Melamar (ii)


Assalammualaikum. Sambungan tentang tajuk Melamar minggu lepas.

Terus kepada isinya, ya ;)

Diharamkan melamar :

1- Wanita yang masih berada di dalam idah (kerana suaminya meninggal atau diceraikan).

Jika wanita tersebut berada dalam talak raj'i (talak satu) - Diharamkan melamarnya kerana wanita tersebut masih berada di bawah kuasa suaminya dan sang suami boleh kembali kepadanya pada bila-bila masa yang ia kehendaki.

Jika wanita tersebut berada dalam talak ba'in (talak tiga) - Diharamkan melamarnya kerana hak suaminya masih tetap ada dan dia boleh kembali mengahwini sang isteri dengan akad baru.

Jika wanita tersebut telah kematian suami - Bolehlah menyatakan lamaran melalui sindiran (indirectly) sewaktu di pertengahan idahnya. Usah sekali-kali menyatakan lamaran secara terang-terangan. Hal ini adalah bagi menghindari si isteri atau kaum keluarga berasa sedih (lantaran mereka baru sahaja kehilangan orang tersayang).

2- Wanita yang sudah dilamar orang.

Hal ini kerana, tindakan melamar wanita yang sudah dilamar bisa menyakitkan hati si pelamar yang pertama tadi. Selain ini, akan menjadi lebih parah jika perkara ini membawa kepada permusuhan antara keluarga.

Nabi SAW bersabda daripada Ukbah bin Amir, "Orang Mukmin adalah bersaudara. Maka, adalah tidak halal untuk mengambil bahagian saudaranya dan dilarang melamar wanita yang sudah dilamar saudaranya sehinggalah wanita itu bebas."

** Entri adalah sebagaimana yang Muthiah baca dalam nota yang pernah ditulis. Jika ada penambahan dan pembetulan, mohon kongsi bersama. Dan, mohon jasa baik menggunakan bahasa yang elok dan murni ;) **

Muthiah : Ya ALLAH, peliharalah kami daripada kemurkaan-MU.

Destinasi Cinta

Assalammualaikum. Ehe... Santai pada hujung minggu ini. Ayuh... kita hayati salah satu lagu kegemaran Muthiah.


Menyingkap tirai hati
Mengintai keampunan
Di halaman subur rahmat-Mu, Tuhan
Tiap jejak nan bertapak
Debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu keimanan

Tak ternilai air mata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Tak kan berpaling pada palsu duniawi

Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui
Hanya kecewa menyelubungi


Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu

Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati
(Destinasi cinta Ilahi)

Lestarikan wadi kalbuku, oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu
Namun masihku mengharap ampunan-Mu
Wahai Tuhanku? Ya Allah?

Muthiah : Destinasi cintaku...

Sesuci Kasih Bonda

Assalammualaikum. Apa khabar? Bagaimana aktiviti sahabat-sahabat pada hujung minggu ini. Insya-ALLAH, promosi untuk hari ini. Jeng jeng jeng...

NOVEL NUR yang kedua iaitu SESUCI KASIH BONDA...



Sinopsis :

MASTIKA diduga oleh ALLAH dengan kematian suaminya, Sham. Dia menjadi ibu tunggal kepada empat anak yatim piatu yang dijadikan anak angkatnya. Dugaan yang dihadapi selepas kematian suami benar-benar mencabar keimanannya sebagai seorang Muslimah.


Malah, mimpi yang dialami sejak gadis iaitu mengenai tiga lelaki dalam hidupnya muncul kembali. Kemunculan Iskandar, mirip dengan salah seorang dalam mimpinya membuatkan Mastika dalam dilema.

Melalui Iskandar, Mastika menemui semula salasilah keluarganya yang sudah lama terpisah. Namun, dia perlu membayar nilai pertemuan ini dengan sesuatu yang tidak diduga.

Penulis : Ilani Mysara
Facebook : Bonda Ilani Mysara
Emel : bonda_sarah@hotmail.com

Jom dapatkannya di pasaran ;)

Muthiah : Suka dengan Asyraf ;)

Mencari Naurah (Bab 1 - samb.)


~sambungan Bab 1~

Allahu Akbar Allahu Akbar...

Terdengar sayup-sayup suara Asyraf mengalunkan azan menandakan sudah masuk waktu solat fardu maghrib. Astaghfirullah, aku terleka seketika. Sudah senja rupanya. Aku malu sendiri kerana tidak bersedia lebih awal untuk menemui TUHANku.

“Baiklah, saya pergi dahulu. Panggilan ILAHI sudah menjemput,” ujarku sinis lantas meninggalkan Anuar terkebil-kebil sendirian. Ya! Seruan ILAHI itu lebih utama daripada melayani Anuar yang acap kali mencari ruang untuk berbual mesra denganku.

Cukuplah sekali aku terkena. Tindakanku menerima buah tangan daripada Anuar yang baru pulang mengerjakan umrah menyebabkan namaku menjadi sebutan. Al-maklumlah, bila mana singa lapar begitu lembut terhadap individu tertentu, pasti menimbulkan tanda tanya kepada semua orang.

Siapa tidak kenal Anuar? Presiden Kolej Kediaman Pertama ini begitu terkenal dengan ketegasan dan ketepatannya menjaga masa. Sudahlah kacak, anak orang kaya pula. Ditambah dengan ketokohannya sebagai pemimpin membuatkan namanya tidak lekang dari bibir mahasiswi Universiti Malaya ini.

Dia punya keistimewaan tersendiri dan seorang yang berkaliber. Kerap juga aku mendengar suara-suara yang begitu kagum dengan Anuar bahkan ada yang menyimpan perasaan terhadapnya. Namun, aku? Entahlah, aku sendiri tidak tahu. Mungkin...

~bersambung~

Langganan buku

:) Assalammualaikum. Sesiapa yang berminat untuk melanggan mana-mana novel terbitan Grup Buku Karangkraf, bolehlah ...




Jangan lupa untuk dapatkan :




di pasaran ya ;)


Labels: 0 comments | | edit post

ALLAH pasti membantumu... (Muhammad, 47:7)

Assalamualaikum. Jom senyum... Ehe... Muthiah pun sedang tersenyum sendiri. Teringat zaman muda-muda dahulu. Sungguh bersemangat tinggi dalam membuat sesuatu perkara. Lebih-lebih lagi jika melibatkan agama ALLAH. Iyalah... Bukankah setiap manusia adalah pendakwah?

Hmmm... sekarang???

Masih bersemangat lagi, wahai Muthiah???
Apakah sumbanganmu terhadap ISLAM?
Apakah persediaanmu sebelum menemui TUHAN?
Tidakkah engkau mahu menjadi salah seorang yang menyebarluas kebaikan di atas muka bumi ini?

Ingatlah, Muthiah.

ISLAM akan menang juga akhirnya. Bezanya.... adakah kamu tergolong dalam golongan yang sama-sama memperjuangkan ISLAM atau sebaliknya. Fikir-fikirkanlah, wahai Muthiah. ISLAM yang memerlukanmu atau kamu SEBENARNYA yang memerlukan ISLAM.

Satu motivasi buat Muthiah dan sahabat-sahabat... Jom hayati ayat ini... berulang-ulang kali...


"Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu," Muhammad ayat 7 ~

;)

Muthiah : Moga-moga dapat menyampaikan melalui penulisan. Tidak sedikit, banyak pun tidak apa.

Zainab binti Jahsy R.H.


Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Hmmm... sudah lama Muthiah tidak menulis tentang Nabi SAW. Apa kata hari ini Muthiah berkongsi tentang info isteri Nabi yang ketujuh iaitu Zainab binti Jahsy R.H.

Zainab telah dilahirkan di Mekah pada tahun ke-30 sebelum Hijrah. Bapanya bernama Jahsy bin Riab manakala ibundanya pula bernama Aminah binti Abdul Mutalib.

Ibu tunggal yang berbangsa Arab ini telah bernikah dengan Rasulullah pada bulan Zulkaedah, tahun ke-5 Hijrah di Madinah. Perkahwinan dengan mahar 500 dirham tersebut merupakan satu perintah langsung daripada ALLAH kepada Muhammad SAW. Suami Zainab yang terdahulu (sebelum Nabi) bernama Zaid bin Harithah. Zaid sendiri merupakan anak angkat kepada Nabi SAW sendiri.

Setiap isteri Rasulullah mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Zainab pula merupakan seorang wanita yang paling banyak bersedekah dan suka meraikan orang miskin. Hadis Rasulullah ada menyebut , "Sesungguh Zainab binti Jahsy adalah seorang yang awwah." Nabi lantas ditanya,"Apakah itu, ya Rasulullah?" Nabi menjawab,"Khusyuk dan merendah diri apabila beribadah kepada ALLAH."

Zainab telah kembali ke rahmatullah pada tahun ke-20 Hijrah di Madinah.

Lagi kisah Zainab binti Jahsy :



Muthiah : Senyum itu sedekah.
Labels: 2 comments | | edit post

KARNIVAL KARANGKRAF

Assalammualaikum.

YANG DINANTI BAKAL TIBA!!! Datang beramai-ramai ke gerai GRUP BUKU KARANGKRAF sempena KARNIVAL KARANGKRAF yang bakal diadakan di KOMPLEKS KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF, Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15 Shah Alam pada 28 - 30 Januari 2011 pada jam 9.00 pagi - 6.00 petang. DISKAUN antara 30% - 50% disamping bertemu mesra dengan novelis & penulis kesayangan anda secara LIVE!!!


Ehe. Jemput menghadirkan diri. Insya-ALLAH, Muthiah akan berada di karnival ini :

Tarikh : 29 Januari 2011
Hari : Sabtu
Masa : 11.00 pagi - 2.00 petang

Jumpa di sana ;)
Labels: 0 comments | | edit post

Doa


Assalammualaikum. Apa khabar?

Satu perkongsian yang mungkin boleh dijadikan iktibar bersama ....

"Antara tanda kita sedang dalam 'keadaan bahaya' dengan ujian kejayaan yang dikecapi adalah waktu berdoa kita semakin pendek. Pelbagai alasan dibuat, kisah kejayaan Zulqarnain ketika membina tembok di dalam Al-Quran patut difahami. Rujuk ayat 98 surah Al-Kahfi, ia dedahkan cara orang mukmin menyikapi sesebuah kejayaan," Zaharuddin.net.


'Dzulkarnain berkata, "Ini (dinding) adalah rahmat dari Tuhan-ku, maka apabila sudah datang janji Tuhan-ku, Dia akan menjadikannya hancur luluh; dan janji Tuhanku itu adalah benar,",' Al-Kahfi ayat 98.

Aduh, tersentap jantung Muthiah membaca kata-kata ini. Seolah-olah baru mendapat teguran daripada ALLAH. Hati tertanya-tanya sendiri, 'Akukah itu?' Oh, tidak. Nauzubillah. Moga dilindungi ALLAH selalu.

Namun pasti, hati tetap berasa gusar dan takut. Manalah tahu. Tanpa sedar, Muthiah melangkah kaki menuju ke arah itu.... mengikuti mereka yang tergolong dalam golongan yang berada dalam kondisi yang bahaya ini. Ya ALLAH. Peliharalah aku dan mereka yang aku kasihi daripada kelupaan ini.

Bagaimana pula dengan sahabat-sahabat sekalian? Ayuh. Ambil masa sejenak untuk merenung kembali. Adakah kita sedang menjurus ke arah itu??? Menjauh daripada ALLAH tanpa kita sedari?

JOM... Kita sama-sama kembali andai telah terseliuh kaki :)

Muthiah : Siapa aku tanpa DIA?

Popular Taiping


Ayah, Amir nak masuk U di Popular, Taiping. Ayuh, dapatkannya ;)

Melamar (i)


Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah. Alhamdulillah, sihat. Sesak nafas sedikit. Mungkin disebabkan oleh cuaca yang sejuk.

Sudah lama rasanya Muthiah tidak menulis tentang ini. Jadi, dikesempatan ini, rasanya... ingin berkongsi serba-sedikit dengan sahabat-sahabat semua. Sebenarnya, Muthiah bukanlah insan yang arif tentang perkara ini tetapi apa salahnya, bukan jika kita sama-sama belajar. Maklumat lanjut, bolehlah ditanya kepada mereka yang lebih tahu ;)

MELAMAR...

Menurut kamus dewan, melamar membawa maksud meminta untuk berkahwin dengan; meminang.

Dengan lain perkataan, melamar (khitbah) merupakan satu tindakan awal menuju sebuah bangunan yakni rumah tangga.

  • Pernah dilamar?
  • Perasaan sesudah dilamar?
Hehe... Soalan di atas hanyalah iklan semata-mata tetapi kalau ada sesiapa yang mahu berkongsi rasa, Muthiah alu-alukan. Baik. Berbalik kepada soal melamar. Apakah langkah yang boleh diambil dalam proses lamaran ini?

  • Lelaki yang hendak menikah bolehlah memberi isyarat kepada orang terdekat (seperti kaum keluarga contohnya) untuk melamar wanita yang berkenan di hati. Jangan lupa berbincang dahulu.

  • Jika perkara di atas sudah dipersetujui, carilah beberapa orang wanita yang dipercayai untuk melihat secara lebih dekat gadis yang hendak dilamar itu. Manalah tahu... jika ada kecacatan yang tersembunyi dan diri pula tidak bersedia menerima kecatatan tersebut.

  • Seterusnya, tanyalah kepada orang yang dekat dengan gadis itu tentang akhlak dan peribadinya. Iyalah. Gadis yang hendak dilamar ini bukan mahu dijadikan bibik tetapi isteri yang bakal berkongsi hidup dengan sang lelaki, insya-ALLAH sampai ke akhir hayat.

  • Selesai sudah... Satu... dua... tiga.... bersedialah untuk meminang/ melamar secara rasmi.
-bersambung -

Muthiah : Teringat kisah lalu ... Ehe...

Doa perpisahan

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah, sihat. Apa aktiviti sahabat-sahabat hari ini?


Hmmm... Ayuh, kita singkap kembali kenangan dahulu...

Masih ingat kisah suka dan duka di...


Hmmm... Masih berhubungkah dengan sang teman atau sudah lost contact. Apapun, buat sahabat-sahabat yang mengenali Muthiah... Kalian memang jauh di mata tetapi insya-ALLAH, akan tetap dekat dalam doa Muthiah. Ukhwah fillah, lestari selamanya.

Jom kita hayati...

Muthiah : Maafkan aku teman andai hatiku terluka keranaku... Chewah ;)

Setenang Cahaya Hati

Assalammualaikum. Ehe. Pernah dengar NOVEL NUR? Meh nak promote sikit ;) Jeng jeng jeng...

MULAI Januari 2010, ALAF 21 telah mengorak langkah ke depan dengan menerbitkan jenama terbaru iaitu novel Islamik yang dikenali sebagai NOVEL NUR. Kelahiran novel ini sebagai menyahut hasrat dan impian pembaca yang mahu lebih banyak novel seperti ini dipasarkan untuk bacaan ramai tanpa mengira usia.

Insya-ALLAH, mulai hari ini... Muthiah akan menulis ringkasan tentang NOVEL NUR yang sedang berada di pasaran buat masa ini. Ayuh... Mulakan dengan NOVEL NUR pertama ;)



Sinopsis :

AIDA NURANI - Dia cuba menjadi perempuan yang mengerti dan memahami, sekali gus menghayati makna sebuah kehidupan. Dia mencari tenangnya sebuah cinta dalam mengejar cinta yang hakiki.

ALIF HUSSEIN - Janji ini membelenggu, memburu dan melontarnya ke dalam segara keliru. Terkadang prinsipnya goyah, hatinya bergoncang dan sukmanya terdera dikejar sebuah harapan. Tetapi tenang cinta itu juga terasa membahagiakan. Namun layakkah dia untuk menerima?

DR. BUDI - Dia lelaki yang terlewat. Mencintai dalam diam. Andai inilah hukuman bagi orangyang terlewat, maka dia harus reda. Dan itu juga buat dia sedar; dia harus pandai bawa diri.

Penulis : Salina Ibrahim
Facebook : Salina Ibrahim
Emel : salinaibrahim@gmail.com

:)

Muthiah : Oh, Natasha ...

Mencari Naurah (Bab 1)




DAUNAN hijau bergerak perlahan mengikuti perjalanan angin. Gugur sehelai ke bumi, namun tidak mencacatkan pohon nan sebatang. Dihinggapi pula sepasang merpati yang sedang asyik memadu kasih sehingga lupa pada mahkluk di sekelilingnya. Mujur hanya sang merpati. Tidak perlu malu dan segan pada mata yang memandang.

Aku lihat seorang mahasiswi begitu khusyuk dengan sesuatu. Oh... rupa-rupanya dia sedang membaca sistem pesanan ringkas (SMS). Kadang-kadang dia senyum sendiri. Melihat ke langit dan tunduk kembali. Kemudian, dia tersenyum lagi. Agaknya ada sesuatu yang membuatkan hatinya berbunga. Sebab itulah dia tidak sedar bahawasanya ia sedang diperhatikan.

Begitu cantik ciptaan TUHAN. Pohon yang dihinggapi merpati menjadi tempat beristirehat si mahasiswi. Bukanlah penghias taman semata-mata. Punya sumbangan yang besar buat setiap sesuatu di sekelilingnya tetapi aku...

“Jauh mengelamun,” tegur Anuar.

“Tak adalah. Baru selesai latihan untuk persembahan dengan adik-adik. Saya nak berehat sekejap,” aku berkata perlahan tanpa memandang wajahnya.

“Boleh saya duduk?” soalnya lagi.

“Hmm...”

“Baik... baik. Biar Abang War berdiri sahaja,” kata Anuar seolah-olah tahu isi hatiku.

Tidak manis jika dilihat adik-adik. Lebih parah jika menjadi bualan fasilitator. Bulan sudah, kedengaran gosip liar antara aku dan Anuar. Entahlah... menjadikan aku trauma untuk berbual mesra dengannya.

“Kumpulan Asha buat persembahan apa?” Anuar memulakan bicara.

“Dikir barat,” jawabku acuh tidak acuh. Khuatir dia akan berlama-lama denganku. Silap hari bulan, muncul pula gosip panas yang boleh menjatuhkan air mukaku. Pengalaman lampau mengajarku untuk lebih berhati-hati. Bak kata pepatah, mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia belum tahu lagi.

Sakit hatiku mengenangkan sikap Anuar yang buat tidak endah atas cakap-cakap orang terhadap kami. Seolah-olah merestui tanggapan umum bahawa kami sebenarnya punya hubungan istimewa. Tidak! Kami tidak terikat dengan apa-apa hubungan mahupun komitmen.

......

......

......

~ bersambung ~

Facebook, oh Facebook

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Syukur. Setelah bertungkus-lumus (orang putih cakap, 'all out'), kerja Muthiah akhirnya dapat disiapkan. Ehe... Baru siap. Ada banyak tindakan susulan lain selepas ini, mungkin. Apapun, insya-ALLAH. Muthiah tidak akan berputus asa memperbaiki 'kerja' tersebut dan cuba melakukan yang terbaik. Doakan agar semuanya dipermudahkan TUHAN, ya.


Baiklah. Semasa di Pabila Pena Berbicara hari ini...

Facebook, oh facebook.

BINTULU 10 Dis. 2010 - Laman sosial Facebook didapati menjadi punca kepada beberapa kes penceraian di negeri ini walaupun angkanya masih belum membimbangkan.

ARKIB 31 Dis. 2010 - Umat Islam sepatutnya menghargai masa jika mereka ingin membangun dan berjaya dalam kehidupan di dunia ini. Kemudahan teknologi komunikasi jika disalahgunakan akan mengundang pelbagai risiko dan kesan negatif dalam kehidupan umat Islam. Peristiwa perceraian melalui pesanan ringkas telefon bimbit sudah menjadi lumrah suami melafazkan talak kepada isteri. Perkahwinan merupakan satu institusi yang mulia di mana melalui perkahwinan, manusia dapat menyalurkan hubungan kasih sayang secara bermaruah. Adat dan cara umat Islam menyambut hari perkahwinan dengan begitu meriah menunjukkan bahawa hubungan suami isteri merupakan simbol kebahagiaan.

LOS ANGELES - Jika dulu perceraian sering berlaku akibat kesan gincu di baju suami atau pesanan ringkas dalam telefon bimbit, kajian terbaru menunjukkan masalah itu kini disumbangkan oleh laman sesawang sosial seperti Facebook.

MINDA : Facebook bagaikan madu dan racun - Facebook kini menjadi fenomena serta trend komunikasi terbaru, bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia.

SOAL JAWAB AGAMA : Suami main cinta di Facebook - SUAMI saya mengadakan hubungan terlarang dengan isteri orang di laman sosial Facebook, baru-baru ini. Hubungan mereka sampai ke tahap mengadakan hubungan seks.

KUALA LUMPUR : Cari kepuasan diri - Tidak sekadar mengadakan pelbagai parti liar di kelab malam mahupun rumah, golongan lesbian kini semakin aktif mencari dan menambah kenalan baru menerusi laman sosial popular, Facebook.

AD-DIN : Berdosa salah guna Facebook - ... Facebook mendapat sambutan sehingga syarikat pengeluar telefon bimbit mengeluarkan telefon yang mempunyai aplikasi lebih mudah untuk mengemas kini profil pada bila-bila masa.

GLOBAL : Pencuri identiti Facebook - ... Wanita itu membuka akaun e-mel dan Facebook menggunakan namanya, mengambil 2,000 gambar di Internet dan mengubah suai sebahagiannya serta menipu rakan dan keluarga Carolyn untuk menjadi rakannya. Carolyn palsu yang menggunakan gambar dan butiran maklumat Carolyn yang sebenar, bermain cinta selama 17 bulan bersama Regis Remacle - lelaki di stesen tube berkenaan - malah mendakwa menjadi ibu kepada anak lelaki Carolyn, Billy, 3.

:) Moga kan mendapat manfaat daripadanya.

Muthiah : Ehe... touch-up sikit.

Keredhaan-MU

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. ALLAH masih memberi ruang dan peluang untuk menitip di sini. Hmmm... Ayuh... Jom hayati lagu ini.... Mana tahu, bisa menggugurkan air mata yang sudah lama tidak mengalir ;)


Ya Allah, Ya Tuhanku
HambaMu merindukan
Rahmat kasih sayangMu
Dan jua keredhaanMu
Dalam hidupku

Meskipun ku ulangi dosa noda
Yang menjanjikan azab sengsara
Namun ku sedari
KeampunanMu tidak bertepi

Ku akui diri ini
Hamba yang mungkir pada janji-janji
Jadikanlah taubat ini yang sejati
PadaMu Ilahi

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku
Ya Allah, redhakanlah kehidupanku
Moga terhapus penghijab kalbu
Antara Kau dan aku


Tuhan,
Ku zalimi diri ini
Andai Kau tak ampuni dan rahmati
Alangkah ruginya diri

Tuhan,
Jangan Kau palingkan hati ini
Setelah Kau beri hidayah
Sesungguhnya Kau Maha Pengasih

Ya ALLAH. Peliharalah aku, suamiku, keluargaku, teman-teman yang aku kasihi dari azab api neraka-MU.

Muthiah : 1 more..

Review - Ayah, Amir nak masuk U


Assalammualaikum. Sudah baca Ayah, Amir nak masuk U? Jom review ;)

Kisah Ashraf (ii)


-sambungan semalam-

Jadi, kitalah yang memilih bagaimana untuk mendidik anak/ adik-adik kita.

Sebab dikhuatiri, apabila kita terlalu memikirkan mereka tidak boleh buat itu dan ini... sampai bila-bila mereka tidak akan belajar. Namun, jangan sampai kita memberi paksaan kepada mereka pula.

Sebagai contoh, kita belikan novel dewasa dan paksa mereka baca novel tersebut sampai habis. Budak baru darjah 3. Hal ini, mungkin akan memberi tekanan buat mereka. Akibatnya, mereka menjauhkan diri daripada kita. Tetapi, bagaimana? Belilah buku kanak-kanak. Hehe...

Walaupun demikian, tidak salah untuk memberi peluang mereka belajar daripada sesuatu yang baru. Macam Ashraf...

Arwah mama Muthiah banyak membaca buku-buku dewasa. Antara buku yang Muthiah ingat sampai sekarang ialah buku berjudul Perempuan Kerudung Hitam (kisah pengalaman mereka yang menunaikan haji). Mama tidak memaksa Muthiah membacanya. Mama beli (untuk dia) tetapi dinyatakan Muthiah yang punya. Tengok muka hadapan dan tajuk, langsung tidak menarik minat. Maklumlah. Muthiah waktu itu mungkin darjah 3 (sebab mama meninggal dunia waktu akhir tahun darjah 3)... buku pula kategori dewasa atau orang tua. Namun, apabila tidak tahu hendak buat apa. Muthiah pun TERPAKSA membaca buku tersebut. (Dalam masa yang sama, mama turut membeli majalah Mickey Mouse, buku kisah Nabi...)

Rentetan daripada didikan tersebut, Muthiah menjadi penggemar buku (dahulu). Baca dan baca. Sebelum tidur mesti baca buku. Buku politik, agama, kanak-kanak, dewasa, remaja.... Asal mana ada kisah di dalamnya, mesti hendak baca. Sedikit sebanyak dapat memperbanyak ilmu di dalam dada.

Jadi, bagaimana?

Kitalah yang membuat pilihan. Lain orang lain caranya. Dan Muthiah menghormati setiap cara didikan masing-masing. Di sini... Muthiah sekadar ingin berkongsi. Manalah tahu, ada manfaatnya. Ada yang boleh diguna-pakai. Kalau rasa tidak okey, tidak apa ;) Abaikan sahaja. Sekadar perkongsian pengalaman Muthiah sendiri.

Macam Ashraf... umur baru 2 tahun, hendak bagi guna pinggan kaca? Kalau jatuh, pecah... macam mana? Oh, tidak. Muthiah juga yang kena sapu nanti. Hehe... Gurau sahaja. Namun, apabila seawal 2 tahun dia sudah diberi kepercayaan untuk makan dalam pinggan kaca (atau apa jua situasi yang dikira sesuai dengannya), dari satu aspek... memupuk sikap yakin diri dalam dirinya. Alhamdulillah. Rasanya, dia tidak pernah memecahkan pinggan. Makan pun, tidaklah bersepah sangat (kecuali kalau dia malas hendak buang sayur, dicampakkan sahaja ke dalam pinggan kita).

Hmmm... cukup untuk hari ini. Bukan apa... baru-baru ini, Muthiah dan suami berbicara tentang Ashraf. Dan... daripada situ, Muthiah memilih untuk berkongsi dengan semua.

Muthiah : Syukur...

Kisah Ashraf (i)

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Ehe... Ashraf???? Siapakah Ashraf??? Bukan Aysraf Daniel dalam Mencari Naurah tetapi Ashraf Jose Rizal, adik Muthiah yang bongsu.

Begini... sekadar perkongsian, bagaimana Ashraf diasuh dan dididik...

Sewaktu hendak makan malam...

Seperti biasa, tugas Muthiah ialah menyediakan pinggan di atas meja untuk 8 orang makan iaitu suami, papa, mama serta 4 adik lelaki (termasuk Ashraf). Oleh sebab Ashraf waktu itu baru berusia 2 tahun, Muthiah pun menyediakan pinggan plastik buatnya. Iyalah. Kalau jatuh dan pecah pun, tidak apa.

Kemudian, papa menegur Muthiah, "Beratlah (Teruklah) kakak ni. Dia ingat adik tu kecil lagi. Layan dia macam layan orang lain juga." Papa Muthiah lalu menukar pinggan yang sepatutnya digunakan Ashraf. Sama sahaja dengan pinggan kami.
Sekarang, adik bongsu Muthiah sudah berusia lebih 3 tahun. Walaupun kalau dia menangis tahap lima semua orang menggeleng kepala, dia tetap punya keistimewaannya.

Penggunaan bahasa sehari - Adik lelaki Muthiah ini tidak telor. Dia juga menggunakan bahasa yang jarang atau tidak pernah digunakan oleh budak yang sama umur dengannya. Contohnya... Masalah. Apabila dia hendak beli mainan. Papa pula tidak mahu membawanya ke pasaraya. Dia akan berkata, "Inilah masalahnya..."

Cara berfikir - Kadang-kadang, tidak terjangkau dek fikiran. Satu hari, dia makan Maggi. Panas... dia lalu meminta Muthiah ambilkan dia air kosong. Muthiah sangka, dia hendak minum air tersebut setelah makan Maggi panas. Rupa-rupanya, dia hendak tambahkan sedikit air ke dalam Magginya itu.

Hmmm... apakah sisi positif yang boleh kita ambil di sini?

- bersambung-

Muthiah : Papa dan mama selalu main baca-baca, makan-makan, tidur-tidur dengan Ashraf. Bukan membaca tetapi main baca-baca...

Virus-virus FITNAH


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? :) Mood berpesta buku masih lagi bersemarak dalam diri. Ada satu lagi perkongsian cerita yang boleh dijadikan iktibar bersama...

Seorang kakak dari kalangan penulis meluahkan... "Virus-virus fitnah semakin bertebaran."

Muthiah pun bertanya, "Kenapa, kak?"

Dia menjawab, "Entahlah tetapi akak ada bukti yang kukuh dengan apa yang telah difitnahnya..." Penulis tersebut diam sejenak kemudian menambah, "Di kalangan penulis, tidak ada yang berfiil begini. Semua penulis baik belaka."

"Akak kenal orang menyebarkan fitnah tu?" Soal Muthiah lagi.

Si penulis menggeleng. "Kenal di FB ni."

Muthiah mengangguk perlahan. "Tetapi... sebab apa dia hendak fitnah akak? Kenal pun tidak."

Penulis tersebut hanya tersenyum. "Entahlah, Naziha tetapi yang pasti, semua berlaku sejak buku M berada di pasaran."

Muthiah mengangguk-angguk buat kesekian kalinya...

Entahlah. Susah hendak cakap. Muthiah hanya mampu menunjukkan/ berasa simpati. Iyalah. ALLAH sayang. Sebab itu DIA hadirkan langau-langau yang tidak dikehendaki ini. Kasihan sampai si penulis diminta memberi penjelasan kepada orang besar (tentang virus fitnah yang tersebar). Kasihan lagi kepada si pemfitnah... orang yang membenci dan berniat serong. Sebab... PENGHITUNGAN ALLAH itu Maha Luas dan Teliti. Tidak lama tu.....

Buat Kak ....

  • Sabarlah...
  • Dekatkan diri kepada ALLAH. Mungkin, mereka boleh buat macam-macam tetapi ingat! Semua itu berlaku adalah dengan izin ALLAH juga. ALLAH mahu menguji dan menduga kita. Bukan itu sahaja bahkan ALLAH mahu kita kembali berdoa dan berharap kepada-NYA.
  • Ayuh... terus mengorak langkah (Meskipun Muthiah sudah tahu... Akak sememangnya gagah dan kuat)... Apa yang penting, redha ALLAH adalah matlamat utama.

Hmmm... apa lagi ya. Entahlah tetapi... pengalaman yang Muthiah peroleh apabila bertemu dengan penulis tersebut, seorang pengarah drama yang sudah 8 tahun berada di dalam dunia pengarahan dan penulisan skrip, dan seorang usahawan yang telah berjaya.... sungguh-sungguh bermakna. Pengalaman dan kisah kalian menjadikan Muthiah lebih bersemangat untuk berusaha mencapai jaya... tidak di dunia, insya-ALLAH di akhirat satu hari nanti.

2011


Assalammualaikum.

Sila jawab soalan di bawah ;)

1- Buat apa malam tadi?

2- Banyak azam tahun baru?

3- Mahu kongsikan di sini?

4- Ada atau tidak kita meletakkan keazaman ~ untuk menjadi hamba ALLAH yang taat lagi patuh kepada perintah-NYA? (Atau yang bersabit dengannya).

:) Apapun azam kita, Muthiah ingin mengucapkan SELAMAT MAJU JAYA buat semua (termasuk diri Muthiah sendiri). Jom kita sama-sama usaha merealisasikan azam kita. Yeah. Kita boleh!!!

Hmmm... 'Mahu menjadi hamba yang baik tetapi SUSAH!!!'

Muthiah teringat kata-kata Muhammad bin Abdullah As-Syibli, "Jika engkau mahu merasai kemanisan perhubungan dengan TUHAN-mu, engkau haruslah garang terhadap dirimu. Setelah engkau merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila engkau berpisah dengan-NYA."

Apa yang sahabat-sahabat faham daripada untaian kata-kata di atas. Jom fikir ;)

Muthiah : Azam baru ~ Kemaskini mutabaah ibadah yang semakin merundum.
Labels: 2 comments | | edit post

Muka tebal...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Ehe... Bak kata Nurhidayu Salleh, 'Dia outstation, aku instation..."

Kelebihannya... Muthiah dapat jalan-jalan.
Kekurangan/ kelemahannya... KB Muthiah tertangguh.

Apapun, insya-ALLAH. Muthiah yakin pasti ada hikmah-NYA. Muthiah merancang, KB dapat disiapkan dalam tahun ini juga. Tup tup... banyak pula agenda lain yang datang. Tidak dapat dielakkan pula. Sesungguhnya, ALLAH lebih tahu segala sesuatu yang tidak kita ketahui.

;) Sudah hampir seminggu Pesta Buku Kanak-kanak berakhir. Alhamdulillah. Muthiah gembira dan berbesar hati sungguh. Sebabnya??? Kerana Muthiah dapat belajar dan berkenalan dengan orang yang hebat. Paling teruja, bila dapat berjumpa empat mata dengan Kak Sri Diah.

Seorang penulis memberitahu Muthiah (iyalah... Muthiah malu-malu kucing pula di sana)...

Untuk memasarkan buku kita, tidak boleh malu-malu. Kita kena positif dan optimis. Kita mahu buku kita... tidak ada yang membelinya disebabkan sikap kita yang malu-malu ini? Dalam hati Muthiah, Muthiah berkata sendiri, "Malu tidak bertempat!" Adoi...

Muthiah hanya tersenyum. Ehe... Mungkin bukan malu tetapi agak segan. Mungkin sebab Muthiah orang baru. Mungkin dan mungkin... Ah! Alasan tetapi.... Tidak ada tapi-tapi lagi. Baik pergi naik kereta api, Den-O. Apa ni? (Dahi berkerut tanda sedang buntu @ blur).

Hmmm...Meskipun sudah lama menulis di blog.... Hendak cakap macam mana, ya? Entahlah... Tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Pause...

Apa pengajaran yang Muthiah dapat daripada pemerhatian Muthiah sepanjang hari tersebut (25/12/2010)?

  • Kita kena berani melakukan sesuatu jika hendak berjaya (Asal mana tidak melanggari syariat). Go go go, Muthiah. BERANI! Orang lain, pun... sama...

  • Bukan mudah mahu berjaya. Perlu berusaha bersungguh-sungguh. Macam rakan penulis ini. Muthiah sangat kagum kepadanya. Orang muda cakap, "Tabik spring." Masakan tidak... hampir setiap hari beliau turun ke pesta buku ini untuk mempromosi bukunya.

  • Dalam hidup, usah sekali-kali cepat mengalah. Kalau jatuh, cuba bangun. Kalau tidak mampu bangkit, hulurkan tangan. Insya-ALLAH, akan ada yang tarik kita untuk berdiri semula.

  • Jaga diri... jaga hati daripada sikap-sikap buruk seperti iri hati, fitnah dan lain-lain. Terkedu juga Muthiah apabila penulis berkenaan bercerita tentang kisahnya yang difitnah. Asbab? Entahlah tetapi sejak novel pertamanya terbit dan mendapat sambutan ramai. Hmmm... rupanya, tidak semua orang senang dengan kegembiraan dan keberjayaan orang lain. Jadi... bersiap sedialah. Mohon perlindungan daripada ALLAH. Harapan Muthiah... Moga, beliau terus sabar dan tabah ;)

Okey... Ayuh, kita sama-sama terus mengorak langkah.

Muthiah : Kembalikan segala kehebatan itu kepada ALLAH kerana kita sebenarnya bukanlah siapa-siapa.

You can be the best!

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Sedang berusaha keras untuk membereskan sesuatu sebelum menjelang tahun baru 2011. Selalu sahaja di-KIV atas sebab-sebab yang tidak mampu dielakkan. Moga-moga, dipermudahkan TUHAN. Andai terlebih masa lagi? ;) ALLAH lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk diri Muthiah… Bukan sahaja Muthiah tetapi kita semua, insya-ALLAH.


  • Kadang-kadang, kita merasakan diri tidak dibantu…
  • Kita merasakan diri ini sendiri...
  • Tidak ada siapa yang sudi mendengar rintihan hati ;) Ehe... Muthiah sudi ….


Namun percayalah… kita tidak pernah sekali-kali dibiarkan sendiri. ALLAH ada. ALLAH dekat… lebih dekat dari urat merih kita ;) Hanya... kita sahaja yang sering kali tidak mahu memikirkannya.


Hmmm… hari ini, hendak berborak-borak tentang apa, ya? Okey... Tersebutlah kisah...


Di Taman Simpang...


Jeng jeng jeng... Muthiah berbicara dengan...


Kata Muthiah, "Be, tadi Muthiah baca pada wall seorang penulis muda. Dia juga menulis blog. Diluahkan rasa hatinya di wall..."


Suami berkalih kepada Muthiah. Dia segera bertanya, "Apa katanya?"


Muthiah tersenyum lantas menjawab, "Saya hanyalah insan biasa dan saya tidak berdaya untuk memuaskan hati semua orang..." Muthiah terdiam sejenak.


"Ya. Tidak semua orang menyukai kita dan tidak semua orang membenci kita." Tambah Muthiah lagi. Kemudian, Muthiah membisu buat kesekian kalinya.


Suami sepi tanpa kata-kata. Tidak lama kemudian, dia pun bersuara. "Pilih ungkapan begini. 'Saya hanyalah insan biasa tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk semua orang!"


Nah! Optimis sungguh dan Muthiah sebenarnya belajar untuk menjadi optimis dan positif daripadanya.


Pengajarannya:


Sahabat-sahabat....


Kita mungkin belum menghasilkan sesuatu yang terbaik namun, insya-ALLAH... jika kita tidak berputus asa dalam berusaha... kita tetap mampu membuat yang paling baik. Ya. Kita boleh berusaha dan ALLAH-lah yang menetapkan segalanya.


Jadi...


Buat adik-adik yang Muthiah kasihi (yang telah meluahkan rasa hati kepada Muthiah)... perihal ketidakupayaan untuk bangkit dalam kejatuhan, ayuh... kita sama-sama bangun... berdiri dan berjalan kembali. ALLAH ada... ALLAH dekat. Semakin kita merasakan diri tidak kuat, semakin itulah kita perlu mendekatkan diri kepada-NYA.


Gambatte ;)


Muthiah : Menjauh...

MALAS...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Masih lagi diberi ruang oleh ALLAH untuk meneruskan coretan di sini. Terima kasih kerana sudi menjengah.

Hmmm... siapa yang tidak pernah rasa MALAS, sila angkat tangan?

Ehe... jom, kita kongsi bagaimana ingin mengatasi rasa MALAS.

  1. Rajinkan diri ~ apa daaaa... Ehe... no worry. Setiap orang BERHAK mengemukakan pandangan masing-masing, di rumah masing-masing. Aik. Apa ni? Selingan dan merapu sahaja ;)
  2. Biasakan diri untuk melakukan perkara yang berfaedah atau bermanfaat.
  3. Tidak ada kerja... jom cari kerja (biarlah halal dan tidak melanggar syariat).
  4. Dekatkan diri dengan ALLAH.
  5. Jaga makan dan kesihatan ~ Iyalah. Apabila badan sihat, otak pun cerdas. Hmmm... malas juga? Berbalik kepada item di atas ~ Rajinkan... biasakan... carikan... dekatkan...
  6. Tidur secukupnya ~ Apa makna 'secukupnya' bagi sahabat-sahabat? Ehe... tidur 8 jam sehari semalam? Atau... tidak seadanya tetapi berkualiti. Bagaimana hendak mendapatkan tidur yang berkualiti? Hmmm... lain kali, kalau ada masa dan idea, Muthiah cuba cari bagaimana (tetapi tidak janji ya)...
Okeylah. Santai untuk hari ini. Selamat bermuhasabah ;)

Muthiah : Ada kalanya malas tetapi berusaha merajinkan diri.
Labels: 2 comments | | edit post

Adab bertamu (iii)

~ sambungan semalam ~

5 - Tidak sering bertamu


Aik. Sering pun tidak boleh? Hmmm… seperti apa yang Muthiah baca. Bertamu yang terlalu kerap boleh menimbulkan kebosanan. Betuk ke? Entahlah. Mungkin ya bagi sesetengah orang dan mungkin juga tidak bagi segelintir orang yang lain. HANYA MUNGKIN. Dari sisi Muthiah, mungkin jarang menerima tetamu. Jadi, apabila tetamu datang, teruja bangat!


Hmmm… ayuh kita saling menziarahi. Sebab… kalau tidak bertamu langsung, takut makin menjauh. Kalau bertamu dari pagi sampai ke malam, hari-hari pula… takut :


  • Tanpa sengaja termakan bangkai saudara sendiri.
  • Tanpa sedar, kita sudah mengganggu perancangan asal tuan rumah. Iyalah… kita datang hari-hari. 12 jam di rumah orang. Ehe…


6- Digalakkan membawa buah tangan


Tanpa sedar, pemberian buah tangan ini… walaupun sedikit bisa menimbulkan rasa cinta dan kasih dalam hati. Iyalah. Tuan rumah pasti berasa senang dan gembira. Lagipun, Muthiah pasti… banyak di kalangan kita bahkan mungkin semua… akan berasa senang apabila menerima pemberian daripada seseorang.


Nabi SAW pernah bersabda, “Berilah hadiah di antara kalian, nescaya kalian akan saling mencintai,” H.R. Bukhari).


7- TIDAK BOLEH seorang lelaki bertamu di rumah seorang wanita yang suami atau mahramnya tidak ada di rumah.


Khuatiri… bisa menimbulkan fitnah kepada diri. Lagipun, bukankah tidak wajar/ patut seorang lelaki dan perempuan yang tidak punya apa-apa ikatan duduk berdua-duaan di dalam sebuah rumah, meski sang suami adalah rakan baik kepada lelaki itu sendiri.


Nabi SAW bersabda, “Janganlah sekali-kali menjumpai wanita”. Maka, seorang lelaki daripada kaum Ansar bertanya ,“Wahai Rasulullah, bagaimana dengan al-hamwu?” Rasulullah menjawab, “Al-hamwu adalah maut,” H.R. Bukhari dan Muslim.


Imam Al-Baghawi menerangkan, al-hamwu (merupakan jamak kepada ahma’) yang membawa maksud keluarga lelaki dari pihak suami dan keluarga perempuan dari pihak isteri. Dan… yang dimaksudkan di sini adalah saudara lelaki suami (ipar), kerana dia bukanlah mahram bagi si isteri.


Berkenaan kalimah. “Al-hamwu adalah maut,”, Ibnul-‘Arabi berkata, “Ini merupakan kalimah yang diucapkan oleh orang Arab, sama dengan ungkapan, ‘Serigala adalah maut.’ Ia membawa maksud, ‘Bertemu serigala bersamaan dengan bertemu maut.”


Muthiah : Mengantuk... SENYUM ITU SEDEKAH ;)

Pesanan kedua


Alhamdulillah. Pesanan buku Ayah, Amir nak masuk U yang kedua sudah pun berada di tangan Muthiah. Siapa-siapa yang ingin mendapatkannya secara terus dengan Muthiah, bolehlah emel ke xpdcsolehah99@gmail.com.

Buat mereka yang telah mendapatkannya, terima kasih Muthiah ucapkan ;)

No shout anymore? ;)



Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Muthiah. Alhamdulillah, beres semuanya dan... GUMBIRA. Semalam, sambutan yang diterima untuk novel remaja Ayah, Amir nak masuk U amat menggalakkan. Terima kasih yang tidak terhingga Muthiah ucapkan kepada kaum keluarga, saudara-mara serta sahabat-sahabat yang banyak menyokong dan membeli novel remaja pertama Muthiah ini. Alhamdulillah.

;) Hmmm... pagi tadi, Muthiah dikejutkan dengan satu ungkapan yang dijeritkan di shout box Muthiah. Jeritan itu berbunyi :

  • Bodoh ;)
  • Blog SS
Ikutkan, Muthiah hendak membiarkan sahaja. Siapa-siapa berhak menulis apa sahaja di sini. Ada yang datang untuk benar-benar membaca entri di sini dan mungkin yang menjengah untuk... Apapun, Muthiah dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Namun, yang menjadi masalah. Kalau Asyraf, dia akan cakap, "Panggillah sang kancil" (apabila ada masalah). Pengirim ungkapan di atas namanya Mutiah. Hehe... Masih okey tetapi... yang menjadi kurang elok ialah link yang diberikan ialah link blog siti-muthiah sendiri. Wah... 'eloknya' bahasa yang Muthiah tuliskan.

Oleh sebab tidak mahu mengundang kemudaratan yang lebih besar, Muthiah memutuskan untuk meniadakan ruangan shout ini dahulu. Bukan apa... apabila yang berkata tidak elok itu adalah Muthiah sendiri... Muthiah pula di dalam blog ini berbicara tentang akhlak... jadi, shout daripada 'Mutiah' itu dilihat sebagai tidak selari dengan apa yang Muthiah tuliskan di entri.

Buat Ain ~ Kita chit chat di ruangan komen ya.

Buat Slave dan lain-lain ~ Jazakallah kerana sudi menjengah. May ALLAH bless us.

Buat Mori Mori ~ Terima kasih kerana sudi mendapatkan novel Ayah, Amir nak masuk U. Terima kasih juga atas pandangan yang diberikan. Insya-ALLAH, untuk masa akan datang... Muthiah akan cuba mempertingkat kualiti karya yang dihasilkan. I'll try my best, insya-ALLAH. Oh, ya. Untuk pengetahuan Mori Mori, Ayah, Amir nak masuk U sebenarnya adalah novel remaja. Muthiah menghantarnya ke Buku Prima dan dipilih untuk berada dalam kategori Teen Prima. Namun, Muthiah kira... orang dewasa dan kanak-kanak pun tidak salah membacanya. Ehe... jangan lupa untuk mengikuti sambungan novel Ayah, Amir nak masuk U ya. Sob sob... Muthiah terharu atas pandangan yang diberikan kerana ... ada yang prihatin. Lebih-lebih lagi kepada Muthiah yang baru bertapak di dalam dunia (penulisan) ini. Moga ALLAH memberkati Mori Mori dan keikhlasan Mori Mori mendapat ganjaran daripada-NYA.

Baiklah. Kita jumpa lagi, ya. Insya-ALLAH, blog akan terus dikemaskini setiap hari meskipun ruangan shout di-KIV buat sementara waktu.

Salam sayang buat semua ;)

****

Apabila Muthiah memaklumkan kepada suami tentang hal ini pagi tadi, suami berkata, "Jika 'dia' mahu ruangan shout ditiadakan, 'dia' nampaknya telah berjaya..." Muthiah hanya tersenyum.

Dalam hati, berkata-kata sendiri .... "Orang setekad ini, bagus jika dapat diasuh sebaiknya untuk berjuang ke jalan ALLAH. Kerana... tekadnya kuat. Nanti, dia akan menjadi orang yang tekad dalam mempertahankan agama ISLAM."

Adab bertamu (ii)


Assalammualaikum. Baik, kita sambung entri yang semalam tentangADAB BERTAMU.

1- Ayuh, kita perbaiki niat.

Sepertimana yang terbaik dalam hadis pertama daripada hadis arbain, “Sesungguhnya, setiap amal bermula dengan niat…”

Untuk apa kita hendak berziarah?

· Mengeratkan silaturrahim?

· Menunaikan hajat tertentu dengan tuan rumah (house warming contohnya).

· Mengukuhkan ikatan ukhwah?

· Mencari kelompangan dalam rumah orang yang kita kunjungi?

2- Memaklumkan kedatangan sebelum bertamu.

Aik. Ini pun perlu dititik-beratkan? ;) Ya. Lain orang, lain penerimaannya. Ada yang dengan hati dan tangan terbuka menerima kedatangan tetamu pada bila-bila masa, saat dan ketika. Namun, ada juga yang mungkin pada waktu-waktu tertentu, berasa mahu bersendiri dan tidak bersedia menerima sebarang tetamu.

· Boleh jadi sedang stres… dia tidak mahu kecelaruan wajahnya diperhati sesiapa.

· Boleh jadi ongkosnya kurang… apabila tetamu hadir, tidak ada apa yang hendak dihidangkan. Hendak menyediakan teh dan biskut tawar sahaja, malu pula ~ Alaaa… tidak akan sampai macam itu sekali? Bukan pergi untuk makan pun. ;) Benar tetapi itulah… lain orang, lain caranya dan lain pula pendapat dan penerimaannya.

3- Tetapkan waktu awal dan akhir untuk bertamu

Sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW, “Apabila salah seorang di antara kamu telah selesai daripada maksud berpergian, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya,” H.R. Bukhari dan Muslim.

Iyalah. Boleh jadi tuan rumah ada perancangan lain pada hari itu. Kita pula sudah bertandang dari jam 8.00 pagi. Sekarang, sudah pukul 10.00 malam. Hmmm… Kalau blog Muthiah, boleh jengah bila-bila masa, ya ;)


4- Berwajah ceria dan bertutur cara lembut

Semua orang pasti tidak akan berasa senang dengan tetamu yang datang ke rumahnya tetapi… berwajah muram, berbicara kasar dan tidak beradab. Dikhuatiri, objektif asal bertamu yang mahu mengukuhkan hubungan silaturrahim menjadi tidak tercapai. Lagipun, ALLAH telah memerintahkan kita semua untuk bersikap lemah-lembut, berbudi bahasa kepada setiap Bani Adam, khususnya buat orang yang beriman.

Firman ALLAH dalam surah al-Hijr ayat 88 yang bermaksud, “Dan berendah dirilah kamu terhadap orang yang beriman.”


~ bersambung ~


Muthiah : Lusa 'instation' lagi...insya-ALLAH.

Adab bertamu (i)


Assalammualaikum ;) Mulakan harimu dengan senyuman. Macam Muthiah. Insya-ALLAH... SENYUM SOKMO.

Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Meskipun sejak akhir-akhir ini banyak terjentik dengan sesuatu, Muthiah memilih untuk positif. Hmmm... kadang-kadang, ternegatif juga tetapi suami akan cakap, "Muthiahlah yang membuat pilihan..." Kata-katanya BENAR. Muthiahlah yang memilih.

Okey, hari ini... Muthiah ingin berkongsi serba sedikit tentang adab bertamu di rumah orang. Iyalah. Bukankah kita semua dituntut untuk saling menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim?

Hehe... bagaimana pula halnya jika hendak bertamu di blog orang???? Ada adab-adabnya juga, bukan? Tepuk dada, tanya diri sendiri... Soallah iman dalam hati. Atau... ada sesiapa yang hendak berkongsi bagaimana adabnya? ;)

Apapun, buat pengunjung blog Muthiah...

  • Terima kasih kerana sudi berkunjung. Moga-moga mendapat manfaat daripadanya.

  • Yang baik, jadikan teladan. Yang tidak baik, jadikan sempadan. ALLAH berikan akal untuk kita berfikir, manakah yang paling baik untuk diri kita. Jadi, fikir dan renung...

  • Bagi yang menjengah dan merasakan ada yang lompang... tidak elok untuk sukan negara (eh, untuk diri)... ada yang terasa hati... tidak suka atau membenci... Maaf atas kekurangan ini. Insya-ALLAH, Muthiah akan cuba yang terbaik untuk memberikan yang terbaik. Positif... optimis...

Siapapun, kalian... insya-ALLAH... Muthiah tetap alu-alukan kalian datang menjengah di sini. Tafadhal. Ahlan wasahlan. Jangan segan silu untuk berkunjung. Jangan ragu-ragu untuk datang lagi. Mungkin... entri yang anda baca hari itu tidak menyenangkan hati tetapi mana tahu... ada entri lain membantu kalian merungkai persoalan yang sedang menghantui.

Yang dirasakan negatif, cuba positifkan untuk diri sendiri (mungkin penggunaan ayat ini tidak tepat).

Sebagai contoh, jika Muthiah berkata, "Aku sudah berputus asa..." dan tidak pula Muthiah nyatakan bagaimana untuk mengatasi masalah ini...

Sabar, ya... kadang-kadang, Muthiah pun terlepas pandang. Ada lagi beberapa isu yang sudah Muthiah senaraikan untuk dikongsi tetapi masih terperap dalam 'almari'. Hehe... Antaranya:

  • Pengisian yang Muthiah pernah terima daripada majlis-majlis ilmu/ halakah.
  • Kisah perjalanan hidup Nabi SAW.
  • Kisah perang-perang yang disertai Nabi SAW.
  • Kisah para sahabat (khususnya 10 sahabat yang dijamin masuk syurga).
  • Huhu... buat teman-teman maya/ sahabat yang request Muthiah menulis tentang sesuatu.

Insya-ALLAH, sedikit demi sedikit, Muthiah akan berusaha melunaskan 'hutang' ini.

Berbalik kepada persoalan tadi. Katakan pada diri, " Aku tidak mahu berputus asa." Ambil masa lima minit untuk bermuhasabah... Andai kita sedang berputus asa, fikirkan kembali...

  • Kenapa aku berputus asa?
  • Apa yang boleh aku lakukan untuk memotivasi diriku kembali?
  • Ya. Aku harus kuat dan tabah. Ujian ini adalah tanda kasih sayang ALLAH buatku.

Jadi... jom bangkit. Yeah!!! ;)

Alamak. Salah tajuk. Terpesong! Baik, kita sambung esok, insya-ALLAH ;)

Muthiah : Ilmu dan segalanya adalah datang daripada ALLAH. Kita hanyalah wasilah-NYA.