Kandungan Kalimah Syahadah


Menyoroti sirah, syahadatain begitu kuat diperjuangkan para sahabat bahkan mereka bersedia dengan ancaman mereka yang menentang ~ puak kuffar.

Lihat sahaja Habib yang tubuhnya dipotong satu-persatu oleh Musailamah…
Bilal bin Rabah yang teguh dengan “Ahad.. Ahad.. Ahad.”


Mengapa? Hal ini disebabkan oleh syahadatain … yang mengandungi makna yang mendalam bagi diri mereka.

Apakah yang terkandung dalam syahadatain? Kita mengungkapkannya sehari-hari. Azan yang berkumandang juga mengingatkan kita terhadap syahadatain. Kebanyakan umat Islam mengetahui bahawa syahadah itu membawa pengertian IKRAR sahaja. Silap… silap begitu…

Sebenarnya, syahadah juga mengandungi pengertian SUMPAH serta satu mitsaq (PERJANJIAN YANG TEGUH).

IKRAR ~ Suatu pernyataan seorang Muslim daripada apa yang DIYAKININYA. Pernyataan yang nampak mudah tetapi sebenarnya merupakan sesuatu yang sangat kuat kerana ungkapan itu DIDUKUNG OLEH ALLAH, malaikat dan orang yang beriman. Jika ia telah berikrar, bererti ia perlu yakin dengan peranannya sebagai hamba di atas muka bumi ini. Ia perlu taat serta patuh kepada Allah. Ia berkewajiban menegakkan dan memperjuangkan apa yang diikrarkan.

Kesedian seorang Muslim menerima akibat dan risiko dalam mengamalkan syahadah merupakan satu SUMPAH. Muslim yang menyebut asyhadu bererti telah bersedia dengan tanggungjawab menegakkan Islam dan ajarannya. Ia beramal dengan hukum Islam dan berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Perlanggaran sumpah akan membawa kepada kemunafikan dan neraka jahanamlah tempat bagi golongan munafikin.

Selain itu, dalam syahadah manusia telah BERJANJI TEGUH untuk taat dan patuh terhadap segala perintah Allah yang terkandung dalam kitabullah mahupun sunnah Rasul. Berjanji teguh bukan perkara main-main. Ia tidak mengamalkan al-Quran separuh-separuh mengikut kemahuannya. Ia menjadikan Islam sebagai jalan hidup. Percakapannya, tingkah-laku serta perbuatannya mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Dengan kata lain, “Islam is the way of life.”

DENGAN IMAN…

Cuba hayati kandungan syahadah… Pabila seseorang Muslim merenung kembali ikrar, sumpah dan perjanjian setia yang diberikan, ia pasti kan berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya. Ditambah dengan KEIKHLASAN dalam diri.

Secara tidak langsung, ia dapat memantapkan KEIMANAN. Syahadah yang diungkapkan datang dari hati yang suci. Ia diUCAPkan dengan ketinggian iman (isti’la-ul iman) dan hadir semangat “SAYA ADALAH MUSLIM” (isyhadu bianna Muslim). Ia keluar dari lidah yang baik serta mengandungi hikmah. Di hadapannya, ada Tuhan yang memerhati. “Kamera” Allah ada di mana-mana…

Bukan itu sahaja bahkan hati MEMBENARKAN SYAHADAH yang diikrar tanpa ragu-ragu. Ia tidak berat melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah. Ia tidak mempersoalkan segala apa yang telah ditetapkan.

Ia yakin dan pasti, Pencipta itu lebih luas pengetahuan-Nya tentang makhlukan. Mana mungkin Tuan Punya yang Maha Adil, Pengasih dan Penyayang menzalimi hamba-Nya.

Lantas ia menjadi hamba yang patuh. Mengapa? Kerana ia sudah membenarkan 100% ungkapan “Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah…”

Akhir sekali, daripada ucapan yang penuh bangga dan yakin, ia mengamalkan segala apa yang telah diperintahkan ke atasnya. Perbuatan ini termotivasi daripada hati yang IKHLAS dan PEMAHAMAN terhadap maksud aturan Allah. Setiap perbuatan merupakan cerminan kesucian hati dalam menggapai redha Ilahi.

ISTIQOMAH (berterusan)…

Pabila seorang Muslim melakukan sesuatu amal dengan konsisten dan berterusan, ia pasti kan melahirkan individu beriman sempurna yang memiliki sifat BERANI, TENANG dan OPTIMIS. Ia tetap pendirian dan tahan diuji.

KEBERANIAN hadir kerana adanya keyakinan bahawa setiap hamba Allah sentiasa dibela dan didukung oleh-Nya. Ia tidak takut menempuh tentangan hidup dan sanggup berjuang menegakkan kebenaran. Ia tahu bahawa Allah itu sentiasa dekat. Allah memelihara orang yang memelihara agama-Nya.

Di samping itu, ia berasa TENANG dengan ujian mendatang kerana ia tahu bahawa perlindungan Allah itu hampir. Allah memelihara orang Mukmin secara zahir dan batin. Dengan berpandukan petunjuk-Nya, hatinya kan menjadi tenang.

OPTIMIS bererti meyakini bahawa masa depan adalah milik orang yang beriman. Ia tidak berasa malu dengan syahadah yang diungkapkan meski dunia memandang serong para pengamalnya. Kemenangan umat Islam pasti tiba dan kehancuran puak kuffar sudah pasti. Orang Mukmin pasti tidak kan disia-siakan amalnya.

MEMPEROLEH KEBAHAGIAAN…

Fikirkanlah kembali. Sejauh mana kita memahami konsep syahadah dan pengamalan kita daripada pemahaman itu. Andai kita istiqomah dengan sifat berani, tenang dan optimis, pasti kita kan memperoleh KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT. Hanya syahadah sejati dapat membuahkan sa’adah. Ayuh! Kejarlah kesenangan yang telah dijanjikan Allah…

Muthiah : Jika kita selalu merasakan diri tidak layak menerima sesuatu yang baik dan berharga... Bilamana perkara baik dan berharga itu datang dan kita tidak pula melakukan apa yang sepatutnya sehingga ia terlepas dari tangan, maka kita telah mensabotaj diri sendiri. Betul???
Labels: | edit post
0 Responses