Qiammullai


“Jika engkau ingin merasakan betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau haruslah garang terhadap dirimu. Bilamana engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila berpisah dengan-Nya.” Muhammad bin Abdullah as-Syibli.

Benar. Andai kita mahu merasakan betapa manisnya berhubung dan berinteraksi dengan Tuhan, kita perlu garang terhadap diri kita.

Garang dalam melakukan ketaatan meski nafsu mengkehendaki maksiat di sisi Allah.
Garang dalam meninggalkan kemungkaran yang memberi titik hitam di dalam hati kita.

Segalanya semata-mata untuk mengecapi kemanisan berhubung dengan Tuhan.

Apabila rasa itu telah hadir lantaran keakraban dengan-Nya, pastinya kita kan merasa tenang. Hati ini akan menjadi lapang dan berbunga-bunga. Mana mungkin masih gelisah kerana diri telah meyakini pengawasan Allah dan keprihatinan-Nya.

Akan tetapi, tanpa sedar kita terleka sehingga menyebabkan diri semakin jauh daripada-Nya. Kesannya, hati merasa pahit dan pedih.

Perpisahan secara halus dengan Dia yang telah mengurniakan rasa kasih dan cinta.
Kejauhan dengan Pencipta menyebabkan kita teralpa…

Seterusnya, kemaksiatan bermaharajalela di dalam jiwa. Akibatnya, hati yang selama ini putih suci mula dipenuhi bintik-bintik hitam. Akhirnya, kemanisan yang pernah dirasai mula hilang dari dalam jiwa…

Nafsu manusia sering kali mahu melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Andai orang lain ber ‘couple’, dia juga mahu rasa dipunyai dan dimiliki. Ekoran desakan nafsu yang tidak ditempis dengan kekuatan iman, sering kali manusia itu tersungkur dan terlena.

Andai dia tersungkur tetapi mahu bangun kembali, jadilah ia sebagai orang yang beruntung. Akan tetapi, andai dia terus terbaring dan tidak mahu bangkit lagi, sesungguhnya keampunan Allah itu amat luas buat hamba-hamba-Nya.

Khuatir andai kita tergolong dalam golongan yang jatuh dan tidak mampu bangkit.
Takut sekiranya tidak punya kekuatan. Kekuatan untuk melawan desakan nafsu yang menghancurkan…

Bagaimana ingin membina kekuatan? Sering kali kegagalan mendapatkan kekuatan diri menyebabkan seseorang itu tersungkur dari jalan-Nya. Lalu, ia menyalahkan faktor luaran yang tidak membantunya dalam mendapatkan kekuatan. Ia lupa terhadap faktor dalaman yang sebenarnya lebih memainkan peranan dalam kehidupannya.

Banyak cara yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kekuatan yang datang daripada Allah perlu dicari daripada-Nya. Dialah Pemilik segala kekuatan.

Jika Dia mahu memberikan kita… hamba-Nya, tiada yang mustahil bagi-Nya kerana Dia adalah Penguasa alam yang mengatur kehidupan di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286, “Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

Kembali kepada sirah perjuangan Nabi, bagaimana Nabi dan para sahabat memperoleh kekuatan daripada Allah?

Tatkala berhadapan dengan musuh yang berkali-kali ganda bilangannya berbanding barisan tentera Islam dalam peperangan Badar, Allah memberi kekuatan dan kemenangan kepada mereka melalui firmanNya, “Ingatlah ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu pemberian aman daripada Allah bagi menghapuskan kecemasan kamu. Dan ingatlah ketika Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit bagi menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan dan juga bagi menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian kamu di medan perjuangan.” Al-Anfal ayat 11.

Pertolongan itu hanyalah daripada Allah. Maka, andai kita mahu mencari kekuatan daripada-Nya, perlulah bagi kita untuk bermunajat kepada-Nya serta sentiasa berharap terhadap nusrah-Nya sepertimana para pejuang terdahulu.

Mereka memiliki hubungannya mantap dan erat dengan Pencipta. Mereka tidak ragu-ragu dengan janji-Nya. Hubungan yang akrab dengan Ilahi itulah yang menyebabkan mereka dekat dalam interaksi bersama Tuhan.

Mereka merasakan bahawa pertolongan Allah itu dekat dengan mereka. Syaratnya, mereka juga perlulah dekat dengan Allah.

Kita pula bagaimana? Banyak cara untuk mendekatkan diri kepada ar-Rahman. Antaranya ialah melalui qiammullai!!!

QIAMMULLAI!!! Bangun malam dengan beribadah kepada Allah demi mengharapkan redha dan keampunan-Nya. Melaksanakan solat tahajjud contohnya dapat membersihkan hati dan jiwa daripada pelbagai kekotoran. Kesannya, apabila jiwa bersih, hati kan menjadi tenang.

Cahaya mudah masuk dan perjalanan dakwah kan menjadi lebih cekap. Pemikiran menjadi bersih daripada anasir-anasir yang merosakkan. Tiada lagi bintik-bintik hitam yang memberi kelompangan dalam jiwa seorang pendakwah.

Meskipun qiammullai ini bukanlah satu ibadah wajib, terkandung di dalamnya nilai yang begitu tinggi harganya. Ia menjadi amalan para sahabat dan Rasulullah dalam pembinaan dan pembentukan diri. Sabda Nabi SAW, “Seutama-utama solat sunat sesudah solat wajib ialah solat malam,” HR Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.

Bagi seorang pendakwah, istiqomah dalam qiammullai itu penting kerana melaluinya, interaksi kita dengan Allah kan lebih padu. Firman Allah, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) di malam hari kecuali sedikit daripadanya iaitu seperduanya atau kurangilah daripada seperdua sedikit atau lebih daripada seperdua itu,” al-Muzammil ayat 1-3.

Ayat ini telah diturunkan pada awal kemunculan Islam iaitu surah ketiga sesudah surah al-Alaq dan al-Mudatsir. Dengan turunnya ayat itu, solat malam hukumnya wajib bagi kaum Muslimin pada saat itu. Mengapa?

Seperti yang telah kita sedia maklum, pada peringkat awal, kaum Muslimin jumlahnya sedikit jika hendak dibandingkan dengan orang-orang musyrik Quraisy. Maka, persiapan mental dan peribadi yang mantap itu penting dalam cabaran menghadapi risiko dakwah.

Firman Allah dalam surah al-Muzammil ayat 5, “Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat,” menunjukkan tugas-tugas berat yang harus dihadapi dengan persiapan yang matang. Dakwah bukanlah satu kerja mudah meskipun kita hanya menyeru manusia kepada Allah.

Seperti kata Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu Muhammad bin Abdullah dipukul oleh para pembesar Mekah sewaktu bertawaf di Kaabah, “Adakah kamu hendak membunuh orang hanya kerana dia menyebut Tuhannya, Allah? Hanya kerana ini kamu ingin membunuhnya?”

Justeru, kita yang mengakui membawa sunnah perjuangan Rasulullah perlu turut mengikut rentak perjuangan tersebut. Andai Nabi dan para sahabat mencapai kemenangan dengan taqarub billah dan strategi yang tersusun, kita juga perlu begitu.

Bukan sekadar strategi yang kadang-kadang terpesong daripada garisan yang sepatutnya. Firman Allah, “Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk kusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari kamu mempunyai urusan yang panjang (banyak),” al-Muzammil ayat 6-7.

Apakah keutamaan qiammullai? Banyak ayat di dalam al-Quran yang menceritakan tentang insan-insan pilihan yang bangun beribadah pada tengah malam. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 79, “Dan pada sebahagian malam, solat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Semoga Rabb-mu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”

Jelas menunjukkan bahawa seruan solat malam itu amat dititikberatkan kepada umat Islam. Ia sukar dilakukan kecuali bagi mereka yang tinggi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Beruntunglah kita andai telah menjadi pilihan-Nya.

Selain itu, Allah turut menjelaskan bahawa orang yang konsisten dalam qiammullai merupakan orang-orang yang berbuat baik serta layak memperoleh kebaikan dan rahmat daripada Allah melalui firman-Nya, “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di taman-taman (syurga) dan mata air. Mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)”, al-Dzariyat ayat 15-18.

Ia sanggup mengorbankan waktu lenanya untuk bermunajat kepada Allah sebagai tanda syukur di atas segala kurniaan-Nya. Ia ikhlas dalam mengejar redha Ilahi. Insya-Allah, janji Allah itu benar seperti mana firmanNya, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.” Al-Baqarah ayat 186.

Di samping itu, qiammullai akan menjadikan seseorang lebih sabar dan semakin mantap imannya. Hal ini disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Insan ayat 24 – 26 yang bermaksud, “ Maka bersabarlah kamu untuk melaksanakan ketetapan Rab-mu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan kafir di antara mereka. Dan sebutlah nama Rab-mu pada waktu pagi dan petang. Dan pada sebahagian malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.”

Maka renungkanlah wahai teman. Tidakkah kita mahu mengejar keutaamaan yang telah Allah yakinkan ini? Ingat! Kita bukan hidup keseorangan.

Kita punya Allah yang tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat dan sedetik. Andai kita pernah istiqomah dalam jihad bangun malam ini, jangan biar ia luput dan terkubur dek kelalaian dan kealpaan kita.

Rugilah kita kerana ia adalah kekuatan dalam berhubung dengan Tuhan. Nabi SAW pernah berpesan kepada Abdullah bin Umar R.A., “ Wahai Abdullah, janganlah kamu meniru polan. Ia dahulu bangun malam, kini dia meninggalkannya.” Muttafaq ‘alaih.

Maka, segerakanlah dirimu untuk bangun bermunajat kepada Allah. Masih sukar? Mintalah dengan Tuhan agar dipermudahkan. Pasti Dia akan memberi jalan. Mintalah dengan-Nya agar diberi kekuatan…

Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk berusaha dalam memulakan ibadah itu. Ayuh kita kongsi bersama beberapa petua yang boleh membantu kita untuk bangun pada malam hari.

Antaranya ialah dengan tidak berlebihan dalam makan dan minum. Para ulama berpesan, “Janganlah kamu banyak makan kerana akan diikuti dengan minum yang banyak. Keduanya itu akan membuatkan kamu banyak tidur.”

Kedua, janganlah kita bekerja melampaui batas kerana hal ini akan melemahkan fizik dan batin kita.

Selain itu, amalkanlah tidur qailulah yakni tidur setengah jam sebelum waktu Zohor dan yang paling utama, elakkan melakukan dosa pada siang hari (dosa yang dicari). Apabila dosa bergelumang, hati kan menjadi keras. Hati yang keras inilah yang menyebabkan terhalangnya kita daripada rahmat Allah.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka nafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka,” as-Sajdah ayat 16.

Muthiah : Muthiah lupa tajuk buku apa yang Muthiah rujuk. Akan tetapi, seingat Muthiah… buku itu berwarna hijau dan terbitan Pustaka Indonesia.
Labels: | edit post
0 Responses