAN-nya, aku perlu kuat. Tidak patut aku membazirkan
masa menangisi sesuatu yang telah ditentukan oleh ALLAH. Ada lagi perkara yang
lebih penting untuk aku fikirkan.
Sesungguhnya
pertemuanku dengan Asyraf berlaku dengan izin-NYA. DIA menetapkan aku mengenali
seorang lelaki berperibadi mulia seperti Asyraf. DIA yang menumbuhkan rasa
kasih itu. Dengan kata lain, DIA-lah yang menemukan dan DIA jua yang
memisahkan. DIA berhak kerana DIA adalah PENCIPTA yang memiliki segala apa di atas muka bumi
ini.
Bertemu,
berkenal-kenalan... kemudian jatuh cinta! Salah siapa pertemuan itu? Aku tahu,
pertemuan itu bukan sahaja-sahaja tetapi ada yang tersirat di sebaliknya. ALLAH mahu mengujiku. Sejauh
mana aku meletakkan keyakinan, pergantungan dan pengharapanku kepada-NYA, ALLAH
yang Maha Esa.
DIA mahu aku berfikir tentang kebesaran dan
kekuasaan-NYA dalam meletakkan ketetapan. Bukankah qadak dan qadar itu adalah
milik ALLAH? Firman ALLAH dalam surah al-Ankabut ayat 2 yang bermaksud, ‘Adakah
manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan berkata, “Kami telah beriman”
sedang mereka tidak diuji?’ Benar! Mana mungkin aku mengakui aku beriman sedang
ALLAH tidak pernah mendugaku.
Wajah
Datin Khatty dan Tengku Amalin datang bersilih ganti. Mereka juga hadir dalam
hidupku dengan izin TUHAN. DIA
yang menetapkan pertemuan kami baru-baru ini. Dengan izin-NYA juga, aku dihina
dengan pedih sekali.
Aku merenung Yahoo
Messenger yang sudah lama sepi tanpa mesej daripada kawan-kawan. Meskipun tidak
mengharapkan kehadiran siapa-siapa, aku tetap mahu menanti. Mana tahu… aku bisa
mendapat tarbiah Ilahiyah di sini, daripada teman mayaku. Sebelum ini, acap
kali juga aku menerima tazkirah melalui mesej luar talian. Tiba-tiba, aku
ditegur seseorang!!!
Shinichi
: Salam. Ada orang? (Diam)
Aku
bertekad untuk menjauhkan diri daripada Asyraf. Dia dan aku umpama langit
dengan bumi. Kami tidak sekufu. Patut pun Asyraf nampak tidak kekok berhadapan
dengan orang besar di kampus. Kehidupannya dikelilingi oleh mereka yang
berdarjat tinggi. Aku? Siapalah aku jika hendak dibandingkan dengannya.
Bak
kata Datin Khatty, ibuku bekerja kampung. Ayahku sudah meninggal dunia sebelum
sempat mendapat gelaran ‘datuk’. Rumahku usang dan penampilanku tidak mengikut
perkembangan semasa, seperti golongan VIP lainnya.
‘Aku
juga VIP,’ aku berkata sendiri. Very important person! Aku adalah
khalifah di atas muka bumi. Aku berperanan untuk mengajak manusia kepada
kebaikan, memakmurkan alam dan mengabdikan diriku kepada ALLAH.
‘Kira
orang pentinglah begitu,’ aku tersenyum.
‘Bangkit,
Natasha. Masih banyak nyawa yang memerlukan perhatianmu,’ pujuk hatiku lagi
sambil mengangkat tangan kanan dengan penuh bersemangat. Kalau Tunku Abdul
Rahman, Perdana Menteri Malaysia yang pertama mengangkat tangan sambil
melaungkan, ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali. Aku pula melaungkan takbir. Entah
berapa kali.
~bersambung~
Assalamualaikum. Wah, kagum sekali membaca setiap bait-bait kata dalam novel akak itu. Mahu mendapatkannya!
Salam perkenalan, salam ukhuwah, salah puisi... Kak Muthiah. :)
Waalaikumussalam, Suhada. Alhamdulillah. Moga mendapat input positif daripadanya.
Ehe. Oleh sebab novel NUR Islamik Alaf 21 sukar didapati di kedai-kedai buku, jika mahu... Suhada bolehlah dapatkannya dengan akak, insya-ALLAH ~ http://siti-muthiah.blogspot.com/2012/06/dapatkan-buku-karya-muthiah.html ^_^
Okey. Salam ukhwah fillah. Moga kita saling mengingatkan (bilhikmah) dan berusaha sungguh-sungguh untuk menjadi hamba ALLAH yang baik...lebih baik dan terbaik! Insya-ALLAH :)