Ikhlas ... lagi
Wednesday, September 23, 2009
Salam semua? Apa macam? Sudah mula puasa enam? Hehe… marilah… kita... boleh jadi bukanlah yang terbaik tetapi yakinlah… bilamana kita telah berusaha untuk menjadi yang paling baik… kita sebenarnya… sudah menang dan menjadi juara (TERBAIK DARIPADA YANG PALING BAIK). Dush dush dush…
Kalau hari itu, Muthiah berbicara tentang buah keikhlasan… hari ini, Muthiah ingin menulis tentang ikhlas lagi. Ikhlas ikhlas ikhlas… tidak ada perkara lainkah??? Hmmm… bukan apa… setiap amal/ perbuatan yang kita lakukan… perlu ikhlas kerana Allah. Bilamana tidak ikhlas, khuatir kan menjadi sia-sia.
Jom….
Ahli fuqahak ada menyebut, “Apabila nasihat itu keluar dari hati yang ikhlas, maka apabila ia didengari akan masuk ke dalam hati. Sebaliknya, apabila ia hanya keluar dari lidah, maka ia tidak masuk ke dalam telinga.”
Bagi seorang dai’e yang sentiasa menyeru manusia kepada kebaikan, perlu bagi kita untuk selalu menghisab diri. Ikhlaskah kita dalam amar maaruf wa nahi mungkar? Kepada siapa kita lakukan dakwah itu? Adakah kerana Allah semata-mata atau punya agenda yang tersendiri?
Nabi pernah bersabda, “Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya. Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ingin dinikahinya, maka ia akan memperoleh apa yang ia tuju.” H.R Bukhari dan Muslim.
Kita khuatir, disebabkan ketidaktelusan kita dalam ibadah, setiap amal dan perbuatan menjadi sia-sia. Kita mahu Allah memilih kita dalam saff perjuangan tetapi ekoran busuknya hati, kita tergelincir daripada jalan itu.
Ikhlas… Hukama ada menyebut, “Dalam kehidupan ini, akan selalu kita temui susah dan senang bersilih ganti. Apabila terlepas daripada kesusahan yang satu, datang pula kesulitan lain. Kesenangan itu terletak antara dua kesusahan dan kesusahan itu terletak antara dua kesenangan. Ada kenikmatan yang dibungkus dengan kesusahan dan ada pula kesengsaraan yang dibungkus dengan kesenangan. Di samping kesulitan itu ada kelapangan. Yang buruk itu ada faedahnya dan yang baik itu ada juga buruknya. Hanya orang yang bersifat ikhlaslah yang selalu memetik hasilnya.”
Dapatlah kita lihat bahawa ikhlas adalah kunci kebahagiaan. Hanya orang yang ikhlas akan merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhannya. Ia tidak takut dengan ancaman persekitaran kerana dia tahu sesungguhnya Allah sentiasa bersamanya.
Perjuangannya mara ke hadapan. Hidupnya, matinya hanyalah kerana Allah yang Satu. Ia tidak gentar kerana dia tahu apa yang ia lakukan. Bukan redha manusia yang ia cari tetapi kecintaan dan kasih sayang Allah yang dicita-cita.
Pahit getir di dalam perjuangan dijadikan motivasi untuk terus mara ke hadapan. Dia yakin dengan janji Allah yang pastinya tidak palsu. Bukan sepertimana janji manis para calon pilihan raya. Janjinya banyak. Tidak semua dikotakan bahkan untuk menepati janji yang satu juga susah.
Bagi hamba yang ikhlas, pastinya ia akan berjuang habis-habisan untuk menegakkan kalimah tauhid. Ia tahu, sebagai khalifah di atas muka bumi … ia berperanan untuk memakmurkan alam (mengikut aturan yang telah digariskan oleh Allah yang mencipta). Dia tidak ragu-ragu kerana hidupnya dengan kemenangan dan matinya dengan syahid fi sabilillah.
Impiannya hanya satu yakni mengejar mardhatillah. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahu pun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung.”
Bagaimana mahu ikhlas? Ingatlah, andai kita tidak ikhlas dalam amalan dan perbuatan kita, ia kan menjadi sia-sia. Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya, Rasulullah. Ada seseorang bersedekah dan ia suka dipuji dan diberi pahala kepadanya.” Nabi tidak berkata apa-apa sehingga turun ayat, “Maka, barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah mengerjakan amal soleh dan janganlah sekutu seorang pun dalam beribadah kepada Tuhan.” Al-Kahfi ayat 110.
Daripada kisah ini, dapat kita lihat bahawa nilai keikhlasan itu amat tinggi di sisi Allah. Maka, berhati-hatilah dan sentiasa berwaspada dalam menjaga nawaitu kita. Lebih-lebih lagi bagi seorang dai’e. Dai’e itu mengorbankan seluruh harta dan jiwanya ke jalan Allah. Andai pengorbanan itu dicemari dengan ketidakikhlasan kepada Allah, dikhuatiri perjuangan itu kan menjadi sia-sia.
Ahli hukama ada menyebut, “Dengan perjuangan yang tidak mengenal susah dan payah, tidak mengenal sakit dan senang, dapat memuliakan diri seseorang. Gagal dalam kemuliaan lebih baik daripada menang dalam kehinaan. Hidup ertinya berjuang, kalau tidak berjuang bererti bukan hidup. Dunia ini adalah medan pengujian, manakah manusia yang sejati dan manakah manusia yang palsu. Hanya orang yang tabah dan ikhlas yang akan mendapat kemenangan.”
Daripada ungkapan ini, dapat kita perhatikan bahawa ikhlas itu tidak mudah melainkan bagi mereka yang sabar dan taat. Yakni mereka yang sabar dalam menempuh kesusahan dan keperitan.
Mereka sentiasa konsisten dalam niat untuk menuju kepada Allah dan Rasul-Nya. Dengan kata lain, keikhlasan seperti inilah yang mampu menghilangkan kejahilan dalam diri sehingga kita tidak mendahulukan kepentingan diri berbanding persoalan umum serta tidak menolak bahaya kecil dengan bahaya yang lebih besar. Kita tidak ragu-ragu dan kita meyakini janji Allah terhadap hamba-hamba-Nya.
Yang penting, perjuangan perlu diteruskan. Yakin dan pasti bahawa Allah sama sekali tidak akan membiarkan kita dalam perjuangan itu kerana Dialah Pemberi kekuatan dan kemenangan. Ya!! Kemenangan itu adalah milik Allah. Yang penting, ketelusan kita dalam memperjuangkan agama-Nya.
Pabila ia menang, sememangnya pasti kerana itu adalah janji-Nya. Akan tetapi, sekiranya diuji dengan kekalahan yang tidak diduga, bukan bererti Allah tidak mahu memenangkan agama-Nya tetapi Dia lebih tahu apa-apa yang tidak kita ketahui.
Firman Allah, “… Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak tahu.” Al-Baqarah ayat 216.
Jadi, bersediakah diri kita mengislah diri ke arah yang lebih baik dengan keikhlasan dan ketulusan dalam pengabdian? Imam al-Ghazali menulis, “Ketahuilah olehmu bahawa setiap sesuatu tergambar adanya bercampur dengan yang lain. Maka, apabila ia suci dari campuran dan bersih daripadanya, yang demikian itulah yang dinamakan ikhlas.”
Maka, perbersihkanlah segala apa yang kita lakukan. Usah kita campuri dengan sesuatu yang bukan pada tempatnya. Ingatlah… Allah adalah tempat pengharapan yang utama. Jadikan setiap amal perbuatan kita sebagai satu ibadah… dengan kata lain, lakukan mengikut syariat yang telah ditetapkan serta ikhlas semata-mata Allah yang Maha Esa.
Muthiah : Acap kali berasa sukar untuk ikhlas….