Muka tebal...


Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Ehe... Bak kata Nurhidayu Salleh, 'Dia outstation, aku instation..."

Kelebihannya... Muthiah dapat jalan-jalan.
Kekurangan/ kelemahannya... KB Muthiah tertangguh.

Apapun, insya-ALLAH. Muthiah yakin pasti ada hikmah-NYA. Muthiah merancang, KB dapat disiapkan dalam tahun ini juga. Tup tup... banyak pula agenda lain yang datang. Tidak dapat dielakkan pula. Sesungguhnya, ALLAH lebih tahu segala sesuatu yang tidak kita ketahui.

;) Sudah hampir seminggu Pesta Buku Kanak-kanak berakhir. Alhamdulillah. Muthiah gembira dan berbesar hati sungguh. Sebabnya??? Kerana Muthiah dapat belajar dan berkenalan dengan orang yang hebat. Paling teruja, bila dapat berjumpa empat mata dengan Kak Sri Diah.

Seorang penulis memberitahu Muthiah (iyalah... Muthiah malu-malu kucing pula di sana)...

Untuk memasarkan buku kita, tidak boleh malu-malu. Kita kena positif dan optimis. Kita mahu buku kita... tidak ada yang membelinya disebabkan sikap kita yang malu-malu ini? Dalam hati Muthiah, Muthiah berkata sendiri, "Malu tidak bertempat!" Adoi...

Muthiah hanya tersenyum. Ehe... Mungkin bukan malu tetapi agak segan. Mungkin sebab Muthiah orang baru. Mungkin dan mungkin... Ah! Alasan tetapi.... Tidak ada tapi-tapi lagi. Baik pergi naik kereta api, Den-O. Apa ni? (Dahi berkerut tanda sedang buntu @ blur).

Hmmm...Meskipun sudah lama menulis di blog.... Hendak cakap macam mana, ya? Entahlah... Tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Pause...

Apa pengajaran yang Muthiah dapat daripada pemerhatian Muthiah sepanjang hari tersebut (25/12/2010)?

  • Kita kena berani melakukan sesuatu jika hendak berjaya (Asal mana tidak melanggari syariat). Go go go, Muthiah. BERANI! Orang lain, pun... sama...

  • Bukan mudah mahu berjaya. Perlu berusaha bersungguh-sungguh. Macam rakan penulis ini. Muthiah sangat kagum kepadanya. Orang muda cakap, "Tabik spring." Masakan tidak... hampir setiap hari beliau turun ke pesta buku ini untuk mempromosi bukunya.

  • Dalam hidup, usah sekali-kali cepat mengalah. Kalau jatuh, cuba bangun. Kalau tidak mampu bangkit, hulurkan tangan. Insya-ALLAH, akan ada yang tarik kita untuk berdiri semula.

  • Jaga diri... jaga hati daripada sikap-sikap buruk seperti iri hati, fitnah dan lain-lain. Terkedu juga Muthiah apabila penulis berkenaan bercerita tentang kisahnya yang difitnah. Asbab? Entahlah tetapi sejak novel pertamanya terbit dan mendapat sambutan ramai. Hmmm... rupanya, tidak semua orang senang dengan kegembiraan dan keberjayaan orang lain. Jadi... bersiap sedialah. Mohon perlindungan daripada ALLAH. Harapan Muthiah... Moga, beliau terus sabar dan tabah ;)

Okey... Ayuh, kita sama-sama terus mengorak langkah.

Muthiah : Kembalikan segala kehebatan itu kepada ALLAH kerana kita sebenarnya bukanlah siapa-siapa.

You can be the best!

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Sedang berusaha keras untuk membereskan sesuatu sebelum menjelang tahun baru 2011. Selalu sahaja di-KIV atas sebab-sebab yang tidak mampu dielakkan. Moga-moga, dipermudahkan TUHAN. Andai terlebih masa lagi? ;) ALLAH lebih tahu mana-mana yang terbaik untuk diri Muthiah… Bukan sahaja Muthiah tetapi kita semua, insya-ALLAH.


  • Kadang-kadang, kita merasakan diri tidak dibantu…
  • Kita merasakan diri ini sendiri...
  • Tidak ada siapa yang sudi mendengar rintihan hati ;) Ehe... Muthiah sudi ….


Namun percayalah… kita tidak pernah sekali-kali dibiarkan sendiri. ALLAH ada. ALLAH dekat… lebih dekat dari urat merih kita ;) Hanya... kita sahaja yang sering kali tidak mahu memikirkannya.


Hmmm… hari ini, hendak berborak-borak tentang apa, ya? Okey... Tersebutlah kisah...


Di Taman Simpang...


Jeng jeng jeng... Muthiah berbicara dengan...


Kata Muthiah, "Be, tadi Muthiah baca pada wall seorang penulis muda. Dia juga menulis blog. Diluahkan rasa hatinya di wall..."


Suami berkalih kepada Muthiah. Dia segera bertanya, "Apa katanya?"


Muthiah tersenyum lantas menjawab, "Saya hanyalah insan biasa dan saya tidak berdaya untuk memuaskan hati semua orang..." Muthiah terdiam sejenak.


"Ya. Tidak semua orang menyukai kita dan tidak semua orang membenci kita." Tambah Muthiah lagi. Kemudian, Muthiah membisu buat kesekian kalinya.


Suami sepi tanpa kata-kata. Tidak lama kemudian, dia pun bersuara. "Pilih ungkapan begini. 'Saya hanyalah insan biasa tetapi saya akan cuba yang terbaik untuk semua orang!"


Nah! Optimis sungguh dan Muthiah sebenarnya belajar untuk menjadi optimis dan positif daripadanya.


Pengajarannya:


Sahabat-sahabat....


Kita mungkin belum menghasilkan sesuatu yang terbaik namun, insya-ALLAH... jika kita tidak berputus asa dalam berusaha... kita tetap mampu membuat yang paling baik. Ya. Kita boleh berusaha dan ALLAH-lah yang menetapkan segalanya.


Jadi...


Buat adik-adik yang Muthiah kasihi (yang telah meluahkan rasa hati kepada Muthiah)... perihal ketidakupayaan untuk bangkit dalam kejatuhan, ayuh... kita sama-sama bangun... berdiri dan berjalan kembali. ALLAH ada... ALLAH dekat. Semakin kita merasakan diri tidak kuat, semakin itulah kita perlu mendekatkan diri kepada-NYA.


Gambatte ;)


Muthiah : Menjauh...

MALAS...

Assalammualaikum. Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Masih lagi diberi ruang oleh ALLAH untuk meneruskan coretan di sini. Terima kasih kerana sudi menjengah.

Hmmm... siapa yang tidak pernah rasa MALAS, sila angkat tangan?

Ehe... jom, kita kongsi bagaimana ingin mengatasi rasa MALAS.

  1. Rajinkan diri ~ apa daaaa... Ehe... no worry. Setiap orang BERHAK mengemukakan pandangan masing-masing, di rumah masing-masing. Aik. Apa ni? Selingan dan merapu sahaja ;)
  2. Biasakan diri untuk melakukan perkara yang berfaedah atau bermanfaat.
  3. Tidak ada kerja... jom cari kerja (biarlah halal dan tidak melanggar syariat).
  4. Dekatkan diri dengan ALLAH.
  5. Jaga makan dan kesihatan ~ Iyalah. Apabila badan sihat, otak pun cerdas. Hmmm... malas juga? Berbalik kepada item di atas ~ Rajinkan... biasakan... carikan... dekatkan...
  6. Tidur secukupnya ~ Apa makna 'secukupnya' bagi sahabat-sahabat? Ehe... tidur 8 jam sehari semalam? Atau... tidak seadanya tetapi berkualiti. Bagaimana hendak mendapatkan tidur yang berkualiti? Hmmm... lain kali, kalau ada masa dan idea, Muthiah cuba cari bagaimana (tetapi tidak janji ya)...
Okeylah. Santai untuk hari ini. Selamat bermuhasabah ;)

Muthiah : Ada kalanya malas tetapi berusaha merajinkan diri.
Labels: 2 comments | | edit post

Adab bertamu (iii)

~ sambungan semalam ~

5 - Tidak sering bertamu


Aik. Sering pun tidak boleh? Hmmm… seperti apa yang Muthiah baca. Bertamu yang terlalu kerap boleh menimbulkan kebosanan. Betuk ke? Entahlah. Mungkin ya bagi sesetengah orang dan mungkin juga tidak bagi segelintir orang yang lain. HANYA MUNGKIN. Dari sisi Muthiah, mungkin jarang menerima tetamu. Jadi, apabila tetamu datang, teruja bangat!


Hmmm… ayuh kita saling menziarahi. Sebab… kalau tidak bertamu langsung, takut makin menjauh. Kalau bertamu dari pagi sampai ke malam, hari-hari pula… takut :


  • Tanpa sengaja termakan bangkai saudara sendiri.
  • Tanpa sedar, kita sudah mengganggu perancangan asal tuan rumah. Iyalah… kita datang hari-hari. 12 jam di rumah orang. Ehe…


6- Digalakkan membawa buah tangan


Tanpa sedar, pemberian buah tangan ini… walaupun sedikit bisa menimbulkan rasa cinta dan kasih dalam hati. Iyalah. Tuan rumah pasti berasa senang dan gembira. Lagipun, Muthiah pasti… banyak di kalangan kita bahkan mungkin semua… akan berasa senang apabila menerima pemberian daripada seseorang.


Nabi SAW pernah bersabda, “Berilah hadiah di antara kalian, nescaya kalian akan saling mencintai,” H.R. Bukhari).


7- TIDAK BOLEH seorang lelaki bertamu di rumah seorang wanita yang suami atau mahramnya tidak ada di rumah.


Khuatiri… bisa menimbulkan fitnah kepada diri. Lagipun, bukankah tidak wajar/ patut seorang lelaki dan perempuan yang tidak punya apa-apa ikatan duduk berdua-duaan di dalam sebuah rumah, meski sang suami adalah rakan baik kepada lelaki itu sendiri.


Nabi SAW bersabda, “Janganlah sekali-kali menjumpai wanita”. Maka, seorang lelaki daripada kaum Ansar bertanya ,“Wahai Rasulullah, bagaimana dengan al-hamwu?” Rasulullah menjawab, “Al-hamwu adalah maut,” H.R. Bukhari dan Muslim.


Imam Al-Baghawi menerangkan, al-hamwu (merupakan jamak kepada ahma’) yang membawa maksud keluarga lelaki dari pihak suami dan keluarga perempuan dari pihak isteri. Dan… yang dimaksudkan di sini adalah saudara lelaki suami (ipar), kerana dia bukanlah mahram bagi si isteri.


Berkenaan kalimah. “Al-hamwu adalah maut,”, Ibnul-‘Arabi berkata, “Ini merupakan kalimah yang diucapkan oleh orang Arab, sama dengan ungkapan, ‘Serigala adalah maut.’ Ia membawa maksud, ‘Bertemu serigala bersamaan dengan bertemu maut.”


Muthiah : Mengantuk... SENYUM ITU SEDEKAH ;)

Pesanan kedua


Alhamdulillah. Pesanan buku Ayah, Amir nak masuk U yang kedua sudah pun berada di tangan Muthiah. Siapa-siapa yang ingin mendapatkannya secara terus dengan Muthiah, bolehlah emel ke xpdcsolehah99@gmail.com.

Buat mereka yang telah mendapatkannya, terima kasih Muthiah ucapkan ;)

No shout anymore? ;)



Assalammualaikum, semua. Apa khabar? Muthiah. Alhamdulillah, beres semuanya dan... GUMBIRA. Semalam, sambutan yang diterima untuk novel remaja Ayah, Amir nak masuk U amat menggalakkan. Terima kasih yang tidak terhingga Muthiah ucapkan kepada kaum keluarga, saudara-mara serta sahabat-sahabat yang banyak menyokong dan membeli novel remaja pertama Muthiah ini. Alhamdulillah.

;) Hmmm... pagi tadi, Muthiah dikejutkan dengan satu ungkapan yang dijeritkan di shout box Muthiah. Jeritan itu berbunyi :

  • Bodoh ;)
  • Blog SS
Ikutkan, Muthiah hendak membiarkan sahaja. Siapa-siapa berhak menulis apa sahaja di sini. Ada yang datang untuk benar-benar membaca entri di sini dan mungkin yang menjengah untuk... Apapun, Muthiah dahulukan dengan ucapan terima kasih.

Namun, yang menjadi masalah. Kalau Asyraf, dia akan cakap, "Panggillah sang kancil" (apabila ada masalah). Pengirim ungkapan di atas namanya Mutiah. Hehe... Masih okey tetapi... yang menjadi kurang elok ialah link yang diberikan ialah link blog siti-muthiah sendiri. Wah... 'eloknya' bahasa yang Muthiah tuliskan.

Oleh sebab tidak mahu mengundang kemudaratan yang lebih besar, Muthiah memutuskan untuk meniadakan ruangan shout ini dahulu. Bukan apa... apabila yang berkata tidak elok itu adalah Muthiah sendiri... Muthiah pula di dalam blog ini berbicara tentang akhlak... jadi, shout daripada 'Mutiah' itu dilihat sebagai tidak selari dengan apa yang Muthiah tuliskan di entri.

Buat Ain ~ Kita chit chat di ruangan komen ya.

Buat Slave dan lain-lain ~ Jazakallah kerana sudi menjengah. May ALLAH bless us.

Buat Mori Mori ~ Terima kasih kerana sudi mendapatkan novel Ayah, Amir nak masuk U. Terima kasih juga atas pandangan yang diberikan. Insya-ALLAH, untuk masa akan datang... Muthiah akan cuba mempertingkat kualiti karya yang dihasilkan. I'll try my best, insya-ALLAH. Oh, ya. Untuk pengetahuan Mori Mori, Ayah, Amir nak masuk U sebenarnya adalah novel remaja. Muthiah menghantarnya ke Buku Prima dan dipilih untuk berada dalam kategori Teen Prima. Namun, Muthiah kira... orang dewasa dan kanak-kanak pun tidak salah membacanya. Ehe... jangan lupa untuk mengikuti sambungan novel Ayah, Amir nak masuk U ya. Sob sob... Muthiah terharu atas pandangan yang diberikan kerana ... ada yang prihatin. Lebih-lebih lagi kepada Muthiah yang baru bertapak di dalam dunia (penulisan) ini. Moga ALLAH memberkati Mori Mori dan keikhlasan Mori Mori mendapat ganjaran daripada-NYA.

Baiklah. Kita jumpa lagi, ya. Insya-ALLAH, blog akan terus dikemaskini setiap hari meskipun ruangan shout di-KIV buat sementara waktu.

Salam sayang buat semua ;)

****

Apabila Muthiah memaklumkan kepada suami tentang hal ini pagi tadi, suami berkata, "Jika 'dia' mahu ruangan shout ditiadakan, 'dia' nampaknya telah berjaya..." Muthiah hanya tersenyum.

Dalam hati, berkata-kata sendiri .... "Orang setekad ini, bagus jika dapat diasuh sebaiknya untuk berjuang ke jalan ALLAH. Kerana... tekadnya kuat. Nanti, dia akan menjadi orang yang tekad dalam mempertahankan agama ISLAM."

Adab bertamu (ii)


Assalammualaikum. Baik, kita sambung entri yang semalam tentangADAB BERTAMU.

1- Ayuh, kita perbaiki niat.

Sepertimana yang terbaik dalam hadis pertama daripada hadis arbain, “Sesungguhnya, setiap amal bermula dengan niat…”

Untuk apa kita hendak berziarah?

· Mengeratkan silaturrahim?

· Menunaikan hajat tertentu dengan tuan rumah (house warming contohnya).

· Mengukuhkan ikatan ukhwah?

· Mencari kelompangan dalam rumah orang yang kita kunjungi?

2- Memaklumkan kedatangan sebelum bertamu.

Aik. Ini pun perlu dititik-beratkan? ;) Ya. Lain orang, lain penerimaannya. Ada yang dengan hati dan tangan terbuka menerima kedatangan tetamu pada bila-bila masa, saat dan ketika. Namun, ada juga yang mungkin pada waktu-waktu tertentu, berasa mahu bersendiri dan tidak bersedia menerima sebarang tetamu.

· Boleh jadi sedang stres… dia tidak mahu kecelaruan wajahnya diperhati sesiapa.

· Boleh jadi ongkosnya kurang… apabila tetamu hadir, tidak ada apa yang hendak dihidangkan. Hendak menyediakan teh dan biskut tawar sahaja, malu pula ~ Alaaa… tidak akan sampai macam itu sekali? Bukan pergi untuk makan pun. ;) Benar tetapi itulah… lain orang, lain caranya dan lain pula pendapat dan penerimaannya.

3- Tetapkan waktu awal dan akhir untuk bertamu

Sepertimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW, “Apabila salah seorang di antara kamu telah selesai daripada maksud berpergian, maka hendaklah ia segera kembali kepada keluarganya,” H.R. Bukhari dan Muslim.

Iyalah. Boleh jadi tuan rumah ada perancangan lain pada hari itu. Kita pula sudah bertandang dari jam 8.00 pagi. Sekarang, sudah pukul 10.00 malam. Hmmm… Kalau blog Muthiah, boleh jengah bila-bila masa, ya ;)


4- Berwajah ceria dan bertutur cara lembut

Semua orang pasti tidak akan berasa senang dengan tetamu yang datang ke rumahnya tetapi… berwajah muram, berbicara kasar dan tidak beradab. Dikhuatiri, objektif asal bertamu yang mahu mengukuhkan hubungan silaturrahim menjadi tidak tercapai. Lagipun, ALLAH telah memerintahkan kita semua untuk bersikap lemah-lembut, berbudi bahasa kepada setiap Bani Adam, khususnya buat orang yang beriman.

Firman ALLAH dalam surah al-Hijr ayat 88 yang bermaksud, “Dan berendah dirilah kamu terhadap orang yang beriman.”


~ bersambung ~


Muthiah : Lusa 'instation' lagi...insya-ALLAH.

Adab bertamu (i)


Assalammualaikum ;) Mulakan harimu dengan senyuman. Macam Muthiah. Insya-ALLAH... SENYUM SOKMO.

Apa khabar, semua? Muthiah. Alhamdulillah. Meskipun sejak akhir-akhir ini banyak terjentik dengan sesuatu, Muthiah memilih untuk positif. Hmmm... kadang-kadang, ternegatif juga tetapi suami akan cakap, "Muthiahlah yang membuat pilihan..." Kata-katanya BENAR. Muthiahlah yang memilih.

Okey, hari ini... Muthiah ingin berkongsi serba sedikit tentang adab bertamu di rumah orang. Iyalah. Bukankah kita semua dituntut untuk saling menziarahi untuk mengeratkan silaturrahim?

Hehe... bagaimana pula halnya jika hendak bertamu di blog orang???? Ada adab-adabnya juga, bukan? Tepuk dada, tanya diri sendiri... Soallah iman dalam hati. Atau... ada sesiapa yang hendak berkongsi bagaimana adabnya? ;)

Apapun, buat pengunjung blog Muthiah...

  • Terima kasih kerana sudi berkunjung. Moga-moga mendapat manfaat daripadanya.

  • Yang baik, jadikan teladan. Yang tidak baik, jadikan sempadan. ALLAH berikan akal untuk kita berfikir, manakah yang paling baik untuk diri kita. Jadi, fikir dan renung...

  • Bagi yang menjengah dan merasakan ada yang lompang... tidak elok untuk sukan negara (eh, untuk diri)... ada yang terasa hati... tidak suka atau membenci... Maaf atas kekurangan ini. Insya-ALLAH, Muthiah akan cuba yang terbaik untuk memberikan yang terbaik. Positif... optimis...

Siapapun, kalian... insya-ALLAH... Muthiah tetap alu-alukan kalian datang menjengah di sini. Tafadhal. Ahlan wasahlan. Jangan segan silu untuk berkunjung. Jangan ragu-ragu untuk datang lagi. Mungkin... entri yang anda baca hari itu tidak menyenangkan hati tetapi mana tahu... ada entri lain membantu kalian merungkai persoalan yang sedang menghantui.

Yang dirasakan negatif, cuba positifkan untuk diri sendiri (mungkin penggunaan ayat ini tidak tepat).

Sebagai contoh, jika Muthiah berkata, "Aku sudah berputus asa..." dan tidak pula Muthiah nyatakan bagaimana untuk mengatasi masalah ini...

Sabar, ya... kadang-kadang, Muthiah pun terlepas pandang. Ada lagi beberapa isu yang sudah Muthiah senaraikan untuk dikongsi tetapi masih terperap dalam 'almari'. Hehe... Antaranya:

  • Pengisian yang Muthiah pernah terima daripada majlis-majlis ilmu/ halakah.
  • Kisah perjalanan hidup Nabi SAW.
  • Kisah perang-perang yang disertai Nabi SAW.
  • Kisah para sahabat (khususnya 10 sahabat yang dijamin masuk syurga).
  • Huhu... buat teman-teman maya/ sahabat yang request Muthiah menulis tentang sesuatu.

Insya-ALLAH, sedikit demi sedikit, Muthiah akan berusaha melunaskan 'hutang' ini.

Berbalik kepada persoalan tadi. Katakan pada diri, " Aku tidak mahu berputus asa." Ambil masa lima minit untuk bermuhasabah... Andai kita sedang berputus asa, fikirkan kembali...

  • Kenapa aku berputus asa?
  • Apa yang boleh aku lakukan untuk memotivasi diriku kembali?
  • Ya. Aku harus kuat dan tabah. Ujian ini adalah tanda kasih sayang ALLAH buatku.

Jadi... jom bangkit. Yeah!!! ;)

Alamak. Salah tajuk. Terpesong! Baik, kita sambung esok, insya-ALLAH ;)

Muthiah : Ilmu dan segalanya adalah datang daripada ALLAH. Kita hanyalah wasilah-NYA.

Apakah benar engkau pejuang?

Assalammualaikum, semua. Muthiah. Insya-ALLAH, hari ini akan bertolak ke Kuala Lumpur untuk menyertai PESTA BUKU KANAK-KANAK di PWTC. Ehe. Jadual Muthiah, insya-ALLAH dari jam 12.00 tengah hari sampai 3.00 petang. Bagi sesiapa yang berkelapangan, ayuh....

Hmmm...

Siapa hendak berjuang, angkat kening!!!

Ayuh kita hayati lagu ini... Kalau tidak mampu menghayatinya apabila mendengar lagu ini sekali... cubalah dengarkannya berkali-kali. Selamat bermuhasabah ;)


Berjuang,berjuang
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang,
Tapi ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan
Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang,
Rumah tangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan
Ya sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan...

Muthiah : Moga kan dipilih ALLAH sebagai salah seorang yang menyampaikan kebaikan, mencegah kemungkaran.

PESTA BUKU KANAK-KANAK, PWTC

Gambar : Pesanan buku (1) diterima pada 21/12/2010 sebanyak 30 buah.

Insya-ALLAH, bermula dari 22/12 sehingga 26/12/2010, berlangsung PESTA BUKU KANAK-KANAK, PWTC dari jam 10.00 pagi sehingga 9.00 malam.Jangan lupa dapatkan Ayah, Amir nak masuk U di Gerai Grup Buku Karangkraf (A48 & A73).

Ehe. Insya-ALLAH, Muthiah juga akan berada di sana pada hari Sabtu, 25/12 dari jam 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang. Ada jodoh, tiada aral... moga ketemu nanti ;)

Hukum ucapan sempena agama lain


Assalammualaikum. Apa khabar? :) Oleh sebab Muthiah tidak mahir tentang isu hukum, Muthiah berkongsi artikel yang Muthiah cari internet. Moga kan mendapat manfaat daripadanya.


Hukum ucapan sempena agama lain


Soalan: Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai yang mempunyai kawan pejabat, jiran dan lain-lain yang bukan muslim. Apabila tiba hari raya kita mereka mengucapkan selamat hari raya. Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama mereka pulak, kita rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau juga kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah saya. Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?

Munif, Putrajaya.

Jawapan Dr MAZA: Saudara Munif, Alhamdulillah saudara prihatin dengan keadaan akidah saudara di kala ramai yang tidak mempedulikan lagi kebersihan akidah mereka. Akidah adalah pembeza utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang bagaimana banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan kesuciannya. Mengenai soalan saudara, ada beberapa perkara yang wajar difahami;

1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir. Firman Allah: (maksudnya)

“Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar. (Surah al-Nahl, ayat 106).

2. Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi kita kerana agama kita. Firman Allah (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)

3. Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):

“Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”. (Surah al-Nisa, 86).

Inilah adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim. Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut:

“Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.

4. Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain –secara langsung atau tidak langsung-, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran, mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain, sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.

5. Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain. Sementara, ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam, fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat tertentu.

6. Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H) dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya. Teras kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena perayaan agama lain.

7. Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research) yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa, ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.

8. Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa al-Zarqa adalah hadis Nabi SAW:

“Sesungguhnya telah lalu di hadapan Nabi SAWw satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”. Baginda bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam).

Ertinya, beliau membandingkan mengucapkan selamat sempena hari raya agama lain kepada penganutnya, bukan bererti mengiktiraf akidah mereka.

9. Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hari raya kepada penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hari raya’ atau ‘selamat bergembira’atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hari raya Islam mereka mengucapkannya.

10. Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hari raya agama lain. Sebabnya, perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh merayakan hari raya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik dan tidak menzalimi antara satu sama lain.

11. Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang sama kita mesti menjaga benteng akidah kita.

Muthiah : SELAMAT PAGI, semua ;)

Labels: 0 comments | | edit post