Lambaian kasih duka

Mak tetap tidak suka!” Mak Limah meninggikan suara. Raut muka puteri bongsunya direnung tajam. Semacam hendak diterkam gadis bertubuh gempal yang sedang mencangkung itu. Fatin pula hanya tunduk membisu. Sama sekali tidak berani memandang wajah emaknya.

“Fatin bukannya betul-betul mengenali budak itu. Kita tidak tahu asal usulnya. Fatin tidak dapat menyelami apa-apa yang tersirat dan tersembunyi di dalam hatinya. Entahkan ikhlas, entahkan tidak,” ada sedikit getar pada suaranya. Mak Limah tetap tidak mengalihkan pandangan pada anak gadisnya yang tetap membatu.

“Mak, Fatin keluar dahulu. Ada hal sekejap.” Tanpa mengendahkan bebelan emaknya, Fatin segera berlalu pergi. Ia terus berjalan laju menuju ke muka pintu. Kemudian, menuruni anak tangga dengan penuh hati-hati. Fatin ada temujanji dengan seseorang sebenarnya dan ia perlu lekas. Khuatir teman datingnya itu berkecil hati mahupun merajuk.

“Fatin hendak ke mana?” Pak Leman yang baru sahaja pulang daripada bertukang menegur anak gadisnya yang kelihatan terkocoh-kocoh meninggalkan rumah. Motosikal Honda 50cc yang ditunggangnya diletakkan betul-betul di bawah pokok rambutan tidak jauh dari teratak buruknya. Ekor matanya tetap memandang Fatin yang nampaknya sudah tidak keruan. Seperti ada sesuatu yang sedang mengejarnya. Tidak pun, semacam mengejar seseorang. Pak Leman berkalih ke atas rumah. Tidak pula kelihatan isterinya yang kuat berleter itu.

“Fatin hendak jumpa kawan, Ayah,” laung Fatin yang sudah berada di atas jalan besar. Pak Leman hanya menggeleng. Ia segera menapak ke dalam rumah.

“Limah, buatkan saya kopi…”

*****

Fatin memandang skrin telefon bimbitnya. Roman mukanya berubah. Sudah pukul 6.00 petang. Sudah tentu temannya itu sedang ternanti-nanti. ‘Emak punya pasallah semua ini,’ Fatin mendengus sendiri. Marah benar ia dengan Mak Limah. Fatin segera mempercepatkan langkahnya. Wajahnya masam mencuka.

“Maaf, Fatin terlewat. Emak tidak habis-habis mengomel. Ada sahaja yang tidak cantik pada matanya,” Fatin bersuara lembut. Ia memandang lelaki yang sedang duduk bertinggung di tepi sungai itu tanpa berkelip. Khuatir benar dia dengan rajuk pemuda berambut panjang paras bahu itu. Fatin tidak rela.

“Hanya tiga puluh minit. Saya sanggup tunggu,” ujar Sukarno perlahan. Ia membalas pandangan Fatin dengan senyum mesra. Anak mata gadis itu ditatap dalam-dalam. Fatin tertunduk sipu.

“Untuk Fatin,” tambahnya lagi. Hadiah bertukar tangan. Fatin menelek bungkusan yang siap dibalut itu dengan teliti. Ia memandang Sukarno sekilas kemudian kembali menggoncang hadiah yang baru diterimanya. Fatin tersenyum gembira.

“Apa di dalamnya?” Dahi Fatin berkerut. Ia merenung tajam mata lelaki yang sudah berdiri di hadapannya.

“Bukalah,” Sukarno kembali memandang arus sungai yang mengalir. Wajahnya berubah kemerahan.

“Istimewa buat gadis yang saya sayang. Sebagai bukti bahawa saya betul-betul mengasihi Fatin. Saya ikhlas dalam perhubungan ini. Saya tidak main-main,” sambungnya dengar tidak dengar. Fatin cepat-cepat membuka bungkusan tersebut. ‘Nah! Impianku,’ ia menjerit sendiri. Riang. Telefon bimbit berjenama Nokia itu diperhati penuh minat.

“Terima kasih. Emak pun tidak pernah belikan saya hadiah semahal ini,” luah Fatin terharu.

“Mungkin bermakna, saya menyintai Fatin melebihi sayang ibu terhadap diri Fatin sendiri. Saya mungkin baru mengenali Fatin tetapi hati saya betul-betul tertawan dengan Fatin,” Sukarno cuba memancing hati gadis itu halus. Cukup lembut dan senyumannya tidak lekang dari bibirnya yang kebiruan. Menandakan lelaki ini seorang perokok tegar. Fatin terdiam.

“Fatin tidak putih macam anak Pak Mat. Fatin juga tidak langsing macam Seripah. Fatin tidak cantik macam orang lain,” anak Mak Limah itu berbasa-basi. Ia sedar bahawa dirinya tidaklah memiliki keistimewaan yang bisa membuatkan hati seorang lelaki tertawan. Kehadiran Sukarno betul-betul mengejutkannya. Namun, ia sama sekali tidak dapat menidakkan rasa gembira yang bertandang di dalam hatinya.

Belum ada orang pernah memujinya sebagaimana yang telah dilakukan Sukarno. Bukan itu sahaja, emak dan ayahnya juga tidak pernah menghadiahinya dengan sesuatu yang mahal. Fatin sedar. Emaknya hanya pembuat kuih. Ayahnya pula seorang tukang rumah tetapi Sukarno juga bukan orang senang. Ia setakat bekerja sebagai tukang angkut kelapa sawit. Jadi…

“Minggu hadapan, saya akan kembali ke Lombok. Sudah lima tahun saya mencari rezeki di Malaysia dan saya kira tibalah masanya saya pulang ke kampung halaman,” ungkap Sukarno satu-satu. Fatin diam. Ia tunduk memandang tanah tanpa berkata sepatah pun.

“Fatin…” Sukarno memanggilnya lembut. Tetap diam.

“Fatin…” Kali ini, Sukarno menepuk bahu Fatin perlahan. Fatin terkesima. Ia memandang Sukarno dengan penuh emosi. Matanya mula berkaca. Fatin tetap membisu. Baru sebentar tadi hatinya berbunga riang menerima hadiah telefon bimbit pemberian jejaka itu tetapi khabar yang baru diterimanya ini membuatkan kegembiraannya direnggut.

“Awak tidak sayang saya?” suara Fatin terketar-ketar.

“Sayang. Saya sangat menyayangi Fatin,” Sukarno berterus-terang. Fatin berasa hiba. Belum ada orang melayannya begini. Emak dan ayah juga tidak pernah menunjukkan rasa kasih mereka sepertimana yang dipamerkan Sukarno. Fatin benar-benar pilu. Ia tidak mahu kehilangan lelaki ini.

“Jadi, kenapa awak hendak meninggalkan saya?” soal Fatin lagi.

“Hmmm…” dengus Sukarno panjang.

“Saya gembira tinggal di Malaysia. Saya senang berada di samping Fatin tetapi saya masih punya ibu serta adik-adik di kampung halaman. Malaysia bukanlah bumi kelahiran saya. Saya perlu kembali,” cowok itu merenung Fatin tajam.

“Saya???” Fatin masih tidak berpuas hati.

“Sudikah Fatin mengikut saya ke Lombok?” Sukarno masih tidak mengalihkan pandanganya pada Fatin. Fatin tertunduk malu.

“Saya berjanji tidak akan mempersiakan hidup Fatin. Saya berjanji akan membuatkan Fatin gembira dan bahagia selamanya. Saya berjanji akan memberikan kebahagiaan yang berterusan buat Fatin,” kata Sukarno sungguh-sungguh.

“Saya masih muda. Baru lima belas tahun dan saya belum habis belajar,” Fatin nampaknya masih ragu-ragu.

“Hmmm…” Sukarno mengeluh lagi.

“Adik perempuan saya bernikah pada usia empat belas tahun. Begitu juga dengan kebanyakan gadis lain di Lombok. Apa yang penting, kita bahagia dengan kehidupan yang kita pilih. Saya berjanji akan sentiasa menceriakan hidup Fatin,” lelaki itu masih sabar membujuk.

“Bagaimana dengan emak dan ayah?” terbayang-bayang pula wajah emak dan ayahnya.

“Hmmm…” Sukarno terdiam.

“Saya pasti mereka akan faham. Kalaupun mereka marah, saya yakin tidak akan lama. Kita bukannya buat sesuatu yang salah. Saya akan mengahwini Fatin. Kita akan bina keluarga bahagia. Kita akan selalu menjenguk mereka di Malaysia. Mereka jauh di mata tetapi sentiasa dekat di dalam hati kita,” panjang lebar Sukarno menerangkan.

“Baik…” Fatin tersenyum puas. Ya! Ia tidak akan melepaskan peluang ini. Bukan mudah untuk mengasihi dan dikasihi. Lebih-lebih lagi, ia bukanlah sesempurna anak gadis lain. Badannya gempal, tidak menyelerakan mata yang memandang. Mujur ada Sukarno yang mahu menyintai dan menyayanginya.

*****

“Fatin pasti?” Mata Nabila membulat. Ia benar-benar terkejut dengan keputusan mendadak rakan akrabnya itu. Masakan ia sanggup membelakangi keluarganya demi cinta. Entah jujur, entahkan palsu tetapi nampaknya anak bongsu Pak Leman ini betul-betul tekad.

“Ya, Fatin pasti. Lusa, Fatin akan ikut Sukarno kembali ke Indonesia,” Fatin terdiam sejenak.

“Ila janji tidak maklumkan kepada siapa-siapa, boleh?” Fatin mengangkat jari kelingkingnya menghala ke arah Nabila yang ternganga luas mulutnya.

“Hmmm…” Nabila serba salah.

“Ila janji, ya. Demi persahabatan kita. Tidak ada orang yang lebih Fatin percayai melainkan diri Ila. Jadi, jangan sekali-kali mengkhianatinya,” Fatin sedikit mengugut namun ia tetap tersenyum.

“Bagaimana pula dengan emak dan ayah?” soal Nabila lagi.

“Hmmm…” riak wajah Fatin berubah. Ia sayangkan keluarganya tetapi ia tidak sanggup kehilangan seorang lelaki yang amat mengasihinya. Fatin keliru.

“Mereka akan faham,” jawabnya ringkas dan bersahaja. Fatin sebenarnya cuba menenangkan dirinya sendiri.

“Fatin…” Nabila merenung tajam anak mata sahabat karibnya.

“Hanya ada satu emak dalam dunia ini. Begitu juga dengan ayah. Hanya ada satu bapa. Tidak ada yang mampu melangkaui kasih seorang ibu dan ayah. Mereka kasihkan anak-anak mereka melebihi diri mereka sendiri. Mungkin mereka tidak pandai mempamerkan rasa cinta tersebut namun hakikatnya, sayang mereka tidak berbelah bahagia. Marah dan bebelan mereka adalah tanda cinta yang mendalam…” sambungnya cuba menasihati.

“Fatin tekad!”

*****

Tok tok tok…

“Assalammualaikum,” pintu rumah Pak Said diketuk.

“Waalaikumussalam. Eh, Mak Limah. Masuklah,” pelawa Mak Munah yang masih lagi mengenakan telekung sembahyang. Mereka pun sama-sama melangkah ke ruang tamu.

“Nabila ada?” Mak Limah mencari-cari kelibat anak Mak Munah yang nombor tiga itu. Wanita berusia lebih separuh abad ini nampaknya tidak senang duduk.

“Ila… Mak Limah datang,” jerit Mak Munah perlahan.

“Ila…” panggil Mak Munah lagi.

“Ya, Mak,” jawab Nabila. Ia segera mendapatkan ibunya. Tiba-tiba, langkahnya terhenti. Kehadiran Mak Limah betul-betul memeranjatkannya. Mukanya berubah pucat.

“Ila ada nampak Fatin? Dari pagi ia keluar, tidak balik-balik sampai sekarang,” suara Mak Limah tersekat-sekat. Nabila hanya diam. Ia teringat janjinya pada Fatin. Tidak memberitahu sesiapa perihal pemergiaanya ke negara seberang untuk mengikut kekasih hati.

“Ila…” Kali ini, Mak Munah menyebut nama anaknya keras. Ia pasti ada sesuatu yang sedang disembunyikan Nabila.

“Hmmm…” Nabila mengeluh perlahan.

“Fatin ikut Sukarno balik Indonesia,” jawabnya takut-takut.

“Apa???” Mak Limah dan Mak Munah menjerit serentak. Tidak semena-mena, air mata Mak Limah gugur ke bumi. Semakin lama, esakannya semakin kuat. Tidak ia duga anak gadis kesayangannya itu akan bertindak sehingga ke tahap ini.

“Fatin…” sayu-sayu suara Mak Limah kedengaran.

“Sampai hati Fatin tinggalkan Mak. Mak sayang Fatin. Melebihi nyawa Mak sendiri,” bahu Mak Limah terhinggut-hinggut.

“Fatin…” jerit Mak Limah lagi. Tiba-tiba, ia jatuh terjelepok di atas lantai. Mak Munah dan Nabila kaget.

“Kalau Ila tahu, kenapa tidak maklumkan kepada kami. Tengok…” Mak Munah memarahi anak gadisnya sungguh-sungguh. Nabila hanya diam. Ia mengakui kesalahannya.

“Maafkan Ila, Mak. Maafkan Ila, Mak Limah,” Nabila akhirnya turut sama mengalirkan air mata. Ia betul-betul menyesal. Ia sayangkan Fatin tetapi silap membuat pertimbangan dalam mempamerkan rasa kasihnya kepada gadis itu.

*****

Lima tahun kemudian…

“Bagaimanalah agaknya keadaan Fatin sekarang?” Mak Limah tertanya-tanya sendiri.

“Bagaimanalah agaknya keadaan anak Emak sekarang? Apapun keadaannya, Emak sudah memaafkan segala kesalahan Fatin. Ketahuilah, doa Emak tidak pernah putus buat Fatin,” air matanya gugur lagi.

Begitulah sehari-hari. Sejak Fatin meninggalkan rumah dan mengikut lelaki pilihan hatinya, Mak Limah tidak pernah putus menyebut namanya. Mak Limah benar-benar merindui anak bongsunya itu tetapi ia tidak berdaya untuk berbuat apa-apa. Ia sudah melakukan apa sahaja untuk menjejaki anak gadisnya tetapi tetap tidak berjaya. Laporan polis sudah dibuat namun masih tidak membuahkan sebarang hasil. Mak Limah cukup kecewa.

Air matanya mengalir semakin deras. Tiba-tiba…

Kring kring…

Kring kring… telefon rumahnya berdering. Mak Limah segera berlari ke arah telefon. Mana tahu ada berita daripada Kedutaan Malaysia di Indonesia.

“Hello,” ucap Mak Limah perlahan.

“Mak…” kedengaran suara Fatin dari corong telefon.

“Fatin!!!” Mak Limah terkesima.

“Fatinkah ini?” Mak Limah nampaknya masih tidak percaya.

“Ya, Mak. Fatin yang bercakap,” balas Fatin. Suaranya terketar-ketar.

“Fatin… Fatin di mana, Sayang?” Cepat-cepat Mak Limah bertanya.

“Fatin hendak balik, Mak,” esakan Fatin sudah mula kedengaran.

“Fatin di Lombok…”

‘Lombok????’ Mak Limah terdiam. Tersentak dengan kata-kata anaknya, Mak Limah tiba-tiba jatuh pengsan.

“Mak… Mak… Mak…” jerit Fatin dari corong telefon tetapi tidak ada sebarang jawapan yang diterima. Fatin terkedu.

Kuliah hari ini : Bolehkah meraikan perayaan agama lain?

Akhbar hari ini : Sesungguhnya, setiap amal bermula dengan niat. Hanya ALLAH yang tahu segala apa yang tersirat dalam hati manusia.

Muthiah : Hmmm... terima kasih .... atas segalanya.

0 Responses