Dakwah Fardhiah
Sunday, September 13, 2009
Kebejatan sosial yang semakin menular di kalangan masyarakat menyebabkan tugas kita (pendakwah) semakin banyak. Kita tidak boleh duduk diam sekadar memerhati keruntuhan akhlak yang bermaharajalela. Namun bagaimana? Apa yang harus kita lakukan?
Mengajak manusia kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu amalan mulia. Barangsiapa yang hendak berjual beli dengan Allah, nah inilah jalannya. Perlu memikirkan sesuatu untuk umat manusia. Kita sekali-kali tidak boleh mementingkan diri sendiri dan bersikap nafsi-nafsi. Kelak, setiap manusia akan saling menyalahkan antara satu sama lain.
Si kawan, akan menyalahkan sahabatnya yang tidak pernah menegur salah yang ia lakukan. Si anak, menjadikan ibu sebagai penyebab kemaksiatan yang ia kerjakan. Si isteri pula, menarik suami yang tidak pernah menegur kesilapannya dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah.
Justeru, kita tidak boleh berpeluk tubuh dan memejamkan mata sedang anggota yang Allah kurniakan untuk kita sudah cukup sempurna. Bergeraklah… berjalanlah untuk mendapatkan ganjaran Allah. Mengajak manusia ke arah kebaikan bukanlah sesuatu yang merugikan. Meskipun ajakan kita ditolak, Allah akan tetap mengurniakan ganjaran pahala kepada hamba-Nya yang ikhlas. Namun bagaimana? Mudahkah untuk mengajak manusia kepada kebaikan?
1- Wujudkan hubungan dan perkenalan dengan mad’u (orang yang didakwahi)
Bina hubungan awal dengan mad’u. Kenali dirinya dan jadikan ia merasakan dirinya diberi perhatian. Wujudkan tautan dalam hati. Letakkan matlamat untuk menumbuhkan kepercayaan dalam diri mad’u. Pada peringkat awal, usah membicarakan persoalan dakwah sehinggalah hatinya terbuka untuk memahami mengenainya.
2- Membangunkan iman yang lesu di hati mad’u
Setelah mengenali dan memahami karektor orang yang didakwahi, mula berbicara tentang keimanan secara tidak langsung. Ambil pendekatan yang membolehkan mad’u itu berfikir sendiri tentang kekuasaan dan kebesaran Allah.
3- Membantu mad’u memperbaiki diri
Ajarkan mad’u dengan perkara-perkara ketaatan kepada Allah di samping ibadah-ibadah fardhu. Terapkan disiplin dalam diri dalam menunaikan hak Allah dengan menjauhi maksiat dan berakhlak dengan akhlak Islami. Usah ragu-ragu untuk menghadiahi mad’u buku-buku yang membincangkan persoalan aqidah, ibadah dan akhlak. Namun, jangan tinggalkan ia terus dengan buku-buku tanpa bimbingan.
4- Menjelaskan pengertian ibadah yang syumul
Dalam mengajar mad’u tentang Islam, perlu merangkumi segala aspek kehidupan dan tidak terbatas kepada sembahyang serta puasa semata-mata. Sedarkan mad’u bahawa segala apa yang dilakukan adalah ibadah andai kata ia melakukannya mengikut syariat serta kerana Allah SWT. Islam itu luas dan tidak sempit. Momokan tentang kekunoan agama Islam adalah satu penyakit yang mengancam penganutnya.
5- Menjelaskan kepada mad’u bahawa Islam itu milik semua
Masalah kita hari ini ialah sikap manusia yang hidup sendiri-sendiri. Ia tidak tahu bahkan tidak mahu ambil tahu tentang orang sekeliling. Lebih malang, mereka tidak kenal dengan jiran sendiri sehinggalah berlaku sesuatu peristiwa seperti kematian atau perkahwinan. Maka, perlu diperjelaskan bahawa Islam itu adalah cara hidup. Setiap manusia berperanan untuk menjalani kehidupan mengikut jalan Islam dan mengajak orang lain untuk turut serta menyertainya.
6- Dakwah tidak boleh dilakukan sendiri-sendiri
Dengan kata lain, dalam melakukan kebaikan, setiap induvidu harus memainkan peranan masing-masing. Bukan sekadar mengharapkan orang lain untuk menunaikan tanggungjawab tersebut. Pendakwah tidak semestinya seorang guru agama, mufti atau orang alim. Akan tetapi, KITA SEMUA ADALAH PENDAKWAH.