Mencari Naurah (Bab 44)

Novel | Mencari Naurah



“NAMPAK bersemangat Asha hari ini,” tegur Anuar. “Alhamdulillah, lega saya tengok. Sebelum ini, muka nampak macam ada masalah sahaja.” Dia menambah. “Kerja yang saya beri Jumaat lepas sudah siap?” soalnya lagi.

Sambil tersenyum aku berkata, “Terima kasih. Fail ada atas meja. Semua sudah siap cuma kalau hendak semak semula, lagi baik.”

“Inilah pekerja yang cemerlang, gemilang dan terbilang,” Anuar memujiku. “Boleh makan tengah hari sama-sama?” sambungnya. Nampaknya, Anuar masih tidak berputus asa mendekatiku.

“Maaflah, Anuar. Saya agak sibuk hari ini. Rancangnya, hendak beransur awal. Ada dating dengan teman serumah di Sogo,” jelasku sejujurnya.

“Boleh saya tumpang sekaki?”

“Seganlah. Nanti, apa pula katanya,” aku berdalih. Tidak mahu memulakan.

“Kalau macam itu, sarapan pagi esok saya belanja.” Anuar mencadangkan.

“Berdua?” soalku kembali.

“Kalau tidak selesa kita ajak Hilda...” Anuar diam sejenak. “Hilda, mari sini sekejap,” dengan spontan dia memanggil Hilda yang sedang melalui mejaku.

“Ya, En. Anuar,” kata Hilda lembut seraya tersenyum.

“Kita sarapan pagi esok sama-sama, boleh? Jam 8.00 di kafe.” Anuar sedang mempelawa ataupun mengarah?
“Baik, tuan. Kalau orang belanja ditanggung beres semuanya,” balas Hilda. “Saya perlu berjumpa dengan Puan Regina. Pergi dahulu.” Cepat-cepat dia meninggalkan aku dan Anuar.

“Suka hati sahaja,” getusku perlahan.

“Apa, Asha?”

Alamak! Dia dengar rupanya. “Tidak ada apa-apa. Saya hendak bereskan sedikit kerja. Assalammualaikum,” ucapku selamba. Suka-suka hati sahaja membuat ketetapan. Aku belum pun memberi apa-apa persetujuan kepadanya.

Kadang-kadang, aku mahu tergelak melihat karenah Anuar. Meskipun aku tahu dia jujur dan ikhlas, hatiku tetap belum terbuka untuknya. Hmm... mana tahu selepas kejadian dengan Datin Khatty tempoh hari, hatiku menjadi lembut. Bukankah jodoh pertemuan itu ketentuan TUHAN?

Anuar pun apa kurangnya jika hendak dibandingkan dengan Asyraf. Sekiranya Asyraf tampan… Anuar juga kacak orangnya. Kaya??? Selaku wanita, aku tidak mendambakan kehidupan mewah bak sang permaisuri. Cukuplah aku bahagia hidup bersama si dia, mengejar cinta dan kehidupan yang hakiki, syurga ALLAH yang sedia menanti. Aku serahkan hidupku sepenuhnya kepada DIA yang mencipta kerana sesungguhnya aku tahu ILAH itu Maha Arif dan Teliti penghitungan-NYA.

Lagipun, hatiku terpaut kepada anak teruna Datin Khatty bukan kerana harta… bukan juga kerana kedudukan dan paras rupa. Wajah yang tampan merupakan satu bonus namun hakikatnya, peribadi luhur milik Asyraflah yang membuatkan aku jatuh cinta. Cinta yang terpendam sekian lama tetapi akhirnya kuluahkan juga. Aku menjadi malu sendiri tatkala mengenangkan saat diriku yang tergesa-gesa menyatakan rasa hati. Mungkin pada benak Asyraf, Natasha binti Zulkarnain ini gopoh orangnya.



"HAI, adik manis. Senyum seorang nampaknya. Cik abang, mana?" tegur Preshnan sambil tersenyum. Aku memandang sekeliling. Entah ke mana Anuar menghilang…
"Tadi ada. Sekarang tidak ada," balasku acuh tidak acuh.

"Wah! Perkembangan yang baik. Cik Asha kita sudah mengiktiraf Anuar sebagai cik abangnya," Sook Kuan menyampuk. Aku menjeling gadis Cina ini tajam. Nampaknya, 'kerja' mereka baru hendak bermula. Bukankah rutin mereka ini lazimnya bermula pada jam 8.55 pagi? Rutin?? Ya! Rutin melakukan kerja gila. Kerja gila??? Hahaha… biarlah aku sendiri yang mengetahuinya. Aku melihat jam yang tersarung pada pergelangan tangan. Ya! Lagi 30 saat, pukul 8.55 pagi. 'Patut pun,' desis hatiku.

"Hmmm… Jangan lupa, Anuar. Janji manis kamu untuk belanja kami makan kalau Cik Asha kita sudah menerima kamu sebagai buah hatinya." Wajah Anuar berubah. Entah bila dia tiba-tiba muncul. Ying Pei yang sebenarnya sukar hendak berahsia nampaknya sudah tersalah bicara. Ia menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tapak tangannya namun tetap sia-sia. Rahsia mereka sudah aku ketahui. Tepat jam 8.55 pagi tadi,  aku yakin ada konspirasi antara mereka berempat. Aku memandang Anuar, Preshnan, Ying Pei dan Sook Kuan sekilas. Serius. Aku membulatkan mataku.

"Huhuhu… bulatnya mata. Takut…." Preshnan berpura-pura menggigil.

"Bulat???" Ying Pei yang sentiasa terkebelakang dalam memahami maksud tersirat mengerutkan dahinya.
"Eh, kamu semua memang tidak ada kerja lainkah?" Soalku serius.

"Ada!" Jawab Preshnan, Sook Kuan dan Ying Pei serentak.

"Kalau macam tu, pergilah buat kerja cepat!" Arahku, lagak seorang ketua. Aku memandang Anuar yang sudah kemerahan telinganya menahan tawa. 

"Yang sorang ni, pun tak ada kerja?" aku menyoal Anuar sedikit tegas.

"Ada," balas Anuar pendek.

"Kena siapkan laporan untuk Puan Regina dan…" kata-kata Anuar terhenti di situ.

"Cuba memikat hati sang merpati… yang mudah didekati tetapi sukar untuk ditangkap. Kemudian, buat sup!" Anuar segera meninggalkanku. Kali ini, wajahku pula berubah kemerahan. Di sebalik lawak spontannya, tersirat makna yang mendalam. Aku tertunduk malu. 'Argh!!!!' Jeritku tanpa suara.

Setelah Anuar hilang dari pandangan, aku berjalan laju menuju ke pantri. Dahaga… panas… Mungkin dek kerana terlalu banyak berkata-kata. Entahlah. Semua orang seakan-akan sedang menjalankan satu konspirasi. Baik Preshnan, Sook Kuan mahupun Ying Pei… semuanya terlibat sama. Mangsanya adalah aku. Konspirasi untuk menyatukan dua hati sedang aku sebenarnya masih keliru.

~bersambung~
0 Responses