Tatkala bangkit dari lena


Salam muhasabah;

Pabila mata dicelik, apakah yang kita lakukan? Berdoa... gosok mata atau berlari kencang ke bilik air? Al-maklumlah, sudah jam 10.00 pagi tetapi solat Subuh belum dikerjakan lagi.

Sudahkah kita berdoa hari ini?

Bila? Bilakah masanya kita meluangkan waktu untuk berdoa kepada Tuhan? Saat mahu menghadapi peperiksaan... atau saat hendak melafazkan akad nikah? Hehe...

Di mana? Di atas sejadah sahajakah atau setiap saat dan ketika? Tatkala kita berdoa kepada Allah, bermakna hati dan minda kita sedang mengingati-NYA. Bilamana kita selalu ingatkan DIA, membuatkan kita berasa sentiasa diawasi-NYA, semakin dekat dengan-NYA. Sekaligus, menjadikan kita lebih berwaspada dengan setiap tingkah-laku dan perbuatan. Khuatir kan mengundang kemurkaan-NYA.

Apakah yang kita doakan? Tepuk dada, tanya iman... Buat ibu? Bapa? Teman-teman? Jangan lupa mendoakan diri sendiri juga :)

... dan paling penting...

Sejauh mana penghayatan, pengharapan kita terhadap doa yang kita ungkapkan?

Jom muhasabah ;)

Al-Baqarah : 45, 186 (Mintalah dengan Allah...)
Labels: 0 comments | | edit post

Pengharapan


Salam. Entah kenapa hari ini agak buntu untuk berbicara. Tidak tahu apa yang Muthiah fikirkan. Entahlah...

Insya-Allah, Muthiah tetap mahu menulis ... meski hanya secebis coretan. Walaupun tidak seberapa asalkan punya manfaatnya. 'Sampaikanlah walau satu ayat.'

Ya... 'Sampaikan walau seayat.' Sebarluaskan kebaikan di mana-mana. Mungkin dengan kebaikan yang sedikit itu bisa membantu kita pada hari kiamat kelak. Kita tidak tahu mana satukah amalan kita yang diterima Tuhan tetapi sebagai hamba Allah, perlu sentiasa bersangka baik dengan-Nya. Hendaklah selalu mengharapkan rahmat-NYA kerana hanya dengan rahmat Ilah kita mampu menjejakkan kaki ke syurga.

Bercakap tentang pengharapan, mintalah kepada Tuhan dengan penuh harap. Jangan sekali-kali berputus asa bilamana doa kita tidak dimakbulkan-NYA. Boleh jadi apa yang kita inginkan itu tidak sesuai/ baik untuk kita (Al-Baqarah : 216). Boleh jadi belum sampai masanya... dengan kata lain, Allah tahu kita belum bersedia. Contohnya, mahu menikah tetapi masih belum ketemu insan yang sesuai... atau belum cukup wang... atau dan atau. Ada hikmah yang tersembunyi dan sesungguhnya Allah itu amat teliti.

Sebenarnya, Muthiah mahu berkongsi kisah yang berlaku 12 tahun sudah (1995-1997). Sewaktu Muthiah berada di tingkatan tiga, bersekolah di SEMESTI. Bukan itu sahaja, bermula dari tingkatan satu lagi... apa agaknya yang boleh dikongsi bersama?

Satu ketika di tingkatan 3KA

Muthiah... biasa-biasa orangnya. Bukanlah seorang individu yang tinggi ilmu agama. Cuma, waktu itu Muthiah berada di kelas yang mengambil mata pelajaran Bahasa Arab. Sepanjang tempoh tiga tahun, alhamdulillah... tidak ada teman yang mampu mengatasi pencapaian Muthiah dalam akademik. Kiranya waktu itu, Muthiahlah pelajar terbaik (jika dinilai mengikut pencapaian akademik untuk tingkatan) di sekolah.

Banyak yang kata, Muthiah pandai, cerdik, bijak... walaupun agak nakal, juga tidak menampilkan ciri-ciri seorang muslimah... satu perkara yang Muthiah pegang erat ialah PERGANTUNGAN kepada Allah. Dahulu, Muthiah pun tidak faham erti pergantungan tersebut. Namun, dari sisi lain, untuk MEMINTA sesuatu... Muthiah YAKIN lagi PASTI bahawa hanya ALLAH yang dapat membantu Muthiah.

Jadi, bagaimana mahu kekal menjadi yang terbaik? Takut... khuatir dengan pengharapan keluarga dan rakan-rakan. Sejak dari sekolah rendah, Muthiah sentiasa berada di puncak menyebabkan Muthiah tidak bersedia untuk berada di bawah.

Selain daripada belajar (tetapi, Muthiah kira... Muthiah bukanlah ulat buku tetapi banyak bertanya di dalam kelas), perkara utama yang Muthiah lakukan ialah BERDOA. Satu lagi... Muthiah tidak pernah tinggal solat fardhu walaupun solat yang dilakukan sering kali dibuat tanpa penghayatan dan pemahaman.

Ya! Berdoa dan terus berdoa dengan penuh pengharapan. Walaupun masih jahil tentang banyak perkara, Muthiah dapat rasakan bahawa KEKUATAN itu hanya daripada ALLAH. Muthiah tahu, Muthiah banyak membuat silap tetapi sudah tidak ada tempat lain untuk mengadu. Waktu itu, walaupun banyak perkara yang perlu didoakan, Muthiah lebih memberi keutamaan dalam berdoa untuk mendapat nombor satu serta menjadi yang terbaik di sekolah (tergelak sendiri pabila mengenangkan).

Setiap kali selepas peperiksaan awal dan akhir tahun, Muthiah selalu bernazar. 'Kalau dapat nombor satu, hendak...'Muthiah pun tidak pasti dari mana datangnya info berkenaan tetapi ia merupakan amalan rutin Muthiah setiap kali mahukan sesuatu. Minta dan minta dengan Allah agar mendapat nombor satu. Ia berlarutan sehingga Muthiah tingkatan tiga. Alhamdulillah, dengan keyakinan itu, Muthiah berjaya mengekalkan kedudukan Muthiah. (Muthiah kurang yakin bahawa Muthiah akan berjaya tanpa doa walaupun sudah berusaha).

PMR? Tertekan juga sebab daerah tempat Muthiah belajar, belum ada pelajar yang mendapat 9A. Cikgu memberi harapan... ibu bapa apatah lagi. Huhuhu...

Sekiranya sahabat-sahabat berada di tempat Muthiah, agaknya rasa apa ya? Hmmm... benar! Rasa tidak tenang, takut jika tidak mendapat 9A, khuatir memusnahkan harapan cikgu-cikgu. Cikgu-cikgu terlalu baik dan banyak berjasa kepada Muthiah (Terima kasih Cikgu Hamid (BM), Cikgu Zamri (M3), Teacher Sabariah (BI), Cikgu Harun (Sej), Cikgu Zakari (Geo), Ustazah Maziah (PI), Ustazah Zaiton (BA merangkap guru tingkatan), Cikgu Rohana & Norhayati (KH) dan cikgu Sains Muthiah. Juga, cikgu-cikgu lain yang terlibat secara langsung dan tidak langsung kepada kami yang bakal menduduki peperiksaan ini.)

OK sambung bab pengharapan. Sesudahnya tamat PMR, Muthiah bernazar lagi(dan nazar tersebut perlu Muthiah laksanakan sebelum peperiksaan SPM). Bukan itu sahaja, setiap kali solat fardhu, Muthiah akan solat hajat (termasuk sesudah Subuh dan Asar)... mohon agar mendapat 9A.

Muthiah tahu, tidak ada seorang manusia pun yang mampu membantu Muthiah. Peperiksaan juga telah berakhir. Jadi... usaha pun sudah, doa pun sudah (tetapi tetap doa). Maka, perlu bertawakal penuh kepada Tuhan...

Seawal pagi, Muthiah sudah keluar dari rumah (hendak ambil keputusan PMR). Akan tetapi, Muthiah tidak ke sekolah terus tetapi lepak di rumah seorang teman (Masitah namanya). Hehe... biasalah budak nakal tetapi baik (naik lif tekan sendiri). Kemudian, setelah bersedia kami pun berjalan kaki menuju ke sekolah.

Tiba-tiba, Cikgu Muhammad telah menegur Muthiah. Katanya, "Pok Na (datuk Muthiah) kena sembelih lembu.' Alhamdulillah... Muthiah berjaya dan semua orang gembira. Huhu... Muthiah minta motor Cagiva Mitto daripada papa tetapi dapat....

***

Moralnya... bukan tentang 9A... bukan juga perihal yang terbaik tetapi BERDOA dan MINTA kepada ALLAH dengan PENUH PENGHARAPAN. Waktu itu, Muthiah masih jahil. Banyak yang Muthiah tidak tahu (kalau tidak, masakan boleh solat sunat sesudah Subuh dan Asar) namun, Allah TETAP memberi bilamana kita memintanya. Perlu diingat bahawasanya ALLAH lebih tahu apa-apa yang terbaik untuk kita.

Kesimpulannya, ketahuilah wahai teman. Bukan kita yang hebat tetapi ALLAH. Bukan kita yang cerdik, pandai, bijak tetapi DIA yang mencipta dan menjadikan. Dengan kuasa-Nya, segala sesuatu boleh berlaku. Kisah ini merupakan satu contoh kecil yang boleh diambil iktibar. Walaupun kita merasakan diri kita kerdil (atas kejahilan kita), jangan ragu-ragu untuk terus minta dan bermohon kepada ALLAH.

Muthiah kira, apa yang Muthiah hendak sampaikan dari hati, tidak tersampai sebenarnya (rasa celaru dengan susunan ayat dan bahasa) tetapi apa pun, bukan kita kan yang memberi hidayah. Selamat membaca :)

Renung-renungkan dan fikirkan .... DOA dan HARAP.

Kisah orang asli


Di perkampungan orang asli (Australia)...

Musim sejuk melanda! Seluruh penduduk menjadi cemas. Tidak tahu apa yang harus dilakukan, mereka pun berjalan beramai-ramai menemui tok ketua. Berbanding penduduk kampung lainnya, tok ketua dikatakan lebih cerdik daripada mereka.

Mereka pun mengadu permasalahan yang dihadapi. Cuaca sejuk, tidak mustahil kemudaratan boleh melanda. Maka, dengan kepandaian tok ketua, beliau pun mencadangkan agar seluruh penduduk mengumpul kayu api dan dikumpulkan di satu tempat. Maklumlah, mana ada heater. Jadi, mereka pun bertungkus-lumus mengumpul kayu api bagi menghadapi musim sejuk.

Sebagai tok ketua, beliau turut bertanggungjwab terhadap kebajikan penduduk kampung di bawah jagaannya. Justeru, tok ketua tidak duduk diam. Beliau perlu mengetahui perkembangan cuaca dari semasa ke semasa.

Berjalanlah tok ketua keluar dari perkampungan orang asli untuk mendapatkan telefon awam. Untuk apa? Hmmm... rupa-rupanya, tok ketua mahu menelefon jabatan kaji cuaca untuk mengetahui ramalan cuaca di tempatnya...

Muthiah nak masak jemput-jemput sekejap. Sambung nanti, insya-Allah.
Labels: 0 comments | | edit post

Selamat malam semua :)


Salam.

Sekadar ingin melontarkan satu pertanyaan mudah; Sebelum tidur, apakah yang kita lakukan?

1- Ambil wudhu.
2- Basuh kaki.
3- Baca buku (kalau baca buku yang membosankan, tentu lebih mudah untuk melelapkan mata bukan?). Buku apa agaknya yang dibaca?
4- Berkhayal.
5- Bercerita dengan teman (suami / sahabat/ adik atau siapa sahaja yang berada di sebelah kita).
6- Menghantar sistem pesanan ringkas.
7- Membaca doa tidur.
8- Membaca doa kebas cadar. Hehe...
9- Mendodoi anak kesayangan (dengan lagu irama 60-an atau 70-an atau 80-an ... atau dengan zikir mengingati Allah). Sekiranya, para ibu mengamalkan zikir, TAHNIAH Muthiah ucapkan. Pertama, insya-Allah ia kan mendapat pahala dengan apa yang dilakukan. Kedua, secara tidak langsung ia boleh membersihkan bintik hitam dari dalam jiwa. Ketiga, membolehkan ia bermuhasabah dan kembali mengharapkan keampunan Tuhan. Keempat, ia sebenarnya sedang mendidik anak kesayangan untuk dekat dengan Pencipta. Apakah pilihan kita?
10- Minta maaf dengan suami (mana tahu kalau pada hari itu, ada tindakan kita yang mengguris hatinya).
11- Solat fardhu / solat sunat/ tadarus
12- Bermuhasabah dengan aktiviti yang dilakukan sepanjang hari. Berapa kali kita mengucapkan bismillah sebelum melakukan sebarang pekerjaan? Sejauh mana kita melaksanakan amanah yang diberikan di tempat belajar / kerja? Setakat mana kita menjaga hubungan dengan mereka yang berada di sekeliling kita?

..... dan banyak lagi. Setiap manusia, ada aktivitinya yang tersendiri. Apa pun, jom kita muhasabah kembali; Apa yang kita lakukan sebelum tidur?

Moga-moga, apa yang dilakukan oleh kita semua bukanlah sesuatu yang sia-sia (contohnya, mengumpat tentang polan bin polan). Apa pun yang kita lakukan, letaklah Allah di hadapan kita. Allah marah? Jadi, USAH MENDEKATINYA. Cuba untuk menghindari sesuatu yang bisa mengundang kemurkaan Tuhan.

Selamat bermuhasabah.

Muthiah : Jangan lupa MEMAAFKAN kesalahan orang lain terhadap kita. Berlapang dadalah. Pasti hidup kita kan lebih ceria dan tenteram. 'Sesungguhnya, dengan mengingati Allah, hati kan menjadi tenang,'.

Nota foto : Adik kesayanganku...
Labels: 0 comments | | edit post

Paling besar ...


Salam. Muthiah tidak ada idea tetapi rasa ingin coret-coret. Lepas ini, hendak membaca... baca dan terus baca sehingga .... zzz zzz zzz.

Teka teki :

1) Dalam banyak-banyak binatang masa kini, binatang apakah yang paling besar?

2) Dalam banyak-banyak kuali, kuali apa yang paling besar?

Hehe... sekadar untuk merehatkan minda.

Nota foto : Alfa Romeo milik papa :) ... Siapa nak beli? Hubungi ....
Labels: 1 comments | | edit post

Kerana??? (iii)


Tanyakan kepada diri ;

i) Adakah aku cintakan Allah?
ii) Sejauh mana aku menyintai Allah?
iii) Apakah bukti aku menyintai Allah?

Kita... dari segumpal darah, menjadi seketul daging. Dari tiada menjadi ada. Semuanya dengan kuasa Allah. Semuanya tanda cinta-NYA buat kita. Bukan itu sahaja. Allah tidak lepas 'tangan' ~ dijadikan, kemudian dibiarkan terkebil-kebil sendiri. Allah tidak begitu!

Dikurniakan pancaindera yang sempurna. Allah memberikan kita mata untuk melihat, telinga untuk mendengar, mulut untuk berbicara, tangan untuk menyentuh, kaki untuk bergerak... semua Allah beri tanpa meminta satu sen bayaran pun. Bak kata orang putih, 'Free of charge'. Namun, sebagai hamba perlu patuh dan taat kepada segala perintah-Nya.

Perintah Allah bukan sukar... Tidak sukar??? Kalau tidak sukar untuk dilaksanakan, masakan ada yang melalaikannya. Masakan ada yang tidak takut melakukan kerosakan di atas muka bumi milik Tuhan. Masakan ada yang masih tidak segan meninggi diri dengan segala apa yang dikurnia Tuhan buatnya. Bermakna... perintah Allah itu sukar. Benar? Tepuk dada, tanya iman :) Apapun, 'Setiap yang sukar itu tentu ada jalan keluar baginya'.

Hmmm... ia kan menjadi sukar jika kita jauh daripada-Nya. Iman dan taqwa diketepikan. Kita merasakan bahawa kita ini sudah cukup hebat dan sempurna. Kita memiliki segala apa yang kita hajati. Kita yang sedia jauh daripada Tuhan semakin menjauh. Kita berada di dalam keseronokan sendiri yang entah sampai bila dapat kita kecapi. Kita lupa... kita lupa bahawasanya untuk membuka mata sendiri pun kita tidak mampu tanpa izin-Nya. Kita lupa... kita lupa...

Kita lupa sesungguhnya kesukaran itu kan menjadi mudah dengan izin Tuhan. Ikhlaskan hati, betulkan niat, teguhkan iman, istiqomah dalam melakukan kebaikan. Untuk melakukannya, perlu ada kekuatan. Ya! Kita perlu mendapatkan kekuatan. Dari mana? Ibu? Bapa? Suami? Ister? Anak-anak? Sahabat-sahabat? Murabbi / murabbiah??? Tidak dapat dinafikan, mereka sangat penting... sebagai pendorong bagi diri kita tetapi ada yang lebih penting. Jawabnya ialah ALLAH... Tuhan sekalian alam.

Kenalilah Allah, pasti kita kan lebih tenang. Mengapa? Bilamana kita sedih, kita tahu Allah dekat dengan kita (Al-Baqarah : 186). Bilamana kita tidak kuat / mampu, yakin Allah sudah sedia maklum tentang diri kita (Al-Baqarah : 286). Allah itu Maha Tahu, Allah itu Maha Melihat, Allah itu Maha Mendengar, Allah itu Maha Berkuasa dan Allah itu adalah segala-galanya. Sebut tentang Maha... siapa lagi yang lebih hebat daripada Allah yang Maha Tinggi ini?

Fikir-fikirkan, renung-renungkan wahai teman yang dikasihi fillah...

Terlalu banyak yang Allah berikan. Udara untuk kita bernafas. Hujan dan panas agar tumbuhan dapat menjalar di atas muka bumi ini, seterusnya dijadikan sebagai makanan harian kita.

Dari mana datangnya nasi kalau tidak darinya padi. Andai berlaku kemarau panjang, bagaimana padi itu mahu tumbur mekar? Andai berlaku bah umpama tsunami, bagaimana dengan tumbuh-tumbuhan yang telah kita belai sekian lama, hanya menunggu hasilnya? Sesungguhnya, tidak ada yang mustahil bagi Allah... Tuhan sekalian alam... Rab yang mencipta dan menjadikan... Ilah yang memberi rezeki dan rasa kasih dan sayang.

Mahu dicoret... terlalu panjang. Ayuh teman, berilah ruang kepada minda dan hatimu untuk berfikir tentang kebesaran Tuhan...

Nota foto : Shinichi Kudo, salah seorang teman seperjuangan yang giat membanteras kejahatan di atas muka bumi ini.

Kerana??? (ii)


Ya! Kerana cinta kita sanggup lakukan apa sahaja...

Sang isteri sanggup berkorban demi suami tercinta. Begitu juga sebaliknya. Kerana cinta dan rasa tanggungjawab, si suami berhempas-pulas mencari rezeki yang halal. Ia pasti mahu memberikan yang terbaik buat isteri yang dikasihinya.

Begitu juga halnya bagi sang kekasih buat kekasih hatinya. Meski ia baru sahaja mengenalinya... tidak lama, rasa cintanya membuak-buak di dalam dada. Insan itu sering sahaja membuatkan ia tersenyum, kadang-kadang ketawa riang. Tatkala bersua muka, ia mahu kelihatan indah dan cantik. Agar terpegun mata yang memandang. Biar tidak ada orang yang memujinya asal si dia tidak berkelip mata memandangnya, ia sudah puas!

Rasa kasih si ibu buat anak-anak yang dikandung. Bebelannya tanda sayang. Marahnya tanda cinta yang mendalam. Ibu mana yang tidak sayangkan anak? Kita ditinggalkan ibu di bawah jagaan orang lain? Ibu tidak memberi apa yang kita mahukan? Percayalah... apa pun keadaannya, rasa kasih si ibu buat anak yang dilahirkan dari rahimnya sendiri tidak pernah pudar. Jika ada! Mungkin disebabkan kejahilannya atau ia sedang 'lupa'...

Rasa kasih sahabat buat sahabat yang menangis dan ketawa bersama.

Rasa kasih dan kasih dan kasih...

Sebagai insan biasa, hati pasti tersentuh tatkala ada yang prihatin... ada yang mengambil berat dan yang paling utama, ada orang yang sayang kepada kita. Rasa cinta itu membuatkan kita menghargainya. Sekaligus terbit rasa cinta di dalam hati. Cinta yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Pena juga bisa meluahkan rasa tetapi sama sekali tidak dapat mengatasi rasa cinta yang terpendam jauh di dalam jiwa.

Maklumlah, cinta itu tidak dapat dijual-beli kerana ia hadir tanpa dipinta. Mungkin dek jasa yang menggunung atau mungkin dek lumrah insani. Mulut yang berkata-kata mampu berdusta tetapi hati??? Mungkin tidak.

Namun sayang... acap kali kita lupa. Sering juga kita alpa. Mungkin kerana kita insan biasa, wujud kekhilafan ini. Kita terlupa sesuatu yang paling penting dalam cinta. Apakah itu?

Biarkan cinta itu hadir KERANA ALLAH...
CINTAILAH ALLAH, pasti seluruh alam JATUH CINTA PADAMU...

Nota foto : Adik nombor tiga ~ A'ammir Raffiq (kini belajar di Sekolah Alam Shah)

Kerana ???



"Tipu... takkan Za tak kerja!" Kata Kak Nani kepada Kak Ida (sepertimana yang telah diceritakan oleh Kak Ida).

"Za, rugilah kalau tidak bekerja. Belajar tinggi-tinggi," kata Abang Ja pula sewaktu sedang minum di kedai Kak Ida. 'Terima kasih kak :)'. Setiap kali minum, mesti dapat minuman percuma. Al-maklumlah, teman lama.

"Za tak kerjalah sekarang? Rugilah," kata Ila sewaktu bertemunya di pasar. Wan Norsafazila merupakan rakan sewaktu belajar di Sekolah Menengah Sungai Tong (SEMESTI) sesi 1995-1997.

Rasanya, sejak berhenti kerja, inilah yang sering diperkatakan oleh sahabat-sahabat lama. Ada yang bersetuju dengan tindakan Muthiah, ada juga yang tidak bersetuju (dengan alasan Muthiah punya ijazah) dan ada yang setuju atau tidak tanpa suara. Dengan kata lain, 'No comment'.

Susah untuk diluah dengan kata-kata. Semenjak tamat pengajian di Universiti Malaya (UM) dalam tahun 2005 , Muthiah sudah mula berdikari. Beberapa hari selepas peperiksaan akhir semester, Muthiah sudah diterima bekerja sebagai PKS (pekerja khidmat singkat) di Putrajaya. Sekurang-kurangnya, Muthiah tidak duduk sahaja.

Kemudian, Muthiah bekerja di sebuah bank tempatan. Kali ini, dengan jawatan yang lebih baik dan masa depan yang lebih terjamin. Iyalah, sudah diserap menjadi pekerja tetap dengan pelbagai faedah diperoleh. Kerjanya agak banyak dan.... Namun, Muthiah tidak boleh komen banyak memandangkan expectation orang terhadap Muthiah dan jawatan yang disandang.

Mungkin disebabkan tidak serasi dengan kerja. Setelah setahun lebih berada di dunia perbankan, Muthiah beralih ke alam penulisan. Ya! Muthiah telah diterima bekerja di syarikat penerbitan akhbar dan berperanan untuk menyelia sebuah majalah yang diberi nama 'Konsep'. Terima kasih bos kerana memberi kepercayaan sepenuhnya kepada Muthiah :) Terima kasih juga kepada teman-teman seangkatan ; Peja [artis grafik bahagian majalah], Kak Anne, Abang Najib, Ley, Hamdy [bahagian editorial akhbar], Huda, Qma, Bie dan Aniqh [bahagian pengurusan] atas ikatan ukhwah yang terjalin.

Kali ini, Muthiah merasakan bahawa Muthiah sudah menjumpai 'cinta' Muthiah. Muthiah benar-benar serasi dengan kerja ini walaupun terpaksa berhadapan dengan dateline (yang kadang-kadang memeningkan kepala). Muthiah berkata dalam diri bahawa Muthiah akan terus berjuang di sini. Mungkin kerana minat dan mungkin juga kerana suasana kerja yang menyenangkan. Bos pula agak pemurah orangnya.

Akan tetapi, tidak ada sesiapa pun yang mampu menidakkan ketetapan Tuhan. Kita merancang, Allah merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah yang Maha Esa. Setelah tujuh bulan menjadi ahli keluarga YMH (singkatan nama syarikat Muthiah bekerja), Muthiah mengambil keputusan tekad untuk BERHENTI KERJA buat kesekian kalinya. Ya! Muthiah benar-benar tekad dan sama sekali tidak menyesal dan kecewa (cuma Muthiah sedikit terkilan kerana majalah yang pernah Muthiah hasilkan diberhentikan penerbitannya selepas itu).

Muthiah tidak rasa rugi ke? Jawapannya : TIDAK!
Muthiah tidak menyesal? Jawapannya : Pastinya TIDAK!

Kenapa?

Jawabnya... KERANA CINTA. Ya! Muthiah tidak betah membiarkan suami sendiri (suami bekerja di Perak, Muthiah pula sewaktu itu berada di Kuala Lumpur). Hidup tidak tenang. Kerisauan sering mencengkam jiwa. Lebih-lebih lagi pabila suami sering berulang-alik dari Perak ke Kuala Lumpur (hampir setiap minggu). Kos satu hal dan yang paling utama, pasti letih. Muthiah rasa serba salah tatkala memikirkan suami yang sering makan di kedai, bajunya digosok sendiri dan banyak perkara dibuat sendiri.

Memanglah... sebelum kahwin, sudah biasa membuat apa-apa sendiri tetapi itu sewaktu belum punya isteri. Bagi Muthiah, biarlah susah dan senang sama-sama. Yang penting, perlu tetap bersama. Moga-moga, Allah kan pelihara rumahtangga kami selama-lamanya :)

Muthiah : Teringat dengan cerpen 'Hati seorang isteri' yang pernah Muthiah hasilkan sewaktu masih belajar.

Doa kebas cadar



Hehe. Malam semalam, Muthiah telah membuat lawak yang boleh jadi tidak lawak. Apa dia? Begini al-kisahnya...

Suami Muthiah berpesan, sebelum tidur... kebas cadar dulu dan baca doa. Lazimnya, suami yang melaksanakan 'tugasan' tersebut. Namun, disebabkan suami kini berada di Melaka (menghadiri kursus selama tiga minggu), Muthiah pun take over 'kerja'nya itu.

Sambil mengebas cadar, Muthiah membaca, 'Innalillahiwainnailahirajiun...'Dan, Muthiah kemudiannya tidur dengan lena... zzz zzz zzz.

Pagi tadi, Muthiah menghantar sistem pesanan ringkas (sms) kepada suami. Muthiah maklumkan tentang apa yang Muthiah buat dan doa yang Muthiah telah baca. Kemudian, suami bertanya, adakah ia yang mengajar doa (buat orang meninggal dunia) tersebut. Dengan yakinnya, Muthiah menjawab,'Ya!' Siap dengan dalil lagi. Bukankah tidur itu umpama mati yang sementara? Jadi, perlu baca doa ala-ala untuk orang yang meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, suami menghantar lagi sistem pesanan ringkas (sms). Katanya, 'Baguslah isteri Abe confident sahaja...' dan menjelaskan bahawa doa yang sepatutnya dibaca ialah... Lahaulawalaquwwataillabillah...

Aduh... semacam ditembak M16 ;)

Muthiah : Siapa-siapa mahu beli cadar, boleh mesej Muthiah ;)
Labels: 3 comments | | edit post

Pasar Malam aka PM


Pagi ni, nak ke rumah mek (nenek sebelah papa). Kesihatannya tidak mengizinkan ia berbuat apa-apa (kecuali berniaga). Mengikut perancangan awal, nak stay sampai petang. Kemudian, terus ke Pasar Malam (PM).

Hehe... terkenang waktu muda-muda dulu (17 tahun sudah). Pasar Sungai Tong merupakan lokasi utama para remaja melaram, berjumpa seseorang ('dating' lah tu) dan banyak lagi. Muthiah?

Muthiah pula, waktu mula-mula berhijrah ke Terengganu (tahun 1992)... setiap kali malam Rabu akan ke PM untuk membantu mek menjual pakaian. Mula-mula, angkut pakaian dari van dan susun di atas tempat yang disediakan.

Kemudian, hehe... apa lagi, berjalan sakanlah. Yang Muthiah ingat, Muthiah pasti tidak miss untuk membeli bihun goreng yang harganya waktu itu dalam RM0.50 - RM1.00. Bukan itu sahaja, Muthiah juga gemar membeli coconut shake (RM1.00), sate (RM1.00 = empat batang)dan burger (lupa berapa harganya).

Setelah letih menjalankan kewajiban sebagai juru ukur tidak bertauliah di PM, Muthiah akan kembali ke tempat mek menjual pakaian. Dan... bantulah apa yang patut. Tolong promote, tolong jual ... kalau rasa nakj beli apa-apa, mintalah dengan mek seringgit dua ;)

Jam menunjukkan pukul 10.00. Masa untuk pulang. Seronok... kalau musim perayaan atau awal tahun, selalunya lewat sikit sebab banyak pembeli. Kalau tidak, mungkin awal sedikit. Oh kenangan...

Nota foto : Atas kereta api di Lost World of Tambun.

Ada orang 'minta' saya (iii)


:)

1- Fikirkan... adakah kita sudah bersedia dengan komitmen? Dalam Islam, tidak ada istilah couple Islami tetapi Islam itu telah menyucikan ikatan hati setiap insan dengan ... PERNIKAHAN.

- Jika tidak bersedia, tidak mahu dan ragu-ragu... tangguhkan dulu komitmen itu. Banyakkan berdoa kepada Allah agar diberikan jalan dan petunjuk. Juga, mohon dipelihara hati dan perasaan.

- Jika sudah bersedia tetapi ;
a) Keluarga tidak memberi lampu hijau.

~ Jangan sedih dan jangan bersangka buruk kepada ibu dan bapa. Mereka pasti ada alasan yang munasabah atas segala apa yang diperkata. Boleh jadi pada kaca mereka, kita masih belum bersedia atau... ekonomi kita belum kukuh atau... ada 1001 alasan yang boleh diterima akal. Yang pasti, setiap ibu dan bapa PASTI MAHUKAN YANG TERBAIK buat anak-anak mereka.

Apa yang perlu kita buat ;

i) Yakinkan mereka bahawa kita benar-benar sudah bersedia. Kalau mahu berkahwin waktu belajar, tunjukkan bahawa perkahwinan sama sekali tidak akan menyebabkan akademik kita terabai. Tunjukkan slip keputusan peperiksaan dengan PNGK 3.00 ke atas. Kalau tidak pun, tunjukkan bahawa kita konsisten dalam pembelajaran. Lagi baik kalau dapat mencari duit saku sendiri. Jual tudung, jual burger atau kerja part time.

ii) Apa pun keadaannya, kita mintalah pertolongan daripada Allah. Minta dan terus minta dengan sabar.

Nabi SAW sendiri... sewaktu bukit dan gunung hendak membinasakan mereka yang mencerca dakwah baginda, Nabi SAW tetap mahu memberi tempoh kepada mereka. Boleh jadi keturunan mereka kelak beriman kepada Allah. Nabi sabar dan tidak cepat melatah.

Bukan itu sahaja, sewaktu diletakkan najis di atas kepala baginda semasa sedang bersujud di Kaabah, baginda tidak berkata apa-apa. Baginda yang mulia hanya berdoa kepada Allah dengan menyebut nama-nama mereka yang melakukan perbuatan tersebut (meletakkan najis) dan mentertawakannya. Akhirnya, setelah sekian lama... mereka yang disebutkan namanya oleh Nabi SAW terbunuh dalam peperangan Badar.

Di samping itu, Nabi SAW pernah bersabda, ' Bahawasanya ALLAH SWT akan mengabulkan doa hambanya yang tidak gopoh.' Sahabat bertanya, 'Apakah yang dimaksudkan gopoh itu wahai Rasulullah?' Jawab baginda, ' Mereka berdoa kepada Tuhannya tetapi mahu segera dimakbulkan doa.'

b) Ekonomi belum kukuh.

~ Dalam hal ini, bergantung kepada individu itu sendiri. Setakat mana ia yakin dengan rezeki yang Allah kurniakan buat mereka yang bernikah. Mahu yakin, perlu dengan taqwa. Mahu taqwa, perlu dengan iman. Mahu iman, haruslah disuburkan iman itu di dalam jiwa. Apa pun, itu janji Allah. Allah itu Penguasa + Bos. Dia tidak zalim dan pastinya DIA tidak akan membiarkan hamba-hamba-NYA hidup dalam kemelaratan. Namun, jangan pula hidup bermalas-malasan sambil mengharapkan rezeki diturunkan ALLAH dari langit. Perlu dengan usaha yang gigih. Belum berjaya? Usaha lagi. Masih gagal? Dan semangat pula semakin luntur... tanpa mengenepikan usaha, berdoalah kepada ALLAH. Doa agar diberikan jalan. Doa agar diberikan kekuatan. Khuatir diri berputus asa. Jika sudah jatuh, cuba bangkit kembali. Ingatlah! Allah itu maha dekat denganmu...

~ Masih belajar dan tidak punya wang. Dengan kata lain, masih tidak bersedia dari segi kewangan.. Hmmm... susah juga ni. Nak tangguh, hati meronta-ronta. Keberangkalian untuk menghampiri zina itu 99.9%.

i) Berbincanglah dengan ibu bapa. Luahkan apa-apa yang terbuku dengan baik.

ii) Sabar. Sabar dan tunggu sehingga benar-benar bersedia. Ibu bapa bukan orang senang. Pinjaman PTPTN dan biasiswa pula cukup-cukup makan. Mahu nikah tetapi jadi suami isteri jarak jauh, tidak sanggup. Nak bekerja part time, tidak mampu. Jadual belajar padat. Paper pun killer belaka. Buntu! Minda sekarang jadi berbelah bahagi. Bersedia atau tidak? Jadi... istikharah dan minta petunjuk daripada Tuhan. Itu tidak boleh lari. Selain itu, dekatkan diri dengan Allah. Bilamana hati meronta-ronta mahu, mengadu dan terus mengadu... merintih dan berterusan merintih. Mintalah kepada Allah dengan penuh harapan... agar diberi kekuatan dan dipelihara daripada sesuatu yang dimurkai-NYA.

Apa pun, kembali kepada ALLAH. Setiap penyakit, pasti ada ubatnya dan ubat itu sentiasa dekat dengan kita. Tidak perlu beli di farmasi dan tidak perlu beratur panjang di hospital kerajaan... hanya perlu rajin BERKOMUNIKASI dengan DIA yang sedia maklum dengan segala permasalahan dan kesukaran.

Huhaha...mengantuklah.

Nota foto : Hehe. Semuanya di luar perancangan. Terima kasih semua yang banyak membantu.

Ada orang 'minta' saya (ii)


Benarkah rasa bahagia? Al-maklumlah, sudah pasti dan yakin bahawa ada seseorang yang sedang menyayangi dan mengasihi kita. Mungkin sahaja ia sedang memerhatikan kita dan paling utama, boleh jadi ia tidak lepas daripada mendoakan kita. Kita tidak lagi sendiri. Sayang seorang sahabat tidak sama dengan rasa cinta terhadap mahupun daripada seorang teman istimewa lainnya (sepertimana yang pernah diluahkan seorang sahabat). Cinta terhadap ajnabi panahannya mencengkam jiwa. Betul ke? Huhaha...

Betulkah cinta sahabat dan teman istimewa tidak sama? Entahlah. Yang pasti, bilamana cinta seorang sahabat itu terhasil daripada kecintaan kepada Allah dan kerana Allah... CINTA SEBEGITU PASTINYA HEBAT. Sepertimana yang berlaku dalam perang Uhud. Seorang sahabat yang hampir sampai ajalnya segera mendahulukan sahabatnya yang begitu dahaga dan mahukan air sedang ia sendiri membutuhkannya. Bukankah setinggi-tinggi ukhwah itu ITSHAR?

Hmmm... berbalik kepada topik asal. Khuatir sebenarnya. Sebagai manusia yang lemah lagi banyak khilaf, ditakuti terjebak ke dalam sesuatu yang tidak sepatutnya disebabkan oleh panahan cinta. Tambah-tambah, cinta itu tanpa ikatan yang sah, banyak sisi kelemahannya. Boleh jadi sebelum ada orang 'minta', hati kita jarang berdegup kencang. Kita lebih fokus terhadap kerja/ gerak-kerja/ tugasan yang diberikan namun setelah mengetahui bahawa ada insan lain yang prihatin atau jatuh cinta kepada kita, membuatkan diri menjadi serba tidak kena... membuatkan kita berfikir dan terus berfikir sehingga terlupa kepada Dia yang sepatutnya lebih dicintai. Hmmm... ada orang cakap, istilah 'ter' bermakna tidak sengaja...

Syaitan pula bijak mengambil peluang yang datang. Ia tahu bahawasanya hamba Allah ini sedang berada dalam keadaan lemah. Iman manusia biasa itu yazid wa yanqus (tambah dan kurang). Semacam tidak percaya, 'Ada orang suka aku rupanya.' Lebih-lebih lagi, ia sedang keseorangan. Tidak ada teman atau sahabat yang mahu mengingatkan. Kalau ada sekalipun, tidak sampai memberi tumpuan sepenuhnya kepadanya. Masalah itu dianggap cukup kecil bahkan lebih kecil daripada saiz atom, mungkin. Mungkin benar dan mungkin juga tidak tepat.

Akan tetapi, dari sisi mereka yang sedang berada di dalam dilema... masalah hati ini cukup rumit dan menyesakkan. Sampaikan, teman yang mendengar luahan hati pun kadang-kadang menjadi bosan. Manakan tidak! Solusinya sudah disarankan beberapa kali tetapi persoalan yang sama tetap diajukan. Itulah... manusia kan lemah. Ia punya emosi yang ada tikanya rasional dan kadang-kadang beremosi. Waktu beremosi itulah musuh Allah ini mula 'cucuk jarum'.

Maka... CARILAH ALLAH tatkala berhadapan dengan sesuatu yang menemui jalan buntu. Bukan sahaja urusan yang sangat besar, yang paling kecil pun perlu minta dengan-NYA. Di samping itu, elakkan diri daripada duduk berseorangan. Takut ada 'kawan' bertanduk dua mendekat dan memberi nasihat yang tidak sepatutnya. Banyakkan berzikir, bertadarus... solat sunat, puasa sunat... insya-Allah, amalan-amalan ini sedikit-sebanyak dapat menyucikan bintik hitam yang terpalit dalam hati kita.

Rasa buntu lagi? Rimas dan gelisah? Usahlah sekali-kali berputus asa. Teruskan usaha mendekatkan diri kepada-NYA. Allah, Tuan Punya + Pemilik + Penguasa + Pencipta itu ada jawapannya cuma mungkin DIA mahu mendengar rintihan dan rayuan kita yang sudah lama tidak kedengaran. Kita katakan kita mengingati Allah tetapi sejauh mana?

....

' Jangan engkau kata engkau sudah beriman selagimana engkau belum diuji...'
' Tidak Aku bebankan seseorang sesuai dengan kesanggupannya...'

Nota foto : Gambar sewaktu di KISAS (bersama classmate, Ila), sewaktu matrik (bersama best friend, Afni di rumah En. Zuhairy) serta sewaktu di alam kampus, tahun pertama (keluarga datang dari kampung).

Ada orang 'minta' saya


'Kak Dik, saya mahu minta pandangan. Bagaimana kalau ada orang 'minta' saya? Ikutkan perancangan peribadi saya, tunggu lima tahun lagi...'

Tersenyum sendiri tatkala menerima sistem pesanan ringkas (sms) daripada seorang junior di UM dulu. Adik ini, baik budi pekertinya. Halus juga perwatakannya. Moga-moga ia kan peroleh pertimbangan dan jawapan yang paling baik untuk permasalahan yang dihadapinya, insya-Allah. Allah itu dekat sayang...

Hmmm... hati oh hati. Paling sukar sebenarnya mahu menjaga hati. Untuk memeliharanya apatah lagi. Bilamana hati terusik, membuatkan jiwa meronta-ronta. Hilang fokus jadinya dan paling malang, saat tidak dapat khusyuk dalam ibadah. Rasa ingin menyintai dan dicintai. Tentu rasa bahagia...

OK. Heroku sedang mengamuk. Sambung lagi ye :)

Nota foto : Adik bongsu ~ Asyraf Jose Rizal