Akhlak Nabi junjungan
Monday, September 28, 2009
“Tuhanku telah mendidikku, maka Ia baguskan akhlakku.” HR Al-Suam’ani dari Abi Mas’ud.
Nabi SAW junjungan mulia. Mempunyai akhlak dan peribadi tinggi yang patut dicontohi. Nabi ditarbiyah secara langsung oleh Allah SWT menjadikan beliau seorang yang luhur budi pekertinya.
Pastinya, dengan peribadi mulia itulah kelak memberi kemenangan kepada umat Islam. Rasulullah SAW bukan sahaja seorang abid yang mengharapkan Tuhannya pada malam hari bahkan menjadi umpama seekor singa yang hebat bertempur menegakkan yang hak pada siangnya.
Sebagai seorang pendakwah, akhlak itu penting untuk ditonjolkan. Akhlak yang ‘manis’ memberi gambaran positif kepada apa yang kita bawa. Sering kali mata yang memandang melihat kepada tingkah laku berbanding kata-kata kita.
Sebagai contoh, apabila seorang pendakwah menyeru mad’unya untuk tidak mengumpat tetapi ia sendiri banyak menyebarkan aib sahabatnya, hal ini akan memberi impak kepada individu yang didakwahinya.
Dia bercakap tetapi tidak dikotakan. Secara tidak langsung, ia juga telah memberi gambaran negatif terhadap pendukung kalimah tauhid ini. Allah berfirman dalam surah as-Saff ayat 2-3 yang bermaksud, “Hai orang-orang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah kerana kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan.”
Berbalik kepada persoalan akhlak. Sejauh mana kita sedar tentang kepentingan menjaga akhlak agar tidak memberi fitnah kepada agama kita? Dewasa ini, sering kali kita melihat pemuda pemudi Muslim tersasar daripada akhlak yang disarankan oleh agama Islam.
Si remaja, tanpa segan dan silu berpeluk bercium di khalayak umum, tidak malu untuk minum arak, membuli, ber ‘couple’ tanpa ikatan yang sah, lari dari rumah, zina dan sebagainya. Fenomena ini bukanlah perkara asing dalam masyarakat Islam malahan telah diiktiraf oleh banyak individu.
Dengan alasan, itu adalah hak peribadi setiap manusia. Insan itu seolah-olah lupa akan aturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang mencipta. Sudah jelas lagi nyata bahawa remaja era milenium sudah luntur keperibadiannya. Dan… remaja inilah yang bakal mencorak pemerintahan negara dan masyarakat pada masa akan datang.
Islam menyuruh manusia untuk berakhlak dengan akhlak mulia. Setiap manusia perlu patuh kepada perintah dan peraturan Allah serta menjauhi larangan-Nya. Allah lebih tahu apa-apa yang kita tidak ketahui.
Mengapa perlu patuh? Lihat kepada kronologi lampu isyarat dan kereta. Mengapa kita perlu mematuhi isyarat lalu lintas? Jawabnya agar dapat menghindarkan diri daripada berlakunya kemalangan.
Seandainya lampu merah dilanggar, tidak mustahil kemalangan boleh berlaku. Begitu juga halnya dengan ketetapan Allah. Mengapa perlu patuh kepada suruhan dan arahan-Nya? Kerana Dia lebih tahu yang terbaik untuk hamba-Nya. Mengapa? Kerana Dia yang mencipta bumi ini, Dialah Pemilik dan Dialah jua Tuan Punya Alam.
Akhlak Nabi… Tidak dinafikan bahawa akhlak yang dimiliki Nabi SAW tidak ada tolak tandingnya. Dengan akhlak Rasulullah, menarik minat orang lain terhadap Islam itu sendiri.
Orang jatuh cinta dengan agama Allah akibat terkesan dengan akhlak serta imej yang dibawa Rasulullah. Mari kita menyelusuri akhlak mulia Nabi junjungan yang boleh kita hayati dan ikuti.
Kisah Arab Badwi yang mengencingi masjid.
Suatu hari, seorang Arab Badwi kencing di hadapan masjid, di hadapan Rasulullah. Para sahabat bermaksud mahu mencegahnya tetapi Nabi melarang mereka dengan berkata, “Janganlah kamu putuskan kencingnya.” Kemudian Nabi bersabda kepada Badwi itu, “Bahawa masjid-masjid itu tidak patut untuk sesuatu kekotoran.”
Hmmm… boleh jadi kita tidak membuang air merata-rata di dalam masjid tetapi… sejauh manakah kita menjaga kebersihan surau kita????
Rasulullah SAW memaafkan Abu Sufyan
Pada hari pembebasan kota Mekah (futh Mekah), Abu Sufyan masuk ke khemah Nabi dengan badan yang gementar dan ketakutan. Dia datang untuk bermohon agar Rasulullah menyelamatkan jiwanya.
Lantas Rasulullah berkata, “Barangsiapa yang masuk ke Masjidil Haram, terjamin keselamatannya! Barangsiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, selamatlah ia! Dan barangsiapa yang masuk ke dalam rumahnya sendiri, maka terjaminlah keselamatannya!”
Daripada kata-kata ini dapat kita lihat akhlak mulia yang dimiliki oleh Nabi SAW. Sedangkan rumah itulah yang menjadi pusat fitnah dan markas gerombolan musuh-musuh Islam. Di dalamnya pula, tinggal Hindun yang telah membelah perut Hamzah dalam perang Uhud.
Dapat dilihat di dalam sejarah, siapakah yang boleh memberi pengampunan percuma sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah? Benarlah seperti mana sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan budi pekerti.” HR Ahmad dan al-Hakim.
Kita pula? Sejauh mana kita berlapang dada dan memaafkan kesalahan insan lain terhadap diri kita? Atau… kita semai perasaan benci dan dendam itu di dalam hati kita. Akibatnya, kita sendiri yang sakit!
Rasulullah memaafkan Fudholah yang hendak membunuhnya
Pada saat Nabi SAW sedang bertawaf di Kaabah, datang seorang lelaki yang bernama Fudholah bin Umar dengan niat mahu membunuhnya. Apabila sudah berada di samping Rasulullah dan mempunyai peluang untuk membunhnya, tiba-tiba ia terkejut tatkala bertembung pandangan dengan Nabi SAW.
Nabi bertanya, “Apakah engkau yang bernama Fudholah?”
Dengan gementar ia menjawab, “Ya benar. Akulah Fudholah ya Rasulullah.”
Rasulullah bertanya lagi, “Niat apa yang terkandung di dalam hatimu?”
Fudholah berkata dengan gementar, “Tidak ada suatu apapun, aku hanya berzikir.”
Tertawalah Nabi sambil berkata kepadanya, “Minta ampunlah kepada Allah atas dosa dan niat jahatmu wahai Fudholah.”
Kemudian, Nabi meletakkan tangannya yang penuh kasih sayang dan keberkatan ke atas dada Fudholah. Selepas kejadian itu, Fudholah berkata, “Demi Allah. Apabila Nabi SAW mengangkat tangannya dari dadaku, aku merasakan tidak ada seorang pun di dunia ini yang lebih aku cintai dan sayangi selain daripada Rasulullah SAW.”
Daripada petikan kisah ini, dapatlah kita mengambil pengajaran berkait dengan akhlak Nabi yang perlu kita ikuti. Mudah untuk digelar pendakwah tetapi sukar untuk menjadi seorang pendakwah yang benar-benar tulus dalam menjalankan aktiviti dakwahnya.
Kadang-kadang, ia menyeru manusia kepada kebaikan akan tetapi ia lupa untuk menyeru dirinya. Sering kali, ia mengajak manusia berakhlak dengan akhlak mulia tetapi ia sendiri tidak berperibadi sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh Nabi SAW. Ia tahu ketinggian peribadi Nabi junjungan tetapi sukar baginya untuk mengikutinya.
Muthiah : Tidak suka orang yang tidak menghormati kakak atau abangnya…