Jual beli
Wednesday, September 02, 2009
“Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” at-Taubah ayat 111.
Apabila sesuatu benda/ barang dijual, maka pemilikan secara automatik menjadi milik pembeli. Hmmm… begitu juga halnya sekiranya kita melakukan urusan jual beli dengan Allah. Maka segala aspek kehidupan akan menjadi milik Tuan Punya secara menyeluruh. Itulah yang dikatakan jual beli dengan Pencipta. Dia yang mencipta alam, dalam masa yang sama turut menjadi Pembeli atas apa yang dicipta-Nya.
Antara ciri orang yang berjual beli dengan Allah ialah ia sentiasa berkomunikasi dengan Allah pada setiap langkah dan aktiviti kehidupan. Ia meletakkan Allah di hadapan sebelum membuat sebarang keputusan. Ia berhati-hati dalam tindak-tanduk serta tingkah-laku agar segala apa yang dilakukan tidak mendatangkan kemarahan Pembeli yakni Allah.
Selain itu, individu yang menjual diri kepada Allah ialah insan yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan mengenal-Nya. Ia banyak melakukan ibadah sunat tanpa mengabaikan ibadah wajib. Ia umpama seorang abid yang mengabdikan diri kepada Tuhannya di malam hari dan menjadi seperti seekor singa yang hebat berjuang pada siangnya.
Ciri lain orang yang menjual diri kepada Allah ialah merasakan diri benar-benar seorang hamba. Apabila perasaan ini wujud dalam diri, ia akan melakukan ketaatan tanpa bantahan dan bersungguh-sungguh menunaikan hak Tuan Punya. Ia tidak ragu-ragu dengan segala ketetapan Pemilik yang serba tahu segala yang terbaik buatnya.
Bukan itu sahaja, orang yang menjual diri kepada Allah bukan sekadar berkeinginan dibeli oleh Allah tetapi Allah sememangnya telah membeli dirinya. Allah pasti memberi ganjaran yang besar kepada mereka yang mahu berjuang di jalan-Nya.
Jual Beli Dengan Allah
1- Pasti mendapat keuntungan
• Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 111 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang-orang beriman diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…”
• Akan mendapat kebahagiaan dunia dan akhirat.
2- Semua orang/lapisan mampu berjual beli dengan Allah
• Allah menerima jual beli daripada orang kaya, miskin, tua, muda, berpendidikan atau sebaliknya.
• Al-Baqarah ayat 286 yang bermaksud, “Tidak Aku bebani seseorang sesuai dengan kesanggupannya.”
3- Janji Allah benar dalam urusniaga dengan-Nya
• Ar-Rum ayat 60 yang bermaksud, “Oleh itu, bersabarlah (wahai Muhammad), sesungguhnya janji Allah itu benar; dan janganlah orang-orang yang tidak meyakini apa yang engkau sampaikan itu menjadikan engkau resah gelisah.”
• Perjuangan ke jalan Allah pasti kan memperoleh kemenangan. Firman Allah surah al-Imran ayat 12-13 menunjukkan bahawa Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakinya.
4- Jual beli yang berbaloi/membuahkan hasil
• Akan mendapat balasan yang baik daripada Allah.
• Allah berfirman dalam surah al-Anbiya’ ayat 47 bermaksud, “...dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung) dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”
5- Tidak memerlukan modal
• Allah melihat kepada kegigihan kita dalam melakukan kebaikan yang dituntut Allah. Dia jugalah yang membuat pilihan dalam keberjayaan kita.
• Surah at-Taubah ayat 79 yang bermaksud, “Orang-orang (munafik) yang mencela sebahagian daripada orang-orang yang beriman mengenai sedekah-sedekah yang mereka berikan dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak dapat (mengadakan apa-apa untuk disedekahkan) kecuali sedikit sekadar kemampuannya, serta mereka mengejek-ejeknya. Allah akan membalas ejek-ejekan mereka dan bagi mereka (disediakan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”
6- Dilakukan secara berjemaah
• Dakwah Nabi SAW dilakukan secara berjemaah.
• As-Saff ayat 4 yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh.”
7- Menyebabkan diri semakin akrab dengan Allah
• Manusia akan berusaha mendekatkan diri kepada Allah dengan mengenal Allah.
Jual Beli Dengan Manusia
1- Boleh jadi untung/rugi
• Belum tentu akan mendapat balasan syurga (jika tidak menurut syariat Allah).
• Tidak balik modal / rugi / ditipu.
• Balasan kejahatan diterima di dunia dan akhirat.
2- Tidak semua orang berkemampuan
• Jual beli dibuat mengikut kemampuan kewangan diri.
• Barangan mewah sekadar mampu dibeli oleh mereka yang berkemampuan
3- Penipuan/penyelewengan boleh berlaku
• Boleh berlaku penipuan dalam timbangan dan sukatan.
• Al-Maidah ayat 85 bermaksud, “.....Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia akan benda-benda dan perkara-perkara yang menjadi haknya...”
4- Jual beli boleh jadi sia-sia
• Sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamat tetapi ia sebenarnya tidak bermanfaat bahkan berdosa.
• Allah ada berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 216 bermaksud, “...boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.”
5- Memerlukan sumber kewangan
• Untuk menjual, memerlukan modal.
• Untuk membeli, memerlukan wang/ harta.
6- Dilakukan secara persendirian/berjemaah
• Ada perniagaan persendirian dan ada berbentuk perkongsian.
• Keuntungan dinikmati bersendirian/bersama.
7- Boleh jadi akrab/makin jauh daripada Tuhan
• Kesibukan mengejar / membelanjakan harta dunia mendorong manusia untuk menjadi semakin lalai, lupa, dan alpa.
• Jika memiliki duit yang banyak tetapi dibazirkan/ tidak digunakan sebaiknya menjadikan diri semakin jauh daripada Tuhan.
Muthiah: Sebenarnya, Muthiah sudah buat perbandingan antara jual beli dengan Allah dan jual beli dengan manusia (guna table) tetapi tidak pandai pula untuk masukkan di dalam blog. Selamat membaca ;)dan berfikir...