Kahwin oh kahwin
Monday, September 14, 2009
Terimbas kembali waktu usiaku menjangkau 23 tahun. Masih study lagi. Masih budak-budak dan tidak mature. Orang kata, “Kanak-kanak Ribena.”
Alhamdulillah dapat biasiswa JPA. Sekurang-kurangnya, aku dapat reduce hutang yang ditanggung.
Dalam usia 23 tahun, banyak teman seangkatan melangkah ke alam baru ~ alam perkahwinan. Tersenyum simpul, malu-malu… bak kata seorang teman, “Malu-malu Doraemon.”
Melihat sahabat-sahabat seangkatan menamatkan zaman bujang, rasa teruja… “Nak juga!” Tetapi tidak tahu calonnya siapa? Usik-mengusik daripada teman-teman membuatkan aku senyum sendiri. Senyum penuh makna.
Firman Allah dalam surah Yassin ayat 36 yang bermaksud, “Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka atau pun dari apa yang mereka tidak ketahui.”
Kini, aku menghitung hari-hari bahagia. Dalam usia ini, aku bakal mengakhiri zaman bujangku… Jika dahulu, kufikir apakah perasaan teman-temanku tetapi kini kulaluinya sendiri… Takut, berdebar, gembira? Entahlah…
Kurenung kembali… Sesuatu yang Allah tentukan, pasti ada hikmahnya. Allah Maha Tahu apa-apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.
Dia tidak menemukan dengan orang yang betul pada waktu yang tidak tepat. Apabila tiba masanya, Allah pasti akan berikannya kepada kita. Dia lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk setiap hamba-Nya.
Sebelum mengurniakan orang yang betul, Dia uji kita dahulu. Allah menduga kesabaran dan ketakwaan kita terhadap-Nya. Adakah kita kembali kepada-Nya atau kita lupa bahawa segala sesuatu yang berlaku datang daripada ketentuan-Nya.
Berbalik ketika saat itu… Saat tatkala menjadi orang yang melihat “hari gembira” orang lain…
Tika ini, barulah aku terasa. Allah mahu memberi ruang kepadaku untuk bersama-Nya. Memberi ruang yang bagaimana?
Sebelum aku kenal dia… Aku tidak punya sesiapa. Aku punya teman… aku punya keluarga… tetapi rasa kasih yang hadir tidak sama dengan rasa kasih yang aku rasai setelah aku mengenali dia.
Saat itu, kurasa Allah adalah Kekasihku. Bagaimana dengan kini?
Pabila kulihat teman-teman akrabku menemui cinta, kurasa kesepian menyelubungi diriku. Bilakah sampai waktu buatku?
Justeru, aku kembali kepada Dia yang mencipta. Kesedihan yang aku alami, kukongsi dengan-Nya. Aku tahu… sesungguhnya Dia amat dekat denganku, lebih dekat daripada urat merihku sendiri. Dia tidak pernah meninggalkanku walau sesaat.
Satu ketika… aku pernah terfikir. Tidak comelkah aku? Burukkah akhlakku? Miskinkah aku sehingga tiada siapa yang sudi mendampingiku.
Tetapi kini kutahu jawabnya… Allah mahu aku bersama-Nya dan terus mengharapkan-Nya… kerana manusia itu kadang-kadang lupa.
Apabila sampai waktu yang sesuai bagi-Nya, Dia menemukan aku dengan orang yang betul. Betul bagiku belum tentu betul pada kaca mata insan lain. Namun, keserahkan segalanya kepada Tuhan yang membuat percaturan.
Dugaan berkasih bukan sekadar menghindarkan diri daripada dosa zahir tetapi “hati” juga memainkan peranan. Memiliki perasaan dimiliki kadang-kala membuatkan aku lupa… milik siapakah sebenarnya hati ini?
Jika dahulu… Allah adalah segalanya. Aku dapat merasai kehadirannya dalam segala tindak-tandukku. Tetapi kini, aku semakin alpa. Aku tidak mahu lupa tetapi kelemahan yang kumiliki membuatkan aku lalai.
Sedih? Berkongsi dengan dia yang sama-sama dicipta oleh Allah yang Esa.
Rasa sunyi? SMS dan telefon menjadi medium aku mendapatkan ketenangan.
Bukan lagi kalimah Allah yang kucari. Beriktikaf jauh sekali… Tidak seperti dahulu. Salah siapa?
Kuhisab kembali… Segala yang Allah caturkan, ada hikmahnya. Apa yang Allah berikan kepada kita, sudah cantik dan elok..
Sekiranya, dalam usia 23 tahun aku telah menemui cinta… sudah tentu tiga tahun aku bergelumang dengan masalah yang tidak dapat dilihat yakni permasalahan hati.
Allah telah memberi ruang kepadaku untuk menjaga hati dalam tempoh tersebut. Kerana Dia tahu aku tidak mampu mendepaninya.
Syukur kepada-Nya. Menemukan aku dengan cinta insani agak lewat. Menjadikan aku lebih terpelihara dan terjaga daripada noda. Terima kasih Tuhan…
Justeru, bilamana kita belum bertemu dengan sesiapa yang sesuai dengan kita, janganlah kita bersedih hati. Tersembunyi hikmah yang mungkin tidak terjangkau dek fikiran. Allah Maha Segalanya…
Muthiah : Kahwin oh kahwin… 18 Ogos 2008. Terima kasih Tuhan atas kebahagiaan yang dikurniakan...