Konker
Friday, September 25, 2009
“Alaaa... Abang sorang je konker. Mane aci..” kata si adik apabila si abang begitu asyik dengan mainannya. Mainan itu bukan abang punya seorang. Adik pun ada hak. Kena main sama-sama.
Lantas si adik menangis teresak-esak. Tidak puas hati apabila rayuannya tidak diendahkan oleh abang. Abang pentingkan diri. Abang tidak fikir orang lain. ‘Kan kena sama-sama?’ Fikir si adik.
Abang pula, lain pendapatnya. ‘Aku kan abang!’ Siapa cepat dia dapat. Kena pandai-pandai cari ruang dan peluang. Usaha tangga kejayaan. Tidak kira apa jua caranya, yang penting mesti dapat.
Begitulah keadaannya. Setiap orang berlumba-lumba mendapatkan sesuatu yang diingini. Mahu cepat naik pangkat, kena bijak bodek bos. Mahu naik gaji, kena pandai tonjolkan diri. Yang penting, kita tahu ... kita sedar bahawasanya kerja kita diperhatikan.
Bilamana kerja bagus dan memuaskan, pasti ada habuan yang menanti. Hmmm... Bagaimana pula dengan perlumbaan mengejar pahala Allah? Bukankah jual beli itu tidak memerlukan modal dan wang.
Perlu ada rasa ikhlas dalam diri. Pasti ganjaran menanti di hadapan. Tetapi sayang, kita tidak berlumba-lumba atau berebut-rebut ke arah itu. Pahala Allah tidak dapat dilihat oleh mata yang acap kali tertipu tetapi bonus yang dijanjikan, boleh buat downpayment kereta baru.
Adik menangis kerana hanya abang yang konker. Pernahkah kita menangis apabila hanya orang lain yang berlumba-lumba menginfaqkan hartanya... bangun menangis di tengah malam? ... kerana ALLAH???
Renung-renungkan...