Mencari Naurah (Bab 45)

Novel | Mencari Naurah




“MACAM mana dengan budak kampung yang kita jumpa hari itu?” tanya Datin Khatty.
Asyraf diam...

“Jadi, bila kita hendak masuk meminang?” soal Datin Khatty lagi.

Asyraf masih diam...

“Betul!!! Asyraf, bila kita hendak jumpa keluarganya? Natasha, bukan?” sampuk Dato’ Ghazali.
Datin Khatty hanya tersenyum mendengar pertanyaan suaminya. Nampaknya, dia sudah tidak marah-marah lagi terhadap lelaki itu. Begitulah kehidupan suami isteri. Bak kata Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, ‘Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami isteri.’

“Dia diam, pa,” ujar Asyraf pendek. Ada sesuatu yang bermain dalam fikirannya tetapi dipendam sendiri.

“Kalau macam itu, kira selesai semuanya. Minggu hadapan, kita masuk meminang Amalin. Mama sudah bincang dengan Datin Azira untuk datang ke rumahnya Ahad hadapan,” Datin Khatty tersenyum lebar.
Sudah berbincang? Apa hak mamanya untuk membuat keputusan terlebih dahulu sebelum mendapat persetujuannya?

“Bijak betul, Datin Khatty. Tanya anak teruna hari ini, berbincang hendak pergi meminang bila lagi?” sindir Dato’ Ghazali.

“Awakkkk...” Datin Khatty ketawa. Ketawa yang dibuat-buat menyebabkan hati Asyraf menggelegak.
“Asyraf tidak mahu!” bentak Asyraf.

“Tidak! Mama mahu Asyraf ikut cakap mama. Apapun keadaannya, Asyraf mesti kahwin dengan Amalin,” Datin Khatty mendesak.

“Tidak, mama. Asyraf tidak mahu bernikah dengannya!” Asyraf tetap membantah keras.

Datin Khatty yang tadinya tenang sudah mula menyinga. ‘Entah ubat apa yang diberikan budak kampung itu!’ bebelnya di dalam hati. “Siapa Asyraf hendak lawan cakap mama?” jeritnya, mempamerkan rupanya yang sebenar.

Ketegangan yang berlaku antara Asyraf dan Datin Khatty diselamatkan dengan deringan telefon.

“Ibu, ada panggilan telefon daripada Datin Azira,” jerit Dewi. Sama sahaja dengan majikannya yang suka menjerit.

Datin Khatty lantas meninggalkan Asyraf dan Dato’ Ghazali lalu berjalan cepat ke arah pembantu rumahnya. “Buatkan aku Milo,” arahnya.

“Baik, bu,” balas Dewi. Dia pun bergegas ke dapur.

“Apa yang berlaku?” tanya Dato’ Ghazali setelah isterinya hilang dari pandangan.

“Asyraf tidak pasti, pa...” Asyraf diam sejenak. “Sejak mama jumpa Natasha, dia diam seribu bahasa. YM tidak balas, telefon tidak angkat,” ceritanya.

“Mama cakap apa dengan dia?” Dato’ Ghazali bertanya lagi.

“Tidak pasti sebab mama minta Asyraf tinggalkan mereka. Sebenarnya, Asyraf pun rasa tidak sedap hati tetapi mama paksa. Lebih-lebih lagi mama bawa Amalin ikut sama,” kata Asyraf.

“Apa? Mama bawa Amalin bersama? Untuk apa????” Dato’ Ghazali terpaku.



“Papa...” Asyraf diam sejenak. “Kalaupun Asyraf tidak kahwin dengan Natasha, Asyraf tidak akan berkahwin dengan Amalin...”

“Kenapa?” Dato’ Ghazali memandang tepat mata anak terunanya.

“Kami sembang-sembang. Asyraf kira, dia tidak sesuai dan tidak serasi dengan Asyraf...” Asyraf mengeluh perlahan. “Kehidupan serta cara hidup dia dan Asyraf amat jauh berbeza. Tidak sekufu, pa,” tambahnya berterus-terang.

“Biasalah, keluarganya terlalu disibukkan dengan urusan kerja sehingga mengabaikannya. Akhirnya, jadilah ia sepertimana yang Asyraf lihat.” Tidak ada tanda terkejut pada wajah Dato’ Ghazali.

“Papa pernah jumpa Tengku Amalin?” Asyraf membalas renungan papanya.

“Sudah. Di KLIA. Mama pelawa papa menjemputnya sewaktu dia mula-mula kembali ke Malaysia. Gadis yang sangat seksi, bukan?” Dato’ Ghazali ingat-ingat lupa.

“Betul,” Asyraf mengiakan. “Untuk jadikannya sebagai teman bersosial, mungkin paling cocok. Namun, untuk berkongsi hidup bersama...” kata-katanya mati di situ.

“Memang tidak sesuai dengan Asyraf,” sambung Dato’ Ghazali. “Jangan jadi macam papa. Papa berkahwin dengan mama kerana rupa. Mama Asyraf adalah wanita paling cantik di kampus satu ketika dahulu. Siapa yang tidak kenal Khadijah binti Khalid? Papa terpukau dengan kecantikannya. Papa sangat berbangga kerana dapat memilikinya, dahulu.” Dia menyambung.

“Papa menyesal?” Dahi Asyraf berkerut.

“Tidak. Kita semua ada buah salah. Papa juga punya zaman jahil. Pastinya, papa tidak sempurna dan terlalu banyak berbuat dosa. Papa tidak dapat membimbing isteri papa dengan baik. Tetapi, bila papa tersedar... papa cuba untuk melakukan yang terbaik serta menjadi yang paling baik,” luah Dato’ Ghazali. Dia kemudiannya duduk di atas sofa.

“Dewi, tolong buatkan saya Horlicks kurang susu,” pesan Dato’ Ghazali. Suaranya dikuatkan tetapi tidak sampai menjerit.

“Baik, pak,” jawab Dewi.

“Amalin kirim salam. Katanya, dia rindu sungguh pada Asyraf,” Datin Khatty tiba-tiba berdiri di hadapan Asyraf.

“Waalaikumussalam,” jawab Asyraf pendek.

“Selepas Amalin dan Asyraf bertunang, kami akan terus buka salun. Alangkah seronoknya memiliki salun kecantikan sendiri...” Datin Khatty tersenyum puas. “Bahagianya,” tambahnya lagi.

“Asyraf tetap tidak mahu kahwin dengan dia,” Asyraf masam mencuka. Dia yang tadinya sudah kembali tenang menggelegak dadanya.

“Kena kahwin juga! Tidak ada kompromi. Mama tidak mahu dengar apa-apa daripada Asyraf. Kalau Asyraf tidak mahu ikut mama ke rumah Datin Azira, mama pergi sendiri. Asyraf perlu ada sewaktu akad nikah sahaja,” kata Datin Khatty tegas.

Dato’ Ghazali kelihatan tidak mahu campur tangan. ‘Aku tidak akan menang jika bertikam lidah dengan perempuan ini,’ bisik hatinya.

“Mama...” kali ini suara Asyraf kedengaran begitu lemah. Air matanya mula menitik satu per satu. “Maafkan Asyraf tetapi Asyraf tidak mampu...” Dia terduduk di hadapan mamanya. Kepalanya menyentuh kaki mamanya yang masih berdiri. Air matanya semakin laju.

Dato’ Ghazali yang sedari tadi begitu asyik menikmati air Horlicks yang dibuat bibik terdiam. Tidak sangka Asyraf akan bertindak begitu. “Bangun, Asyraf. Tenangkan fikiran dahulu,” pujuknya lembut. Hati lelakinya tersentuh melihat Asyraf begitu. Tidak pernah Asyraf menangis di hadapannya. Apatah lagi menyembah kaki mamanya.

“Maafkan, Asyraf. Asyraf tidak mampu...” Asyraf tetap tidak berganjak.

Datin Khatty kaget tetapi dia harus bertegas. Dia punya matlamat yang perlu dicapai.

Dato’ Ghazali bangkit daripada sofa. Dia berjalan ke arah Asyraf dan mengangkat bahunya. Dia berbisik perlahan, “Papa tidak berapa pandai perihal agama tetapi papa rasa lebih baik Asyraf berdoa sungguh-sungguh pada TUHAN. Papa pun akan doakan Asyraf, insya-ALLAH.”

Asyraf mendongak ke arah papanya. Betul kata Dato’ Ghazali. Dia mungkin terlupa bahawa dia punya TUHAN yang sentisa mendengar rayuannya. Dia terlupa bahawasanya ALLAH itu dekat.

‘Terima kasih, TUHAN, ’ bisik hatinya. Melalui papa, ALLAH mentarbiah dirinya yang terlupa. Benarlah... 
‘Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu tentang AKU, maka jawablah bahawasanya AKU adalah dekat. AKU mengabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Maka hendaklah mereka memenuhi segala perintah-KU dan hendaklah mereka beriman kepada-KU, agar mereka sentiasa berada dalam kebenaran...’ 

~bersambung~
0 Responses