Mencari Naurah (Bab 8 ~ Samb.)


“Maksud Kak Rose?” Aku berpura-pura tidak faham. Soalan ini betul-betul membunuhku.

“Bersedia untuk melangkah ke dunia baru? Alam perkahwinan,” kata Kak Rose perlahan.

“Err...” Aku diam. Tidak tahu bagaimana ingin menerangkan.

“Banyak senior kita yang bercinta sesudah kahwin,” Rose memulakan ceritanya.

“Alhamdulillah... mereka kekal bahagia sehingga ke hari ini.” Rose merenung ke luar jendela. “Yang penting, niat kita untuk bernikah.” Dia memandangku kembali.

“Jika kita menikahinya kerana harta, dikhuatiri akan musnah sekiranya dia jatuh papa. Seandainya kita menikahinya kerana rupa, dikhuatiri akan berakhir sekiranya dia tidak tampan seperti mana waktu mudanya. Bukankah usia manusia bertambah dan uban semakin banyak? Andai kata kita menikahinya kerana zuriat semata-mata, dikhuatiri tidak kekal lama sekiranya ALLAH menguji kita dengan ketiadaan cahaya mata. Namun...”

Renungan Kak Rose semakin dalam membuatkan aku berasa sedikit gerun.

“Bila mana kita bernikah kerana ALLAH, kita bukan sahaja akan mendapat keredhaan-NYA, bahkan sudah pasti kita akan berjaya di dunia dan akhirat.”

Kak Rose terus bangun menuju ke arah almari pakaian di hadapan katilku. Aku memerhatikan Kak Rose membuka pintu almari tersebut dan mencari-cari sesuatu. Matanya tertumpu pada sebuah buku kecil berwarna merah jambu lantas diambilnya.

“Lapang nanti, Asha bacalah buku nota ini. Hadiah daripada Akak buat adik Akak yang comel ini,” katanya lagi lalu mencium pipiku. Untaian kata yang tertulis pada muka belakang buku tulisan Syeikh Ali Thantawi aku amati dalam-dalam...

Ya! Bak kata ulama tersohor itu, sememangnya seorang gadis mendambakan seorang lelaki yang bisa membimbingnya. Bukan itu sahaja bahkan dia juga bercita-cita menjadi isteri solehah yang taat kepada suami serta ibu mithali buat putera-puteri yang dilahirkannya...

~bersambung~

0 Responses