Kepentingan Dua Kalimah Syahadah
Friday, September 18, 2009
Menjadi peranan kita seorang Muslim untuk menyebarkan ….
Sebarkan apa??? Ya… apakah kepentingan kalimah syahadah agar setiap kita benar-benar memahami konsep dan praktikal kalimah tauhid ini.
Kadang-kadang, kita tahu mengungkapkan bahawa Allah itu wajib diabdikan diri dan Muhammad itu mesti diikuti. Akan tetapi, kita jarang sekali mahu menjadikan al-Quran (kalam Allah) sebagai panduan hidup. Kita tidak menjadikan Nabi SAW sebagai sumber ikutan.
Kenapa bersyahadah itu penting?
Tidak lain dan tidak bukan, ia adalah pintu masuk ke dalam Islam. Dengan kata lain, sahnya iman seseorang adalah dengan menyatakan syahadah. Di samping itu, kesempurnaan iman individu adalah bergantung kepada pemahaman kalimah syahadah.
Ia membezakan antara Muslim dengan kafir. Firman Allah dalam surah al-Imran ayat 18, “Allah menyatakan bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, yang menegakkan keadilan….”
Selain itu, kalimah syahadah itu penting kerana ia merupakan intisari ajaran Islam. Dengan lain perkataan, pemahaman seorang Muslim terhadap Islam bergantung kepada pemahaman terhadap kalimah syahadah.
Pernyataan La ilaha illa Allah merupakan penerimaan penghambaan kepada Allah dengan melaksanakan aturan-aturan yang ditetapkan oleh-Nya.
Bagi pernyataan Muhammad Rasulullah pula bermaksud penerimaan cara penghambaan itu daripada Nabi Muhammad SAW. Baginda menjadi teladan dan ikutan dalam mengikuti minhajillah.
Dan pasti, penghambaan kepada Allah ini meliputi seluruh aspek kehidupan. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 162, “Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanya untuk Allah, Tuhan semesta alam.”
Sewaktu peristiwa hijrah ke Habsyah, Najasyi telah bertanya kepada umat Islam, “ Apa sebenarnya cerita kamu ini dan apa agama baru yang kamu bawa?”
Lantas Jaafar bin Abi Talib menjawab, “Dahulu kami menyembah berhala, kami makan binatang yang tidak disembelih, kami melakukan maksiat, kami bergaduh sesama sendiri dan kami memutuskan persaudaraan. Selepas itu, datang kepada kami seorang lelaki daripada kaum kami, mengajak kami menyembah Allah yang Maha Esa dan meninggalkan berhala batu yang tidak memberi manfaat itu…”
Daripada kata-kata ini, dapat kita lihat bahawa kalimah syahadah itu adalah dasar-dasar perubahan.
Ia mengubah manusia dalam aspek keyakinan, pemikiran mahupun jalan hidup. Ia membawa manusia kepada kehidupan yang lebih harmoni dan adil. Allah berfirman dalam surah al-An’am ayat 122 yang bermaksud, “Dan apakah orang yang sudah mati (kafir) kemudian Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang…”
Firman Allah dalam surah al-Mumtahina ayat 4, “Sesungguhnya telah ada suri teladan yang baik bagimu pada Ibrahim dan orang-orang yang bersama dengan dia…” Maksudnya, kalimah syahadah merupakan hakikat seruan para rasul.
Setiap rasul bermula daripada Nabi Adam A.S. sehinggalah Muhammad SAW sentiasa mengajak manusia untuk mengabdikan diri kepada Allah.
Akhir sekali, dengan adanya kalimah tauhid dalam diri … maka kita pasti kan beroleh ganjaran di dunia mahupun akhirat. Nabi SAW pernah bersabda, “Allah SWT akan menghindarkan neraka bagi mereka yang mengucapkan kalimah syahadah.”
Kita bukan sahaja akan bahagia di dunia bahkan mendapat syurga Allah pada hari akhirat. Syahadahlah yang dapat membantu kita menggapai kejayaan yang diidamkan itu (bagi setiap insan).
Jadi, pabila kita telah mengetahui kepentingan kalimah syahadah, marilah sama-sama kita menghayatinya dan mengamalkannya dalam kehidupan sehari-hari. Kita perlu sedar bahawa kekuatan itu datangnya daripada Allah dan hidup kita pastinya untuk Dia yang Maha Segalanya.
Sy minta kebenaran utk link kan entry awak ke blog saya pasal post awak ni
Menarik utk dibaca :)
Tafaddhal. Saya dapat waktu halakah. Rasanya ada buku tentang ni. Judulnya tak silap saya syahadatain, terbitan Al-Furqan (diterjemah dari buku Indonesia), rasa-rasanyalah :-)