Mencari Naurah (Bab 46)
Sunday, June 24, 2012
Novel | Mencari Naurah
SUDAH lama aku tidak balik ke kampung halaman.
Maklumlah, kerjaku berlambak sampai berguni-guni. Setiap hari, banyak sungguh resume
graduan baru yang sampai di atas mejaku.
Aku tersenyum melihat mak yang sedia menanti di muka
pintu. Setelah membayar tambang kereta sapu, aku cepat-cepat menghampiri mak.
"Assalammualaikum, mak," aku menyapa mak
lembut.
"Waalaikumussalam. Cuti berapa hari?" soal
mak pula.
"Cuti sampai Selasa ni, mak. Asha ambil cuti
tahunan dua hari," jawabku.
"Boleh cuti lama-lama? Kerja tak banyak
ke?" Dahi mak berkerut. Maklumlah… setiap kali berbicara dengan mak di
corong telefon, aku pasti akan bercerita tentang kerjaku yang tidak pernah mahu
habis.
"Hmmm… Kalau hendak ikutkan kerja, tak balik
kampung gamaknya, mak," ujarku lantas meletakkan beg pakaianku di belakang
pintu.
“Kebetulan,
Ady pun balik minggu ini,” beritahu ibu tatkala aku menyalaminya.
“Ady
ada e-mel Asha, mak. Sebab itu Asha balik,” aku mencium pipi ibu yang semakin
berkedut. “Arul mana? Dilla tak cuti ke?” aku bertanya pula.
“Lupa
pula hendak maklumkan pada Asha. Arul sudah bekerja...”
“Kerja
apa, mak? Alhamdulillah, boleh juga ringankan beban mak,” ujarku sebelum sempat
mak menghabiskan bait katanya.
“Mak
pun kurang pasti. Dilla cakap, kerja dengan Dato’ Azmi...”
“Hmm...
ayah teman wanita dia hari itu?” aku cuba mendapatkan kepastian.
“Ayah
si budak Farrah tu. Mak tak tahu apa dah jadi pada Arul. Dah lebih tiga bulan
dia tidak balik kampung,” mak menjelaskan. Terpancar kesedihan pada wajahnya.
Aku
tahu, meskipun Nasrul agak nakal, dia tetap anak kesayangan mak. “Arul tak
hubungi mak?”soalku lagi.
“Adalah
dua kali. Mula-mula, katanya dia masukkan mak duit dalam RM100. Malam tadi, dia
maklumkan pula yang dia tidak dapat balik hujung minggu ini. Ada kerja luar.
Harap-harap dapat juga luangkan masa dalam sebulan ini. Bukan mudah hendak
berjumpa dengan Ady...”
“Berubah
benar Arul, mak? Alhamdulillah,” aku tersenyum penuh makna.
“Arul
tetap anak mak. Mak tahu dia baik. Mungkin nakal sedikit sahaja,” mak membalas
senyumanku dengan senyum yang menampakkan gigi palsunya.
“Berkat
doa dan kesabaran mak juga.” Pipi mak kucium buat kesekian kalinya. “Dilla
balik bila, mak?”
“Assalammualaikum,”
kedengaran satu suara.
“Waalaikumussalam.
Panjang umur. Akak dengan mak baru sahaja mengumpat Dilla,” aku segera
mendapatkan Adilla di muka pintu.
“Mengumpatlah.
Nanti Dilla dah ada kawan, Dilla tak mahu kawan dengan akak lagi. Abang Ady
mana?” Mata Adilla tercari-cari abang nombor tiganya itu. Memang mereka berdua
agak akrab antara satu sama lain.
“Belum
sampai lagi. Pagi esok, insya-ALLAH,” mak berkata dengan suara yang lembut.
Tangan
mak disalami Adilla. Kemudian, Adilla berjalan ke arahku. Opocot, cicak!!!
“Makkkk....”
aku menjerit.
Aku
lihat Adilla ketawa kesukaan. Di tangannya, ada seekor cicak mainan. Sempat
lagi mengenakanku.
“Nasiblah.
Bukankah akak pernah beritahu dahulu, tidak baik mengumpat. Nanti dapat saham
percuma. Tengok, senang-senang mendapat balasan sekelip mata. Tidak payah
tunggu hari kiamat,” kata Adilla sambil ketawa.
“Ya,
betul! Bijak betul adik akak yang seorang ini,” balasku turut sama ketawa
kecil.
“Eh,
Abang Arul tak balik ke?” soal Adilla.
“Arul
telefon malam tadi. Tak balik katanya,” aku menjawab bagi pihak mak.
“Fuiyooo,
Abang Arul masuk majalah Remaja, kak. Masuk pertandingan hero Remaja. Salah
seorang finalis. Makin kacak dan tampan abang sekarang,” cerita Adilla lagi.
“Arul
kerja apa, sebenarnya?” Dahiku berkerut. Semacam tidak percaya bahawa adikku
yang seorang ini sudah punya kerjaya.
Mak
yang tadinya berjalan ke dapur terhenti langkahnya. Da memandang tajam ke arah
Adilla.
“Model
merangkap kerani am. Tidak tahu pula syarikat apa...” Jawab Adilla.
“Syarikat
Dato’ Azmi ke?” tanyaku.
“Bukan
syarikat bapa mertuanya. Abang Arul dapat kerja tersebut melalui Dato’ Azmi.
Bukankah Dato’ Azmi itu banyak dot dot dot,” terang Adilla bersungguh-sungguh.
“Aik,
Arul dah kahwin ke?” Terkejut dengan kata-kata Adilla, aku memandang mak yang
sudah perlahan-lahan berjalan ke dapur.
“Kong,
kong, kong... Tipah tertipu. Eh, silap. Cik Natasha comel tertipu. Bakal ayah
mertua dia daaa...” Adilla mengenyitkan matanya.
“Kurang
cili boh punya adik,” aku lantas menggeleteknya.
“Mak,
dinosaur 57 kilogram ini sudah naik minyak! Tolongggg...” Adilla menjerit
sambil ketawa terbahak-bahak.
“Cop,
cop...” Adilla kembali serius. Dia
kemudian berjalan ke arah beg pakaiannya lalu mengeluarkan sesuatu.
“Hmmm...
Selamat hari ulang tahun, Kak. Muah, muah, muah,” ucapnya sambil mencium
pipiku. Sekotak hadiah yang telah
dibungkus rapi dihulurkan kepadaku.
“Terimalah
seadanya. Dilla belajar lagi, tidak banyak duit.”
Hari
ini berapa haribulan? Alamak! 26 Februari... usiaku dah bertambah.
“Terima
kasih, sayang. Bukan tikus mainan, ya?” ujarku dalam nada gurauan.
“Bukan
tikus, kak tetapi ular sawa. Betul-betul punya ular. Moga cepat-cepat bawak
balik abang ipar.” Adilla tersenyum manis.
“Jom,
makan. Mak dah masak siap-siap makanan kegemaran Asha. Dilla, cuba rasa kek mak
buat ini. Khusus untuk anak-anak kesayangan mak,” pelawa mak yang sedia
menunggu di meja makan.
Aku
terdiam. Tidak sangka akan diraikan begini. Aku sendiri lupa akan tarikh
lahirku. Aku bahagia berada dalam keluarga ini. Aku tidak akan ambil peduli
kata-kata nista orang. Asal aku, mak, Adilla, Efendy dan Nasrul tetap bersama,
sudah cukup membuatkan kepiluan hatiku terbang tinggi mengikut arah angin.
Pergi
jauh dan pastinya tidak akan kembali lagi, insya-ALLAH...
~bersambung~