Mencari Naurah (Bab 9)

“ASHA teman akak pergi mesyuarat di dewan makan, boleh?” pinta Rose.

“Mesyuarat apa, kak?” aku bertanya ringkas. Buku kecil pemberian Kak Rose aku simpan di dalam beg.

“Mesyuarat program baktisiswa,” jawab Rose.

“Hmm...” aku diam.

Seolah-olah tahu apa yang bermain di fikiranku, Rose berkata, “Jangan bimbang, pakwe Asha tak datang. Dia ada kelas ganti.” Dia tergelak tatkala melihat mataku yang sedia sepet mula membulat.

“Insya-ALLAH... Asha bersiap dahulu,” balasku sambil tersenyum sipu. Aku segera mencapai tudung hijau muda yang baru kubeli di Jalan Masjid India. Tudung itu baru sahaja aku gosok. Kak Rose pula sudah menanti di hadapan pintu bilik kami.

“Mesyuarat kali ini tidak ramai. Jadi, yang terlibat pun Majlis Tertinggi Baktisiswa serta ketua-ketua unit sahaja,” terang Kak Rose tanpa diminta.

“Asyraf jadi pengarah program, Emelda jadi timbalan ketua pengarah. Akak pula dilantik menjadi setiausaha manakala pakwe Asha jadi bendahari.”

Kak Rose masih mahu mengusikku. Aku tahu, Kak Rose sekadar bergurau.

“Jom, cepat! Segan dengan Asyraf apabila tidak menepati

masa. Lagipun, mesyuarat hari ini sekejap sahaja.”

Nama lelaki itu disebut lagi. Cepat-cepat aku mengekori Kak Rose. Tidak ada patah kata yang keluar dari bibirku.

“ASSALAMMUALAIKUM dan salam sejahtera, kita mulakan majlis dengan membaca ummul kitab, al-Fatihah,” ucap Asyraf menandakan mesyuarat bakal bermula.

Perbincangan yang dibuat begitu tersusun. Aku lihat, Majlis Tertinggi yang terlibat sudah bersedia dengan perkara yang ingin dibangkitkan di dalam mesyuarat kali ini. Tidak seperti mesyuarat-mesyuarat lain, mengambil masa yang lama, namun masih tidak berjaya mencapai matlamat. Dengan kata lain, ‘Banyak sembang kosong. Perbincangan yang lebih banyak sia-sia daripada manfaatnya...’

Asyraf... selayaknya menjadi seorang pemimpin. Entah kenapa hatiku berdegup semakin kencang? Butir bicaranya tersusun, alis matanya memukau hati. ‘Astaghfirullah. Ya, ALLAH... Hindarkan aku daripada gelora perasaan ini,’ aku memejamkan mataku. Takut jika amaran keras ALLAH dalam surah as-Saff yang diperkata oleh Kak Rose sebenarnya ditujukan buatku. Aku tidak mahu menjadi manusia yang dibenci ALLAH. Aku tidak sanggup untuk bermusuh dengan TUHANku kerana aku tahu, sama sekali aku tidak punya ruang dan peluang untuk menang!

Aku memandang Asyraf lagi. Dahinya berkerut, mungkin sedang memikirkan cara yang paling baik untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi. Hmm... duduknya aku di sini tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada diriku, juga tidak memberi faedah kepada Kak Rose. Aku tidak dapat fokus dengan perbincangan yang dijalankan. Alangkah baiknya andai aku dapat menyumbangkan sedikit idea untuk program yang bakal dilangsungkan ini. Namun, hatiku tidak keruan. Seolah-olah ribut taufan sedang melanda.

‘Ya, ALLAH... ampunilah dosaku. Ya, ALLAH... Aku lemah lagi kerdil di hadapan-MU,’ aku merintih di dalam hati.

“Jadi, sepertimana yang telah dipersetujui, program baktisiswa ini akan diadakan di Kampung Sungai Tong, Setiu Terengganu. Tarikh spesifik akan ditetapkan pada mesyuarat akan datang. Pelajar yang terlibat adalah dalam lingkungan 30 orang dengan 15 buah keluarga angkat. Minggu hadapan, kita akan bermesyuarat bersama-sama semua jawatankuasa kecil yang telah dipilih. Setiap ketua unit perlu membentangkan perkembangan gerak kerja masing-masing,” kata Asyraf dan dia diam seketika.

“Emelda, sila pastikan kebajikan setiap jawatankuasa. Mereka yang mendapat PNG atau PNGK bawah 2.50 tidak boleh menjadi ahli jawatankuasa tetapi boleh turut serta dalam program tersebut nanti. Kita bukan mahu mengenepikan mereka tetapi kita prihatin terhadap pencapaian akademik mereka. Kita tidak mahu mereka tercicir sedang ada lagi yang boleh membantu kita. Rose, tetapkan masa yang sesuai untuk mesyuarat seterusnya dan tolong buat surat sepertimana yang telah dibincangkan. Maklumkan juga kepada Anuar tindakan lanjut yang perlu dilaksanakannya,” sambungnya.

Dia diam lagi kemudian menundukkan kepalanya lantas berkata, “Firman ALLAH dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud, ‘Katakanlah kepada wanita beriman ; Hendaklah mereka menahan pandangannya dan kemaluannya dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa nampak daripadanya.

Baiklah, kita tutup majlis ini dengan tasbih kafarah dan surah al-Ashr,” katanya lalu menadahkan tangannya.

Aku tertunduk dan malu sendiri. Asyraf sedar ia sedang diperhatikan! Malunya...

“Asha, awak tolong akak jaga kebajikan ahli jawatankuasa, boleh?” tanya Emelda sesudah mesyuarat berlangsung.

“Pengarah tidak kisah?” aku menyoal kembali.

“Tak apa... lagipun, Asyraf bukan Hitler cuma berkuku besi sahaja,” Emelda berseloroh.

‘Bezakah?’ Aku tersenyum sendiri. “Insya-ALLAH, apa-apa hal akak maklumkan kepada saya, ya,” ujarku perlahan.

~bersambung~

0 Responses