Doa

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? 

Muthiah... Alhamdulillah, selsema sudah baik. Batuk pula datang bertandang. Hajat di hati, hendak kembali menulis cerpen. Manuskrip? Insya-ALLAH, selesai urusan penempatan, barulah Muthiah kembali bekerja. Doakan ya.

Doa...



Al-Baqarah, 2:186

Menurut Kamus Dewan di talian, doa membawa maksud permintaan atau permohonan kepada TUHAN.

Setiap daripada kita pasti pernah memanjatkan berdoa. Paling tidak, sesudah solat. Tidak kiralah sama ada doa tersebut merupakan doa yang panjang... berdoa sedang jiwa melayang... doa yang pendek serta banyak lagi. 


** Pendek, panjang... ALLAH sahaja yang menilai **


Bolehkah dikatakan, orang yang tidak mahu berdoa adalah orang yang sombong dan angkuh terhadap TUHAN? ... sedang dia bukanlah siapa-siapa di atas muka bumi ini. Hendak mengangkat jari kelingking sendiri pun dia tidak akan mampu melainkan dengan izin ALLAH. Namun, tidak pula dia menyedarinya. Sungguh, manusia itu acap kali lupa, lalai dan alpa.

Persoalan untuk diri sendiri...


Foto : Sekadar gambar hiasan

Bilakah aku berdoa?
  1. Setiap masa.
  2. Selesai solat.
  3. Sebelum memulakan sesuatu perkara (makan, tidur, naik kereta, menulis).
  4. Ketika ditimpa musibah. 
  5. Ketika gembira.
  6. Sewaktu sedang berhati walang.
  7. Pada waktu buntu.
  8. ____________
Muthiah terfikir sendiri...

"Banyaknya yang aku minta tetapi ....
  • solatku tidak khusyuk... 
  • amalku entah... 
  • hatiku tidak cukup bersih... 
  • sukar memberi maaf pada mereka yang mengguris... 
  • kebaikan yang aku lakukan untuk orang lain sedikit, 
(serta banyak lagi kelemahan diri)..."

Namun!

Selaku hamba ALLAH yang lemah, hendak tidak hendak... mahu tidak mahu, kita perlu kembali kepada DIA. Siapa lagi yang memakbulkan doa kecuali ALLAH? Apabila DIA katakan jadi, maka terjadilah segala sesuatu perkara. Yakin.. 

Foto : Sekadar gambar hiasan

** ALLAH bagi apa yang kita perlu... **

Malu...

Rasa malu kadang-kadang hadir dalam diri (padahal kena selalu rasa malu).
  • Malu berbuat dosa... 
  • Malu mengingkari suruhan-NYA..
Bukan tidak tahu bahkan arif benar...
  • Solatlah pada awal waktu. 
  • Hindari mengumpat, mengata dan memfitnah.
  • Pelihara aurat dan maruah diri.
  • Berkelahi, jangan sampai melampaui batas.
  • Membenci, biarlah kena pada tempatnya dan berpada-pada.
Akan tetapi, begitulah...

Kita acap kali lupa. Sering juga teralpa dengan nikmat-NYA. 

Al-Maidah, 5:118
  • Moga-moga, sentiasa hadir keinginan untuk bertaubat dalam diri... tidak tunggu sampai ajal menanti. 
  • Moga-moga, ALLAH ampun dosa dan diri tidak dihambat dengan kermurkaan-NYA.
  • Moga-moga, ALLAH memilih kita menjadi salah seorang hamba-NYA yang soleh solehah.
Huh! Panjanglah pula. Yang baik, contohi. Yang salah, hindari.

Salam sayang dan kemaafan daripada Muthiah buat semua.

Mencari Naurah (Bab 73)

Novel | Mencari Naurah


Foto : Sekadar gambar hiasan


“Milo ini manis sangat!” jerkah Datin Khatty.

“Ada hati hendak kahwin tetapi buat air pun tidak pandai,” sambungnya lagi. Cawan yang dipegangnya dicampak ke lantai. 

Pang... pecah berderai bersama-sama air yang kubuat.

“Maaf, Mama,” ujarku perlahan. Cukup perlahan.

“Dewi, buatkan saya Milo. Ada menantu pun tidak boleh harap!” jerit Datin Khatty. 

Diam... 

Oh, ya. Dewi sedang menyidai pakaian di ampaian. Berkali-kali aku melarangnya tetapi ia tetap berkeras mahu membantuku. Sudah tentu ia tidak mendengar jeritan tuannya yang bengis itu. Mujur ibu mertuaku tidak menjerit lagi.

“Cuci terus lantai ini,” arah Datin Khatty. Aku hanya diam. Memandangnya sekilas dan berjalan perlahan ke dapur.

“Dewi, tolong bawakan air ini kepada ibu,” bisikku seraya menghulurkan secawan Milo kepada Dewi. 

“Baik, Bu,” balasnya sambil tersenyum. Hmmm... awal-awal pagi suasana di dalam rumah ini sudah kesuraman. Aku juga tidak tahu apa yang harus aku lakukan.

“Letak Milo di situ. Tengah hari ini, ajar budak kampung itu buat steak yang kau buat hari itu,” kata Datin Khatty tanpa memandang wajah pembantu rumahnya itu.

“Baik, Bu,” cepat-cepat ia kembali ke dapur.

“Ibu sudah minum?”soalku.

“Sudah, Bu,” jawabnya perlahan.

“Dia tidak cakap apa-apa?” aku bertanya lagi.

“Enggak ada,” balasnya. 

Nah, Datin Khatty memang sengaja mahu memakiku, mengherdikku. Mungkin ia akan berasa puas apabila berkelakuan begitu. Tidakkah ia sedar bahawa air yang diminumnya itu adalah minuman yang sama aku buatkan untuknya sebentar tadi? Sengaja aku buat lebih. Takut-takut tidak cukup tetapi bukan tidak cukup...

“Ibu...” Dewi merenung tepat anak mataku.

“Alah, Dewi. Bukankah saya sudah pesan, panggil saya Asha,” aku membalas renungannya. ‘Sasaran dakwah yang baik,’ getus hatiku. Aku perlu sentiasa optimis.

“Ibunya Khatty mahu makan steak. Saya enggak tahu membuatnya,” suaranya mendatar. Kecewa agaknya.

“Tidak apa, tidak apa. Nanti Asha buatkan, insya-Allah.” Aku memaut erat bahunya. 

Meskipun hanya orang gaji, Dewi adalah satu-satunya teman yang aku ada. Dialah pembantu rumah dan dia jua rakan karibku di dalam rumah besar ini.

“Natasha!!!” kedengaran suara Datin Khatty menjerit lagi. 

Sama sekali tidak mahu memberi peluang kepadaku untuk bernafas sejenak. Ada sahaja yang diingininya. Ada sahaja yang tidak kena.

“Ya, Mama.” 

Aku cepat-cepat berjalan ke arahnya yang sedang duduk melunjur bagaikan seorang permaisuri. Permaisuri yang kejam lagi jahat... umpama si Maharani dalam Cinta Sang Ratu.

“Dalam bilik aku, ada dua bakul baju yang tidak berbasuh. Kau basuhlah...” Datin Khatty merenung tajam mataku.

“Aku hendak ke salun sekejap. Pastikan semuanya sudah selesai bila aku pulang,” tambahnya.

“Satu lagi... pakaian dalam aku, aku tidak suka kau basuh guna mesin. Basuh guna tangan,” sambung Datin Khatty lagi.

“Baik, Mama,” balasku pendek. Aku segera menghulurkan tanganku untuk menyalaminya.

“Ah, tidak payah salam-salam,” ia menempis tanganku. Aduh...

“Dewi, kau jangan hendak memandai-mandai tolong budak ini,” Datin Khatty menjeling tajam ke arah Dewi yang berdiri tidak jauh daripadaku. Gadis itu sekadar membisu.

“Alias!!!” jeritnya pula. Pak Alias yang tadinya sedang mengelap kereta segera berlari mendapatkan Datin Khatty yang nampak begitu cengil.

“Saya tolong, Bu,” ujar Dewi separuh berbisik.

“Tidak apa. Asha boleh buat sendiri,” aku hanya tersenyum.

Uwek, uwek...

Kenapalah tekak ini mahu buat hal pada saat-saat begini? Kupegang perutku perlahan. Anakku nanti pasti menjadi pejuang agama Allah yang rela berkorban demi agamanya.

‘Sabar, Sha. Pahala percuma sedang menanti di hadapan mata...’

~bersambung~

Mencari Naurah (Bab 72)

Novel | Mencari Naurah

Foto : Sekadar gambar hiasan


 “Aku pun tidak tahu macam mana hendak sukakan kau...”

“Sebab hati aku sudah berasa amat benci. Terlalu benci...”

“Hakikatnya,  engkau paling layak menjadi bibik buat Asyraf dan Amalin,” Datin Khatty menambah.

“Jadi, aku tidak suka melihat engkau yang bagaikan puteri di dalam rumah mewah aku ini,” ia menyudahkan kata-katanya.

“Kau faham maksud aku?” ibu mertuaku ini menyambung kembali peringatannya. 

Aku hanya diam. Tidak berani untuk bersuara walau sepatah pun. Sekiranya tersilap bicara, padahnya di hadapan mata. Lebih baik menjadi abdi yang hanya mendengar arahan tuannya. Ya, ada baiknya jika aku menjadi abdi. Bukan kuli kerana kuli itu masih menerima bayaran daripada majikannya.

“Kau memang lembab,” Datin Khatty masih tidak berpuas hati merobek hatiku.

“Dewi!!!” jeritnya pula.

“Dewi!!! Kau sudah pekak?” intonasi suaranya ditinggikan.

“Maaf, Bu. Saya sedang cuci kain,” mengigil-gigil pembantu rumah ini memandang tuannya. Takut sungguh dia dengan Datin Khatty.

“Baik, Dewi. Mulai esok, kerja kau akan diambil alih oleh menantu kesayangan aku yang seorang ini. Apa kerja kau di dalam rumah ini?” Datin Khatty bertanya. 

Mulut Dewi melopong. Ia tidak menjawab pertanyaan yang diajukan kepadanya.

“Apa kerja kau di dalam rumah ini?” mata Datin Khatty semakin membulat.

“Sediakan makan pagi, tengah hari dan malam. Sediakan minum petang. Kemas seluruh rumah. Cuci pakaian dan pinggan kotor...” jawabnya terketar-ketar.

“Sudah, sudah... aku tidak mahu dengar. Nanti kau terangkan kepada pembantu baru kau. Aku lantik kau sebagai ketua bibik di dalam rumah ini. Perempuan ini akan buat semua kerja kecuali...” Datin Khatty kelihatan sedang berfikir jauh.

“... Apabila Asyraf ada di rumah, kau ambil alih semuanya,” ujar Datin Khatty perlahan.
“Tapi, Bu...” Dewi menyampuk.

“Kau hanya ada dua pilihan. Sama ada engkau mahu ikut arahan aku atau kau aku hantar balik Indonesia,” Datin Khatty semakin menyinga.

“Kalau engkau beritahu Asyraf, tahulah nasib kau dalam rumah ini,” tambahnya lagi. Hatiku berdegup kencang mendengar kata-kata Datin Khatty. Sehingga tahap ini ia sanggup memperlakukanku? Hina sangatkah diriku sehingga ia langsung tidak dapat menerima kehadiranku dalam hidupnya?

“Natasha binti Zulkarnain...” diam.

“Semua ini berkuatkuasa esok. Jika aku dapat tahu engkau mengadu kepada sesiapa sahaja, tahulah nasib kau,” Datin Khatty merenungku tajam. Aku hanya diam.

“Kau faham atau tidak?” ia menjerit kuat. Aku masih lagi diam. Lidahku kelu, hatiku mati.
“Pekak! Kau faham atau tidak?” Datin Khatty menjerkahku pula.

“Insya-Allah,” aku menjawab perlahan.

“Baik. Kau pergi tidur sekarang. Esok kau mulakan kerja kau. Hari ini kau rehatlah puas-puas,” ia terus meninggalkanku. Dari tingkap rumah, aku memerhatikan Pak Alias tidak berkelip memandangku. Mungkin ada rasa simpati di hatinya. Siapa tahu?

~bersambung

Marah!

Assalammualaikum. Yeha, akhirnya. Selesai sudah mengemas stor. Tinggal...

  1. Tempat basuh baju.
  2. Bilik mandi.
  3. Tandas.
  4. Koridor.
  5. Basuh langsir.

Caiyok!


Foto : Sekadar gambar hiasan.

Hendak tulis apa, ya? Banyak tetapi blank. Hmm...

Perkongsian perihal emosi...

Baru-baru ini, Muthiah berada dalam keadaan yang agak berserabut @ tidak stabil. Sekiranya ditanya pada diri, memang banyak sebabnya. Punca yang Muthiah cipta sendiri, mungkin...

  1. Banyak berperjalanan.
  2. Urusan perpindahan.
  3. Kerja penulisan.
  4. Fikir pasal masa hadapan dan karier.
  5. Blablabla...

Akibatnya....


Foto : Sekadar gambar hiasan.
Kelemahan sesetengah orang... emosinya bisa menjadi kurang stabil apabila...

  1. Letih.
  2. Lapar.
  3. Banyak kerja.
  4. Stres.
  5. Blablabla...

Muthiah juga termasuk dalam lingkungan sesetengah orang itu (kadang-kadang kot). Ehe...

Hendak dijadikan cerita, Muthiah perlu berurusan dengan seorang kerani di pejabat peguam. Asalnya, beliau berjanji ingin menghubungi Muthiah tetapi tidak! Tunggu punya tunggu. Senyap sepi. Maka, Muthiah pun pergi ke pejabat peguam berkenaan. Hajat di hati, ingin meluah segala yang terpendam (pasal urusan yang berkaitan). Iyalah. Orang sedang tidak stabil.

Sebaik sahaja sampai di tempat yang dituju...

"Akak... Kenapa tak call. Tunggu tau." 

Oh, tidak. Perancangan untuk potpetpotpet tidak berjaya. 

Kerani tersebut tersenyum nipis.

"Banyak kerjalah..."

Muthiah lalu duduk di atas kerusi di hadapan beliau.

"Alah, kak. Nak pindah ni, banyak kena setel. Akak janji nak call." 

Nada suara masih manja-manja (Padahal untuk menyembunyikan perasaan marah dan segala jenis rasa yang ada).

"Okey... okey..."

Lantas, kerani berkenaan pun mengira jumlah bayaran yang perlu Muthiah buat. Tidak sampai 10 minit... 
Foto : Sekadar gambar hiasan.

Muthiah tersenyum panjang. Diri baru tersentak daripada emosi yang tidak stabil. Muthiah istighfar sendiri. 

Hmm... banyak yang Muthiah renungkan. Muhasabah... dan lagi... dan lagi...

Jom kita mengambil iktibar daripadanya...

  1. Banyak kerja + Stres + Pening + Letih + Tidak stabil = Kembalilah kepada ALLAH. Mintalah kekuatan daripada ALLAH. Banyakkan zikir, istighfar dll.  Kita bukanlah siapa-siapa tanpa ILAH. Kadang-kadang, kita merasakan dapat melakukan segala sesuatu tanpa betul-betul meminta kepada-NYA. Namun kita silap. Kita sangat membutuhkan RAB pada setiap denyutan jantung kita.
  2. Ketika tidak stabil = Bertenang dahulu, dikhuatiri orang lain di sekitar kita yang menjadi mangsa ketidak stabilan kita. Mungkin salah mereka kecil sahaja tetapi dek kerana bebanan yang sudah tidak tertanggung dalam diri, segalanya menjadi besar. Awas! Jangan sampai melampias rasa marah... masalah yang dihadapi, tidak kena pada tempatnya. Zalim tu. Berbalik kepada point di atas, kembalilah kepada ALLAH
  3. Ketika marah = Lagi point di atas, kembalilah kepada ALLAH. Istighfar banyak-banyak. Zikir tanpa henti. Kurangkan berbicara kerana takut apa yang terluah itu hadir dari emosi yang tidak stabil dalam diri. Masih tidak berkurang rasa marah? Ambil wuduk. Solat sunat taubat. Manalah kita tahu. Marah dan tidak tenang itu itu hadir dek kerana bintik hitam dalam diri. Lagi? Andai sedang berdiri, duduklah. Tetap marah? Maka, berbaringlah. Moga ALLAH ampun dosa.

Okey. Sudah sampai masa kecemasan. Yang baik jadikan teladan. Yang tidak elok, moga dijadikan sempadan.

Salam sayang buat semua ~ Muthiah Habitullah :)

Hari merapu

Assalammualaikum. Mulakan harimu dengan senyuman. Apa khabar? Muthiah... Alhamdulillah. Adalah gatal hidung dan selsema. Moga dapat menjadi penghapus dosa...

  • Dosa mata yang melihat perkara mungkar.
  • Dosa telinga yang mendengar perkara keji.
  • Dosa mulut yang berbicara perkara hina.
  • Dosa tangan dan kaki.
  • Dosa hati yang suka syak wasangka, iri hati, membenci dll.
  • Dosa dan dosa...

Hmm... on off kemaskini blog. 

Muthiah agak sibuk sebenarnya. Banyak berjalan dan sedang bertungkus-lumus mengemas barang untuk berpindah. Alhamdulillah. Suami sudah pun lapor diri ke Putrajaya (Namun, kami masih berada di Ipoh). Moga-moga dapatlah rumah yang selesa untuk diduduki kelak. Maklumlah, kuaters penuh. Apapun, ALLAH adalah sebaik-baik Perencana.

Hendak tulis apa ya? Santai sahaja...

22/12/2012

Pulang ke Pasir Mas untuk menghadiri majlis perkahwinan (sambut menantu) Khairy dan Mas di Machang. Moga berbahagia sampai syurga, insya-ALLAH. 



25-26/12/2012

Mula berkemas...



Dan lagi...





Dan banyak lagi. Senyummmmm....


Foto : Sekadar gambar hiasan.

Dan hari ini...

27/12/2012

Sepatutnya Muthiah mengemas bahagian dapur, stor dan tempat basuh baju. Namun...


Foto : Sekadar gambar hiasan.

Kondisi badan tidak cukup baik. Mungkin dek kerana penat berperjalanan tanpa henti dari bulan Oktober (hampir setiap minggu) dan berlanjutan sampai bulan Disember (setiap minggu). Ditambah dengan habuk-habuk yang ingin berteman dengan Muthiah tatkala Muthiah menyelongkar almari dan tempat-tempat tersembunyi dalam rumah... membuatkan jasad meronta-ronta mahu merehatkan diri. Chewah.

Maka...

Jom rehat! 

Hmm... 

Kemerapuan melampau. Tidak apalah. Blog Muthiah... rumah Muthiah. Kesimpulan yang dapat Muthiah buat daripada catatan Muthiah ini ialah...

Manfaatkan 5 perkara sebelum sampai 5 perkara...

  1. Manfaatkan waktu muda sebelum tua.
  2. Manfaatkan waktu sihat sebelum sakit.
  3. Manfaatkan waktu lapang sebelum sibuk.
  4. Manfaatkan waktu kaya sebelum miskin.
  5. Manfaatkan waktu hidup sebelum mati.

Okey. Doakan Muthiah ya. Doakan juga agar impian Muthiah menjadi nyata, insya-ALLAH. Amiin :)

Mencari Naurah (Bab 71)

Novel | Mencari Naurah


“Engkau fikir aku sudah terima kau?” jerkah Datin Khatty. Diam...

“Jangan kau anggap...” kata-katanya terhenti di situ. 

Oh, rupanya kereta Asyraf sudah memasuki perkarangan rumah. Tiga bulan pertama, Datin Khatty tidak mahu langsung memandangku tetapi setelah melepasi tempoh itu, lain pula caranya.

Datin Khatty acap kali menjerkahku. Tidak kira di hadapan sesiapa sahaja. Pak Alias, Dewi... semua sudah masak dengan tindak-tanduk Datin Khatty. Ada sahaja yang tidak kena di matanya. Menantu tidak guna, budak kampung tidak sedar diri... entah apa lagi gelaran yang mahu dilabelkan ke atas diriku. Aku sendiri tidak pasti.

“Assalammualaikum, Mama... Asha,” kedengaran suara Asyraf di muka pintu. 

Tanpa lengah, aku segera mendapatkannya. Kedukaanku sering kali berlalu pergi bilamana dapat menatap wajahnya. Hanya dia yang aku ada di sini. Eh, silap. Bukan... ada yang lagi dekat sebenarnya. Siapa lagi kalau bukan Tuhan yang satu. Dia sentiasa mendengar dan melihat segala kesulitanku.

Kulihat wajah suamiku berkerut namun senyumannya tetap setia di bibir. Aku tahu ia keletihan setelah sehari suntuk di hospital. Berhadapan pula dengan seribu satu karenah manusia. Aku yang mendepani karenah ibu mertua yang seorang ini pun sudah cukup menyesakkan jiwa. Inikan pula Asyraf.

Aku memandang Datin Khatty sekilas. Oh, ia sudah berubah wajah. Singa Lapar ini sudah menjadi bak gajah yang takutkan tikus. Ia besar tetapi menundukkan dirinya di hadapan seseorang yang amat dikasihinya. Bukankah manis senyum begitu? Datin Khatty berlagak biasa. Seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

“Asha, ambilkan Asyraf air. Teh o limau panas,” arahnya lembut.

“Baik, Mama,” aku segera berjalan ke dapur. Rasa hatiku sungguh tidak keruan serta kurang stabil. Entahlah. Sebab kena marah lagi agaknya.

Hmmm...  macam tidak biasa.

“Mahu saya siapkan, Bu?” takut-takut Dewi bertanya.

“Tidak apa. Biar Asha buat sendiri,” ujarku sambil tersenyum. 

Mahu menangis sebenarnya mengenangkan sikap Datin Khatty. Ia begitu pandai berpura-pura di hadapan Asyraf. Aku pula mungkin sudah letih untuk mengenalpasti sikap sebenar ibu mertuaku ini. Justeru, akulah yang harus beralah. ‘Asha, kuat Sha,’ aku berkata sendiri. Cuba kukuatkan hati untuk tidak berundur apatah lagi berputus asa.

Berani menerima lamaran Asyraf bermakna sudah bersedia dengan segala kemungkinan. Bukan aku tidak tahu. Datin Khatty sememangnya tidak menyukaiku. Siap memperkenalkan calon menantu pilihannya lagi. Maka, aku perlu tabah serta tidak membiarkan diriku dihambat kesedihan. Ah, Asyraf ada. Dialah penyubat kedukaanku. Lagipun, begitu besar harapan Asyraf terhadap mamanya. Aku tahu...

Namun, apakah yang harus aku lakukan? Mengikut cara Abbas Assisi? Anggota Ikhwanul Muslimin yang memiliki lima cahaya mata ini memulakan dakwahnya dengan memijak kaki seseorang di dalam bas. Dari situ, perkenalan terjalin dan bermulalah tugasan dakwah. Kemudian, sentuhlah hatinya...
                                                                                                  Foto : Sekadar gambar hiasan

‘Bagaimana mahu menyentuh hati mama?’ aku berfikir sendiri.

“Macam mana kerja hari ini?” kedengaran suara Datin Khatty dari ruang tamu.

“Alhamdulillah. Semua O.K. cuma banyak pula pesakit berbanding hari biasa,” jawab Asyraf sambil tersenyum. Ia kemudiannya mengambil alat kawalan jauh yang terletak di atas meja.

‘Puh buka TV3,’ bisik hatiku. Sudah lama aku tidak menonton drama bersiri SpaQ. Al-maklumlah, ibu mertuaku begitu mengawal gerak-geriku tatkala Asyraf tiada di rumah. Ini salah, itu salah, semua salah. Membuatkan aku menjadi serba tidak kena. Rumah ini terlalu asing buatku.

“Dafi...” kedengaran suara Qistina memanggil anak sulungnya. 

Aku tersenyum sendiri. Watak utama siri SpaQ ini memang seorang wanita yang kental. Ia berhadapan dengan terlalu banyak masalah. Ia seolah-olah telah dilahirkan untuk menempuh segala cabaran itu. Bermula dengan karenah suami yang bermain kayu tiga, pertelingkahan dengan kakaknya, Marlia. Kini, Qistina berhadapan pula dengan anak terunanya yang jatuh cinta dengan Julia, adik kandung wanita yang pernah menjadi wanita simpanan suaminya. 

‘Macam-macam,’ omelku sendiri.

“Pesakit demam denggi semakin meningkat sekarang. Ditambah dengan adanya penyakit baru, chikugunya,” Asyraf bersuara.

“Kawasan rumah kotor, air bertakung. Sebab itu nyamuk banyak membiak,” sampuk Datin Khatty.

“Ya.  Kempen, iklan semua tidak jalan. Masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Tidak tahu di mana silapnya,” sambung Asyraf. Perlahan-lahan aku membawa dua cawan air. Satu untuk mama dan satu untuk suamiku.

“Minum, Bang...”

“Mama,” aku mempelawa perlahan.

“Rajin menantu Mama,” puji Datin Khatty sambil tersenyum. Senyuman yang lebih manis daripada senyuman tadi. Aku memandang Asyraf sekilas dan memandang kembali ibu mertuaku yang sedang menghirup air teh o yang kubawa.

“Kadang-kadang, tidak boleh salahkan mereka juga. Pemaju dan pihak pemerintah pun kena memainkan peranan. Pastikan sistem perparitan serta kumbahan tidak bermasalah. Ini tidak, macam-macam aduan diterima. Bukan itu sahaja, ada juga laporan menyebut bahawa sistem kutipan sampah terkumpul di kawasan perumahan  tidak dilakukan secara konsisten. Akibatnya, tempat tersebut menjadi kotor dan tidak menyelerakan.” Aku tersenyum melihat Asyraf yang begitu bersemangat berbicara. Mungkin sudah hilang lelahnya...

“Namun, tidak dapat dinafikan bahawa empunya diri yang bertanggungjawab atas kawasan yang diduduki...” ia menambah.

Betul segala apa yang diperkata Asyraf. Semua pihak harus memainkan peranan. Tidak boleh sekadar menuding jari. Bukankah satu jari yang menuding empat jari akan kembali kepada diri sendiri? Keindahan Islam kurenungi...

‘Hai orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan dan janganlah kamu menurut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagimu...’ Bilamana kita mengikuti Islam secara menyeluruh, amanlah dunia. 

Mengapa?

Daripada Abu Hamzah Anas bin Malik R.A., pelayan Rasulullah, bahawa Nabi SAW bersabda, “Seseorang di antara kalian tidak (dikatakan) beriman selagimana ia tidak mencintai saudaranya sebagaimana ia mencintai dirinya sendiri,” H.R. Bukhari dan Muslim.

Maka, setiap makhluk di dalam dunia ini akan menjadi insan yang tidak mementingkan diri sendiri. Dengan kata lain, kebahagiaanmu adalah kebahagiaanku jua, air matamu air mataku juga. Yang kaya tidak teragak-agak menolong si miskin, yang berkuasa pula tidak ragu-ragu memudahkan urusan mereka yang lemah. Tidak ada manusia yang hidup nafsi-nafsi. Sendiri-sendiri.

Jadi, apalah sangat bagi mereka yang berharta untuk menginfakkan sebahagiannya kepada mereka yang memerlukan. Ini tidak! Yang sudah sedia banyak ingin ditambah-tambah lagi. Habis semua mahu dibolotnya. Ia mungkin sekali lupa dan tidak ada pula yang mahu mengingatkan, bila-bila sahaja Allah boleh menjemputnya.

Kemudian, ia kembali kepada-Nya. Ingin membawa bersama wang berjuta tetapi apakan daya, ia tidak mampu. Tinggallah si anak, si isteri, dan si ibu ayah yang tidak duduk diam, asyik bertelingkah tentang harta yang ditinggalkan.

“Sha...” Asyraf menyebut namaku. Alamak, aku berkhayal lagi.

“Lepas Isyak Abang perlu kembali ke hospital. Kena ganti seorang doktor yang cuti kecemasan. Asha jaga Mama, boleh?” ia memberitahu.

“Insya-Allah,” balasku perlahan. Sebaknya rasa hati...

~bersambung

Mencari Naurah (Bab 70)

Novel | Mencari Naurah


“Bila Ady habis belajar?” Asyraf memandangku sekilas. Kemudian, meneruskan suapannya sedikit demi sedikit.

“Insya-Allah, dua tahun lagi,” aku membalas pandangannya sambil tersenyum.

“Dewi, datin tidak balik lagi?” Asyraf berkalih pula ke arah pembantu rumah.

“Belum, Pak,” jawab gadis Indonesia itu pendek.

“Entah ke manalah mama pergi malam-malam begini,” rungut Asyraf perlahan. 

Kasihan aku melihat suamiku ini. Asyraf mahu mamanya berubah tetapi ia sendiri tidak punya jalan untuk mengajak wanita itu. Kadang-kadang, menyeru orang asing kepada kebaikan itu lebih mudah daripada mengajak keluarga sendiri. Apatah lagi jika melibatkan ibu dan bapa. Mereka masih merasakan si anak yang pernah dibesarkan itu masih mentah tentang kehidupan.

“Lepas ini, kita tadarus sama-sama, Sha.” Begitulah Asyraf tatkala kerunsingan. Membaca ayat-ayat Allah adalah salah satu cara untuk mendapatkan ketenangan hati.

“Insya-Allah...” ujarku perlahan.

“Papa mana?” soal Asyraf lagi.

“Papa ke rumah Mama Melissa,” jawabku benar-benar yakin. Ibu tiri Asyraf yang seusia dengannya itu agak akrab denganku. Mungkin kerana kami sama-sama dianggap musuh oleh Datin Khatty, menyebabkan kami semakin rapat.

“Papa mesti gembira di sana. Mama Melissa melayan papa bagaikan raja,” Asyraf sedikit mengeluh. Hanya itu yang mampu dilakukannya. Setakat mengeluh...

“Pukul berapa mama akan balik, Dewi?”Asyraf berkalih semula ke arah Dewi yang masih tercegat di hadapan kami.

“Enggak tahu, Pak. Siang-siang lagi sudah keluar dengannya Pak Alias,” ia mengerutkan dahinya yang sudah naik dua biji jerawat batu. Mungkin mahu mengingat-ingat kembali.

“Abang O.K.?” aku menyentuh peha Asyraf perlahan. Kerisauannya turut sama merunsingkanku.

“Insya-Allah ,O.K.. Alhamdulillah.” Asyraf diam sejenak.

“Ada apa-apa yang Asha hendak kongsi dengan Abang?” lelaki ini merenung tepat ke dalam anak mataku.

“Tiba-tiba, Asha teringatkan mak...” kata-kataku terhenti di situ.

“Sudah telefon mak?” soal Asyraf lagi.

“Sudah. Mak sihat. Sekarang Adilla cuti semester. Jadi, ada di kampung menjaga mak,” aku menceritakan serba ringkas.

Foto : Sekadar gambar hiasan

“Asha hendak balik kampung?” Asyraf seolah-olah tahu apa yang sedang bermain di dalam hatiku.

“Tidak apalah, Bang,” ujarku perlahan. Cukup perlahan.

Jauh di sudut hati, aku sebenarnya kepingin untuk pulang ke kampung. Bertemu dengan Adilla dan ibu yang sudah lama tidak bersua muka. Sudah lama rasanya tidak menerima usikan adik bongsuku yang nakal itu. Rasa rindu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Namun, apakan daya. Aku kini sudah bergelar isteri. Tidak mahu menyusahkan suami dan tidak sanggup meninggalkannya di kota mencari rezeki berseorangan. Aku pula bersenang-lenang di kampung halaman. Jika aku ada, pasti boleh menyambutnya di muka pintu tatkala ia pulang dari tempat kerja. Pasti terubat hatinya. Penat lelahnya dihargai sang isteri. Eh, akulah itu. Isteri kepada Dr. Asyraf Daniel Ghazali.

“Kalau Asha mahu balik kampung, jangan segan-segan beritahu. Kalau Asha tidak maklumkan, Abang pasti tidak tahu. Hanya Asha sahaja yang tahu dan Abang sememangnya tidak tahu,” Asyraf berseloroh. Aku memandang ke arah Dewi yang sedang terlopong mulutnya. Terkedu dengan kata-kata puitis Asyraf, mungkin. Puitis??? Aku hanya tersenyum.

“Insya-Allah,” balasku dengar tidak dengar. Air sirap kuhirup perlahan.

‘Kurang manis,’ desisku sendiri tetapi Asyraf suka begini. Untuk kesihatan katanya. ‘Skema betul Dr. Asyraf ini,” bisik hatiku lagi.

“Senyum sorang-sorang... Teringatkan kenangan di PCB?”

“Memori daun pisang di PCB?” ulang Asyraf mengusikku.

“Eh, tidaklah. Bukankah senyum itu sedekah,” senyumku semakin melebar.

“O.K., jom. Kita selesaikan misi kita yang kedua,” Asyraf yang baru siap makan buah anggur segera membasuh tangannya dengan air yang sudah tersedia.

“Misi yang kedua?” aku masih keliru. Asyraf hanya tersenyum nakal.

“Baik, Tuan,” aku mengangkat tabik hormat kepadanya.

“Dewi, Asha tidak dapat membantu malam ini,” aku berbisik kepada pembantu rumah yang sedang tersenyum simpul. Membuatkan aku malu sendiri.

“Enggak apa, Bu. Sememangnya tugasan saya,” ujarnya lembut.

~bersambung~

Chow Kit - Bukit Nanas - Dang Wangi - KLCC

Assalammualaikum. Akhirnya...

Apa khabar, semua? Muthiah... Alhamdulillah. Selamat sampai di Ipoh sekitar jam 1.25 pagi semalam. Dari hari Isnin sampai Khamis, Muthiah menemani suami (padahal tidak mahu duduk sendirian di rumah) yang perlu menghadiri mesyuarat/ kursus/ majlis anugerah di Putrajaya. 

17/12/2012

Kami bertolak dari Ipoh sesudah menunaikan solat Maghrib. Namun sebelum itu, kami makan malam di Restoran Maxwell (dekat dengan pejabat Kastam Diraja Malaysia, Ipoh). Cakap pasal Restoran Maxwell... tempat makan ini merupakan salah satu lokasi menjamu selera kegemaran kami kerana :

1- Harganya berpatutan.
2- Nasinya banyak (terutama makanan bergoreng).
3- Rasa pula - bolehlah.

Kami sampai Putrajaya sekitar jam 12.30 pagi. 

18/12/2012


Tidak ada aktiviti menarik (untuk Muthiah) hari ini memandangkan suami terlibat dengan kursus/ taklimat/ mesyuarat AKRAB. Pada malamnya pula, suami perlu menghadiri Majlis Makan Malam dan Anugerah (tidak pasti nama khusus untuk anugerah berkenaan), Muthiah ke Kuala Lumpur International Hotel dahulu dengan teman sekerja suami.

Tahniah kepada suami serta warga kerja JKDM Perak. Untuk Anugerah Stor, Stor Ipoh telah mendapat tempat kedua (ada lagi anugerah lain tetapi Muthiah hanya tahu anugerah yang suami dapat). I'm happy for you, Abe.

Hmm...

Oleh sebab suami tidak ada,  Muthiah pun makan sorang-sorang; nasi lemak dibeli dari kedai berhampiran (Harga termasuk air teh o ais sebanyak RM4.50). Rezeki Muthiah, nasi lemak yang dimakan hampir basi. Terdapat pula unsur-unsur malas dalam diri, Muthiah tekad untuk berlapar sahaja (tidak mahu cari nasi lain). Hahaha... Alhamdulillah, suami balik bukan dengan tangan kosong. Ada KFC. Yeah!

19/12/2012

Hari yang dinanti dan ditunggu pun tiba. Suami balik awal. Ikut hati, Muthiah tidak mahu ke mana-mana pada malamnya. Iyalah. Muthiah sekarang tengah layan cerita di TV9 jam 8.30 malam. Akan tetapi suami ajak keluar juga. Oleh sebab yang mengajak itu adalah En. Suami, Muthiah pun menurut sahaja.

Perjalanan pun bermula...

Kami keluar dari hotel dalam jam 8.00 malam. Oleh sebab perut sudah berkeroncong minta diisi, kami memutuskan untuk makan di restoran di belakang KL International Hotel. Agak lama menunggu... 

AKAN TETAPI!

Sate yang dijual dekat kedai makan ini sangat sedap... amat sedap... oh, sedap. Harga sate ayam dan daging, masing-masing ialah RM0.80 dan RM1.00 sebatang. Cubalah, insya-ALLAH puas hati.

Selesai sudah...

Perjalanan yang lebih mencabar pun bermula...

Suami ajak pergi jalan-jalan dekat KLCC. Jadi, kami pun berjalan kaki dari hotel ke Stesen Monorel Chow Kit. Oh, ya. Kami memilih untuk menaiki pengangkutan awam kerana khuatir tidak ada tempat parkir kereta apabila balik nanti.

Jalan... jalan... jalan...

Akhirnya sampai ke Stesen Monorel Chow Kit, Alhamdulillah.


Untuk ke KLCC, kami perlu bertukar tren. Mula-mula, naik monorel. Kemudian, naik LRT Putra pula. Maka, kami pun membeli tiket monorel ke Stesen Bukit Nanas (sebab ada pertukaran tren LRT Putra dekat sana). Harga token ialah RM1.20 setiap seorang. Awalnya, suami minta kami beli terus token balik dari Bukit Nanas ke Chow Kit. Dalam hati, Muthiah tidak bersetuju. Manalah tahu, tidak sempat namun Muthiah tidak pula Muthiah bertegas dengan pendapat Muthiah.

Chow Kit --> Medan Tunku --> Bukit Nanas

Alhamdulillah, sampai. Kami kemudiannya berjalan kaki ke LRT Putra Dang Wangi. Dalam 5 minit kot. Suasana di sini agak sepi dan sunyi. Tidak banyak orang dan jarang nampak kereta lalu lalang. Maka, suami pun berkata, "Balik nanti, kita ke KL Sentral. Ambil monorel dari sana."

Muthiah hanya mengangguk seraya membalas, "Itulah. Kan dah cakap. Tak payah beli token lagi." 

Sampai di Stesen LRT Dang Wangi, kami dilayan mesra oleh petugas di kaunter. Terasa diri bagai pelancong dari luar Malaysia pula...

"Kami dah tersalah beli token. Boleh guna tak ke KLCC?" soal Muthiah.

Dalam senyum manis, petugas di kaunter berkenaan menjawab, "Kami tak beri refund tetapi nanti saya cuba tolong."

Agak lama kami di sana. Dipendekkan cerita, petugas di kaunter berkenaan membantu kami dengan menghubungi rakannya di kaunter Stesen LRT Putra KLCC. Jadi, apabila sampai di sana, Muthiah hanya perlu menambah sebanyak RM0.20 sahaja. Untuk pengetahuan semua, tambang token dari Dang Wangi ke KLCC ialah sebanyak RM1.30 untuk satu token.

Dang Wangi --> Kampung Baru --> KLCC

Sebaik sahaja sampai KLCC, jam sudah menghampiri pukul 11.00 malam. Muthiah bertanya kepada petugas di sana, "Kalau kami nak balik Chow Kit naik monorel dari KL Sentral, pukul berapa kami kena naik tren di sini?"

Petugas tersebut menjawab, "Lagi dekat turun dekat Bukit Nanas..." 

"Rasanya, baik naik jam 11.00. Tren terakhir pukul 11.45 tetapi kalau dari sini, dalam jam 11.30," beliau menambah lagi.

Muthiah terkedu. Cepat-cepat mendapatkan suami lalu berkata, "Be, jom balik. Dah pukul 11.00."

Suami hanya tersenyum. Ehe... inilah catatan perjalanan hebat kami pada hari ini. Juga... dating paling bermakna buat kami. Sangat mencabar.

Oh, ya. Sebelum terlupa. Suami sempat berkata, "Kan Abe kata beli token terus ke Chow Kit."

20/12/2012

Kami bertolak ke Ipoh setelah selesai makan malam di Restoran D'Dusun, Pinggiran Putra. Restoran ini juga merupakan salah satu tempat makan kegemaran kami kerana :

1- Harganya boleh tahu.
2- Rasanya okeylah.

Moga dapatlah serba sedikit maklumat daripada perkongsian Muthiah petang ini.

Muthiah : Terima kasih kepada petugas di kaunter Monorel Bukit Nanas dan LRT Putra KLCC. Moga ALLAH memurahkan rezeki dan mengurniakan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.

Al-Fatihah

Assalammualaikum. Apa khabar? Mulakan harimu dengan senyuman. Insya-ALLAH sampai selesai urusan perpindahan, Muthiah akan off menulis manuskrip. Banyak perkara yang perlu dibereskan dahulu. Doakan segalanya dipermudahkan ALLAH ya.

Okey...

Hari ini hendak mencoret pasal apa? 


Al-Fatihah...
  • Kita baca setiap kali menunaikan solat. Sebelum berdoa pun sama.
  • Apabila berada di dalam majlis, kita mulai dengan membaca Al-Fatihah.
  • Ketika mendapat khabar tentang kematian, automatik kita menghadiahi Al-Fatihah.
  • Sebelum baca Yasin, dimulai dengan bacaan Al-Fatihah.
Muthiah pun sama...
  • Ketika tidak tenang, Muthiah suka baca Al-Fatihah. Baca.. dan lagi... dan lagi sampai rasa tenteram -> Waktu studi dulu, kalau stres suka baca surah Al-Baqarah ayat 286.
  • Apabila berbuat salah pada seseorang, Muthiah pula tidak berdaya (sama ada ego, malu sendiri dll) untuk menyatakan silap diri, Muthiah akan hadiahkan Al-Fatihah kepada Polan binti Polan Kalau -> Tetapi kena ingat, apabila buat salah... rendahkan hati untuk minta maaf. Salah dengan ALLAH, boleh mohon ampun. Salah sesama manusia, kenalah cari orang yang kita aniaya tu.
  • Bilamana Muthiah risaukan suami serta sesiapa sahaja yang Muthiah sayang, Muthiah akan bacakan Al-Fatihah untuk mereka. 
Al-Fatihah dibaca...
  • ALLAH yang memberi ketenangan.
  • ALLAH jua yang memberi kekuatan.
  • ALLAH memegang hati-hati manusia
  • ALLAH yang melembutkan hati-hati hamba-NYA.
Moga kita menjadi hamba yang sentiasa ingat pada-NYA  ketika senang dan pada waktu ditimpa musibah. 

Gusar...

Kita dialpakan dengan kesenangan. Sampai kita terlupa siapa diri kita yang sebenarnya. Kita hanyalah hamba yang banyak dosa. Selalu buat silap.Selalu juga kita lalai untuk bertaubat kepada-NYA. Kadang-kadang, kita rasa kita besar walhal kita bukan siapa-siapa pun. ALLAH hendak beri, mudah bagi-NYA. DIA hendak tarik balik, sekejap sahaja.

Takut...

Kita hanya mencari ALLAH apabila tidak punya apa-apa... bilamana kita ditimpa musibah, rasa tidak tenang (Bukankah dengan mengingati ALLAH hati akan menjadi tenang?). Ketika senang, berdoa pun tidak mahu. Sujud pula dek kerana sudah terbiasa melakukannya tanpa menghadirkan diri pada pengabdian kepada-NYA, nauzubillah.

Khuatir...

Dek kealpaan dan kelupaan ini, kita semakin jauh daripada-NYA. Sukar untuk menangis di hadapan-NYA. Terbuai dengan keseronokan duniawi. Moga ALLAH memberi ruang dan peluang untuk kembali...

Okey. Ambil yang positif sahaja ya.

Muthiah : Mohon dengan penuh harap.