Sesal


“Jahat macam mana pun Farah, dia tetap anak mak!” Kata Mak Som sambil menangis teresak-esak. Air matanya mengalir laju, menterjemah kepiluan yang menusuk kalbunya. Habis basah t-shirt Arsenal yang dipakainya. Entah baju siapa yang disarung, Mak Som tidak peduli. Yang penting, dia mahu Farah kembali ke pangkuannya. Lupakanlah perkara lalu dan binalah hidup baru. Sudah lama Mak Som memaafkan kesalahan anak bongsunya itu.

“Lupakanlah Farah mak. Dia bukan ingat kita lagi…” diam seketika.
“Kalau Farah sayangkan kita, dia tak akan buat kita macam ni mak…” Asdi memandang wajah Mak Som sayu. Jauh di sudut hati, ia masih sayangkan Farah namun kedegilan adik bongsunya itu membuatkan Asdi menjadi bosan. ‘Ya! Farah sudah melampau,’ hati kecilnya bersuara.
“Kalau Farah fikirkan mak, dia tak akan kahwin lari mak,” pujuknya lagi. Asdi tahu, Mak Som tidak akan mendengar bait katanya tetapi ia harus menyedarkan ibunya agar tidak terus berharap. Farah seakan orang asing dan anak manja Pak Mat itu seolah-olah sudah lupa asal-usulnya. Farah lupa… tanpa Mak Som dan arwah ayahnya, dia tidak akan mampu melihat dunia, dia bukanlah siapa-siapa.

Mak Som hanya diam. Tidak ada butir bicara yang terungkap dari bibirnya yang masih merah. Mungkin dek sireh yang dimakannya. Mak Som memandang ke luar jendela. Wajah manis Farah berlegar-legar di fikirannya. ‘Adakah mak yang bersalah sayang,’ Mak Som berkata sendiri. Kenangan silam menjelma…

“Farah nak kahwin,” kata Farah suatu hari.
“Kau nak kahwin dengan siapa? Belajar dulu, jangan buat tindakan melulu,” sampuk Asdi. Baginya, Farah masih terlalu muda untuk berumahtangga. Masak nasi pun tidak lepas, ada hati mahu bina keluarga?
“Biar adik cakap dulu Die,” Mak Som berkata lembut.
“Mak….” Asdi memandang ibunya tanda protes. Farah tidak boleh dimanjakan sangat, nanti naik minyak. Kemudian, Asdi berjalan menuju ke ruang tamu. Ia mencari-cari sesuatu. ‘Nah! Ini dia,’ bisiknya.
“Ni apa?” Tanya Asdi sambil melemparkan slip keputusan peperiksaan Farah ke mukanya.
“PNGK, 1.90. Ada hati nak bernikah? Habiskan belajar dulu. Ingat Farah, aku yang tanggung kau selama ni. Bulan-bulan, aku yang bagi duit. Aku buat pinjaman…” Asdi terdiam.
“Semuanya aku buat untuk kau. Ini balasan kau pada aku?” Asdi meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Ya, Asdi punya sebab untuk marah. Dek sayang, ia sanggup berkorban demi adik bongsunya. Disebabkan rasa sayang jualah ia tidak teragak-agak membuat pinjaman dengan Lim Ah Long. Harapannya satu, agar adiknya berjaya dan menjadi orang berguna. Marahnya kepada Farah bukan kerana benci tetapi dek cinta yang mendalam buatnya. Farah hanya diam seribu bahasa namun jauh di sudut hati, kebencian terhadap abang kandungnya itu semakin membuak-buak. Ah, Farah masih terlalu mentah dalam membuat pertimbanganya.

Esoknya…
Tok tok tok… diam.
Tok tok tok… diam lagi.
“Farah, bangun. Dah Subuh sayang,” kata Mak Som lembut dari luar bilik. Begitulah Mak Som sehari-hari. Kalau Farah berada di kampus, ia hanya perlu mengejut Asdi dari tidur. Kalau kedua-duanya berada di rumah, kedua-dua bilik anaknya itu perlu diketuk. ‘Tidur mati gamaknya,’ fikir Mak Som.

Mak Som cuba menolak pintu bilik Farah. Kuak… tidak berkunci!
“Farah…” panggil Mak Som.
“Farah!!!” Tiba-tiba Mak Som menjerit. Anak gadisnya tidak ada di atas katil. Ke manakah ia pergi?
“Asdi!!!” Mak Som segera memanggil anak sulungnya. Asdi, yang kelazimannya begitu liat untuk bangun pagi tiba-tiba sudah terpacak di hadapan Mak Som. Terkejut agaknya dengan jeritan Mak Som yang lebih kuat daripada jeritan Nohara, mamanya Shin Chan.
“Ish, menyusahkan betul budak ni,” bebel Asdi. Segera ia menuju ke katil Farah. Adik bongsunya memang tidak ada. Kemudian, Asdi berjalan ke arah almari pakaian. Pakaiannya juga tidak ada. Tiba-tiba, Asdi terpandang sekeping kertas yang diletakkan di birai katil. Tanpa melengahkan masa, Asdi mengambil kertas putih itu lantas membaca bait kata yang dicatatkan di atasnya.

Mak,
Maafkan Farah kerana terpaksa membuat keputusan ini. Farah tekad untuk mengikut Cagan. Farah cintakannya dan Farah mahu bersamanya….

Pendek tetapi padat. Asdi meramas-ramas kertas putih yang terkandung coretan daripada Farah. Mak Som ditenung penuh simpati. Asdi tahu, mungkin ia terlalu tegas dengan Farah tetapi adik bongsunya itu betul-betul telah mengecewakannya. Asdi sayangkan Farah, Asdi rela berkorban untuknya tetapi mungkin ketegasannya dalam mendidik membuatkan Farah berasa tersisih. Salahkah ia sedang itu adalah sifat semulajadinya? Asdi menundukkan kepalanya ke lantai. Air mata lelakinya jatuh jua ke bumi. Asdi terkilan…

Tahukah Farah tindakannya yang tidak mahu serius dalam pelajaran membuatkan dia tertekan? Ditambah dengan keputusan Farah untuk bernikah, dan bakal suami pilihannya bukanlah seorang yang terjamin masa depannya. Asdi kenal lelaki itu…

Cagan anak Pak Mail adalah mat rempit yang begitu masyhur di kampungnya. Ia berbangga dengan luka dan parut yang mendiami tubuhnya. Minggu sudah, khabarnya Cagan telah ditahan di dalam lokap kerana merempit dan meragut. Aduh aduh, entah apa hendak jadi dengan pemuda hari ini, Asdi pun tidak tahu. Farah pula, tersilap langkah dengan memilih lelaki sebegitu sebagai teman lelaki.

“Hahhhhh…” Asdi tiba-tiba menjerit. Ia betul-betul tertekan! Manakan tidak tertekan… seandainya adik perempuannya itu kandas, siapakah yang akan membantunya melangsaikan hutang Lim Ah Long? Bukan Asdi tidak tahu dengan sikap ceti yang cekik darah itu tetapi ia terpaksa. Dia tidak punya pilihan, harta apatah lagi dan dia hanyalah seorang tukang cuci.

Gajinya tidak seberapa dan dia bukan siapa-siapa. Sebab itulah lamarannya untuk memperisterikan Salmah, anak Pak Leman nombor tiga ditolak beberapa kali. Walaupun Salmah turut bekerja sebagai tukang cuci, Pak Leman tetap mengimpikan menantu berkereta besar dengan mahligai mewah.

“Asdi…” Mak Som memanggil-manggil anak lelakinya. Tanpa mengendahkan panggilan Mak Som, ia segera meninggalkan bilik tersebut dan menuju ke ruang tamu. Dicapainya kunci motor Honda 50cc lantas membuka pintu rumah dan terus berlalu meninggalkan Mak Som terkebil-kebil sendiri. Entah ke mana Asdi hendak pergi, Mak Som sendiri tidak tahu. Pagi itu, Mak Som hanya duduk di beranda rumah memerhati langit yang sentiasa mendung tetapi tetap tidak mahu menurunkan hujan. ‘Farah… Asdi, sudah lama mak ampunkan kalian,’ Mak Som berkata sendiri.

Tok tok tok… pintu rumah diketuk.
Mak Som yang tadinya sedang hanyut dalam dunianya tersedar daripada lamunan. Perlahan-lahan Mak Som berjalan ke muka pintu. ‘Siapakah mereka ni?’ Fikir Mak Som di dalam hati.
“Alo… itu Asdi ada ka?” Tanya seorang lelaki cina berkepala botak dengan tatu di lengan.
“Ada… tunggu sebentar tauke,” jawab Mak Som lantas masuk ke dalam rumah, terlupa agaknya Asdi baru sahaja keluar dari rumah.
“Die… Die… Die…” panggil Mak Som perlahan. Tadi, anak lelakinya sedang minum air di dapur. ‘Ke mana pulak budak ni pergi,’ bisik hati Mak Som. Segera ia berjalan ke luar, khuatir tetamu di luar menanti terlalu lama.
“Maaf tauke. Tadi ada, sekarang hilang. Lu mahu pesan apa-apa?” Mak Som berkata sejujurnya.
“Macam inilah makcik. Anak makcik hutang sama saya RM3,000…” diam sejenak.
“ Katanya, itu amoi dapat masuk universiti. Sekarang, sudah tiga tahun hutang belum habis bayar. Jadi, itu bunga sudah naik sampai RM10,000. Makcik tolong bagi ini hadiah pada anak makcik. Kasi tahu sama dia, kalau dia lari, saya kasi tembak,” kali ini, lelaki bermisai tebal tersebut berkata tegas. Mungkin inilah dia Lim Ah Long.
“Ingat ya makcik,” katanya lagi dengan suara yang dilembutkan. Belum sempat Lim Ah Long berlalu pergi, ia dilanggar oleh Seman, anak Pak Dollah.
“Mak Som… Mak Som… Abang Asdi berlanggar dengan lori balak. Habis kepalanya pecah,” katanya tercungap-cungap.
“Asdi!!!” Jerit Mak Som lalu jatuh pengsan.
“Aiyaa… itu budak ada mati ka? Siapa mahu bayar sama ini hutang?” Lim Ah Long menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Lu ceti… orang sudah mati lu pikir itu wang lagi ka?” Tanpa rasa gentar, Seman menempelak lelaki cina itu. Cepat-cepat ia mendapatkan Mak Som yang sudah tidak sedarkan diri.
“Lain kali, saya datang lagi,” dengan angkuh Lim Ah Long berkata. ‘Manyak lugi maaa,’ ia mengomel-ngomel sendiri.
“Mak Som, Mak Som…” Seman memanggil-manggil nama Mak Som. Tiada respon.
“Mak Som…” panggilnya lagi.
“Kenapa dengan Mak Som tu Seman?” Tanya Mak Piah yang baru sampai ke rumah Mak Som. Setelah mengetahui kemalangan maut yang menimpa Asdi, cepat-cepat Mak Piah ke rumah rakan karibnya itu.
“Tak tahu Mak Piah. Tiba-tiba dia jatuh pengsan,” kata Seman yang seolah-olah sudah hilang akal, tidak tahu apa yang harus dilakukan.
“Som…” panggil Mak Piah. Dada Mak Som dipegang perlahan. Hmmm… nadinya tidak berdenyut. Mak Piah kemudiannya meletakkan jari manisnya pada hidung Mak Som yang tidak mancung. Hmmm… tidak ada udara.
“Seman! Pergi panggil misi Noriah cepat. Mak Piah tak pandai nak …” belum habis Mak Piah memberi penerangan, Seman sudah berlari kencang ke atas jalan. Dia mengagak…

“Innalillahiwainnailaihirajiun…” misi Noriah berkata tatkala ia menjamah tubuh Mak Som. Ya, Mak Som telah pergi tak akan kembali, bersama-sama anak terunanya yang belum sempat menikmati kehangatan hidup berumahtangga. Kasihan Asdi, menemui ajal sebelum sempat bergelar suami. Meskipun Pak Leman menolak, jauh di sudut hati ia mencintai anak gadis Pak Leman itu dan ia pasti, Salmah juga mempunyai rasa yang sama.

Setelah mayat Mak Som dan Asdi siap dikapankan, banyaklah penduduk kampung yang datang berziarah. Mak Piah kelihatan sugul dengan pemergian Mak Som. Al-maklumlah, Mak Som adalah teman gosipnya. Begitu juga dengan Salmah. Ia menangis teresak-esak tatkala melihat jenazah Asdi. Ia memandang Pak Leman yang sepertinya orang kalah judi dengan renungan yang tajam. Mungkin sahaja Pak Leman menyesal menolak lamaran Asdi. Entah siapalah yang inginkan anak gadisnya yang jongang itu.

Bukan itu sahaja, Pak Atan pun hadir menyembahyangkan kedua-dua jenazah. ‘Aku halalkan hutang-hutang kau Som,’ bisik hatinya. Kasihan Pak Atan melihat keluarga itu. Mak Som tidak bekerja dan hanya mengharapkan Asdi yang kerjanya tidak seberapa. Seman yang tadinya memandang luar jendela tiba-tiba tersentak. Lim Ah Long juga datang?

“Tauke, lu mahu minta hutang ka?” Tanya Seman tatkala Lim Ah Long menjejakkan kaki ke dalam rumah.
“Betul. Manyak lugi ooo,” kata lelaki cina itu bersungguh-sungguh.
“Lu pergi minta dengan itu mayat la,” sindir Seman.
“Aiyaaa… lua-lua sulah mati oooo…” diam sejenak.
“Gua balik lulu oooo. Nanti gua kena itu suwei,” katanya lagi lantas terjun ke tanah tanpa menggunakan tangga. ‘Apa daaa,’ Seman berkata sendiri sambil tersenyum. Tiba-tiba, Seman tersentak lagi. Matanya memandang tepat ke arah wanita bertudung yang sedang berjalan perlahan-lahan menuju ke rumah Mak Som, eh arwah Mak Som. Di sampingnya, ada seorang anak kecil. Tidak seperti wanita bertudung itu, budak lelaki berbaju ‘Upin Ipin’ tersebut berlari laju meninggalkan ibunya yang seolah-olah berat hendak melangkah.

“Mak…”
“Abang Die… ampunkan Farah,” jerit wanita berkerudung hitam itu sambil menangis teresak-esak.
“Mak… ampunkan Farah,” jeritnya lagi.
“Mak dengan abang kau dah tak boleh dihidupkan balik. Dah dah… jangan kau meratap kat sini. Baik kau pergi dari sini,” sergah Seman. Geram betul dia dengan Farah. Dahulu, Seman memang tergila-gilakan Farah tetapi gadis itu menolaknya. Farah bukan setakat menolak tetapi menghina dan mencercanya. Nah, sekarang terimalah pembalasannya.
‘Pembalasan kerana menolak cintaku…’
‘Eh, pembalasan kerana menderhaka kepada ibu…’
‘Pembalasan kerana mementingkan diri sendiri…’ Seman tahu semuanya sementelah Asdi adalah rakan karibnya dan ia sedia maklum tentang pergolakan dalam keluarga Mak Som.

Cagan telah meninggalkan Farah bersama-sama ‘hadiah’ yang paling berharga. Walaupun ia menangis keluar air mata darah sekalipun, virus HIV yang berenang riang di dalam jasadnya tidak akan mahu meninggalkannya. Walaupun Farah menangis sehingga banjir jadinya, Mak Som dan Asdi tidak akan dapat dihidupkan kembali. Farah kesal… Farah menyesal dengan keterlanjuran. Ia memandang anak kecilnya dengan pilu. ‘Maafkan mama sayang,’ bisik hati kecil Farah….
0 Responses