Komik
Sunday, September 20, 2009
Sesak sungguh. Macam-macam bau ada. Bau hangit, hapak… semua menusuk hidungku.
Perjalanan yang mengambil masa hampir satu jam amat membosankan. Aku tengok kau, kau tengok aku. Sama-sama tengok… sekadar tengok.
Paling ramah, menguntum senyuman. Tidak kurang juga yang masam mencuka. Baru dimarah bos gamaknya. Atau… bonus yang diharapkan tidak mencapai sasaran. KPI rendah. Kenapa dia lebih tinggi daripada aku?
Aku kerja habis-habisan, dia pula yang dapat nama. Hmmm… “Lembu punya susu, sapi dapat nama,” tetapi inilah realiti kehidupan.
Mereka yang pandai mengipas… pandai bodek… KPI akan tinggi. Kalau sekadar mampu berkata, “Yes, Boss!” tanpa menonjolkan diri, maknanya… faham-faham sendiri.
Tersasar isu pula… Pesta buku berakhir sudah. Seperti biasa, hari terakhir ekspo tersebut menyaksikan ribuan manusia memenuhi ruang pameran PWTC.
Bosan menunggu sampai ke destinasi, aku mengeluarkan buku yang tidak pernah kutinggalkan di mana-mana. Buku apa ya?
Kupandang kiri, kanan, hadapan dan belakang. Bukan aku seorang yang membaca. Ada beberapa lagi insan yang mungkin turut sama kebosanan… sedang membelek-belek bahan bacaan.
Si kakak, begitu asyik membaca majalah Mingguan Wanita. Seorang pakcik pula amat khusyuk membaca akhbar Sinar. Budak sekolah?
Aku tercari-cari seandainya ada budak sekolah di dalam bas yang kunaiki. Nampaknya, mereka lebih senang membuat bising berbanding membelek buku pelajaran. Mungkin sudah tepu belajar di sekolah tadi.
Aku pula? Tidak lain dan tidak bukan. Membaca… Komik adalah kegemaranku. Entah mengapa aku menjadi “penggila komik”. Mujur tidak menjadi orang gila. Gila glamour… gila harta… gila kuasa…
Entahlah. Aku gemar membaca komik kerana ia menenangkan. Bacaan yang ringan dan kadang-kadang melucukan.
Watak-watak yang digambarkan juga tidak kurang hebatnya. Lebih hebat daripada drama yang dilakonkan di atas pentas politik.
Kesudahannya, keji dan mengotorkan. Berlainan pula jika membaca komik. Sekurang-kurangnya, Conan Edogawa berhasil dalam taakulannya. Tiada kompromi dalam menegakkan keadilan! Semoga Conan berjaya menjejaki Kumpulan Berbaju Hitam.
Begitu juga dengan bacaan komik yang lain. Ia cukup menghiburkan. Shin Chan dengan kenakalannya. Naruto dan Hajime Kindaichi dengan aksi “bodoh” mereka. Siapa sangka Kindaichi memiliki nilai IQ sebanyak 180?
Entahlah… apa-apa sahaja!
Muthiah : Sekali-sekali rasa hendak merapu… Fikir-fikirkan, renung-renungkan…