Pesan Mami (Buah tangan)

Salam. Salam ceria dan salam hormat… ada ceria hari ini? Alhamdulillah, Muthiah pun ceria. Bukan sebab baru masuk Astro tetapi entahlah… hari ini bersemangat waja untuk ‘bekerja’. P-FC sesi petang pun sudah siap. Walaupun ada banyak bab lagi, Muthiah akan terus berusaha. Tidak sabar rasanya untuk menyudahkan semuanya. Selepas ini, kena finalise lagi dan lagi. Moga-moga perancangan Muthiah untuk siapkan P-FC sebelum September dimakbulkan Allah. Ada projek lain menanti, insya-Allah.

Entah kenapa Muthiah teringatkan mami… siapa mami? Mami adalah ibu angkat Muthiah sewaktu Muthiah dan keluarga tinggal di Petaling Jaya. Mami adalah seorang tukang masak merangkap surirumah sepenuh masa. Anak mami ada tiga orang semuanya, Kak Zara (suami : Abang Eri) , Abang Fendi (isteri : Kak Hilda) dan Abang Razi. Abah pula (suami mami) bekerja sendiri (sebelumnya, abah berkhidmat dalam TUDM).


Hmmm… mami, walaupun bicaranya banyak (banyak cakap) tetapi hatinya baik dan sejak kecil sampai dewasa, Muthiah banyak belajar daripada mami. Iya… sewaktu Muthiah diletakkan di bawah jagaan mami (arwah mama dan papa bekerja), banyak yang Muthiah belajar sebenarnya terutama hal yang berkait dengan rumah dan tangga, hehe.

Seingat Muthiah, seawal pagi… mami akan minta Muthiah vacuum permaidani atau menyapu menggunakan penyapu lidi. Aktiviti ini adalah rutin mami. Disebabkan selalu menolong mami, setiap pagi (kalau tidak ke sekolah [sekolah sesi petang]) secara automatik Muthiah akan buat semua ini walaupun tidak disuruh.

Aisey, Muthiah bukanlah hendak berbicara tentang ini tetapi ia berkongsi tentang pesan mami kepada Muthiah. Pesan ini mami titipkan sewaktu Muthiah masih belajar di universiti. Apa dia? Hehe…

Sebenarnya, setiap bulan… Muthiah akan pulang ke rumah mami. Sama ada ingin makan sedap atau mami telefon untuk membantunya memasak (untuk surau atau ada tempahan makanan). Setiap kali itulah Muthiah akan membawa sesuatu sebagai buah tangan.

Ya! Inilah yang ingin Muthiah kongsikan. Bilamana kita berziarah, jangan lupa untuk bawa buah tangan. Tidaklah menjadi kesalahan kalau datang dengan tangan kosong tetapi alangkah cantiknya kalau kita membawa sesuatu bersama kita. Menggembirakan tuan rumah dan secara tidak langsung dapat meringankan beban mereka.

Waktu Muthiah belajar dahulu, kadang-kadang… duit tidak cukup (hehe… biasiswa dan RM150 yang papa hantar setiap bulan… Muthiah buat apa ya?). Namun, disebabkan sudah diajar mami untuk membawa sesuatu tatkala berziarah (tidak kira rumah saudara, teman atau adik-beradik)… Muthiah akan tetap membawa buah tangan. Pernah sekali, Muthiah hanya membawa seikat pisang yang harganya bawah RM1.00. Ekonomi Muthiah waktu itu tenat bangat!


Petang itu Muthiah dan mami berjalan-jalan ke rumah Makcik Ummi (teman pot pet mami). Berkebetulan, ada tetamu di rumah Makcik Ummi. Muthiah pun tidak nampak di manakah silapnya tetamu itu (mata mami memang cepat menangkap kesalahan orang lain). Balik sahaja dari rumah Makcik Ummi… mami pesan kepada Muthiah dua perkara:

1- Apabila bertamu, tunggu tuan rumah jemput minum dahulu, barulah kita minum. Kalau tidak nampak gopoh katanya.
2- Bilamana kita berziarah, bawalah apa-apa sebagai buah tangan walaupun hanya seikat pisang (kong kong kong… Muthiah terkenangkan pisang yang Muthiah bawa). Mungkin pada kaca orang tua, ia adalah adab berziarah. Muthiah pun tidak pasti tetapi apa sahaja yang baik, kita buat sahaja ;)

Jadi, selepas ini… jadikannya sebagai amalan. Bawalah sesuatu tatkala berziarah. Tidak rugi sebenarnya bahkan mengajar kita untuk tidak lokek, menghindar diri daripada perasaan takut miskin untuk bersedekah atau memberi hadiah kepada orang lain. Selamat mencuba…

Muthiah : Paling gembira tatkala mendapat hadiah daripada suami dan keluarga. Sejak dari kecil sehingga dewasa, mama sentiasa menghadiahi Muthiah sesuatu setiap kali tiba hari ulangtahun kelahiran yang ke… Tahun lepas, Muthiah dapat chocolate… tahun lepas-lepas, dapat beg galas… sudah kahwin, mama beri teddy bear yang lebih besar daripada adik bongsu Muthiah. Huhuhu….
Labels: 0 comments | | edit post

Dahulu dahulu…




Salam. Waduh waduh… hari ini perut memulas tetapi Alhamdulillah, tetap bertenaga.

Baru-baru ini, Muthiah beritahu suami… Muthiah rasa rendah diri terhadap kawan-kawan suami yang sama jawatan dengannya (staf tempat suami bekerja – pegawai kanan). Entah, mereka wanita berkerjaya dan bergaji besar, punya itu dan punya ini.

Kemudian, suami kata… ‘Jangan rasa macam itu’… sebab, bukan Muthiah tidak punya kerja bahkan sebelum ini pun Muthiah sudah mempunyai pekerjaan tetap. Katanya, Muthiah mengambil keputusan berhenti kerja kerana mahu bersama suami. Bukankah sesuatu yang baik begitu??? (Muthiah sedar hal ini cuma kadang-kadang rasa rendah diri itu timbul).

Kata suami lagi… Muthiah bukan duduk saja-saja tetapi Muthiah MENULIS dan suami menggalakkan Muthiah MENULIS dan terus MENULIS. Bukan itu sahaja, Muthiah juga bekerja sebagai Pengurus Dapur, Pengurus Pakaian, Pengurus Rumah dan banyak lagi sebenarnya kerja Muthiah. Hehe…

Baiklah, berbalik kepada ‘Impian & Cita-cita,’. Muthiah sebenarnya mula menulis sejak berumur 10 tahun (darjah 4)… bukan tulis cerpen/ puisi/ novel tetapi tulis DIARI. Yup… sejak berpindah ke Terengganu (dan semenjak mama meninggal dunia), diari merupakan teman Muthiah yang paling akrab. Kalau di kalangan kawan-kawan…

Teman akrab Muthiah :-

1- Darjah empat hingga enam : Nor Afida Ayu (Ayu)
2- Darjah enam hingga tingkatan dua : Mas Ernie (Ernie)



3- Tingkatan satu hingga tiga : Nor Hazreen (Noyen), Geng SUAZMALINI (Azmar kekal menjadi kawan baik Muthiah sehingga ke hari ini)
4- Di KISAS – macam tidak ada tetapi ada beberapa teman yang Muthiah kagum kepadanya (mungkin kerana akhlaknya)… lagi, Muthiah ada kakak angkat yang bernama Junifa (0506)
5- Di PMKN – Nur Afni Idayu (Afni) dan Aidah (Muthiah juga agak rapat dengan Ainienhayati [selalu sahaja silap eja namanya] dan Che Azwira)
6- Di UM hingga kini – tidak dapat spesifik tetapi Muthiah memiliki orang-orang yang Muthiah sayang ;)

Apa yang Muthiah coretkan? Lazimnya, Muthiah luahkan apa-apa yang terpendam. Contohnya rasa marah, suka, benci, sayang dan banyak lagi. Sekali pandang, Muthiah adalah seorang yang ‘happy go lucky’ serta kepoh juga orangnya.

Semacam tidak ada rahsia yang tersimpan (mungkin) kerana ada sahaja yang Muthiah kongsikan dengan kawan-kawan terutama geng lelaki tingkatan 3KA (Rubar, Amir, Yo, Zamri, Sani, Mat Tam, Pajeng dan Adi[paling rapat dengan Rubar]) – hal bola khususnya [semacam tidak ada isu lain]. Akan tetapi, dalam masa yang sama banyak juga yang mereka tidak tahu terutamanya hal-hal sebenar yang Muthiah kira hanya Muthiah yang boleh tahu. Kalau tidak, jatuhlah ‘standard’ Muthiah, kononnya… Hehe…



Jadi, Muthiah tulis dan tulis. Apa yang berlaku pada hari tersebut (yang penting bagi Muthiah) dan apa sahaja yang telah membuatkan hati Muthiah berbunga. Kalau Muthiah tidak berpuas hati dengan sesiapa pun, Muthiah akan coretkan (terutamanya kepada teman rapat yang Muthiah hendak jaga hati mereka… tetapi lazimnya, Muthiah sepak terus kaki empunya diri yang Muthiah tidak sukai).

Selain menulis diari, Muthiah juga suka membaca. Waktu zaman muda-muda dahulu, Muthiah layan majalah Remaja (cerpen dan novel bersiri di dalamnya). Buku lain… apa sahaja buku di hadapan mata, lazimnya Muthiah khatam sekelip mata.

Bacaan Muthiah :-

1- Zaman sekolah : Apa sahaja buku di hadapan mata (novel/ cerpen/ majalah).
2- Selepas SPM (sewaktu bekerja di Kuala Terengganu [tolong makcik jaga kedai]): Buku-buku politik. Yang Muthiah ingat, antara buku yang Muthiah baca ialah tulisan SH Al-Attas dan Shahnon Ahmad. Yang lain, Muthiah kurang ingat siapa penulisnya dan apa tajuk bukunya.
3- Sewaktu belajar dan sebelum bekerja di bank : Buku-buku tarbiyah terbitan Pustaka Indonesia. Ya… waktu ini, Muthiah lebih gemar membaca buku-buku dari seberang. Dengan kata lain, buku-buku yang membangun jiwa dan rohani. Antara buku kegemaran Muthiah ialah ‘Tarbiyah Ruhiyah dan Tazkiyatul Nafs’.
4- Sewaktu kerja bank : Huhu… banyak merubah corak pembacaan Muthiah. Muthiah baca komik dan komik kegemaran Muthiah ialah Detektif Conan.
5- Sekarang : Berjinak-jinak dengan novel.

Tentang penulisan cerpen, Muthiah menulis sejak di sekolah menengah rendah. Gaya bahasa… terarah kepada gaya bahasa penulis-penulis cerpen dalam majalah Remaja, juga tulisan Ahadiat Akasyah (betulkah ejaan namanya begini?). Antara tajuk cerpen Muthiah ialah : Salam Sejahtera, Untukmu Ibu, ILU (I love You)… Temanya, lebih kepada percintaan (nama lagi dipengaruhi oleh majalah Remaja).

OKlah, Muthiah ingin makan tengah hari dahulu. Hari ini, Muthiah masak mee kari buat bekal suami ke tempat kerja. Huhu… tiba-tiba rasa lapar. Selamat ya ;)

Tauhidullah (ii)




Salam ukhwah fillah. Hehe… hari ini, Muthiah bersemangat untuk menulis. Edit P-FC untuk sesi pagi sudah diselesaikan. Insya-Allah, Muthiah akan finalise pada sesi petang. Jadi, tiba masanya untuk kemaskini blog.

Jom halaqah ;)

Mengesakan Allah dari segi Rububiyah, Mulkiyah dan Uluhiyah (juga asma’ wa sifat)…

1- Rububiyatullah (Allah sebagai satu-satunya Tuhan)

Tuhan – Allah yang mencipta alam semesta.

Dengan kata lain, tidak ada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah… tidak ada yang lebih kita harapkan (pergantungan) kecuali kepada-Nya. Jadi, apapun keadaannya… kita akan / perlu kembali kepada Allah kerana HANYA DIA Tuhan buat umat manusia serta sekalian makhluk di atas muka bumi ini.

a) Khaliqan ( Allah sebagai satu-satunya Pencipta)

Pencipta – yang menciptakan.

Sesungguhnya, segala sesuatu di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah. Dengan kata lain, ALAM ini penciptanya Allah yang Maha Esa… apa yang kita maklumi tentang alam? Alam itu sendiri merangkumi segala sesuatu selain daripada Allah, tidak kira sama ada ia boleh berkata-kata atau sebaliknya.

Sebagai Pencipta, pastinya Allah lebih tahu mana-mana yang baik atau tidak baik buat makhluk ciptaan-Nya. Kenapakah perlu solat lima waktu? Kenapa perlu puasa pada bulan Ramadhan? Kenapa perlu menjaga aurat dan sebagai makhluk yang dikurniakan Allah dengan 1001 kenikmatan, usahlah kita banyak mempertikai setiap suruhan Tuhan kerana Allah tahu hikmah di sebalik setiap perintah-Nya.

Bukankah Pencipta itu pastinya lebih arif dengan segala sesuatu yang dicipta-Nya? Firman Allah dalam surah Al-Fathir ayat satu yang bermaksud, “Segala puji bagi Allah Pencipta langit dan bumi, yang menjadikan malaikat sebagai utusan-utusan (untuk mengurus pelbagai urusan), yang mempunyai sayap, masing-masing (ada yang) dua, tiga dan empat. Allah menambahkan pada ciptaan-Nya apa-apa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.”

Dalil lain - As-Syura :11, Al-Mukmin :62, Yasin :81, Ar-Ra’d :16…

b) Raziqan (Allah sebagai satu-satunya Pemberi Rezeki)

Pemberi – orang / sesuatu yang memberi.
Rezeki – segala sesuatu yang dikurniakan Allah untuk keperluan rohani dan jasmani.

Ketahuilah bahawa kita bukanlah siapa-siapa. Kita tidak punya kekuatan langsung untuk mendapatkan sesuatu (di atas muka bumi ini) melainkan dengan izin Allah. Allahlah yang memberi kita rezeki… Allahlah yang mengurniakan segala kenikmatan ke atas diri kita, atas usaha yang kita lakukan.

SABARlah dalam mengharapkan sesuatu (rezeki) daripada Allah kerana sesungguhnya Dia lebih maklum tentang segala sesuatu (atas diri kita). Sedikit atau banyak itu adalah ketentuan-Nya dan pasti, sebagai hamba yang memperoleh rezeki daripada Allah perlulah banyak berSYUKUR dan berTERIMA KASIH atas apa yang telah kita terima.

Sering kali kita memuji dan memuja mereka yang menyumbangkan sesuatu kepada kita namun acap kali juga kita terlupa dengan pemberian Tuhan yang jauh lebih banyak/ besar daripada yang kita peroleh (daripada manusia lainnya). Kita mengagung-agungkan pemberian manusia sedang manusia itu hanyalah wasilah daripada Allah untuk memberikan kita sesuatu (rezeki). Hakikatnya, apa-apa yang kita perolehi adalah daripada Allah jua.

Jom muhasabah… nasi yang kita suap… dari mana kita peroleh? Selusurilah perjalanannya… Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 37 yang bermaksud, “…Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.”

Dalil lain – Al-Anfal :26, Saba’ : 24…

c) Maalikan (Allah sebagai satu-satunya Pemilik)

Pemilik – empunya, Tuan Punya.

Dengan kata lain, Allah adalah Tuan Punya ke atas segala sesuatu. Setiap apa yang terdapat di atas muka bumi ini adalah milik Allah. Baju… seluar… rumah… anak-anak… Kita sendiri adalah milik Allah. Allah berhak ke atas diri kita… Allah berhak untuk ditaati dan disanjungi. Allah berhak ke atas segalanya…

Bilamana kita sedia maklum bahawa segala sesuatu ini adalah milik Allah (bukan milik kita secara mutlak), seharusnya… sepatutnya kita menjaga sesuatu yang bukan milik kita ini dengan sebaik-baiknya, makmurkanlah alam ini dan jauhilah kerosakan yang bisa sahaja memudaratkan diri kita sendiri. Bukan itu sahaja, hindarilah segala larangan Tuan Punya barang di atas muka bumi ini.

Dan pasti… satu hari nanti kita sendiri akan kembali kepada Allah. Kita tidak akan hidup selama-lamanya, hanya Dia yang kekal abadi sehingga akhirnya. Kita akan mati… kita akan dihisab… kita akan dibangkitkan kembali… kita akan dimasukkan / dicampakkan ke dalam syurga mahupun neraka, nauzubillah. Waktu itu, barulah kita tahu bahawa kita sebenarnya bukan siapa-siapa dan tidak memiliki apa-apa melainkan mengharapkan rahmah dan pengampunan daripada Allah.

Firman Allah dalam surah Al-An’am ayat 12 yang bermaksud, “Katakanlah, ‘Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?’ Katakanlah, ‘Kepunyaan Allah.’ Dia telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang…”

Dalil lain – An-Nisa’ :131, Az-Zumar : 44, Al-Mukmin :16, Al-Hadid :5…

Hehe… baru satu sari pati, sudah berjela-jela (inipun tanpa penerangan terperinci). Tetapi apapun, ketahuilah bahawa Allah itu Maha Besar dan Maha Segalanya. Muthiah harap, perkongsian ilmu yang tidak seberapa ini dapat dimanfaatkan bersama.

Afwan… isi yang kedua, kita sambung minggu hadapan ya ;) Banyak bangat. Nanti, kebosanan pula membacanya. Biar sedikit, tetapi cubalah baca… hayati dan selaminya. Muthiah hanya boleh berkongsi ilmu tetapi yang meresapkan di dalam jiwa adalah diri kita sendiri (dengan izin Allah)… Hmmm… lebih tepat… Allahlah yang mencampakkan kefahaman itu di dalam hati kita… Kita bukan siapa-siapa yang boleh melakukan ini dan itu.
Labels: 0 comments | | edit post

Barang FREE



Salam. Waktu mula-mula berkahwin, suami selalu tinggalkan Muthiah di pasaraya (suami pula masuk pejabat. Jam 5.00 petang, suami akan ambil Muthiah kembali) tetapi sejak akhir-akhir ini, kami sentiasa membeli-belah bersama.

Suami bertanggungjawab membawa troli dan membacakan senarai barang yang hendak dibeli manakala Muthiah akan memilih barangan (kecuali buah-buahan kerana suami lebih arif dalam bab memilih buah terutamanya tembikai).

Hendak dijadikan cerita…. semasa sedang mencari sos tiram, Muthiah terpandang ‘hadiah percuma’ yang diletakkan bersama sos tiram jenama X. Apa lagi, Muthiah segera memanggil suami yang berjalan lambat-lambat di belakang.

“Hendak beli sos tiram ini boleh?” Tanya Muthiah.
“Hmmm… sos tiram jenama ini tidak sedap. Cari jenama lainlah,” suami memberi cadangan.
“Tetapi….” Muthiah mengerling ‘hadiah percuma’ yang diletakkan sekali dengan sos tiram berkenaan.
Menyedari hal tersebut, suami pun berkata, “ Tidak apa. Kita beli sos tiram jenama Y dan kita beli juga teh halia ini secara berasingan.” (Hadiah percuma tersebut ialah dua paket teh halia).
“Ya…” Muthiah membalas, sedikit kecewa mungkin. Kemudian, Muthiah pun mengambil sos tiram jenama Y dan bersedia untuk ke kaunter bayaran.

Apabila melalui kawasan teh, suami pun berhenti di situ. Muthiah bertanya, “ Hendak cari apa?”
“Teh halia,” kata suami. Oh ya, tadi dia berjanji untuk membeli teh halia tersebut secara berasingan.
“Tidak apalah. Tidak mahu,” Muthiah membalas.
“Tidak apa tidak apa. Sudah janji bukan?” Suami tetap bersemangat mencari teh halia sepertimana ‘hadiah percuma’ itu tadi.
“Tidak mahu…”
“Tidak apa…” Tiba-tiba, teman sepejabat suami pun lalu. Ia menegur kami, “Lamanya berbincang.” Suami dan Muthiah pun saling berpandangan dan ketawa perlahan.
“Baiklah, belilah…” akhirnya Muthiah pun mengalah….


Hari pertama… suami seorang yang minum teh halia tersebut.
Hari kedua… suami seorang yang minum…
Hari ketiga pun sama. Hanya suami yang menyentuh teh halia yang dibeli.

Hari keempat…
“Kenapa tidak minum?” Tanya suami setelah Muthiah tidak ‘sentuh’ langsung minuman tersebut.
“Tidak minat air ini…” jawab Muthiah.
“Hari itu, kenapa hendak beli?” Suami bertanya lagi.
“Hmmm… tidak mahu beli …”
“Hari itu?”
“Hari itu, bukan hendak sangat teh halia itu. Cuma hendak hadiah percuma sahaja…” Apa lagi, suami pun buat kesekian kalinya menggelengkan kepalanya, “Oh my bini…”

Muthiah : Selepas ini, hendak dapat hadiah percuma teddy bear pula…
Labels: 0 comments | | edit post

Hujung minggu bersama…


Salam. Hehe… hujung minggu sahaja, mesti sibuk… sampaikan tidak sempat kemaskini blog. Begitu juga dengan hujung minggu lepas (24 Julai sehingga 26 Julai 2009)… Ada ‘tetamu kecil’ datang ke rumah…

Pagi Jumaat, Muthiah cuba siapkan satu bab P-FC tetapi entah kenapa… kali ini Muthiah memang tidak dapat buat apa-apa. Muthiah rasa kosong dan tersangat kosong. Makin Muthiah paksa diri untuk buat, makin Muthiah berasa kosong. Kemudian, Muthiah cuba menulis blog, pun tidak berjaya. KOSONG…

Kata suami, Muthiah terlalu tepu. Televisyen di rumah pula rosak (dekat seminggu). Jadi, minda tidak berkembang. Hanya berlegar-legar dengan P-FC dan penulisan blog. Akibatnya... hahaha… tidak boleh menulis langsung.

Petang itu, suami Muthiah perlu menghantar sampel X ke pusat penyelidikan kimia di Ipoh. Berkebetulan, pemandu di pejabat tempat suami Muthiah bekerja bercuti… maka, suami perlu memandu sendiri. Suami pun mengajak Muthiah untuk ikut sekali. Lagipun, hari sudah hampir petang. Hendak jemput ‘tetamu kecil’ yang akan turun di Medan Gopeng, Ipoh lagi...

Selepas solat Jumaat, kami pun bersiap-siap. Apabila sudah hampir jam 3.00 petang, kami pun bertolak. Kami sampai ke tempat pusat penyelidikan kimia dalam jam 4.00 petang. Muthiah tunggu suami di dalam kereta. Kemudian… setelah selesai semuanya, kami pun ke… IPOH PARADE… berjalan-jalan sementara menunggu mereka sampai dari Kuala Lumpur (tetamu kecil Muthiah).

Jam 7.30 malam, Amir dan Azzam pun tiba… kami pun terus pulang ke Taiping.
1- Makan malam di Olden Kopitiam - Muthiah makan nasi goreng ikan masin dan ice blended chocolate. Awalnya, tidak mahu makan tetapi bilamana Muthiah tidak memesan apa-apa, suami pun pesankan chicken chop (padahal malam sebelumnya Muthiah sudah makan chicken chop)… terus Muthiah pesan nasi goreng, hehe..

2- Ke pesta ‘ Jom Makan Durian’ – Awalnya, Muthiah agak teruja (walaupun Muthiah sendiri tidak makan durian). Bukan apa… pesta tersebut diadakan di Bukit Gantang… jadi rasanya, apa yang Muthiah fikirkan? Huhu… ingatkan, dapat jumpa YB Nizar… akan tetapi … huhu (tidak perlulah Muthiah nyatakan di sini). Kecewa juga (apapun, pasti ada hikmahnya). Suami pula perlu mewakili pengarah jabatannya (jadi, suami duduk di meja VIP).

Muthiah dan adik-adik pun berjalan ke hulu dan ke hilir. Azzam beli durian dan pulut durian. Muthiah dan Amir pula hanya membeli air. Selepas itu, kami pun duduk di bawah khemah yang disediakan. Buat apa? Membaca! Muthiah baca Detektif Conan volume 8, Amir baca Detektif Conan volume 9 dan Azzam baca novel Cinta Sang Ratu, Ramlee Awang Mursyid (Muthiah sudah khatam baca novel ini ya).

Hmmm… sedikit info…
a) Durian dijual RM1.00 satu polistrin. Suami beli RM6.00 dan Azzam beli RM1.00. Muthiah terfikir, hmmm… hehe… tidak apalah… biar Muthiah sendiri yang tahu.
b) Ada pameran homestay dan lain-lain.
c) Ada jualan makanan ringan.
d) Ada persembahan artis (tidak pasti siapa sebab Muthiah tidak pergi tengok). Hanya dengar suara-suara orang menjerit / menyanyi dari atas pentas.

3- Mandi di ‘swimming pool’ Bukit Larut – Pertama kali Muthiah dan suami menjejakkan kaki ke sini. Tempatnya tidak terlalu besar tetapi OKlah untuk berenang (Muthiah pun berenang juga tetapi dipegang suami, belum mampu untuk terapung/ berenang sendiri). Kami keluar rumah selepas Asar dan siap mandi jam 7.00 malam. Bayaran masuk untuk seorang ialah RM2.00. Kalau pergi pagi, ada sarapan pagi, buffet satu kepala RM4.00.

4- Beli ‘buku’ di Popular – Hehe… sebenarnya, adik lelaki Muthiah yang hendak cari pen melukis tetapi Muthiah pula teruja untuk beli buku. Perlahan-lahan, Muthiah berjalan ke arah suami . “Nak beli buku boleh?” Muthiah bertanya tanpa menunjukkan buku yang hendak Muthiah beli. Suami tanya, “Buku apa?” Apabila Muthiah menghulurkan ‘buku pilihan’ Muthiah tersebut, suami terus menggelengkan kepala. Kenapa? Muthiah beli buku Detektif Conan volume 19 daaaa…

5- Makan Nesh – Hmmm.. Muthiah dan suami tidak makan pun. Hanya belikan untuk adik-adik.



Muthiah dan suami menghantar ‘tetamu kecil’ kami ke Ipoh (naik bas di Medan Gopeng) pada Ahad pagi. Sebelum itu, kami makan ikan bawal masak merah dan sayur cendawan. Nyum nyum… Selepas itu, Muthiah dan suami terus pulang ke Taiping… suami ajak jalan-jalan di Jusco tetapi semacam malas sahaja. Jadi… balik…

Muthiah : Hehe… terima kasih buat suami sebab daftarkan Astro untuk Muthiah (padahal untuk suami juga). Perlu sama-sama bertimbangrasa ;)

Satu Hari…

Pelik betul Marina. Itu salah… ini salah… semua salah. Dia sahaja yang betul. ‘Tahulah presiden tapi berpada-padalah,’ bisik hati Erisya. Bertambah pelik lagi ajaib! Meskipun sudah terkenal dengan gelaran ‘kuku besi’, Marina tetap dipilih untuk menerajui kesatuan pekerja di pejabatnya. Kesatuan yang dianggotai kaum hawa ini bertanggungjawab menjaga kebajikan pekerja wanita di Kamarina Sdn. Bhd. Bagus juga cuma presidennya sahaja kurang berkaliber. Erisya kira, Saadah lebih layak. Walaupun agak pendiam, ia punya karisma tersendiri. Hidup Saadah!
“I hate Zukhairy!” Kata Marina suatu hari.
“Kenapa pula ni? Gaduh lagi? Biasalah… suami isteri. Sedangkan lidah lagi tergigit. Inikan pula suami isteri,” Erisya cuba menenangkan Marina sambil mendendangkan lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“You tahu apa? Semalam, dia cakap I tak tunaikan tanggungjawab sebagai isteri. So what? Dia ingat dia siapa? Kalau bukan sebab daddy I, dah lama dia jadi eksekutif gaji RM3K. Sekarang, salary dia dekat RM20K. Dia memang lupa daratan!” Seperti biasa, Marina tidak pernah mahu kalah. Erisya membatukan diri. Tidak mahu berbahas dengan Marina. Kebarangkalian untuk menang agak tipis. Al-maklumlah, berdepan dengan ‘si kuku besi’. Macam ayahnya, Tan Sri Kamal. Ala-ala Mustafar Kamal Ataturk juga la…
Erisya termenung sendiri. ‘Kalau bukan sebab daddy I…’ terngiang-ngiang ungkapan Marina petang tadi. Berani betul Marina mengeluarkan kenyataan sebegitu. Bukankah rezeki itu daripada Tuhan yang mencipta? Tan Sri Kamal hanyalah wasilah bagi Allah untuk melimpahkan rezeki buat hamba pilihan-Nya. Adakah dia lupa bahawa setiap manusia itu lemah?
“Termenung panjang isteri abang,” tegur Muhammad tatkala melihat Erisya begitu asyik dalam dunianya.
“Eh, bila abang balik? Eisya tak sedar. Abang tunggu kejap ye. Eisya dah siapkan Milo dan karipap,” Erisya bingkas bangun dan menuju ke dapur. Tidak lupa ia menyalami suaminya sepertimana biasa.
“Eisya fikir apa tadi? Abang tengok, sudah jauh melayang. Sudah sampai Pulau Pangkor? Insya-Allah, bulan depan abang bawa Eisya ke sana. Kita honeymoon lagi, OK?”
“Abang… rezeki itu daripada Allah kan? Boleh tak kita keluarkan statement bahawa kerana kita dia berjaya?.....”
Panjang betul penerangan Muhammad. Stail dan gaya ‘berceramah’ tidak ubah seperti Ustaz Shahul. Tiba-tiba, Erisya teringat kuliah yang pernah disampaikan oleh Ustaz Shahul tentang poligami… berjela-jela. Jemaah lelaki pula tidak lekang dengan senyuman dan ada juga yang ketawa terbahak-bahak. Lihat kiri… lihat kanan… jemaah perempuan pun tidak kurang kusyuknya mendengar pengisian yang disampaikan. Mungkin isu yang diketengahkan agak hangat menyebabkan tidak ada yang berbual-bual atau tertidur.
‘Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak) perempuan yatim (bilamana kamu mengahwininya), maka kahwinilah wanita-wanita (lain) yang kamu senangi; dua, tiga atau empat. Kemudian, jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinilah) seorang sahaja… An-Nisa ayat tiga…’ bait-bait kalamullah yang sering diungkapkan Muhammad. Banyak-banyak point yang disampaikan Ustaz Shahul, point ini yang dihafalnya. Lelaki oh lelaki… Namun, tidak sekali-kali Erisya naik angin kerana ia tahu Muhammad hanya bergurau. Itulah Muhammad.
“Almost everyday… ada sahaja kisah keganasan rumahtangga. You dah baca paper hari ni?” Tanya Marina suatu pagi.
“Sudah tapi isu mana yang kacau mood you?” Erisya bertanya kembali.
“Isu mahkamah syariah. You tengok sendiri. Senang-senang nak kahwin empat. Kerja bawa lori balak, ada hati nak cari extra. Cerminlah diri sikit. Cuba you tengok ni… I tak puas hati dengan jantan ni. Dah dapat madu, suka hati nak ceraikan wife dia. You tengok ni pula… perebutan harta pusaka. Really bad. Kenapalah…” macam machine gun Marina bercerita. Kadang-kadang, naik muak dibuatnya dengan pertikaian yang dibuat Marina. Tidakkah ia takut menidakkan hukum Allah? Silap hari bulan… nauzubillah.
‘Kita perlu berpegang teguh pada aqidah yang satu. Yakin dengan keesaan dan kekuasaan Allah. Mentauhidkan Allah dengan tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma wa sifat…’ terimbas penerangan Muhammad tentang isu yang dibangkitkan.
Benar! Sebagai Muslim sejati, kita perlu meyakini keesaannya. Bergelar Muslim bukan sekadar mengucap kalimah syahadah tetapi perlu dengan penghayatan dan pengamalan. Allah adalah Tuan Punya yang memberi rezeki serta kasih sayang buat hamba-hamba-Nya. Maka, tidak timbul isu, ‘Kalau bukan sebab daddy I…’
Jika tidak mampu mendepani musibah, bermohonlah kepada-Nya. Bukankah tauhid uluhiyyah menjelaskan bahawa Allah adalah Ilah yang wajib diabdikan diri kepada-Nya serta tempat bermohon pertolongan? Bak kata Muhammad, ‘Hayatilah bait-bait kalimah Allah yang kita ungkapkan di dalam solat sehari-hari… “Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan…” Al-Fatihah ayat empat.’ Bertubi-tubi Erisya menyangkal kata-kata Marina di dalam hatinya. Ini sudah lebih…
“Allah itu Maha Mengetahui,” Erisya berkata tanpa sedar.
“Apa you cakap? Means you tak setuju dengan I? You bukannya ustazah yang mengajar tentang hukum. You are only an executive of Cash Management department. Don’t play-play ya,” Marina seakan memberi amaran. Erisya terdiam.
Bukahkah asma wa sifat Allah menjelaskan tentang sifat-sifat terpuji bagi Allah? Allah itu Maha Pengasih… Maha Penyayang… Maha Mengetahui dan Maha Segala-galanya. Dia sudah tahu tentang aturan yang paling baik buat alam ciptaan-Nya. Sepertimana traffic light… mengapa perlu berhenti apabila lampu merah menyala? Untuk menghindari berlakunya kemalangan. Jika semua ingin mengikut kata hati sendiri, hura-haralah dunia. Semua orang mahu menang sedangkan fikiran manusia sebenarnya terbatas. Hanya tahu sesuatu di permukaan! Argh… lupakan Marina dengan egonya. Bikin hati panas sahaja.
“OK Marina. I ada hal kejap. I have to meet Mr. Lim at 10.00 am. I lapar la. Nak isi perut sikit. Take care of yourself,” Erisya berkata lembut. Tidak mahu bermasam muka dengan Marina. Tidak mahu menjadi seperti Shahrizat… bertikam lidah dengan Marina dan akhirnya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan meskipun sudah lebih satu dekad ia mencurahkan baktinya di sini. Tidak tahan dengan cool treatment yang diterima daripada pihak pengurusan. Al-maklumlah, bergaduh dengan Marina seumpama berkelahi dengan satu department. Marina begitu berkuasa. Mungkin kerana daddynya CEO dan punya saham yang besar dalam syarikat ini.
Kringg… “Assalammualaikum,” Erisya memberi salam.
“Eh Erisya. Are you free this afternoon? Can you accompany me to Lassy Spa?” Terjah Marina. ‘Tidak dengarkah salam yang aku bagi?’ bisik hati Erisya.
“Em… Hold on ya. I need to ask my hubby…”
“Alah you ni. Sikit-sikit tanya hubby. Dunia dah berubah. Tak perlu nak minta permission dia. Lagipun, I belanja kat spa nanti. Tak pakai duit dia satu sen pun,” Marina berkata sebelum sempat Erisya bertanya kepada Muhammad.
“I’m sorry. I MUST!” Erisya berkata tegas.
“OK lah. You ni kolot la. Macam nenek I kat kampung…” sakit hati mendengar kata-kata Marina. Diselangi pula dengan ketawa yang dibuat-buat. Pedih sungguh. Entah bila wanita moden ini mahu sedar? ‘Bukan sahaja menyusahkan orang lain bahkan menyusahkan aku,’ bentak Erisya. Mungkin kerana sikap Erisya sendiri yang kurang berbahas dengannya menyebabkan ia selesa membulinya.
“You know what… Kalau I ada kuasa cerai, I dah minta cerai dengan Zukhairy. Semalam dia tegur cara I berpakaian. Kebaratan katanya. Ada ke patut dia nak I dressing macam you. Pakai tudung… to whom I can show my beautiful hair kalau I pakai tudung. Mahal tau aku buat treatment kat saloon. I really hate him,” Marina membebel. Tidak habis-habis dengan ketidakpuasan hatinya terhadap Zukhairy. ‘Kalau tahu tidak suka, mohonlah fasakh… habis cerita,’ rungut Erisya.
Berkali-kali Muhammad meminta Erisya berdakwah kepada Marina tetapi tidak tahu bagaimana ingin memulakan. Katanya, ‘ Sesiapa yang mengungkapkan kalimah syahadah, ia adalah pendakwah… “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang mengajak kepada kebajikan; menyeru kepada maaruf dan mencegah kemungkaran; merekalah orang yang beruntung…” Al-Imran ayat seratus empat.’ Sebab itulah ia mengizinkan Erisya keluar dengan Marina.
Muhammad tidak tahu. Hati Marina lebih keras daripada batu. Mungkin batu yang sudah dikonkrit dengan beberapa lapisan batu dan tanah. Payah… Erisya sudah tidak sanggup tetapi tidak berani diutarakan ungkapan itu kepada Muhammad. Sudah banyak sirah nabawiyah diceritakan Muhammad buat Erisya… sebagai penyuntik semangat menegakkan kalimah tauhid di atas muka bumi ini. Namun, masih belum dapat memberi kekuatan kepadanya untuk mengikut jejak langkah junjungan mulia itu. Erisya terlupa seketika bahawa kekuatan itu sebenarnya datang daripada Allah.
Dalam perjalanan ke Giant Taiping…
“Abang… Apakah hikmah harta faraid memberi hak yang lebih kepada lelaki… hikmah suami diiktiraf sebagai ketua keluarga… hikmah kuasa talak diberikan kepada suami?” Takut-takut Erisya bertanya. Khuatir soalan sebegini mampu menjejaskan aqidahnya sebagai seorang Muslim yang sepatutnya hanya taat dan patuh kepada perintah Allah. Namun, Erisya tidak mahu sekadar taklid dengan apa-apa yang didengarinya. Muhammad sekadar tersenyum…
“Muat ke barang-barang ni nak muatkan dalam kereta kita?” Tanya Erisya tatkala melihat Muhammad menyusun barang-barang keperluan yang baru dibeli.
“Eisya main ambil je tadi. Tak terfikir pun muat ke tak. Dah abang tak cakap apa-apa bila tengok list, Eisya ingat semua OK,” Erisya menambah lagi.
“Eisya tolong letak bakul kecil ni bawah kaki ya. Eisya jangan risau. Abang dah fikir masa Eisya bagi list kat abang semalam. Muat kereta kita ni.”
“Ya ka? Eisya tak fikir langsung. Bagus la abang ni. Eisya rasa, Eisya dah buat yang paling baik tapi abang lagi bagus. Yang kecil-kecil… yang mudah-mudah semua Eisya buat. Yang besar-besar… yang susah-susah… yang berat-berat semua abang settle. Sayang abang,” kata Erisya memuji.
“Pandai bini abang. Dah la comel… pandai pula tu. Yang besar-besar semua abang settle. Sebab itulah Allah memberikan hak faraid melebihi kaum wanita, mengiktiraf suami sebagai ketua keluarga dan memberi kuasa talak kepadanya. Tanggungjawab lelaki lebih besar berbanding wanita. Pada hari akhirat kelak, lelaki yang akan dipersoal Allah atas apa-apa yang berada di bawahnya. Bukan itu sahaja, lelaki berfikir menggunakan akal. Wanita pula…”
“Wanita pula menggunakan nafsu. Eisya tahu, nafsu wanita sembilan, akalnya satu. Lelaki pula nafsunya satu, akalnya sembilan…” Erisya menambah.
“Makin pandai bini abang. Tambah sikit… akal lelaki perlu didasari dengan iman. Baru tidak jatuh dan tersungkur dari jalan yang sebenarnya.”
Erisya dan Muhammad sama-sama ketawa. Lupa sejenak kepada Marina. Biarlah dia dengan dunianya. Sampai waktu, akan disampaikan pesanan itu buat Marina… insya-Allah satu hari nanti.
Labels: 0 comments | | edit post

Dakwah dengan… (iii)



Salam ukhwah fillah… Muthiah baru makan ubat selsema sebenarnya… mengantuk tetapi hendak siapkan juga blog untuk hari ini. Lagipun, kita tidak tahu bukan? Bilakah masanya kita akan dipanggil kembali… kembali bertemu Ilahi dan entah bagaimana keadaan kita waktu itu. Jadi, sampaikanlah… sampaikan sentiasa walau seayat. Meski hanya seorang yang membacanya, moga-moga dapat menolong Muthiah di hadapan Allah kelak.

Jom kita selusuri Perjanjian Hudaibiah… Perjanjian di antara umat Islam dengan Quraisy. Perjanjian yang dilihat lebih memihak kepada pihak Quraisy sehingga Sayidina Umar Al-Khattab mengungkapkan, “Bukankah kita di pihak yang benar dan mereka di pihak yang salah? Bagaimana bisa berlaku perjanjian damai yang menguntungkan pihak mereka?” (Boleh rujuk lanjut tentang perjanjian ini dalam mana-mana buku sirah).

Namun, di sebalik perjanjian yang dilihat ‘berat sebelah’ ini… sebenarnya telah memberi keuntungan yang amat besar kepada umat Islam sehingga membawa kemenangan kepadanya (peristiwa antara keturunan Khuzaah dengan keturunan Bakar)…

Hmmm.. sebenarnya, Muthiah tidak mahu berkongsi lanjut tentang sirah ini tetapi Muthiah ingin bercerita tentang… hmmm… detik awal Muthiah jatuh cinta dengan Islam. Ya! Hikmah di sebalik kejadian yang telah membawa Muthiah untuk melihat keindahan Islam…



Bertempat di Kolej Islam Sultan Alam Shah (KISAS) sesi 1998 -1999.

Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 216 yang bermaksud, “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”

“…Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan-Nya, maka kamu tidak akan mendapatkan seorang pemimpin pun yang dapat memberi petunjuk kepadanya,” Al-Kahfi ayat 17.

*****

Fail (3)

Masuk KISAS! Stres… seolah-olah berlaku kejutan budaya dalam diri Muthiah. Ini tidak boleh dan itu tidak boleh. Namun… di sebalik kejutan tersebut, Muthiah kira ada sesuatu yang istimewa di situ. Hati rasa terisi… dengan apa? Entahlah, sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Seperti anak kecil yang baru belajar tentang agamanya… Muthiah merangkak dari bawah. Waktu itu, sahabat yang paling Muthiah kagumi ialah A. Walaupun boleh jadi pada kaca matanya, Muthiah bukanlah siapa-siapa (setiap kali Muthiah ingin bersamanya, acap kali dia hendak bersama temannya yang lain HH & NA)… tetapi bagi Muthiah, Muthiah suka berkawan dengannya. Entahlah… mungkin dek kelembutan dalam ketegasannya.

Akan tetapi… banyak juga cabaran yang mendatang. Mungkin salah Muthiah juga. Tidak seperti muslimah lain yang jalannya penuh tertib… bicaranya tersusun (terutama di hadapan pelajar putera… hahaha… )… Manakan tidak! Kawan-kawan Muthiah sebelum ini bukanlah terdiri daripada mereka yang tahu ilmu agama. Bertutur pun… kalau penuh tertib… rasa macam mengada-ngada pula. Kalau ‘control’ pun sama, rasa macam mengada-ngada. Jadi, BE YOURSELF…

Hendak dijadikan cerita… Muthiah menerima sekeping surat layang daripada seseorang. Ayatnya lebih kurang… ‘ Hindari muzik… hindari bola sepak… berdosa…” Waduh… terasa seperti dipanah halilitar. Muthiah tidak tahu siapa pengirimnya tetapi mungkin dia adalah orang yang tidak mahu melihat Muthiah ‘terpesong’ mungkin.

Iyalah… kalau di meja-meja puteri, rata-rata meletakkan senikata lagu nasyid dan sesuatu yang boleh membangun jiwa tetapi Muthiah… letak senikata lagu XPDC… letak gambar motosikal dan pemain bola sepak (Muthiah suka bangat Ronaldo-Brazil-Jersi 9). Jadi, macam mana tidak menjadi ‘insan terpilih’ untuk dibasuh? Hehe…

Seperti yang Muthiah pernah ceritakan sebelum ini… meskipun dari sudut fizikal, boleh jadi kita nampak seseorang itu jauh daripada Islam/ kehendak Islam itu sendiri. Namun, bilamana ia bernama AGAMA ISLAM… pasti ada kelebihan dan keistimewaannya. Tetap dengan ego Muthiah dan perangai Muthiah yang kuat memberontak… tetapi dari satu sisi, Muthiah sebenarnya belajar untuk mendekati Tuhan….

Bermula dengan solat taubat, tadarus, qiam dan banyak lagi. Muthiah merasai sesuatu yang sama sekali tidak dapat diungkap dengan kata-kata tetapi entahlah…Sebab itulah muncul trademark ‘TIDAK ADA YANG LEBIH MANIS DALAM KEHIDUPAN INI MELAINKAN APABILA KITA BERJAYA MEMPEROLEH KEMANISAN IMAN DAN MENGECAP CINTA ILAHI’ ~ Muthiah Habibatullah…

Kenapa Muthiah? Entah… Muthiah tidak cukup kuat untuk memilih srikandi lain sebagai idola dan kenapa Habibatullah? Layakkah menjadi KEKASIH ALLAH??? Hmmm… sebenarnya, Muthiah pernah terbaca… kekasih Allah ialah hamba Allah yang banyak bertaubat. Oleh sebab merasakan dosa Muthiah lebih banyak daripada orang lain, Muthiah perlu lebih banyak bertaubat dan terus bertaubat.

Kakak-kakak yang Muthiah kagumi tidak pula mahu mendekati Muthiah sepertimana mereka mendekati adik-adik lainnya (ini yang Muthiah rasalah) dan kadang-kadang begitu ketara. Pernah sekali, Muthiah rasa tersisih dengan seorang kakak sampaikan Muthiah terfikir… adakah hanya mereka yang mempunyai sejarah yang baik/ ilmu agama yang mantap sahaja berhak berkawan dengan orang yang baik? Membuatkan Muthiah lebih suka membuat hal sendiri (tetapi Muthiah tetap berkawan dengan sesiapa yang sudi berteman dengan Muthiah).

Hikmahnya? Bilamana kita merasakan kita KESEORANGAN, kita akan lebih berusaha untuk mencari ALLAH. Ya! Sebelum memasuki KISAS… Muthiah punya geng dan sahabat-sahabat yang begitu akrab dengan Muthiah. Muthiah bahagia dengan kehidupan Muthiah dan rasa tenang bersama teman-teman. Akan tetapi, di KISAS… teman-teman Muthiah sudah tidak berada di sisi, mereka jauh di mata tetapi begitu dekat dalam hati.

Ada juga Muthiah terima surat daripada Meri (sepupu Azmar) yang poskan gambar Siti Nurhaliza buat Muthiah, Sani (kawan setingkatan) yang tuliskan senikata lagu ‘Miss you like crazy’ bersama-sama gambar Ronaldo [Ada lagi teman-teman lain tetapi Muthiah lupa]. Tetapi… sampai bila Muthiah hendak berharap kepada mereka yang punya komitmen sendiri. Akhirnya, kawan-kawan lama pun membisu. Jadi… sejak itu Muthiah mencari Tuhan.



Ya! Tuhan sama sekali tidak akan meninggalkan Muthiah kesepian dan bersedih hati sendiri (Walaupun nampak kasar, setiap manusia itu tetap memiliki hati dan perasaan). Waktu itu Muthiah belajar untuk berkomunikasi dengan lebih baik dengan Tuhan (kalau waktu sekolah dahulu, Muthiah tidak pernah tinggal solat tetapi solat Muthiah selalu diiringi lagu-lagu XPDC. Huhu…).. Dan akhirnya… Muthiah temui CINTA yang betul-betul tidak dapat ditandingi sesiapa walau Rubar (kawan baik lelaki Muthiah sewaktu dalam kelas) dan geng Muthiah sendiri (Azmar, Kamariah, Yani dan Suria).

OK… berbalik kepada satu peristiwa yang menyebabkan Muthiah mula rapat dengan kakak-kakak BADAR (Badan Dakwah dan Rohani) dan sahabat-sahabat yang Muthiah kategorikan sebagai ‘budak baik’.

Ceritanya begini… satu hari, Muthiah telah dipanggil oleh seorang ustaz. Namanya USS… Muthiah tidak ingat ayat panjangnya tetapi ungkapan yang tidak dapat Muthiah lupakan ialah, “Biasanya… orang yang jalan laju adalah PEROSAK TARBIYAH di sini (KISAS)..”

Nah! Kali ini, Muthiah memang terkesan yang amat sangat… menyebabkan Muthiah merasakan bahawa Allah itu tidak adil pada diri Muthiah (sedang Dia tahu bahawa Muthiah sudah berusaha keras untuk mendekatkan diri dengan-Nya dan agama-Nya)… Muthiah terfikir… ‘Kawan-kawan lama Muthiah, walaupun tidak punya ilmu agama.. tidak pernah hina Muthiah begitu…’ (ada kawan yang panggil lembu/ rimau tetapi bagi Muthiah, sekadar gurauan)…

Ustaz ini nampak wara’ dan selalu berbicara tentang agama. Pada peringkat awal, Muthiah memang hormat dia. Muthiah cuba untuk mendekatinya (untuk belajar atau mencontohi sesuatu yang baik pada dirinya). Namun, apa yang dilakukan menyebabkan tanggapan Muthiah terhadapnya berputar 360 darjah. Bahkan sejak peristiwa itu, Muthiah sering sahaja menunjukkan protes terhadapnya (jelingan menyampah contohnya)…

Bukan itu sahaja… Muthiah juga mula menjauhkan diri daripada Tuhan… Kalau sebelum ini, Muthiah kira, Muthiahlah orang pertama yang menjejakkan kali ke surau (setiap kali solat fardhu) tetapi tidak selepas peristiwa tersebut. Walaupun hati meronta-ronta untuk menjadi yang terbaik di kalangan muslimah yang terbaik.. Muthiah paksa diri untuk TIDAK berbuat demikian.

Apabila boleh keluar ‘outing’, Muthiah keluar Klang dan lepak di kedai-kedai yang menjual kaset (tidak ingat waktu itu sudah ada CD/ VCD atau tidak). Muthiah layan lagu-lagu tersebut. Muthiah sangat kecewa dan kata-kata ustaz tersebut sentiasa terngiang-ngiang.. Sedih! Kecewa! Sangat kecewa!

Kalau dahulu… Muthiah mahu menjadi orang yang paling banyak mengaji. Bilamana Muthiah tahu ada yang mengaji satu juz sehari, Muthiah akan baca dua, tiga atau empat juz. Yang pasti, Muthiah mahu jadi yang paling baik! Namun, selepas peristiwa itu juga, Muthiah memaksa diri untuk tidak melihat ayat-ayat Allah.

Tetapi… sungguh besar kasih sayang Allah. Jauh dari sudut hati… Muthiah meronta-ronta sebenarnya. Muthiah mahu buat tetapi disebabkan ‘protes’ Muthiah membiarkan diri dikuasai nafsu. Oleh sebab tidak dapat menahan diri daripada kesedihan yang melampau, Muthiah pun menghubungi guru kelas Muthiah, Cikgu Ainon namanya. Muthiah luahkan apa yang terpendam… tentang kata-kata ustaz tersebut (tetapi Muthiah tidak cerita perihal ustaz yang berkata sedemikian… Muthiah hanya katakan… seseorang)…

Alhamdulillah, selepas luahan tersebut… Muthiah menjadi lebih tenang dan yang paling menggembirakan Muthiah… Muthiah menerima hadiah daripada seseorang… Siapa? Penasihat BADAR iaitu Ustazah Mumtamah dan ustazah memanggil Muthiah ke biliknya. Pertama, beliau memberi buku Imam Al-Ghazali kepada Muthiah dan yang kedua, Muthiah diambilnya sebagai anak angkat. Tengok! Muthiah tidak seorang lagi….

…..
Entah bagaimana ia bermula, Muthiah tidak pasti tetapi Muthiah akhirnya meluahkan rasa hati ini kepada seorang kakak BADAR. Dia tenang mendengar luahan Muthiah dan yang menyebabkan Muthiah terkejut… bilamana dia memberitahu Muthiah yang BADAR dipersalahkan atas kejadian itu. BADAR dipersalah kerana memberi tekanan!

Sejak itu… barulah Muthiah rasa diri diterima. Kakak yang membuat Muthiah tersisih sebelumnya datang bertemu Muthiah dan berikan Muthiah hadiah. Dia minta maaf dan berterus-terang hal yang sebenar. Katanya, dia tidak perasan kehadiran Muthiah sebenarnya dan…ego dalam diri, rasa marah dan benci hilang. Dan yang paling utama, Muthiah kembali mengejar cinta yang pernah Muthiah abaikan seketika…



Moral :

1- Pastikan dakwah itu DISEBARLUAS kepada sesiapa sahaja. Untuk tujuan melatih mad’u menjadi pendakwah, satu cerita lain tetapi usah sekali-kali mengecilkan skop dakwah. Ajaklah sesiapa sahaja untuk mengenali Tuhan kerana bilamana ia sudah kenal..insya-Allah ia boleh jatuh cinta (dengan izin-Nya).

2- Memberi HADIAH juga sebenarnya boleh mengikat hati-hati manusia. Muthiah paling dan teramat teruja apabila mendapat hadiah daripada Pengerusi BADAR (siswi). KM berjumpa dengan Muthiah senyap-senyap dan memberikan Muthiah hadiah tersebut. Subhanallah, hanya Allah sahaja yang tahu perasaan Muthiah waktu itu. Rasa disayangi dan dihargai. Tambahan pula… yang beri hadiah itu bukan calang-calang orang, Pengerusi BADAR (siswi).

3- Apapun keadaannya, ketahuilah bahawa kita TIDAK PERNAH SENDIRI (tidak kira bagi pendakwah atau mereka yang baru berjinak-jinak mendalami ilmu agama). Allah dekat dengan kita dan lebih dekat daripada manusia-manusia yang kita harapkan atau kawan karib kita. Sekiranya kita mengharapkan manusia, manusia itu tidak akan selamanya bersama kita tetapi bilamana kita mengharapkan Allah… Dia kekal abadi sehingga akhirnya.

4- Ketahuilah bahawa HIDAYAH hanya datang daripada Allah dan kita hanya mampu berusaha untuk mengajak manusia lainnya kepada Pencipta.

5- Cubalah untuk sentiasa BERSANGKA BAIK… berharap dan bermohonlah kepada Allah agar sentiasa melindungi kita daripada keburukan manusia yang mungkin masih jahil…

6- Banyakkan BERDOA… banyakkan berharap dan bermohon kepada Allah tanpa putus asa.

7- Dakwahlah dengan HIKMAH dan KASIH SAYANG…

Muthiah : Entah bila hendak menulis tentang dakwah fardhiah… Huhu… lupa isi sebenarnya… Eh bukan… ingat-ingat lupa. Insya-Allah… bilamana Muthiah sedikit lapang… Muthiah tulis tentang itu.. Selamat membaca ;)

Berlapang dada



Salam ukhwah fillah. Sebetulnya, hari ini Muthiah kurang sihat. P-FC pun tertangguh pagi tadi…. Jadi kabur, berpinar-pinar. Tidak dapat berfikir dengan baik. Kemudian, Muthiah rehat seketika dan Alhamdulillah, untuk target hari ini, sudah diselesaikan.

Hmmm… entah kenapa hari ini Muthiah rasa sedikit pilu… sedikit sedih dan sedikit dukacita (benarlah… bilamana ada sesuatu yang menggangu jiwa, pasti tidak dapat melakukan kerja sebaiknya).

Entah kenapa… ungkapan ‘bertimbang rasa’ sering sahaja berlegar-legar dalam kotak pemikiran Muthiah meskipun Muthiah cuba untuk menghilangkannya. Untuk hilangkan tidak boleh, menghindari apatah lagi. Entahlah… hanya Muthiah yang dapat menyelaminya.



Syukur ke hadrat Ilahi kerana menganugerahi Muthiah seorang suami yang memahami, mengambil berat dan kasihkan Muthiah. Sekurang-kurangnya, Muthiah berasa sedikit tenteram tatkala mengenangkan…. Begitu juga dengan keluarga di kampung… walau apapun yang Muthiah putuskan, keluarga selalu sahaja berada di belakang Muthiah meski Muthiah tahu… mungkin (dan persoalan mungkin itu sebenarnya tidak elok diungkapkan) sisi-sisi kurang bersetuju tetapi bilamana ia baik untuk Muthiah dan suami… mereka redha dan menyokong Muthiah.

Juga… syukur kerana hakikatnya, Muthiah tidak berseorangan. Muthiah ada Allah yang sentiasa dekat dengan Muthiah. Dia tahu dan maklum atas segala sesuatu. Justeru, Muthiah serahkan 200% kepada-Nya. Sukar tetapi Muthiah akan cuba… tidak mahu mengeruhkan keadaan… merintihlah, merayulah kepada Allah kerana itu adalah jalan yang paling baik.



Hmmm… Manusia ini, banyak fiilnya. Ada yang baik… ada juga yang kurang baik… dan pasti! Ada yang sekejap-sekejap baik dan sekejap-sekejap tidak (Muthiah juga tidak terkecuali kerana Muthiah juga seorang manusia). Itu lumrah dan sesungguhnya, tidak ada seorang manusia pun di atas muka bumi ini sepi daripada melakukan kesalahan.. kesilapan dan kekhilafan. Ia bukan nabi yang maksum dan bukan juga malaikat yang hanya patuh atas suruhan dan arahan Allah.

Boleh jadi manusia ini terlupa… boleh jadi ia teralpa dan boleh jadi nafsunya telah dikuasai dengan sesuatu yang tidak baik. Syaitan laknatullah banyak menyumbang membusukkan hatinya yang sedia jernih. Ia tetap mahu berburuk sangka meski bersangka baik itu sudah jelas lagi terang lebih baik… Ia tetap mahu cemburu dan hasad sedang setiap manusia itu telah ditentukan/ ditetapkan oleh Allah bahagian masing-masing.

Firman Allah dalam surah Al-Imran ayat 37 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya tanpa hisab.” Namun, manusia itu tetap engkar dan tidak berpuas hati dengan apa-apa yang berada di hadapannya. Ada sahaja yang tidak elok dan ada sahaja yang tidak berkenan di matanya. Hmmm…Inilah manusia… inilah manusia yang sering kali lalai daripada amaran Tuhannya.

Ya Allah… “Jika Engkau menyeksa mereka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hamba Engkau, dan jika Engkau mengampuni mereka, sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,” Al-Maidah ayat 118. Moga-moga hidayah dan petunjuk daripada Allah datang kepadanya… agar dia sedar daripada lena. Khuatir… lena itu kan menjadi lena yang begitu panjang sebelum sempat ia kembali mengharapkan keampunannya.

Bagaimana pula dengan diri kita? Sejauh mana kita mampu/ boleh berlapang dada dengan apa yang berlaku? Hmmm… sukar tetapi cubalah letakkan kaki kita di dalam kasut insan itu… manusia yang lupa, alpa dan boleh jadi masih jahil. Bilamana ia tersedar akan silapnya, pasti ada terdetik rasa bersalah dalam diri namun keegoan telah mengatasi segalanya. Sukar benar mahu MENGUNGKAP MAAF… payah benar untuk menyatakan kekhilafan yang dibuat oleh badan sendiri.

Ia mungkin lupa… disebabkan ego dan tinggi diri itulah telah menyungkurkan iblis dari syurga Allah. Ia berasa dirinya besar berbanding Adam AS yang hanya dijadikan daripada tanah yang kotor lagi jelik (Boleh rujuk surah Al-A’raf ayat 11 hingga 16 – ada cerita tentang kesombongan Iblis yang tidak mahu bersujud (bukan bermakna menyembah tetapi patuh kepada Allah) kepada Adam AS).

Begitu juga dengan Firaun… disebabkan rasa besarnya diri… akhirnya ia tenggelam di dalam laut sebelum sempat bertaubat. Firman Allah dalam surah Yunus ayat 90 yang bermaksud, “Dan Kami memungkinkan Bani Israil melintasi laut, lalu mereka diikuti oleh Firaun dan bala tenteranya kerana hendak menganiaya dan menindas (mereka); sehingga apabila Firaun itu telah hampir tenggelam berkatalah dia, “Saya percaya bahawa tidak ada Tuhan melainkan Tuhan yang dipercayai Bani Israil dan saya termasuk orang-orang yang berserah diri (kepada Allah).” Nah! Mahukah kita menjadi manusia yang matinya dalam penyesalan sepertimana Firaun laknatullah? Justeru…

1- MAAFKANLAH kejahilan dan ketidaktahuan dia

Sukar bukan tetapi ketahuilah… maaf itu adalah sebaik-baik perbuatan. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 263 yang bermaksud, “Perkataan yang baik dan pemberian MAAF adalah lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan sesuatu yang menyakitkan (perasaan si penerima). Allah Maha Kaya lagi Maha Penyantun.” Kembalilah kepada sirah Rasulullah SAW… Pesuruh Allah ini amat tinggi sikap pemaafnya…

Sewaktu pembukaan Kota Mekah (futuh Makkah), Muhammad SAW telah mengumpulkan seluruh Quraisy, semua penduduk Mekah. Setelah naik ke atas Bukit Safa, berkata Muhammad, “Kamu fikir, apakah yang akan aku lakukan ke atas kamu semua?” Jawab Quraisy, “Kamu adalah saudara yang mulia dan anak kepada saudara kami yang mulia…” Kemudian, berkatalah Muhammad, “Kamu semua bebas…” Nah! Tangan-tangan itu yang telah memusuhi Islam… yang mengganggu perjuangan Islam tetapi Nabi SAW tetap sudi memaafkan mereka.

2- BERLAPANG DADA
Memaafkan itu sudah sukar, berlapang dada apatah lagi. Ketahuilah wahai teman… dosa kita yang menggunung tinggi tetap mendapat keampunan daripada-Nya. Inikan kita manusia biasa yang serupa sahaja dengan dia yang membuat salah terhadap kita (Adakah kita pasti kita tidak pernah melukakan hati insan lain, dalam sedar atau tidak?). Jadi, rendahkanlah diri di sisi Tuhan. Tetap berasa sukar dan pedih??? Jawabnya… KEMBALILAH KEPADA ALLAH.

Ya Allah, aku tidak mampu… aku tidak kuat untuk itu (berlapang dada). Hanya kepada Engkau aku berserah dan kepada-Mu jua aku memohon pertolongan dan kekuatan…

…. Setelah berlaku peristiwa fitnah ke atas Sayidatina Aisyah RA, Sayidina Abu Bakar As-Siddiq yang selama ini menghulurkan bantuan kepada Mustah bersumpah untuk tidak membantunya lagi. Kemudian, turunlah teguran Allah dari surah An-Nur ayat 22 yang bermaksud, “Dan janganlah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kelapangan di antara kamu bersumpah bahawa mereka (tidak) akan memberi (bantuan) kepada kaum kerabat(nya), orang-orang yang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, dan hendaklah mereka MEMAAFKAN dan BERLAPANG DADA. Apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu? Dan Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Setelah itu, atas kerendahan hati kepada Tuhannya, Abu Bakar pun membayar kafarah atas sumpahnya dan menyambung bantuan yang dihulurkan kepada Mustah.

3- USAH BANYAK BERFIKIR

Hmmm… waktu inilah syaitan laknatullah memainkan peranannya. Musuh seluruh alam ini mahu sahaja berlaku pertelingkahan dan persengketaan di kalangan umat manusia. Ia pasti ketawa riang apabila objektifnya untuk menjauhkan manusia daripada Allah itu tercapai.

Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 14 yang bermaksud, “Iblis menjawab, “Berilah saya tempoh (penangguhan) sehingga sampai waktu mereka dibangkitkan,” dan Al-A’raf ayat 16 yang bermaksud, “Iblis menjawab, “Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, aku benar-benar akan (menghalangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus…”

Dalam hidup seorang manusia, kitalah yang akan membuat PILIHAN dan pilihan yang paling baik adalah sesuatu yang mendasari syariat dan ketetapan Allah. Kita berhak untuk memilih apa yang hendak kita fikirkan atau sebaliknya. Semuanya bergantung kepada diri kita sendiri.

Jadikan sesuatu yang menyakitkan itu… jadikanlah sebagai wasilah bagi kita untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bagaimana? Tahanlah rasa marah/ benci/ kecewa/ sakit hati dengan KOMUNIKASI bersama Tuhan yang mencipta kita dan dia. Mohon kepada Tuhan agar dikurniakan kesabaran yang tinggi (kerana pasti! Kita tidak punya kekuatan sendiri). Firman Allah dalam surah Al-Anfal ayat 66 yang bermaksud, “… sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”

4- Dekatkan diri kepada Allah dengan MUNAJAT kepada-Nya.

5- BERGEMBIRALAH dengan orang tersayang.

6- Kita sendiri perlu terlebih dahulu BERSANGKA BAIK.

7- Banyakkan MUHASABAH diri…

Lagi dan lagi…

Huh…panjang bangat… al-maklumlah, di sini… selain Allah yang Maha Esa… suami tercinta… komputer riba ini adalah teman yang paling akrab buat Muthiah. Dia dan mereka begitu dekat dengan Muthiah. Meski ‘teman bisu’ Muthiah ini sama sekali tidak bisa berbicara, Muthiah tetap merasai kepentingannya dalam hidup Muthiah… Selamat membaca dan menghisab diri…

Muthiah : Moga-moga P-FC dapat siap sebelum bulan September. Ada projek baru menyusul, insya-Allah. Doakan…

Cara memilih tembikai


Salam. Untuk ruangan santai minggu ini, insya-Allah Muthiah ingin berkongsi tips memilih buah tembikai.

Caranya… hehe…jentik tembikai yang hendak dibeli dan…

Afwan, selanjutnya, Muthiah tidak arif. Huhu…

Baru-baru ini, Muthiah membeli tembikai. Suami pesan, untuk membeli tembikai yang baik, perlu jentik tembikai itu dahulu. Kemudian, atas kepatuhan kepada suami, Muthiah pun melakukan apa yang suami sarankan.

Mula-mula beli… Alhamdulillah, tembikai yang Muthiah pilih manis.

Kali kedua Muthiah beli, hmmmm… sudah tidak manis.

Kali ketiga pun sama. Mungkin kemahiran Muthiah menjentik tidak cukup baik.

Kemudian, suami bertanya…“ Berapa biji buat perbandingan?”
Muthiah menjawab, “ Hmmm… tidak buat perbandingan pun. Ambil sebiji tembikai. Kemudian jentik dan terus beli…”

Apa lagi, suami pun tergelak-sakan, “ Oh, my bini… sabar sahajalah,” katanya.

Moralnya, kalau hendak beli tembikai, jangan jentik sebiji sahaja. Kalau jentik sebiji dan ambil terus, baik tidak perlu jentik. Lagipun, bagaimana hendak buat perbandingan bukan? Jadi, fikir-fikirkan….

Muthiah : Selamat membeli tembikai dan bijak-bijakkan diri untuk membuat pilihan. Hehe… (Ada juga tembikai yang nampak merah tetapi tidak manis…)
Labels: 2 comments | | edit post

Tauhidullah



Salam ukhwah fillah. Acummmm… hehe… bersin banyak kali hari ini. Ikutkan, mahu rehat tetapi rasa rugi pula. Alhamdulillah, P-FC sudah selesai untuk satu bab cuma perlu edit lagi (insya-Allah, petang ini buat).

Hari ini, ingin berbicara tentang apa ya? Anda benar! Muthiah ingin berkongsi tentang TAUHID…

Mengikut Kamus Dewan Edisi Empat (terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka:
1- TAUHID – Keesaan atau ketunggalan (Allah).
2- MenTAUHIDkan – Mengakui bahawa Tuhan itu esa; Mengesakan, menyatukan, menumpukan hati dan memusatkan (hati).
3- KeTAUHIDan – Berkenaan dengan tauhid, tauhidiah.
4- TAUHIDiah – Mengenai keesaan Allah.

Persoalannya, apakah kepentingan mengtauhidkan Allah?

Dengan kata lain, seorang Muslim itu perlu berusaha untuk mengenali Allah. Bukankah tidak kenal maka tidak cinta? Bilamana ia tidak ‘kenal’ dengan Penciptanya, boleh jadi membuatkan ia jauh dan terus menjauh. Ia tidak sedar bahawa Allah sentiasa mengawasinya… bukan itu sahaja, setiap apa yang dilakukan pasti kan diperhitung oleh Allah kelak.

Jadi, kenallah Allah. Tatkala kita melakukan dosa, ketahuilah bahawa Allah itu MAHA PENGAMPUN lagi MAHA MENGASIHANI. Bilamana kita tidak cukup kuat (menghadapi ujian), sesungguhnya Allah itu amat dekat dengan kita. Dia MAHA MELIHAT, MAHA MENGETAHUI dan MAHA SEGALANYA. Yang penting, kita perlu sentiasa bersangka baik kepada Allah…

Baiklah… berbalik kepada persoalan tauhid. Pertamanya, tauhid itu sendiri merupakan ASAS AQIDAH;

1- Pergantungan kepada Allah : Ar-Ra’d ayat 16 – Katakanlah,“Siapakah Tuhan langit dan bumi?” Jawabnya, “Allah.” Katakanlah, “Maka, patutkah kamu mengambil pelindung-pelindungmu selain daripada Allah, padahal mereka tidak menguasai kemanfaatan dan tidak (pula) kemudharatan bagi diri mereka sendiri?”…

2- Kasih sayang dan rahmat Allah : Al-An’am ayat 12 – Katakanlah, “Kepunyaan siapakah apa yang ada di langit dan di bumi?” Katakanlah, “Kepunyaan Allah.” Dia telah menetapkan atas Diri-Nya kasih sayang…

3- Pujian bagi Allah (kesejahteraan bagi hamba : An-Naml ayat 59 – Katakanlah, “Segala puji bagi Allah dan kesejahteraan atas hamba-hamba-Nya yang dipilih-Nya. Apakah Allah yang lebih baik atau apa yang mereka persekutukan dengan Dia?”…

Apa pula kesannya bilamana kita mentauhidkan Allah??? Ketahuilah… mendekatkan diri kepada Allah, banyak manfaatnya. Bukankah Allah itu Pencipta?

1- Membebaskan manusia
Benar… dengan mengesakan Allah, dapat membebaskan manusia daripada kekufuran dan kejahilan. Jom kita selusuri sirah Rasulullah… kisah penghijrahan ke Habsyah… antara Najasyi dan Jaafar bin Abi Talib.
Najasyi : Apakah agama baru yang kamu bawa ini?
Jaafar : Dahulu, kamu menyembah berhala, melakukan maksiat, makan binatang yang tidak disembelih, melakukan maksiat, bergaduh sesama sendiri serta memutuskan persaudaraan dan menyakiti orang lain. Kemudian, datanglah seorang lelaki mengajak kami mengabdikan diri kepada Allah yang Maha Esa. Lelaki ini menyeru kami meninggalkan berhala yang tidak mendatangkan manfaat dan mudarat, mengajak kami supaya bersaudara dan berakhlak mulia serta… meninggalkan maksiat dan dosa…

2- Hidup yang lebih baik
Manakan tidak bertambah baik? Kehidupan kita berlandaskan ketetapan Pencipta alam ini. Sesungguhnya, kita punya Tuan yang menjaga dan memelihara diri kita.
a) Peribadi yang seimbang (tidak berat sebelah, sesuai)
b) Asas persaudaraan dan persamaan – Sudah nyata lagi jelas bahawa yang membezakan antara seorang Muslim dengan Muslim lainnya hanyalah dari sisi TAQWA kepada Allah.
c) Barakah – Firman Allah dalam surah Al-A’raf ayat 96 yang bermaksud, “Sekiranya penduduk negeri-negeri berIMAN dan berTAQWA, pasti Kami akan melimpahkan kepada mereka BERKAH dari langit dan bumi…”

3- Ketenangan - Firman Allah dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud, “… Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah-lah hati menjadi tenteram.”

4- Kekuatan jiwa – Sesungguhnya, sebagai manusia yang lemah, kita membutuhkan kekuatan dan kekuatan itu tidak lain dan tidak bukan datangnya daripada Allah. Bilamana kita sudah kenal Allah… kita berusaha untuk semakin mendekat kepada-Nya. Tatkala kita sudah dekat, insya-Allah… kekuatan itu juga akan dekat dengan kita. Tetap tidak kuat? Ketahuilah… tanda kasih sayang Allah juga boleh dilihat daripada ujian. Ujian itu pula ada dua yakni ujian kesenangan dan musibah. Sekiranya kita diuji dengan ujian musibah, kembalilah kepada Allah dengan sabar. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 153 yang bermaksud, “ … Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.”

Hmm… panjang juga kupasan minggu ini. Sebenarnya, belum habis lagi tetapi Muthiah rasa cukup setakat ini (nanti pening pula membacanya – Bak kata suami Muthiah, artikel panjang-panjang… “ Malas benar untuk membacanya…”). Insya-Allah, diizinkan Allah, halakah minggu hadapan Muthiah akan berkongsi tentang konsep tauhid… yang merangkumi Rububiyah, Mulkiyah dan Uluhiyah (di kampus dahulu, ada tambah satu lagi info yakni asma’ wa sifat). Baiklah, selamat membaca.
Labels: 0 comments | | edit post

Lawatan bersama PERWAKAS


Salam. Dua hari Muthiah tidak aktif menulis blog. Al-maklumlah, sibuk bangat. Hehe…

Hmmm…sebenarnya, Sabtu lepas (18 Julai 2009)… Muthiah bersama-sama ahli PERWAKAS telah mengikuti lawatan sambil membeli di Kuala Lumpur, Selangor dan Nilai. Awalnya, suami hanya beritahu… ada lawatan tetapi tidak memberi terangan lanjut perihal lawatan tersebut. Jadi, Muthiah buat endah tidak endah sahaja.

Akan tetapi, sewaktu aktiviti gotong-royong di pejabat suami Muthiah, staf di sana telah membuat promosi kepada Muthiah. Apa lagi, mestilah mahu turut serta. Suami pula? Hehehe… pening kepala.

Ke mana ya? Muthiah dan ahli-ahli PERWAKAS yang lain telah berkunjung ke Vantage (kilang pinggan mangkuk) yang terletak di Seksyen 14, IKEA (saat-saat akhir baru diberitahu tentang ini) dan Nilai 3 (pusat membeli-belah kain dan pakaian).

Jam 6.30 pagi, kami perlu berkumpul di perhentian bas (sebelum tol Changkat Jering). Akan tetapi, seawal jam 4.30 Muthiah sudah bangun dari tidur… Huhu, sudahlah malam sebelumnya Muthiah dan suami ‘lepak’ sehingga lewat malam di Olden Kopitiam, Taiping. Mengantuk sih…

Oleh sebab mengantuk, Muthiah melengahkan masa untuk bangun. Jam 4.45 baru betul-betul bangun. Buat apa? Apa lagi kalau bukan menyediakan sarapan, makan tengah hari dan malam terus buat suami. Al-maklumlah, hendak berjalan-jalan… jadi, perlu bereskan urusan di rumah dahulu. Alhamdulillah, azan Subuh, semuanya selesai.

Kami bertolak ke Ipoh jam 7.00 pagi (ambil ahli PERWAKAS) yang berada di stesen Ipoh. Seterusnya, bertolak ke Kuala Lumpur jam 7.45 pagi. Perjalanan dibuat tanpa henti dan kami sampai ke Kuala Lumpur dalam jam 9.00 pagi (hampir ke angka 10.00).

Mula-mula, kami ke Vantage. Muthiah tidak beli apa-apa… pertama, sebab tidak merancang untuk ke sana dan kedua… pinggan mangkuknya semua bercorakkan bunga (tidak menepati citarasa Muthiah). Lagipun, pinggan mangkuk di sini mahal bangat. Satu set sahaja RM1,000. Jadi, Muthiah sekadar lihat dan buat survey (manalah tahu kan… untuk masa akan datang).

Jam 12.30 tengah hari, kami bertolak ke rumah PERWAKAS Wilayah Persekutuan yang terletak di Kelana Jaya. Setelah makan tengah hari dan solat Zohor… kami pun bergerak ke IKEA.

Tidak ada apa yang menarik di sini dan kami berada di IKEA selama satu jam. Selepas itu, terus bergerak Nilai 3. Di sini, Muthiah berjalan dengan tiga orang staf (Kak Jue, Kak Akmal dan Kak Zah). Mak ai… begini rupanya perempuan berbelanja.

Membeli dan terus membeli… entahlah, Muthiah kurang teruja untuk turut serta (sekadar memerhati). Al-maklumlah, kain pasang hadiah kahwin pun belum dijahit lagi (lebih lima pasang).

Seterusnya, jam 8.00 malam, kami pun bertolak pulang ke Taiping. Jam 9.30 malam, berhenti sebentar di RNR Rawang untuk solat dan makan malam. Akhir sekali, kami sampai ke Taiping jam 1.00 pagi. Hehe… suami sudah sedia menanti…

Muthiah : Ada lawatan sambil membeli lagi, mahu ikut serta lagi boleh????

Aktiviti Mujaddid


Salam ukhwah buat sahabat-sahabat yang Adik kasihi fillah, insya-Allah. Afwan ya, terlewat respon. Sabtu baru-baru ini, ada lawatan sambil belajar bersama PERWAKAS. Ahad pula, sangat sibuk… ada tetamu dan membeli-belah keperluan dapur…

1- Cadangan aktiviti terdekat (Ramadhan)… boleh jadi :

a) Iftar bersama
Sekiranya ada yang mahu sponsor, lagi baik. Jika tidak, bagi yang mahu turut serta, bolehlah beri sumbangan sedikit dan boleh juga membawa juadah dari rumah (ala-ala bertukar-tukar juadah gitu). Selain itu, boleh juga dibuat mengikut negeri.

b) Halaqah, majlis ilmu dan lain-lain

c) Hand out / risalah Ramadhan – boleh diedarkan melalui emel/ diletakkan di dalam blog utama mujaddid secara mingguan sehingga Syawal menjelma tiba… Di hari raya…

d) Bagi yang tinggal di Kuala Lumpur (tempat lain pun boleh, tetapi perlu berbincang secara terperinci dahulu)… bolehlah qiam bersama. Waktu Muthiah berada di Kuala Lumpur dahulu, Masjid As-Syakirin KLCC selalu mengadakan iftar, majlis tarawih, qiam dan bersahur (makanan disediakan). Hmmm… Muthiah lupa bermula pada Ramdahan yang keberapa, boleh semak balik ya. Sebagai tambahan, Masjid Jamek, Masjid India dan Masjid Kampung Baru ada mengadakan iftar jamaie tetapi dahulu… kalau Masjid India… iftar disediakan untuk Muslimin sahaja.

e) Semakan (check list) mutabaah ibadah – boleh dibuat secara individu, dengan suami/ isteri atau secara berjemaah. Kita sama-sama tetapkan apa yang hendak dibuat. Contohnya, tadarus dan banyak lagi. Bagi yang telah berumahtangga, bolehlah dilakukan sesama suami isteri… sama-sama mendekatkan diri kepada Allah, insya-Allah.

2- Program terdekat :

a) Boleh juga buat gathering. Sangat sesuai… Kalau agak payah, boleh dibuat mengikut negeri (tetapi sebaiknya, buat sekaligus… masa setiap kita terhad bukan?) dan perlu ada ketua yang bertanggungjawab ke atas setiap negeri. Bagi setiap ketua, ia bertanggungjawab terhadap ahli-ahli di bawahnya. Selain itu, ia juga berperanan untuk berhubung secara langsung dengan ketua-ketua lain di setiap negeri (seandainya mahu buat peringkat kebangsaan). Akan tetapi, perlu dilihat kembali dari sudut kos, pengangkutan dan perhubungan. Al-maklum, hendak menjadi ketua, bukan mudah. Besar amanah dan tanggungjawabnya. Kesabaran juga perlu tinggi (terutama apabila ada yang tidak komited dan sambil lewa). Dush dush…Selain itu, perlu juga buat perbincangan lebih lanjut dari segi : tempat, masa, penceramah, modul dan lain-lain.

b) Program jaulah di kalangan ahli – ziarah mesra. Mungkin dibuat setahun sekali… sebulan sekali… Di sini, banyak guna kos jadi sebaiknya, boleh jaulah dalam negeri. Contohnya, yang tinggal di Taiping… ziarahlah adik-beradik yang tinggal kawasan ini juga (atau yang berhampiran dengannya).

c) Dinner – hmmmm… kekangan utama mungkin dari sudut kos, masa dan komitmen lain. Jadi, perlu dibincang lanjut. Hmmm… bilamana kita tidak dapat mengumpulkan semua… walau hanya beberapa kerat, insya-Allah, perjumpaan itu adalah rahmat daripada Allah.

d) Buat umrah sama-sama. Huhu… (mungkin program terdekat dalam tempoh 20 tahun ini).

3- Ekonomi…

a) Galakan ahli untuk berinfaq. Waktu program-program di atas dibuat contohnya, boleh buat kutipan infaq.

b) Bagi ahli Mujaddid yang menjadi surirumah dan berminat untuk menjalankan perniagaan, bolehlah berbincang lanjut untuk membuat bisnes (tentang modal, apa yang hendak dijual, pro-kontra dan sebagainya). Ahli-ahli boleh menyumbangkan modal dan keuntungan bolehlah dibahagi kepada tiga; 1- dimasukkan ke dalam akaun Mujaddid, 2- diberikan kepada penyumbang modal, 3- komisen kepada mereka yang mahu menguruskan bisnes tersebut. Contohnya, menjadi agen HPA. Lagi, bla bla bla…

c) Buat jualan amal (garage sale). Jika ada ahli yang mahu menjual barang-barang second hand, boleh dijual – anjuran Mujaddid. Kekangan? Masa dan orang yang hendak in-charge.

d) Terbit buku / majalah… Hahaha…. Untuk terbit buku, perlu ada editor dan penyumbang. Boleh jadi penyumbang ini terdiri daripada ahli-ahli Mujaddid sendiri. Ada yang selia ruangan A dan setiap orang (yang telah dipertanggungjawabkan) perlu menjaga kolum masing-masing. Modal?? Sebenarnya, pernah terbaca… ada pihak yang boleh membantu tetapi lupa, siapakah itu… huhuhu…

e) Setiap kita atau kawan-kawan kita, mesti mahu dapatkan kereta bukan? Boleh lantik jawatankuasa dalam hal ini. Jadi, mana-mana ahli/ kawan yang mahu beli kereta, boleh minta jawatankuasa yang dilantik uruskan. Kemudian, dia yang akan bertanggungjawab menjadi orang tengah dengan pihak jualan kenderaan. Biasanya, dapat ‘habuan’ juga… Dahulu, papa Adik ada buat macam itu. Apabila kenderaan berjaya dijual, orang yang memberi cadangan akan dapat dalam RM200 atau RM300 atau RM400 dan lain-lain.

f) Menganjurkan pembelian secara pukal (daripada pembuat atau kilang). Contohnya, Adik kenal pekilang (Vantage) dan kita semua/ atau orang yang duduk dekat dengan kita hendak beli pinggan-mangkuk. Jadi, Adik berurusan dengan pekilang tersebut, lebih kurang… “Kalau saya beli banyak, berapa dapat komisen?” – bulk order. Kemudian, kalau Adik dapat komisen 30%, kita jual pada ahli pada diskaun 10% dan 20% dimasukkan ke dalam akaun Mujaddid (tolak juga kos pengangkutan dan perhubungan.. hehe). Selain itu, boleh juga buat jual/ beli kurma.

g) Program kitar semula… macam mana ya? Contohnya, sewaktu hari keluarga. Ahli-ahli sumbangkan surat khabar lama/ besi buruk dan lain-lain kepada pihak penganjur Mujaddid. Kemudian, barang-barang tersebut bolehlah dijual dan hasilnya, dimasukkan ke dalam akaun Mujaddid.

h) Projek penanaman. Adoi adoi. Hahaha… Namun, untuk jangka panjang, mungkin berbaloi dan mereka yang terlibat adalah mereka yang betul-betul komited.

i) Beli rumah dan sewakan pada orang. Huhuhu… modal?..tidak apa… optimis.

j) Masuk saham. Modal lagi kan??? Tidak apa ya…cadangan sahaja tetapi kalau difikirkan baik, bolehlah. Beli 1-2 lot dahulu(1 lot bersamaan 1,000 unit). Bilamana untung, jual dan pusing modal di sana. Tetapi, pastikan melabur dalam bursa yang sahih kehalalannya.

k) Melabur dalam RadixFC. Modal lebih kurang RM1juta (perlu ada dalam akaun). Modal-modal tersebut boleh diperoleh daripada aktiviti janaan ekonomi sebelum ini. Huhuhu…

l) Buat insurans - Dengan kata lain, jika hendak ambil insurans, ambillah daripada agen yang terdiri dari kalangan adik-beradik Mujaddid (kalau belum ada yang terlibat, jadilah agen)...

4- Untuk blog Mujaddid…

a) Hehe… sumbangkan artikel. Adoi… dush dush atau pihak yang ada ‘kuasa’ bolehlah minta ahli-jasa baik ahli-ahli untuk menyumbang secara konsisten. Contohnya, ada 10 orang yang boleh memberi komitmen. Jadi, daripada 10 orang tersebut, bahagikan kepada 30 hari (atau kurang daripada itu). Kemudian, hantarkan bahan kepada pihak admin blog Mujaddid. Tajuk artikel boleh jadi bebas atau diberikan oleh pihak syura Mujaddid. Apa pun, boleh bincang lagi.

b) Apapun… kemaskini artikel dalam blog penting untuk menarik minat orang mengunjunginya.

c) Ahli disarankan memberitahu peristiwa utama kepada admin Mujaddid. Contohnya ada majlis ka…

5- Kebajikan untuk ahli :

a) Pertama sekali, pangkalan data Mujaddid amat penting untuk kita tahu tentang ahli-ahli. Kenapa? Kembali, kepada konsep usrah itu sendiri iaitu TAARUF, TAFAHUM dan TAKAFUL (kebajikan). Kenapa perlu taaruf. Sebab, untuk mencapai objektif menjaga kebajikan… kita perlu tahu kepada siapa kita hendak menjaga kebajikan? Kebajikan orang yang sudah berkahwin, tidak sama kebajikannya dengan mereka yang belum berumahtangga; ada anak/ tiada anak… pelajar/ sudah bekerja/ belum bekerja dan lain-lain. Kemudian, sudah tahu perkara tersebut… kita akan dapat memahami kondisi mereka sekaligus menjaga kebjikan mereka.

b) Sewaktu kelahiran, musibah, perkahwinan dan lain-lain. Boleh infaq kepada mereka.

6- Cara menghubungi ahli :

a) Pertama, perkemas dahulu pangkalan data. Dari pangkalan data, kita boleh mengenalpasti kedudukan ahli (bagi yang mengemaskini data). Seterusnya, buat rantaian.

b) Setiap negeri, perlu ada ketua. Sekurang-kurangnya, tahu siapa yang berada di bawahnya. Kekangan utama, komitmen daripada ahli sendiri, mungkin. Kekangan kedua, kos bagi yang menguruskan.

*** Kekangan ***

1- Tenaga penggerak - Terbahagi kepada tiga; 1- Yang komited, 2- Yang sekejap ada dan sekejap tidak ada, 3- Yang tidak ada langsung. Bagi yang sekejap ada dan sekejap tidak ada/ tidak ada langsung… hmmm…mungkin ada kekangan lain pada diri empunya diri yang mungkin hanya mereka yang tahu (masalah masa/ komitmen dengan perkara lain contohnya/ wang dan lain-lain). Insya-Allah, bersangka baik… Adik-beradik mahu tetapi mungkin tidak mampu… huhu..

2- Masa – Ahli Mujaddid terdiri daripada; 1-Sudah bekerja (dan ada komitmen dengan kerja), 2- Sudah berkeluarga, 3- Tinggal jauh daripada orang lain (contohnya di Sabah/ Sarawak…payah juga hendak berjumpa bukan? Kos lagi…)

3- Kewangan – kadang-kadang, kita tidak tahu apa masalah rakan-rakan kita. Contohnya, hendak turut serta gathering, tetapi tidak mampu. Kemudian, berdiam diri. Sebab itu, rukun usrah itu sendiri amat penting untuk kita hadamkan. Bagi yang tidak bekerja, ada masalah lain pula… begitu juga yang masih belajar. Prioriti duit perlu diletakkan kepada keperluan pembelajaran.

Huhu… mahukan cadangan sahaja bukan? Adik sekadar brainstorming…boleh jadi praktikal dan boleh jadi tidak. Yang baik, bolehlah buat perbincangan lanjut dan yang tidak elok/ sesuai…simpanlah dahulu… Mana tahu kan berguna di kemudian hari?
Baiklah ya. Setakat ini dahulu. Afwan salah silap.
Ilal liqa’
Adik (Nurliza)
Labels: 0 comments | | edit post

Andai tiada jodoh


Bayang peristiwa lalu
Masih melekat di fikiranku saat ini
Engkau seolah melambaiku
Sedangkan cinta kita telah pun berakhir…

Bibit lagu ‘Perjalanan Duka’ nyanyian Min Malik ini benar-benar membuatkan hatiku terusik. Entah mengapa… entah kenapa… Bayangannya hadir kembali. Argh… Persetankan perasaan itu. Aku tidak mahu!

“Za, betul ke ada gitu-gitu dengan budak sebelah tu?” Azie menerjah.
“Budak sebelah mana pulak ni?” Tanya Zaliza acuh tak acuh. Sebenarnya, jantung berdegup kencang ingin tahu tetapi… mesti control. Jatuh saham beb!
“Ish. Main-main pulak budak ni. Alaaa…” Azie mula memuncungkan mulutnya. Marahlah tu.
“Serius! Za tak tahu apa-apa. Skandal apa pulak ni?”
“Mus sendiri cakap. Za ada affair dengan dia,” kata Azie bersungguh-sungguh.

Mus… Siapa tidak kenal Mustafar Adnan? Muka ala-ala Zamani Slam. ‘Tidak mungkin kuberpaling lagi…’ Handsomelah kononnya tu. ‘Tapi memang handsome pun,’ bisik hatiku. Bukan sahaja handsome, kaya pulak. Umur baru 21 tahun, sudah ada kereta. Memang kereta mak ayah tapi kira OK lah. Ada kereta! ‘Ceh… Gila besi pulak aku,’ aku tersenyum sumbang.

“Za, tadi kelas Mus ada jamuan akhir tahun. Mus tahu Za suka makan spaghetti. Jadi, Mus tapaukan untuk Za,” kata Mus suatu hari.
‘Alahai mamat ni sorang. Salam tak bagi, main terjah je. Ingat Nas Melodi ape?’ bebel aku sendirian.
“Em… Dah makan tadi Mus. Tak apalah. Mus makan la ye. Za dah kenyang,” kataku ringkas lantas meninggalkannya.

Aku pun tidak tahu kenapa. Mengapalah hatiku begitu sukar memberi ruang buat Mus untuk mendekatiku. He’s my taste but don’t know why. Kadang-kadang, timbul juga keinginan untuk memulakan persahabatan dengannya tetapi sering kali kaku… kelu… terdiam tidak mampu berkata apa-apa.

“Za, budak sebelah bagi,” kata Zaki lantas menghulurkan sekeping kertas pink. Sebelum sempat aku bersuara, Zaki terus menghilangkan diri.
‘Zakiiiiiii…..’ Sekadar mampu menjerit namanya di dalam hati. Hati lagi. Bebel, ngutuk, puji… semuanya dalam hati. Bilamana hanya berinteraksi dalam diri, hanya aku sahaja yang tahu. Eh salah. Hanya aku dan Tuhan sahaja yang tahu.

Macam pelesit. Tadi ada, sekarang tak ada. Baru-baru ini, Azmir menjadi posmen tidak rasminya. Menghantar sekuntum bunga daripada Mus buatku. Kalau Zaki macam pelesit, Azmir pula macam biskut Chips More. Now you see, now you don’t. Mungkin kursus yang diterima untuk menjadi posmen anak Pak Adnan sebegitu.

I LOVE YOU

Begitulah sehari-hari. Ringkas dan padat. Mus hanya tahu menghadiahkan sekuntum bunga dan menulis ungkapan ini. Macam tidak ada benda lain. Bunga… bunga… bunga… I love you… I love you… I love you… Tak bosan ke?

Lain kali, bagilah KFC ke… PS3 ke… boleh juga aku hadiahkan kepada adik lelakiku yang kebosanan. Kasihan benar aku melihatnya. Balik rumah, laptop buruk aku yang dicapainya. Hari-hari main ‘Solitaire’. Aku yang memandang pun naik boring.

‘I love you’ bererti ‘Aku cinta padamu’. ‘So what?’ Aku bertanya dalam diri. Tahulah handsome… anak orang kaya… Namun, bukan mudah untuk membeli cintaku. Ewah ewah… berjiwang karat pulak aku.

“Za, pergi tak konsert Ahad ni?” Tanya Ernie suatu hari. Dialah satu-satunya kawan baikku di kampung ini. Yang lain pun, kawan juga tapi bukan kawan baik. Entah macam mana Ernie yang bermata bulat dan berambut Maggie ini menjadi temanku yang paling akrab. Yang pasti, dia sering kali bertandang di rumah kedaiku. Ada sahaja cerita sensasi yang hendak disampaikan.

Kak Nani mengorat dengan Hisham anak tauke kedai foto. Ayu yang duk tergila-gilakan Mus. Yati yang tak habis-habis dengan dressing ala-ala artis baru. Alaaa… Macam Datuk Siti Nurhaliza masa mula-mula terlibat dalam dunia seni. Kan bibirnya merah menyala. Rambutnya mengerbang bak Sharifah Aini. ‘Hey, jangan lebih-lebih. Masuk court nanti,’ aku menasihati diriku sendiri.

Tidak terkecuali Ernie bercerita tentang Mus. Mus baiklah. Mus ramai peminatlah. Paling letih, Ernie menyatakan bahawa Mus sukakan aku. Entah buta atau kabur matanya. Aku tidak seperti Ayu… Yati mahupun awek-awek di tempatku. Aku wanita tetapi bukan ‘Wanita Melayu Terakhir’. Kih kih kih… Ala-ala Vanida Imran gitu.

‘Aku … akulah jua…’ bak kata Mael dalam lagunya yang berjudul Semangat Yang Hilang. Alaa… Dalam kaset XPDC Brutal tu. Masa ni, Mael masih menjadi vokalisnya. Sekarang tidak lagi. Ali pulak mengambil tempat. Sempat lagi aku memberi penerangan.

Siapa tidak kenal Zaliza? Nak kata comel, comellah juga. Kalau bukan aku yang tekan lif, siapa lagi yang mahu tekankan untuk aku. Nak kata ayu… yang ni aku tak berani nak cakap. Aku tidak sama seperti mereka. Siapa mereka tu? Bukan peserta akhir ‘Gadis Melayu’ TV9 Dekat di hati tau.

Tetapi… aku bukan tomboy. Aku juga bukan pengkid. Nauzubillah. Dilaknat Allah menyerupai lelaki. Fatwa yang dikeluarkan mufti tentang pengkid membuatkan aku mengucap sendiri. Sudah akhir zaman sebenarnya tetapi orang selalu tidak mahu ingat. Betullah kata Tun Dr. Mahathir Mohamed, mantan Perdana Menteri Malaysia keempat, ‘Melayu mudah lupa.’ Eh, melalut pulak aku. Tidaklah. Sekadar mahu berkongsi general knowledge yang aku ada.

‘Adus, bukan best pun tengok konsert ni. Asyik-asyik panggil artis dangdut. Bosan laa,’ aku membebel seorang diri.
“Alah, banyak lagi agenda malam tu. Bukan konsert aja,” Ernie membalas. Aik! Bila masa aku bercakap dengannya?

Benarlah kata Ernie. Konsert yang berlangsung bukan sekadar konsert. Ada ‘tigerwalk’ lagi. Apa punya istilah yang aku gunakan. Tidak apa. Perkataan ‘kecapaian’ pun diterima umum sebagai tema hari kemerdekaan satu ketika dahulu. Sedangkan pengertiannya begitu tidak kena dengan maksud yang ingin disampaikan. Jadi, untuk menukarkan perkataan ‘catwalk’ kepada perkataan ‘tigerwalk’ bukanlah sesuatu yang mustahil.

Waktu ini, dapat kulihat teman-teman seangkatanku dengan dressing yang mengancam bagi mereka tetapi seksa bagiku. ‘Macam tidak cukup kain’, kataku di dalam hati. Bukan itu sahaja bahkan dapat melihat ‘drama’ free. Remaja belasan tahun tanpa segan silu berpegangan tangan. Aku? Aku maintain macho.

Sedang asyik aku menikmati pemandangan yang kurang menarik itu, kusedari bahawa aku sebenarnya diperhatikan. ‘Aku salah dressing ke?’ Biasalah bagiku. Mengenakan t-shirt ‘No Fear’ di samping jeans lusuh sudah menjadi trade mark diri. Bukankah ‘Aku… akulah jua…’

“Za…”
Em… Macam kukenal suara itu tetapi di mana?
“Za…”
Pasti! Aku yakin aku mengenali suara itu.
“Za, tolonglah. Janganlah jual mahal sangat. Kurang sikit pun OK,” Mus seakan merayu.
“Iya. Apa hal?” Tanyaku dalam nada seperti biasa. Maaf salah silap. Aku tidak pandai menyusun kata.
“Za, berilah ruang pada Mus untuk mengenali Za dengan lebih mendalam,” merah mata Mus menuturkan kata-kata itu.
‘Alahai mamat ni. Jiwang besi karat la pulak,’ aku mengomel dalam hati.
“Mus, ada hal. Jumpa lain kali OK,” kataku tanpa menoleh lagi. Lantas kutinggalkan Mus keseorangan. Mana boleh jadi? Aku kutuk mereka yang terlibat dalam ‘drama swasta’ di tapak konsert tetapi aku juga hampir melakonkan watak sampingan. (Masih belum layak menyandang watak utama).

Sudah hampir sebulan ‘dating’ tak jadi aku berlalu. Jika dahulu, Mus pasti mengusikku tetapi kini aku seakan sunyi daripada usikannya. Tiada lagi nota ringkas yang tertulis ayat ‘I love you’. Tiada lagi bunga raya… bunga ros atau apa-apa bunga yang berwarna merah menghiasi meja study-ku. Jangan tidak percaya. Aku sebenarnya menyimpan seluruh ‘harta’ pemberian Mus. Bukan itu sahaja, tiada lagi insan yang mahu berkirim salam denganku. Sunyinya…

Kenapa ni? Bukankah selama ini aku begitu berserabut dengan Mus yang tidak pernah kenal erti jemu menggangguku? Sekurang-kurangnya, kini aku bebas daripada ancaman ayat-ayat jiwangnya. Entahlah, kenapa aku berasa tidak seronok dengan keadaan ini?

Mus pula seolah-olah sudah berputus asa denganku. Adakah dia tidak ikhlas memikatku selama ini? Jika dia ikhlas, kenapa ia berhenti mencuba? Argh. Macam mana mahu membimbing wanita jika tidak tahan dengan ujian. Bukankah gagal dalam percubaan pertama mengajar kita untuk berusaha lebih keras? Namun, aku akui bahawa Mus mencuba bukan sekali dua tetapi berkali-kali bahkan tidak dapat aku bilang dengan jari. Tidak cukup meskipun ditambah dengan jari kaki.

Aku menjadi seperti orang yang hilang arah. Aku rindukan senyumannya. Aku juga mengenangkan surprise yang sering ia lakukan. Bagi bunga… bagi coklat… bagi itu… bagi ini. ‘Mus, kenapa berdiam diri?’ Aku mula merintih sendiri.

Hendak mencari Mus? Tidak sama sekali. Aku tidak akan terhegeh-hegeh mencarinya meskipun hatiku sebenarnya tidak lepas daripada menyebut namanya. Aku rindukan saat-saat membalas renungannya. ‘Mak! Dia tidak lagi tenung Za,’ aku menangis sendiri.

Aku masih lagi dengan egoku. Tidak boleh dikendurkan sama sekali. ‘Oh Tuhan, bukalah pintu hatinya buatku,’ hanya doa yang mampu aku titipkan. Itu pun sekadar di dalam hati.
‘Mus… bagilah bunga… bagilah nota… suruhlah Zaki, Rafi kirim salam.’ Sah! Aku memang sudah gila bayang. Menurut tips yang kubaca dari Majalah Remaja, simpton penyakit ini turut dikenal sebagai penyakit angau. He… He…

“Za! Za! Ada berita sensasi,” Ernie berkata suatu hari.
‘Alahai DJ tak rasmi Panas.fm ni. Tak habis-habis dengan berita sensasinya,’ aku merungut dalam hati.
“Hah, siapa yang kena tangkap khalwat?” Aku bertanya tanpa berfikir panjang. Apa punya soalan daaaa…
“Ish, ko ingat aku ni wartawan ke? Aku tak kejar isu tu,” marah Ernie. Aik, isu mana pula ni? Aku tak cakap apa-apa pun.
“Ye sayang. Apa yang sensasi sangat tu? Janganlah marah sayang. Aku gurau je. Relax brother,” kataku memujuknya kembali sambil mengunyah gula-gula chew gum yang baru aku beli… eh silap… yang baru aku ‘pau’ di kedai ayahku.
“Mus nak kahwin. Risik tak, tunang tak. Tiba-tiba nak naik pelamin. Kena tangkap basah ke apa,” kata Ernie bersungguh-sungguh. Mulut minah ni memang tak ada insuran. Dah la dunia sekarang tidak dapat lari daripada saman menyaman. Salah sikit, saman. Silap sikit, masuk court. ‘Jangan harap aku nak jamin kalau kau masuk jel,’ bisik hatiku. Apa punya kawan la…

Eh, kejap! Mus nak kahwin? Dengan siapa? Mana comel daripada aku? Kejap! Mana boleh dia kahwin. Kan Mus suka aku. Kan dia tergila-gilakan aku. Eh, mana boleh macam ni. Kan jodoh dia memang dengan aku. ‘Za! Istighfar. Jodoh pertemuan, ajal maut di tangan Tuhan,’ aku mengingatkan diri. Oh, tidak! ‘Oh Tuhan tolonglah aku.’ Sempat lagi aku menyanyikan lagu Min Malek. Sebenarnya, lagu-lagu Min Malek menjadi pilihanku kerana bagiku… meleret-leret pulak aku.

“Jadinya?” Aku berlagak selamba dengan Ernie. Mana boleh gelabah. Jatuhlah saham aku. Hilanglah kemachoan aku selama ini. Oh tidak! Aku tidak sanggup menerima hakikat bahawa ada mata-mata memandangku dan di dalam hatinya berkata, “Zaliza sudah hilang machonya.” Aku tidak sanggup. Tetapi, apa yang harus aku lakukan?

Ernie terkaku melihat reaksiku. Diam seketika.
“Jadinya kenapa sayang?” Aku bertanya lagi.
“Em.. Eh..” Ernie tiba-tiba menjadi gagap. Matanya mula menjadi merah.
“Hei kawan. Relax la. Dia nak kahwin. Bukannya sakit tenat pun. Kalau sakit, kita pergi ziarah,” aku sempat buat lawak meskipun hatiku meronta-ronta kehibaan.

“Mus cakap. Sebelum dia kahwin, dia nak bagi kad khas untuk Za,” kata Ernie lagi. Belum sempat aku bertanya lanjut, ia berkata, “Petang ni, kat loji air jam 5.30.”
“Eh, mana boleh 5.30 petang. Muzik-muzik tu,” kataku.
“Za, please. Buat kali terakhir,” Ernie seakan merayu.
“Ye la, ye la,” kataku. Sebenarnya, aku takut berdepan dengannya. Takut menangis.
“Dahlah Selasa hari tu tak sempat nak tengok cerita Detektif Conan. Nak pergi awal ke tapak konsert la kononnya,”aku berpura-pura merungut di hadapan Ernie.
“Hello brother. Tak macholah tengok cerita kartun,” kata Ernie lantas meninggalkanku.

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 5.30 petang. Aku nak pergi tak ni? Aku tak sanggup sebenarnya. Takut tiba-tiba aku menangis kesayuan. Hilanglah kemachoaanku selama ini.

“Wei Za, ko tak pergi lagi ke?” Tanya Ernie tatkala ia melihat aku masih terkebil-kebil di hadapan kedai ayahku.
“Malaslah,” aku menjawab ringkas.
“Pergilah. Kali terakhir…” Rayu Ernie.
“Okay.. Okay.. Ko teman aku.”

Alamak! Sudah pukul 6.00 petang. Budak tu ada lagi tak?

Aku mencari-cari. Sah, dia tak ada pun. Kupandang kanan, kupandang kiri… Pandang kanan sekali lagi. Kemudian, lintas. Eh, silap. Aku bukan nak melintas jalan. Aku nak cari Mus.

Macam kukenal sosok tubuh itu. Pasti! Mus masih menungguku. Aku tercari-cari. Manakah kad istimewa yang ingin diberikan kepadaku. Tiba-tiba, hatiku menjadi sayu. Kenapa ni? Oh, tidak. ‘Zaliza, macho beb!’ Kataku dalam hati menguatkan diri.

Kulihat Mus tertunduk. Di tangannya, ada sekeping sampul kad berwarna pink. Ah, sayunya. Aku berjalan menuju ke arahnya. Jantungku berdegup kencang. ‘Ya Allah. Kuatkan hati hambamu. Aku tidak mahu menangis. Ya Allah, ya Allah,’ aku berdoa di dalam hati.

Mus kini berada di hadapanku. Namun, kepalanya masih ditundukkan ke tanah. Aku? Hilang machoku apabila aku juga tertunduk ke tanah. Mataku mula berkelip, sebagai tanda hujan mahu turun. Hujan? Sejak bila hujan turun dari mata. Betullah kata ayahku. Potensi diriku tidak melayakkan aku menjadi guru. Kasihan anak muridku… mendapat ajaran sesat lagi menyesatkan.

Tanpa memandangku, Mus menghulurkan sampul pink yang dipegangnya. Tidak semena-mena, air mataku tumpah. Walaupun tiada esakan, ia turun laju umpama tendangan bola daripada kasut ciptaan Profesor Agasa kepada Conan.

“Kenapa jual mahal sangat? Murah sikit pun OK,” kata Mus lantas meninggalkan aku. Kulihat ia tersenyum. Mus berjalan menuju ke arah Ernie. Tanpa menoleh kepadaku, ia terus meninggalkan aku.

Kini, kedengaran esakanku. Kulihat Ernie tetapi dia juga tersenyum. ‘Kurang asam punya kawan. Sukalah tu. Hilang macho aku apabila menangis,’ marahku dalam hati.

“Za, tengoklah kad kahwin Mus tu,” pintanya seakan tidak sabar. Al-maklumlah, bakal isteri Mus bukannya aku. Jadi, sudah pasti berkobar-kobar perasaan ingin tahunya.

Lantas, aku pun membuka sampul pink yang diberikan Mus. Eh, tak ada kad kahwin pun. Sekadar sekeping kertas pink kosong. Kata anak orang kaya, nak buat kad pun *kupit ke? Aku terus membuka kertas tersebut….

I love you.
Kenapa jual mahal sangat?Murah sikit pun OK.

Aku tersenyum sendiri. Argh… Mus dan Ernie telah mengenakan aku. Oh, tidak.

Hari-hari berlalu dengan hati yang berbunga. Lagi seminggu, aku akan menjadi milik Mus. Sesuatu yang tidak pernah kuduga walaupun sering aku harapkan. Aku begitu asyik menghitung hari. Semalam, aku dan Ernie belajar ‘tigerwalk’. OK la. Sekurang-kurangnya, dapat membantuku sewaktu berjalan di hadapan mertua.

Kring kring… Alah, siapa pula yang telefon malam-malam buta ni? Aku nak berjiwang pun payah.
“Za, Mus masuk hospital,” kata Ernie.
“Cepat bersiap. Nanti, aku dengan Zaki ambil ko kat asrama. Mak ayah semua dah ke hospital,” tambah Ernie lagi. Aku kepanikan. Teruk ke? Accident ke apa? Aku menjadi tidak keruan.

“Tak ada apa-apa,” pujuk Ernie. Air mataku sudah mula mengalir di pipi. Tidak sabar rasanya untuk tiba di hospital. Itulah, nak kahwin esok lusa tetapi mahu tinggal di asrama lagi. Bukan apa, banyak assignment belum siap. Aku tidak mahu bulan madu kami diganggu oleh tugasan-tugasan kuliahku yang bertimbun. Lagipun, Kolej Bestari dengan rumahku bukannya jauh. Tiga hari sebelum akad nikah, aku baliklah ke rumah.

Setibanya di hospital, kulihat semua orang berwajah sayu. Apa yang berlaku? Kulihat ayahku… diam. Ibuku juga diam. Kulihat semua orang terdiam. Apa sudah terjadi? Jeritku dalam hati. Tiba-tiba, ibu Mus berjalan ke arahku. Aku memandangnya dengan seribu satu harapan. Moga-moga ada berita baik buatku.

Lantas, ia menyerahkanku sebuah kotak yang sudah dibungkus. “Bukalah,” katanya. Aku cepat-cepat membukanya. Oh, tidak. Satu set CD Detektif Conan yang menjadi idamanku.

“Za tak suka bunga. Bunga macam orang perempuan,” kataku suatu hari. Eh, aku kan perempuan.
“Dah tu, Za nak apa?” Tanya Mus.
“Satu set CD Detektif Conan,” kataku tanpa berselindung. Biarlah ia tahu bahawa aku bukanlah semacho yang disangka. Terselit sikap kebudak-budakan dalam diriku.
“Mus dalam perjalanan dari Bandar KT. Katanya, nak bagi surprise kat Za. Tiba-tiba, dalam perjalanan pulang, ia dilanggar lori balak. Hancur kereta dan Mus tidak dapat diselamatkan lagi,” terang ibu Mus panjang lebar.

Tanpa berkata apa-apa, aku bergerak perlahan menuju ke pintu keluar hospital. Aku berjalan sendiri tanpa memandang sesiapa. Kutundukkan wajahku. Tidak sanggup aku melihat mata-mata yang memandangku.

Benarlah kata Mus satu ketika dahulu.“Mus yakin. Kalau ada jodoh, pasti tak ke mana. Mahal pun dapat punya,”
Ya, benar Mus. Kalau dah jodoh, pasti tak ke mana. Kalau tiada jodoh, pasti tak ke mana jua. Segalanya sudah ditentukan sejak azali.

Nota :
* kupit - kedekut
Labels: 1 comments | | edit post