Qiammullai


“Jika engkau ingin merasakan betapa manisnya berhubung dengan Tuhanmu, engkau haruslah garang terhadap dirimu. Bilamana engkau telah merasai kemanisan perhubungan itu, tahulah engkau betapa pahitnya apabila berpisah dengan-Nya.” Muhammad bin Abdullah as-Syibli.

Benar. Andai kita mahu merasakan betapa manisnya berhubung dan berinteraksi dengan Tuhan, kita perlu garang terhadap diri kita.

Garang dalam melakukan ketaatan meski nafsu mengkehendaki maksiat di sisi Allah.
Garang dalam meninggalkan kemungkaran yang memberi titik hitam di dalam hati kita.

Segalanya semata-mata untuk mengecapi kemanisan berhubung dengan Tuhan.

Apabila rasa itu telah hadir lantaran keakraban dengan-Nya, pastinya kita kan merasa tenang. Hati ini akan menjadi lapang dan berbunga-bunga. Mana mungkin masih gelisah kerana diri telah meyakini pengawasan Allah dan keprihatinan-Nya.

Akan tetapi, tanpa sedar kita terleka sehingga menyebabkan diri semakin jauh daripada-Nya. Kesannya, hati merasa pahit dan pedih.

Perpisahan secara halus dengan Dia yang telah mengurniakan rasa kasih dan cinta.
Kejauhan dengan Pencipta menyebabkan kita teralpa…

Seterusnya, kemaksiatan bermaharajalela di dalam jiwa. Akibatnya, hati yang selama ini putih suci mula dipenuhi bintik-bintik hitam. Akhirnya, kemanisan yang pernah dirasai mula hilang dari dalam jiwa…

Nafsu manusia sering kali mahu melakukan kemaksiatan kepada-Nya. Andai orang lain ber ‘couple’, dia juga mahu rasa dipunyai dan dimiliki. Ekoran desakan nafsu yang tidak ditempis dengan kekuatan iman, sering kali manusia itu tersungkur dan terlena.

Andai dia tersungkur tetapi mahu bangun kembali, jadilah ia sebagai orang yang beruntung. Akan tetapi, andai dia terus terbaring dan tidak mahu bangkit lagi, sesungguhnya keampunan Allah itu amat luas buat hamba-hamba-Nya.

Khuatir andai kita tergolong dalam golongan yang jatuh dan tidak mampu bangkit.
Takut sekiranya tidak punya kekuatan. Kekuatan untuk melawan desakan nafsu yang menghancurkan…

Bagaimana ingin membina kekuatan? Sering kali kegagalan mendapatkan kekuatan diri menyebabkan seseorang itu tersungkur dari jalan-Nya. Lalu, ia menyalahkan faktor luaran yang tidak membantunya dalam mendapatkan kekuatan. Ia lupa terhadap faktor dalaman yang sebenarnya lebih memainkan peranan dalam kehidupannya.

Banyak cara yang telah digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kekuatan yang datang daripada Allah perlu dicari daripada-Nya. Dialah Pemilik segala kekuatan.

Jika Dia mahu memberikan kita… hamba-Nya, tiada yang mustahil bagi-Nya kerana Dia adalah Penguasa alam yang mengatur kehidupan di atas muka bumi ini. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 286, “Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”

Kembali kepada sirah perjuangan Nabi, bagaimana Nabi dan para sahabat memperoleh kekuatan daripada Allah?

Tatkala berhadapan dengan musuh yang berkali-kali ganda bilangannya berbanding barisan tentera Islam dalam peperangan Badar, Allah memberi kekuatan dan kemenangan kepada mereka melalui firmanNya, “Ingatlah ketika kamu diliputi perasaan mengantuk sebagai satu pemberian aman daripada Allah bagi menghapuskan kecemasan kamu. Dan ingatlah ketika Dia menurunkan kepada kamu hujan dari langit bagi menyucikan kamu dengannya dan menghapuskan daripada kamu gangguan syaitan dan juga bagi menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian kamu di medan perjuangan.” Al-Anfal ayat 11.

Pertolongan itu hanyalah daripada Allah. Maka, andai kita mahu mencari kekuatan daripada-Nya, perlulah bagi kita untuk bermunajat kepada-Nya serta sentiasa berharap terhadap nusrah-Nya sepertimana para pejuang terdahulu.

Mereka memiliki hubungannya mantap dan erat dengan Pencipta. Mereka tidak ragu-ragu dengan janji-Nya. Hubungan yang akrab dengan Ilahi itulah yang menyebabkan mereka dekat dalam interaksi bersama Tuhan.

Mereka merasakan bahawa pertolongan Allah itu dekat dengan mereka. Syaratnya, mereka juga perlulah dekat dengan Allah.

Kita pula bagaimana? Banyak cara untuk mendekatkan diri kepada ar-Rahman. Antaranya ialah melalui qiammullai!!!

QIAMMULLAI!!! Bangun malam dengan beribadah kepada Allah demi mengharapkan redha dan keampunan-Nya. Melaksanakan solat tahajjud contohnya dapat membersihkan hati dan jiwa daripada pelbagai kekotoran. Kesannya, apabila jiwa bersih, hati kan menjadi tenang.

Cahaya mudah masuk dan perjalanan dakwah kan menjadi lebih cekap. Pemikiran menjadi bersih daripada anasir-anasir yang merosakkan. Tiada lagi bintik-bintik hitam yang memberi kelompangan dalam jiwa seorang pendakwah.

Meskipun qiammullai ini bukanlah satu ibadah wajib, terkandung di dalamnya nilai yang begitu tinggi harganya. Ia menjadi amalan para sahabat dan Rasulullah dalam pembinaan dan pembentukan diri. Sabda Nabi SAW, “Seutama-utama solat sunat sesudah solat wajib ialah solat malam,” HR Muslim, Abu Daud dan Tirmizi.

Bagi seorang pendakwah, istiqomah dalam qiammullai itu penting kerana melaluinya, interaksi kita dengan Allah kan lebih padu. Firman Allah, “Hai orang yang berselimut (Muhammad), bangunlah (untuk solat) di malam hari kecuali sedikit daripadanya iaitu seperduanya atau kurangilah daripada seperdua sedikit atau lebih daripada seperdua itu,” al-Muzammil ayat 1-3.

Ayat ini telah diturunkan pada awal kemunculan Islam iaitu surah ketiga sesudah surah al-Alaq dan al-Mudatsir. Dengan turunnya ayat itu, solat malam hukumnya wajib bagi kaum Muslimin pada saat itu. Mengapa?

Seperti yang telah kita sedia maklum, pada peringkat awal, kaum Muslimin jumlahnya sedikit jika hendak dibandingkan dengan orang-orang musyrik Quraisy. Maka, persiapan mental dan peribadi yang mantap itu penting dalam cabaran menghadapi risiko dakwah.

Firman Allah dalam surah al-Muzammil ayat 5, “Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat,” menunjukkan tugas-tugas berat yang harus dihadapi dengan persiapan yang matang. Dakwah bukanlah satu kerja mudah meskipun kita hanya menyeru manusia kepada Allah.

Seperti kata Saidina Abu Bakar as-Siddiq sewaktu Muhammad bin Abdullah dipukul oleh para pembesar Mekah sewaktu bertawaf di Kaabah, “Adakah kamu hendak membunuh orang hanya kerana dia menyebut Tuhannya, Allah? Hanya kerana ini kamu ingin membunuhnya?”

Justeru, kita yang mengakui membawa sunnah perjuangan Rasulullah perlu turut mengikut rentak perjuangan tersebut. Andai Nabi dan para sahabat mencapai kemenangan dengan taqarub billah dan strategi yang tersusun, kita juga perlu begitu.

Bukan sekadar strategi yang kadang-kadang terpesong daripada garisan yang sepatutnya. Firman Allah, “Sesungguhnya bangun di waktu malam adalah lebih tepat (untuk kusyuk) dan bacaan di waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari kamu mempunyai urusan yang panjang (banyak),” al-Muzammil ayat 6-7.

Apakah keutamaan qiammullai? Banyak ayat di dalam al-Quran yang menceritakan tentang insan-insan pilihan yang bangun beribadah pada tengah malam. Firman Allah dalam surah al-Isra’ ayat 79, “Dan pada sebahagian malam, solat tahajjudlah kamu sebagai suatu ibadah tambahan bagimu. Semoga Rabb-mu mengangkatmu ke tempat yang terpuji.”

Jelas menunjukkan bahawa seruan solat malam itu amat dititikberatkan kepada umat Islam. Ia sukar dilakukan kecuali bagi mereka yang tinggi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah. Beruntunglah kita andai telah menjadi pilihan-Nya.

Selain itu, Allah turut menjelaskan bahawa orang yang konsisten dalam qiammullai merupakan orang-orang yang berbuat baik serta layak memperoleh kebaikan dan rahmat daripada Allah melalui firman-Nya, “Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa berada di taman-taman (syurga) dan mata air. Mereka mengambil apa yang diberikan Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka sebelum itu adalah orang-orang yang berbuat baik. Mereka sikit sekali tidur di waktu malam dan pada akhir malam mereka memohon ampun (kepada Allah)”, al-Dzariyat ayat 15-18.

Ia sanggup mengorbankan waktu lenanya untuk bermunajat kepada Allah sebagai tanda syukur di atas segala kurniaan-Nya. Ia ikhlas dalam mengejar redha Ilahi. Insya-Allah, janji Allah itu benar seperti mana firmanNya, “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang-Ku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepada-Ku. Hendaklah mereka itu memenuhi perintah-Ku dan beriman kepadaKu, agar mereka memperoleh kebenaran.” Al-Baqarah ayat 186.

Di samping itu, qiammullai akan menjadikan seseorang lebih sabar dan semakin mantap imannya. Hal ini disebut di dalam al-Quran dalam surah al-Insan ayat 24 – 26 yang bermaksud, “ Maka bersabarlah kamu untuk melaksanakan ketetapan Rab-mu, dan janganlah kamu ikuti orang yang berdosa dan kafir di antara mereka. Dan sebutlah nama Rab-mu pada waktu pagi dan petang. Dan pada sebahagian malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bahagian yang panjang di malam hari.”

Maka renungkanlah wahai teman. Tidakkah kita mahu mengejar keutaamaan yang telah Allah yakinkan ini? Ingat! Kita bukan hidup keseorangan.

Kita punya Allah yang tidak pernah meninggalkan kita walau sesaat dan sedetik. Andai kita pernah istiqomah dalam jihad bangun malam ini, jangan biar ia luput dan terkubur dek kelalaian dan kealpaan kita.

Rugilah kita kerana ia adalah kekuatan dalam berhubung dengan Tuhan. Nabi SAW pernah berpesan kepada Abdullah bin Umar R.A., “ Wahai Abdullah, janganlah kamu meniru polan. Ia dahulu bangun malam, kini dia meninggalkannya.” Muttafaq ‘alaih.

Maka, segerakanlah dirimu untuk bangun bermunajat kepada Allah. Masih sukar? Mintalah dengan Tuhan agar dipermudahkan. Pasti Dia akan memberi jalan. Mintalah dengan-Nya agar diberi kekuatan…

Dalam masa yang sama, jangan lupa untuk berusaha dalam memulakan ibadah itu. Ayuh kita kongsi bersama beberapa petua yang boleh membantu kita untuk bangun pada malam hari.

Antaranya ialah dengan tidak berlebihan dalam makan dan minum. Para ulama berpesan, “Janganlah kamu banyak makan kerana akan diikuti dengan minum yang banyak. Keduanya itu akan membuatkan kamu banyak tidur.”

Kedua, janganlah kita bekerja melampaui batas kerana hal ini akan melemahkan fizik dan batin kita.

Selain itu, amalkanlah tidur qailulah yakni tidur setengah jam sebelum waktu Zohor dan yang paling utama, elakkan melakukan dosa pada siang hari (dosa yang dicari). Apabila dosa bergelumang, hati kan menjadi keras. Hati yang keras inilah yang menyebabkan terhalangnya kita daripada rahmat Allah.

“Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya, sedang mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka nafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka,” as-Sajdah ayat 16.

Muthiah : Muthiah lupa tajuk buku apa yang Muthiah rujuk. Akan tetapi, seingat Muthiah… buku itu berwarna hijau dan terbitan Pustaka Indonesia.
Labels: 0 comments | | edit post

Rumah terbuka bersama YB Nizar (27 September 2009)



Suami kata, tidak dapat ambil gambar dengan empunya diri... ambil dengan van pun kira OK . Hahaha...



Hehe... orang tengah makan, Muthiah ...



Hehe....



Mula-mula malu... lepas itu, beria-ia Muthiah jadi jurukamera ;)



Ahli DAP yang turut hadir.
Labels: 0 comments | | edit post

Obsesi Cinta


Cintakan bunga, bunga kan layu. Cintakan manusia, manusia kan mati. Cintakan Allah, itulah cinta yang hakiki, cinta nan abadi selamanya. Mana mungkin ada cinta lain yang mampu melangkaui cinta Ilah terhadap makhluk ciptaan-Nya. Itu pasti! Tidak perlu berdolak-dalik lagi. Hanya cinta Dia yang tidak kan luntur ditelan waktu.

Arisya termenung sendiri. Wajah Sofwan masih setia berlegar-legar dalam kotak fikirannya. Semakin kuat ia cuba menghindari, semakin dekat bayang-bayang lelaki itu hadir, semakin parah hatinya yang sedia terluka. Sudah lebih tiga tahun Arisya begitu, bak matahari tengah gerhana. Entahlah… sukar tuk diungkap, lagi payah untuk diperjelas. Arisya seorang yang mengerti.

Cintanya terhadap Sofwan tidak berbelah-bahagi. Bagi Arisya, Sofwanlah segala-galanya. Dialah jantung, dialah permata dan dialah nyawa. Sesungguhnya, hidupnya dan matinya hanya untuk Sofwan yang dicinta. Ya, Sofwan seorang ia kasih. Tidak sanggup dan tidak mampu membayangkan kehidupan tanpa lelaki itu. Namun, tidak ada siapa yang mampu menolak ketentuan takdir. “Katakanlah; sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan sekalian alam,” (Al-An’am ayat 162).

“Sampai bila?” Tanya Maisarah, teman serumah Arisya. Wajah janda bercerai mati itu diperhati dengan penuh simpati. Maisarah tahu, Arisya terlalu mencintai Sofwan, suami merangkap teman akrabnya sejak di alam persekolahan. Maisarah juga mengerti gelora di hati Arisya. Sofwan bak tali yang menjadi tempat bergantung. Mungkin sahaja Arisya lupa, ada yang lebih hebat daripada lelaki pujaannya itu.

“Sampai bila Eisya nak jadi begini? Abang Wan sudah aman di sana tetapi Eisya menjadi umpama bangkai tak bernyawa. Hidup tiada erti dan sia-sia. Mana perginya Arisya Nabila yang Sarah kenal satu ketika dulu?” Mata Arisya ditenung tajam. Bangkitlah teman, bangkitlah dikau daripada lena yang panjang. Usah musnahkan dirimu dengan kenangan yang tidak bisa berulang kembali. Hiduplah dengan tenang selagi diberi peluang oleh Tuhan untuk menghirup udara-Nya.

Arisya tetap diam. Senyuman Sofwan berlari-lari di hadapannya. Sekejap-sekejap Sofwan merenungnya dengan penuh kasih, sekejap-sekejap lelaki itu mencium pipinya yang gebu. Arisya bahagia. Bahagia dengan cinta seorang lelaki yang bernama suami. Memori silam tiba-tiba menjengah pemikirannya…

“Abang sayang Eisya,” kata Sofwan sambil membelai rambut panjang milik isterinya.

“Eisya pun sayang abang…” diam sejenak.

“Sayang abang sangat-sangat…” diam lagi.

“Lagi banyak daripada sayang abang pada Eisya,” Arisya merenung manja suami kesayangan.

“Banyak mana tu?” Sofwan pura-pura bertanya sedangkan ia tahu, cinta Arisya begitu mendalam buat dirinya.

“Banyak dunia ni. Lagi banyak dari sayang, cinta, kasih abang pada Eisya,” ia memuncungkan bibirnya yang kemerahan. Sofwan tersenyum panjang…

“Eisya…” sayup-sayup kedengaran suara Maisarah memanggil temannya yang sedari tadi mengelamun.

“Setiap yang hidup, pasti kan mati…” ia diam sebentar. Mungkin mahu menyusun kata agar tidak menyinggung hati Arisya yang halus itu.

“Allah sayangkan Abang Wan…” Maisarah diam lagi.

“Dia pinjamkan Abang Wan buat kita seketika. Sebagai Tuan Punya, Dia berhak mengambilnya kembali. Kita tidak punya apa-apa kuasa untuk menghalangnya. Kita hanyalah peminjam dan hidup menumpang di atas muka bumi milik Tuhan,” kali ini, air mata Maisarah jatuh berguguran.

Ia sudah buntu memikirkan cara membawa Arisya kembali ke alam nyata. Arisya kini seolah-olah berada di dalam dunianya sendiri dan ia lupa bahawasanya setiap tindak-tanduknya sentiasa diperhati tanpa lalai.

Arisya masih lagi diam seribu bahasa. Ia tetap membiarkan temannya itu dengan seribu satu kerisauan. Arisya tahu tetapi ia tidak cukup kuat untuk menerima kenyataan. Insan yang dicintai dan dikasihi hilang sekelip mata. Sofwan pergi tak kembali sebelum sempat ia menikmati kehangatan cinta. Benar kata Maisrah, ‘Allah sayangkan Abang Wan…’
*****
“Prestasi kerja awak amat mendukacitakan. Awak bukanlah Arisya Nabila yang saya kenal dulu. Sejak kematian Sofwan, awak berubah mendadak. Jasad awak di sini tetapi roh awak melayang bersama-sama arwah Sofwan,” kata Aznur, Ketua Bahagian tempat Arisya bekerja.

“Sampai bila awak mahu jadi begini? Sebagai khalifah di atas muka bumi ini, awak harus sedar bahawa awak hidup bukanlah nafsi-nafsi. Awak punya peranan dan awak perlu ingat bahawa awak sebenarnya menggalas amanah penting…” Aznur diam seketika.

“Arisya Nabila… bangkitlah daripada lena. Saya terkilan mengenangkan diri awak. Pekerja contoh tiga tahun berturut-turut sudah hilang jati diri. Kerana apa? Dek cinta yang tidak lama. Awak begitu mengagungkan cinta terhadap insan yang bernama manusia. Saya tahu, awak terlalu mencintai Sofwan dan saya tidak menyalahkan rasa cinta awak…” diam lagi.

“Namun ingatlah! Cinta yang lebih utama itu harus diberikan kepada yang lebih layak,” ia menambah. Suaranya yang tadinya perlahan ditinggikan sedikit. Mungkin Aznur juga seperti Maisarah, kecewa dengan sikap Arisya yang tetap tidak mahu berubah dan terus berada di dalam dunianya. Dunia yang tidak membawanya ke mana-mana. Itu Arisya tahu.

“Awak tahu siapa yang paling layak mendapat cinta awak tu Arisya?” Aznur bertanya lembut. Ia tahu kekerasan bukanlah jalan yang terbaik untuk menyedarkan manusia daripada kesilapan meskipun kadang-kadang ia perlu dipraktikkan. Arisya tunduk membisu. Tidak berani memandang wajah ketuanya yang serius itu.

“Cinta yang paling utama adalah cinta kepada Allah yang satu. Dia telah memberikan segalanya kepada awak. Allah yang sering kali awak dan saya lupa tidak lokek dengan anugerah dan kurnia-Nya. Lihat sahaja udara yang awak hirup, semuanya milik Tuhan. Rupa paras awak yang tidak ada cacat dan celanya… Allah beri kepada awak sedang awak tidak pernah memintanya,” Aznur bersuara tanpa menanti jawapan Arisya. Ia tahu…

“Hanya Dia tempat awak bergantung, kepada Dia awak memohon pertolongan. Tidak ada siapa yang mampu membantu awak tanpa nusrah-Nya dan kasih yang terpateri antara awak dan arwah Sofwan juga adalah dengan izin-Nya. Dia yang kurniakan rasa cinta dan sayang itu tetapi seribu kali sayang…”

“Awak menyalahguna anugerah Tuhan sehingga lupakan Dia yang sama sekali tidak pernah alpa terhadap awak. Sesaat Dia memalingkan diri daripada awak, nah hancur binasalah awak. Awak sedar tak????” Aznur sudah hilang pertimbangan. Ia sendiri tidak pasti sama ada Arisya mendengar bait katanya atau ia sekadar bercakap dengan tunggul kayu mati?

Arisya tetap diam…

*****

‘Kotak apa ni?’ Arisya bertanya sendiri.

‘Sejak bila ada di bawah meja aku?’ Tambahnya lagi. Arisya segera duduk bertinggung lalu menggapai kotak biru yang terletak betul-betul di tepi fail rujukannya. Hmmm…

Eisya sayang,

Apa khabar sayang? Berapa kali dikau ketawa pagi ini? Sudah makan yee mee sizzling? Eh, tudung Eisya sengetlah… (Arisya segera memandang cermin yang berada di atas meja kerjanya. ‘Tak senget pun,’ ia tersenyum sendiri. Ia kenal tulisan tangan itu, tak lain dan tak bukan adalah milik suami kesayangan, Sofwan. Tanpa berlengah, Arisya meneruskan bacaannya).

Pertamanya, izinkan abang meluah rasa cinta buat Eisya. Seandainya, menurut kata Eisya satu ketika dahulu… cinta Eisya buat abang melebihi cinta abang pada Eisya. Dari sisi abang pula, cinta abang buat Eisya lebih 0.1% daripada cinta Eisya yang melebihi cinta abang buat Eisya. Insya-Allah, cinta abang teguh padamu sayang kerana Allah SWT.

Eisya sayang…

Usahlah ditangisi pemergian abang. Allah lebih sayangkan abang dan abang redha untuk meninggalkanmu walaupun Eisya adalah segala-galanya buat abang. Maafkan abang sayang kerana merahsiakannya daripada Eisya. Hmmm… bagaimana untuk abang mulakan?

Setahun setelah kita bernikah, abang disahkan menghidap kanser otak dan sudah berada pada tahap kritikal. Kata doktor, abang hanya boleh hidup selama enam bulan tetapi Allah memberi peluang untuk abang bersama Eisya bertahun-tahun lamanya meskipun rasa begitu cepat masa berlalu. Maafkan abang sayang… abang tidak sanggup melihat wajahmu yang murung dan tiada ceria. Sebab itulah abang merahsiakannya daripada sesiapa termasuk Eisya sendiri.

Jangan menangis sayang… abang tidak kuat untuk melihat air matamu…
(Air mata Arisya meluncur laju dari kelopak mata sehingga basah kertas pink yang dipegangnya. Entah bila Sofwan menulis warkah itu, Arisya sendiri tidak tahu).

Eisya sayang…

Bagaimana Aznur melayan Eisya? Ada baik? Aznur dan abang menjadi teman baik sejak di alam kampus dan kami memiliki banyak persamaan, kami suka memancing dan menjadi penyokong setia pasukan Brazil @ Ronaldo. Sudah beristerikah dia atau masih kekal solo?

Abang kira, kami hanya menyukai pasukan bola sepak serta memiliki hobi yang sama tetapi rupanya kuasa Tuhan mengkehendaki lebih daripada itu. Tanpa kami duga, abang dan Aznur sebenarnya turut menyukai wanita yang sama. Arisya Nabila namanya. Entah kenapa kami diuji begini tetapi menurut kata Aznur, Allah tidak akan lakukan sesuatu sia-sia lantas ia bertindak mengundur diri meski abang tahu ia cukup terluka.

Seminggu sebelum abang melamar Eisya, Aznur membawa abang berkunjung ke kedai emas di Masjid Jamek. Katanya, ingin memilih cincin buat insan yang dicintainya dalam diam. Aznur merancang untuk melamar Eisya sebelum Eisya outstation ke Labuan.

Setelah kita bertunang, Aznur diam seribu bahasa. Tiada lagi seloroh tentang gadis misteri yang menjadi dambaannya. Hal ini membuatkan abang gusar. Apa yang berlaku? Meskipun Aznur berlagak biasa, sebagai teman akrab abang menyedari perubahannya sehinggalah satu hari abang terpandang satu nota yang ditulisnya… ‘ Arisya Nabila diciptakan Tuhan buat insan lain dan aku perlu redha dengan ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Dia Maha Tahu atas sesuatu.’

Justeru, tiadanya abang di sisi, Eisya isilah hatinya dengan cintamu sayang. Abang tahu dan abang pasti abang tidak akan kembali bersama Eisya namun abang mahu Eisya terus ceria dan gembira. Di dalam kotak biru ini, ada sebuah kotak berwarna pink. Di dalamnya, terdapat sebentuk cincin dan nota yang ditulis Aznur satu ketika dahulu. Dengan rendah hati, abang mohon Eisya mengembalikan kotak tersebut kepada Aznur dan serahkan juga jiwamu kepadanya. Abang tahu, sukar bagi Eisya tetapi percayalah… abang akan lebih tenang jika Eisya sudah ada pengganti yang mampu menjaga dan melindungimu.

Akhir kata, sampaikan salam abang buat Aznur dan ketahuilah sayang bahawa cinta kita ditakdirkan Tuhan untuk bersemi di atas dunia. Bilamana nyawa dicabut, kenangan itu tetap segar namun cinta baru harus dicari. Kembalikan senyuman yang telah lama hilang dan jadilah Arisya Nabila yang abang kenal dahulu.

Salam sayang,

Sofwan Abdul Halim (cinta infiniti)…

Arisya teresak-esak di tempat duduknya. Semakin lama, esakan itu semakin jelas kedengaran. ‘Hanya abang yang Eisya cinta. Tidak mungkin ada insan lain yang mampu mengganti tempat abang SELAMANYA…’

Petang itu, Aznur menerima sepucuk surat daripada Arisya Nabila. Kaget tetapi ia tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Surat peletakan jawatan Arisya Aznur diterima dengan hati yang berbelah bahagi. Benar! Hanya cinta Allah yang tidak pernah menghampakan tetapi naluri lelakinya tetap tidak dapat menafikan cintanya terhadap seorang wanita, dan wanita itu bernama Arisya Nabila. Aznur merenung jauh ke luar jendela.

Tanpa sedar, air mata lelakinya mengalir lesu….
Labels: 1 comments | | edit post

Akhlak Nabi junjungan


“Tuhanku telah mendidikku, maka Ia baguskan akhlakku.” HR Al-Suam’ani dari Abi Mas’ud.

Nabi SAW junjungan mulia. Mempunyai akhlak dan peribadi tinggi yang patut dicontohi. Nabi ditarbiyah secara langsung oleh Allah SWT menjadikan beliau seorang yang luhur budi pekertinya.

Pastinya, dengan peribadi mulia itulah kelak memberi kemenangan kepada umat Islam. Rasulullah SAW bukan sahaja seorang abid yang mengharapkan Tuhannya pada malam hari bahkan menjadi umpama seekor singa yang hebat bertempur menegakkan yang hak pada siangnya.

Sebagai seorang pendakwah, akhlak itu penting untuk ditonjolkan. Akhlak yang ‘manis’ memberi gambaran positif kepada apa yang kita bawa. Sering kali mata yang memandang melihat kepada tingkah laku berbanding kata-kata kita.

Sebagai contoh, apabila seorang pendakwah menyeru mad’unya untuk tidak mengumpat tetapi ia sendiri banyak menyebarkan aib sahabatnya, hal ini akan memberi impak kepada individu yang didakwahinya.

Dia bercakap tetapi tidak dikotakan. Secara tidak langsung, ia juga telah memberi gambaran negatif terhadap pendukung kalimah tauhid ini. Allah berfirman dalam surah as-Saff ayat 2-3 yang bermaksud, “Hai orang-orang beriman, mengapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan? Amat besar kebencian di sisi Allah kerana kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan.”

Berbalik kepada persoalan akhlak. Sejauh mana kita sedar tentang kepentingan menjaga akhlak agar tidak memberi fitnah kepada agama kita? Dewasa ini, sering kali kita melihat pemuda pemudi Muslim tersasar daripada akhlak yang disarankan oleh agama Islam.

Si remaja, tanpa segan dan silu berpeluk bercium di khalayak umum, tidak malu untuk minum arak, membuli, ber ‘couple’ tanpa ikatan yang sah, lari dari rumah, zina dan sebagainya. Fenomena ini bukanlah perkara asing dalam masyarakat Islam malahan telah diiktiraf oleh banyak individu.

Dengan alasan, itu adalah hak peribadi setiap manusia. Insan itu seolah-olah lupa akan aturan yang telah ditetapkan oleh Tuhan yang mencipta. Sudah jelas lagi nyata bahawa remaja era milenium sudah luntur keperibadiannya. Dan… remaja inilah yang bakal mencorak pemerintahan negara dan masyarakat pada masa akan datang.

Islam menyuruh manusia untuk berakhlak dengan akhlak mulia. Setiap manusia perlu patuh kepada perintah dan peraturan Allah serta menjauhi larangan-Nya. Allah lebih tahu apa-apa yang kita tidak ketahui.
Mengapa perlu patuh? Lihat kepada kronologi lampu isyarat dan kereta. Mengapa kita perlu mematuhi isyarat lalu lintas? Jawabnya agar dapat menghindarkan diri daripada berlakunya kemalangan.

Seandainya lampu merah dilanggar, tidak mustahil kemalangan boleh berlaku. Begitu juga halnya dengan ketetapan Allah. Mengapa perlu patuh kepada suruhan dan arahan-Nya? Kerana Dia lebih tahu yang terbaik untuk hamba-Nya. Mengapa? Kerana Dia yang mencipta bumi ini, Dialah Pemilik dan Dialah jua Tuan Punya Alam.

Akhlak Nabi… Tidak dinafikan bahawa akhlak yang dimiliki Nabi SAW tidak ada tolak tandingnya. Dengan akhlak Rasulullah, menarik minat orang lain terhadap Islam itu sendiri.

Orang jatuh cinta dengan agama Allah akibat terkesan dengan akhlak serta imej yang dibawa Rasulullah. Mari kita menyelusuri akhlak mulia Nabi junjungan yang boleh kita hayati dan ikuti.

Kisah Arab Badwi yang mengencingi masjid.

Suatu hari, seorang Arab Badwi kencing di hadapan masjid, di hadapan Rasulullah. Para sahabat bermaksud mahu mencegahnya tetapi Nabi melarang mereka dengan berkata, “Janganlah kamu putuskan kencingnya.” Kemudian Nabi bersabda kepada Badwi itu, “Bahawa masjid-masjid itu tidak patut untuk sesuatu kekotoran.”

Hmmm… boleh jadi kita tidak membuang air merata-rata di dalam masjid tetapi… sejauh manakah kita menjaga kebersihan surau kita????

Rasulullah SAW memaafkan Abu Sufyan

Pada hari pembebasan kota Mekah (futh Mekah), Abu Sufyan masuk ke khemah Nabi dengan badan yang gementar dan ketakutan. Dia datang untuk bermohon agar Rasulullah menyelamatkan jiwanya.

Lantas Rasulullah berkata, “Barangsiapa yang masuk ke Masjidil Haram, terjamin keselamatannya! Barangsiapa yang masuk ke rumah Abu Sufyan, selamatlah ia! Dan barangsiapa yang masuk ke dalam rumahnya sendiri, maka terjaminlah keselamatannya!”

Daripada kata-kata ini dapat kita lihat akhlak mulia yang dimiliki oleh Nabi SAW. Sedangkan rumah itulah yang menjadi pusat fitnah dan markas gerombolan musuh-musuh Islam. Di dalamnya pula, tinggal Hindun yang telah membelah perut Hamzah dalam perang Uhud.

Dapat dilihat di dalam sejarah, siapakah yang boleh memberi pengampunan percuma sebagaimana yang ditunjukkan Rasulullah? Benarlah seperti mana sabda Nabi SAW, “Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan budi pekerti.” HR Ahmad dan al-Hakim.

Kita pula? Sejauh mana kita berlapang dada dan memaafkan kesalahan insan lain terhadap diri kita? Atau… kita semai perasaan benci dan dendam itu di dalam hati kita. Akibatnya, kita sendiri yang sakit!

Rasulullah memaafkan Fudholah yang hendak membunuhnya

Pada saat Nabi SAW sedang bertawaf di Kaabah, datang seorang lelaki yang bernama Fudholah bin Umar dengan niat mahu membunuhnya. Apabila sudah berada di samping Rasulullah dan mempunyai peluang untuk membunhnya, tiba-tiba ia terkejut tatkala bertembung pandangan dengan Nabi SAW.

Nabi bertanya, “Apakah engkau yang bernama Fudholah?”
Dengan gementar ia menjawab, “Ya benar. Akulah Fudholah ya Rasulullah.”
Rasulullah bertanya lagi, “Niat apa yang terkandung di dalam hatimu?”
Fudholah berkata dengan gementar, “Tidak ada suatu apapun, aku hanya berzikir.”
Tertawalah Nabi sambil berkata kepadanya, “Minta ampunlah kepada Allah atas dosa dan niat jahatmu wahai Fudholah.”

Kemudian, Nabi meletakkan tangannya yang penuh kasih sayang dan keberkatan ke atas dada Fudholah. Selepas kejadian itu, Fudholah berkata, “Demi Allah. Apabila Nabi SAW mengangkat tangannya dari dadaku, aku merasakan tidak ada seorang pun di dunia ini yang lebih aku cintai dan sayangi selain daripada Rasulullah SAW.”

Daripada petikan kisah ini, dapatlah kita mengambil pengajaran berkait dengan akhlak Nabi yang perlu kita ikuti. Mudah untuk digelar pendakwah tetapi sukar untuk menjadi seorang pendakwah yang benar-benar tulus dalam menjalankan aktiviti dakwahnya.

Kadang-kadang, ia menyeru manusia kepada kebaikan akan tetapi ia lupa untuk menyeru dirinya. Sering kali, ia mengajak manusia berakhlak dengan akhlak mulia tetapi ia sendiri tidak berperibadi sebagaimana yang telah ditonjolkan oleh Nabi SAW. Ia tahu ketinggian peribadi Nabi junjungan tetapi sukar baginya untuk mengikutinya.

Muthiah : Tidak suka orang yang tidak menghormati kakak atau abangnya…
Labels: 0 comments | | edit post

Sakit hati


Sakit hati! Pernah rasa sakit hati? Marah... benci... kecewa... Sebab apa kita sakit hati? Siapa tidak pernah terasa hati dengan orang lain? Duduk sendirian pun bikin jiwa merana. Feel alone. Tidak tahu hendak bercerita dengan siapa. Akibatnya, stres sendiri-sendiri.

Contohnya... Sakit hati dengan harga makanan yang mahal... tidak berpatutan dan tidak menepati citarasa? Ditambah dengan ‘service’ yang tidak memuaskan.

Muka masam mencuka. Macam tidak berbaloi membelanjakan wang di tempat sebegitu. Kita mengharapkan sesuatu yang baik tetapi yang diperoleh.... alahai menyakitkan jiwa.

Kita marah... kita menyumpah seranah tetapi esok, kedai itu kita tuju lagi. Bagaimana mahu memberi pengajaran bahawa ‘Customer always right?’

Apa lagi yang menyebabkan kita sakit hati? Kena marah? Kena maki? Gaji kecil? Rasa dimanipulasi? Semua tidak kena. Kesannya, sakit hati... Ada sahaja yang tidak kena.

Namun, inilah realiti kehidupan. Tidak semua yang kita harapkan kelak menjadi milik kita. Kita sering kali sakit hati... marah... kecewa tatkala tidak mendapat apa yang diinginkan tetapi kita lupa segala apa yang sudah kita miliki. Masih tidak puas dan sukar untuk berlapang dada. Al-maklumlah... manusia sentiasa berasa tidak cukup dengan apa yang sudah ada.

Muthiah : Sakit hati dengan ....
Labels: 0 comments | | edit post

Malu


Dari Abu Mas’ud Uqbah bin Amr al-Anshari al-Badri RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya sebahagian yang masih didapati umat manusia daripada perkataan Nabi yang terdahulu ialah, ‘Apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.’,”

Sifat malu merupakan pengukuran nilai akhlak dan perbuatan seseorang. Orang yang bersopan pastinya tidak mahu melakukan sesuatu yang memalukan atau mendatangkan kecelakaan.

Akan tetapi, dewasa ini sifat malu semakin luntur dari dalam diri masyarakat. Remaja kini tidak segan silu melakukan kemaksiatan secara terang-terangan. Mereka bukan sahaja tidak malu melakukan kemungkaran itu di hadapan Allah tetapi tidak endah terhadap persepsi masyarakat terhadap perbuatan mereka.

Lebih malang apabila perbuatan yang memalukan itu turut diterima dan diiktiraf oleh masyarakat. Lihat sahaja rancangan hiburan masa kini. Peluk, cium, berpakaian seksi bukanlah sesuatu yang asing bagi masyarakat yang dikatakan bertamadun.

Bertamadun atau taklid terhadap budaya Barat? Ramai yang lupa bahawa malu itu adalah adab dan tatatertib hidup di dunia dan syariat para Nabi dan Rasul terdahulu.
Rasulullah SAW menegaskan, “Apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa yang engkau kehendaki.”

Menurut ulama, perintah tersebut mengandungi dua makna iaitu:

i) Perintah itu merupakan satu ancaman dan bukannya suruhan. Ertinya, apabila engkau tidak malu, maka kerjakanlah apa sahaja yang engkau kehendaki dan Allah akan membalasnya. Firman Allah, “Kerjakanlah apa yang kamu kehendaki kerana sesungguhnya Ia melihat apa yang kamu kerjakan itu.”al-Fussilat ayat 40.

ii) Perintah tersebut adalah perintah suruhan. Hal ini bermakna, jika perbuatan yang hendak engkau kerjakan itu tidak memalukan sesiapa, sama ada bagi dirimu sendiri, bagi Allah dan manusia lainnya, maka hendaklah engkau kerjakan tanpa berasa malu sedikit pun.


Apakah yang dimaksudkan dengan malu? Malu ialah perasaan yang mendesak seseorang supaya meninggalkan segala perbuatan yang keji dan dimurkai Allah. Ia bertitik tolak dari hati dan jiwa yang sedar bahawa segala gerak gerinya diperhatikan Allah.
Hal ini menyebabkan dirinya sentiasa terpelihara zahir dan batin daripada perbuatan yang boleh membawa kepada kemurkaan Allah. Malu inilah yang dikatakan sebagai malu kepada Allah.

Sewaktu pemerintahan Amirul Mukminin Umar bin Khattab R.A., beliau telah memerintahkan supaya tidak seorang pun dibenarkan mencampurkan air ke dalam susu yang dijual. Suatu hari, tatkala meronda pada waktu malam untuk merisik keadaan rakyat jelata, beliau terdengar perbualan antara seorang ibu dengan anak gadisnya.

Si ibu menyuruh anaknya mencampurkan air ke dalam susu sebelum tiba waktu siang. Anak gadis tersebut enggan berbuat demikian malahan mengingatkan ibunya perihal perintah khalifah itu.

Ibu si gadis marah lantas menjawab bahawa khalifah tidak hadir dan tidak perlu takut kerana beliau tidak akan mengetahuinya. Lantas anak itu menjawab, “Ibu, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui walaupun khalifah tidak tahu tentangnya.”

Nah! Dapat kita lihat perihal insan yang malu kepada Allah. Sifat takwa itu bersemi dalam jiwanya. Ia sentiasa takut melakukan perkara mungkar meskipun orang lain tidak melihatnya. Ia yakin, Allah itu sentiasa ada memerhatikan setiap gerak lakunya.

Berbalik kepada persoalan malu, malu itu ada jua jenis yakni malu yang asli serta malu yang diusahakan. Malu yang asli merupakan malu yang telah menjadi tabiat dan perangai sejak ia dilahirkan. Manakala malu yang diusahakan pula diperoleh melalui pengajaran agama dengan cara mengenal Allah, menginsafi kebesaran-Nya serta yakin dengan ilmu-Nya.

Jadi, di manakah diri kita? Adakah telah luput perasaan malu dalam hati kita atau masih ada secubit rasa malu dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah serta meninggalkan larangan-Nya?

Sebenarnya, malu ini baik untuk keselamatan hidup. Ia mencerminkan akhlak terpuji yang menjadi kekuatan untuk mencegah sebarang kemungkaran. Ia amat penting dalam mengawasi perjalanan hidup dan membetulkan garisnya.
Ingatlah wahai teman, Nabi SAW pernah bersabda, “Malu itu adalah satu cabang daripada cabang-cabang iman.”

Teman… Sejauh manakah kita berasa malu dengan kemaksiatan yang kita lakukan terhadap Allah? Kita sering kali berasa malu terhadap perkara yang tidak patut dimalukan tetapi tidak malu dalam melakukan sesuatu yang jelas mengaibkan diri kita di hadapan Tuhan.

Tidak malukah kita melakukan kedurjanaan terhadap Tuan Punya yang memiliki alam ini? Segala apa yang kita peroleh, kita dapat secara percuma daripada-Nya tetapi masih ada hati untuk melanggar perintah Pemberi segala kenikmatan tersebut.

Setelah kita mengerjakan kemaksiatan yang dimurkai Pencipta, tidakkah kita berasa malu apabila kelak noda itu Allah pertontonkan di Padang Mahsyar? Bukan itu sahaja malahan kita mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah tetapi sejauh mana kita menghayati kalimah syahadah tersebut? Adakah cukup dengan pernyataan yang kita ungkapkan melalui kata-kata?

Tidak! Tidak sama sekali kerana kalimah syahadah itu bukan sekadar pernyataan (iqrar) dengan apa yang diyakini tetapi juga meliputi sumpah (qasam) dan perjanjian yang teguh (mitsaq).

Sumpah yang bermakna kita sanggup menerima akibat dan sebarang risiko dalam mengamalkan syahadah serta berjanji setia untuk taat dalam segala keadaan terhadap semua perintah Allah yang terkandung dalam kitabullah mahupun sunnah Rasul SAW.

Sabda Nabi SAW, “Apabila Allah mengkehendaki kebinasaan kepada seorang hamba, maka dicabut perasaan malu daripadanya. Dan tidak engkau dapati melainkan ia seorang yang benci lagi dibencikan. Setelah itu, dicabut pula perasaan amanah daripadanya. Dan tidak engkau dapati ia melainkan seorang khianat lagi mengkhianati, seorang yang telah kehilangan perasaan rahmat atau belas kasihan. Kemudian, jadilah ia seorang yang kasar lagi keras kelakuannya. Dicabut daripadanya ikatan iman dari tengkuknya. Akhirnya engkau memandang ia bukan lagi sebagai insan tetapi sebagai syaitan durjana. ”

Fikir-fikirkan… Renung-renungkan…

Konker


“Alaaa... Abang sorang je konker. Mane aci..” kata si adik apabila si abang begitu asyik dengan mainannya. Mainan itu bukan abang punya seorang. Adik pun ada hak. Kena main sama-sama.

Lantas si adik menangis teresak-esak. Tidak puas hati apabila rayuannya tidak diendahkan oleh abang. Abang pentingkan diri. Abang tidak fikir orang lain. ‘Kan kena sama-sama?’ Fikir si adik.

Abang pula, lain pendapatnya. ‘Aku kan abang!’ Siapa cepat dia dapat. Kena pandai-pandai cari ruang dan peluang. Usaha tangga kejayaan. Tidak kira apa jua caranya, yang penting mesti dapat.

Begitulah keadaannya. Setiap orang berlumba-lumba mendapatkan sesuatu yang diingini. Mahu cepat naik pangkat, kena bijak bodek bos. Mahu naik gaji, kena pandai tonjolkan diri. Yang penting, kita tahu ... kita sedar bahawasanya kerja kita diperhatikan.

Bilamana kerja bagus dan memuaskan, pasti ada habuan yang menanti. Hmmm... Bagaimana pula dengan perlumbaan mengejar pahala Allah? Bukankah jual beli itu tidak memerlukan modal dan wang.

Perlu ada rasa ikhlas dalam diri. Pasti ganjaran menanti di hadapan. Tetapi sayang, kita tidak berlumba-lumba atau berebut-rebut ke arah itu. Pahala Allah tidak dapat dilihat oleh mata yang acap kali tertipu tetapi bonus yang dijanjikan, boleh buat downpayment kereta baru.

Adik menangis kerana hanya abang yang konker. Pernahkah kita menangis apabila hanya orang lain yang berlumba-lumba menginfaqkan hartanya... bangun menangis di tengah malam? ... kerana ALLAH???

Renung-renungkan...
Labels: 0 comments | | edit post

Makna kata Ilah


Kalimah Lailahaillallah seringkali kita ungkapi. Dalam bahasa Melayu, ia membawa maksud “Tiada Tuhan (yang diabdikan diri) melainkan Allah.” Sebenarnya, terdapat banyak pengertian daripada perkataan Ilah itu sendiri. Ilah yang berasal daripada kalimah aliha ini jika diselami dan difahami, kita akan memahami motif manusia mengilahkan sesuatu.

Aliha yang bermaksud mententeramkan

Dengan kata lain, apabila Ilah itu diingati, pasti membuatkan kita merasa tenteram dengan-Nya (sakana Ilaihi). Firman Allah dalam surah ar-Raad ayat 28 yang bermaksud, “Dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang.”

Janji Allah pastinya benar. Tuan Punya alam ini memegang hati-hati hamba-Nya. Dia boleh menjadikan hati itu damai. Dia juga boleh meresahkan jiwa-jiwa yang engkar terhadap perintah-Nya.

Di samping itu, apabila menganggap Ilah memiliki kekuatan yang mampu menolong diri tatkala ditimpa kesulitan hidup, menjadikan kita kembali kepada-Nya. Kita sentiasa merasa dilindungi-Nya (istijaara bihi). Allah itu amat hampir dengan kita. Nabi SAW pernah berkata kepada Saidina Abu Bakar sewaktu mereka bersembunyi di Gua Thur, “Wahai Abu Bakar! Jangan kamu sangka kita berdua sahaja. Allah ada bersama dengan kita.”

Secara fitrahnya, apabila kita berasa tenteram dengan seseorang maka kita akan sentiasa mahu berada di sampingnya. Begitu juga halnya dengan rasa tenteram yang dimiliki tatkala berhubung dengan Tuhan yang Esa. Ini membuatkan kita berkeinginan untuk selalu bertemu dengan-Nya.

Kedamaian yang diperoleh menjadikan kita sebagai pendamba kasih Rabbul Izzati. Merasa rindu kepada-Nya (isytaqu ilahi) membuatkan kita bersungguh-sungguh untuk mendekatkan diri kepada Allah. Rindu yang terhasil daripada rasa cinta yang tidak terhingga kepada Pencipta.

Maka, rasa cinta ini menjadikan kita cenderung kepada-Nya (wull’a Bihi). Cenderung untuk melakukan ketaatan yakni sesuatu yang disukai Tuhan sekaligus meninggalkan larangan-Nya. Ini terdorong daripada rasa cinta kepada Allah yang memiliki kelayakan untuk dicintai sepenuh hati. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 165 yang bermaksud, “Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah.

Al-Ilah sebagai Tuhan

Setelah mengupas tentang aliha yang bermaksud mententeramkan, kita selusuri pula makna di sebalik kata Tuhan yang kita merasa tenteram kepada-Nya.

Tuhan! Al-Marghub (yang disenangi) yakni zat yang sentiasa diharapkan. Firman Allah dalam surah al-Fatihah ayat 4 yang bermaksud, “Kepada Engkau kami mengabdikan diri dan kepada Engkau kami memohon pertolongan.” Dia-lah yang memberi segala kebaikan dan kasih sayang kepada setiap makhluk ciptaan-Nya.

Selain itu, Tuhan itu merupakan al-marhub (sesuatu yang sangat ditakuti). Takut bukan bererti makin menjauh daripada ar-Rahman tetapi semakin mendekat kepada-Nya. Kita takut dengan kemurkaan-Nya, takut dengan seksaan-Nya, juga takut dengan ancaman terhadap kemungkaran yang dilakukan.

Firman Allah dalam surah al-Anfal ayat 8 yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka. Dan apabila dibacakan ayat-ayat-Nya, bertambahlah iman mereka…”

Justeru, sering kali kita berusaha untuk melakukan yang terbaik untuk Tuhan.
Di samping itu, Ilah juga membawa maksud al-matbu’ yakni yang selalu ditaati dan diikuti. Dengan lain perkataan, kita meninggalkan yang haram, melaksanakan yang wajib serta memperbanyakkan yang sunat. Segalanya dilakukan semata-mata untuk mendapat keredhaan-Nya.

Akhir sekali, kalimah Ilah boleh difahami dengan maksud yang dicintai (al-mahbub). Hal ini kerana, hanya Dia yang berhak dipuja dan dipuji. Dia pemberi segala nikmat serta kasih sayang kepada hamba-Nya tanpa mengenakan sebarang bayaran. Maka, selayaknya Dia mendapat segala kecintaan tersebut.

Aliha yang bermaksud abadahu

Sebagai hamba, wajib bagi kita untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Firman Allah dalam surah Az-Dzariyat ayat 56 yang bermaksud, “Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” Terdapat tiga sikap yang perlu dimiliki untuk diberikan kepada Allah.

Pertama, merasa sangat cinta kepada-Nya(kamalul mahabbah). Apabila ketaatan dilakukan dari dalam hati dengan penuh ikhlas, ia tidak akan berasa ragu-ragu dengan segala suruhan-Nya meskipun bertentangan dengan kata nafsunya. Ia lebih mengutamakan hak Allah mendahului apa-apa yang diingininya.

Selain itu, ketaatan kepada Allah perlu dilakukan dengan penuh rendah diri (kamalul tadzalul). Ia merendah diri di hadapan Tuhannya meskipun di dunia ia digelar manusia terbilang. Ia menyedari bahawa Allah adalah penguasa alam yang berkuasa menaikkan darjat serta menghina sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Ketiga, pengabdian kepada Allah perlu dilakukan dengan sangat tunduk dan patuh(kamalul khudu’). Ia tidak memilih-milih dalam melakukan ketaatan dan ia akur dengan segala suruhan-Nya. Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 208 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan…”

Al-Ma’bud sebagai yang diabdikan

Kepada siapa kita mengabdikan diri? Benar! Hanya Allah yang layak disembah secara mutlak. Hal ini kerana Allah adalah Pemilik segala pengiktirafan (shohibul wilayah).

Allah yang menjadi Tuan Punya yang mencipta segala sesuatu di atas muka bumi ini.
Dia yang menjadikan daripada tiada kepada ada dan daripada ada kepada tiada. Tidak mustahil bagi-Nya untuk mengadakan kembali sesuatu yang telah tiada tadi. Justeru, pengiktirafan itu sewajarnya diberikan hanya kepada Allah.

Di samping itu, Allah juga merupakan Pemilik tunggal hak untuk ditaati (shohibut tha’ah). Dengan kata lain, ketaatan itu hakikatnya hanya untuk Allah. Ia bukan sahaja wajib taat kepada Allah bahkan mengajak orang lain untuk sama-sama menuju kepada Allah.

Buat akhirnya, al-ma’bud merupakan satu penerimaan Allah sebagai Pemilik tunggal kekuasaan alam semesta. Oleh sebab Allah diperakui sebagai Pencipta, maka Dia berhak untuk menentukan aturan seluruh ciptaan-Nya. Hanya hukum Allah diyakini keadilannya.

Justeru, marilah sama-sama kita fahami makna kata Ilah. Dengan itu, dapat menguatkan hati dan keimanan kita kepada-Nya.

Muthiah : Sampaikan walau seayat…
Labels: 0 comments | | edit post

Ikhlas ... lagi


Salam semua? Apa macam? Sudah mula puasa enam? Hehe… marilah… kita... boleh jadi bukanlah yang terbaik tetapi yakinlah… bilamana kita telah berusaha untuk menjadi yang paling baik… kita sebenarnya… sudah menang dan menjadi juara (TERBAIK DARIPADA YANG PALING BAIK). Dush dush dush…

Kalau hari itu, Muthiah berbicara tentang buah keikhlasan… hari ini, Muthiah ingin menulis tentang ikhlas lagi. Ikhlas ikhlas ikhlas… tidak ada perkara lainkah??? Hmmm… bukan apa… setiap amal/ perbuatan yang kita lakukan… perlu ikhlas kerana Allah. Bilamana tidak ikhlas, khuatir kan menjadi sia-sia.

Jom….

Ahli fuqahak ada menyebut, “Apabila nasihat itu keluar dari hati yang ikhlas, maka apabila ia didengari akan masuk ke dalam hati. Sebaliknya, apabila ia hanya keluar dari lidah, maka ia tidak masuk ke dalam telinga.”

Bagi seorang dai’e yang sentiasa menyeru manusia kepada kebaikan, perlu bagi kita untuk selalu menghisab diri. Ikhlaskah kita dalam amar maaruf wa nahi mungkar? Kepada siapa kita lakukan dakwah itu? Adakah kerana Allah semata-mata atau punya agenda yang tersendiri?

Nabi pernah bersabda, “Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya. Barangsiapa berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya diterima sebagai hijrah kerana Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa berhijrah kerana dunia yang ia cari atau wanita yang ingin dinikahinya, maka ia akan memperoleh apa yang ia tuju.” H.R Bukhari dan Muslim.

Kita khuatir, disebabkan ketidaktelusan kita dalam ibadah, setiap amal dan perbuatan menjadi sia-sia. Kita mahu Allah memilih kita dalam saff perjuangan tetapi ekoran busuknya hati, kita tergelincir daripada jalan itu.

Ikhlas… Hukama ada menyebut, “Dalam kehidupan ini, akan selalu kita temui susah dan senang bersilih ganti. Apabila terlepas daripada kesusahan yang satu, datang pula kesulitan lain. Kesenangan itu terletak antara dua kesusahan dan kesusahan itu terletak antara dua kesenangan. Ada kenikmatan yang dibungkus dengan kesusahan dan ada pula kesengsaraan yang dibungkus dengan kesenangan. Di samping kesulitan itu ada kelapangan. Yang buruk itu ada faedahnya dan yang baik itu ada juga buruknya. Hanya orang yang bersifat ikhlaslah yang selalu memetik hasilnya.”

Dapatlah kita lihat bahawa ikhlas adalah kunci kebahagiaan. Hanya orang yang ikhlas akan merasai betapa manisnya berhubung dengan Tuhannya. Ia tidak takut dengan ancaman persekitaran kerana dia tahu sesungguhnya Allah sentiasa bersamanya.

Perjuangannya mara ke hadapan. Hidupnya, matinya hanyalah kerana Allah yang Satu. Ia tidak gentar kerana dia tahu apa yang ia lakukan. Bukan redha manusia yang ia cari tetapi kecintaan dan kasih sayang Allah yang dicita-cita.

Pahit getir di dalam perjuangan dijadikan motivasi untuk terus mara ke hadapan. Dia yakin dengan janji Allah yang pastinya tidak palsu. Bukan sepertimana janji manis para calon pilihan raya. Janjinya banyak. Tidak semua dikotakan bahkan untuk menepati janji yang satu juga susah.

Bagi hamba yang ikhlas, pastinya ia akan berjuang habis-habisan untuk menegakkan kalimah tauhid. Ia tahu, sebagai khalifah di atas muka bumi … ia berperanan untuk memakmurkan alam (mengikut aturan yang telah digariskan oleh Allah yang mencipta). Dia tidak ragu-ragu kerana hidupnya dengan kemenangan dan matinya dengan syahid fi sabilillah.

Impiannya hanya satu yakni mengejar mardhatillah. Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah membeli dari orang-orang Mukmin, baik diri mahu pun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, sebagai janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah kemenangan yang agung.”

Bagaimana mahu ikhlas? Ingatlah, andai kita tidak ikhlas dalam amalan dan perbuatan kita, ia kan menjadi sia-sia. Seorang lelaki pernah bertanya kepada Rasulullah SAW, “Ya, Rasulullah. Ada seseorang bersedekah dan ia suka dipuji dan diberi pahala kepadanya.” Nabi tidak berkata apa-apa sehingga turun ayat, “Maka, barangsiapa mengharapkan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah mengerjakan amal soleh dan janganlah sekutu seorang pun dalam beribadah kepada Tuhan.” Al-Kahfi ayat 110.

Daripada kisah ini, dapat kita lihat bahawa nilai keikhlasan itu amat tinggi di sisi Allah. Maka, berhati-hatilah dan sentiasa berwaspada dalam menjaga nawaitu kita. Lebih-lebih lagi bagi seorang dai’e. Dai’e itu mengorbankan seluruh harta dan jiwanya ke jalan Allah. Andai pengorbanan itu dicemari dengan ketidakikhlasan kepada Allah, dikhuatiri perjuangan itu kan menjadi sia-sia.

Ahli hukama ada menyebut, “Dengan perjuangan yang tidak mengenal susah dan payah, tidak mengenal sakit dan senang, dapat memuliakan diri seseorang. Gagal dalam kemuliaan lebih baik daripada menang dalam kehinaan. Hidup ertinya berjuang, kalau tidak berjuang bererti bukan hidup. Dunia ini adalah medan pengujian, manakah manusia yang sejati dan manakah manusia yang palsu. Hanya orang yang tabah dan ikhlas yang akan mendapat kemenangan.”

Daripada ungkapan ini, dapat kita perhatikan bahawa ikhlas itu tidak mudah melainkan bagi mereka yang sabar dan taat. Yakni mereka yang sabar dalam menempuh kesusahan dan keperitan.

Mereka sentiasa konsisten dalam niat untuk menuju kepada Allah dan Rasul-Nya. Dengan kata lain, keikhlasan seperti inilah yang mampu menghilangkan kejahilan dalam diri sehingga kita tidak mendahulukan kepentingan diri berbanding persoalan umum serta tidak menolak bahaya kecil dengan bahaya yang lebih besar. Kita tidak ragu-ragu dan kita meyakini janji Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Yang penting, perjuangan perlu diteruskan. Yakin dan pasti bahawa Allah sama sekali tidak akan membiarkan kita dalam perjuangan itu kerana Dialah Pemberi kekuatan dan kemenangan. Ya!! Kemenangan itu adalah milik Allah. Yang penting, ketelusan kita dalam memperjuangkan agama-Nya.
Pabila ia menang, sememangnya pasti kerana itu adalah janji-Nya. Akan tetapi, sekiranya diuji dengan kekalahan yang tidak diduga, bukan bererti Allah tidak mahu memenangkan agama-Nya tetapi Dia lebih tahu apa-apa yang tidak kita ketahui.

Firman Allah, “… Boleh jadi kamu membenci sesuatu sedangkan ia baik untukmu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik untukmu. Allah mengetahui sedang kamu tidak tahu.” Al-Baqarah ayat 216.

Jadi, bersediakah diri kita mengislah diri ke arah yang lebih baik dengan keikhlasan dan ketulusan dalam pengabdian? Imam al-Ghazali menulis, “Ketahuilah olehmu bahawa setiap sesuatu tergambar adanya bercampur dengan yang lain. Maka, apabila ia suci dari campuran dan bersih daripadanya, yang demikian itulah yang dinamakan ikhlas.”

Maka, perbersihkanlah segala apa yang kita lakukan. Usah kita campuri dengan sesuatu yang bukan pada tempatnya. Ingatlah… Allah adalah tempat pengharapan yang utama. Jadikan setiap amal perbuatan kita sebagai satu ibadah… dengan kata lain, lakukan mengikut syariat yang telah ditetapkan serta ikhlas semata-mata Allah yang Maha Esa.

Muthiah : Acap kali berasa sukar untuk ikhlas….

Presentasi efektif


Teringat zaman kampus yang telah lama berlalu. Perkara yang paling digemari sewaktu menjadi pelajar ialah saat “kemerdekaan” sesudah final exam, duit JPA masuk serta sewaktu cuti semester.

Perkara yang menggerunkan? Result keluar (kene repeat atau tidak?), kena kick kolej dan presentation di dalam kelas. Gelabah, gabra, takut, tension, stress semua ada. Lebih-lebih lagi sekiranya perlu present di dalam dewan kuliah. Mahu pengsan dibuatnya.

Apa yang difahami tentang presentasi?

Pihak pertama, menyampaikan sesuatu info atau maklumat kepada pihak kedua. Dengan kata lain, si penyampai dengan sedaya upaya menjelaskan sesuatu topik atau bahasan tertentu dengan menggunakan media dalam waktu yang singkat.

Media yang merangkumi media tulisan, visual, verbal atau gabungan pelbagai media (multi-media) ini digunakan untuk menyampaikan atau menjelaskan sesuatu bahasan dan menjadikan ia lebih sistematik, menarik serta mudah difahami.

Penyampaian yang berkesan ialah presentasi yang disampaikan sehingga sampai maklumat yang ingin diberikan kepada pendengar. Perlu ada kemahiran dan strategi agar sesi presentasi tidak menjadi bosan dan meletihkan.

Mahu masak ikan bawal sweet sour. Apa yang diperlukan ialah ikan bawal serta bahan- bahan menumis. Mahu jumpa bakal ibu mertua, perlu pakai cantik-cantik dan sopan-sopan. Persiapan ini perlu agar apa-apa yang dirancang berjalan dengan lancar. Semua pihak suka hati!

Bagaimana dengan persiapan presentasi?

Mahu jawab exam tanpa membaca subjek yang sepatutnya, pasti berpeluh jadinya. Begitu juga dengan presentasi. Perkara paling awal yang perlu dibuat ialah meyakinkan diri dengan beberapa pertanyaan. Perlu tahu bahasan atau tema apa yang mahu disampaikan. Jika menyampaikan tanpa hala-tuju, menyebabkan matlamat utama presentasi tidak kesampaian.

Selain itu, lihat juga cakupan perbahasan yang harus disampaikan serta masa yang tersedia. Hal ini membolehkan penyampai membuat perancangan dalam presentasi yang hendak dilakukan. Jika masa yang diberikan tidak panjang, perlu pastikan bahawa semua maklumat penting diberikan perhatian. Catatkan daftar point utama agar tidak tertinggal sewaktu penyampaian disampaikan.

Akhir sekali, tanyakan pada diri. Sudah cukupkah bahan dan persiapan? Dapatkan juga informasi untuk menyokong setiap bahasan yang dibuat seperti fakta, data, dalil dan contoh kes.Setelah menjawab itu, lihat pula kepada medan presentasi.

Medan presentasi?

Kepada siapa presentasi itu dibuat? Pelajar, guru, pensyarah, bos?
Bagaimana dengan karektor mereka?
Fikirkan cara yang terbaik.


Sebagai contoh… ingin menyampaikan ceramah/ kuliah/ talk kepada remaja di pusat pemulihan akhlak. Perlu dengan lebih santai dan mesra, bukan? Atau serius??? Agar kita tidak SS semasa sesi tersebut.

Selain itu, perkara yang perlu diambil perhatian ialah jumlah pendengar, struktur dan kemudahan yang tersedia serta waktu penyampaian. Jika audien ramai, pastikan ada microphone (kecuali kita dilahirkan mempunyai suara yang lantang dan kuat).

Boleh jadi suasana pada hari itu bising dengan kehadiran ramai pendengar. Maka, tidak salah jika kita “sediakan payung dahulu meskipun belum tentu akan hujan.”

Masa! Tidak boleh mengambil enteng terhadap masa yang tersedia. Hal ini kerana struktur penyampaian perlu disiapkan dengan mempertimbangkan waktu yang telah ditetapkan.

Jika masa yang diberikan adalah selama 30 minit, tetapi maklumat yang hendak dilontarkan untuk tempoh 1 jam, boleh jadi informasi yang sepatutnya akan tertinggal apabila penyampai berusaha mengejar masa. Lebih-lebih lagi apabila sudah mendapat “surat cinta” daripada MC yang menulis, “Masa yang diperuntukkan tinggal 5 minit sahaja lagi,” tetapi muqaddimah topik baru sahaja selesai.

Bahan sudah cukup, persediaan sudah mantap. Apa lagi yang diperlukan? Bagi menjadikan penyampaian tidak membosankan atau si penyampai menjadi SS, pilihlah cara dan media yang hendak digunakan. Yang penting, gunakanlah medium yang komunikatif serta mudah difahami.

Jika presentasi berkisar kepada pengertian atau konsep, kaedah pendekatan verbal amat sesuai digunakan. Sediakan hand out yang sistematik agar dapat menarik perhatian pendengar. Selitkan juga gambar-gambar yang menarik bagi menjadikan sesi lebih menarik. Maka, ayuh kita mulakan sesi penyampaian yang berkesan, lebih baik!

Muthiah : Seorang pendakwah juga harus belajar cara presentasi…
Labels: 0 comments | | edit post

Selamat Hari Raya Aidilfitri


Assalammualaikum..

Dikesempatan ini, Muthiah dan suami ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA serta MAAF ZAHIR DAN BATIN…

Maaf atas keterlanjuran kata.

Maaf kalau-kalau ada tersakitkan hati, menimbulkan rasa benci dan marah atau apa-apa yang seangkatan dengannya.

Maaf sekiranya coretan Muthiah dalam blog Muthiah ini membuatkan hati-hati yang sedia terluka bertambah parah. Percayalah… tidak ada niat yang tersurat mahupun yang tersirat.

Semoga TARBIYAH RAMADHAN ini menjadikan kita insan terbaik di sisi Allah, dunia dan akhirat.

Salam ukhwah dan salam perjuangan,

Muthiah dan suami…

Adab menuntut ilmu


Salam… apa khabar semua? Ada baik? Bagaimana dengan sambutan hari raya? Hmmm… hari ini, Muthiah ingin berkongsi ilmu tentang adab… adab menghadiri majlis ilmu. Tajuknya agak ringan tetapi banyak sekali yang mengabaikannya. Jom …

- Ikhlaskan hati kerana Allah.

- Hadir tepat pada masanya.

- Berpakaian sopan serta bersih. Sebaik-baiknya, pastikan diri berada dalam keadaan berwuduk.

- Duduk dengan sopan.

- Jangan lupa membawa buku catitan. Catat info-info penting dalam majlis ilmu yang dihadiri.

- “Tidak sendiri-sendiri.” Letakkan dalam hati untuk mengikat ukhwah sesama hadirin. Gunakan peluang yang ada untuk berkenal-kenalan antara satu sama lain.

- Berazam dalam diri untuk menambah ilmu, mendekatkan diri kepada Allah serta meningkatkan amalan.

- “Malu bertanya kawan sesat cari jalan pulang…”Justeru, kemukakan persoalan kepada penceramah dengan sopan dan mohon penjelasan bagi isi ceramah yang tidak difahami.

- Jika berlaku pertentangan pendapat, berhujahlah dengan penuh hikmah.

- Elakkan bergurau senda serta ketawa secara berlebih-lebihan.
Labels: 0 comments | | edit post

Komik


Sesak sungguh. Macam-macam bau ada. Bau hangit, hapak… semua menusuk hidungku.
Perjalanan yang mengambil masa hampir satu jam amat membosankan. Aku tengok kau, kau tengok aku. Sama-sama tengok… sekadar tengok.

Paling ramah, menguntum senyuman. Tidak kurang juga yang masam mencuka. Baru dimarah bos gamaknya. Atau… bonus yang diharapkan tidak mencapai sasaran. KPI rendah. Kenapa dia lebih tinggi daripada aku?

Aku kerja habis-habisan, dia pula yang dapat nama. Hmmm… “Lembu punya susu, sapi dapat nama,” tetapi inilah realiti kehidupan.

Mereka yang pandai mengipas… pandai bodek… KPI akan tinggi. Kalau sekadar mampu berkata, “Yes, Boss!” tanpa menonjolkan diri, maknanya… faham-faham sendiri.

Tersasar isu pula… Pesta buku berakhir sudah. Seperti biasa, hari terakhir ekspo tersebut menyaksikan ribuan manusia memenuhi ruang pameran PWTC.

Bosan menunggu sampai ke destinasi, aku mengeluarkan buku yang tidak pernah kutinggalkan di mana-mana. Buku apa ya?

Kupandang kiri, kanan, hadapan dan belakang. Bukan aku seorang yang membaca. Ada beberapa lagi insan yang mungkin turut sama kebosanan… sedang membelek-belek bahan bacaan.

Si kakak, begitu asyik membaca majalah Mingguan Wanita. Seorang pakcik pula amat khusyuk membaca akhbar Sinar. Budak sekolah?

Aku tercari-cari seandainya ada budak sekolah di dalam bas yang kunaiki. Nampaknya, mereka lebih senang membuat bising berbanding membelek buku pelajaran. Mungkin sudah tepu belajar di sekolah tadi.

Aku pula? Tidak lain dan tidak bukan. Membaca… Komik adalah kegemaranku. Entah mengapa aku menjadi “penggila komik”. Mujur tidak menjadi orang gila. Gila glamour… gila harta… gila kuasa…

Entahlah. Aku gemar membaca komik kerana ia menenangkan. Bacaan yang ringan dan kadang-kadang melucukan.

Watak-watak yang digambarkan juga tidak kurang hebatnya. Lebih hebat daripada drama yang dilakonkan di atas pentas politik.

Kesudahannya, keji dan mengotorkan. Berlainan pula jika membaca komik. Sekurang-kurangnya, Conan Edogawa berhasil dalam taakulannya. Tiada kompromi dalam menegakkan keadilan! Semoga Conan berjaya menjejaki Kumpulan Berbaju Hitam.

Begitu juga dengan bacaan komik yang lain. Ia cukup menghiburkan. Shin Chan dengan kenakalannya. Naruto dan Hajime Kindaichi dengan aksi “bodoh” mereka. Siapa sangka Kindaichi memiliki nilai IQ sebanyak 180?

Entahlah… apa-apa sahaja!

Muthiah : Sekali-sekali rasa hendak merapu… Fikir-fikirkan, renung-renungkan…
Labels: 0 comments | | edit post

Sahabat


Setiap manusia perlukan teman. Ia tidak betah hidup sendirian…

Teman itu umpama cermin. Ingin melihat cantiknya diri, tengoklah pada cermin. Ia mampu berkata-kata tanpa suara.

“Teman yang baik bukanlah teman yang sekadar membenarkan apa-apa yang dilakukan sahabatnya. Namun, ia adalah teman yang boleh memperbetulkan kesalahan sahabatnya itu dengan hikmah.”

Teman itu bukan sekadar pada bibir namun dalam hati. Terdapat tiga elemen penting dalam sesebuah persahabatan yakni taaruf (berkenal-kenalan), tafahum (saling memahami) dan takaful (saling membantu).

Sebagai manusia biasa, kita memerlukan teman. Teman untuk berkongsi cerita suka dan duka serta mendengar luahan rasa. Ada “give and take” dalam sesebuah ikatan persahabatan. Hidup berseorangan pastinya mengundang kesunyian.

Atas sebab itulah Allah menciptakan manusia daripada pelbagai kaum dan bangsa. Firman Allah dalam surah al-Hujurat ayat 13 bermaksud, “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan. Dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu).”

Taaruf.. Dengan kata lain, dalam sebuah persahabatan perlu kenal antara satu sama lain. Kenal dalam erti kata benar-benar mengenali sahabatnya.

Kita tahu karektoristik teman yang kita dampingi. Bukan sekadar luarannya tetapi kelebihan dan kelemahan yang dimiliki. Maka, kita kan mudah berlapang dada pabila berhadapan dengan karenah teman yang kadang-kadang memeningkan kepala.

Kita tahu makanan kegemarannya, perkara yang disukai dan dibenci, sikap moody yang dimiliki serta banyak lagi. Inilah yang dikatakan sahabat sejati. Kenal kemudian jatuh cinta.

Setelah cinta berputik, kasih bersemi. Maka, ikatan persahabatan kan menjadi teguh dan padu. Kenal bukan sekadar tahu nama dan usia, sudah berpunya atau masih solo…
Kenal… tahu… tafahum yakni faham.

Sebagai teman, kita berusaha untuk memahami teman yang lain. Kita faham, pabila ia kesedihan, ia mahu bersendirian. Justeru, bilamana ia menunjukkan sifat yang tidak kena tatkala mendepani sesuatu masalah, kita seharusnya berlapang dada.

Kita tidak bersangka buruk (suuzun). Kita tidak cakap belakang. “Si anu itu teruklah. Si anu itu tidak fahamlah…” Sedangkan, kita sebenarnya yang tidak faham.

Laungan ukhwah yang diwawarkan menjadi omongan kosong untuk menyedapkan frasa ungkapan persahabatan. Seharusnya, kita perlu menyelidiki di sebalik tindakan sahabat kita itu. Andai ia benar-benar tersasar, peranan kita untuk menegurnya dengan hikmah.

Mengapa? Kerana kita bukan sekadar perlu “kenal” teman di hadapan kita malahan kita turut faham watak yang dimiliknya.

Akhir sekali, dalam persahabatan harus saling menolong (takaful) antara satu sama lain. Pabila sudah kenal dan faham, sebagai sahabat kita mempunyai daya usaha untuk meringankan bebanan yang ditanggung.

Kita tidak lokek dengan ilmu dan duit yang dimiliki. Bahkan, kita membantu teman yang memerlukan dengan ikhlas hati tanpa mengharapkan sebarang balasan. Apa-apa kebaikan yang kita lakukan adalah semata-mata kerana Allah. As-syahid Imam Hassan al-Banna menyebut, “Serendah-rendah ukhwah ialah berlapang dada terhadap saudaramu. Setinggi-tinggi ukhwah ialah ithsar (melebihkan teman mendahui diri sendiri).”

Muthiah : Alhamdulillah… Muthiah memiliki banyak teman saat suka dan suka. Kini… teman itu lagi hampir dengan diri Muthiah… tidak lain dan tidak bukan ialah suami Muthiah yang dikasihi fillah….
Labels: 0 comments | | edit post

Kepentingan Dua Kalimah Syahadah


Menjadi peranan kita seorang Muslim untuk menyebarkan ….

Sebarkan apa??? Ya… apakah kepentingan kalimah syahadah agar setiap kita benar-benar memahami konsep dan praktikal kalimah tauhid ini.

Kadang-kadang, kita tahu mengungkapkan bahawa Allah itu wajib diabdikan diri dan Muhammad itu mesti diikuti. Akan tetapi, kita jarang sekali mahu menjadikan al-Quran (kalam Allah) sebagai panduan hidup. Kita tidak menjadikan Nabi SAW sebagai sumber ikutan.

Kenapa bersyahadah itu penting?

Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah pintu masuk ke dalam Islam. Dengan kata lain, sahnya iman seseorang adalah dengan menyatakan syahadah. Di samping itu, kesempurnaan iman individu adalah bergantung kepada pemahaman kalimah syahadah.

Ia membezakan antara Muslim dengan kafir. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 18, “Allah menyatakan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, yang menegakkan keadilan….”

Selain itu, kalimah syahadah itu penting kerana ia merupakan intisari ajaran Islam. Dengan lain perkataan, pemahaman seorang Muslim terhadap Islam bergantung kepada pemahaman terhadap kalimah syahadah.

Pernyataan La ilaha illa Allah merupakan penerimaan penghambaan kepada Allah dengan melaksanakan aturan-aturan yang ditetapkan oleh-Nya.

Bagi pernyataan Muhammad Rasulullah pula bermaksud penerimaan cara penghambaan itu daripada Nabi Muhammad SAW. Baginda menjadi teladan dan ikutan dalam mengikuti minhajillah.

Dan pasti, penghambaan kepada Allah ini meliputi seluruh aspek kehidupan. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 162, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam.”

Sewaktu peristiwa hijrah ke Habsyah, Najasyi telah bertanya kepada umat Islam, “ Apa sebenarnya cerita kamu ini dan apa agama baru yang kamu bawa?”

Lantas Jaafar bin Abi Talib menjawab, “Dahulu kami menyembah berhala, kami makan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bergaduh sesama sendiri dan kami memutuskan persaudaraan. Selepas itu, datang kepada kami seorang lelaki daripada kaum kami, mengajak kami menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan berhala batu yang tidak memberi manfaat itu…”

Daripada kata-kata ini, dapat kita lihat bahawa kalimah syahadah itu adalah dasar-dasar perubahan.

Ia mengubah manusia dalam aspek keyakinan, pemikiran mahupun jalan hidup. Ia membawa manusia kepada kehidupan yang lebih harmoni dan adil. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 122 yang bermaksud, “Dan apakah orang yang sudah mati (kafir) kemudian Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang…”

Firman Allah dalam surah al-Mumtahina ayat 4, “Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia…” Maksudnya, kalimah syahadah merupakan hakikat seruan para rasul.

Setiap rasul bermula daripada Nabi Adam A.S. sehinggalah Muhammad SAW sentiasa mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Akhir sekali, dengan adanya kalimah tauhid dalam diri … maka kita pasti kan beroleh ganjaran di dunia mahupun akhirat. Nabi SAW pernah bersabda, “Allah SWT akan menghindarkan neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah syahadah.”

Kita bukan sahaja akan bahagia di dunia bahkan mendapat syurga Allah pada hari akhirat. Syahadahlah yang dapat membantu kita menggapai kejayaan yang diidamkan itu (bagi setiap insan).

Jadi, pabila kita telah mengetahui kepentingan kalimah syahadah, marilah sama-sama kita menghayatinya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Kita perlu sedar bahawa kekuatan itu datangnya daripada Allah dan hidup kita pastinya untuk Dia yang Maha Segalanya.
Labels: 2 comments | | edit post

Balik kampung...


Salam semua,

Insya-Allah, petang ini Muthiah dan suami akan berangkat ke kampung halaman… Kami akan bertolak sesudah suami pulang dari tempat kerja. Rancangan awal, ingin bermalam di Cameron Highland (takut terlalu lewat sampai di Felda Aring). Insya-Allah, pagi esok akan pulang ke rumah Muthiah dahulu. Insya-Allah, papa Muthiah akan mengadakan majlis berbuka puasa (seperti tahun-tahun sebelumnya). Doakan keselamatan perjalanan kami serta kelancaran majlis esoknya. Moga-moga kita semua kan dirahmati Allah.

Selamat selamat selamat… Menjalani hari-hari akhir Ramadhan. Entah ada atau tidak… hari esok buat diri kita.

Muthiah dan suami ;)

Muthiah : Maaf andai kalau ada tersalah kata ...

Akhlak yang baik


Mulakan harimu dengan menyebut nama-Nya. Alhamdulillah… Masih diberi ruang untuk menghirup udara nyaman… Tetap diberi kesempatan untuk melihat cantiknya pemandangan. .. merasa kelazatan makanan…

Ada seorang sahabat bertanya...

Bagaimana ingin bersabar dengan karenah seorang teman? Teman yang begitu banyak fiilnya.
Bagaimana ingin menasihati teman itu? Teman yang kadang-kadang menyakitkan jiwa.

Hmmm… soalan mudah yang sukar untuk dijawab.

Secara teori, mudah sih. NASIHAT sahaja… CAKAP … Belajar untuk BERLAPANG DADA.

Berlapang dada? Senang untuk diungkapkan tetapi hanya dengan KELEMBUTAN JIWA membolehkan kita menjadi manusia yang sedemikian (berlapang dada).

Yang pasti, hati kena selalu ingat. Manusia ini banyak karenahnya… Punya karektor yang berbeza dan tersendiri. Kita sendiri punya perangai yang kadang-kadang memeningkan kepala orang lain.

Teman di hadapan kita punya emosi. Kita juga miliki emosi.
Mereka punya perasaan. Kita turut tidak terkecuali mempunyai hati dan perasaan.
Dia manusia yang lemah. Kita juga tidak dapat lari daripada sifat lemah itu.

Justeru, sabarlah. Bagaimana? Banyak orang yang tahu jawapannya tetapi tatkala diri dikuasai nafsu amarah, kita melupakannya, “Dengan mengingati Allah, hati kan tenang,”ar-Rad ayat 28.

Hmmm… Bagaimana pula mahu berhadapan dengan seseorang yang tidak sama perangai dengan kita?

Paling mudah, di rumah sewa…

Kita seorang yang teliti.
Kita tidak suka melihat barang-barang bersepah.
Kita “sakit mata” melihat baju yang tidak berbasuh berhari-hari (terkena pula baju kita). Kita kita kita… Baju tidak berlipat, meja berhabuk…


Arghhhhhh!!! Macam mana mahu menahan rasa KETIDAKPUASAN hati ini? Sakitnya… sedihnya… Bagaimana hendak mengawal diri tatkala berhadapan dengan sosok ini??? Contoh yang paling dekat dengan kita.

Hendak tegur? Entahlah. Serba salah dibuatnya. Tidak berani tegur. Takut terasa. Lagipun, kadang-kadang kita juga tersasar. Kan manusia itu lemah dan lupa?

Maka, contohilah akhlak yang ditunjuki Rasulullah SAW.

TUNJUKKAN CONTOH YANG BAIK... Kita lipat baju kita (kalau mahu menambah amal, lipatkan baju kawan tadi)… Kita mengasingkan baju kotor dan bersih… Insya-Allah, lama-kelamaan teman kita pasti malu sendiri.

Dalam masa yang sama, kita berusaha keras untuk MEMPERBAIKI DIRI. Jadikan hari ini lebih baik dari semalam. Hari esok lebih baik dari hari ini. Jika tersilap langkah, bangkit kembali. Yang pasti, katakan dalam diri, “Aku mahu menjadi yang terbaik!” (melalui akhlak dan tingkahlaku).

Selain itu, perlu SALING MENAMPUNG antara satu sama lain. Mungkin kita cemerlang bahagian kebersihan tetapi lemah bab amanah. Buat kerja pada saat-saat akhir, cincai dan haru-biru. Tetapi, kawan kita pula cemerlang, gemilang dan terbilang dalam bab kerja.

Jadi, “GIVE AND TAKE” dan “TEACH AND LEARN”.

Muthiah : Teringat saat-saat tinggal di rumah sewa satu ketika dahulu… sebilik pula dengan seorang perokok (Muthiah pula ada lelah)… DAKWAH??? Hmmm… sudah cuba tetapi hasilnya… entahlah. Inilah kehidupan… inilah pengalaman berharga yang boleh dijadikan panduan untuk hari mendatang.
Labels: 0 comments | | edit post

Kandungan Kalimah Syahadah


Menyoroti sirah, syahadatain begitu kuat diperjuangkan para sahabat bahkan mereka bersedia dengan ancaman mereka yang menentang ~ puak kuffar.

Lihat sahaja Habib yang tubuhnya dipotong satu-persatu oleh Musailamah…
Bilal bin Rabah yang teguh dengan “Ahad.. Ahad.. Ahad.”


Mengapa? Hal ini disebabkan oleh syahadatain … yang mengandungi makna yang mendalam bagi diri mereka.

Apakah yang terkandung dalam syahadatain? Kita mengungkapkannya sehari-hari. Azan yang berkumandang juga mengingatkan kita terhadap syahadatain. Kebanyakan umat Islam mengetahui bahawa syahadah itu membawa pengertian IKRAR sahaja. Silap… silap begitu…

Sebenarnya, syahadah juga mengandungi pengertian SUMPAH serta satu mitsaq (PERJANJIAN YANG TEGUH).

IKRAR ~ Suatu pernyataan seorang Muslim daripada apa yang DIYAKININYA. Pernyataan yang nampak mudah tetapi sebenarnya merupakan sesuatu yang sangat kuat kerana ungkapan itu DIDUKUNG OLEH ALLAH, malaikat dan orang yang beriman. Jika ia telah berikrar, bererti ia perlu yakin dengan peranannya sebagai hamba di atas muka bumi ini. Ia perlu taat serta patuh kepada Allah. Ia berkewajiban menegakkan dan memperjuangkan apa yang diikrarkan.

Kesedian seorang Muslim menerima akibat dan risiko dalam mengamalkan syahadah merupakan satu SUMPAH. Muslim yang menyebut asyhadu bererti telah bersedia dengan tanggungjawab menegakkan Islam dan ajarannya. Ia beramal dengan hukum Islam dan berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Perlanggaran sumpah akan membawa kepada kemunafikan dan neraka jahanamlah tempat bagi golongan munafikin.

Selain itu, dalam syahadah manusia telah BERJANJI TEGUH untuk taat dan patuh terhadap segala perintah Allah yang terkandung dalam kitabullah mahupun sunnah Rasul. Berjanji teguh bukan perkara main-main. Ia tidak mengamalkan al-Quran separuh-separuh mengikut kemahuannya. Ia menjadikan Islam sebagai jalan hidup. Percakapannya, tingkah-laku serta perbuatannya mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Dengan kata lain, “Islam is the way of life.”

DENGAN IMAN…

Cuba hayati kandungan syahadah… Pabila seseorang Muslim merenung kembali ikrar, sumpah dan perjanjian setia yang diberikan, ia pasti kan berusaha untuk menjadi seorang Muslim yang lebih baik daripada sebelumnya. Ditambah dengan KEIKHLASAN dalam diri.

Secara tidak langsung, ia dapat memantapkan KEIMANAN. Syahadah yang diungkapkan datang dari hati yang suci. Ia diUCAPkan dengan ketinggian iman (isti’la-ul iman) dan hadir semangat “SAYA ADALAH MUSLIM” (isyhadu bianna Muslim). Ia keluar dari lidah yang baik serta mengandungi hikmah. Di hadapannya, ada Tuhan yang memerhati. “Kamera” Allah ada di mana-mana…

Bukan itu sahaja bahkan hati MEMBENARKAN SYAHADAH yang diikrar tanpa ragu-ragu. Ia tidak berat melaksanakan suruhan dan meninggalkan larangan Allah. Ia tidak mempersoalkan segala apa yang telah ditetapkan.

Ia yakin dan pasti, Pencipta itu lebih luas pengetahuan-Nya tentang makhlukan. Mana mungkin Tuan Punya yang Maha Adil, Pengasih dan Penyayang menzalimi hamba-Nya.

Lantas ia menjadi hamba yang patuh. Mengapa? Kerana ia sudah membenarkan 100% ungkapan “Bersaksi bahawa tiada Tuhan yang diabdikan diri melainkan Allah…”

Akhir sekali, daripada ucapan yang penuh bangga dan yakin, ia mengamalkan segala apa yang telah diperintahkan ke atasnya. Perbuatan ini termotivasi daripada hati yang IKHLAS dan PEMAHAMAN terhadap maksud aturan Allah. Setiap perbuatan merupakan cerminan kesucian hati dalam menggapai redha Ilahi.

ISTIQOMAH (berterusan)…

Pabila seorang Muslim melakukan sesuatu amal dengan konsisten dan berterusan, ia pasti kan melahirkan individu beriman sempurna yang memiliki sifat BERANI, TENANG dan OPTIMIS. Ia tetap pendirian dan tahan diuji.

KEBERANIAN hadir kerana adanya keyakinan bahawa setiap hamba Allah sentiasa dibela dan didukung oleh-Nya. Ia tidak takut menempuh tentangan hidup dan sanggup berjuang menegakkan kebenaran. Ia tahu bahawa Allah itu sentiasa dekat. Allah memelihara orang yang memelihara agama-Nya.

Di samping itu, ia berasa TENANG dengan ujian mendatang kerana ia tahu bahawa perlindungan Allah itu hampir. Allah memelihara orang Mukmin secara zahir dan batin. Dengan berpandukan petunjuk-Nya, hatinya kan menjadi tenang.

OPTIMIS bererti meyakini bahawa masa depan adalah milik orang yang beriman. Ia tidak berasa malu dengan syahadah yang diungkapkan meski dunia memandang serong para pengamalnya. Kemenangan umat Islam pasti tiba dan kehancuran puak kuffar sudah pasti. Orang Mukmin pasti tidak kan disia-siakan amalnya.

MEMPEROLEH KEBAHAGIAAN…

Fikirkanlah kembali. Sejauh mana kita memahami konsep syahadah dan pengamalan kita daripada pemahaman itu. Andai kita istiqomah dengan sifat berani, tenang dan optimis, pasti kita kan memperoleh KEBAHAGIAAN DUNIA DAN AKHIRAT. Hanya syahadah sejati dapat membuahkan sa’adah. Ayuh! Kejarlah kesenangan yang telah dijanjikan Allah…

Muthiah : Jika kita selalu merasakan diri tidak layak menerima sesuatu yang baik dan berharga... Bilamana perkara baik dan berharga itu datang dan kita tidak pula melakukan apa yang sepatutnya sehingga ia terlepas dari tangan, maka kita telah mensabotaj diri sendiri. Betul???
Labels: 0 comments | | edit post

Buah keikhlasan


Ikhlas… Sesuatu yang mudah diungkap tetapi sukar untuk dihayati... disemat dalam hati. Banyak orang mampu ikhlas pada awalnya tetapi tersungkur di tengah-tengah jalan. Dugaan itu hadir sebagai ujian yang menyebabkan rasa ikhlas itu menjadi kendur, luntur dan jatuh ke gedung riyak dan ujub.

Sesungguhnya... pepohon ikhlas itu akan menghasilkan buah keikhlasan; manis, indah dan menyenangkan. Pabila ia berasal dari pohon yang baik, maka akarnya kan kuat dan kukuh sedangkan cabangnya menjulang ke langit, menghasilkan buahnya setiap saat dan ketika.

1. Sampai pada hakikat Islam; Penyerahan menyeluruh kepada Allah.

Ibn Qayyim menyebut, “Meninggalkan syahwat kerana Allah adalah jalan yang paling selamat daripada azab-Nya. Perbendaharaan Allah tidak akan diraih oleh hati yang punya sekutu selain daripada Allah di dalamnya, meskipun ia seorang ahli ibadah, zuhud dan berilmu. Kerana Allah menolak menjadikan perbendaharaan-Nya bagi hati yang bersekutu.”

2. Selamat daripada cinta harta, kedudukan dan kemasyhuran.

Dari Ka’ab bin Malik R.A., Nabi SAW bersabda, “Tidaklah dua serigala lapar yang menghadap kambing lebih merosak melebihi seseorang terhadap harta dan kedudukan.”(HR At-Tirmidzi).

3. Bebas daripada perbuatan buruk dan keji.

Menyoroti kisah Nabi Yusuf A.S... Nabi Yusuf adalah satu contoh insan yang mendapat pengawasan dan pemeliharaan Allah... yakni kepada hamba-Nya yang ikhlas. Firman Allah, “Dan sebenarnya perempuan itu sangat berkeinginan kepadanya dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginan kepada perempuan itu kalaulah dia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan Yusuf daripada perkara-perkara yang tidak baik…” Yusuf ayat 24.

4. Ikhlas menjadikan amal dunia sebagai ibadah yang berpahala.

Dari Abu Dzar R.A., Nabi SAW bersabda, “Bukankah Allah telah menjadikan sesuatu untuk kalian sedekahkan? Sesungguhnya setiap tasbih (Subhanallah) itu sedekah, takbir (Allahu Akbar) itu sedekah, tahmid (Alhamdulillah) itu sedekah, tahlil (Laa ilaaha illallah) itu sedekah. Amar ma’ruf itu sedekah, nahi mungkar itu sedekah dan bersetubuh juga adalah sedekah…”(HR Bukhari dan Muslim).

5. Terkeluar daripada kesempitan.

Mengisahkan tiga orang sahabat yang terkurung di dalam gua. Mereka mempersembahkan amalan yang akhirnya menyelamatkan mereka daripada kesempitan itu; birrul walidaini, wafa terhadap pegawai dan pengendalian syahwat yang luar biasa. Keajaiban itu berlaku kerana adanya buah keikhlasan dalam diri.

6. Meraih kecintaan Allah.

Disebut di dalam hadith Qudsi,“Jika hamba-Ku sentiasa mendekatkan diri kepada-Ku dengan yang sunnah, maka Aku mencintainya,” (HR Al-Bukhari).

7. Meraih kecintaan manusia.

Ketika Allah mencintai hamba-Nya, seluruh makhluk dapat digerakkan untuk mencintai hamba tersebut. Rasulullah SAW bersabda, “Jika Allah mencintai seorang hamba, Allah memanggil Jibril, ‘Sesungguhnya Allah mencintai Polan, maka cintailah dia.’ Jibril pun mencintai Polan. Kemudian Jibril memanggil penduduk langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai Polan. Maka cintailah dia.’ Maka penduduk langit mencintai Polan. Kemudian ditetapkan baginya penerimaan di bumi.” (Muttafaqun ‘alaihi).

Muthiah : Moga Allah sentiasa memelihara kita daripada sifat-sifat mazmumah yang boleh merosakkan setiap amalan kita... kepada-Nya.
Labels: 0 comments | | edit post

Kahwin oh kahwin


Terimbas kembali waktu usiaku menjangkau 23 tahun. Masih study lagi. Masih budak-budak dan tidak mature. Orang kata, “Kanak-kanak Ribena.”

Alhamdulillah dapat biasiswa JPA. Sekurang-kurangnya, aku dapat reduce hutang yang ditanggung.

Dalam usia 23 tahun, banyak teman seangkatan melangkah ke alam baru ~ alam perkahwinan. Tersenyum simpul, malu-malu… bak kata seorang teman, “Malu-malu Doraemon.”

Melihat sahabat-sahabat seangkatan menamatkan zaman bujang, rasa teruja… “Nak juga!” Tetapi tidak tahu calonnya siapa? Usik-mengusik daripada teman-teman membuatkan aku senyum sendiri. Senyum penuh makna.

Firman Allah dalam surah Yassin ayat 36 yang bermaksud, “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun dari apa yang mereka tidak ketahui.”

Kini, aku menghitung hari-hari bahagia. Dalam usia ini, aku bakal mengakhiri zaman bujangku… Jika dahulu, kufikir apakah perasaan teman-temanku tetapi kini kulaluinya sendiri… Takut, berdebar, gembira? Entahlah…

Kurenung kembali… Sesuatu yang Allah tentukan, pasti ada hikmahnya. Allah Maha Tahu apa-apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Dia tidak menemukan dengan orang yang betul pada waktu yang tidak tepat. Apabila tiba masanya, Allah pasti akan berikannya kepada kita. Dia lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.

Sebelum mengurniakan orang yang betul, Dia uji kita dahulu. Allah menduga kesabaran dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Adakah kita kembali kepada-Nya atau kita lupa bahawa segala sesuatu yang berlaku datang daripada ketentuan-Nya.

Berbalik ketika saat itu… Saat tatkala menjadi orang yang melihat “hari gembira” orang lain…

Tika ini, barulah aku terasa. Allah mahu memberi ruang kepadaku untuk bersama-Nya. Memberi ruang yang bagaimana?

Sebelum aku kenal dia… Aku tidak punya sesiapa. Aku punya teman… aku punya keluarga… tetapi rasa kasih yang hadir tidak sama dengan rasa kasih yang aku rasai setelah aku mengenali dia.

Saat itu, kurasa Allah adalah Kekasihku. Bagaimana dengan kini?

Pabila kulihat teman-teman akrabku menemui cinta, kurasa kesepian menyelubungi diriku. Bilakah sampai waktu buatku?

Justeru, aku kembali kepada Dia yang mencipta. Kesedihan yang aku alami, kukongsi dengan-Nya. Aku tahu… sesungguhnya Dia amat dekat denganku, lebih dekat daripada urat merihku sendiri. Dia tidak pernah meninggalkanku walau sesaat.

Satu ketika… aku pernah terfikir. Tidak comelkah aku? Burukkah akhlakku? Miskinkah aku sehingga tiada siapa yang sudi mendampingiku.

Tetapi kini kutahu jawabnya… Allah mahu aku bersama-Nya dan terus mengharapkan-Nya… kerana manusia itu kadang-kadang lupa.

Apabila sampai waktu yang sesuai bagi-Nya, Dia menemukan aku dengan orang yang betul. Betul bagiku belum tentu betul pada kaca mata insan lain. Namun, keserahkan segalanya kepada Tuhan yang membuat percaturan.

Dugaan berkasih bukan sekadar menghindarkan diri daripada dosa zahir tetapi “hati” juga memainkan peranan. Memiliki perasaan dimiliki kadang-kala membuatkan aku lupa… milik siapakah sebenarnya hati ini?

Jika dahulu… Allah adalah segalanya. Aku dapat merasai kehadirannya dalam segala tindak-tandukku. Tetapi kini, aku semakin alpa. Aku tidak mahu lupa tetapi kelemahan yang kumiliki membuatkan aku lalai.

Sedih? Berkongsi dengan dia yang sama-sama dicipta oleh Allah yang Esa.
Rasa sunyi? SMS dan telefon menjadi medium aku mendapatkan ketenangan.

Bukan lagi kalimah Allah yang kucari. Beriktikaf jauh sekali… Tidak seperti dahulu. Salah siapa?

Kuhisab kembali… Segala yang Allah caturkan, ada hikmahnya. Apa yang Allah berikan kepada kita, sudah cantik dan elok..

Sekiranya, dalam usia 23 tahun aku telah menemui cinta… sudah tentu tiga tahun aku bergelumang dengan masalah yang tidak dapat dilihat yakni permasalahan hati.

Allah telah memberi ruang kepadaku untuk menjaga hati dalam tempoh tersebut. Kerana Dia tahu aku tidak mampu mendepaninya.

Syukur kepada-Nya. Menemukan aku dengan cinta insani agak lewat. Menjadikan aku lebih terpelihara dan terjaga daripada noda. Terima kasih Tuhan…

Justeru, bilamana kita belum bertemu dengan sesiapa yang sesuai dengan kita, janganlah kita bersedih hati. Tersembunyi hikmah yang mungkin tidak terjangkau dek fikiran. Allah Maha Segalanya…

Muthiah : Kahwin oh kahwin… 18 Ogos 2008. Terima kasih Tuhan atas kebahagiaan yang dikurniakan...