Memupuk cinta (i)
Thursday, September 10, 2009
Argh… argh… argh… hehe… hari ini TERPAKSA berbuka dengan …. Oh, tidak!!! Apabila suami memberitahu Muthiah tentang itu…huhu…
Apapun… ‘Setiap amal bermula dengan niat…’ Insya-Allah… bilamana kita berniat untuk melakukannya kerana Allah… pasti ‘itu’ yang akan kita miliki… Solusinya… usahlah… ARGH!!!
Jom…
Mudah untuk mengungkapkan cinta. Aku cinta kamu. Aku sayang kamu… CINTA CINTA CINTA…
Realitinya, rasa cinta itu sebenarnya memerlukan PEMBUKTIAN daripada setiap orang yang mengaku mencintai. Begitu mudah melafazkan cinta sedang amat tinggi maksud pengakuan tersebut.
Beringatlah… berwaspadalah agar tidak terpedaya dengan tipu daya syaitan dan nafsu bilamana diri mengakui mencintai Allah. Padahal pengakuan itu belum teruji dengan tanda-tanda yang menunjukkan cinta dan belum dibuktikan melalui dalil-dalil yang mendukung kebenarannya.
Bagaimana untuk merealisasikan impian itu? Impian untuk menggapai cinta Ilahi. Andai mahu mencapai kejayaan yang cemerlang dalam akademik, perlu bijak mengatur masa serta menyusun strategi yang padu dalam menjadikan misi itu satu realiti. Perlu memberi tumpuan di dalam kelas, membuat tugasan yang diberikan, banyakkan bertanya dan mengulangkaji pelajaran.
Bukan itu sahaja, bahkan perlu melakukan tugasan yang diberikan sebaiknya agar pulangan yang diterima setimpal dengan usaha yang dicurahkan. Begitu juga halnya andai mahu mengejar cinta Ilahi. Bukan sahaja perlu melakukan ketaatan sebaiknya malahan perlu lebih tekun daripada itu.
MUJAHADAH penting dalam mengawal hawa nafsu yang sering menuju kepada kemaksiatan yang membawa kepada murka Ilahi. Niat perlu sentiasa diperbaharui agar apa yang dilakukan tidak tersasar daripada visi asal yakni menggapai redha Allah. Dengan kata lain, IKHLAS adalah nadi dalam perjuangan menuju cinta dan kasih ar-Rahim. Cinta Ilahi adalah cinta agung yang begitu tinggi nilainya. Nilaian yang tidak mampu dibayar dengan wang ringgit.
1. Cinta kepada kematian
Apabila kita cintakan seseorang, kita pasti mahu selalu menemuinya. Ingin melihat dia setiap saat dan ketia… kerana hati begitu merindui senyum dan gelak-tawanya. Segala apa yang dimilikinya nampak sempurna. Tiada cacat-celanya dan kehadirannya sudah cukup membungakan hati kita.
Begitu juga halnya bilamana kita mencintai Tuhan. Hati sering sahaja mahu menjumpai-Nya. Rasa rindu yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Rasulullah S.A.W pernah bersabda, "Barangsiapa lebih suka berjumpa dengan Allah, maka Allah suka menjumpainya." Riwayat Muttafaqun alaih daripada Abu Hurairah dan Aisyah R.A..
Maka, apabila seorang insan itu mencintai kematian, ia akan berusaha untuk BERSEDIA ke arah itu. Dia tidak menjadikan dunia sebagai tempat penghidupan abadi dirinya tetapi menjadikannya sebagai HAMPARAN bercucuk tanam sebelum menuju ke negeri abadi.
Dia ingin memperoleh hasil yang berkualiti. Maka, ia berusaha untuk mendapatkan sumber yang bermutu. Dengan kata lain, dia melakukan yang TERBAIK… sebagai persediaan menuju Ilahi.
Dia selalu meletakkan Allah di tempat yang tertinggi dalam setiap keputusan yang dilakukan. Dia takut kepada murka Allah dah berusaha menghindarinya. Dia hanya mahu melakukan kebaikan kerana dia tahu, Kekasihnya itu sukakan kebajikan dan kebaikan. Segalanya Allah dan untuk Allah.
2. Jihad di jalan Allah
Untuk membuktikan kebenaran cinta kepada Allah, ia perlu sanggup berjuang di jalan-Nya. Ia sanggup mengorbankan diri, harta benda dan jiwa raganya untuk mendapat keredhaan dan cinta Ilahi. Firman Allah, “Sesungguhnya Allah membeli daripada orang-orang Mukmin, baik diri mahupun harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh (sebagai) janji yang benar daripada Allah di dalam Taurat, Injil dan al-Quran. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan demikian itulah satu kemenangan yang agung.” At-Taubah ayat 111.
Ia tidak takut dengan mehnah yang datang kerana ia yakin bahawasanya Allah sentiasa ada untuk membantunya. Lihat sahaja kemenangan umat Islam dalam siri peperangan terdahulu. Kemenangan umat Islam dalam perang Badar sebenarnya sedikit sebanyak boleh memotivasi diri ; Sesungguhnya, tidak ada yang mustahil bagi Allah.
Yang penting, teruslah BERJIHAD dan MELANGKAH ke hadapan di samping meletakkan pengharapan dan pergantungan hanya kepada-Nya. Perlu OPTIMIS dengan apa yang dilakukan. Segala apa yang dilakukan itu, tidak lain semata-mata untuk memperoleh kasih dan cinta daripada yang Esa.
Sayidina Abu Bakar as-Siddiq pernah berpesan kepada Sayidina Umar al-Khattab yang berbunyi, “ Kebenaran itu berat, dalam keberatannya disertai rasa pahit. Kebatilan itu ringan, dalam keringangan tetap berpenyakit. Kamu pelihara pesanku ini, tidak akan ada suatu keghaiban yang lebih kamu sukai selain mati. Dan kematian pasti menjumpaimu. Akan tetapi, kamu mensia-siakan pesanku ini, tidak akan ada suatu keghaiban yang kamu benci selain mati. Sekalipun kamu tidak mampu menundukkan kematian.”
Daripada pesanan ini, dapat kita lihat bahawa menyampaikan kebenaran itu bukannya mudah. Nabi SAW sendiri ditentang habis-habisan dalam menyampaikan risalah dakwah. Nabi dan umat Islam diseksa dan dipulau kerana menyatakan kebenaran.
Pemboikotan terhadap suku Abdul Mutalib memperlihat kecekalan umat Islam yang tega dalam jihad di jalan Allah. Mereka tidak takut dan tidak gentar dengan dugaan yang mendatang. Mereka terus mara ke hadapan dengan keyakinan terhadap janji Allah. Akhirnya, kemenangan itu kunjung tiba. Ajaran Allah terus melata di atas muka bumi ini. Semuanya memerlukan pengorbanan. Ya, pengorbanan yang tinggi lagi padu.
3. Menundukkan hawa nafsu
Bilamana seseorang itu secara terus menerus mengikut hawa nafsunya, maka itulah kecintaan yang dikejar-kejar. Jadi, dalam menggapai cinta Allah, perlu baginya untuk MENUNDUKKAN hawa nafsu agar cinta itu tidak tersasar daripada kecintaan yang sebenar.
Apabila ia telah berjaya dalam MUJAHADAH itu(menundukkan hawa nafsu), tidak akan ada kenikmatan baginya tanpa mengaitkan Kekasih yang dicintainya. Bukan mudah untuk melawan hawa nafsu. Perlu KEKUATAN dan KEAZAMAN yang tinggi. Kekuatan itu tidak akan diperolehi tanpa izin daripada Pencipta. Dari situ, wujudlah KEAKRABAN dengan Ilah yang secara tidak langsung telah melahirkan rasa cinta yang mendalam terhadap-Nya.
Setelah Allah mencintai dia, Allah akan MENJAGA dan MEMELIHARANYA daripada musuh termasuklah musuh hawa nafsu dan syahwat. Firman Allah dalam surah an-Nisa’ ayat 45 yang bermaksud, “ Dan Allah lebih mengetahui musuh-musuhmu. Dan cukuplah Allah menjadi pelindungmu dan cukuplah Allah menjadi penolongmu.”
Disebut di dalam satu kisah, Nuaiman sering menghadap Rasulullah lalu Nabi SAW memberi arahan kepadanya supaya membatasi dirinya daripada kemaksiatan yang banyak. Sehingga suatu hari, Nuaiman menghadap baginda lalu Nabi SAW memberi arahan supaya membatasinya dirinya (daripada maksiat) lagi.
Seseorang yang mengetahui peristiwa tersebut mencela Nuaiman dengan berkata, “Alangkah banyak perkara yang dibawa menghadap Rasulullah.” Rasulullah seterusnya bersabda, “Engkau jangan mencelanya. Sebenarnya Nuiaman mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Di sini, dapatlah dilihat bahawa kecintaan kepada Allah dapat jua kita peroleh bilamana kita berusaha menundukkan hawa nafsu.
4. Sentiasa berzikir kepada Allah
Untuk memupuk rasa cinta terhadap seseorang, kita perlu sentiasa MENGINGATINYA. Perlu sentiasa menyebut KEBAIKANNYA dan memerhatikan KEISTIMEWAANNYA. Dari situ, secara tidak langsung boleh memupuk rasa cinta terhadap individu tersebut.
Begitu juga halnya andai kita mahu memupuk rasa cinta terhadap Tuhan. Lidah perlu tidak kelu untuk menyebut nama-Nya, mengingati-Nya serta segala sesuatu yang berkait dengan-Nya.
Bagaimana hendak mendekatkan diri Allah? Hmmm… bacalah Al-Quran - sebagai kalam-Nya, mencintai Rasul - sebagai utusan-Nya serta mencinta orang yang mencintai Rasul dan agama-Nya.
Sahal menyatakan, “Tanda-tanda mencintai Allah ialah dengan mencintai al-Quran. Tanda-tanda mencintai Allah dan al-Quran ialah dengan mencintai Nabi SAW. Tanda-tanda mencintai sunnah Nabi SAW ialah dengan mencintai akhirat. Tanda-tanda mencintai akhirat ialah dengan membenci dunia. Tanda-tanda membenci dunia ialah dengan tidak mengambil bahagian apapun daripadanya kecuali sekadar bekal yang menghantar ke akhirat.”
Panjang bangat. Kita sambung nanti ya… ada lima isi lagi. Tunggu…
Muthiah : Memupuk cinta terhadap seseorang yang banyak menyakiti… jauh di mata, lagi jauh dalam hati…