Mencari Naurah (Bab 1)
DAUNAN hijau bergerak perlahan mengikuti perjalanan angin. Gugur sehelai ke bumi, namun tidak mencacatkan pohon nan sebatang. Dihinggapi pula sepasang merpati yang sedang asyik memadu kasih sehingga lupa pada mahkluk di sekelilingnya. Mujur hanya sang merpati. Tidak perlu malu dan segan pada mata yang memandang. |
Aku lihat seorang mahasiswi begitu khusyuk dengan sesuatu. Oh... rupa-rupanya dia sedang membaca sistem pesanan ringkas (SMS). Kadang-kadang dia senyum sendiri. Melihat ke langit dan tunduk kembali. Kemudian, dia tersenyum lagi. Agaknya ada sesuatu yang membuatkan hatinya berbunga. Sebab itulah dia tidak sedar bahawasanya ia sedang diperhatikan.
Begitu cantik ciptaan TUHAN. Pohon yang dihinggapi merpati menjadi tempat beristirehat si mahasiswi. Bukanlah penghias taman semata-mata. Punya sumbangan yang besar buat setiap sesuatu di sekelilingnya tetapi aku...
“Jauh mengelamun,” tegur Anuar.
“Tak adalah. Baru selesai latihan untuk persembahan dengan adik-adik. Saya nak berehat sekejap,” aku berkata perlahan tanpa memandang wajahnya.
“Boleh saya duduk?” soalnya lagi.
“Hmm...”
“Baik... baik. Biar Abang War berdiri sahaja,” kata Anuar seolah-olah tahu isi hatiku.
Tidak manis jika dilihat adik-adik. Lebih parah jika menjadi bualan fasilitator. Bulan sudah, kedengaran gosip liar antara aku dan Anuar. Entahlah... menjadikan aku trauma untuk berbual mesra dengannya.
“Kumpulan Asha buat persembahan apa?” Anuar memulakan bicara.
“Dikir barat,” jawabku acuh tidak acuh. Khuatir dia akan berlama-lama denganku. Silap hari bulan, muncul pula gosip panas yang boleh menjatuhkan air mukaku. Pengalaman lampau mengajarku untuk lebih berhati-hati. Bak kata pepatah, mulut tempayan boleh ditutup, mulut manusia belum tahu lagi.
Sakit hatiku mengenangkan sikap Anuar yang buat tidak endah atas cakap-cakap orang terhadap kami. Seolah-olah merestui tanggapan umum bahawa kami sebenarnya punya hubungan istimewa. Tidak! Kami tidak terikat dengan apa-apa hubungan mahupun komitmen.
......
......
......
~ bersambung ~