Di sebalik Nasi Kerabu Mak Munah

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Baik-baik sahaja, gembira dengan apa yang ALLAH berikan. Dalam masa yang sama, malu pada DIA sebab selalu sahaja tidak sabar dengan ujian-NYA. Bukankah janji ALLAH itu benar? Kita sahaja yang selalu lupa.

Dua minggu lepas, semangat Muthiah sedikit merundum. Sebab apa? Adalah... kita kan manusia. Namun Alhamdulillah, down itu tidak membuatkan Muthiah menjauh... Syukur kerana memiliki suami yang selalu mengingatkan, juga teman dan keluarga yang sentiasa mendoakan. LOVE YOU ALL <3



Alhamdulillah... Pada 19 Disember 2011, Puan Seri Banon dari Dewan Bahasa dan Pustaka menghubungi Muthiah. Syukur ke hadrat ALLAH. DIA tidak membiarkan Muthiah rasa jatuh begitu lama. Muthiah dikhabarkan menjadi salah seorang pemenang (sagu hati) untukSayembara Menulis Novel Remaja DBP.

Cakap pasal Nasi Kerabu Mak Munah...

Sewaktu mula-mula berpindah ke Taiping, Muthiah memang telah meletakkan impian di dalam diri, "Aku mahu jadi penulis." Namun, sebagai orang baru... juga tidak aktif dalam laman sosial... Muthiah tidak nampak jalan. Blur. Blank. Awalnya, Muthiah ada menghantar e-mel kepada beberapa orang penulis lama... bertanya cara untuk menulis, menghantar karya dan lain-lain tetapi mungkin penulis-penulis tersebut teramatlah sibuk... Muthiah tidak mendapat sebarang maklumbalas. Sedikit kecewa, namun Muthiah tidak patah semangat. Waktu itu, Muthiah belum mahir berkomunikasi dengan pak cik Google... tidak juga punya Facebook. Hanya ada Friendster yang hidup segan mati tidak mahu.

Kemudian, Muthiah pun mula menulis novel Flora Cinta atau apabila diterbitkan bertukar judul kepada Mencari Naurah (tentang di sebalik tabir Mencari Naurah, telah Muthiah kongsikan di blog ini^^).

Tulis... tulis dan tulis...
Lalalala....

Satu hari, Muthiah terbaca iklan pertandingan ini dalam majalah DBP. Lupa majalah apa. Oleh sebab Muthiah masih baru... tidak tahu apa-apa... tidak tahu jalan mana hendak dituju... juga tidak tahu akan kemampuan diri (bolehkah Muthiah menulis?), Muthiah memutuskan untuk menyertai pertandingan ini. Tujuannya :

1- Hendak karya Muthiah dinilai oleh mereka yang berpengalaman. Muthiah kira, dari situ Muthiah akan belajar. Komentar itu penting untuk Muthiah tahu, di manakah silap Muthiah dalam penulisan ini.

2- Huhu... boleh jadi dari sini Muthiah akan nampak arah tuju karier penulisan Muthiah. Kenali orang dalam bidang ini, bla bla bla...

Jadi, Muthiah berhenti seketika menulis untuk Flora Cinta @ Mencari Naurah, fokus kepada Nasi Kerabu Mak Munah.

Harapan untuk menang?


Hukhuk... berharap tetapi tidak tinggi. Iyalah. Baru belajar. Harapan untuk dinilai oleh mereka yang pakar lebih tinggi berbanding mahu memenanginya.

Setelah bertungkus-lumus, akhirnya... lahirlah Nasi Kerabu Mak Munah? Tajuknya tidak sedap? Huhu... Maaf, Muthiah memang tidak pandai dalam bab memberi tajuk... banyak hal juga yang Muthiah kira Muthiah terkebelakang. Namun, satu sisi yang Muthiah tahu 0.09% (hanya angka) daripada Muthiah... Muthiah suka belajar dan akan terus berusaha. Yakin boleh! <- Pada hujung lagu, MALAYSIA BOLEH, tukarkan MUTHIAH BOLEH! ^^

Alhamdulillah... Setelah lebih 2 tahun menanti, keputusan diumumkan dan Muthiah terpilih. Rasa hati? Alhamdulillah, syukur kerana apabila berada di sini... bermakna, sudah ada yang membaca dan menilai karya Muthiah. Dan... menambah keyakinan Muthiah untuk terus menulis. Terjatuh kadang-kadang itu normal namun pohonlah kepada ALLAH agar tidak tersungkur lama.

Terima kasih kepada suami sebab banyak mendorong, menyokong dan mengasihi Muthiah seadanya diri Muthiah. Mohon maaf dan redha sampai hujung nyawa.

Terima kasih kepada keluarga/ mertua yang sentiasa bersama Muthiah dalam suka duka. Banyak bersabar dan menyokong Muthiah. Muthah sayang kalian kerana ALLAH.

Tidak lupa juga kepada saudara-mara, sahabat lama, rakan penulis, sahabat baru, sahabat maya, pembaca, dan semua yang menyokong dan menyayangi Muthiah.

Juga... para editor yang banyak mengajar Muthiah... Teguran/ komentar panjang lebar... memang pada awalnya terkedu, hukhuk tetapi... ambil masa sekejap (jangan lama-lama), fikirlah untuk kebaikan diri. Editor tidak akan membuat sesuatu untuk merosakkan karya kita. Bahkan, penulis hebat pun memerlukan editor untuk mencantikkan tulisannya. Jangan jemu mendidik Muthiah ya, CikPuan Editor ^^ Terima kasih banyak-banyak.

~~~Muthiah sayang semua kerana ALLAH ~~~

Mencari Naurah (Bab 28)


“ASSALAMMUALAIKUM,” salam diberi.

Aku yang dari tadi membaca majalah Reader Digest terpaku apabila mendengar suara itu. Macam kenal. “Waalaikumussalam,” jawabku. Lidahku kelu untuk meneruskan kata-kata. “Buat apa di sini?” aku bertanya ragu-ragu.

“Nama saya Khairul Anuar Baharin. Menurut Cik Sook Kuan, saya perlu menemui Cik Natasha binti Zulkarnain,” tenang sungguh bicara Anuar.

“Apa???” Aku hampir menjerit. ‘Kembar’ Preshnan bakal bekerja satu bumbung denganku? ‘Oh, tidak!’

“Kenapa, Asha?” soal Preshnan lantas segera mendapatkanku.

“Tidak ada apa-apa. Dia ingat, cicak itu hendak melompat ke arahnya,” Anuar memandang tepat wajah Preshnan yang sudah berada di hadapanku. Lagaknya sungguh selamba. Macholah kononnya.


“Baiklah. Hati-hati, Asha. Jangan cuai sangat,” pesan Preshnan lagi. Dia diam sebentar. “Nama saya Preshnan. Awak Khairul Anuar, bukan?” Dia memperkenalkan diri.

“Betul. Gembira dapat bertemu dengan awak,” balas Anuar sambil menghulurkan tangannya kepada Preshnan. Mereka saling bersalaman.

“Selamat datang ke dalam keluarga kami. Kenalkan... nenek tiri kami, Natasha binti Zulkarnain,” Preshnan memandangku sekilas sambil mengenyitkan matanya.

Aku diam... tidak mahu melayan Preshnan. Nampaknya, buku sudah bertemu dengan ruas!

Anuar ketawa yang dibuat-buat.

“Maaf. Saya perlu beransur dahulu. Ada sesuatu yang perlu saya bereskan...” Preshnan diam sejenak. “Asha, jalankan tanggungjawab anda selaku nenek tiri yang peka dan prihatin.” Dia berseloroh tetapi dalam nada yang lebih serius. Kemudian dia berjalan laju ke arah Ying Pei yang sedia menanti. Ada mesyuarat lagi agaknya.

“Baik,” suaraku kedengaran lesu. Hilang tumpuan jadinya. “Jom...” ajakku, berusaha untuk menjadi profesional.

‘Asha, jangan terlalu ikutkan perasaan,’ aku memujuk hati sendiri. Hmm...

“Asha macam tidak suka saya kerja sini aje,” kata Anuar.

“Tak adalah. Terkejut sahaja,” jawabku pendek.

“Rose cakap Asha kerja sini, jabatan sumber manusia. Jadi, saya cubalah nasib di sini. Tak sangka dapat pulak,” jelas Anuar tanpa diminta. “Jodoh kita agaknya,” katanya lagi.

Aku hanya diam. Kak Rose!!! Kenapa bongkarkan rahsia ini? Aku memang merancang untuk merahsiakan tempat kerjaku daripada Anuar. Khuatir dia datang mencariku.

“Mana meja saya?” tanya Anuar.

‘Hisy... baru masuk kerja sudah bertanya tentang meja,’ rungutku.

“Ini tempat duduk saya. Tempat Anuar di hadapan sana.” Aku masih belum bersemangat. Tidak bermaya. Semacam baru pulih daripada demam campak.

“Wow, ini sudah bagus. Memang kita berjodoh.” Anuar tersenyum riang.

‘Tolonglah... awak datang sini untuk bekerja, bukan mencari calon isteri,’ rungutku di dalam hati.

“Asha, makan tengah hari dengan saya, boleh?” Anuar separuh berbisik.

“Saya sibuklah. Esok saya kena temu duga calon baru.” Aku memberi alasan.

“Alah, bukan lama pun. Saya belanja,” pinta Anuar lagi.

“Tengoklah dahulu,” kataku ringkas.

“Saya masih baru. Raikanlah saya,” Anuar sedikit mendesak.

“Asha, Anuar... nampak macam sudah lama kenal sahaja,” Ying Pei tiba-tiba mencelah. Aik, ingatkan ada mesyuarat. Ini bermakna...

“Senior Asha di UM,” ujarku dengar tidak dengar.

“Apa???” Jerit Sook Kuan pula. “Ooo... Bukankah saya sudah katakan. Jadi, makin mudahlah untuk memulakan sebarang perhubungan,” sambungnya lagi.

“Kemudian... kahwin!!!” sampuk Preshnan.

Entah bila dia sudah berada di belakang kami. Tepat telahanku! Bilamana Ying Pei berada di sini, bermakna Sook Kuan dan Preshnan pasti akan muncul seketika nanti.

Ying Pei, Sook Kuan, Preshnan dan Anuar sama-sama ketawa.

“Tidak lawak pun,” kataku perlahan.

“Jom, kita makan tengah hari sama-sama,” ajak Ying Pei.

Aku sekadar mengangguk.

“Tengok! Kita betul-betul ada jodoh bersama,” Anuar bersuara perlahan... benar-benar perlahan.

Aku sekadar mencebikkan bibir.

“Andai ada jodoh kita, tidak akan ke mana-mana... pastikan sempurna harapan bersama...” Anuar tersenyum penuh makna.

Aku mendengus perlahan. Kehadiran Anuar betul-betul menyesakkan nafasku, membuatkan jantungku terpaksa bekerja lebih keras menghantar oksigen ke paru-paruku. Datangnya dia ke sini sama sekali tidak kupinta tetapi aku bukanlah seorang yang begitu zalim sehingga sanggup mengusirnya pergi jauh dari pandanganku.

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 27)

Novel | Mencari Naurah

‘ALHAMDULILLAH, selesai akhirnya,’ bisik hatiku sambil mengambil laporan mingguan di atas meja. Ingin kutunjukkan kepada Preshnan dan mahu kubuktikan kepadanya bahawa hasil kerjaku adalah lima bintang!

“Hellooo...” tegurku. Sengaja aku panjangkan loonya.

“Ya, puan. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Preshnan berlagak persis seorang pegawai khidmat pelanggan.

“Hmm... Saya ada masalah besar! Sangat-sangat besar!!!” Aku berpura-pura gelabah, cuba menahan senyum daripada terukir. Sudah lama aku tidak mengenakan lelaki berketurunan India ini.


“Kenapa? Apa yang berlaku?” Wajah Preshnan berubah.

Aku ketawa. “Tak ada apa-apa,” jawabku bersahaja sambil menyerahkan laporan mingguan yang telah kusiapkan. Mata Preshnan yang sedia bulat itu dibulatkan. Dia membelek laporan yang kuberi sambil mengangguk.

“Bagus, Asha. Adakah hari ini giliran saya untuk membentangnya?” Preshnan tersenyum kambing.

‘Hisy... sudah gaharu cendana pula. Sudah tahu, bertanya pula,’ aku mengomel sendiri.

“Ya, tuan. Menurut perjanjian kita, tuan perlu membentangkan laporan ini tanpa sebarang bantahan dan kompromi...”

“Apa?” Preshnan tersenyum menampakkan giginya yang putih.

“Janganlah main-main. Hari ini giliran Preshan!” Sambil mengajuk lagak Phua Chu Kang, aku berkata sedikit tegas tetapi masih tersenyum. Bekas graduan UKM ini gemar sungguh mengusikku. Macam...

“Baiklah, tuan puteri. Saya akan lakukan apa sahaja demi tuan puteri. Tuan Puteri Gunung Ledang, tuan puteri kecintaan saya. Jiwa saya. Payung saya...” Preshnan ketawa dan kami sama-sama berjalan ke bilik mesyuarat. Dia membuka pintu bilik tersebut dan mempersilakan aku berjalan dahulu.

“Terima kasih, Presh,” aku memandangnya sekilas.

“Sama-sama, coklat,” jawab Preshnan.

“Coklat?”

“Bukan, bukan... payung. Intan payung... nyawa...” Preshnan ketawa lagi.

“Menyampah,” sambungku lalu ketawa kecil. Tidak faham sebenarnya dengan jenaka yang ingin dia sampaikan.

Ketawa Preshnan semakin menggila.

“Preshnan!!!” jeritku. Kali ini, aku menjeling tajam ke arahnya.

“Alahai. Saya hanya bergurau, Sha,” Preshnan akhirnya mengalah. Aku tersenyum puas.

‘Satu kosong,’ aku berkata di dalam hati.

MESYUARAT kali ini berlangsung agak lama. Banyak perkara yang dibangkitkan. Bukan sahaja perihal kemasukan staf baru bahkan isu bonus tahunan pun dimasukkan di dalam agenda perbincangan.

Entahlah, aku pun keliru. Sudah terang lagi jelas bahawa kumpulan kami (aku, Preshnan, Ying Pei dan Sook Kuan) bertanggungjawab menguruskan staf-staf baru yang menjadi ahli keluarga syarikat ini tetapi masih ada yang tidak berpuas hati dengan kerja kami. Persoalannya, kenapa isu bonus tahunan yang dibangkitkan? Bukankah jabatan kewangan yang sepatutnya bertanggungjawab? Hmm... Entahlah.

“NATASHA, awak masih baru. Jangan banyak melawan,” tegur Sherry atau nama sebenarnya Syarifah Hasanah binti Syed Azhar.

Aku hanya diam, tidak mahu melawan.

“Awak ingat awak hebat sangatkah?” Sherry memandangku sinis.

Aku masih diam. Rasanya, tidak perlu untuk berlawan bicara dengannya, buang masa! Aku terus berjalan keluar dari bilik mesyuarat. Tidak mahu melayan fiilnya yang bukan bukan. ‘Tidak profesional langsung,’ getus hati kecilku.

“Mari kita pergi, Sha.” Tiba-tiba, tanganku ditarik seseorang. Aku segera berlalu meninggalkan Sherry yang kelihatannya masih belum berpuas hati denganku. Aku juga tidak mengerti mengapa. Adakah kerana anugerah kecemerlangan yang aku peroleh bulan lepas? Menurut katanya, aku tidak layak kerana masih terlalu baru di sini. Entahlah.

“Abaikan dia,” ujar Sook Kuan setelah kami memasuki pantri. Hendak minum sebentar. Dahaga... panas....

“Jangan risau, Asha okey,” kataku sambil tersenyum.

Sook Kuan mengambil air kosong buatku.

“Terima kasih,” ucapku lalu meneguk air tersebut.

‘Alamak! Aku puasalah.’ Cepat-cepat aku meluahkan air yang sudah masuk dua teguk ke dalam kerongkongku.

“Asha okey?” Preshnan bertanya, agak terkejut.

“Jangan risau. Asha tidak apa-apa. Terlupa pula. Asha puasa sebenarnya hari ini.” Aku berterus-terang.

“Maaf,” bisik Sook Kuan. “Saya tidak tahu Asha puasa,” tambahnya.

“Eh, bukan salah Sook Kuan. Saya yang salah.” Aku cuba memujuknya. Tentu dia berasa serba-salah.

Kami kemudiannya sama-sama ketawa.

Tiba-tiba, namaku dipanggil seseorang

“Asha!!!” jerit Ying Pei.

“Ya, sayang,” balasku tetapi tidak menjerit sebagaimana dirinya.

“Jangan lupa beri penerangan kepada rakan sekerja baru kita esok pagi.” Ying Pei mengingatkan.

“Staf baru? Tidak ada orang maklumkan pun.” Dahiku berkerut seribu.

“Maaf, Sha. Saya terlupa hendak beritahu, ” celah Sook Kuan.

Aku ketawa. “Siapa namanya?” Aku memuncungkan bibirku.

“Namanya Khairul. Graduan dari Universiti Malaya. Tampan juga dan berusia 26 tahun. Selamat maju jaya! Gunakanlah peluang keemasan ini untuk memperkenalkan diri dan seterusnya memulakan sebarang perhubungan...” jawab Sook Kuan panjang lebar.

“Kemudian... kahwin!!!” tambah Preshnan pula lalu ketawa terbahak-bahak.

“Preshnan!!!” Kali ini, aku turut sama menjerit.

~bersambung~

Kerana apa aku menulis ....

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Hidup berlangsung aman. Moga-moga akan sentiasa aman, tidak sahaja di dunia bahkan akhirat juga.

Cakap pasal aman...lain orang, lain pemahaman dan pengertiannya.

Orang yang punya banyak masalah tetapi berjaya mengatasinya boleh juga dianggap aman hidupnya. Dia tidak dihambat dengan masalah yang berlegar-legar di sekelilingnya.

Orang yang sedang berhati walang tetapi berjaya menceriakan hidupnya... hari-hari dilalui aman, macam tidak ada apa yang berlaku.

Okey, kembali kepada entri hari ini...

Waktu mula-mula menulis, Muthiah telah meletakkan tekad dalam diri. Muthiah menulis (selain kerana mahu rasa duit sendiri) sebab mahu menyampaikan sesuatu kepada teman-teman.

Apa yang Muthiah mahu sampaikan?

Entah, susah hendak cakap. Muthiah ingin menjadi seperti sahabat-sahabat yang hidup mereka...

Pagi, petang, siang malam...

Sentiasa berbicara soal dakwah... dakwah... dakwah.
Usrah... usrah... usrah...
Halakah, taklim, daurah...

(Kadang-kadang terbit rasa cemburu dalam hati (bukan untuk menghancurkan) kerana tidak mampu menjadi seperti mereka).

Murabbi yang berfikir tentang mutarabbi, mengajak 'anak'nya kepada kebaikan dan mendekat kepada ALLAH.

Namun, entah. Muthiah terasa diri teramat jauh... jauh dari jalan orang yang Muthiah kira hampir dengan ALLAH itu. Jalan orang yang hidup dan matinya untuk ALLAH dan ISLAM. Muthiah mahu menjadi salah seorang daripada mereka tetapi... entah. Terasa diri jauh (sukar untuk dihuraikan), tidak tahu jalan mana yang harus diikuti... lorong mana yang hendak dituju...

Jadi mungkin, menulis ini dapat menyenaraikan diri Muthiah bersama dengan mereka (di sisi ALLAH) meski tidak hebat macam mereka. Mereka tampak sangat hampir dengan ALLAH sedang Muthiah selalu berada di bawah... apabila hati baik, dekatlah dengan DIA. Apabila lalai, menjauh jadinya.

Alhamdulillah, peringkat awal... Muthiah kira Muthiah berjaya mencapai apa yang Muthiah mahu lakukan. Sampaikan walau seayat (melalui pena). Bermula dengan Mencari Naurah... Ayah, Amir nak masuk U, Ayah, Amir nak jadi doktor, dan kemudian, Air Mata Siti Hajar...

Namun sejak akhir-akhir ini...

Muthiah rasa niat asal Muthiah telah terpesong. Tujuan utama Muthiah menulis bukan lagi kerana mahu menyampaikan. Ada tetapi berada di kedudukan kedua (meski mulut Muthiah berkata sebaliknya). Mungkin disebabkan oleh perkara itulah, hati Muthiah berasa 'something wrong somewhere'.

Setelah berbincang dengan suami, Muthiah bermuhasabah sendiri kembali. YES! Inilah jawapan yang dicari-cari.

Niat tidak betul.
Hati tidak cukup jelas.

Pernah lalui keadaan begini? ____

Kata suami, "Bolehlah perbaharui niat."

YA! Inilah salah satu penyelesaiannya selain daripada beristighfar kepada ALLAH.

Jadi, yuk kita perbaharui niat (bagi sesiapa yang mengalami perkara yang sama). Lakukanlah sesuatu kerana ALLAH (meski payah... buat dan ungkap sahaja). Penilainya bukan kita... bukan juga orang yang baca blog kita tetapi ALLAH.

Ungkap sendiri untuk menjadikannya sebagai tekad di dalam hati. Perbanyakkan istighfar agar tidak terus terpesong atau tersasar.

Okey. Selamat bermuhasabah :)

Filem pendek : This time

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah. Alhamdulillah, baik... insya-ALLAH.

Bagaimana dengan kondisi hati hari ini? _______
Apa? Something wrong somewher? _______
Kenapa? _________

Cuba semak :

1- Bagaimana hubungan dengan ALLAH?
2- Bagaimana hubungan dengan suami?
3- Bagaimana hubungan dengan ibu (bagi si anak lelaki)?
4- Bagaimana hubungan dengan ibu ayah?
5- Bagaimana hubungan dengan rakan-rakan/ jiran tetangga, dll?

Jika ada yang belum setel, yuk kita beresi dahulu ;)

Okey. Jom tonton video mantap yang insya-ALLAH, kan peroleh manfaatnya. Tidak perlu adegan pelik-pelik. Filem pendek ini mampu memberi pengajaran bagi yang mahu memikirkannya.

This time...



Okey. Muthiah hendak sambung kerja dahulu. Sebenarnya, kerja lama Muthiah tangguhkan sekejap untuk memberi laluan kepada satu kerja baru. Akan ada satu rombakan untuk karya yang telah Muthiah hasilkan. Doakan Muthiah, ya ^^

Jika kita _____, kelak kan ______.

Assalammualaikum. Mulakan hidup dengan senyum ceria, bahagia bersama insan-insan tercinta.

Pernah kena tipu/ menipu?
Pernah kena umpat/ mengumpat?
Pernah dikecewakan/ mengecewakan?
Pernah dipermainkan/ mempermainkan?
Pernah ____________?

Peringatan buat diri yang selalu lupa :)

Jika kita menipu, kelak kan ditipu.
Jika kita mengumpat, kelak kan diumpat.
Jika kita mengecewakan, kelak kan dikecewakan.
Jika kita mempermaikan, kelak kan dipermainkan.

Jika kita tidak peka, kelak kan berhadapan dengan orang yang tidak peka.
Jika kita tidak menghargai, kelak kan melalui saat bagaimana rasanya tidak dihargai.
Jika kita suka memandang serong, kelak kan dipandang serong.
Jika kita suka bersangka-sangka, kelak kan ada yang bersangka-sangka pada kita.
Jika kita tidak prihatin, kelak kan bertemu dengan orang yang tidak prihatin juga.
Jika kita __________________, kelak kan ______________.

Hahaha... Apa Muthiah ni?

Apa yang Muthiah nyatakan di sini...

Buat baiklah... insya-ALLAH, kita akan mendapat kebaikan. Jika kebaikan itu tidak kita peroleh daripada manusia juga, insya-ALLAH kita akan mendapatnya daripada ALLAH. Kebaikan ini pula luas. Rasa tenang dan bahagia juga satu kebaikan kerana tidak semua orang berasa tenteram dan aman hidupnya.

Namun, sekiranya kita melakukan sesuatu yang tidak baik... kita akan tetap mendapat balasan daripada kejahatan kita itu. Boleh jadi bukanlah kejahatan yang sama dengan apa yang kita lakukan tetapi ALLAH lebih tahu apa-apa yang patut kita terima. Di dunia tidak dapat, akhirat kelak kita akan dipersoalkan. Bukankah walau sebutir zarah kebaikan/kejahatan itu akan dipertanggungjawabkan oleh TUHAN?

Kesimpulannya, yuk semat dalam diri.

Buat perkara baik sahaja.
Cakap sesuatu yang baik sahaja.
Tengok benda yang baik sahaja.
Dengar bicara yang baik sahaja.
Tulis perkataan yang baik sahaja.

Jika berlaku unsur TER... yuk kita beristighfarlah dan kembali mengharapkan keampunan-NYA ;) Dengan sesama manusia? Hehe... Rasanya?

Jom muhasabah ;)

Buat baik dibalas jahat

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah di sini, Alhamdulillah. Insya-ALLAH, baik-baik sahaja.

Sekiranya ada yang tidak baik, cuba jadikannya baik.
Seandainya tidak mampu, fikirkan yang baik-baik.

-> Insya-ALLAH, akan baik.

Jika tidak baik juga, entahlah. Ambil wuduk, bermunajatlah kepada ALLAH, mohon kepada-NYA agar diberi ketenangan dan ketenteraman jiwa.

Kesimpulannya...

Jom positif.
Jom fikir yang baik-baik.
Jom jadi baik.

Okey, hari ini... Muthiah hendak berbicara tentang apa, ya? Hmmm...

Seorang teman ada meluahkan kepada Muthiah, "Aku buat baik... buatlah apapun tetapi tetap dibalas begitu."

SAKIT... SAKIT... SAKIT...

Pernah alami kondisi begini? ______
Perasaan? ________
Tindakan? ________
Penyelesaian? ___________

(Apa yang kita lakukan apabila mendepani keadaan ini?)

Kita mungkin berasa sedih, kecewa, benci, putus asa, marah, bahkan boleh jadi mendendam. Boleh jadi juga CAN FORGIVE BUT CAN'T FORGET.

Tahniah bagi yang segera/ mudah berlapang dada dan memaafkan mereka yang mengguris hati. Berkait dengan hati ni...

......

Apakah kesan daripada rasa kita itu? ___________

Tenangkah kita dengan apa yang menghambat hati kita kerananya?

.......

Setelah diperbuat begitu, apa pula yang akan kita lakukan? __________

Tidak lagi membuat kebaikan kepadanya (cuba baca kisah Sayidina Abu Bakar), menjauh daripada dia yang menyakiti, memusuhi sampai hujung nyawa dan ____________?

Sekali lagi, tenangkah kita dengan tindakan kita itu?

Boleh jadi...

Hanyalah persangkaan kita... Sayang jika begini? Di manakah nilai sebuah ukhwah itu?

Dia yang mengguris tidak menyedari.... Usah terkejut kerana sesungguhnya, memang ada sisi manusia yang tidak peka/ prihatin/ tahu menghargai terhadap kebaikan yang dihulurkan kepadanya.

Kesensitifan kita berlebih-lebihan... Tidak boleh salahkan diri juga. Seperti yang selalu Muthiah sebut, setiap manusia ada kelemahan masing-masing. Sensitif yang keterlaluan ini, boleh jadi satu kelemahan bagi diri kita (boleh jadi juga satu kelebihan untuk perkara-perkara tertentu).

Memang sisi kelemahan sang teman, dia memang begitu... Hmm... dalam 1000, mungkin ada 1 orang. Jadi, bersyukurlah. Hahaha ^_____^ <- Ketawa palsu.

Maka...

Bersabarlah, wahai hati yang sedang walang. ALLAH dekat mendengar rintihan dan isi hatimu.

Bertabahlah, wahai jiwa yang sedang sakit. ALLAH Maha Adil, Saksama dan Maha Teliti Penghitungan-NYA. Serah segalanya pada DIA.

Susah tetapi cubalah untuk berlapang dada. Kita punya hak untuk tidak memaafkan tetapi itulah... tetapkan tempoh, sampai bila kita mahu rasa begitu? Huhuhu...

<- Peringatan KERAS untuk diri sendiri. Payah, bukan?

Jom muhasabah :)

Telur dadar

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah, Alhamdulillah. Baik-baik sahaja bahkan.. hukhuk... bertambah berat badannya. Punca? Alah, apa lagi.

Banyak makan.
Kurang bersenam.

Jom, Muthiah kongsi resipi paling mudah di abad ini.

Tadaaaa....


Telur dadar ^^

Wah, telur dadar pun hendak dikongsi resepinya? Jika kita tahu, boleh jadi ada yang masih tidak.

Bahan-bahan

2 biji telur
Bawang kuning dimayang
Kucai dihiris nipis
Mayonis
Cili merah dihiris nipis
Sedikit garam (betul-betul sedikit!) <- Tengok! Ada tanda seruan di situ.

Cara membuatnya

1- Masukkan kesemua bahan di dalam mangkuk dan pukul dengan penuh semangat.

2- Letakkan minyak di dalam kuali. Tunggu sampai panas.

3- Kemudian, goreng macam goreng telur biasa dan siap ^___^
Labels: 0 comments | | edit post

Filem pendek | Oley

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Ehe... Jom lari (kejar masa). Bajet sibuk macam isteri Perdana Menteri Thailand. Huh ^________________^

ISLAM itu indah.
ISLAM itu cantik.
ISLAM itu molek.

Lagi indah, cantik dan molek apabila diamalkan.

Siapa yang mengamalkannya?

Mahu menuding ke hadapan? ~ Tidak.
Mahu berpusing mencari-cari, dan cari? ~ Pun tidak.

Kitalah yang mempraktikkannya.

Jom tonton filem pendek tetapi besar pengajarannya <3

(Kupasan ringkas tentang hudud)

Semoga mendapat manfaat daripadanya ^^

Can forgive but can't forget

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... 'Ala kullihal, Alhamdulillah. Hmm... lama pula tidak mengemaskini blog.

Alasan lapuk - sibuk.
Alasan beralasan - memang suka mencari alasan.

^_______^


Pernah melalui saat-saat begini? CAN FORGIVE BUT CAN'T FORGET...

Yuk, kita bermuhasabah dan merenung diri (mengikut masalah hati masing-masing)... moga-moga diri kita bertambah baik daripada sebelumnya. Iyalah. Kita tidak tahu bilakah ajal akan menjemput. Mahukan kita kembali kepada-NYA dengan rasa sebegini? Nauzubillah. Kita semua tak nak, kan?

FAKTA

Takwa melahirkan peribadi mulia.

PERSOALAN

1- Kenapa sukar melupakan?

  • Dia... terlalu mengguris hati.
  • Selalu teringat-ingat dengan apa yang dilakukan/ diperkata/ tuduhan/ persangkaan.
  • Syaitan mencucuk-cucuk. 'Good' job. Huh!
  • Sikapnya tetap tidak berubah dan menyakitkan hati.
  • Memang tidak mahu memaafkan.
  • Dendam.
  • Dia membuatkan kita menangis.
  • Sakit... sakit hanya ALLAH yang tahu.
  • __________________ (nyatakan sebab sendiri).
2- Sampai bila mahu begini?

  • Tunggu dia merasa sakit seperti apa yang kita rasa? (Tahukah kita bila sakitnya?)
  • Sampai mati. Jumpa di akhirat! (Wah, macam lawan di mahkamah dunia pula)
  • Tengoklah bila dia betul-betul menyesal. (Jika tidak, terputuskan silaturrahmi?)
  • Hmm... bila hati sudah tidak sakit. (Jika menemui ajal dahulu?)
  • Dia nazak/ mati, berlapang dadalah. (Jika kita yang nazak/ mati dahulu?)
Jadi, BAGAIMANA???

  • Beristighfarlah. Insya-ALLAH, dengannya dapat menyingkirkan bintik-bintik hitam dalam hati, sedikit demi sedikit.
  • Banyakkan melakukan ibadah sunat; membaca al-Quran, solat sunat, puasa sunat, dll. Tujuannya adalah untuk mendekatkan diri kepada ALLAH.
  • Berzikir... apabila rasa (sakit) itu hadir, ingatlah ALLAH. Insya-ALLAH, dengan ingat pada-NYA hati akan tenteram (Ar-Ra'd : 28)
  • Banyakkan melakukan kebaikan; bersedekah, membantu mereka yang memerlukan, dll. Ikhlas tidak ikhlas, biar ALLAH yang menentukan. Bukan mata yang memandang (termasuk sekali mata kita sendiri).
  • Merintih, merayu kepada-NYA. Kita tidak mahu perasaan ini menghantui hidup kita. Tidak ada siapa yang akan untung. Percayalah. Apabila rasa ini ada dalam hati, kita sendiri sebenarnya yang tidak akan tenang. Yakinlah dengan ketelitian ALLAH... kesaksamaan-NYA dalam mengadili. Jika kita rasa dianiaya (dan benar-benar dizalimi), ALLAH adil untuk memberi balasan.
Usahlah kita berfikir-fikir... membazirkan masa dan air mata, mahu insan yang mengguris itu turut sama berasa sakit (sebagaimana sakitnya kita). Serah segalanya pada ALLAH... Ya. Serah 10000% kepada-NYA. Dalam masa yang sama...

Maafkanlah...

'Dan orang yang menahan amarahnya dan memaafkan orang lain, Allah menyintai orang yang berbuat kebajikan.' (ali-Imran, 3:132). Kemudian, serah lagi kepada DIA.

Berlapang dadalah...

'... dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunimu? Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." (an-Nur, 24:22). Kemudian, serah kembali kepada DIA.

Bersabarlah...

'Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat, sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar.' (al-Baqarah, 2:153). Kemudian, dekatkan diri... semakin dekat... dekat dan lagi, dan lagi kepada DIA.

Dan sesunggunya... kedekatan dengan TUHAN itu kelak menjadikan kita manusia yang berbahagia, tidak sahaja di dunia bahkan akhirat.

Kita perlukan teman tetapi kita lagi memerlukan TUHAN.

Yuk...

TRY TO FORGIVE AND FORGET.

Ada berani? ^___________________^

Mencari Naurah (Bab 26)

Novel | Mencari Naurah

MUNGKIN berkat doa mak yang tidak pernah putus buatku, aku kini sudah diterima bekerja di sebuah syarikat korporat terkemuka ibu kota. Sudah empat bulan aku berada di sini. Dunia baru yang banyak mengajar aku tentang kehidupan. Perjalanan hidup yang penuh dengan pancaroba. Andai tersilap langkah, tidak mustahil akan terjatuh, tersungkur malahan tidak dapat bangkit kembali. Dia akan terus berada di situ sehingga dihulurkan tangan kepadanya. Baru dia boleh bangun dan berdiri...

“Asha, boleh tolong carikan resume calon-calon baru?” Pinta Ying Pei.

“Baik. Beri saya masa dalam lima minit.” Aku menjawab pendek. Tanpa berlengah, aku segera ke rak yang menyimpan data-data pemohon yang ingin mencuba nasib di sini.

Bukan mudah untuk menjadi ahli keluarga Syarikat Big Four ini. Beruntunglah mereka yang terpilih menyertainya. Aku? Alhamdulillah... ALLAH memilihku untuk berada di sini.

Minggu ini ada sepuluh calon yang berada dalam senarai untuk direkrutkan. Enam daripada mereka terdiri daripada pelajar luar negara. Aku tercari-cari fail yang telah aku simpan semalam. ‘Jika tidak ada sesiapa yang usik atau alih, pasti ada. Insya-ALLAH,’ kataku dengan penuh yakin.

Nah, ada pun. Kalau tidak, terpaksalah aku membelek kembali fail-fail yang tersusun. Lebih kurang seribu semuanya. Mahu pengsan dibuatnya. Sudahlah aku berpuasa sunat Isnin hari ini.

‘Natasha, sesungguhnya ALLAH bersama orang yang sabar.’ Aku mengingatkan diriku sendiri.

Aku meneliti fail-fail yang kuambil. Ditanggung beres! Tidak ada kesilapan, insya-ALLAH. Hah! Mataku tertumpu pada satu nama calon yang memohon. Kenapa aku tidak perasan nama ini semalam?

Name : Asyraf Daniel bin Razali.

Age : 24 years old.

Oh! Silap, silap. Namanya Asyraf Daniel bin Ghazali dan dia berusia 26 tahun. Yang paling penting, dia merupakan doktor perubatan dan bukanlah doktor kewangan. Aku tergelak sendiri.

Sudah lebih enam bulan aku tidak bertemu dengannya. Aku hanya berhubung dengan Kak Rose. Dia kini menjadi guru di sebuah sekolah swasta. Memang padan dengan dirinya yang lembut dan memiliki ciri-ciri seorang ibu mithali. Siapalah yang paling beruntung dapat mencuri hati Kak Rose? Asyraf? Oh, tidak...

Menurut Kak Rose lagi, dia kini sedang memohon untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Katanya, jika diizinkan ALLAH dia ingin menjadi pensyarah. Mahu mendidik anak bangsa di samping menyebarkan dakwah di atas muka bumi ini. Dia mahu mengingatkan manusia tentang TUHAN dan keesaan-NYA.

Sedih melihat kemusnahan masyarakat hari ini. Arak, rokok, pakaian menjolok mata, pergaulan bebas merupakan mainan para pemuda dewasa ini. Kak Rose bercita-cita untuk menjadi salah seorang daripada penegak agama ALLAH yang kelak akan menemui-NYA sebagai syuhadah. Begitu optimis Kak Rose dalam menggapai impiannya. Moga dia akan berjaya dalam apa jua yang direncanakan.

“Asha, jangan lupa mesyuarat kita petang ini jam 4.00 petang di Bilik 4,” Preshnan mengingatkan aku.

“Baik, tuan,” balasku. Disusuli dengan kalimah, “Insya-ALLAH.” Perlahan-lahan kuungkapkan perkataan itu.

Cepat-cepat aku berjalan ke mejaku. Ada perkara yang perlu aku selesaikan sebelum perjumpaan petang ini. Aku mahu menonjolkan diri sebagai seorang Muslimah yang berketrampilan serta komited terhadap kerja.

Pada hari pertama aku menjejakkan kaki ke sini, hanya ada tiga orang pekerja Melayu yang beragama Islam. Seorang daripadanya adalah dispatch. Dua lagi merupakan kerani am. Jabatan lain, aku tidak pasti.

Aku mahu menunjukkan kepada semua bahawa Islam itu cantik dan tersusun. Seorang Muslim itu adalah seorang yang menjaga amanah, bersungguh-sungguh, tidak bersikap sambil lewa serta boleh dipercayai. Tidak seperti kaum Quraisy yang dilaknat ALLAH.

Walaupun sudah terang lagi bersuluh bahawa tidak ada siapa yang mampu menandingi kuasa ALLAH, mereka tetap alpa dan leka. Mereka tidak takut dengan balasan yang bakal mereka terima. Kalau tidak, masakan mereka berani mengkhianati perjanjian Hudaibiah. Nah! Perjanjian yang nampak tidak adil, namun sebaliknya menjadi pencetus kepada era kegemilangan Islam.

Hmm... aku tersenyum sendiri. Berbangga dilahirkan sebagai seorang Muslim. Aku bersyukur kerana dipilih ALLAH menjadi hamba-NYA yang tidak sambil lewa dan komited terhadap amanah yang ditaklifkan kepadaku. Dan pasti aku akan membuktikan bahawa aku tidak seperti mereka. Golongan munafik yang dihalang dirinya untuk memasuki syurga ALLAH.

Bukan itu sahaja, aku juga mahu memberitahu seluruh dunia bahawa tudung sama sekali tidak menghalang seorang Muslimah bergerak cerdas dalam melaksanakan tugasan yang diberikan. Mujur tidak ada birokrasi dalam syarikat ini.

Tidak dapat aku lupakan satu ketika dahulu, di sebuah syarikat yang aku kira masih baru bertapak dalam dunia perniagaan...

“Awak memang pakai tudung macam ini?” tanya salah seorang penemuduga.

“Ya, saya,” aku menjawab ringkas.

“Sebenarnya tidak sesuai jika bertudung begini,” katanya lagi. Aku lihat, dua orang penemuduga lain sekadar membisu.

“Okay, thanks. Assalammualaikum...” aku cuba menahan marah, sengaja berbicara dalam Bahasa Inggeris. Bukankah Bahasa Inggeris itu merupakan bahasa perantaraan utama dalam dunia perniagaan?

Aku memandang wajah penemuduga tersebut sambil tersenyum. Ya! Bibirku masih mengukir senyuman meskipun aku tahu wajahku telah bertukar warna. Merah mungkin! Segera aku keluar dari bilik temuduga tersebut. Tidak sabar rasanya untuk terus beredar. Dan pasti, aku tidak akan menoleh lagi ke situ. Aku marah... dan terlalu marah!

Masakan tidak marah. Yang berkata begitu adalah individu yang sama bangsa dan serupa agama anutannya denganku. Manakala dua orang penemuduga lain, aku kira beragama Kristian (jika dilihat pada tag nama mereka, Michael dan Ivon). Argh, umat Islam yang tidak sedar diri. Mujur tidak diterima bekerja di sana bahkan aku telah mendapat kerja yang lebih baik.

Benar, ramai yang mengungkapkan kalimah syahadah tetapi tidak banyak yang menghayati dan mengamalkannya. Tercatat pada kad pengenalan menyatakan bahawa polan bin polan ini beragama Islam, namun cara hidupnya begitu terpesong daripada jalan yang telah ditetapkan oleh ALLAH SWT.

Kadang-kadang dia malu dan tidak yakin terhadap agama anutannya menyebabkan dia begitu berani memperlekeh individu lain yang masih teguh dalam kepercayaannya. Dia mungkin lupa atau mungkin tidak tahu. Udara yang dia sedut boleh jadi diambil balik oleh TUHAN. Dia kemudian mencari-cari ruang udara di tempat lain.

Saat itu, barulah dia sedar bahawa dia sebenarnya begitu kerdil dan hina di hadapan TUHAN. Waktu itu jualah mulutnya akan terkunci, tidak mampu berkata apa-apa. Apatah lagi untuk memperlekehkan agama ALLAH. Tiada lagi suara sumbang yang menyebut bahawa tudung itu kolot, dara itu ketinggalan zaman. Entah apa hendak jadi dengan dunia hari ini. ‘Sudah akhir zaman agaknya,’ aku membebel sendiri.

~bersambung~

Keliru | Deadline atau dateline

Assalammualaikum. Apa khabar? Selamat __________ (apa yang anda sedang lakukan?).

Okey. Muthiah singgah sekejap sahaja. Petang nanti, insya-ALLAH Muthiah kemaskini entri sebagaimana biasa. Hari ini tentang Air Mata Siti Hajar, bukan?

Bagi penulis/ bakal penulis. Jom kita bezakan dua perkataan ini.



DEADLINE ialah tarikh akhir sesuatu. Contoh: Deadline sesuatu projek.

DATELINE ialah tarikh yang biasanya kita tengok pada sudut atas akhbar harian/artikel. Ataupun ruang tarikh.

Perkongsian ini Muthiah dapat daripada Kak Ruzita Awaludin (dengan izin), Ketua Unit Buku Umum Alaf 21.

Selamat belajar dan memperbaik penggunaan bahasa.

Muthiah : Banyak yang perlu dipelajari...

Filem pendek : Tomato

Assalammualaikum. Apa khabar? Ehe. Lambat lagi mengemaskini blog. Aduh, aduh, aduh.

Wahai diri, BERDISIPLIN-lah.

Siapa ada mengumpat hari ini, angkat tangan? ~ Jika ada, beristighfarlah.
Siapa ada mengata hari ini, angkat kaki kiri? ~ Jika ada, beristighfarlah.
Siapa ada memfitnah hari ini, angkat kaki kanan? ~ Jika ada, beristighfarlah.

Namun, jangan lupa dapatkan kemaafan daripada orang yang diumpat/ dikata/ difitnah.

-SELAMAT BERAMAL-

Baik. Jom tengok filem pendek ini. TERBAIK! Moga kan mendapat manfaat daripadanya. Tahniah kepada pelakon-pelakon serta krew yang terlibat. Apa yang kalian lakukan ini... mungkin tidak dapat untung berjuta-juta di dunia, namun insya-ALLAH. Jika dilakukan kerana ALLAH. Ganjaran di akhirat menanti kelak ;)


Okey. Muthiah sambung kerja dahulu. Moga kita semua diampuni ALLAH.

Muthiah : Caiyok!

Adakah kita termasuk?

Assalammualaikum, semua. Waras? Alhamdulillah. Hari ini, Muthiah dapat mencoret awal di blog siti-muthiah ini. Jom senyum tanda syukur (atau bangga?) :

^_____^ sampai ke telinga.
:) macam budak-budak.
:> bajet ayu.

Muthiah terbaca posting Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman di Facebook. Membuatkan Muthiah terfikir-fikir sendiri. Akukah itu? Nauzubillah. Muthiah tidak mahu dan insya-ALLAH, akan berusaha keras untuk menghindari perkara itu. Perkara apa?
Sangka buruk yang berdosa biasanya didasari perasaan cemburu, hasad, dengki & ingin menjatuhkan individu yang dijadikan sasarannya. Sangka buruk jenis ini hakikatnya lahir dari jiwa dan minda seseorang yang kotor. Ia adalah refleksi dirinya yang kerap bergelumang dengan kejahatan dan dosa. Atau dari jiwa yang tiada ikhlas dalam membuat sesuatu perkara. Justeru, dalam mindanya kerap tergambar mustahil ada seseorang boleh berbuat atau bercakap baik kecuali mesti ada helah, agenda kepentingan diri dan muslihat di sebalik. Ia berfikiran demikian kerana demikianlah dirinya. Ia melihat orang lain sepertinya ~ UZAR#

Kata kunci di sini adalah .... bersangka-sangka (yang buruk) + iri hati + jiwa kotor. Betul?

Pernahkah kita melalui saat-saat ini? (Menjadi orang yang bersangka-sangka atau mangsa persangkaan?)...

Jom kita selusuri contoh kes :

1- Kita buat majlis kesyukuran. Hmm... sebab dapat kerja, Alhamdulillah. Namun tup-tup ALLAH uji, majlis itu tidak seperti yang kita harapkan. Kelam-kabut. Kucar-kacir. Namun sayang... kita pun, menyalahkan rakan serumah kita. Kita sangka, dia punya angkara kelompangan majlis ini <- Huhu. Adakah contoh kes macam ni? Anggaplah ada ;)

2- Bos kita bagi duit pada salah seorang rakan sekerja kita. Kita tahu, ekonomi syarikat tengah tenat tetapi kenapa bos bagi duit pada Polan bin Polan? Hisy, tidak boleh jadi! Kita pun, bersangka-sangka... rakan sekerja itu kaki bodek... tidak bertimbangrasa. Bukankah kewangan syarikat tidak cukup baik? Selfish! Walhal sebenarnya, Polan bin Polan itu ditimpa musibah dan dia sangat membutuhkan wang. Hmm...

3- Sebelum nikah dengan ayah kita, mak tiri kita sangat pemurah. Suka membelikan kita hadiah itu dan ini namun sesudah nikah... jarang benar hendak memberikan sesuatu. Kita mengutuk si emak tiri macam-macam. Padahal, tanpa kita tahu... duit emak tiri kita itu digunakan untuk membayar hutang along sang ayah.

4- Cuba cari contoh yang berlaku pada diri sendiri. Tidak kiralah sama ada diri kita sebagai yang disangka atau yang bersangka-sangka. JOM MUHASABAH ^___^

Siap muhasabah... timbulkan kembali persoalan ini dalam ini :

Adakah aku cemburu? ~ Tidak. Buat apa aku hendak cemburu sedang aku punya segalanya berbanding dia.

Jadi, KENAPA MAHU BERSANGKA-SANGKA?

Berbalik kepada jawapan UZAR :

Kerana hati tu kotor... sakit... dan banyak penyakit.

Percayalah. Orang yang sakit hatinya ini tidak akan tenang. Yuk, kita beristighfar sama-sama. Hidupnya dipenuhi dengan persangkaan buruk terhadap orang lain. Aduh, letih. Dia senang apabila orang yang tidak disukainya ditimpa musibah. Betul? Jika salah... berilah alasan yang sebetulnya.

Ayuh, wahai diri. Takutlah kepada ALLAH dan penghitungan-NYA yang Maha Teliti. Bayangkan... sikap kita yang bersangka-sangka itu (Nauzubillah), mengguris hati sang teman. Si teman pula, spesis yang payah pula memberi kemaafan. Jadi, bagaimana agaknya dengan diri kita? Tenangkah kita jika membuat orang lain menangis atas persangkaan buruk dalam diri kita?

Alamak. Panjang pula. Lama sebenarnya Muthiah tidak mencoret panjang-panjang begini. Orang kata, lepas gian. Apapun...

Yang baik, ambillah iktibar.
Yang tidak baik, jadikan sempadan.

- Buatlah PILIHAN-

Jika kita memilih mencari kelompangan... itulah yang akan kita perolehi.
Namun, jika kita memilih untuk mencari sesuatu yang boleh menambahbaik diri, insya-ALLAH... itu juga yang kita akan dapat.

Ayuh... jom sama-sama bersihkan hati daripada kekotoran yang tidak sepatutnya. Perbanyakkan istighfar... zikir kepada ALLAH. Maafkanlah mereka yang menyakiti meski pahit tetapi ALLAH tahu. Yakin. ALLAH itu Maha Teliti Penghitungan-NYA.

Salam sayang <3

Muthiah : Titipan buat sang teman maya... yang sedang melalui kegundahan ini ;)

Sup daging

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Meskipun kondisi hati tidak cukup baik, (diri) anggaplah baik-baik sahaja. Boleh jadi rasa ini disebabkan oleh kejauhan. Maka...

KEMBALILAH....

Ehe. Macam semalam, hari ini pun Muthiah lewat mengemaskini blog. Bukan apa, Muthiah agak sibuk mengejar target sendiri. Semua orang ada impian dan cita-cita. Muthiah pun sama. Meskipun agak perlahan, Muthiah akan tetap teguh berusaha. Doakan, ya. ALLAH ada. ALLAH dekat dengan hamba-hamba-NYA yang berusaha dan tidak putus asa.

Okey. Jom masak. Menu hari ini ialah sup daging (pertama kali Muthiah buat sebab sebelum ini Muthiah tidak pernah makan). Resipi dapat daripada nenek sebelah En. Suami.

Sup daging


Bahan-bahan

Daging yang siap dipotong
Sup bunjut
Ubi kentang dipotong dua
Bawang putih, halia dan cili api - ditumbuk (jangan halus sangat)
Garam
Lada hitam (orang cakap, lada hidup)
Bawang goreng (Cara membuatnya - goreng bawang merah yang dihiris)
Limau nipis (Muthiah suka masam tapi tak suka cuka)

Cara membuatnya

1- Rebus daging yang siap dipotong (Muthiah letak air banyak untuk mengempukkan daging).

2- Apabila telah menggelegak, air pun sudah kurang, masukkan sup bunjut... bahan-bahan yang ditumbuk... Ubi kentang... Tunggu sekejap. Selepas itu masukkan garam secukup rasa dan lada hitam.

3- Siap dan taburlah bawang goreng. Jangan lupa perah limau nipis. SEDAP, insya-ALLAH.

(Bagi yang suka menumis, boleh tumis bahan ditumbuk...kemudian, masukkan daging bersama rebusannya dan bahan-bahan di atas).

Muthiah : Selamat berbuka puasa. Ada satu hari lagi (Kalau mampu, sambung hari Khamis terus)
Labels: 0 comments | | edit post

Hadis | Selamat berpuasa 9, 10 & 11 Muharram ;)

Assalammualaikum. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Baik-baik sahaja ^___^

Oh, lewat sudah mencatat di entri. Sibuk. Sibuk mengejar deadline sendiri. Namun tiba-tiba, teringat pesan suami, "Blog... blog.." Jadi, mencuri masa sekejap di sini.

Bagaimana dengan hati kawan-kawan hari ini? Ada baik? Muthiah terbaca catatan Personaliti TV3, Sdr.Fedtri Yahya yang berbunyi ~ Hati tidak tenang - hukuman halus daripada ALLAH ~

Jadi, jika berada dalam kondisi ini... Yuk kita...

  • Beristighfar kepada-NYA.
  • Banyakkan mengingati ALLAH kerana dengan itu hati akan menjadi tenang (Ar-Ra'd : 28)

^_____^

Di kesempatan ini juga, Muthiah ingin mengucapkan Selamat Berpuasa bagi teman-teman yang berpuasa. Bagi yang masih belum tahu, jom baca catatan Ustaz Zaharuddin pula...


Selamat berpuasa sunat bagi mereka yang sempat berpuasa hari ini (9 Muharram) dan esok Insya-Allah 10 Muharram. Imam Syawkani & Ibnu Hajar mengatakan puasa ‘Asyura ada tiga tingkatan.

Yang pertama puasa pada hari ke 10 sahaja.
Tingkatan kedua puasa pada hari ke 9 dan ke 10.
Manakala tingkatan ketiga ialah puasa pada hari ke 9,10 dan 11.

Ganjarannya, diampunkan dosa-dosa setahun yang lalu dan yang akan datang. (Dari hadis sahih Muslim) ~ UZAR#

Nota : Pertanyaan lanjut tentang hadis ini, bolehlah rujuk kepada UZAR atau mereka yang lebih pakar. Selamat beramal buat semua ^^

Okey. Muthiah masuk kerja balik. Jaga diri, semua <3

Mencari Naurah (Bab 25)

Novel | Mencari Naurah

Novel Islamik, Sesuci Kasih Bonda aku tatap helaian demi helaian. Sememangnya kasih seorang ibu itu sungguh suci dan murni, tidak ternilai harganya. Sedang ralit membaca, tumpuanku terganggu dengan kehadiran mesej yang entah daripada siapa. Kotak mesej kubuka malas. Tiba-tiba, senyumku terukir tatkala membaca sistem pesanan ringkas yang baru aku terima.

BAGAIMANA dengan perkembangan di kampung?

Alhamdulillah, segalanya bertambah baik.

“Senyum seorang diri ke kak? Nasib baik Dilla dah kenal akak. Kalau tidak mesti ingat orang dot dot dot,” sapa Adilla sambil tersenyum sumbing.

Aku sedikit terkejut dengan sapaan Adilla. “Tidak adalah. Mana ada akak senyum.” Aku menafikan.

“Hmm... Akak dah ada teman lelaki, ya?” tanya Adilla lagi. Soalan cepu emas y

ang tiba-tiba jatuh ke bumi. Lebih spesifik, ke dalam rumahku... betul-betul mengenai mukaku.

“Teman dan kawan lelaki banyak. Satu kursus, satu kolej...” aku menjawab sambil lewa.

“Seriuslah, kak.” Adilla membulatkan matanya. Rambutnya yang panjang mengurai diikat tocang.

“Belum lagi agaknya,” aku memberi respons ringkas.

“Di universiti, tidak ada orang kacau akak ke?” Adilla masih menyoal siasatku.

“Err... tidak ada agaknya.” Aku menjawab lagi. Tidak pasti dengan jawapan yang kuberi. Entah kenapa aku perlu berasa ragu-ragu sedangkan aku benar-benar solo dan tidak ada halangan bagi sesiapa untuk cucuk jarum. Adoi! Tiba-tiba badanku terasa gatal.

“Hmm... buruk sangatkah kakak Dilla yang seorang ini?” Adilla menjelirkan lidahnya. “Bila akak hendak cari yang sesuai?”

Argh... Adilla tidak henti-henti bertanya. “Kenapa tiba-tiba tanya soalan macam ini?” Aku menyoal kembali tanpa menjawab persoalannya.

“Saja-saja sebab nampak akak senyum seorang diri,” Adilla tersenyum penuh makna.

“Mana ada,” kataku sambil mengeletek pinggangnya. “Makin berisi Dilla sekarang.” Aku cuba mengubah topik perbualan kami. Aku tahu, Adilla begitu khuatir andai berat badannya bertambah. Sanggup tidak menyentuh nasi sekiranya ada yang menegurnya semakin ‘sihat’. Lebih tepat... jika dikatakan semakin bulat!

“Mana ada,” Adilla menyentuh pipinya yang gebu.

Aku ketawa.

“Betul ke makin tembam?” Adilla nampaknya tidak berpuas hati.

“Hehehe...” aku pura-pura mentertawakannya.

“Mak... mak tengok Dilla makin gemuk ke?” Adilla berjalan ke arah mak yang sedari tadi memerhatikan gelagat kami. Mak hanya tersenyum.

“Betullah kalau begitu. Bukankah diam itu tandanya bersetuju?” Aku mengangguk-angguk. Macam penari dalam cerita Hindustan.

“Alah, padahal akak hendak tutup kes. Sebab itu kata Dilla gemuk.” Adilla menyangkal kata-kataku.

“Tutup kes? Akak tak fahamlah. Cakap biar terang.” Aku masih lagi ketawa. Entah apa yang begitu menggelikan hatiku, aku sendiri tidak tahu tetapi jiwaku sedikit terhibur tatkala melihat Adilla yang kemerahan mukanya.

“Akak sedang dilamun cinta... Walau di mana berada, ingatku dalam doamu...” Selepas itu Adilla mendendangkan lagu Aku Cinta Padamu nyanyian Datuk Siti Nurhaliza.

“Tengok, mak. Muka Kak Sha sudah berubah warna. Jadi hijau, mak. Incredible Hulk, takut...” Dia menambah. “Tidak lama lagi mak dapat menantulah,” katanya lantas memuncungkan bibirnya ke arahku.

Kami adik-beradik kemudiannya ketawa bersama-sama. Tidak terkecuali, mak yang sedikit ternganga mulutnya. Lega rasanya melihat perubahan mak.

Kugerakkan kaki menuju ke ruang tamu, tempat mak sedang duduk-duduk lalu berkata, “Mak doakanlah jodoh Sha dengan lelaki yang baik dan beriman.”

“Insya-ALLAH, sayang,” balas mak perlahan.

“Sayang mak,” ucapku lalu mencium pipi mak.

“Mana aci akak cium mak seorang!” jerit Adilla perlahan lalu menolak aku ke tepi. Cepat-cepat dia mencium pipi mak yang semakin berkedut itu.

Aku ketawa. “Aci-aci buka pintulah.” Aku masih mahu bergurau dengannya. Sudah lama rasanya tidak melalui saat sebegini.

“Mana ada. Achik sekarang di rumahnyalah.” Mak menyampuk.

Aku dan Adilla saling berpandangan. Kemudian kami ketawa terbahak-bahak dengan jenaka yang baru diperkatakan oleh mak.

"APA perancangan akak sekarang?" Adilla tiba-tiba bersuara dalam gelak tawa yang masih tidak surut.

"Maksud Dilla?" Dahiku berkerut. Begitu juga dengan mak yang terangkat keningnya mengalahkan Ziana Zain.

"Akak kan dah habis belajar…" Adilla terdiam sejenak. Dia mengukir senyuman penuh makna.

"Jadi???" aku menatap wajahnya dengan satu persoalan yang masih tidak terungkai dari dalam benakku.

"Alahai… kata sudah habis belajar. Konvo esok lusa," rungut Adilla perlahan.

"Hmmm…" aku mengetip bibirku.

"Dilla nak tanya, bila Asha nak mula kerja? Betul, Dilla?" mak menyampuk tiba-tiba.

"Haaaa… Mak yang duduk terperuk di kampung pun boleh buat soalan ramalan. Inikan akak yang lepasan U. Malu, malu," Adilla menggeleng sambil tersenyum.

"Eh… Oooo…" aku seolah-olah baru dikejutkan daripada lamunan. Tidak pun… baru terjaga dari mimpi yang panjang.

"Tengok! Tengah angaulah tu," adik bongsuku ini ketawa yang dibuat-buat. Semakin lama, semakin kuat hilaiannya, membuatkan aku geram sendiri. Aku membulatkan mataku yang tidak cukup bulat.

"Asha nak rehat dulu ke, macam mana?" mak juga nampaknya berminat untuk ambil tahu.

"Hehe… Sebelum peperiksaan akhir, Asha sudah mula hantar resume, mak. Semua syarikat Asha hantar. Tengoklah macam mana. Insya-ALLAH, ada rezeki, adalah tu…" jawabku sungguh-sungguh. Mak tersenyum manis. Begitu juga dengan Adilla. Senyum sumbingnya jelas kelihatan.

"Tak ada orang nak masuk meminang, kak?" Adilla mengenyitkan matanya ke arahku.

"Kalau tak ada, kenapa?" segera aku membalas.

"Hehe… takut jadi andartu," kata Adilla spontan.

"Andartu?" Mak mencelah membuatkan aku terpaku.

"Anak dara tu…." Adilla semakin galak mengusikku.

"Anak dara tunggu orang masuk meminang, mak," aku cepat-cepat memintas kata-katanya. Tidak mahu memanjangkan cerita. Khuatir terpaksa bersoal jawab dengan mak sedang aku tidak punya jawapan yang pasti.

"Hah?" Mak nampaknya semakin keliru. Aku menjeling Adilla tajam. Dia yang memulakan isu ini dan dia perlu mengakhirinya.

"Maksudnya, sebelum dapat kerja ni… Kak Sha kena mula belajar berhias. Nanti bila dah kerja, mudahlah nak pikat mana-mana anak dato' ataupun tan sri. Tidak pun, pikat dato' terus!!!" Hah! Adikku yang seorang ini nampaknya sudah semakin merapu.

"Sudah, sudahlah. Pening kepala mak melayan karenah kamu berdua. Hmmm…

Apa yang penting, mak mahu anak-anak mak bahagia. Buat pilihan yang terbaik untuk masa depan.

Dilla… belajar sungguh-sungguh. Ikut jejak langkah Kak Sha dengan Abang Ady.

Asha… sementara dapat kerja tetap, kerja dengan mak dulu buat kuih dan nasi minyak," mak nampaknya sudah bosan melayan fiil kami adik beradik yang mengalahkan budak sekolah rendah.

"Baik, Puan," ujar aku dan Adilla sambil tabik hormat kepada mak. Mak hanya tersenyum.

'Oh, kerja… cepatlah datang menjemputku,' hatiku berbisik penuh harap.

"Oh, abang… datanglah meminangku segera," Adilla merenungku penuh makna. Aku hanya buat tidak tahu…

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 24)

Novel | Mencari Naurah

SEDANG asyik aku mengelamun, pintu rumahku diketuk kuat seseorang.

“Tidak ada orang ke? Atau semua dalam rumah ni sudah mampus!!!” Jerit satu suara.

Aku kenal benar dengan suara itu.

“Arul,” mak segera mendapatkan Nasrul di muka pintu. Dipeluknya dan dicium Nasrul dengan bersungguh-sungguh. Diusapnya rambut Nasrul yang semakin panjang. Gembira benar mak.

“Alah, orang sudah besar panjang. Tak perlulah peluk-peluk.”

Kasar benar bicara Nasrul. Hatiku menggelegak mendengar kata-kata Nasrul yang sentiasa keterlaluan terhadap mak, namun kudiamkan diri kerana tidak mahu berbalah dengan Nasrul dan menyebabkan mak yang baru pulih daripada kesedihan kembali bersedih hati.

“Bila keluar?” Aku bertanya dengan lembut. Cuba mempamerkan rasa kasih dari dalam sanubari. Bukankah api itu lawannya air, sepertimana yang pernah diberitahu Asyraf satu ketika dahulu? Aku menjenguk ke luar rumah. Kelihatan seorang gadis kecil molek sedang duduk di atas tangga.

“Saya kawan Nasrul. Nama saya Farrah,” ujarnya penuh sopan.

“Dia yang jamin aku. Hendak harapkan kakak, tidak boleh diharap langsung. Lebih baik kalau tidak ada kakak. Buat sakit hati sahaja,” Nasrul menambah.

“Farrah naiklah dahulu. Akak buatkan air,” aku mempersilakan dia masuk ke dalam rumah. Tidak pula Nasrul membantah. Dia segera memasuki biliknya. Kemudian, keluar kembali menuju ke bilik air.

“Woi, cepatlah sedikit. Aku hendak mandi!” tengking Nasrul. Pintu bilik air diketuknya dengan kuat.

Hmm... perangai macam ini pun masih ada yang sudi berkawan dengannya? ‘Farrah, Farrah,’ aku berkata di dalam hati.

“Dilla, keluar sekejap. Abang Arul hendak mandi dahulu.” Kedengaran suara mak dari luar bilik air.

“Cepat buka pintu!” Jerit Nasrul lagi.

“Dilla sayang...” suara mak sedikit bergetar.

Tiba-tiba, pintu bilik air dibuka. Tanpa memandang wajah Nasrul yang kemerahan, Adilla segera berlalu ke biliknya. Masih marah agaknya dengan abangnya yang seorang ini.

Aku memandang Adilla dari ruang tamu. Begitu juga dengan Farrah. Tidak berkelip memandang Adilla yang masam mencuka.

“Farrah tinggal mana?” tanyaku lembut. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

“Rumah datuk Farrah di simpang Kampung Salor,” jawabnya sambil menghirup air teh yang aku sediakan.

“Belajar lagi?”

“Ya, di Kolej LimKokWing. Buka semester ni, masuk tahun dua.” Farrah memandangku sambil tersenyum manis.

“Ooo...”

Aku melihat mak di tepi pintu. Dia diam, sekadar memerhati aku dan Farrah. Matanya yang kemerahan itu terkebil-kebil.

“Farrah hendak keluar dengan Nasrul?” Perlahan-perlahan aku bertanya.

“Ya, Farrah hendak bawa Nasrul jumpa kawan daddy di Kota Bharu,” mujur gadis ini tidak kepala angin sebagaimana adikku, Nasrul.

‘Lurus...’ Aku tersenyum sendiri. “Ooo... nak buat apa?” aku cuba mengorek rahsia.

“Jom, sayang,” ajak Nasrul. Dia nampak kemas dengan baju kemeja berpetak-petak dan celana hitam. Aku tersenyum lagi. Maki-maki pun, baju pemberian aku juga yang disarungnya.

Setelah bersalam dengan aku dan mak, Farrah berjalan perlahan ke tempat dia memarkir keretanya. Wah! Anak orang kaya. Kalau tidak, masakan memandu BMW.

“Anak Dato’ Azmi,” kata Adilla menjawab persoalan yang bermain di mindaku.

“Asal Kuala Lumpur. Baru masuk kampung. Tidak tahu kenapa Dato’ Azmi hantar dia ke sini,” ia menambah.

“Hantar?” aku mengerutkan dahi seribu.

“Haah. Dato’ Azmi dan Datin Azizah masih di Kuala Lumpur. Dia pun belajar di sana. Entah masalah apa yang dia buat sampai kena hantar balik kampung. Sesuai sangat dengan Abang Arul,” terang Adilla sinis.

“Macam mana kenal Arul?” aku bertanya lagi.

“Alah, kak. Bukankah adik akak yang seorang tu kacak orangnya. Muka ala-ala Tom Cruise. Siapa tak berkenan?” Adilla mencebikkan bibirnya. “Harap muka sahaja tampan. Perangai???” tambahnya lalu masuk kembali ke dalam rumah.

Benar, Nasrul memang agak tampan. Mukanya keanak-anakan dan nampak seperti bintang filem. Kalau masuk peraduan Hero Remaja, tidak mustahil akan terpilih. Pernah juga aku terbaca surat yang dihantar peminat-peminat misterinya. Akhirnya, dia memilih Farrah. Benarkah Farrah ini gadis pilihannya? Entahlah, aku sendiri tidak tahu dan tidak berani serkap jarang.

~bersambung~

Air mata Siti Khadijah...


“Ayah…” panggilnya perlahan, seolah-olah, lelaki itu sedang berdiri dekat dengannya. Memandang dia dengan penuh kesayuan. Air mata Khadijah tidak semena-mena mengalir semakin deras. Hatinya cukup sebak. Sudahlah dia telah kehilangan ayahnya sedari kecil dan kini seolah-olah peristiwa itu akan berulang lagi. Sejarah mungkin berulang dan kini, dia mungkin akan kehilangan abangnya pula. Kehilangan? Entahlah. Sungguh bijak syaitan laknatullah mencucuk-cucuk hati hamba TUHAN yang lemah ini. Dibiarkan diri sang manusia hidup dalam penuh persangkaan yang negatif.

m/s : 187

'Syurga' ikan

Assalammualaikum. Apa khabar? Ada baik? Hati??? Hmmm... 'Something wrong somewhere?'Yuk, kita beristighfar kerana ketidaktenangan itu boleh jadi datang kerana adanya dosa.

Ehe. Sekadar ingin berkongsi hobi Muthiah ini. Jeng jeng jeng. Sangat gembira. Terima kasih En. Kekasih Hati sebab sama-sama bertungkus-lumus menyiapkan operasi pembuatan rumah ikan.

Selamat datang Lucky (Ikan Oscar), Helmet (Ikan Koi), Bell (Belut) dan Shine (Ikan Patin) ke rumah baru. Untuk Yuyu (Ikan Puyu)... maaf sebab terpaksa asingkan dengan ikan-ikan lain. Sebab... Nakal sangat. Jadi -> Grounded!

Jom tengok ikan Muthiah ^_____^


Yuyu yang hidup terasing :(


Kawan baik-baik, ya. Hiii ^_____^ Muthiah jatuh cinta pada Lucky <3

Muthiah : Namun, tetap tidak boleh menandingi cinta pada.....
Labels: 0 comments | | edit post

Persis Bidadari Syurga

Assalammualaikum. Apa khabar? ^______^

Ayuh mulakan hari kita dengan ....
  • Senyuman.
  • Kemaafan.
  • Berlapang dada.
  • Kerja sungguh-sungguh.
  • Ceria.
Okey. Jom kita beli buku NUR. Namun sebelum itu... tahniah Muthiah ucapkan kepada Kak Ummu Wafa atas kelahiran novel ini. Selain Persis Bidadari Syurga, beliau turut menghasilkan novel Lembayung Kasih-MU.




Sinopsis

Ketetapan takdir yang tertulis tidak mampu diubah lagi. Nur Asiah terpaksa berserah saat dia dikahwinkan dalam usia muda dengan lelaki yang tidak dicintai kerana tidak mahu menjadi anak derhaka. Sewaktu rakan sebayanya berlumba-lumba memanjat tangga universiti, Nur Asiah berada di ceruk dapur, menjadi isteri yang terdera fizikal dan mentalnya oleh suami yang panas baran serta menjadi hamba kepada madunya di dalam rumah sendiri.

Bayangan nasib malang dan ujian ALLAH sering mengekorinya. Saat dia mendapat kembali cinta, kasih dan sayang suami yang hilang, dia diuji lagi. Suami tercinta pergi menghadap ILAHI. Dalam usia yang masih muda, dia bergelar balu. Dugaan datang dan pergi sehingga Nur Asiah kelelahan. Mampukah Nur Asiah menyambung kembali cinta pertamanya bersama Zarif atau menerima lelaki dari Jerman yang mengirim cinta di angin lalu? Tegakah dia menduakan kasih suaminya yang kini hanya tinggal nama? “Ya ALLAH… berikan aku petunjuk dan hidayah dalam menghadapi dugaan-Mu ini…”

Okey. Muthiah beransur dulu. KERJA. KERJA. KERJA ^__________^