Stres! Banyaknya minah tu pos...

Assalammualaikum ^_______^

Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Cuma, ada sesuatu yang acap kali bermain di fikiran. Bukan baru... sudah lama. Sesuatu yang mungkin kurang menyenangkan hati sendiri, kadang-kadang membuatkan jiwa tidak keruan. Rasa rawan pun ada. Namun apabila difikirkan kembali.ALLAH ada... kita tidak sendiri. Lagipun, Muthiah beruntung kerana hidup bersama dengan seorang hamba ALLAH yang sangat baik dan menyayangi. Moga kasih itu sampai ke syurga, insya-ALLAH... Amin.

Jom istighfar... kerana rasa itu boleh jadi disebabkan oleh kejauhan diri daripada TUHAN.

Okey... berbalik kepada entri utama hari ini. Soalan lagi :

1) Ada Facebook? _____
2) Berapa akuan Facebook yang dimiliki? __________
3) Jika lebih daripada 2, apakah sebabnya? _________ (Mahu pantau sesiapakah? Hikhik ^^ )

Baru-baru ini, Muthiah terbaca luahan hati seorang sahabat maya di Facebook.Hatinya sakit melihat News Feed, Polan bin Polan yang memenuhi ruang News Feed-nya. Hanya nama serta pos daripadanya sahaja.

Apa itu News Feed?

Foto di atas tidak ada kaitan dengan isu yang Muthiah tulis. Sekadar gambar ^^

Kita akan berjumpa dengan News Feed apabila berada pada lokasi Home. Di sana, kita akan dapat melihat entri terkini (jika kita mengsetkan Recent stories first).

Muthiah? Jika berhadapan dengan hal sebegini... Biasa-biasa sahaja melainkan News Feed yang banyak itu adalah sesuatu yang tidak menyenangkan hati. Gambar tidak senonoh contohnya(jika yang dipos itu menjurus kepada kemaksiatan... tepuk dada, tanya iman. Apakah tindakan kita).

Berbalik kepada kes di atas... bila terlalu banyak... nama yang sama... orang yang pos tak cun macam Lisa Surihani <- Sesungguhnya yang paling mulia di sisi ALLAH ialah yang paling takwa.

Apa macam? _____________

Pernah berhadapan dengan situasi begitu? _______

Apakah yang kita lakukan?

a) Unfriend orang itu (lagipun, kita bukannya kenal dia).
b) Block terus orang itu.
c) Serang dia di wall dia agar dia sedar.
d) Mengutuk dia di wall kita agar semua orang tahu. Jangan lupa tulis nama penuh. Kalau tak, orang tak tahu :)
e) Inactive Facebook kita. Hmm... marah benar ni ^^

Apapun keputusan kita dalam hal ini, adalah HAK kita. Namun jangan dilupa, Polan bin Polan yang kita meluat itu pun ada HAK atas apa yang dia mahu lakukan.

Sekali lagi Muthiah bangkitkan... meskipun kita punya HAK sendiri dalam apa sahaja yang kita nak buat... jangan dilupa untuk -> TEPUK DADA TANYA IMAN.

Hmm... apa Muthiah melalut ni? Selain cara di atas, ada satu cara yang boleh kita gunakan iaitu..

Jeng jeng jeng...

Inilah yang ingin Muthiah kongsikan sebenarnya. Lain-lain (di atas). Merapu sahaja. Cuba mempertajam penggunaan bahasa.


Foto di atas juga adalah sekadar contoh ^^

1- Jika kita mahu melihat perkembangan tentang Polan bin Polan, klik Highlight this story.

2- Jika kita tak suka dengan cerita/ gambar yang dipos (naik pula pada News Feed kita), klik Hide this story.

3- Jika pos/ gambar adalah sesuatu yang tidak elok (lucah contohnya), klik Report story or spam.

4- Jika macam kes di atas, pos Polan bin Polan ni banyak sangat. Serabut kita dibuatnya. Sakit jiwa, huh!, klik Hide all by Polan bin Polan.

Jadi... pilihlah. Kita punyak HAK untuk membuat pilihan. Sama ada mahu memilih alternatif a sampai e atau cara terakhir yang Muthiah kongsikan.

Muthiah : Katakan TAK pada _____________!

Daging masak kicap

Assalammualaikum. Apa khabar? Jom senyum, tak payah cakap apa-apa ^____^

Hmm... jom masak tetapi sebelum itu, ayuh kita jawab soalan :

1) Apa khabar? __________
2) Sihat? __________
3) Perasaan hari ini? _____________
4) Ada meluat/ sakit hati/ sedih/ kecewa pada seseorang? ________
5) Kenapa? _________
6) Ada rasa cemburu pada seseorang? _________
7) Kenapa? (Lagi) ___________

Ayuh, kita sama-sama beristighfar agar hati tidak dilingkari bintik-bintik hitam. Sakitnya... bukan orang lain tetapi diri kita sendiri.

Daging masak kicap


Bahan-bahan

1- Daging yang siap dipotong
2- Bawang putih, bawang merah, halia, cili api - ditumbuk (jangan lumat sangat)
3- Bawang kuning dimayang
4- Cili merah dihiris menyerong
5- Kicap manis kipas udang
6- Sedikit garam (Muthiah jarang letak garam dalam masakan bila sudah bubuh sos dan kicap)

Cara membuatnya

1- Letak daging yang siap dipotong atas dapur bersama air. Tunggu air kering (bagi melembutkan daging). Ada yang letak bawang (dll) ditumbuk terus dan ada letak bawang bila letak minyak <- Dua-dua Muthiah dah buat.

2- Masukkan minyak. Bagi yang belum letak bawang ditumbuk, tumislah bawang (dll) sampai naik bau.

3- Kemudian, masukkan kicap, bawang kuning serta cili merah. Bagi yang mahu letak garam, silakanlah ^_____^

SIAP :)

Muthiah : Daging goreng kicap ialah detik awal Muthiah makan daging!
Labels: 0 comments | | edit post

Ikan Oscar

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik sahaja.

Salam Maal Hijrah, ya.

Moga hidup dan diri kita bertambah baik hendaknya, insya-ALLAH.

Baik dari sisi ibadah.
Baik dalam hidup berumah tangga.
Baik dalam perhubungan kekeluargaan.
Baik dalam ikatan ukhwah.
Baik dalam kerjaya serta kewangan.
Baik di dunia dan akhirat, insya-ALLAH.

Okey. Hari ini, Muthiah nak kongsi sesuatu. Apa dia? Ikan Oscar yang Muthiah baru beli malam tadi di Jusco, Ipoh. Hehehe. Ikan yang kelihatan nombor 8 pada ekornya.

Nampak? Kalau tak nampak, cuba tengok lagi sampai nampak.

Baiklah. Muthiah hendak ke pasar dulu. Selamat berfikir (bagi yang tak tahu nak buat apa)... berfikir lagi (merenung kondisi hati bagi yang berkarat)... berfikir dan lagi (muhasabah diri).

Muthiah : Moga ALLAH makbul doa... Apa doanya? ^______^

Mencari Naurah (Bab 23)

~~ Di kesempatan ini, Muthiah ingin mengucapkan SELAMAT HARI LAHIR kepada papa Muthiah. Muthiah doakan, papa panjang umur, murah rezeki dan diberkati ALLAH selalu. Moga papa, arwah mama, adik-adik dan famili di Pasir Mas kan beroleh kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sayang papa ~~


AKU memuhasabah diriku sendiri. ‘Kami tidak membebani seseorang melainkan menurut kesanggupannya...’ Dalil dari surah al-Baqarah ayat 286 itu aku renung dan hayati. ‘ALLAH ada... ALLAH dekat... ALLAH tahu... ALLAH faham...’

Dalam memuhasabah diri, wajah Asyraf tiba-tiba hadir tetapi mujur hatiku tidak berdegup kencang kali ini. Tidak seperti sebelumnya, jiwaku sering meronta-ronta tatkala teringatkan dirinya.

Ya! Janji ALLAH yang sentiasa benar. Aku memandang mak dan Adilla yang sedang nyenyak tidur. Aku tahu, mereka pasti keletihan. Maklumlah, sehari suntuk berkampung di balai polis.

Wajah mak kuamati dalam-dalam. Tetap tenang di sebalik kesedihan yang dihadapi. Aku beralih kepada Adilla. Hmm... ada titis-titis air pada kelopak matanya. Sekejap-sekejap ia menarik nafasnya kuat. Oh, rupa-rupanya adikku yang seorang ini tidak tidur. Aku tidak mahu mengganggu, biarlah dia menenangkan dirinya dahulu. ‘Ya, ALLAH. Tabahkanlah hati mak dan adikku,’ aku berdoa di dalam hati.

Aku teringat peristiwa petang tadi. Mak yang selama ini begitu tabah, seakan-akan sudah berputus asa. Dia nampak begitu lemah dan tidak seperti mak yang kukenal selama ini.

Mak yang aku kenal sentiasa berfikiran positif dan optimis. Dia yakin bahawa Nasrul akan berubah dan menjadi orang yang berguna pada suatu hari nanti. Akan tetapi, penangkapan Nasrul telah membongkar sesuatu yang disembunyikan mak.

Mak yang sentiasa tenang berhadapan dengan karenah Nasrul sebenarnya telah banyak memendam rasa. Hakikatnya, mak berdukacita dengan anak teruna yang tidak pernah mahu sedar. Mak mungkin kecewa dan risaukan masa depannya tetapi dia sendiri tidak pernah mahu khuatir, tidak sayangkan diri sendiri.

Kalau cintakan diri, masakan dia sanggup merempit. Bukankah tindakannya itu boleh mengundang malang? Silap hari bulan, boleh membawa kepada kecelakaan. Tidakkah dia terfikir akan segala kemungkinan yang boleh berlaku? Patah kaki, cacat, lumpuh atau... aku tidak mahu mendoakan kemudaratannya, namun dia sendiri sedang menuju ke arahnya. ‘Astaghfirullah...’

Tauhid uluhiyyah menyebut bahawa ALLAH itu ILAH, tempat mengabdikan diri dan tempat memohon pertolongan. Bukankah ALLAH ada? ALLAH itu dekat!!!

Kita sedih?

Kita kecewa?

Kita buntu?

Maka, kembalilah kepada-NYA dan mengharapkan pertolongan-NYA. Kita tidak seorang tetapi kita sebenarnya yang sering melarikan diri daripada ALLAH yang sentiasa hampir dengan kita.

Aku tahu... ALLAH sebagai Tuan Punya sudah sedia maklum terhadap sesuatu yang terbaik buat makhluk ciptaan-NYA. Dia sama sekali tidak akan melakukan perkara yang sia-sia. Firman ALLAH dalam surah ali-Imran ayat 191 yang bermaksud, ‘Tidaklah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia...’ Justeru, usahlah sekali-kali berputus asa tatkala ditimpa musibah mahupun ujian.

Benar! ALLAH sama sekali tidak akan melakukan perkara yang tidak mendatangkan manfaat buat hamba-hamba-NYA. Maka, sebagai makhluk ALLAH yang lemah lagi kerdil, kita perlulah sentiasa bersangka baik kepada-NYA.

Tidak dapat kusangkal lagi. Sebagai manusia yang lemah, kadang-kadang aku lupa kepada ketentuan qadak dan qadar. Aku mengeluh dan meratapi dugaan. Salahkah menangis tatkala diuji? Tidak salah, namun janganlah menangis dek menyesali ketetapan ALLAH, tetapi menangislah dalam mengharapkan bantuan-NYA. Bilamana terlupa, kembalilah kepada DIA yang tidak pernah lari jauh daripada diri kita.

Aku tahu...

Kadang-kadang aku terlupa apabila tidak diingatkan. Tanpa sedar, aku menafikan ketentuan ALLAH. Aku melatah dan terus melatah. Aku menangis tanpa henti serta mengikut kata hati. Iman dan takwa aku letak ke tepi. Aku lupa bahawa aku adalah seorang Muslim yang memiliki TUHAN sebagai PEMILIK dan PENCIPTA. Argh, sering kali aku menjadikan lupa sebagai alasan kealpaanku.

‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’

‘Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat...’ aku merintih sayu. Aku mendambakan kekuatan dan kekuatan itu tidak lain hanya daripada DIA yang memiliki segala-galanya.

~bersambung~

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

Mencari Naurah (Bab 22)

“SABAR, mak. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya. Manalah kita tahu Arul akan insaf. Semuanya di tangan TUHAN. Kuasa ALLAH, mak,” aku memujuk lembut.

Adilla sekadar memerhati dan lidahnya kelu. Tidak tahu apa yang harus dilakukan mungkin.

“Arul memang nakal tetapi dia tidak jahat.” Mak masih mahu mempertahankan anak terunanya. Air matanya tidak henti-henti mengalir. Meskipun sendunya tidak kedengaran, aku tahu mak sedang bersedih hati.

“Mak yang melahirkan, membesarkan...” Mak terdiam sebentar, tidak mampu untuk meneruskan kata-katanya. “Apa pun yang Arul buat, darah mak tetap mengalir dalam tubuh badannya...” dia diam lagi. “Mak sayang dia. Lebih daripada diri mak sendiri,” bicaranya terhenti.

Aku lihat, Adilla juga sudah mula mengalirkan air mata. Setitik demi setitik gugur ke bumi. Hatinya lembut walaupun kadang-kadang mulutnya tidak berhenti merungut dan membebel. Sikapnya, cara dia bertindak dan tingkah lakunya tidak ubah seperti arwah ayah. Ayah sudah lama meninggalkan kami tetapi terasa seperti baru semalam dia menasihatiku, “Asha mesti belajar sungguh-sungguh. Masuk universiti, boleh jadi contoh yang baik buat adik-adik.”

Aku tersenyum memandang Adilla. Ya! Aku sedaya-upaya mengukir senyuman yang paling manis buat adik bongsuku ini. Mana tahu, dia boleh tenang dengannya.

Aku mahu menangis sebenarnya tetapi khuatir tangisanku nanti membuatkan mak bertambah sebak dan berdukacita. Biarlah aku bertahan. Siapa sanggup melihat insan tersayang membazirkan air mata begitu sahaja? Ada! Nasrul adikku yang nombor dua. Dia tidak pernah mahu ambil tahu tentang orang lain. Entahlah...

“Mak yang peluk dia, cium dia, dukung dia...” Mak mengimbas memori lalu.

“Mak tahu ini ujian ALLAH tetapi mak sedih. Mak tidak boleh berpura-pura dan berlagak seperti tidak ada apa yang berlaku,” luah mak sambil memandang tepat mataku. Mungkin mengharapkan pengertian.

‘Aku mengerti, mak,’ bisik hatiku.

“Asha janji dengan mak. Kalau mak tidak ada nanti, Asha kena tengok-tengokkan Arul juga. Jangan ambil hati sangat dengan perangainya. Asha kena sayang dia macam Asha sayang mak...

Arul tetap adik Asha, abang Dilla,” tambahnya lagi lantas memandang Adilla.

Kali ini, tangisan Adilla yang semakin rancak sudah mula kedengaran. Seperti sedang berhadapan dengan satu musibah yang besar.

Aku berjalan ke arah Adilla lalu memeluk pinggangnya dari belakang. Moga-moga dia tenang tidak terlalu bersedih hati. “Tabah, sayang,” aku berbisik di telinganya perlahan.

Aku memandang ibu kembali, namun lidahku menjadi bisu untuk berkata-kata. Aku terdiam seribu bahasa, tidak mampu mengungkap sepatah kata. Aku memahami dan mengerti hati serta perasaan mak... mak yang melahirkan dan membesarkan, meskipun aku belum lagi bergelar seorang umi.

Namun, aku adalah seorang kakak. Dan seorang kakak itu laksana mak buat adik-adiknya. Benar! Mak yang melahirkan Hasrul... Efendy dan Adilla tetapi selaku insan yang tercipta sebagai seorang wanita, naluri keibuan itu tetap meresap dalam jiwa dan sanubariku. Aku tahu dan aku sedia maklum. Aku mengerti rasa hati mak meskipun tidak sepenuhnya dapat menyelami.

Tiba-tiba mak terbatuk kuat. Cepat-cepat aku berlari ke arah mak. Tanpa berlengah, aku menepuk-nepuk belakangnya perlahan. Risau betul aku melihat keadaan mak. Mak yang selama ini nampak kental dan tabah, kelihatan begitu lemah dan tidak bermaya. Wajahnya lesu, mukanya berkerut dan matanya sembap. Terlalu banyak berfikir agaknya.

Mak terbatuk lagi.

“Dilla, tolong Kak Sha ambilkan air suam untuk mak.” Aku sedikit panik.

“Baik,” balasnya pendek lalu berjalan laju ke dapur.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pinggan mangkuk terjatuh ke lantai. Mak yang tadinya kelihatan lemah bingkas bangun dan menuju ke dapur.

“Dilla!!!” Mak menjerit lantas berlari kencang ke arah Adilla yang tersungkur di hadapan meja makan.

“Sakit, sayang?” Kelam-kabut mak bertanya.

Adilla kemudiannya menangis teresak-esak. Dipeluknya mak erat-erat. Mungkin tertekan dengan apa yang berlaku. “Kenapa Abang Arul buat kita macam ini?” Dia merintih perlahan. Wajahnya kelihatan begitu beremosi. “Kenapa Abang Arul tidak fikir tentang orang lain?” Dia merungut lagi. Nada suaranya ditinggikan.

“Kecil-kecil tidak mahu mati. Besar-besar susahkan orang!” Ungkapan Director Ahmad Nisfu dalam Seniman Bujang Lapok terpacul dari mulutnya. Dia tidak henti-henti memarahi abangnya.

“Sabar, sayang...” Mak memujuk lembut. Aku mengusap rambut Adilla yang panjang mengurai. Lidahku kelu. Aku hanya mampu menjadi pemerhati. “Mak sayang Dilla.” Dia mencium pipi Adilla sepenuh hati.

“Kalau ayah ada...” Adilla terdiam. Tangisannya semakin kuat. Mak yang tadinya sudah berhenti menangis mengalirkan air matanya kembali. Aku? Aku tidak kuat untuk bertahan. Aku turut menangis bersama-sama mak dan Adilla.

‘Arul, Arul... sampai hati buat kami begini. Akak sayang Arul dan akan tetap menyayangi Arul,’ aku berkata di dalam hati. Tangisanku semakin kuat. Entah bila mahu berhenti.

~bersambung~

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

Khadijah... dan lagi... dan lagi. Khadijah tidak mahu!


Entahlah… Susah bagi Khadijah untuk meluahkan rasa hatinya kepada sesiapa. Sukar… payah... sulit. Orang tidak akan dapat memahami. Menyelami lagi-lagilah. Mereka mungkin akan menuduhnya mementingkan diri sendiri. Namun hakikatnya, hanya ALLAH yang tahu apa yang tersirat dan tersurat.

Apa yang pasti, Khadijah sangat menyanyangi abangnya. Kalau ada sepuluh wanita yang menyayangi Ibrahim, dia pasti yang kedua. Pertama adalah emaknya sendiri. Khadijah tidak dapat melangkauinya meski dia sudah sedaya upaya berusaha memecahkan rekod itu. Mana ada kasih yang lebih tinggi daripada kasihnya seorang emak? Jadi, tidak ada bantahan dan kompromi sama sekali.

m/s : 181 - 182

Musafir Perindu

Assalammualaikum. Bagaimana dengan hari-hari anda? Muthiah... Alhamdulillah. Moga sentiasa menjadi hamba ALLAH yang redha...

Moga ALLAH ampun dosa.
Moga ALLAH menunjuk jalan.
Moga ALLAH melapangkan dada.
Moga ALLAH menetapkan iman.

Baik... Jom kita baca novel terbaru NUR. Jika dilihat kepada promosi di page Alaf21, sudah berada di pasaran pada 15 November. Tahniah Muthiah ucapkan kepada penulis, Annur Iman. Hmm... masih belum bertaaruf. Moga dan diberi ruang untuk berkenalan, tidak di dalam nyata... di alam maya pun tidak apa. Tahniah sekali lagi Muthiah ucapkan.



Sinopsis

Danau tarbiah Nilam Puri menemukan Annur dengan Iman dan Amar. Iman, pesona hatinya bagaikan laut yang tenang di tengah malam. Amar pula sering mencipta amarah dan perbalahan dengan Annur. Padahal tanpa sedar nama Annur telah pun terukir di relung hatinya. Annur terkesan dengan keperibadian Iman. Keluhuran jiwa itu membuatkan dia merasa tidak layak lalu dia memendam perasaan sendiri. Namun, doa dan harapannya akhirnya menjadi nyata. Sebuah hubungan yang diikatkan dengan baitul muslim kerana cinta ALLAH dan perjuangan Islam.

Malangnya, kebahagiaan Annur hanya sementara. Takdir ALLAH tak siapa dapat menghalang. Iman koma dan mewasiatkan agar Annur mengahwini Amar. Annur bertegas tetap mahu setia dengan Iman. Andai jodoh mereka singkat di dunia, dia tetap setia menunggu Iman di Syurga. Adakah dengan doa, harapan dan tawakal dapat mengembalikan Iman ke dunia? Adakah ruang takdir untuk Amar menebus segala dosa silamnya pada Annur? ALLAH sahaja yang Maha Mengetahui. Walau bagaimana berat pun ujian yang datang, hidup perlu diteruskan. Mati itu pasti. Cinta ILAHI jejambat ke syurga hakiki.

Ayuh.. kumpulkan novel-novel NUR dan dapatkan novel terbaru ini di pasaran segera ;)

Sup ayam

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik cuma agak terkilan dengan satu perkara sahaja. Apakah dan siapakah yang telah membuat Muthiah terkilan itu? Ehe... Small matter, usah disimpan di dalam dada.

Okey. Jom kita buat sup mudah.


Bahan-bahan

4 ketul ayam yang sudah dipotong
2 ulas bawang putih dan halia dihiris
Sup bunjut
2 biji ubi kentang dibelah dua
Garam
Limau nipis

Sampingan - Bawang merah dihiris - kemudian goreng = bawang goreng (jika tidak mahu buat pun tidak apa), daun sup, daun bawang dan cili api.

Cara membuatnya

1- Rebus ayam sekali dengan bawang putih, halia, ubi kentang sampai mendidih. Kemudian, masukkan garam secukup masa.

2- Setelah siap, masukkan bahan-bahan sampingan (Betulkah penggunaan istilah ini? Semacam merapu saja. Apa-apalah). Perah limau nipis dan SIAP.

Mudah, bukan? Ada orang, suka letak cuka supaya bagi masam. Muthiah pula, suka letak limau nipis. Pun masam. Selamat mencuba ;)

Muthiah : Bilalah nak buat sup tulang ni? ;)
Labels: 0 comments | | edit post

152,182 anak luar nikah dalam 2 tahun

Assalammualaikum. Lama sudah tidak berkongsi info semasa. Sudah berlalu seminggu tetapi mungkin ada yang masih belum tahu. Ayuh, kita renungi bersama...

Anak ini tidak berdosa...

KUALA LUMPUR - Seramai 152,182 anak luar nikah direkodkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010.

Timbalan Menterinya, Heng Seai Kie berkata, daripada jumlah itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570).

Beliau berkata, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), telah menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan reproductive dan sosial.

Selanjutnya, silalah ke SH.

Kesimpulannya ...

  1. Berbaliklah kepada al-Quran dan as-Sunnah. Hidup pasti akan selamat.
  2. Kembalilah kepada tarbiah Islam. Insya-ALLAH, kita akan terdorong ke jalan yang benar.
  3. Ayuh kita sama-sama berdoa agar dipelihara diri kita, anak-anak kita, keluarga kita, saudara mara kita, sahabat handai kita, serta seiapa sahaja di sekeliling kita daripada sesuatu yang mendatangkan kemurkaan ALLAH.
  4. Sampaikanlah walau satu ayat ^___^
Muthiah : Ya, ALLAH. Ampuni aku atas dosa-dosaku...

Privasi di Facebook

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Sihat tetapi perencanaan hari ini tidak berjalan seperti yang dirancang. Penyakit buntu datang menerpa. Blank dan tidak tahu hendak buat apa. Cuba melakukan sesuatu yang bermanfaat untuk diri. Namun, kenapa begini? <- Tetap senyum kerana tahu inilah kehidupan insani.

  • Biasalah. Manusia ini kadang-kadang berada di atas... kadang-kadang, tersungkur ke bawah. Mohonlah petunjuk daripada ALLAH (2:186)
  • Sesungguhnya, kita merencana. ALLAH juga merencana dan DIA-lah sebaik-baik Perencana (2:216)
  • Kesimpulan -> Siapa kita tanpa DIA dan keizinan-NYA? Kita bukanlah siapa-siapa. Kita tidak hebat. Kita dan kita...

Mood menulis? Feel belum ada lagi. Kena banyak muhasabah diri. Diri yang tidak dapat fokus mungkin disebabkan oleh maksiat tersembunyi di dalam hati. Sahabat-sahabat, bagaimana?Ayuhlah sama-sama kita koreksi diri, moga menjadi hamba ALLAH yang terbaik di sisi-NYA. Baik pada kaca mata manusia tidak semestinya baik pada pandangan ALLAH. Betul? 'Tidak semestinya' di sini membawa maksud.. ada yang baik di sisi manusia sahaja dan ada juga yang baik di sisi ALLAH dan makhlukan-NYA.

Hmm... adakah mode merapu sedang menguasai Muthiah? Abaikan.

Muthiah terbaca mesej ini di Facebook ^______^

Jom fikir... jom renung ^_______^

Ahaks. Entri Muthiah hari ini sebenarnya tidak ada kaitan dengan pesanan Ustaz Azhar Idrus di atas namun... moga-moga kita semua dapat renungkan bersama.

-TAMAT-

Okey, jom kita memahirkan diri menggunakan Facebook. Chewah. Ala-ala guru IT pula. Bagaimana?

Persoalan :

  • Mahu meluah perasaan?
  • Mahu memaki hamun orang yang dibenci?
  • Mahu hilangkan stres?

TIDAK BOLEH TIDAK, mesti luah di Facebook. Sudah biasa. Lebih selesa... TIDAK BOLEH TIDAK! MESTI! WAJIB!

Jom Muthiah kongsikan sesuatu yang mungkin boleh dimanfaatkan.

Jeng jeng jeng <- Padahal, tidaklah saspens pun.

1) Poslah apa sahaja di wall ada (begitu juga dengan gambar). Sewajarnya, bahasa yang baik-baik (bagi gambar, biarlah sopan dan menutup aurat). Jika orang lain tidak nampak, mata dan minda tetap boleh melihat/ membacanya. Admin Facebook boleh tengok tak? Malaikat dan ALLAH pun tahu. Setiap kita akan dipertanggungjawabkan atas apa yang kita lakukan, bukan?

2) Kemudian, klik kanan pada pos yang kita buat tadi. Akan keluar seperti gambar di bawah.

  • Public - Semua orang boleh tengok (termasuk bukan rakan dari senarai rakan kita)
  • Friends - Semua rakan dalam senarai rakan kita.
  • Customs - Kita boleh pilih, siapa yang boleh tengok pos kita.
  • Yang di bawah itu adalah senarai yang telah kita asingkan - Sama ada Famili, rakan sekolah dan lain-lain.

3) Jika mahu bermadah kasih dengan sang suami, klik customs dan ...

Specific people or Lists ...

Akan keluar pula seperti gambar di atas. Jika mahu suami sahaja boleh baca pos kita, tulislah nama suami. Jika mahu tambah senarai rakan yang tahu luahan hati kita... tambahlah lagi. Tambah dan tambah sebanyak mana kita suka. Kalau mahu semua orang tahu, letak Public sahaja. Apapun... tepuk dada, tanya iman.

4) Akhirnya... siap.

Okey, cukup di sini. Masa untuk Muthiah sambung kerja lain. Lain kali, kita belajar ilmu lain pula. Ahaks <- Ikut gaya Kak Elee Mardiana, kakak kesayangan <3 Assalammualaikum.

Nota : Kadang-kadang, ada masalah teknikal juga. Kita sudah pilih siapa yang boleh melihat pos kita tetapi kenapa pula tetap dapat dilihat umum. Jadi kesimpulannya...

Sentiasa berwaspada dalam menulis/melampirkan sesuatu. Contoh... kita mahu memaparkan gambar yang membuka aurat. Hanya suami yang boleh tengok. Mana tahu... tiba-tiba, Facebook demam campak. Habis orang luar pun boleh nampak.

Hmm.. ayuh kita menggunakan bahasa yang baik-baik di dalam Facebook. Meskipun kita tidak menujukan kepada sesiapa, khuatir... sedikit sebanyak orang menggambarkan diri kita dari apa yang kita coretkan (walau kita menafikan sekeras-keranya).

^____^

Muthiah : Bersemangat keras!

Mencari Naurah (Bab 21)

KENAPA menangis?

Berkali-kali kubaca nama pengirim mesej ini. Benarkah aku kini berada di alam nyata? Atau sekadar bermimpi?

Ada masalah keluarga. Adik lelaki ditangkap polis kerana merempit. Ibu tidak cukup wang untuk ikat jamin. Dia sering kali mendatangkan masalah kepada mak.

SMS Asyraf aku balas.

Kalau begitu, boleh beransur awal. Saya akan uruskan segalanya di sini. Usah khuatir, saya akan rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan umum.

Jawabnya seolah-olah tahu isi hatiku.


Pukul 3.00 nanti jumpa saya. Selepas solat zohor, saya belikan tiket. Natasha nak pulang ke Kelantan, kan? Saya belikan tiket ke Kota Bharu, insya-ALLAH.

Aku membalas.

Terima kasih, Tuan Pengarah. Boleh belikan tiket ke Kota Bharu. Rasanya, ada stesen bas ekspres di Permaisuri.

Mana mungkin aku tidak jatuh cinta dengan lelaki ini! Bukan sahaja prihatin tetapi bijak bertindak. Astaghfirullah, astaghfirullah, astaghfirullah... Adakah kegelisahan ini disebabkan oleh hati yang terlalu kotor? Masalah yang bercampur aduk... antara masalah di kampung dengan permasalahan jiwa yang sebenarnya sudah lama terpendam? Sayangnya, ingin pula meluahkan laharnya saat ini.

‘Ya, ALLAH. Ampunilah dosa-dosaku...’

Aku segera membasuh muka. Cermin dalam tandas kuamati dalam-dalam. Gerun melihat wajah sendiri. Seperti wajah insan yang banyak berdosa. Dosa yang tidak dapat dilihat oleh mata. Mata itu sering kali tertipu dengan keindahan dan kecantikan yang tidak akan kekal lama.

‘Aku perlu mengambil wuduk,’ aku berbisik sendiri.

Perlahan-lahan aku membuka tudung serta anak tudung lalu menyangkutnya di tepi dinding. Cermin di hadapan kuamati lagi. Masih suram wajah itu. Betul kata Nadia... wajahku tiada seri.

Kemudian, pili air aku pulas perlahan-lahan. Aku perlu tenang... aku perlu rasional dan tidak beremosi. Aku perlu lupakan segalanya. Biar ALLAH sahaja yang berada di dalam hatiku. Bukankah dengan mengingati ALLAH itu hati akan tenteram?

‘Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH,’ aku merintih lagi dengan seribu satu pengharapan. Aku berharap agar ditenangkan hatiku yang sedang gundah. Malangnya, aku tidak dapat mencari kunci kegundahan ini.

‘Ya ALLAH. Ya ALLAH. Ya ALLAH,’ nama ILAHI kusebut lagi.

Selesai mengambil wuduk, aku menyarung kembali tudungku. Pasti Kak Rose sedang menanti. Cepat-cepat aku keluar dari tandas dan menuju ke tempat makan. Dari jauh, kulihat Kak Rose sedang berbual-bual dengan seorang mak cik yang sedang makan di dalam khemah yang sama.

“MAAF... Asha lewat,” ucapku perlahan.

“Tak apa. Makanlah,” balas Kak Rose pendek lantas menghulurkan sebungkus nasi kepadaku.

“Akak dah makan?” aku bertanya perlahan.

“Belum. Akak tunggu Asha.”

Tepat jangkaanku. “Lauk apa, kak?” Aku segera membuka bungkusan nasi tersebut.

“Akak ambil ayam masak merah untuk Asha. Asha tak makan daging, kan?” Jawab Kak Rose.

Aku mengambil makanan yang diberi. “Ya, Asha tak makan daging. Terima kasih, kak.”

“Sama-sama,” Kak Rose tersenyum manis.

Tanpa lengah, dia pun membuka bungkusan nasi yang diambilnya. Aku yakin Kak Rose tengah lapar. Aku mengerling makanan Kak Rose. ‘Kepak ayam...’ aku berkata sendiri apabila melihat sepotong kepak ayam di dalam bekas polistirena Kak Rose. ‘Oh, kegemaranku,’ bisikku lagi.

“Ambillah, akak ambil peha,” Kak Rose seolah-olah mendengar isi hatiku.

“Terima kasih, kak...” Aku diam sebentar. “Terima kasih banyak-banyak, kak,” aku mengucapkan terima kasih kepadanya sekali lagi.

Kak Rose tersenyum memandangku. Persis seorang ibu yang baru sahaja memenuhi kehendak anak kecilnya dan anak kecil itu adalah aku.

Setelah membaca doa makan, kami pun sama-sama menikmati makanan yang disediakan. Alhamdulillah, sedap sungguh.

“Asha menangis?” Kak Rose bertanya pula. Aku memandangnya sekilas sambil tersenyum.

“Akak, Asha kena balik awal. Ada urusan penting di kampung. Pengarah program sudah maklum tentang hal ini,” Aku berterus-terang. Tidak mahu dia berkecil hati sekiranya aku beransur pulang senyap-senyap.

“Baik. Sudah selesai semuanya, jangan lupa cerita pada akak,” ucapnya tidak mahu mendesak.

“Insya-ALLAH,” jawabku. Aku menyuap nasi perlahan-lahan. Aku lapar tetapi seleraku mati...

~bersambung~

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

Mencari Naurah (Bab 20)

“MAKANAN dah sampai. Jadi, semua dijemput makan. Jam 1.00 nanti kita berkumpul di dalam dewan semula. Semua fasilitator dikehendaki solat zohor berjemaah di surau Al-Azim,” ujar Asyraf.

“Jangan berebut-rebut ambil makanan walaupun saya tahu kita semua kelaparan,” Anuar mencelah.

“Meja A, makanan para fasilitator. Meja B untuk para peserta manakala meja C buat ibu bapa,” kata Ainien yang menjadi urus setia bahagian makanan.

Aku dan Kak Rose segera menuju ke khemah yang telah disediakan untuk mengambil makanan. ‘Ramainya!’ Bisik hatiku. “Kak Rose pergi dahulu, Asha hendak ke tandas sekejap.” Aku memberitahu Kak Rose.

“Baiklah,” katanya ringkas.

Kakiku bergerak perlahan-perlahan ke tandas. Kutundukkan kepala ke tanah. Entah kenapa hatiku berasa begitu sayu mengenangkan ibu di kampung? Entah kenapa juga aku begitu emosi hari ini.

Entah dan entahlah... ada sahaja yang tidak kena sehingga jiwaku begitu gelisah. Adakah aku terlalu jauh daripada TUHAN tetapi di manakah silapku? Atau... adakah aku tidak cukup ikhlas dalam tindakanku?

‘Ya, ALLAH. Ampunilah dosa-dosaku...’ aku merintih sendiri. Astaghfirullah... aku mahu menangis tetapi cuba kutahan. Aku tidak boleh terlalu melayan perasaan tetapi entah kenapa jiwaku meronta-ronta untuk melayaninya. Pasti ada yang tidak kena tetapi aku sendiri gusar di manakah khilafnya?

‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’ Akhirnya air mataku gugur jua ke bumi. Andai ditanya mengapa aku menangis, aku sendiri tidak pasti sebabnya? Adakah disebabkan Nasrul? Adakah aku menangis mengenangkan mak? Ya! Aku sedih tetapi entah kenapa aku tidak dapat memberikan jawapan yang pasti sebab tangisanku. Boleh jadi tangisan ini hadir dek binti-bintik hitam yang menyelubungi jiwaku. Hanya ALLAH yang tahu.

Tiba-tiba dalam tidak sedar aku terlanggar seseorang! Aku yang sedia tidak bermaya terus jatuh menyembah bumi. Air mata yang tadinya turun perlahan-lahan menjadi semakin laju. Aku kasihankan mak dan tiba-tiba kerinduan buat mak menyelubungi diriku. Benarkah sebab ini aku menangis?

Aku cuba bangkit. Aku tahu ada mata yang memerhati tetapi amat berat bagiku untuk mendongak. Aku terus tunduk menghadap tanah milik TUHAN.

‘Ya, ALLAH. Ya, ALLAH...’

“Natasha tak apa-apa?” Satu suara bertanya. Aku kaget. Aku kenal suara ini. Hatiku semakin gelisah.

Aku mendongakkan kepalaku. Ya! Dia sedang berada di hadapanku dan baru sebentar tadi aku melanggarnya. Oh, TUHAN. Malunya aku...

“Natasha okey?” Asyraf menyoal lagi.

“Eh, tidak ada apa-apa,” aku bingkas bangkit. Tenaga yang tadinya hilang muncul kembali. Aku bangun lalu berdiri di hadapannya.

‘Astaghfirullah.’ Aku beristighfar.

“Kenapa, Sha?” Kak Rose segera menghampiriku. Mungkin dia nampak peristiwa tadi. Peristiwa aku berlanggar dengan buah hatinya...

“Tidak ada apa-apa. Asha pening sedikit sahaja,” kataku memberi alasan. Tidak mahu memanjangkan cerita. Entah kenapa kali ini aku berasa tidak sudi untuk berkongsi rasa dengan sesiapa, termasuk Kak Rose sendiri.

“Kenapa mata merah? Asha sakit?” Anuar tiba-tiba menyampuk. Dia muncul tanpa dipinta dan secara mengejut.

Mataku yang sedia sepet menjadi bulat. Terkesima mungkin. “Tak ada apa-apa. Masuk habuk tadi.” Aku memberi alasan.

“Baiklah, jom makan dahulu. Akak sudah ambilkan makanan untuk Asha,” Kak Rose mengajakku lembut. Wajahnya kerisauan.

“Hmm... terima kasih, kak. Asha hendak ke tandas dahulu. Akak jangan risau. Sedikit sahaja. Tidak ada luka pun,” ujarku sambil tersenyum... mungkin senyum yang dibuat-buat.

“Kalau begitu, akak tunggu di khemah,” Kak Rose bersuara perlahan.

“Baiklah, insya-ALLAH. Asha menyusul nanti,” balasku tidak mahu mematikan harapannya.

Aku berjalan cepat-cepat ke tandas. Segan sebenarnya berlanggar dengan Asyraf. Adakah Asyraf melihat aku menangis?

~bersambung~

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

Khadijah tetap tidak mahu!!!


Bagi Khadijah, hidupnya sudah lengkap apabila berpeluang bersama insan-insan yang disayanginya. Dan insan itu adalah ibu, abang dan dirinya sendiri. Hanya mereka bertiga. Tidak ada empat… lima apatah lagi. Khadijah sudah cukup bahagia kini tetapi kehadiran Hajar seolah-olah telah merenggut kebahagiaan itu. Tahniah buat sang gadis kerana berjaya membuatkan air matanya mengalir.

m/s : 181

Jom borong buku lagi ^^

Assalammualaikum ^_____^

Masanya telah tiba! JOM KE FIESTA BUKU :




Tempat : Perkarangan Kompleks Kumpulan Media Karangkraf
Tarikh : 2 - 4 Disember 2011
Masa : 9.00 pagi - 6.00 petang

Dapatkan pelbagai judul buku serta novel dengan harga diskaun sehingga 70%

Ehe. Ayuh, dapatkan karya Muthiah di sana ->


Muthiah : Hmm...
Labels: 0 comments | | edit post

Hadis | Balasan mengkhianati ilmu

Assalammualaikum. Apa khabar? Hati-hatinya, bagaimana? Moga sihat-sihat sentiasa. Muthiah... Mulakan kerja dengan semangat waja (chaiyok)... sebagai motivasi untuk diri sendiri. Jika bukan kita yang memilih untuk BERSEMANGAT, siapa lagi? Hahaha <- Gelak sopan.


Daripada Abu Hurairah R.A., Nabi SAW bersabda yang bermaksud, "Sesiapa yang sengaja membuat pendustaan ke atasku, maka sediakanlah tempatnya di dalam neraka." (H.R. Bukhari dan Muslim)

Penjelasan

1- Dusta ialah sesuatu yang bertentangan daripada hakikat/ perkara yang sebenar.

2- Dusta merupakan salah satu ciri orang Munafik. Nauzubillah.

Selamat beramal, diri... suami... keluarga... sahabat dan semua <3

Muthiah : ^___^

Singgang bendi

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Bagi yang sudah boleh mengundi, telahkah anda berdaftar dengan SPR? Jika sudah, Alhamdulillah. Tunaikanlah tanggungjawab anda sebagai warganegara Malaysia tercinta. Tepuk dada, tanya iman. Setiap apa yang kita lakukan... pasti, insya-ALLAH akan dipertanggungjawabkan oleh ALLAH, TUHAN sekalian alam <- Mode : Serius.

Jom. Perkongsian resipi untuk hari ini... pertama kali Muthiah belajar daripada ibu mertua. Hmm... bukan belajar pun. Tengok ma buat... kemudian, cubalah buat sendiri pula. Hasilnya -> MENJADI. Yes!


Bahan-bahan

Bendi - Mula-mula basuh tanpa potong terlebih dahulu. Kemudian, potong serong waktu mahu masukkan ke dalam periuk.
3 biji bawang putih - dihiris
Sedikit lengkuas
Garam
Asam keping - Muthiah lupa, ma letak atau tidak tetapi Muthiah letak juga ;)

Cara membuatnya

1- Masukkan air, sekali dengan bawang putih, lengkuas yang siap dihiris.

2- Apabila mendidih, masukkan garam dan bendi. Potong bendi secara menyerong.

3- Akhir sekali, masukkan asam keping dan siap.

Sangat mudah dan sedap. Bagus untuk mengurangkan kolesterol. Kenapa? Sebab tidak guna minyak. Hmm...

Muthiah : Lamanya tidak buat rendang ayam.
Labels: 0 comments | | edit post

Komentar AMSH

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah. Ehe ^_____^ Senyum penuh makna. Bercuti lama, bermakna ....

1) Lama juga tidak menjengah manuskrip. Bukan apa, sukar dapat fokus apabila banyak orang di sekeliling.

2) Perlu kembalikan mood menulis. Caiyok!

3) Agak-agak, berat badan bertambah tak? Peringatan buat diri... jaga diri hiasi peribadi <- Apa Muthiah merapu ni.

Okey. Hari ini, terasa bagai hendak berkongsi komen pembaca untuk Novel Air Mata Siti Hajar. Alhamdulillah. Apapun jua komentarnya, insya-ALLAH Muthiah akan terus berusaha. Muthiah percaya... berkat usaha, doa, redha suami... kejayaan pasti akan menjadi milik Muthiah. Cepat lambat sahaja. Gambatte!

1- CikPuan Rynie Yahya

Alhamdulillah. Actually, Kak Rynie dah lama habis baca AMSH tetapi belum sempat nak review pada Liza. Compare to Mencari Naurah, AMSH is much better. Suka dengan watak Siti Hajar yang lembut dan tidak sesekali membuka aib suami kepada orang lain. Watak Ibrahim yang tidak tetap pendirian dan terlalu membabi buta pertahankan adiknya membuatkan kita geram dan benci. Overall, a good novel. Bangga tengok AMSH ada di kedai-kedai buku. Keep it up. Good luck untuk novel seterusnya. Semoga Liza terus berjaya.

Muthiah ~ Alhamdulillah. Terima kasih, Kak Rynie. Insya-ALLAH Liza akan berusaha untuk mempertingkatkan lagi karya yang dihasilkan <3

2- Puan Zaidatun Haneem

Salam. Pst... Thanks, ya. Saya dah baca novel AIR MATA SITI HAJAR. Memang menarik dan saya suka jalan cerita yang indah.

Muthiah ~ Terima kasih, Puan atas komentar positif ini.

3- Puan Rusni Abdullah

Assalamualaikum. Bagus cerita Air Mata Siti Hajar. Dah baca tetapi sedih dengan kualiti buku. Helaian mudah tercabut. Mula-mula, ingatkan anak koyak. Rupanya terlepas dari benang bindingnya tetapi tak apalah. Apapun, semoga banyak keluarkan novel Islamik. Sekarang ni, orang suka genre kahwin paksa rela.

Antara AMSH dengan Mencari Naurah...

Saya suka AMSH. Masing-masing ada kelebihan cuma kadang-kadang, rasa agak kaku sikit. Mungkin formal sikit. Mungkin terikat dengan DBP kot bahasanya. Kalau kaki novel punya gaya bahasa, agak santai kot. Hehehe..

Muthiah ~ Terima kasih, Rusni atas komentarnya. Ya. Muthiah memang menggunakan BMT dalam setiap karya Muthiah. Kalau boleh, Muthiah cuba guna perkataan penuh. Insya-ALLAH, untuk masa akan datang... Muthiah akan jadikan lebih santai tanpa mengenepikan BMT. ^_____^

Okey. Muthiah beransur dahulu. Terima kasih kepada rakan-rakan yang menyokong Muthiah dalam dunia penulisan ini. Insya-ALLAH. Moga-moga, kita semua terus melangkah ke hadapan (maju/ sukses) dalam apa jua yang kita rencanakan.

Mencari Naurah (Bab 19)

“ASHA, jom berkumpul di depan dewan. Ada sedikit taklimat daripada tuan pengarah,” ajak Anuar sambil tersenyum.

“Depan dewan?” aku sepertinya tidak tahu apa-apa dan sedang berada di dalam duniaku sendiri.

“Ya, cik adik. Jangan bimbang, lalang-lalang di luar sana sudah abang tebas sampai licin. Bolehlah kita buat majlis kita nanti,” Anuar cuba berjenaka tetapi sama sekali tidak menggelikan hatiku. Persoalannya ialah kenapa di hadapan dewan? Tidak di dalamnya. Bukankah panas di luar sana?

“Eh, silap... dalam dewan daa.” Anuar menepuk dahinya perlahan. Bukankah aku sudah kata, pasti ada yang tidak kena dengan informasinya.


Tanpa menanti respons daripadaku, cepat-cepat dia berjalan ke arah pentas, tempat Asyraf dan rakan-rakan yang lain berkumpul. Tanpa berganjak, aku memerhatikannya dari tempat aku berdiri.

Anuar kelihatan begitu bergaya. Dengan parang yang berkilat (seperti tidak pernah digunakan), Anuar begitu cocok dengan penampilan barunya. Belum pernah aku melihat Anuar berpakaian ala-ala pemuda dari desa. Entah kenapa tiba-tiba hatiku sedikit terusik dengan gelagatnya. Tidak seperti seorang presiden kolej kediaman... Kolej Kediaman Pertama pula itu. Bukan itu sahaja, di kampus Universiti Malaya lagi.

Apapun yang pasti, semangatnya yang begitu waja harus dipuji dan dicontohi. Aku tersenyum sendiri. “Hidup Anuar! Hidup Yang Berhormat! Hidup YB!” Aku berkata perlahan.

INGATANKU tiba-tiba kembali ke kampung halaman. Entah apa yang sedang berlaku, aku sendiri tidak dapat mengagaknya. Bagaimana dengan mak dan Adilla? Adakah segala-galanya sudah selesai?

Khuatir memikirkan mak, jemariku segera menekan punat telefon. Telefon bimbit Adilla kuhubungi...

“Assalammualaikum... Dilla, macam mana?” aku bertanya tanpa sempat Adilla menjawab salamku.

“Waalaikumussalam. Mak tengah baring-baring di ruang tamu. Runsing fikir tentang Abang Arul gamaknya. Abang Arul sekarang sedang berbulan madu di dalam lokap. Namun sayang, bulan madunya tanpa teman. Biar dia rasa, kak. Tadi muka Abang Arul nampak merah. Marahkan mak agaknya,” bersungguh-sungguh Adilla bercerita.

“Tidak sedar-sedar lagi? Dalam lokap pun ada hati hendak marah mak?” Aku berkata sendiri, perlahan... cukup perlahan.

“Tidak akan sedar, kak!” Balas Adilla pula. Suaranya juga seperti sedang marah.

Ops... rungutanku didengari. “Dilla cuti sampai bila?” soalku ingin mengawal keadaan.

“Ahad ini balik politek, insya-ALLAH,” jawabnya ringkas.

Tiba-tiba aku terdengar suara orang batuk. “Akak dengar bunyi orang batuk. Siapa?”

“Mak. Dari pagi tadi dia tidak berhenti batuk.” Adilla menerangkan secara ringkas.

“Baiklah. Adilla jaga mak. Apa-apa, jangan lupa hubungi akak. Kalau tidak ada kredit, hantar SMS. Nanti akak telefon Dilla balik.” Aku sedikit mengarah. Emosiku kurang stabil saat ini.

‘Astaghfirullah,’ aku terlalu mengikut perasaan. Aku cepat-cepat berjalan ke arah teman-temanku yang sedang bergelak tawa. Entah apa yang menggelikan hati mereka, aku sendiri tidak tahu.

“Kak Asha...”

Namaku tiba-tiba dipanggil seseorang. Aku menoleh perlahan dan seorang gadis kecil molek sedang berlari-lari anak mendapatkanku.

“Ya, sayang.” Aku berkata dengan lembut.

“Hmm...” Nadia diam seketika.

“Kenapa muka akak suram?”

Nah! Anak kecil pun dapat melihat perubahan riak wajahku.

“Tidak ada apa-apa, sayang. Letih agaknya.” Aku berhelah. Aku tidak berbohong kerana sememangnya aku keletihan.

“Nadia sayang akak,” katanya pula lantas mencium tanganku.

“Akak pun sayang Nadia.” Balasku. Hatiku tiba-tiba berasa pilu.

‘Akak sayang Nasrul...’

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

~bersambung~

Sumber gambar - http://www.deviantart.com/

Mencari Naurah (Bab 18)

Tidak tenang mengenangkan mak yang entah bagaimana keadaannya, aku segera menekan butang telefon menghubungi Adilla.

“Hello, siapa ni?” Garang benar suara adik bongsuku kali ini.

“Kak Sha sini. Dilla di mana sekarang?” aku bertanya lembut.

“Hmm...” Adilla terdiam sebentar. “Dilla ada di balai polis.” Teragak-agak dia berbicara.

“Buat apa di sana?” soalku lagi. Kali ini nada suaraku sedikit tinggi. Berdebar-debar memikirkan sebarang kemungkinan.

‘Ya, ALLAH...’ aku berbisik sendiri.

“Abang Arul masuk lokap, kak. Semalam kena tangkap kerana merempit. Mak sedang berbincang dengan pak cik polis untuk jamin abang.” Adilla menerangka

n seolah-olah berbisik. Tidak mahu didengari siapa-siapa agaknya.

Hmm... isu permasalahannya sudah jelas! Nasrul ditangkap polis kerana merempit! Tidak habis-habis dengan perangainya yang membebankan mak. Hatiku menggelegak, ‘Nasrul, Nasrul...’ Marah tetapi tetap kutahan perasaan itu.

“Belum selesai lagi urusannya?” aku meneruskan soal siasatku. Perasaan bersalah menyelubungi hatiku. Mak kini sedang sendiri menghadapi dugaan yang disebabkan oleh Nasrul.

“Mak tidak cukup duit, kak. Ini bukan kesalahan pertama Abang Arul tetapi sudah berpuluh-puluh kali. Kalau tidak ada orang dalam, gamaknya susah Abang Arul hendak lepas tetapi mak tetap pujuk pak cik polis misai kontot tu untuk kurangkan duit ikat jamin. Akak faham perangai mak, bukan?” Adilla diam sejenak. “Kalau tidak jamin lagi baik. Menyusahkan orang sahaja,” tambahnya lagi. Cukup perlahan... mungkin tidak mahu didengari sesiapa.

“Apa, Dilla?” aku bertanya untuk mendapatkan kepastian. Aku tahu Adilla sedang marah.

“Eh... Tak ada apa-apa, kak,” jawabnya pendek.

“Siapa lagi yang ada?” soalku tidak putus.

“Dilla dengan mak sahaja. Mak tak mahu heboh satu kampung. Malu,” suara Adilla sedikit mendatar.

“Nantilah. Akak minta balik awal. Insya-ALLAH, akak cuba dapatkan tiket balik kampung petang ini. Lagipun, dari Setiu ke Kota Bharu... paling lama pun tiga jam,” aku berkira-kira sendiri.

“Eh. Tak apa, kak. Lagipun, mak cakap tak mahu susahkan akak. Abang Arul memang selalu buat hal. Mak sudah biasa uruskan sendiri...” Adilla diam. “Kak, mak larang Dilla beritahu akak. Apa-apa hal Dilla hubungi akak balik. Nanti mak risau pula akak tahu,” katanya perlahan.

“Akak risau sebenarnya. Mak macam mana? Arul macam mana? Hisy... Nasrul, buat hati panas sahaja,” aku meluahkan apa yang terpendam.

“Akak...” kedengaran suara Adilla seakan-akan hendak memujuk. “Tolong, kak...”

Kali ini dia merayuku.

“Mak pesan jangan beritahu akak. Akak baliklah tetapi jangan beritahu mak. Akak balik sebab Abang Arul. Kononnya akak tidak tahu apa-apa. Biar mak yang cerita sendiri. Dilla tidak ada kaitan.” suara Adilla tersekat-sekat.

“Kalau begitu, baiklah. Akak cuba balik hari ini dan...” aku diam sejenak. “Adilla tidak ada apa-apa kaitan dengan pemberitahuan ini tetapi jangan lupa beritahu akak sebarang perkembangan,” suaraku sedikit tegas.

“Insya-ALLAH,” balas Adilla ringkas.

“Kak, mak dah datang. Nanti kita sambung lagi.” Segera Adilla menamatkan perbualan.

‘Nasrul, Nasrul...’ Entah berapa kali aku menyebut namanya. Entah bila dia mahu mengerti? Entah bila waktunya dia mahu memahami dan menyelami perasaan orang lain? Setidak-tidaknya, jangan sampai membebankan. ‘Nasrul, Nasrul...’ hatiku berkata lagi.

SEPULUH minit berlalu. Aku berjalan cepat-cepat ke dalam dewan. Nampaknya, semua orang sudah beristirehat. Aku mencari-cari kelibat seseorang. Ya! Dia ada di sana tetapi kakiku agak berat untuk melangkah...

‘Abang Asyraf, saya perlu balik kampung petang ini atas urusan penting...’

‘Abang Asyraf, ibu saya memerlukan saya waktu ini. Boleh saya pulang awal? Petang ini...’

‘Abang Asyraf, boleh minta jasa baik Abang Asyraf ...’

Argh! Sukarnya mahu menyusun kata.

Aku memejamkan mata lantas berkata, ‘Astaghfirullah...’

Nota : Mencari Naurah di buku boleh jadi ada sedikit perbezaan setelah diedit editor.

~ bersambung ~

Bila luka menyuburi hati...


... Begitu juga dengan Khadijah. Dia segera berlari masuk ke dalam bilik bujangnya. Dia menangis teresak-esak. Dia terasa seolah-olah bakal kehilangan abangnya. Dia tidak bersedia. Dia tidak sanggup. Khadijah tidak bersedia menerima kehadiran orang lain di sisi Ibrahim. Biarlah dia seorang. Biarlah hanya dia yang berada di dalam hati abangnya. Semakin lama, esakan Khadijah semakin kuat kedengaran. Entah bila mahu berhenti, tidak ada siapa yang mengetahuinya.

Ayuh dapatkan Air Mata Siti Hajar di pasaran sekarang ^^
m/s : 180

Nur Di Hatinya

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Baik-baik sahaja. Cuma... hati berasa tidak selesa. Kenapa? Entahlah.

Ada masalah? ~ Macam tidak.
Ada sakit hati pada sesiapa? ~ Insya-ALLAH, tidak.
Ada dengki pada siapa-siapa? ~ Tidak.

Hmm... mungkin hati sedang menjauh daripada DIA yang sewajarnya sentiasa didekati. Jika sahabat-sahabat berhadapan dengan keadaan ini, apa yang akan dilakukan?

Muthiah...

Istighfarlah cara untuk menenangkankan jiwa yang tidak keruan. Kerana sesungguhnya, tidak tenteram itu boleh jadi disebabkan oleh dosa yang tidak kita sedari... Hati tidak cukup bersih dan banyak lagi. Hmm... Tersalah buat. Tersalah cakap. Tersalah menghiris hati. Siapa tahu? Astaghfirullah...

Baik. Hari ini, Muthiah hendak promosi novel NUR. Jeng jeng jeng...

Nur di hatinya


Sinopsis

“Kau pembunuh, Udin! Kau pembunuh!” Kalimah yang terbit di bibir Siti Sarah, kakak kepada Saifuddin itu terus terngiang-ngiang di indera dengar anak muda itu. Kerana kata-kata itu juga, dia membawa diri ke sebuah daerah di Indonesia. Dia berpaut pada kasih dan ehsan seorang murabbi, Kiai Hasan. Ketika itulah dia mengenal manisnya al-Quran.

Beberapa tahun berlalu, dia kembali ke kampung halaman dengan izin Kiai Hasan yang sudah dianggap seperti bapanya. Dia pulang bukan lagi sebagai seorang penagih dadah, sebaliknya menggalas satu harapan, iaitu menunaikan hajat arwah ayahnya yang tidak kesampaian. Namun jauh di sudut hati, dia tertanya-tanya, sudahkah Siti Sarah mengampunkan dosanya?

Di kampung, Saifuddin berusaha mengumpul dana untuk membina pusat pengajian al-Quran untuk golongan warga emas. Dalam diam Siti Zulaikha, majikannya memuji kegigihan lelaki itu untuk menegakkan tiang agama.
Panas tidak sampai ke petang. Saifuddin disahkan doktor menghidap barah perut. Tanpa diduga, Siti Zulaikha menghulurkan kasih kepada Saifuddin. Mampukah Saifuddin menyambut salam kasih wanita itu? Hakikatnya, dia turut menyukai wanita itu, tetapi dia sedar hayatnya tidak panjang.

Setinggi-tinggi tahniah Muthiah ucapkan kepada penulisnya, Puan Siti Munirah. Lanjut tentang beliau, oh maaf. Kami belum bertaaruf lagi. Insya-ALLAH lain masa, mungkin ^^

Muthiah : Maaf jika ada yang terhiris kata terang-terangan.

Jika mahu menjadi penulis dengan Alaf21 (xi)

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Ehe. Agak sibuk (berada di kampung), jadi tidak boleh membebel banyak-banyak. Jom kita belajar sama-sama ^_____^

Perkongsian ini Muthiah dapat daripada Puan Sa'adiah Mohamad, editor Alaf21.


Kata sendi nama

Kata sendi nama ialah perkataan yang letaknya di hadapan frasa nama. Antara kata-kata sendi nama yang lazim digunakan dalam Bahasa Melayu ialah:

dari, daripada, di, ke, kepada, pada, bagi, demi, tentang, seperti, bagai, umpama, laksana, sejak, terhadap, akan, oleh, hingga, antara, untuk, dengan, dalam, sampai.

A. Kata sendi nama 'dari' digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu atau masa.

Menunjukkan tempat atau arah:

1. Ahmad merantau dari Kedah hingga ke Johor.
2. Saya menunggu teman wanita saya dari pukul 9.00 pagi hingga pukul 11.00 pagi.
3. Angin bertiup kencang dari arah selatan.
4. Kereta itu membelok dari kiri ke kanan.
5. Bola itu ditendang dari penjuru padang.
6. Kami akan membincangkan tajuk itu dari segi moral.

Menunjukkan waktu atau masa:

1. Tempoh pembayaran balik bermula dari tarikh penyerahan barangan itu.
2. Mesyuarat itu akan diadakan dari pukul 9.00 pagi hingga ke pukul 4.00 petang.
3. Kerajaan itu terkenal sejak dari kurun ke 18.

B. Kata sendi 'daripada' hadir di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan perbezaan atau perbandingan.

Menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda dan unsur mujarad :

1. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya.
2. Daripada siapakah gerangan surat ini?
3. Dia menjauhkan diri daripada bahaya dadah.
4. Sumbangan daripada kerajaan sudah diterima.

Menyatakan maksud sumber atau asal kejadian sesuatu benda:

1. Ukiran itu diperbuat daripada logam.
2. Semua ubatnya daripada akar kayu.
3. Air berpunca daripada gabungan hidrogen dan oksigen.
4. Ahli PIBG terdiri daripada ibu bapa dan guru.

Menunjukkan perbezaan atau perbandingan:

1. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama.
2. Daripada Ali lebih baik Ahmad.
3. Harga kain itu kurang sedikit daripada harga biasa.
4. Barang ini lebih bermanfaat daripada barang itu.
5. Perangai Ahmad berbeza daripada perangai abangnya.

Inilah sedikit maklumat mengenai penggunaan sendi nama 'dari' dan 'daripada'. Moga penulis-penulis semua dapat membezakan dua perkataan ini dalam membina ayat dalam manuskrip.

Sekian, terima kasih kerana sudi belajar ^^

Pengumuman pembelian buku GBK


PENGUMUMAN penting kepada pelanggan-pelanggan yang melanggan buku-buku Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari (Grup Buku Karangkraf ) secara pos dan online.

Mulai 1hb Oktober 2011, langganan Grup Buku Karangkraf akan diambil alih oleh Karangkraf Mall.

Berikut merupakan butiran yang perlu anda tahu:

Alamat surat menyurat:

Karangkraf Mall Sdn Bhd
Unit Langganan
P/S 7041 Pejabat Pos Besar Shah Alam
40700 Shah Alam
Selangor

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan langganan sila hubungi:
Tel: 03 5101 7480/7481/7478
HP: 019 3310102
Faks: 03 5101 7483
Website: mall.karangkraf.com

Nama Akaun: Karangkraf Mall Sdn Bhd
No. Akaun: 0142 7120 4204 (Maybank)

Info disampaikan oleh Pn. Sa'adiah Mohamad, editor Alaf 21 pada 24/09/2011 ^^
Labels: 0 comments | | edit post